SURAH SABA\’ : AYAT 46-50

\"\"

AJAKAN BERFIKIR TENTANG NABI S.A.W, AJARANNYA TIDAK MINTA UPAH & AL-QURAN PETUNJUK KE JALAN HAQ.

Full video : https://youtu.be/Rq8fITF-RYc

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t membawa ayat yang mengajak agar berfikir tentang Rasulullah s.a.w sebelum membuat tuduhan dan tohmahan jahat terhadap Baginda.
  2. Bercakap itu mudah kerana lidah tidak bertulang tetapi akibat dan kesannya amat besar sekali. Maka berfikirlah habis-habisan sebelum bercakap!
  3. Kemudian Rasulullah S.A.W menegaskan bahawa dia tidak minta upah untuk ajaran yang dibawanya. Upah yang diharapkannya hanyalah penerimaan mereka dan pahala dari Allah s.w.t.
  4. Al-Quran itu kitab yang membawa petunjuk ke jalan haq. Ia menghapuskan yang batil dengan menegakkan kebenaran.
  5. Allah s.w.t membawa 3 usul dalam ayat ini selepas dibawa sebelum ini dalil yang lengkap tentang tauhid kepada Allah s.w.t.

AYAT 46 – {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”AKU HANYALAH MENGAJAR DAN MENASIHATI KAMU DENGAN SATU PERKARA SAHAJA, IAITU: HENDAKLAH KAMU BERSUNGGUH-SUNGGUH BERUSAHA MENCARI KEBENARAN KERANA ALLAH SEMATA-MATA, SAMA ADA DENGAN CARA BERDUA (DENGAN ORANG LAIN), ATAU SEORANG DIRI; KEMUDIAN HENDAKLAH KAMU BERFIKIR SEMATANG-MATANGNYA (UNTUK MENGETAHUI SALAH BENARNYA AJARANKU)\”. SEBENARNYA TIDAK ADA PADA (MUHAMMAD) YANG MENJADI SAHABAT KAMU SEBARANG PENYAKIT GILA (SEBAGAIMANA YANG DITUDUH); IA HANYALAH SEORANG RASUL PEMBERI AMARAN KEPADA KAMU, SEBELUM KAMU DITIMPA AZAB YANG BERAT (DI AKHIRAT).} (SABA\’ 34:46)

  1. Orang-orang Quraisy telah membuat pelbagai tuduhan dan tohmahan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Maka Allah s.w.t. berfirman memerintahkan Baginda s.a.w untuk berkata dan menasihati mereka agar bersungguh, berusaha mencari kebenaran kerana Allah s.w.t.
  2. Menyuruh mereka agar berfikir; jika tidak cukup seorang diri berfikirlah bersama-sama, berdua atau beramai-ramai agar dapat melihat kebenaran bersama.
  3. Ditegaskan bahawa Baginda s.a.w hanya mengajar dan menasihati mereka dengan satu perkara saja! بِوَاحِدَةٍ
    Ulama\’ membincangkan maksud satu perkara ini- بِوَاحِدَةٍ
    i- berfikir dengan otak kamu tentang Nabi s.a.w.
    ii- ada juga ulama\’ kata satu maksudnya kalimah Tauhid.
    *keduannya boleh diterima.
  4. Allah s.w.t membawa 3 usul dalam ayat ini:
    i- isyarat kepada Tauhid. التوحيد
    ii- isyarat kenabian Rasulullah s.a.w. الرسالة
    iii- isyarat kepada hari Akhirat. البعث
  5. Kemudian Allah s.w.t menyuruh mereka berfikir tentang tuduhan yang gila yang mereka lemparkan ke atas Rasulullah s.a.w yang mereka kenal sejak dari kecil lagi. Tiada keturunannya yang gila atau ke arah itu.
  6. Ayat ini ditujukan kepada kaum Quraisy Makkah pada waktu itu. Tetapi nasihat dan perintahnya adalah untuk kita semua orang Islam agar berfikir dulu sebelum membuat tuduhan atau melabel sesiapa saja yang dikenali dan diketahui sifatnya, ajarannya dan manhajnya.
  7. Firman Allah s.w.t tentang isu ini juga: {Patutkah mereka (ingkar dan) tidak mahu memikirkan (dengan fikiran yang siuman bahawa) sahabat mereka (Muhammad) tidak sekali-kali mengidap penyakit gila (sebagaimana yang mereka tuduh itu), bahkan ia hanyalah seorang (Pesuruh Allah) yang memberi amaran yang jelas.} (Al-A\’raaf 7:184)
  8. Allah s.w.t juga perkenalkan sifat Rasulullah s.a.w sebagai seorang pemberi peringatan (نَذِيرٌ) bagi mereka, agar mereka tidak ditimpa siksa yang pedih di akhirat nanti akibat keingkaran dan penderhakaan mereka terhadap perintah-perintah Allah s.w.t.
  9. Rasulullah s.a.w. bersabda, \”Sesungguhnya aku ini pemberi peringatan bagi kamu sebelum (menghadapi) azab yang keras.\”

