SURAH AL-AHZAB : AYAT 21-24

\"\"

RASULULLAH S.A.W CONTOH IKUTAN YANG TERBAIK, SIKAP ORANG MUKMIN DALAM PERANG AHZAB & PENGORBANAN PARA PEJUANG DAN BALASANNYA.

Full video : https://youtu.be/iBGFdyMPAZA

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini, dari ayat 21 sehingga ayat 24 Allah s.w.t ceritakan pula kepada kita tentang sifat dan sikap orang mukmin dalam perang Ahzab dan menghadapi ujian yang getir.
  2. Sebelum ini, dua siri telah dibincangkan tentang sifat golongan munafiq yang khianat dan karenah mereka yang tidak habis-habis menyakiti Rasulullah s.a.w dan orang mukmin.
  3. Setelah diceritakan perihal kaum munafiq dan perbuatan mereka yang khianat, Maka dalam ayat ini Allah s.w.t memuji pula Rasulullah yang disifatkan sebagai contoh yang terbaik bagi orang yang beriman.
  4. Dengan akhlak dan perbuatan Baginda yang mulia, Rasulullah s.a.w telah menghadapi saat yang genting dan gawat dengan penuh tabah hati dan gagah berani.

AYAT 21- {DEMI SESUNGGUHNYA, ADALAH BAGI KAMU PADA DIRI RASULULLAH ITU CONTOH IKUTAN YANG BAIK, IAITU BAGI ORANG YANG SENTIASA MENGHARAPKAN (KEREDHAAN) ALLAH DAN (BALASAN BAIK) HARI AKHIRAT, SERTA IA PULA MENYEBUT DAN MENGINGATI ALLAH BANYAK-BANYAK (DALAM MASA SUSAH DAN SENANG) (AL-AHZAAB 33:21)

  1. Ayat ini Allah s.w.t tujuan kepada orang yang beriman; Wahai orang yang beriman bahawa pada diri Rasulullah adalah sebaik-baik contoh ikutan أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ bagi kamu. Jika orang tidak beriman dia tidak akan dapat faedah dari ayat ini.
  2. Ayat ini sentiasa kita dengar para penceramah menyebutnya, bahawa Rasulullah adalah sebaik-baik contoh ikutan أُسْوَةٌ.
  3. Kenapa Allah s.w.t bawa ayat supaya ikut Rasulullah s.a.w ini ditengah-tengah kisah perang Ahzab dan karenah munafiq yang khianat itu?
  4. Maka ulama\’ tafsir menghuraikan ayat ini dalam beberapa isu/dimensi. Di dalamnya terkandung 3 isu:
    i- celaan kepada orang yang tidak ikut Nabi s.a.w, samada dari golongan munafiq sendiri atau mereka yang mengikutnya!
    ii- arahan agar ikut Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w sebagai contoh ikutan dengan sifanya yang sabar, berani tidak koyak dan goyah keyakinannya terhadap janji Allah s.w.t, dalam menghadapi ujian peperangan yang amat gawat dan genting itu.
    iii-pujian kepada orang mukmin yang istiqomah, tidak lari dari medan peperangan. Mereka betul-betul mengikut Rasulullah s.a.w, tetap teguh dan setia.
  5. Ayat ini walaupun nampak macam khas untuk cerita perang Ahzab, tetapi ia adalah umum arahan untuk orang mukmin sepanjang zaman, dalam apa saja keadaan, ambillah Rasulullah sebagai satu contoh yang baik. Samada dalam sudut peperangan, kekeluargaan, muamalat dan semua aspek kehidupan, Rasulullah adalah uswah dan qudwah hasanah untuk kita!
  6. Rasulullah s.a.w adalah satu uswah أسوة- contoh & qudwah قدوة – ikutan & yang baik- حَسَنَةٌ .
  7. Kata Abu Hayyan: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah menjadi contoh kepada kamu, Baginda sendiri terlibat dalam peperangan Uhud sehingga patah giginya, menghadapi pelbagai aniaya dan kesakitan lagi, bapa saudaranya Hamzah terbunuh syahid dan ramai lagi para sahabat yang gugur. Ini bukti bahawa Rasulullah s.a.w menyertainya dengan badannya secara fizikal bukan hanya memberi arahan dari atas bukit atau dari jauh sahaja.
  8. Maksud ikutan yang baik:
    i- Rasulullah s.a.w itu tidak pernah buat salah dari segi perundangan dan perilaku, semua sifatnya elok dan baik!
    ii- mengikut taraf yang kita buat dan setakat mana yang kita ikut dari peribadi Nabi s.a.w. Nabi telah ajar aqidah dan tauhid yang cukup mantap, dari sudut ibadat dan muamalah juga sudah cukup sempurna!
  9. Maka berhati-hatilah, kita juga akan menjadi ikutan bagi sesetengah orang yang di bawah kita jangan disebabkan kita orang melakukan kemungkaran dan bid\’ah.
  10. Mereka yang beriman itu ialah yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah s.w.t di dunia ini dan balasan yang baik di akhirat kelak. Mulut dan lidahnya sentiasa basah dengan zikir, istighfar, berselawat, amar ma\’ruf dan nahi munkar dan seumpamanya.
  11. Mereka juga sentiasa mengingati Allah s.w.t dalam masa susah dan senang.

