SURAH AZ-ZUKHRUF : AYAT 46-50

\"\"

NABI MUSA DIHANTAR BERTEMU FIR\’AUN, FIR\’AUN HANYA PERLI MUSA & PENYESALANNYA KETIKA DITIMPA AZAB.

Full video : https://youtu.be/6Ro2cUVAd8w

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah mulakan kisah Nabi Musa a.s yang dihantar bertemu Firaun.
  2. Kerana Musa a.s ini bekas anak angkatnya, Firaun telah memerli dan mengejek nabi Musa a.s. menganggapnya remeh dan kecil.
  3. Kemudian dibayangkan penyesalam mereka setelah ditimpa azab, yang dikira penyesalan yang tidak berfaedah.
  4. Kita pun jika nak menyesal, sekaranglah waktunya bukan selepas mati atau bila tiba hari Kiamat nanti!
  5. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas, puak-puak Quraisy kutuk dan hina Rasulullah s.a.w, mengatakan bahawa Baginda tidak layak menerima jawatan rasul. Sepatutnya salah seorang pembesar Quraisy atau Taif yang menerima jawatan rasul itu.

Rupanya begitu jugalah perangai kaum-kaum terdahulu seperti Firaun dan pembesarnya. Firaun mengatakan kerajaan Mesir di bawahnya, telah berbangga dengan kuasa, pangkat dan pengikutnya yang ramai. Menyangka mereka benar dan dapat mengambil apa-apa tindakan saja ke atas Musa a.s.

  1. Lalu dalam ayat-ayat ini Allah s.w.t menceritakan tentang kisah nabi Musa a.s dalam menghadapi Firaun.
  2. Dalam ayat 45 sebelum ini, Allah suruh Rasulullah s.a.w bertanya kepada mereka yang mendapat Kitab sebelumnya iaitu pengikut nabi Musa a.s dan Isa a.s yang mendapat Kitab Taurat & injil. Ini kerana mereka berdua ini adalah nabi yang mempunyai pengikut yang ramai sehingga ke hari ini berbanding dengan nabi-nabi lain.

Jawapannya: Kedua-dua Kitab ini mengajak manusia beriman kepada Allah s.w.t, dengan tauhid yang ikhlas dan menjauhkan syirik.

  1. Maka munasabahlah dibawa kisah nabi Musa a.s dan pengikutnya seterusnya.

AYAT 46- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH MENGUTUS NABI MUSA DENGAN MEMBAWA MUKJIZAT-MUKJIZAT KAMI, KEPADA FIRAUN DAN KAUMNYA, LALU IA BERKATA: \”SESUNGGUHNYA AKU INI IALAH RASUL DARI TUHAN SEKALIAN ALAM\”.} (AZ-ZUKHRUF 43:46)

  1. Allah mengatakan bahawa Dia telah mengutuskan nabi Musa a.s kepada Firaun dan para pembesar dan kaum kerabatnya, VVIP (وَمَلَئِهِ), iaitu mereka yang dekat dan rapat dengan raja.
    Perkataan (الْمَلَأُ) ini biasanya di dalam al-Quran dirujuk kepada pembesar kafir yang menentang para rasul dan Rasulullah s.a.w sendiri.
  2. Musa a.s membawa satu tugasan yang besar iaitu sebagai Rasul dari Tuhan sekalian alam untuk berdakwah kepada mereka.
  3. Musa a.s dihantar dengan membawa mukjizat yang diberi Allah, bukan dengan tangan kosong.
    Antara mukjizatnya ialah: tongkat yang menjadi ular, tangan yang bercahaya dan banyak lagi seperti yang telah kita sebutkan dalam siri-siri yang lepas.
  4. Firman Allah s.w.t: {Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Nabi Musa sembilan mukjizat yang jelas nyata (membuktikan kebenarannya); maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada Bani Israil (tentang itu): Ketika Nabi Musa datang kepada Firaun dan kaumnya (serta menunjukkan mukjizatnya), lalu berkatalah Firaun kepadanya: \”Sesungguhnya aku fikir, engkau ini wahai Musa, seorang yang terkena sihir\”.} (Al-Israa\’ 17:101)

AYAT 47- {MAKA APABILA IA DATANG KEPADA MEREKA DENGAN MEMBAWA TANDA-TANDA KEKUASAAN KAMI, MEREKA DENGAN SERTA-MERTA MENCEMUH DAN MENGGELAKKAN (APA YANG DIBAWANYA) ITU.} (AZ-ZUKHRUF 43:47)

  1. Apakah respon Firaun apabila melihat semua tanda-tanda dan dalil yang Musa a.s dan Harun bawa itu?
  2. Mereka dengan sombong mencemuh dan menghinanya, tidak mahu terima dan lihat kebenaran yang dibawa. Bahkan mentertawa dan melekehkan apa yang dibawa oleh Musa a.s.
  3. Begitulah malang dan ruginya nasib Firaun sedangkan Musa a.s adalah anak angkatnya yang membesar dalam istananya.
    Maka kita kena ambil pengajaran, ilmu itu kena belajar bukan setakat kenal dan biasa dengan orang alim itu sudah memadai!