Ketika Baginda memangil kaum Quraisy di atas Bukit Safa ketika mula-mula mahu memberitahu akan kenabiannya dan meyampaikan dakwahnya:

Diriwayatkan dari Ibnu \’Abbas R.A, dia berkata:
\”Apabila turun ayat, وَأَنذِرْ‌ عَشِيرَ‌تَكَ الْأَقْرَ‌بِينَ
\”Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat.\” [Asy-Syu\’ara\’: 214]

Rasulullah s.a.w ke atas bukit Safa, lalu menyeru, \”Wahai Bani Fihr! Wahai Bani \’Adi! Seruan ini diarahkan kepada kabilah-kabilah kaum Quraisy. Kemudian tak berapa lama, mereka pun berkumpul. Kerana begitu pentingnya panggilan itu, seseorang yang tidak mampu keluar, mengirimkan utusan untuk melihat apa gerangan yang terjadi?

Maka, tidak terkecuali Abu Lahab dan pembesar kaum Quraisy lain pun berkumpul juga.
Kemudian Baginda s.a.w pun mula bercakap,

\”Apa pendapat kamu kalau aku beritahu bahawa ada segerombolan pasukan berkuda di lembah sana yang ingin menyerang kamu, apakah kamu akan mempercayaiku?\”

Mereka menjawab, \”Ya! kami tidak pernah tahu dari dirimu selain kejujuran.\”

Setelah mendengar akuan itu, Nabi s.a.w pun bersabda, \”Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan kepada kamu akan azab yang amat pedih.\” (yakni utusan Tuhan)

Mendengar itu, kaum Quraisy bangun terkejut, tidak percaya sama sekali pada apa yang disampaikan oleh Baginda, bahkan terus mendustakan dan mengejeknya.

Diantara yang mendustakan itu adalah Abu Lahab dan isterinya.
Mendengar dakwah dari anak saudaranya itu Abu Lahab terus menjawab dengan angkuh; \”Celakalah engkau sepanjang hari ini! Apakah hanya untuk ini engkau kumpulkan kami semua?

Maka Allah telah membalas hinaan Abu Lahab itu dengan menurunkan ayat:
تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ
\”Binasalah kedua tangan Abu Lahab…\” [al-Masad: 1] [HR Bukhari & Muslim].

  1. Ayat al-Quran itu untuk dibaca seluruhnya, di dalam solat atau di luar solat, jangan guna dalil logik akal kita tanpa ada dalil untuk menyokongnya.
    Ini kerana ada yang kata tidak boleh baca surah al-Masad dan beberapa ayat lain dalam solat.

AYAT 47 – {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”APA JUA YANG AKU HARAP KAMU BERIKAN KEPADAKU SEBAGAI UPAH MAKA FAEDAHNYA TETAP TERPULANG KEPADA KAMU; BALASAN YANG MENJADI UPAHKU YANG SEBENAR HANYALAH DARI ALLAH, DAN IA SENTIASA MEMERHATI SERTA MENYAKSIKAN TIAP-TIAP SESUATU\”.} (SABA\’ 34:47)

