SURAH YAASIN : AYAT 77-80

\"\"

MANUSIA KAFIR LUPA ASAL DIRINYA, KUASA ALLAH MENGHIDUP SEMULA & DALIL API DARI POHON YANG HIJAU.

Full video : https://youtu.be/og2KameIrv4

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini ialah perbincangan tentang tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t dalam menghidupkan semula manusia selepas kematian.
  2. Juga bagaimana sikap orang kafir dalam menerima berita ini, penentangan dan keingkaran mereka tentang ini, bagi mereka manusia sama seperti haiwan selepas mati tiada apa lagi hisab.
  3. Kita orang yang beriman yakin tentang Hari pembalasan yang adil dan telus, tiada siapa yang akan terlepas dari hukuman Allah s.w.t.
  4. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas (ayat 71) Allah s.w.t menyebut dalil kekuasaan Allah s.w.t dalam nikmat yang diciptakan untuk kita dari segi haiwan ternakan (أَنْعَامًا). Haiwan ini dipermudahkan menjadi milik dan peliharaan manusia untuk diambil manfaat kegunaan darinya.
  5. Manusia bila tidak menerima dan beriman dengan hari Akhirat dia akan banyak mempersendakan dan memerli apa yang dibawa oleh para rasul dengan degilnya.
  6. Lalu Allah s.w.t bawa dalam ayat berikutnya ini tentang asal-usul kejadian manusia.

AYAT 77- {TIDAKKAH MANUSIA ITU MELIHAT DAN MENGETAHUI, BAHAWA KAMI TELAH MENCIPTAKAN DIA DARI (SETITIS) AIR BENIH? DALAM PADA ITU (SETELAH KAMI SEMPURNAKAN KEJADIANNYA DAN TENAGA KEKUATANNYA) MAKA DENGAN TIDAK SEMENA-MENA MENJADILAH IA SEORANG PEMBANTAH YANG TERANG JELAS BANTAHANNYA (MENGENAI KEKUASAAN KAMI MENGHIDUPKAN SEMULA ORANG-ORANG YANG MATI),} (YAA SIIN 36:77)

  1. Allah peringatkan manusia yang ingkar akan kebangkitan semula itu tengok, ingat dan sedar bahawa asal kejadiannyna dari setitis air mani (benih). Kemudian berubah kejadiannya sehingga sempurna dan selesai sebagai seorang manusia.
  2. Tetapi selepas sempurna kejadian dan tenaga kekuatannya mereka datang untuk berbantah dengan bantahan yang terang jelas (خَصِيمٌ مُبِينٌ) iaitu mendustakan terus, tidak mahu beriman dan menerima tentang kekuasaan Allah s.w.t untuk menghidupkan semula orang-orang yang mati.
  3. Firman Allah s.w.t: Dia menciptakan manusia dari air benih, (setelah sempurna kejadiannya), tiba-tiba menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya.} (Al-Nahl 16:4)
  4. Majoriti ulama\’ tafsir mengatakan bahawa manusia (الْإِنْسَانُ) yang disebut dalam ayat ini ialah Ubai bin Khalaf (أبي بن خلف), adik beradik Umayyah bin Khalaf. Ada juga yang kata adalah al-\’As bin Wa-il (العاص بن وائل).
    *tetapi kata Ibnu Kathir: Tidak kira turun khas kepada siapa, ayat ini adalah umum untuk semua makhluk yang mengingkari Kebangkitan semula! Ini kerana contoh perbandingan yang umum tidak terikat kepada sebab yang khas!
    ( العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب )
  5. Kata ulama\’ juga; maksudnya (خَصِيمٌ مُبِينٌ) adalah bantahan dengan hujjah mereka yang jelas dan pengingkaran yang diisytihar secara terang.

AYAT 78- {SERTA IA MENGEMUKAKAN SATU MISAL PERBANDINGAN KEPADA KAMI (TENTANG KEKUASAAN ITU), DAN IA PULA LUPAKAN KEADAAN KAMI MENCIPTAKANNYA SAMBIL IA BERTANYA: \”SIAPAKAH YANG DAPAT MENGHIDUPKAN TULANG-TULANG YANG TELAH HANCUR SEPERTI DEBU?\”} (YAA SIIN 36:78)

  1. Golongan kafir itu datang membuat bantahan dengan hujjah mereka di hadapan Rasulullah s.a.w dengan bawa satu bandingan persoalan sambil bawa tulang yang reput dan bertanya: \”Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?\”

Dalam kitab Sirah ada disebutkan tentang kisah ini. Rasulullah menjawab bahawa Allah s.w.t akan menghidupkan kamu balik kemudian mencampakkan kamu ke dalam neraka! Jangan rasa kamu pandai dan bijak!

  1. Tetapi malangnya mereka lupa akan kejadian asal mereka, yang dicipta Allah s.w.t. dari tiada apa-apa pun!

AYAT 79- {KATAKANLAH: \”TULANG-TULANG YANG HANCUR ITU AKAN DIHIDUPKAN OLEH TUHAN YANG TELAH MENCIPTAKANNYA PADA AWAL MULA WUJUDNYA; DAN IA MAHA MENGETAHUI AKAN SEGALA KEADAAN MAKHLUK-MAKHLUK (YANG DICIPTAKANNYA); (YAA SIIN 36:79)

  1. Allah s.w.t mengajar Rasulullah s.a.w untuk menjawab bahawa tulang yang hancur itu akan dihidupkan kembali oleh Allah s.w.t yang telah menciptakan manusia dari awal kejadian mereka lagi, dari tiada apa-apa lagi!
  2. Allah s.w.t itu Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk yang diciptakan-Nya! Tidak akan tersembunyi dari pengetahuan Allah.

