SURAH YAASIN : AYAT 33-36

\"\"

DALIL WAHDANIAH DAN QUDRAT ALLAH, HUJAN TURUN MENYUBURKAN BUMI & MENCIPTAKAN MAKHLUK BERPASANGAN.

Full video : https://youtu.be/qTuCZLX5Hhk

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita akan bincangkan tentang firman Allah s.w.t yang menjelaskan dalil Keesaan dan Kekuasaan (Wahdaniah Dan Qudrat) Allah s.w.t.
  2. Iaitu antara tandanya yang jelas dapat dilihat ialah Allah s.w.t:
    i-menurunkan hujan yang dengannya menghidupkan kembali bumi mati yang kering tandus.

ii- menyuburkan bumi dengan tumbuhan yang pelbagai jenis tumbuhan dan buah-buahan untuk menjadi rezeki bagi manusia dan haiwan.

iii- dan Allah menciptakan makhluk itu berpasangan dan pelbagai jenisnya.

  1. Munasabah ayat ini dengan yang sebelumnya, setelah Allah s.w.t berfirman bahawa semua kamu akan dikumpul balik Padang Mahsyar, yakni akan dihidupkan balik selepas mati.
  2. Lalu Allah s.w.t bawa dalil untuk tunjuk contoh macamana bumi yang kering, tandus- dapat hidup kembali dengan subur dan hijaunya, dengan turunnya hujan.
  3. Juga telah diceritakan sebelum ini tentang 3 orang rasul dan seorang pendakwah yang menyampaikan tentang tauhid Allah s.w.t serta bukti tanda kekuasan Allah s.w.t atas muka bumi ini. Maka Allah s.w.t tunjukkan dalil kekuasaan-Nya yang di atas bumi, cukup, tak perlu kamu mendongak ke langit dan mencari di tempat lain.

AYAT 33- {DAN DALIL YANG TERANG UNTUK MEREKA (MEMAHAMI KEKUASAAN DAN KEMURAHAN KAMI), IALAH BUMI YANG MATI; KAMI HIDUPKAN DIA SERTA KAMI KELUARKAN DARIPADANYA BIJI-BIJIAN, MAKA DARIPADA BIJI-BIJIAN ITU MEREKA MAKAN.} (YAA SIIN 36:33)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t perkenalkan Dia yang bersifat maha berkuasa dan Pemurah, yang berkuasa untuk menghidupkan kembali bumi dan manusia.
  2. Bagaimana Allah menghidupkan bumi yang mati, kering kontang dan tandus, hidup kembali dengan Allah s.w.t hantar hujan turun menyuburkannya.

3. Ayat ini tanda besar menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t kepada kaum Quraisy yang turun ayat ini pada zaman mereka, serta semua manusia yang mengingkari akan Keesaan Allah s.w.t serta sempurnanya kekuasaan Allah s.w.t untuk menghidupkan orang mati.

  1. Dia menurunkan hujan pada bumi yang tandus itu, maka menjadi suburlah ia dan menumbuhkan beraneka ragam tumbuh-tumbuhan yang subur.
  2. Maka keluarlah dari bumi yang dibasahi hujan itu biji-bijian seperti beras, gandum, jagung, kekacang dan lain-lain sebagai makanan utama. Ini sejenis tumbuhan bijiran, dari bijiran ini kamu makannya terus.
    *Juga ada tumbuhan jenis lain Allah sebut dalam ayat seterusnya.

