SURAH SAAD : AYAT 45-48

\"\"

ALLAH SEBUAT NAMA NABI IBRAHIM, ISHAK DAN, YA\’KUB, YANG ISTIMEWA DENGAN AMAL DAN ZUHUD & NABI ISMAIL, ILYASA\’ DAN ZULKIFL

Full video : https://youtu.be/4QGwJTcoYEo

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyebut beberapa nama para nabi yang istimewa iaitu 6 orang rasul dengan pelbagai dimensi episod cerita.
  2. 4 orang daripadanya adalah dari keturunan yang sama iaitu Ibrahim. Ishak, Ya\’kub dan Ismail.
  3. Kesinambungan ayat: Setelah diceritakan tentang kisah 3 orang nabi sebelum ini iaitu Nabi Daud, Sulaiman a.s dan Ayyub a,s disebut pula nama 6 orang nabi ini.
  4. Cerita dakwah dan perjuangan 6 orang nabi ini hanyalah pendek, tidak disebut dengan terperinci dalam episod ini.
    Tetapi dibawa sifat mereka yang boleh menjadi tauladan kepada Rasulullah s.a.w dalam gerak kerja dakwahnya.
    Juga kepada kita semua umat Muhammad s.a.w sebagai contoh perjuangan dan kesabaran yang tinggi dalam gerak kerja dakwah,

AYAT 45- {DAN (INGATKANLAH PERISTIWA) HAMBA-HAMBA KAMI: NABI IBRAHIM DAN NABI ISHAK SERTA NABI YAAKUB, YANG MEMPUNYAI KEKUATAN (MELAKSANAKAN TAAT SETIANYA) DAN PANDANGAN YANG MENDALAM (MEMAHAMI AGAMANYA).} (SAAD 38:45)

  1. Allah s.w.t minta Rasulullah s.a.w ingat tentang hamba-hamba-Nya iaitu nabi Ibrahim, Nabi Ishak dan Nabi Ya\’kub a.s. (إِبْرَاهِيمَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ).
  2. Mereka ini adalah para rasul yang mempunyai:
    i- kekuatan (أُولِي الْأَيْدِي) dalam taat setia kepada Allah s.w.t, untuk menjalankan tugas yang begitu besar.

ii- dan ilmu makrifat, hikmah (وَالْأَبْصَارِ), iaitu ilmu dan pandangan yang mendalam tentang agama dan tugasnya.
Wajib mantapkan ilmu sebelum memulakan dakwah, jika tidak akan huru-hara, yang halal jadi haram, yang haram jadi harus dan sebagainya!

  1. Contohnya Nabi Ibrahim dari awal lagi berlawan dengan ahli syirik kaumnya seorang diri, melawan bapa dan keluarga. Tetapi Ibrahim mempunyai jiwa yang mantap sehingga Allah s.w.t memanggilnya sebagai satu ummah walaupun dia hanya seorang!
  2. Lalu Allah puji 3 keturunan rasul (datuk, anak & cucu) ini sebagai hamba-Nya yang kuat/bersungguh dalam gerak kerja dakwah serta mempunyai pandangan yang jelas, mantap dalam ilmu dan hikmah!
  3. Sebagaimana kata Sayyidina Umar r.a:
    تفقهوا قبل أن تسودوا
    Belajar, faham agama dan mantapkan dulu ilmu sebelum menjadi ketua, pemimpin atau pendakwah mengajak orang ramai!

AYAT 46- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH JADIKAN MEREKA SUCI BERSIH DENGAN SEBAB SATU SIFAT MEREKA YANG MURNI, IAITU SIFAT SENTIASA MEMPERINGATI NEGERI AKHIRAT. (SAAD 38:46)

  1. Mereka ini Allah s.w.t telah jadikan sebagai hamba yang suci bersih, kerana satu sifat yang murni yang khusus bagi mereka ini iaitu: sifat sentiasa memperingati negeri akhirat.
  2. Tiga sifat para nabi kali ini Allah s.w.t sifatkan sebagai; yang mempunyai kekuatan (أُولِي الْأَيْدِي), ilmu makrifat, hikmah (وَالْأَبْصَارِ), sentiasa memperingati negeri akhirat.
  3. Kita masuk ilmu Qiraat (bacaan sikit) – bagi ayat ini (ذِكْرَى الدَّارِ) terdapat dua cara bacaan, pertama bacaan (بِخَالِصَةِ ذِكْرَى الدَّارِ) – dengan cara idhafah (sandar) tanpa tanwin iaitu baris bawah biasa, maka ia membawa maksud:
    i- kami beri kepada mereka keikhlasan dengan melakukan amalan-amalan untuk mengingati Akhirat.

ii – kerana ikhlasnya mereka, Allah s.w.t mencabut dari hati mereka sifat cinta dan ingatkan dunia. Mereka zuhud, meninggalkan dunia, tidak diletakkan di dalam hati, cintakan Akhirat yang tumpuan utama mereka.

Yakni peribadi mereka itu ingat kepada Akhirat.

