SURAH AL-AHZAB : AYAT 72-73

\"\"

AMANAH DAN TAKLIF SANGAT BERAT, MANUSIA DAN TANGGUNGJAWAB & GOLONGAN MENOLAK AMANAH AKAN DIAZAB.

Full video : https://youtu.be/oHUPCFLCQsw

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita akan bincangkan ayat tentang besarnya kedudukan amanah dan tanggung-jawab. Makhluk lain yang besar pun tidak sanggup menerimanya, tetapi makhluk yang kecil manusia sanggup.
  2. Amanah jika ditunaikan dengan sempurna akan mendapat hasil pulangan yang baik dan sebaliknya jika cuai, pastilah akan di pertanggung-jawabkan.
  3. Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t memberi bimbingan tunjuk-ajar kepada orang beriman agar jangan menyakiti Allah, Rasul-Nya s.a.w dari sudut aqidah, pegangan dan pergantungan.
  4. Allah s.w.t memberi arahan pula agar jangan menyakiti Rasulullah dan orang mukmin seluruhnya dari segi muamalat seperti perbuatan atau perkataan.
  5. Kemudian dibawa pula perintah agar bertaqwa dan berkata benar.
  6. Lalu sampai kepada ayat ini, Allah s.w.t menjelaskan masalah amanah yang amat besar, yang dibebankannya kepada orang-orang mukallaf. Manusia menjadi khalifah yang memakmurkan muka bumi ini dengan Syariah Allah Azza wa Jalla.

Perhatian- jangan kita kata manusia itu Khalifah Allah s.w.t atas muka bumi ini, tidak perlu sandar kepada Allah, manusia hanya khalifah seolah pegawai atau pengganti manusia yang sebelumnya meneruskan tugas dan kehidupan atas dunia ini.

AYAT 72 – {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH KEMUKAKAN TANGGUNGJAWAB AMANAH (KAMI) KEPADA LANGIT DAN BUMI SERTA GUNUNG-GANANG (UNTUK MEMIKULNYA), MAKA MEREKA ENGGAN MEMIKULNYA DAN BIMBANG TIDAK DAPAT MENYEMPURNAKANNYA (KERANA TIDAK ADA PADA MEREKA PERSEDIAAN UNTUK MEMIKULNYA); DAN (PADA KETIKA ITU) MANUSIA (DENGAN PERSEDIAAN YANG ADA PADANYA) SANGGUP MEMIKULNYA. (INGATLAH) SESUNGGUHNYA TABIAT KEBANYAKAN MANUSIA ADALAH SUKA MELAKUKAN KEZALIMAN DAN SUKA PULA MEMBUAT PERKARA-PERKARA YANG TIDAK PATUT DIKERJAKAN.} (AL-AHZAAB 33:72)

