SURAH FUSSILAT : AYAT 44-46

\"\"

AL-QURAN BAHASA ARAB SEBAGAI SYIFA\’, MUSA JUGA PERNAH DIDERHAKAI & BALASAN SESEORANG MENGIKUT AMALANNYA.

Full video : https://youtu.be/gi5Bs6kq2F0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan bahawa al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab iaitu bahasa kaum Quraisy kerana mereka yang ada di depan Rasulullah s.a.w.
  2. Juga fungsi al-Quran sebagai penawar kepada zahir & batin manusia.
  3. Untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w, sekali lagi Allah s.w.t bawa kisah Nabi Musa a.s yang juga diderhakai, ditentang oleh kaumnya
  4. Kemudian Allah beri pilihan untuk kita samada mahu pilih kebaikan atau kesesatan.
    Siapa yang buat baik akan terima balasan baik, manakala siapa yang buat jahat juga akan terima balasannya.
    Semua ini sedikitpun tidak memberi kesan kepada Allah s.w.t samada yang baik atau buruk.
  5. Banyakkanlah berdoa agar Allah s.w.t memberi hidayat dan menolong kita agar selalu berada di atas landasan yang benar dan beramal soleh:
    )) اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ.((

\”Ya Allah, tolonglah aku dalam berzikir, bersyukur, dan beribadah yang baik kepadaMu.\”

  1. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t beri amaran kepada orang-orang mulhid yang menyeleweng al-Quran dan ayat-ayat Allah, bahawa semua perbuatan mereka tidak tersembunyi dari Allah.

Maka orang-orang kafir yang keras kepala tak dengar kata berkata pula: Kenapa al-Quran turun dalam bahasa Arab?
Kenapa tidak turun dalam bahasa lain?
Seperti kitab Taurat yang dalam bahasa Ibrani.
Begitulah manusia apabila tidak setuju akan pusing, komen dan bagi alasan tidak habis-habis.
Lalu Allah s.w.t jawab cadangan dan alasan mereka itu dalam ayat-ayat ini.

AYAT 44 – {DAN KALAULAH AL-QURAN ITU KAMI JADIKAN (BACAAN) DALAM BAHASA ASING, TENTULAH MEREKA AKAN BERKATA: \”MENGAPA TIDAK DIJELASKAN AYAT-AYATNYA (DALAM BAHASA YANG KAMI FAHAMI)? PATUTKAH KITAB ITU BERBAHASA ASING SEDANG RASUL YANG MEMBAWANYA BERBANGSA ARAB?\” KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”AL-QURAN ITU, MENJADI (CAHAYA) PETUNJUK SERTA PENAWAR BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN; DAN SEBALIKNYA ORANG-ORANG YANG TIDAK BERIMAN, (AL-QURAN ITU) MENJADI SEBAGAI SATU PENYAKIT YANG MENYUMBAT TELINGA MEREKA (BUKAN PENAWAR); DAN IA JUGA MERUPAKAN GELAP-GELITA YANG MENIMPA (PANDANGAN) MEREKA (BUKAN CAHAYA YANG MENERANGI). MEREKA ITU – (DENGAN PERBUATAN MELARIKAN DIRI DARI AJARAN AL-QURAN, TIDAK UBAHNYA SEPERTI) ORANG-ORANG YANG DISERU DARI TEMPAT YANG JAUH (MASAKAN MEREKA DAPAT MENDENGAR DENGAN BETUL ATAU MELIHAT DENGAN NYATA)\”.} (FUSSILAT 41:44)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menjawab dakwaan kaum kafir yang mengatakan kenapa tidak diturunkan al-Quran dalam bahasa Arab. Sedangkan kalau Al-Quran dibawa dalam bahasa asing pasti mereka akan mengomen dan menolaknya juga dengan berkata: {\”Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)? Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya berbangsa Arab?\”}
  2. Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w untuk menyatakan bahawa al-Quran itu akan menjadi cahaya petunjuk dan penawar bagi orang yang beriman! Orang yang tidak beriman tidak akan mendapat manfaatnya.
  3. Yakni fungsi al-Quran:
    i- menjadi petunjuk (هُدًى) untuk membimbing orang-orang yang tidak tahu ke jalan yang diredhai Allah s.w.t.
    ii- ia juga sebagai penawar (وَشِفَاءٌ), ubat yang mujarab bagi mereka yang hatinya masih ragu-ragu, kesamaran dan masih bergelumang dengan syirik dan maksiat, maka al-Quranlah penawarnya.
  4. Firman Allah s.w.t: {Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.} (Al-Israa\’ 17:82)
  5. Al-Quran juga boleh menjadi penawar bagi fizikal, tubuh badan manusia.
    i- Hadis riwayat daripada Abu Sa\’id al-Khudri R.A:
    أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- كَانُوا فى سَفَرٍ فَمَرُّوا بِحَىٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ فَاسْتَضَافُوهُمْ فَلَمْ يُضِيفُوهُمْ. فَقَالُوا لَهُمْ هَلْ فِيكُمْ رَاقٍ فَإِنَّ سَيِّدَ الْحَىِّ لَدِيغٌ أَوْ مُصَابٌ. فَقَالَ رَجُلٌ مِنْهُمْ نَعَمْ فَأَتَاهُ فَرَقَاهُ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَبَرَأَ الرَّجُلُ فَأُعْطِىَ قَطِيعًا مِنْ غَنَمٍ فَأَبَى أَنْ يَقْبَلَهَا. وَقَالَ حَتَّى أَذْكُرَ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم-. فَأَتَى النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ. فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَاللَّهِ مَا رَقَيْتُ إِلاَّ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ. فَتَبَسَّمَ وَقَالَ « وَمَا أَدْرَاكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ ». ثُمَّ قَالَ : خُذُوا مِنْهُمْ وَاضْرِبُوا لِى بِسَهْمٍ مَعَكُمْ
    Maksudnya: \”Sesungguhnya beberapa orang daripada kalangan sahabat Rasulullah S.A.W sedang berada dalam perjalanan. Mereka pergi ke salah sebuah kampung Arab dan mereka berharap agar boleh menjadi tetamu kepada penduduk kampung tersebut.
    Namun ternyata penduduk kampung itu tidak mahu menerima mereka. Tetapi ada yang bertanya: \”Adakah ada antara kamu yang boleh menjampi? Ini kerana penghulu kampung kami terkena sengat.\”
    Salah seorang dari para sahabat menjawab: \”Ya, ada.\” Lalu beliau menemui ketua kampung tersebut dan menjampinya dengan surah al-Fatihah.
    Kemudian ketua kampung tersebut sembuh, maka sahabat tersebut diberi beberapa ekor kambing. Beliau tidak mahu menerimanya dan mengajukan syarat: \”Aku akan menyampaikannya kepada Nabi S.A.W,\” beliau pun pulang menemui Nabi S.A.W dan menyatakan pengalaman tersebut.
    Beliau berkata: \”Ya Rasulullah! Demi Allah, aku hanya menjampi dengan surah al-Fatihah.\” \”Bagaimana engkau tahu bahawa al-Fatihah itu memang merupakan jampi?\”
    Kemudian Baginda bersabda lagi: \”Ambillah pemberian daripada mereka dan pastikan aku mendapatkan bahagian bersama kamu.\”} [HR Muslim (5863)].