  1. Manakala bacaan yang kedua (بِخَالِصَةٍ ذِكْرَى الدَّارِ) – dengan tanwin iaitu baris dua, maka ia membawa maksud:
    i- kami jadikan mereka suci dengan mengingati akhirat, yakni mereka berdakwah, mengajak manusia memperingati Akhirat, mengajak manusia supaya beramal melakukam ketaatan.

ii- Allah jadikan Hati mereka suci ikhlas dalam ibadat dan dakwah kepada Allah s.w.t, ikhlas hanya kepada Allah s.w.t! Mereka tidak ada sebarang riya\’, takabbur dan keraguan, mereka beramal kerana Allah, mereka zuhud hidup di dunia, mereka hanya mahu mengejar akhirat.

Sebagaimana Allah s.w.t puji mereka dalam ayat ini:
{Dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia.} (Maryam 19:50) |

AYAT 47- {DAN SESUNGGUHNYA MEREKA DI SISI KAMI ADALAH DARI ORANG-ORANG PILIHAN YANG SEBAIK-BAIKNYA.} (SAAD 38:47)

  1. Mereka ini Ibrahim, Ishak & Ya\’kub adalah daripada kalangan orang yang dipilih oleh Allah s.w.t sebagai orang yang terbaik dan terpilih. (الْمُصْطَفَيْنَ الْأَخْيَارِ)
  2. Mereka adalah orang yang hebat, kuat, ikhlas sifat dan kemuliaannya terjaga.
    Para nabi dan rasul itu semua manusia yang terpilih dan mulia, Allah s.w.t juga jaga \’ismah- kewibawaan mereka dari tercemar atau terpalit dengan sifat atau benda-benda yang tidak baik.
  3. Tadabbur: Dalam ayat ini Allah s.w.t sebut hanya 3 nama rasul-rasul ini sedangkan Ismail juga anak Nabi Ibrahim, bahkan yang sulung sebelum Ishak. Ismail disebut namanya dalam kumpulan nabi lain. Mengapa?
    Kita tengok ayat seterusnya.

AYAT 48- {DAN (INGATKANLAH PERISTIWA) NABI LSMAIL, DAN NABI ALYASAK, SERTA NABI ZULKIFLI; DAN MEREKA MASING-MASING ADALAH DARI ORANG-ORANG YANG SEBAIK-BAIKNYA.} (SAAD 38:48)

  1. Firman Allah s.w.t lagi; Ingatlah wahai Muhammad s.a.w, tentang 3 orang nabi lagi iaitu Nabi lsmail, dan Nabi Alyasak, serta Nabi Zulkifli (إِسْمَاعِيلَ وَالْيَسَعَ وَذَا الْكِفْلِ).
  2. Mereka ini juga adalah hamba yang terpilih dan sebaik-baik manusia (وَكُلٌّ مِنَ الْأَخْيَارِ).
  3. Sebelum ini dalam ayat lain, Allah s.w.t susun dengan susunan lain:
    i- {Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Ismail, dan Alyasak dan Yunus, dan Lut; dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya).} (Al-An\’aam 6:86)

ii- {Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Zul-Kifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar.} (Al-Anbiyaa\’ 21:85)

  1. Jadi secara umumnya semua disebut dengan tiga-tiga orang, Kita tengok dalam penutup atau faedah penjelasannya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 45- {Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba-hamba Kami: Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak serta Nabi Yaakub, yang mempunyai kekuatan (melaksanakan taat setianya) dan pandangan yang mendalam (memahami agamanya).}- dalam ayat ini Allah puji dan sifatkan 3 orang nabi ini sebagai:

i- orang yang mempunyai kekuatan yang membolehkan mereka menyebar dakwah dan agama Islam.

ii- mereka juga mempunyai hikmah dan ilmu yang mantap dan cukup untuk berdakwah!

iii- Susunannya kerana Ibrahim adalah datuk mereka yang mempunya lembaran Kitab (صحف إبراهيم), manakala Ishak dan Ya\’kub adalah rasul yang menyambung dan ikut dakwah kitabnya.
Mereka ini adalah keturunan bani Israil.

  1. Ayat 45- {Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba-hamba Kami: Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak serta Nabi Yaakub,} & Ayat 48- {Dan (ingatkanlah peristiwa) Nabi lsmail, dan Nabi Alyasak, serta Nabi Zulkifli;}- sepatutnya orang-orang yang baik, yang ada jasa dan sumbangan dalam dakwah kena diperingatkan selalu!

Dua sebab kita kena ingat kepada orang yang baik:
i- supaya generasi yang datang kemudian akan kenalnya.
Contoh pengasas Pondok kita ini, kita kena ingat dan sebutnya selalu agar dikenali.

ii- supaya kita ikut cara yang baik yang telah mereka buat. Maka kebaikan yang dibuat itu mesti dipuji dan diperingatkan.