  1. Allah s.w.t. membesarkan masalah amanah yang dibebankannya kepada orang-orang mukallaf. Dalam ayat ini Allah s.w.t. telah menawarkan amanah dan akibatnya kepada makhluk-makhluk yang besar, iaitu langit, bumi dan gunung-gunung.
  2. Sesiapa yang menerima dan menunaikan amanah itu akan mendapat pahala yang besar jika diterima dan akan mendapat akibat yang buruk, bala besar jika cuai dan khianat akannya.
  3. Mendengar besarnya tanggung-jawab amanah itu, mereka menolak tawaran itu dan enggan memikulnya فَأَبَيْنَ kerana bimbang tidak dapat menyempurnakannya, kerana mereka tidak ada persediaan untuk memikulnya.
  4. Namun pembentangan dan tawaran itu bukanlah paksaan, sebagai satu pilihan untuk mereka. Jika perintah yakni bukan pilihan pasti mereka akan berdosa jika menolaknya. Bukan derhaka atau berpaling dari arahan Allah s.w.t.
  5. Apakah maksud amanah itu: Arahan Allah s.w.t untuk membuat sesuatu dan larangan-Nya dari membuat sesuatu, serta segala perkara yang difardhukan dan segala kaitannya, segala jenis ketaatan yang dapat pahala.
  6. Kata-kata ulama\’ pula:
    i- Kata al-Wahidi rhm.:-Amanah semua ketaatan, perkara yang wajib yang membawa pahala, serta perkara larangan yang membawa dosa.
    ii- Kata Syeikh Abu Hayyan rhm. pula:- semua benda yang Allah letakkan sebagai tanggung-jawab maka itu amanah.
    iii- Kata as-Sam\’ani – Allah s.w.t telah bentangkan amanah kepada langit, bumi dan bukit. Diasingkan bukit & bumi padahal bukit itu berada di atas bumi.
  7. Pembentangan ini untuk pilihan, bukan perintah, jika tidak, ia akan berdosa jika enggan terima. Amanah itu ialah jika kamu terima dan buat baik akan dibalas dengan pahala yang besar dan jika cuai akan disiksa akibatnya.
  8. Kata al-Wahidi lagi: Mereka tidak berani ambil tanggung-jawab besar itu biarlah tiada pahala atau dosa, yang penting agar selamat. Enggan terima kerana bimbang tidak akan mampu tunaikannya. Jangan fikirkan macamana benda-benda ini boleh berfikir dan menolak, sesungguhnya Allah s.w.t Maha Berkuasa.
  9. Lalu Allah s.w.t. menawarkan amanah dan akibatnya itu kepada manusia, yakni Adam a.s. dan zuriatnya rela memikulnya dan menerima amanah itu dengan penuh kesetiaan di atas kepala dan bahunya. Saat itu juga Allah s.w.t. memikulnya kepadanya, sehingga sampai kepada kita sehingga ke hari Kiamat!
  10. Allah katakan pula ini kerana tabiat kebanyakan manusia adalah:
    i- suka melakukan kezaliman ظَلُومًا menzalimi diri sendiri dengan kufur, syirik kepada Allah s.w.t serta melakukan kemungkaran dan maksiat. Juga kezaliman sesama makhluk.
    ii- suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. جَهُولًا jahil tentang perintah Tuhannya dan Syariah, serta jahil tentang besarnya tanggung-jawab dalam menerima amanah itu!
  11. Ulama\’ kata apabila Allah s.w.t menyebut tentang sifat manusia dalam al-Quran, akan disebut sifat negatif. Seperti dalam firman-Nya ini serta beberapa ayat lagi:
    i- {Dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru.} (Al-Israa\’ 17:11)
    ii- {Dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut\”.} (Al-Israa\’ 17:100)
    iii- {Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya.} (Al-\’Aadiyaat 100:6)
    iv- {Dan sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba)}. (Al-\’Aadiyaat 100:8)
    v- {Sesungguhnya manusia sangatlah tidak bersyukur.} (Al-Hajj 22:66)
  12. Bilakah ia menjadi positif? Hanya apabila manusia itu baik, Allah s.w.t akan terus berfirman dengan memanggilnya sebagai: { يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا} Wahai orang yang beriman. Yakni bila manusia ada ilmu akan datanglah keimanannya kepada Allah s.w.t.
  13. Hadis riwayat Huzaifah r.a- Hilangnya Amanah Bila Dicabutnya Dari Hati Manusia;