ii- Telah diriwayatkan daripada UM Aisyah r.a. bahawa:
كَانَ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا مَرِضَ أَحَدٌ مِنْ أَهْلِهِ نَفَثَ عَلَيْهِ بِالْمُعَوِّذَاتِ، فَلَمَّا مَرِضَ مَرَضَهُ الَّذِي مَاتَ فِيهِ جَعَلْتُ أَنْفُثُ عَلَيْهِ وَأَمْسَحُهُ بِيَدِ نَفْسِهِ؛ لأِنَّهَا كَانَتْ أَعْظَمَ بَرَكَةً مِنْ يَدِي

Ertinya: \”Adalah Rasulullah S.A.W apabila salah seorang ahli keluarganya sakit Rasulullah menghembus ke atas keluarganya yang sakit itu dengan bacaan surah Al-Mu\’awwizat (3 Qul). Maka ketika Rasulullah mengalami sakit yang membawa kepada wafatnya aku telah meniup ke atasnya dan aku menyapu akan badan Rasulullah dengan tangannya kerana sungguhnya tangannya lebih berkat daripada tanganku.\” (HR Muslim)

  1. Tetapi al-Quran itu menjadi penyakit bagi orang yang tidak beriman, menjadi penyumbat telinga mereka, seolah berada dalam gelap gelita, pandangan mereka tidak nampak kebenaran al-Quran, juga seolah kita memanggil orang dari jauh, pasti tidak dapat mendengarnya. Yakni mata telinga dan hati mereka telah tertutup tersumbat daripada mendengar dan menerima faedah dan kebenarannya.
  2. Kata Ibnu \’Ijlan rhm.: Kekuatan seorang mukmin berada dalam hatinya bukan dikakinya (fizikalnya).

Contoh: Berapa ramai orang tua yang uzur merangkak bertongkat dapat sampai ke masjid lima waktu sehari semalam dengan kekuatan imannya. Manakala orang muda yang sihat & gagah dapat mengayuh basikal 50km tetapi tidak sampai ke masjid yang hanya 50 langkah! Fizikalnya tidak dapat menolongnnya!