AYAT 34- {DAN KAMI JADIKAN DI BUMI ITU KEBUN-KEBUN KURMA DAN ANGGUR, DAN KAMI PANCARKAN PADANYA BEBERAPA MATAIR,} (YAA SIIN 36:34)

  1. Dari tanah yang kering itu juga menjadi kebun-kebun yang subur (جَنَّاتٍ) dipenuhi pula dengan pokok yang berbuah, kebun yang buahnya dimakan iaitu pokok-pokok yang berdahan dan besar seperti tamar (مِنْ نَخِيلٍ) dan yang menjalar seperti anggur (وَأَعْنَابٍ).
  2. Dua nama pokok ini disebut sebagai mewakili dua jenis kategori tumbuhan ini, tidak perlu sebut semua nama buah lain. Ia adalah pokok yang dimakan buahnya, bukan seperti jenis tumbuhan dalam ayat 33, bijiran yang dimakan terus.
  3. Sama seperti firman Allah s.w.t dalam ayat ini juga:
    {Kemudian, Kami tumbuhkan untuk kamu dengan air itu, kebun-kebun tamar (kurma) dan anggur. Kamu beroleh dalam kebun-kebun itu (berbagai jenis lagi) buah-buahan yang banyak, dan dari kebun-kebun itulah kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.} (Al-Mu\’minuun 23:19)
  4. Dalam kebun itu dipancarkan beberapa mata air (الْعُيُونِ). Pokok tidak dapat hidup tanpa air, hujan bukan turun selalu, bila ia turun akan disimpan dulu dalam perut bumi. Ini kerana tabiat asal air itu terpendam di dalam tanah dan cepat diserap ke bawah. Maka Allah jadikan air itu naik dan terpancar keluar atas muka bumi sebagai satu sumber air (mata air) yang indah dan berguna kepada manusia dan seluruh makhluk hidup yang lain.

AYAT 35- {SUPAYA MEREKA MAKAN DARI BUAH-BUAHANNYA DAN DARI APA YANG DIKERJAKAN OLEH TANGAN MEREKA; MAKA PATUTKAH MEREKA TIDAK BERSYUKUR?} (YAA SIIN 36:35)

  1. Semua ini Allah jadikan agar manusia dapat faedah dan manfaat darinya, makan buah-buahannya (ثَمَرِهِ).
  2. Ulama\’ membincangkan pula kepada siapakah kembali kata ganti nama (ضمير) \”nya\” itu pula:
    i- kembali kepada Allah yang mencipta semuanya supaya mereka makananya.
    ii- kembali kepada air yang keluar dari bumi atau hujan yang turun dari langit,
    iii- makan buah-buah yang berasal dari air.
    iv- dikumpulkan semua; agar mereka makan buah yang terhasil dari kebun yang subur, yang ditumbuhkan oleh Allah s.w.t dengan sebab air yang turun.
  3. Allah s.w.t juga kata supaya mereka makan dari apa yang dikerjakan oleh hasil tangan mereka (وَمَا عَمِلَتْهُ).
  4. Ulama\’ membahasakan pula apa makna apa (ma – مَا) di sini; (وَمَا عَمِلَتْهُ):
    i- apa itu adalah (اسم موصول) yang bermakna yang- menunjukkan kepada.
    ii- buah itu sudah ada tetapi kita buat pula buah itu jadi jus, kek, jeruk dan lain-lain, yakni apa yang tangan kita proses, jadi hasil tangan kita.
    iii- kata ulama\’ juga mereka makan buah-buahan yang mereka tanam juga buah-buahan yang mereka proses pula hasilnya lalu dimakan-minum.
  5. Ada juga ulama\’ kata maksud apa (وَمَا عَمِلَتْهُ) ini ma nafiyah – tidak. Yakni kamu makan buah-buahan yang BUKAN dari hasil kamu sendiri tetapi yang ditumbuhkan anugerah dari Allah s.w.t. Kamu tanam saja, tetapi Allah yang menumbuhkannya!
  6. Ulama\’ menggabungkan kedua makna ini. Kamu mengusahakannya, menanamnya jadi ia adalah hasil usaha kamu tetapi ia adalah nikmat anugerah dari Allah s.w.t yang menumbuh dan menghidupkannya.
  7. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan bertanya: {maka patutkah mereka tidak bersyukur?}. Buah-an ini bukan setakat untuk makan minum dan guna nikmat saja, apakah kamu manusia bersyukur kepada Allah yang memberi segala rezeki untuk kamu ini???
  8. Kata ulama\’ tafsir maksud dan tanda orang itu syukur ialah:
    i- dengan melakukan ketaatan kepada Allah yang memberi nikmat, buat yang diperintah dan tinggalkan yang dilarang.

ii- menggunakan segala nikmat-Nya pada jalan yang diredhai Allah s.w.t. Infaqnya fisabilillah dengan bersedekah dan seumpamanya.