    حديث حُذَيْفَةَ قَالَ: حَدَّثَنا رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم حَديثَيْنِ، رَأَيْتُ أَحَدَهُمَا، وَأَنا أَنْتَظِرُ الآخَرَ حَدَّثَنا أَنَّ الأَمانَةَ نَزَلَتْ في جَذْرِ قُلوبِ الرِّجالِ، ثُمَّ عَلِمُوا مِنَ الْقُرْآنِ ثُمَّ عَلِمُوا مِنَ السُّنَّةِ وَحَدَّثَنا عَنْ رَفْعِها قَالَ: يَنامُ الرَّجُلُ النَّوْمَةَ فَتُقْبَضُ الأَمانَةُ مِنْ قَلْبِهِ، فَيَظَلُّ أَثَرُها مثل أَثَر الْوَكْتِ، ثُمَّ يَنامُ النَّوْمَةَ فَتُقْبَضُ، فَيَبْقى أَثَرُها مِثْلَ الْمَجْلِ كَجَمْرِ دَحْرَجْتَهُ عَلى رِجْلِكَ، فَنَفِطَ فَتَرَاهُ مُنْتَبِرًا وَلَيْسَ فِيهِ شَيْءٌ، فَيُصْبِحُ النَّاسُ يَتَبايَعُونَ فَلاَ يَكَادُ أَحَدٌ يُؤَدِّي الأَمَانَةَ، فَيُقَالُ إِنَّ فِي بَنِي فُلاَنٍ رَجُلاً أَمِينًا؛ وَيُقَالُ لِلرَّجُلِ مَا أَعْقَلَهُ وَمَا أَظْرَفَهُ وَمَا أَجْلَدَهُ وَمَا فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ حَبَّةِ خَرْدَلٍ مِنْ إِيمَانٍ وَلَقَدْ أَتَى عَلَيَّ زَمَانٌ وَمَا أُبَالِي أَيَّكُمْ بَايَعْتُ؛ لَئِنْ كَانَ مُسْلِمًا رَدَّهُ عَلَيَّ الإِسْلاَمُ، وَإِنْ كَانَ نَصْرَانِيًّا رَدَّهُ عَلَيَّ سَاعِيهِ، فَأَمَّا الْيَوْمَ، فَمَا كُنْتُ أُبَايِعُ إِلاَّ فُلاَنًا وَفُلاَنًا .أخرجه البخاري في: 81 كتاب الرقاق: 35 باب رفع الأمانة
    Terjemahan:
    Huzaifah r.a. berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah menceritakan kepada kami dua hadis, dan aku telah melihat yang satunya dan sedang menanti yang kedua.
    Rasulullah صلى الله عليه وسلم menceritakan bahawa amanah (iman) pada mulanya turun dalam lubuk hati manusia, lalu mereka mengerti al-Quran dan mengetahui Sunnah Rasul.
    Kemudian diceritakan tercabutnya amanah (iman), ketika orang sedang tidur, tercabutlah amanah dari hatinya, sehingga tinggal bekasnya seperti bintik yang hampir hilang, kemudian tidur pula maka tercabut pula sehingga tinggal bekasnya bagaikan kesan parut, bagaikan bara api yang kamu injak di bawah tapak kaki, sehingga melambung (membengkak) maka tampaknya membesar tetapi tidak ada apa-apanya.
    Maka pada esok harinya orang-orang berjual beli, dan sudah tidak terdapat orang yang amanah, dapat dipercayai, sehingga mungkin disebut-sebut ada dari suku Bani Fulan seorang yang amanah (dapat dipercayai), sehingga dipuji-puji: Alangkah pandainya, alangkah ramahnya, alangkah baiknya, padahal di dalam hatinya tidak ada seberat biji sawi (zarrah) dari iman.
    Huzaifah berkata: Dan aku telah pernah berada dalam suatu masa, tidak perlu memilih orang dalam jual beli, jika bertepatan seorang muslim, maka ia baik kerana takut hukum agamanya, dan jika seorang Kristian (atau kafir) maka ia takut dari hukuman pemerintah-nya. Adapun masa kini maka aku tidak dapat mempercayai kecuali satu, dua orang iaitu fulan dan fulan.\” [HR Bukhari no 6496, Kitab Riqaq (Melembutkan Hati) Bab Terangkatnya Amanah].
  14. Hadis Abu Hurairah r.a tentang seorang A\’rabi (Badwi) datang bertanyakan kepada Rasulullah S.A.W, bilakah akan terjadi kiamat? Rasulullah s.a.w yang ketika itu sedang menyampaikan tazkirah tidak menjawab, sebaliknya Baginda meneruskan ceramahnya.
    Apabila selesai, Rasulullah S.A.W berkata, siapakah yang bertanya tadi dan orang itu menjawab: \”Saya wahai Rasulullah.\” Lalu Baginda S.A.W bersabda:
    عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا أُسْنِدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَة
    Maksudnya: \”Rasulullah s.a.w. bersabda, \’Apabila disia-siakan amanah, maka tunggulah terjadinya kiamat.\’ Abu Hurairah berkata, \’Bagaimana disia-siakannya, wahai Rasulullah ?\’ Baginda s.a.w. menjawab, \’Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya (jahil) atau bukan orang yang layak (fasik), maka tunggulah saat kehancuran terjadinya kiamat\’. [HR Bukhari & Muslim].
  15. Betapa benar sekali pada zaman kita hari ini, amanah dan integriti sukar sekali didapati. Orang yang tidak layak menegang tugas dan jawatan, orang yang diberi amanah pula khianat dan cuai.
  16. Kata satu syair – Jika tuan rumah hanya asyik memukul gendang, pastilah ahli rumahnya akan asyik menari!!
    Maka para pendakwah, didiklah masyarakat, pelajar dan pengikut dengan ilmiah dan amanah untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan memahami al-Quran dan Sunnah yang sahih, bukan dengan perselisihan yang diperbesarkan, saling tuduh menuduh dan seumpamanya!