Sebagaimana Allah s.w.t memuji dan mengingatkan kepada kita akan:
i- Nabi Ibrahim a.s, yang dipanggil Ummah- hanya dia seorang yang berjuang menentang kaumnya!
Kemudian anak-anak cucu keturunannya.

ii- Nabi Musa a.s yang menentang Firaun memang terkenal dan banyak disebut dalam al-Quran.

iii- begitu juga Ismail a.s sebagai bapa pembangunan Kota Makkah.

iv- Manakala beberapa nabi-nabi lain yang tidak masyhur kerana ada cerita khas atau mendalam, Allah s.w.t sebut juga nama mereka di dalam al-Quran agak kita mengetahui dan mengenali mereka.

Sama seperti para ulama\’ dan pendakwah yang banyak memberi sumbangan kepada jalan agama, kita patut sebut dan puji mereka agar dikenali dan dikenang jasanya.

Tetapi ingat; Ulama\’ itu boleh dipuji, ilmunya diikuti dan diamalkan, kebaikannya disebut-sebut, tetapi BUKAN disucikan sehingga dipuja.

  1. Ayat 46- {Sesungguhnya Kami telah jadikan mereka suci bersih dengan sebab satu sifat mereka yang murni, iaitu sifat sentiasa memperingati negeri akhirat}- Allah s.w.t telah menjadikan para rasul dan nabi itu sebagai hamba-Nya yang ilhlas, suci bersih lagi murni, maka mereka akan menjadi orang yang terpilih dari kalangan manusia.

Ayat ini kata ad-Dar (الدَّارِ) yang membawa banyak makna seperti; rumah, negeri atau tempat tinggal.
Tetapi dalam ayat ini maksudnya negeri yang hakiki iaitu Akhirat.
Dunia ini bukan tempat yang kekal, tetapi tempat untuk kita meninggal, samada mati atau meninggalkan nama dan sebutan yang baik.

Mereka ini menjadi orang yang terpilih di kalangan manusia lain.
Kata ulama\’ ayat ini menjadi dalil bahawa Allah s.w.t memelihara dan menjaga para nabi dan rasul ini daripada melakukan segala keburukan dan sifat yang dapat mencemar \’ismah atau imej mereka sebagai seorang nabi.

  1. Ayat 45- {Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba-hamba Kami: Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak serta Nabi Yaakub,} – Allah s.w.t sebut nama 3 rasul ini kerana Allah s.w.t mahu kita ikut dan contohi mereka:
    i- Nabi Ibrahim a.s seorang tokoh yang berani, sabar dan tidak gentar melawan dan berdakwah kepada kaumnya, sehingga dicampakkan ke dalam unggun api yang besar untuk membunuhnya!
    Setelah dapat anak diuji lagi untuk berjauhan dan akhirnya disuruh sembelih anaknya! Begitu besar dan banyaknya ujian yang dilalui oleh Ibrahim a.s.

ii- Ishak dan Ya\’kub adalah penyambung kepada dakwah dan perjuangan Nabi Ibrahim a.s. Kerana mereka tidaklah setaraf dengan Ibrahim, maka mereka berdua ini disebut bersama selepas bapa & datuknya Ibrahim sebagai penyambung kepada tugas dakwahnya.

iii- mereka ini dipuji dan disifatkan sebagai orang yang mempuyai kekuatan dan berilmu kerana kuat berdakwah dan perjuangan mereka! (أُولِي الْأَيْدِي وَالْأَبْصَارِ).

  1. Ayat 48- {Dan (ingatkanlah peristiwa) Nabi lsmail, dan Nabi Alyasak, serta Nabi Zulkifli;} – Ismail ini terpisah sebutannya daripada bapa dan adiknya kerana:
    i- dia sendiri adalah tokoh tersendiri yang besar & hebat, yang mengalami banyak ujian dan percubaan.
    Sejak dari kecil lagi diuji, terpisah dari bapanya, kemudian mahu disembelih, tetapi Ismail tetap sabar dan teguh imannya yang luar biasa!
    Maka dia sendiri adalah tokoh yang tersendiri dan wajar disebut ikon lain.

ii- kerana bangsa Arab ini berasal dari jalur Ismail, berasal dari kabilah Adnan. Manakala datuk sebelum ibunya adalah Kabilah Qahtani. Maka diputuskan ceritannya dari Ibrahim kerana dia mempunyai peranannya yang tersendiri serta sebagai pengasas bangsa Arab.

iii- manakala dua orang lagi disebut selepas Ismail iaitu Ilyasa\’ dan Zulkifli. Nabi-nabi yang tidak masyhur yang tidak ada kitabnya sendiri disebut bersama selepas Ismail.

iv- Ini juga kerana Ilyasa\’ dalam bani Israil adalah seperti kedudukan Ismail dalam Bani Ibrahim.

v- Nabi Zulkifli pula adalah seorang tokoh yang sama dengan Ismail dari segi kesabaran, sebagaimana dalam firman Allah s.w.t dalam surah al-Anbiya\’ di atas tadi, semua mereka dari kalangan orang sabar.

Inilah kedudukan para nabi, semuanya insan mulia yang terpilih, mempunyai kekuatan azam dan kesabaran yang tinggi, terpelihara dan terjaga imej dan personalitinya!

Powered by BetterDocs