  1. Setelah Allah s.w.t sebut bahawa Rasulullah bukan gila, untuk menyatakan bahawa Baginda adalah seorang nabi yang benar, Allah ajar Baginda untuk memberitahu bahawa dia tidak mengambil upah untuk dirinya atas ajarannya.
  2. Apa yang Baginda mahukan hanyalah kebaikan dan faedah untuk mereka sendiri, penerimaan mereka yang akan menyelamatkan mereka dari azab neraka!
  3. Sekali-kali Baginda tidak mahu upah dari mereka, balasan dan upah atas segala usaha dan kerja dakwahnya hanyalah dari Allah s.w.t!
  4. Rasulullah s.a.w juga menegaskan bahawa Allah Maha Mengetahui, Ia sentiasa Memerhati serta Menyaksikan tiap-tiap sesuatu. Dia menyaksikan semua urusan dan perbuatan yang Baginda yang lakukan dalam menyampaikan risalah dakwah-Nya kepada kamu. Jika dia berdusta, tentu Allah akan menghukumnya. Dia juga menyaksikan apa yang sedang kamu semua kerjakan, mencatatnya dan akan memberikan balasan.

AYAT 48 – {KATAKANLAH LAGI: \”SESUNGGUHNYA TUHANKU, MENURUNKAN WAHYU (KEPADA NABI-NABI PILIHANNYA) DENGAN PERKARA YANG BENAR; IA SENTIASA MENGETAHUI AKAN SEGALA PERKARA YANG GHAIB\”.} (SABA\’ 34:48)

  1. Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w untuk berkata lagi kepada mereka itu; Dia yang mewahyukan kebenaran ke dalam hati sanubari orang-orang yang dipilih-Nya, iaitu para nabi. Dia mewahyukan kebenaran untuk mengalahkan yang batil, sehingga yang batil itu binasa.
  2. Dia Maha Mengetahui segala yang ghaib. Tiada sesuatupun yang tersembunyi bagi-Nya, baik yang ada di bumi atapun di langit. Dia mengetahui siapa yang layak dipilih menjadi Rasul untuk melaksanakan tugas dan kewajiban yang dibebankan.
  3. Jadi takkanlah Allah s.w.t akan memilih seorang yang gila, ahli sihir dan lain-lain. Sifat yang tidak layak bagi seorang rasul utusan-Nya. Allah menegaskan tentang perlantikan Rasulullah s.a.w adalah dari-Nya.
  4. Maka kita kena yakin atas semua undang-undang, hukuman dan Syariah yang Allah s.w.t tetapkan ke atas kita. Semuanya itu baik dan sesuai dengan sepanjang zaman dan semua tempat. Sesiapa yang berani mengatakannya kolot, ketinggalan zaman dan seumpamanya maka dia telah ingkar dengan Syariat Allah s.w.t.

AYAT 49 – {KATAKANLAH LAGI: \”TELAH DATANG KEBENARAN (AL-QURAN YANG MEMBERI SEGALA KEBAIKAN), DAN PERKARA YANG SALAH TIDAK MEMBERI SEBARANG KEBAIKAN DI DUNIA, USAHKAN HENDAK MENGULANGINYA DI AKHIRAT\”.} (SABA\’ 34:49)

  1. Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w untuk berkata lagi kepada mereka itu; \”Telah datang kebenaran (Al-Quran yang memberi segala kebaikan),\”.
  2. Yakni telah datang perkara haq kebenaran (الْحَقُّ) dari Allah dan Syariat yang besar. Apabila kebenaran sudah datang maka pastilah ia akan menghapuskan yang batil.
  3. Kata al-Mawardi tentang maksud Kebenaran (الْحَقُّ) ini:
    i- Kebangkitan Nabi s.a.w,
    ii- Al-Quran
    iii- Jihad dengan pedang,
    *Ketiga-tiganya sesuai dan boleh datang bersama.
  4. Hadis apabila Pembukaan Kota Makkah pada Ramadhan tahun ke-8 H.
    Ketika Rasulullah s.a.w. memasuki Masjidil Haram pada hari jatuhnya kota Makkah, Baginda melihat banyak berhala yang dipasang di sekeliling Ka\’bah, lalu Baginda mendorong/menolak sebahagian dari berhala itu dengan busur panahnya sambil membaca firman Allah s.w.t: ini:
    \”Dan katakanlah, \”Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.\” (Al Isra 17:81).
    Seterusnya Baginda membaca ayat 49 surah Saba\’ ini. [HR Bukhari & Muslim].
  5. Kebatilan yang salah tidak akan memberi sebarang kebaikan di dunia, tidak bermanfaat dan tidak dapat bertahan lama. Ia akan lenyap di dunia ini dan tidak akan berulang sama sekali di akhirat kelak!!