AYAT 73- {(DENGAN KESANGGUPAN MANUSIA MEMIKUL AMANAH ITU MAKA) AKIBATNYA ALLAH AKAN MENYEKSA ORANG-ORANG LELAKI YANG MUNAFIK SERTA ORANG-ORANG PEREMPUAN YANG MUNAFIK, DAN ORANG-ORANG LELAKI YANG MUSYRIK SERTA ORANG-ORANG PEREMPUAN YANG MUSYRIK; DAN JUGA ALLAH AKAN MENERIMA TAUBAT ORANG-ORANG LELAKI YANG BERIMAN SERTA ORANG-ORANG PEREMPUAN YANG BERIMAN. DAN SEMEMANGNYA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-AHZAAB 33:73)

  1. Lalu dengan sebab kesanggupan mereka memikul amana ini, akibatnya Allah akan menyeksa orang-orang lelaki yang munafik serta orang-orang perempuan yang munafik, dan orang-orang lelaki yang musyrik serta orang-orang perempuan yang musyrik. الْمُنَافِقِينَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْمُشْرِكِينَ وَالْمُشْرِكَاتِ
  2. Ulama\’ Tafsir kata maksudnya: Allah s.w.t bentangkan tanggung-jawab & amanah ke atas manusia untuk menyiksa mereka yang khianat akan amanah ini daripada golongan munafiq lelaki dan perempuan – yang bersembunyi di sebalik pengakuan zahir, serta mereka yang jelas kufur zahir & batin iaitu golongan musyrikin.
  3. Manakala orang beriman الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ yang menjalankan amanahnya, Allah s.w.t akan menerima taubat mereka dan akan selamat dari azab & siksaan.
  4. Allah s.w.t. mengakhiri surah & ayat ini dengan dua sifat-Nya yang mulia, yang menunjukkan sempurnanya keampunan-Nya, luasnya rahmat-Nya dan menyeluruh kepemurahan-Nya, memberi taufiq dan hidayah kepada kita.
  5. Yakni sesungguhnya Allah s.w.t itu bersifat:
    i- Maha Pengampun- غَفُورًا maka diberi keampunan & ditutupnya dosa-dosa kita.
    ii- Maha Pemurah – رَحِيمًا bersifat rahmat ke atas hamba-Nya, yang dengan sifat ini dapat kita berkasih sayang sesama kita & menunaikan amanah yang dipertanggung-jawabkan ke atas kita.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 72 – Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada….} – sesungguhnya amanah dan tanggung-jawab taklif ini amat berat dan merbahaya, sehinggakan makhluk yang besar seperti langit, bumi dan gunung-ganang pun tidak sanggup menerimanya. Tetapi kita manusia menerimanya dengan ketetapan Allah s.w.t. Maka apabila dah terima kita kena bertanggung-jawablah dengan amanah itu jangan khianatinya.
  2. Ayat 72- { dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.} – manusia kerana sifatnya yang zalim dan jahil ini sanggup pula menerimanya. Yakni sifat manusia itu ada dua:
    i- Zalim- ظَلُومًا ini samada kepada diri sendirinya dengan kufur, syirik dan maksiat kepada Allah, atau zalim kepada orang lain serta zalim tidak menjalankan tugas.
    ii- jahil- جَهُولًا yang paling berat ialah tidak kenal Allah s.w.t, tidak kenal Rasul dan jahil dalam ilmu.
    Maka untuk keluar dari kelompok orang jahil ini marilah kita belajar dan tadabbur al-Quran, mencari ilmu memperbaiki diri.
  3. Ayat 73- { Dan sememangnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} – berlawanan dengan dua sifat manusia yang zalim dan jahil ظَلُومًا جَهُولًا tadi, Allah s.w.t pula bersifat Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani غَفُورًا رَحِيمًا .
    i- Akan mengampuni غَفُورًا dosa yang zalim ظَلُومًا jika dia bertaubat dan kembali kepada Allah.
    ii- Maha kasihan belas رَحِيمًا serta beri keuzuran bagi yang jahil جَهُولًا tadi. Rahmat Allah s.w.t ke atas orang yang jahil- mereka diberi keuzuran.
    Tetapi dia kena belajar dan mencari ilmu untuk keluar dari kejahilannya, kembali kepada Allah. Bukan hanya membiarkan dirinya terus tenggelam dan hanyut dalam kejahilan tanpa apa-apa usaha untuk keluar darinya.
  4. Ayat 72- {(Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.} – asal tabiat manusia itu zalim dan jahil tetapi dengan sebab mengucap kalimah syahadah dia akan keluar dari kejahilannya. Untuk keluar dari sifat ini pertamanya manusia kena beriman dan kemudian wajib belajar dan mencari ilmu untuk keluar dari kelompok ini!
  5. Ayat 72- {(Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.} – kata ulama\’, orang yang buat sesuatu berdasarkan sangkaan (zhann) atau ikut-ikut saja adalah orang yang jahil! Manakala mengikut hawa nafsu dalam semua tindakan adalah orang zalim!
  6. Ayat 72- {dan juga Allah akan menerima taubat orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman.} – ulama\’ kata setiap anak Adam pasti akan melakukan dosa. Mereka asalnya adalah zalim dan jahil kecuali selepas mereka bertaubat. Marilah kita keluar dari kelompok zalim dan jahil Ini!
  7. Ayat 72- {dan juga Allah akan menerima taubat orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman.} – maka kerana itu Allah s.w.t menyebut awal-awal lagi sifat-Nya adalah menerima taubat dari semua hamba-Nya yang pernah berdosa dan bersalah.
  8. Ayat 73) – {(Dan sememangnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} – ini adalah khabar gembira untuk kita. Maka ambillah kesempatan ini untuk sentiasa bertaubat kepada Allah s.w.t jika tersilap melakukan dosa dan silap. Hadis Rasulullah s.a.w tentang Allah menerima taubat seorang yang telah membunuh 100 orang. Kita ini tidaklah sampai membunuh orang tetapi kita telah bunuh imej, watak, karier atau personaliti manusia dengan menyebar, fitnah, melabel dan tuduhan jahat di alam maya.
  9. Ayat 72 – {(Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.} – Allah menyebut pada permulaan ayat bahawa manusia itu pasti akan melakukan dosa & kesalahan tetapi Allah menutup ayat ini dengan firman-Nya: Ayat 73) – {Dan sememangnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} – kata ulama\’ jangan ada mana-mana manusia yang merasa bahawa dia tidak perlu kepada taubat dan istighfar, sebab dia baik dan tiada dosa! Tidak sekali-kali, kita manusia yang penuh salah dan dosa ini sangat perlu dan berhajat, serta wajib beristighfar dan bertaubat sentiasa.
    Kata sahabat ketika dia bersama Rasulullah s.a.w dalam satu majlis, dia mendengar Baginda beristihgfar dan bertaubat, ada riwayat kata 70 kali, ada yang kata lebih dari 100 kali. Itu Nabi yang maksum yang tiada dosa, siapa nak dibandingkan dengan kita!