  1. Syukur itu ada 3 kategori:
    i- dengan hati, fikir dan ingat akannya selalu.

ii- dengan lidah, sentiasa ucap alhamdulillah atas segala nkimat Allah s.w.t ini.

iii- syukur dengan anggota, kita tunjukkan dengan melakukan amal ibadat dengan segala anggota kita, melangkah ke masjid, tunaikan solat, baca al-Quran, besedekah dan segala kebaikan yang mampu.
*Duit & buah banyak tetapi sanggup biarkan buruk daripada diambil oleh orang!

  1. Hadis: Tanaman Itu Sedekah
    عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا فَيَأْكُلُ مِنْهُ إِنْسَانٌ أَوْ طَيْرٌ أَوْ بَهِيمَةٌ إِلَّا كَانَتْ لَهُ صَدَقَةٌ
    Rasulullah S.A.W bersabda: \”Tidaklah seorang muslim yang menanam tanaman atau menabur benih lalu (hasilnya) dimakan oleh manusia, burung atau binatang ternak melainkan hal tersebut menjadi sedekah baginya.\” (HR Tirmizi No: 1303)

AYAT 36- {MAHA SUCI TUHAN YANG TELAH MENCIPTAKAN MAKHLUK-MAKHLUK SEMUANYA BERPASANGAN; SAMA ADA DARI YANG DITUMBUHKAN OLEH BUMI, ATAU DARI DIRI MEREKA, ATAUPUN DARI APA YANG MEREKA TIDAK MENGETAHUINYA.} (YAA SIIN 36:36)

  1. Maha Suci Allah s.w.t dari perkara yang tidak layak bagi-Nya seperti mempunyai pasangan, sekutu, pembantu, isteri, anak, tandingan dan adanya yang serupa.
  2. Allah s.w.t mencipta semua makhluk itu semuanya berpasang-pasangan, yakni ada pasangannya samada pokok-pokok tumbuhan yang tumbuh dari bumi. Juga haiwan dan binatang juga berpasangan.
  3. Allah juga menjadikan dari diri kita iaitu manusia; berpasang-pasangan dari jenis lelaki dan wanita.
  4. Allah juga menjadikan berpasang-pasangan bagi berbagai makhluk yang lain, yang beraneka jenis dan bentuk, yang kita manusia tidak ketahui dan kenal.
  5. Firman Allah s.w.t: {Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan. Dari (setitis) air mani ketika dipancarkan (ke dalam rahim);} (An-Najm 53: 45-46)
  6. Ayat-ayat ini adalah dalil-dalil yang boleh kita lihat dengan mata kepala kita sendiri tentang kekuasan Allah s.w.t menumbuhkan bumi yang telah mati serta menjadi pelbagai jenis tumbuhan. Serta semuanya ada pasangan masing-masing.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 33- {Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan}- setiap yang bergerak itu dipangil hidup, manakala setiap yang kering dan kuning itu dipanggil mati!
    Maka bumi yang mati ialah maksudnya bumi yang kering tandus, pokoknyna mati dan tidak tumbuh.
    Pokok pula hidup kerana ia bergerak dan bertambah, membesar dan bergerak!
    Seperti kuku & rambut – yang bertambah dan panjang, adakah hidup? Ia dipanggil hidup secara nabatiyah (seperti tumbuhan) kerana itu ia boleh dipotong dan kita tidak berasa sakit.
  2. Ayat 33- {Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian } – ayat ini dalil bahawa Allah s.w.t dapat menghidupkan bumi yang mati, menjadi hijau dan keluar darinya pokok dan buah-buahan. Yakni bumi itu hidup dan subur dengan keluar (tumbuh) pokok darinya. Kerana itu Allah s.w.t sebut; Kami hidupkannya (أَحْيَيْنَاهَا) lalu Kami keluarkan darinya (وَأَخْرَجْنَا مِنْهَا).
  3. Ayat 33- {Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian}- ulama\’ tadabbur kata inilah dalil dan saksi perkara yang kita boleh tengok dengan mata kepala kita tentang benda ghaib yang kita yakin dan kita percaya. Inilah beriman dengan perkara ghaib.
    Iaitu beriman dengan hari Akhirat, bahawa Allah s.w.t akan hidupkan balik manusia.
    Sekarang ini kita tengok depan mata kita saksi pokok-pokok hidup balik; manakala yang kita dengar, yang kita percaya, yang kita yakin dalam al-Quran dan Sunnah- ialah bahawa Rasulullah s.a.w beritahu bahawa kita akan hidup balik!