AYAT 48- {DAN TIDAKLAH KAMI MEMPERLIHATKAN KEPADA MEREKA SESUATU TANDA KEBENARAN NABI MUSA MELAINKAN TANDA ITU ADALAH LEBIH TERANG DARI YANG TERDAHULU DARIPADANYA; DAN KAMI TIMPAKAN MEREKA DENGAN BERBAGAI AZAB (BALA BENCANA), SUPAYA MEREKA KEMBALI (BERTAUBAT).} (AZ-ZUKHRUF 43:48)

  1. Sedangkan setiap mukjizat baru yang dibawa oleh nabi Musa a.s adalah lebih jelas dan nyata daripada yang sebelumnya. Tetapi mereka tetap mendustakan semua tanda-tanda itu dan anggapnya lekeh. Mengatakan Musa a.s adalah seorang ahli sihir seperti kaum mereka yang lain juga.
  2. Ini semua kerana mereka sombong (agah), angkuh tidak mahu tunduk dan keras kepala tidak mahu terima.
  3. Kata para ulama\’ seperti Ibnu Jarir rhm. maksudnya {melainkan tanda itu adalah lebih terang dari yang terdahulu daripadanya;}- yakni setiap kali dibawa mukjizat akan menjadi hujjah yang kuat ke atas mereka.
    Boleh jadi begini, mukjizat yang pertama seperti kutu, kemudian hilang lalu mereka lupa, lalu didatangkan pula tanda lain yang lebih besar seperti katak dan belalang, tetapi mereka tetap lupa dan mengingkarinya.
  4. Adapun tujuan Allah s.w.t turunkan bala dan azab itu supaya mereka sedar dan insaf. Dengan harapan supaya mereka kembali kepada Allah dan beriman.
  5. Firman Allah s.w.t: {Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran.} (Al-A\’raaf 7:130)

AYAT 49- {DAN (APABILA BALA BENCANA ITU MENIMPA MEREKA), MEREKA MERAYU KEPADA NABI MUSA DENGAN BERKATA: \”WAHAI ORANG YANG BIJAK PANDAI, POHONKANLAH KEPADA TUHANMU KESELAMATAN UNTUK KAMI DENGAN (KEMULIAAN) PANGKAT NABI YANG DIBERIKAN KEPADAMU; SESUNGGUHNYA KAMI (SESUDAH ITU) AKAN PATUH BERIMAN\”.} (AZ-ZUKHRUF 43:49)

  1. Tetapi apa boleh buat, mereka hanya insaf dan sedar, ingat kepada Musa dan Tuhan ketika ditimpa ujian bala itu sahaja, apabila ia hilang mereka kembali kufur dan mendustakannya.
  2. Mereka memanggil dan merayu kepada Musa a.s dengan berkata {\”Wahai orang yang bijak pandai,- يَا أَيُّهَ السَّاحِرُ }- bukan bermakna ahli sihir biasa tetapi orang yang alim dan bijak pandai.
  3. Kata ath-Tha\’labi: Apabila melihat azab kenapa mereka panggil orang alim dan tok guru itu sebagai (السَّاحِرُ)?
    Ini kerana pada zaman mereka itu ahli sihir (السَّاحِرُ) adalah golongan yang alim, yang bijak-pandai, dimuliakan dan dihormati. Fenomena sihir amat kuat pada zaman Firaun itu.
    Oleh kerana itu Allah s.w.t hantar Musa a.s dengan mukjizat yang seakan sihir dan dapat menumpaskan sihir juga.
  4. Begitu juga dengan Rasulullah s.a.w yang kaumnya pada zaman itu amat minat sastera dan balaghah, maka Allah s.w.t hantar Rasulullah s.a.w dengan mukjizat al-Quran yang tinggi sastera dan bahasa balaghah yang tiada tandingannnya!
  5. Mereka memohon kepada Nabi Musa a.s sebagai orang yang bijak pandai, pohonkanlah kepada Tuhannya keselamatan untuk mereka dengan kemuliaan pangkat Nabi yang diberikan kepada Musa agar hilang bala ini dan mereka selamat. Yakni pada Musa a.s ini mereka mengakui kenabian nabi Musa a.s.
  6. Bahkan mereka berjanji jika Musa a.s berjaya mendoakan agar azab itu hilang, mereka akan patuh beriman dan ikut Musa a.s.
  7. Inilah pengajaran kepada kita agar jangan main-main, ingat kepada Allah dan orang alim hanya ketika susah dan ditimpa ujian sahaja! Jangan sekali-kali ikut perangai kaum yang kufur ini!
  8. Firman Allah s.w.t tentang sifat mereka ini:
    {Dan mereka berkata: \”Walau apa sahaja (jenis-jenis) keterangan (mukjizat) yang engkau bawa kepada kami; (wahai Musa), untuk menjalankan sihirmu kepada kami, maka kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu\”.} (Al-A\’raaf 7:132)