AYAT 45 – {DAN (JANGANLAH ENGKAU MERASA KECEWA WAHAI MUHAMMAD TENTANG KEINGKARAN KAUMMU, KERANA) DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH MEMBERI KEPADA NABI MUSA KITAB TAURAT, LALU BERLAKU PERTENTANGAN MENGENAINYA. DAN KALAULAH TIDAK KERANA TELAH TERDAHULU KALIMAH KETETAPAN DARI TUHANMU (UNTUK MENANGGUHKAN HUKUMAN HINGGA KE SUATU MASA YANG TERTENTU), TENTULAH DIJATUHKAN HUKUMAN AZAB DENGAN SERTA MERTA KEPADA MEREKA. DAN SESUNGGUHNYA MEREKA (KAUMMU) MASIH MENARUH SYAK YANG MERAGUKAN TENTANG (KEBENARAN AL-QURAN) ITU.} (FUSSILAT 41:45)

  1. Kemudian Allah s.w.t menenangkan hati Rasulullah s.a.w yang ditentang dan dimusuhi oleh kaumnya Quraisy dengan membawa contoh kisah nabi Musa a.s.
  2. Nabi Musa a.s telah diberi kitab Taurat, tetapi ada kaumnya iaitu bani Israil, ada yang beriman dengan Taurat dan ada juga yang menolak tidak beriman dengan Musa a.s bahkan menentangnya! Yakni sama cabaran dan tentangan yang dihadapi para rasul itu. Ada Quraisy yang dengar dan terus beriman, ada yang terus berpaling lari darinya, mendusta dan menentang habis-habisan.
  3. Jika kita rasa penat dan letih, orang dahulu juga begitu, telah letih dan penat menghadapi segala cabaran dan tentangan ini.
  4. Allah s.w.t menyatakan jika tiada ketetapan sebelum ini bahawa Allah akan menangguhkan hukuman atau azab kaum ini sehingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman (لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ) azab dengan serta merta kepada mereka. Ini uslub bahasa beradab dengan Allah s.w.t, tidak dinisbahkan yang buruk seperti azab kepada Alllah s.w.t, walaupun semuanya yang baik atau buruk hak dan dengan kuasa Allah.
  5. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t:
    {Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah la tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hamba-Nya.} (Faatir 35:45)
  6. Jika Allah s.w.t nak ambil tindakan kerana manusia yang derhaka pasti tidak akan ada manusia di atas muka bumi ini. Tetapi Allah s.w.t bagi tempoh, seperti Musa a.s dan Firaun berapa tahun berlawan, selepas doa nabi Musa a.s untuk memusnahkan Firaun, dikatakan berpuluh tahun selepas itu baru tenggelamnya Firaun.

Kerana itu orang zalim dan diktator ini kadang-kadang Allah beri umurnya panjang dan berkuasa lama.
Tetapi bila sampai tempohnya mereka tidak akan terlepas dari azab dan hukuman Allah s.w.t!

  1. Tetapi kaum Quraisy itu masih lagi meragui dan syak tentang kebenaran al-Quran, walaupun dalil dan hujjah sudah jelas di depan mata mereka! Cabaran ke atas mereka semua tidak terjawab dan kalah.

AYAT 46 – {SESIAPA YANG MENGERJAKAN AMAL SOLEH MAKA FAEDAHNYA AKAN TERPULANG KEPADA DIRINYA SENDIRI, DAN SESIAPA YANG BERBUAT KEJAHATAN MAKA BAHAYANYA AKAN MENIMPA DIRINYA SENDIRI; DAN TUHANMU TIDAK SEKALI-KALI BERLAKU ZALIM KEPADA HAMBA-HAMBANYA.} (FUSSILAT 41:46)

  1. Allah s.w.t tegaskan sesiapa yang buat baik atas dunia ini maka faedah dan pahalanya akan kembali dan memberi manfaat kepada dirinya sendiri. Maka kita kena jujur dan ikhlas.
  2. Kisah motivasi tentang seorang tukang rumah:
    Kisah seorang tukang rumah yang sangat bagus kerjanya. Setelah sekian lama bekerja sebagai seorang tukang rumah, sudah tiba masanya untuk dia bersara dan berehat.

Majikannya merasa amat sedih kerana akan kehilangan seorang pekerja yang berdedikasi dan teliti di dalam setiap projek yang dikendalikannya. Maka, penyelia ini telah meminta tukang rumah ini membina sebuah rumah terakhir sebelum beliau bersara.

Si tukang rumah pun cuba menyiapkan rumah tersebut. Pelannya sangat cantik dan ekslusif, akan tetapi kerana di hati si tukang rumah sudah tiada bersemangat lagi kerana ingin bersara, kerjanya yang terakhir ini tidaklah seteliti kerja-kerjanya yang sebelum ini.