AYAT 80- {\”TUHAN YANG TELAH MENJADIKAN API (BOLEH DIDAPATI) DARI POHON-POHON YANG HIJAU BASAH UNTUK KEGUNAAN KAMU, MAKA KAMU PUN SELALU MENYALAKAN API DARI POHON-POHON ITU\”.} (YAA SIIN 36:80)

  1. Allah s.w.t bawa satu lagi contoh bandingan yang dapat dilihat dengan mata kepala dan diketahui oleh mereka pada masa itu. Ini supaya senang manusia berfikir dan faham.
  2. Iaitu api yang dapat dinyalakan dari pokok-pokok yang hijau, yang basah. Pokok ini ma\’ruf di kalangan orang Arab, mungkin di dalam hutan kita juga ada pokok begini. Ini adalah salah satu dalil kuasa Allah s.w.t.
  3. Allah Yang Berkuasa menghidupkan balik tulang yang hancur luluh itu, Dia juga Yang Berkuasa untuk menyalakan api yang membakar dari pokok yang basah, maka apa peliknya. Allah s.w.t Maha Berkuasa atas apa saja yang dikehendakinya!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 77- {Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati),}- kata ulama\’ tafsir- berbantah dengan hujjah yang batil adalah sangat dicela dalam Syari\’ah. Ini adalah celaan kepada golongan pembantah kebangkitan semula ini. Mereka membantah dengan kedegilan dan penolakan yang degil.
    Tetapi bantahan atau berhujjah dengan hikmah untuk membela kebenaran adalah dibenarkan.

Firman Allah s.w.t: {Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.} (Al-Nahl 16:125).

Kata ulama\’ Salaf: Apabila Allah s.w.t tidak mahu memberi kebaikan kepada seseorang, Dia akan buka kepadanya Bab al-Jadal iaitu suka berbantah dalam apa saja topik!

  1. Ayat 79- {Katakanlah: \”Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya;} – kaedah untuk berbantah kena guna hujjah yang sama yang boleh diterima dan meyakinkan orang!
  2. Ayat 77- {Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih?}- Allah s.w.t memanggil manusia itu zalim kerana mereka tahu asal usul mereka tetapi kerana kedegilan mereka buat tak tahu je. Kena ada peringkat pemahaman dan tahap ilmu untuk berbantah dan berdebat.
  3. Ayat 77- {Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih?}- mana-mana orang yang menentang wahyu dan berbantah dengan akal saja maka dikira dia telah berbantah dengan Allah s.w.t. Contoh manusia yang tidak setuju dan menolak undang-undang Syariah dengan menggunakan logik akal mereka, seperti mengatakan tidak adil hukum Faraidh, hukum potong tangan itu kejam dan lain-lain bantahan. Begitu orang yang makan riba dikatakan telah mengisytiharkan perangnya terhadap Allah s.w.t!
  4. Ayat 77- {maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati),} – ayat ini Allah s.w.t tunjukkan kepada kita alat yang digunakan oleh manusia untuk menunjukkan bantahannya! Iaitu bantahan yang paling kuat ialah dengan percakapan (النطق),
  5. Ayat 77- {Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih?}- Allah s.w.t nyatakan keji dan jeleknya puak kafir yang mengikari hidup semula. Ini kerana mereka lupa asal mereka yang berasal dari dua saluran kencing! Mereka adalah manusia yang lupa daratan.
  6. Ayat 78- {Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu),}- kata ulama\’ mereka ini menggunakan dalil kias (perbandingan) maka Allah s.w.t gunakan dalil kias juga kepada mereka. Iaitu manusia yang berasal dari setitis air mani, api yang menyala dari pokok hijau yang basah dan lain-lain.
  7. Ayat 78- {Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu),}- mereka ini adalah manusia yang sombong dan jahil, kerana itu mereka berani membantah tanpa hujjah yang mantap dan benar.
  8. Ayat 78- {dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: \”Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?\”}- dalam kes ini mereka bantah akan kehidupan semula, tidak percaya adanya hari Akhirat.
    Tetapi kenapa dalam ayat ini mereka kata nak guna berhala mereka untuk minta pertolongan sebagai syafaat perantaraan dengan Tuhan.? Syafaat di manakah itu?

Firman Allah s.w.t: {Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata: \”Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah\”.} (Yunus 10:18)

KATA ULAMA\’ :

Bukan di Akhirat, maksudnya mereka berharap bantuan dan kesenangan di dunia bukan bantuan di akhirat, kerana mereka tidak percaya kepada akhirat. Mereka berharap berhala dan sembahan itu dapat memberi mereka kesenangan, kekayaan dan lain-lain pertolongan di atas dunia ini!

  1. Ayat 79- {Katakanlah: \”Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya;}- Allah s.w.t bawa hujjah yang mantap terus yang mecukupi untuk melawan segala hujjah mereka yang banyak. Cukuplah dengan satu jawapan dan hujjah ini, Allah s.w.t yang mencipta mereka dari awal dari tiada kepada ada! Maka apatah lagi hanya untuk menumbuhkan kembali tulang yang memang sudah ada, yang asal dari ciptaan-Nya.

Powered by BetterDocs