Maka inilah saksi depan mata untuk meyakini perkara yang ghaib, yang tidak nampak! Alhamdulillah, inilah beriman dengan perkara ghaib.

  1. Kenapa dua ayat ini dibezakan? Iaitu antara ayat:
    i- Ayat 33- {serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.} – (حَبًّا فَمِنْهُ يَأْكُلُونَ)
    ii- Ayat 35- {Supaya mereka makan dari buah-buahannya} – (لِيَأْكُلُوا مِنْ ثَمَرِهِ)

ini kerana dalam ayat pertama pokok jenis bijiran (حَبًّا) itu dimakan terus, seperti beras, gandum, oat dan lain-lain.
manakala dalam ayat kedua (35) hanya buahnya yang biasa dimakan, orang tak makan batang, dahan dan daunnya dari pokok jenis ini seperti kelapa atau tamar.

  1. Ayat 33- { serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.}- menunjukkan akan rahmat dan kurnia Allah s.w.t kepada kita, dengan rezeki yang diberi-Nya kepada kita untuk dimakan dan digunakan dalam kehidupan ini.
    Kita ini amat berhajat kepada rahmat Allah s.w.t dan rezeki yang diberi-Nya. Dari pokok yang ditumbuhkan itulah kita makan, kenapa masih tidak mahu beriman dan derhaka kepada Allah s.w.t.
  2. Ayat 34- {Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma- (جَنَّاتٍ مِنْ نَخِيلٍ)} – pokok tamar (palm tree)- digunakan lafaz jamak (plural) ini kerana pokok ini berguna semuanya dari hujung pokok sehingga ke pucuknya. Semua boleh dimanfaatkan. Seperti ditempat kita pokok kelapa begitu juga kegunaannya.

Seperti hadis Rasulullah s.a.w yang membuat bandingan orang mukmin itu dengan pokok tamar yang memberi faedah semua seluruh pokoknya.
Daripada Ibn Umar, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:- \”Sesungguhnya ada satu pohon yang tidak gugur daunnya dan ia adalah perumpamaan bagi seorang Mukmin.\” [HR at-Tirmizi].

  1. Ayat 34- {Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur}- kenapa dua jenis pokok & buah ini sering disebut dalam al-Quran?
    Ini kerana dua jenis buah ini mewakili jenis buah yang menjadi makanan.
    Juga kerana ia juga boleh menjadi makanan yang mengenyangkan serta dalam masa yang sama boleh juga jadi sebagai pemanis (dessert), keduanya juga apabila dikeringkan boleh tahan lama dan dibawa musafir. Ini untuk menunjukkan nikmat penggunaan buah, mewakili buah yang boleh dikeringkan juga.