Maka, rumah disiapkan sekadarnya, bahan-bahan mentah yang digunakan juga tidak menepati kualiti yang sentiasa diberikan.
Setelah siap rumah itu dibina, si tukang rumah itu pergi bertemu dengan majikannya. Majikan tersebut dengan bangganya memberikan kunci rumah yang baru dibina tadi dan berkata \”Itu adalah rumah kamu, hadiah dari saya kepada kamu\”.

Alangkah terkejutnya si tukang rumah, dan merasa menyesal kerana tidak membina rumah itu dengan bersungguh-sungguh. Namun apakan daya, terima sahaja seadanya, menyesal dahulu pendapatan. Kerana itulah kita kena sentiasa ikhlas dan amanah dalam segala tugas dan kerja kita!

  1. Begitu juga sesiapa yang buat kejahatan, kesan keburukan dan bahaya dosanya akan menimpa dan kembali kepada dirinya sendiri juga.
  2. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak akan menzalimi hamba-Nya. Mereka sendiri yang menzalimi diri sendiri dengan kufur dan syirik terhadap Allah s.w.t.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 44- {Dan kalaulah Al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: \”Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)?}- kata ulama\’ tadabbur; mana-mana hujjah tidak tertegak kecuali apabila manusia memahami hujjah tersebut. Sekadar beritahu dan tidak manusia memahaminya belum menjadi hujjah. Kerana itu apabila Allah s.w.t utuskan rasul, Dia akan hantar dengan bahasa kaumnya.

Firman Allah s.w.t: {Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.} (Ibrahim 14:4)

Kerana itu jika kita hendak pergi berdakwah, seeloknya ada pendakwah tempatan yang memahami bahasa dan adat tempatan supaya lebih berkesan. Kerana itu Allah s.w.t hantar para rasul mengikut lisan bahasa kaum tersebut supaya mereka tidak dapat membuat hujjah dan alasan lagi!

  1. Katakanlah (wahai Muhammad): \”Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman;}- dari ayat ini fungsi al-Quran sebagai:
    i- petunjuk bagi panduan hidup manusia beriman atas dunia ini.
    ii- penawar bagi diri manusia secara mental & fizikal, rohani & jasmani.

Penawar dalam diri manusia yang ada dua jenis penyakit:
i- penyakit syahawat- penyakit-penyakit mengikut kehendak hawa nafsu.
ii- penyakit syubhat- keraguan dan waswas terhadap agama dan Allah.
Maka al-Quran in menjadi penawar kepada kedua-dua penyakit ini. Al-Quran itu dia sendiri sebagai petunjuk & penawar.

Persoalan: tetapi kenapa ada sesetengah hantu syaitan yang merasuk manusia, melawan dan tidak takut dengan bacaan ayat-ayat al-Quran dalam ruqyah?
Kata ulama\’: Jika pembaca (الراقي) itu kuat iman & jiwanya baru ada kesannya. Maka untuk menjadi pembaca (perubat) kena kuat iman dan yakin.

  1. Ayat 45- {Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu}- di sini Allah sebut Tuhanmu dengan kalimah rabb (رَبِّكَ), ini menunjukkan rububiyyah (ketuhanan) khas bagi Allah s.w.t. yang berkuasa dan mentadbir dunia ini.
    Allah s.w.t yang memberi segala peringatan kepada kita, jika tidak kita tidak tahu panduan hidup atas dan ini. Allah yang berkuasa di atas segala perkara yang kita buat.
  2. Ayat 45- {tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta merta kepada mereka.}- dalam ayat ini Allah guna perkataan (لَقُضِيَ) (akan dijatuhkan hukuman-ayat pasif; bukan Allah akan menjatuhkan hukuman- ayat aktif).

Ini sebagai adab yang baik kita tidak nisbahkan sesuatu yang buruk seperti azab kepada Allah s.w.t.
Beginilah uslub dan balaghah al-Quran yang amat halus, seni dan beradab.

  1. Ayat 46 – {Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.} – ayat ini mengisbatkan keadilan Allah s.w.t yang sangat tinggi kedudukan-Nya, kerana itu Allah sebut bagi hamba-Nya (لِلْعَبِيدِ).

Inilah kemuncak keadilan Allah s.w.t, kerana Allah s.w.t itu Maha Berkuasa dan Gagah perkasa tetapi dia tidak mengazab dan menzalimi hamba-Nya sesuka hati walaupun mereka orang yang kufur terhadap-Nya.

Orang yang beriman masuk ke dalam syurga dengan rahmat Allah, manakala yang dihukum dan dicampak ke dalam neraka adalah dengan keadilan Allah Azza wa Jalla.

Powered by BetterDocs