AYAT 50 – {KATAKANLAH LAGI: \”SEKIRANYA AKU SESAT MAKA BAHAYA KESESATANKU AKAN MENIMPA DIRIKU SENDIRI, DAN JIKA AKU BEROLEH HIDAYAH PETUNJUK MAKA YANG DEMIKIAN DISEBABKAN APA YANG TELAH DIWAHYUKAN OLEH TUHANKU KEPADAKU; SESUNGGUHNYA IA MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA DEKAT\”.} (SABA\’ 34:50)

  1. Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w untuk berkata lagi kepada mereka itu; Kamu semua jangan bimbang, jika benar aku sesat, bala akan menimpa ke atas aku sendiri. Jika aku di atas kebenaran dan memperoleh hidayah petunjuk maka ia adalah kerana wahyu yang datang dari Allah s.w.t.
  2. Ingatlah bahawa sesungguhnya Allah s.w.t itu Maha Mendengar, lagi Maha Dekat. Maka mintalah doa kepada Allah s.w.t apa saja yang kamu mahu, Dia Maha Mendengar dan faham semua bahasa dan loghat, jangan bimbang.
  3. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy\’ari;
    Pada suatu hari, mereka para sahabat dalam perjalanan pulang ke Madinah bersama rombongan Rasulullah S.A.W. Setelah sampai di dekat Madinah, Rasulullah s.a.w bertakbir yang kemudian diikuti oleh para sahabat.
    Bahkan para sahabat mengeraskan suara takbirnya dengan kuat. Melihat itu Rasulullah S.A.W menegur dengan bersabda:
    \”Wahai para sahabat, sesungguhnya Zat yang kamu seru (Allah) itu tidak tuli dan tidak ghaib. Zat (Allah) yang kamu panggil itu adalah sangat dekat.\” [Hadis Muttafaq \’alaih.]

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 46 – {Hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata,} – sepatutnya orang yang mencari kebenaran itu ikhlas kerana Allah s.w.t, kena ketepikan hawa nafsu, perkauman dan lain-lain sentiment.
    Jika manusia biasa kita kena lihat kepada apa yang dia cakap, bukan lihat semata kepada dirinya atau ketokohannya, gelarannya.
    Apakah yang dicakapnya itu berpaksi kepada sumber yang sahih ayat al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.
    Jika dia cakap tidak betul, tidak selari dengan al-Quran dan Sunnah dan huraian para ulama\’ yang muktabar, maka kita tinggalkan walaupun siapa saja dia.
  2. Ayat 46 – { mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)\”.} – siapa yang mampu dan boleh berfikir seorang diri maka buatlah. Jika dia rasa tidak mampu, takut tidak tepat, tidak puas hati boleh ajak kawan atau orang lain untuk berfikir bersama dalam mencari kebenaran ini.
    Contoh ajak kawan sama-sama dengar Kuliah yang dikatakan tidak benar itu.
  3. Ayat 46 – {Sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)\”.} -dalil bahawa dalam mencari kebenaran ini kita boleh minta pertolongan orang lain untuk sama-sama berfikir dan membuat pertimbangan.
    Boleh kita bekerjasama dengan sesiapa saja pun, cari kawan cari, ustaz beri pandangan dan nasihat dan seumpamanya.
  4. Ayat 46 – {sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)\”.}- ayat ini mengajar manusia yang keras kepala agar dia tidak gopoh dalam menolak sesuatu ajaran yang mungkin membawa kepada kebenaran.
    Fikir dulu, tilik, perhati, tanya khabar dulu, siasat dan dengar dulu dengan hati yang terbuka, kerana Allah s.w.t sebelum menghukum.
    Jika ayat dirasakan mengelirukan, ulang dengar beberapa kali sehingga jelas dan faham.
  5. Ayat 46 – { Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); } – Allah s.w.t guna perkataan kawan kamu (بِصَاحِبِكُمْ) bagi Rasulullah untuk kaum Quraisy.
    Ayat ini juga mengajar untuk kita mengenal orang agar bertanya dan merujuk kepada sahabat atau orang yang benar-benar mengenalnya, bukan musuhnya.