Dalam surah lain ada juga Allah sebut nama buah rumman (delima) dan zaitun, ini pula untuk menunjukkan jenis buah, sebagaiman firman-Nya:
{Dan Dia lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) …… dan buah zaitun dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya).} (Al-An\’aam 6:141)

  1. Ayat 36- {Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan;} – semuanya ada pasangan, manusia, binatang, tumbuhan hatta bumi juga ada pasangan dan jenisnya.
    Manusia dan tumbuhan juga ada pelbagai jenis dan sifat.
    Maha Suci Allah yang mencipta kepelbagaian ini, cukup untuk menjadikan hamba Allah yang bersyukur.
  2. Ayat 36- {ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.}- banyak lagi makhluk ciptaan Allah yang kita tidak tahu. Ini isyarat kepada banyak lagi kejadian, makhluk dan nikmat Allah s.w.t yang Allah berikan yang kita tidak sedar dan tidak tahu!
  3. Ayat 36- {Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan;} – Allah sebut Maha Suci Allah dalam ayat ini, kerana Dia mencipta semua makhluk itu berpasangan kecuali Allah, DIA sendiri yang tiada dan tidak perlu kepada pasangan atau sekutu sama-sekali! Manakala semua benda lain perlu dan berhajat kepada pasangan.

Begitulah luas-nya ilmu Allah s.w.t, ayat al-Quran ini ayat mukjizat, yang jika dibaca akan menambahkan kelazatan dan keimanan kepada Allah s.w.t.

KATA ULAMA\’AL-HASSAN AL-BASRI: CARILAH KEMANISAN IMAN ITU DALAM TIGA KEADAAN:

i- sewaktu kamu solat- apakah terasa tenang atau tidak.
ii- ketika kamu berzikir, rasa manis atau dekat kepada Allah s.w.t.
iii- ketika kamu baca al-Quran, rasa lazat atau tidak.
Dalam 3 keadaan ini, jika rasa lazat tenang dan suka, maka kamu telah dapat kemanisan iman dalam jiwa kamu, Alhamdulillah.

Jika sebaliknya, terasa malas dan ingin segera siap, maka ketahuilah pintu-pintu kebaikan masih tertutup untuk kamu, maka banyakkanlah istighfar, taubat, keampunan untuk bersihkan hati dan tingkatkan keimanan.
Jika rasa tak tenang lagi, tambah lagi, hati ini kita kena cek dan tengok juga seperti besi yang berkarat, jika banyak karatnya, lamalah kena rendam dan cucinya. Maka banyakkanlah istighfar dan zikir kepada Allah s.w.t.

SEORANG ULAMA\’, IMAM IBNU AL-QAYYIM R.H.M PERNAH BERTANYA KEPADA GURUNYA:

\”Antara tasbih (zikir) dan istighfar, amalan manakah yang lebih afdhal dan lebih memberi manfaat kepada seorang hamba?\”

Jawab gurunya:
\”Lihat kepada keadaan seseorang itu:
1- Jika bajunya sudah bersih maka menggunakan bakhur (pewangi) itu lebih afdhal dan memberi manfaat.

2- Tetapi jika bajunya kotor, maka pastilah sabun dan air panas lebih sesuai digunakan untuk membersihkannya.\”

Untuk bersihkan diri dari dosa dan kesilapan yang dilakukan, adalah dengan istighfar dan taubat kepada Allah s.w.t.

Manakala untuk menghiasinya pula dengan tasbih dan zikir kepada Allah s.w.t. sebagai amal ibadat yang baik.
Seeloknya mesti jamakkan antara dua ibadat ini, tidak boleh diasingkan, mesti seiring dan jangan dianggap remeh.

Rasulullah s.a.w mengajar kita untuk sentiasa beristighfar dan mengingati Allah s.w.t dengan menunjukkan contoh teladan melalui amalannya sendiri.

Powered by BetterDocs