(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.} (Al-A\’raaf 7:133)

Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka, mereka (merayu dengan) berkata: \”Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami dengan (kehormatan) pangkat Nabi yang diberikanNya kepadamu (yang menjadikan permohonanmu sentiasa makbul). Sesungguhnya jika engkau hapuskan azab itu daripada kami, tentulah kami akan beriman kepadamu, dan sudah tentu kami akan membebaskan kaum Bani Israil (pergi) bersamamu\”.} (Al-A\’raaf 7:134)

AYAT 50- {SETELAH KAMI HAPUSKAN AZAB ITU DARIPADA MEREKA, MEREKA TERUS MENCABULI JANJINYA.} (AZ-ZUKHRUF 43:50)

  1. Tetapi begitulah perangai dan sikap mereka, setelah hilang azab itu terus mencabul janji itu dan kembali kufur tidak beriman kepada Allah s.w.t.
    Memang mereka kafirpun, cuma nak minta pertolongan Musa a.s ketika dalam kesusahan saja.
  2. Firman Allah s.w.t tentang sifat mereka ini, yang hanya insaf dan sedar apabila terkena bala dan ujian, apabila hilang bala kembali ingkar dan kufur:
    {(Tuhan berfirman): Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, hingga ke suatu masa yang tertentu yang mereka sampai kepadanya, tiba-tiba mereka mencabuli janjinya} (Al-A\’raaf 7:135)

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 46- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Musa dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami, kepada Firaun dan kaumnya, lalu ia berkata: \”Sesungguhnya aku ini ialah Rasul dari Tuhan sekalian alam\”.}- apabila dihantar kepada Firaun nabi Musa a.s terus berdakwah dengan berkata: \”Sesungguhnya aku ini ialah Rasul dari Tuhan sekalian alam\”.
    Ini untuk menyedarkan Firaun bahawa dia bukan tuhan seperti yang didakwanya, Tuhan yang sebenar ialah pencipta alam ini, bukan makhluk seperti Firaun.

Begitulah cara uslub berdakwah kena guna pendekatan, sentuhan dakwah (khitab) yang bersesuaian dan kena dengan keadaan orang yang hendak didakwah.

  1. Ayat 49- {Dan (apabila bala bencana itu menimpa mereka), mereka merayu kepada Nabi Musa dengan berkata: \”Wahai orang yang bijak pandai,..}- apabila ditimpa bala mereka memanggil orang yang bijak pandai dan alim untuk berdoa kepada mereka.
    Persoalan kenapa mereka panggil orang alim dan bijak-pandai sebagai ahli sihir (السَّاحِرُ) sedangkan sihir itu perkara batil dan karut?

Dalam ayat ini menyatakan beberapa sebab:
i- ahli sihir pada zaman Firaun dianggap orang alim dan bijak, mendapat tempat dalam masyarakat.
Maka (السَّاحِرُ) ini hanya sebagai satu gelaran seperti syeikh, tok guru dan lain-lain orang yang alim dan dihormati.

ii- pada anggapan dan persepsi mereka pada masa itu (السَّاحِرُ) ialah orang yang bijak dan ada kuasa. Yang dapat berdoa dan membantu mereka.

  1. Ayat 46- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Musa dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami, kepada Firaun dan kaumnya, lalu ia berkata: \”Sesungguhnya aku ini ialah Rasul dari Tuhan sekalian alam\”.}- dalam ayat ini Allah s.w.t gambarkan kepada kita satu bandingan dan perumpamaan bahawa manusia ini apabila datang kepadanya satu benda yang diluar kebiasaannya dia akan lawan.

Macam Firaun yang mengaku tuhan, nabi Musa a.s terus datang menjelaskan bahawa dia ialah Rasul yang dihantar oleh Allah, Tuhan sekalian alam, Pencipta segala makhluk.

  1. Ayat 47- {Maka apabila ia datang kepada mereka dengan membawa tanda-tanda kekuasaan Kami, mereka dengan serta-merta mencemuh dan menggelakkan (apa yang dibawanya) itu.} – kata para ulama\’, orang boleh ketawakan orang lain itu kerana:
    i- dia tidak percaya.
    ii- dia pandang lekeh dan remeh orang itu.
    iii- menganggap perkara itu tidak logik, tidak boleh diterima.
  2. Ayat 48- {Dan tidaklah Kami memperlihatkan kepada mereka sesuatu tanda kebenaran Nabi Musa melainkan tanda itu adalah lebih terang dari yang terdahulu daripadanya;}- Allah kata ujian yang baru lebih besar daripada ujian yang sebelumnya.

Ini kerana manusia itu apabila dia telah melalui dan melepasi sesuatu ujian dia akan melupakannya, bila datang yang baru dia akan berasa berat untuk menerimanya. Tetapi mereka tetap tidak insaf dan sedar bila Allah hilangkan penyakit dia akan lupa balik. Begitulah sikap manusia yang mudah lupa.

Powered by BetterDocs