Bagaimana untuk betul-betul mengenal seseorang itu?
Athar dari kisah Umar bin al-Khattab r.a:
Diceritakan pada masa Khalifah Umar bin Khattab, ada seorang laki-laki berkata kepada Umar, \”Sesungguhnya si Fulan itu orangnya baik.\”
i- Umar bertanya, \”Apakah kamu pernah bersafar bersamanya?\”
Lelaki itu menjawab, \”Belum pernah.\”
ii- Umar bertanya, \”Apakah engkau pernah bermuamalah (berbisnis)dengannya?\” Lelaki itu menjawab, \”Belum pernah.\”
iii- Umar bertanya, \”Apakah engkau pernah memberinya amanah?\”
Lelaki itu menjawab, \”Belum pernah.\”
Umar berkata,\”Kalau begitu engkau tidak kenal dan tahu tentangnya.
Barangkali engkau hanya melihat dia solat di masjid.\” (Mawa\’iz Sohabah)

  1. Ayat 46 – { Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu..} – guna panggilan yang baik dan sifat-sifat yang boleh mendekatkan, untuk menjinak dan mendekatkan hati dalam berdakwah, memberi nasihat, menegur dan hatta ketika berselisih sekali pun.
    Kena guna dan sebut nama orang dengan baik, jangan menambahkan sakit hati dengan sebaliknya.
  2. Ayat 47 – {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Apa jua yang aku harap kamu berikan kepadaku sebagai upah} – dalam ayat ini mengajar bahawa tidak sepatutnya bagi orang yang mempunyai kekuatan jiwa, para pendakwah dan ilmuwan, untuk mengharap dan mengaut keuntungan dalam kerja dakwahnya.
    Atau mencampur-aduknya dengan sesuatu yang boleh mencemar kesucian al-Quran dan majlis ilmu.
  3. Ayat 50 – {Katakanlah lagi: \”Sekiranya aku sesat maka bahaya kesesatanku akan menimpa diriku sendiri, dan jika aku beroleh hidayah petunjuk maka yang demikian disebabkan apa yang telah diwahyukan oleh Tuhanku kepadaku; – sepatutnya bagi manusia jika benda salah dan tidak baik kena nisbahkan kepada diri kita, jika benda betul dan baik maka nisbahkan kepada Allah s.w.t kerana ia adalah dengan petunjuk dari Allah.
    Inilah cara dan bahasa yang beradab, walaupun sebenarnya dari segi akidah, kita tahu semua yang berlaku adalah dengan kehendak dan taqdir Allah s.w.t.
  4. Ayat 50 – {Katakanlah lagi: \”Sekiranya aku sesat maka bahaya kesesatanku akan menimpa diriku sendiri, dan jika aku beroleh hidayah petunjuk maka yang demikian disebabkan apa yang telah diwahyukan oleh Tuhanku kepadaku;} – Allah s.w.t sudah jadikan bagi manusia itu akal, tetapi dalam masa yang sama dia ada nafsu.
    Maka tidak akan ada orang yang selamat kecuali dengan apa yang Allah s.w.t. selamatkan, jika tidak mereka akan tergelincir, terjebak, tergoda dan seumpamanya oleh bujukan hawa nafsu dan godaan syaitan yang merugikan.
    Akal dan nafsu itu sentiasa bertembung maka kita kena sentiasa berhati-hati, fikir dulu apa yang aku nak buat ini ikut Allah atau ikut syaitan, ikut Sunnah atau tidak, kena fikir selalu insya\’ Allah kita akan selamat.
  5. Ayat 50 – {Katakanlah lagi: \”Sekiranya aku sesat maka bahaya kesesatanku akan menimpa diriku sendiri, dan jika aku beroleh hidayah petunjuk maka yang demikian disebabkan apa yang telah diwahyukan oleh Tuhanku kepadaku;} – jika aku beroleh hidayah petunjuk maka yang demikian disebabkan (فَبِمَا) – kita belajar dan tengok al-Quran dan hadis itu menjadi sebab dalam mendapat hidayah!
    Punca kita dapat hidayah itu kerana tadabbur al-Quran dan ikut Sunnah Rasulullah s.a.w.
    Ketepikan hawa nafsu dan syaitan yang sentiasa mahu mengacau kita.

Powered by BetterDocs