Seorang murid bertanya kepada gurunya kita nak zikir atau istghfar mana lebih baik, mana dulu? Jawab syeikhnya:
Tengok keadaan diri kita bagaimana:
1- Jika hati kita keras dan kotor, seperti kain kotor maka kena rendam sabun dan basuh dulu. (Maka ini kena Istighfar dulu)

  1. Jika hati kita sudah lembut, tidak banyak dosa, sama seperti kain yang sudah bersih tak perlu basuh lagi kita letak perfume atau pewangi saja je. (Maka perbanyakkan zikir)
    Jika kain kita ada dua-dua maka kita basuh kemudian baru bubuh pewangi, yakni kita lakukan dua-dua istighfar dan zikir sebanyak mungkin.
  2. Ayat 72 – { {Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), – kenapa Allah s.w.t sebut dan bandingkan; dibentangkan amanah kepada langit dan bumi?
    i- Kerana dua makhluk ini yang diketahui manusia akan kewujudan, kebesaran dan kehebatannya. Maka bayangkan makhluk begitu pun tak sanggup terima amanah yang diterima manusia!
    ii- Kemudian Allah s.w.t sebut pula bukit/gunung, sedangkan bukit sudah berada di atas bumi, kenapa? Kerana bukit ini satu makhluk besar yang ada di atas bumi, yang di depan mata manusia, yang dapat dilihat besar dan gagahnya. Maka dapatlah kita bayangkan betapa besarnya lagi bumi & langit, dan besarnya lagi keagungan Allah s.w.t.
    *Allah s.w.t tidak pernah menyebut satu apapun dalam al-Quran secara sia-sia, tiada makna dan hikmah yang mahu disampaikan.

الحمد لله الذي بنعمته تتم الصالحات،
Alhamdulillah tamatlah Surah al-Ahzab dengan 22 siri kuliah pada hari ini.
Ya Allah dengan hidayat-Mu berilah kami kefahaman dalam al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w, dan bantulah kami untuk istiqomah untuk sentiasa melakukan ibadat yang terbaik kepada-Mu. Jauhkanlah kami dan keluarga kami dari segala jalan yang sesat dan ampunkanlah kami, keluarga kami, kedua ibu bapa, guru-guru kami dan seluruh kaum muslimin.
Ya Allah dengan kecintaan kami kepada al-Quran berilah kami keampunan, cerahkan hati kami, lapangkan dada kami, permudahkan kami untuk beramal dengannya.
Berikan kami keampunan dan matikanlah kami dalam husnul-Khatimah dan layak menjadi ahli syurga-Mu.
Amin Ya Rabbal \’Aalamin.

Powered by BetterDocs