AYAT 22- {DAN PADA MASA ORANG-ORANG YANG BERIMAN MELIHAT TENTERA AL-AHZAAB, BERKATALAH MEREKA:\” INILAH YANG TELAH DIJANJIKAN ALLAH DAN RASULNYA KEPADA KAMI DAN BENARLAH (APA YANG TELAH DIJANJIKAN) ALLAH DAN RASULNYA\”. DAN (ANGKATAN TENTERA MUSUH YANG MEREKA LIHAT) ITU TIDAK MEMBERI SEBARANG KESAN KEPADA MEREKA SELAIN DARIPADA MENAMBAHKAN IMAN DAN PENYERAHAN DIRI MEREKA BULAT-BULAT KEPADA ALLAH.} (AL-AHZAAB 33:22)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t ceritakan lagi keadaan orang yang beriman dalam perang Ahzab.
  2. Apabila mereka melihat tentera Ahzab yang besar dan lengkap dengan segala kelengkapan itu di depan mata mereka, mereka tidak terkejut, goyah atau kecut perut! Bahkan dengan semangatnya mereka menerima dan menghadapinya, dengan iman yang makin mantap.
  3. Mereka memandang ini sebagai satu ujian kepada keimanan mereka, sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t dan Rasul-Nya.
  4. Firman Allah s.w.t: { Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?\” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).} (Al-Baqarah 2:214)
  5. Hadis Rasulullah s.a.w apabila Baginda menceritakan kepada mereka akan kedatangan tentera Ahzab yang besar dan lenkap, yang akan datang mengepung mereka di Madinah nanti. Rasulullah juga memberi jaminan, jangan runsing mereka tidak akan dapat masuk ke dalam Madinah bahkan mereka akan dikalahkan!
  6. Mereka ini begitu yakin dengan janji Allah s.w.t dan jaminan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w, maka apabila melihat tentera Ahzab yang gah itu, tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.
    Allahu Akbar- betapa teguh dan mantapnya keimanan dan keyakinan mereka kepada Allah dan Rasul-Nya!!!!

AYAT 23- {DI ANTARA ORANG-ORANG YANG BERIMAN ITU, ADA YANG BERSIKAP BENAR MENUNAIKAN APA YANG TELAH DIJANJIKANNYA KEPADA ALLAH (UNTUK BERJUANG MEMBELA ISLAM); MAKA DI ANTARA MEREKA ADA YANG TELAH SELESAI MENJALANKAN JANJINYA ITU (LALU GUGUR SYAHID), DAN DI ANTARANYA ADA YANG MENUNGGU GILIRAN; DAN MEREKA PULA TIDAK MENGUBAH (APA YANG MEREKA JANJIKAN ITU) SEDIKITPUN.} (AL-AHZAAB 33:23)

  1. Mereka yang beriman ini telah menunaikan semua janji mereka! Janji untuk membela agama hingga ke titisan darah terakhir, janji untuk mempertahankan Rasulullah s.a.w, janji untuk berjuang dan menyampaikan dakwah seruan agama. Mereka ini ada yang sudah terkorban syahid fi sabilillah dan ada yang masih hidup, tetapi tetap teguh dan berpegang kepada janjinya, bersikap benar dan menunaikan janjinya kepada Allah!
  2. Anas bin Malik r.a menceritakan kisah bapa saudaranya Anas bin an-Nadhar r.a:
    \”Anas bin an-Nadhar tidak sempat ikut serta dalam perang Badar. Setelah tentera Islam berangkat ke medan perang, barulah dirinya menyesal.
    Dalam kekesalan, Anas berikrar:
    \”Demi Allah! Jika ada lagi peluang bersama Rasulullah menghadapi musyrikin selepas ini, akan aku buktikan kepada Allah apa yang akan aku lakukan..\”
    Tidak lama selepas itu, tibalah pula seruan Uhud. Anas tidak melepaskan peluang lagi. Beliau mara bersama Rasulullah dan para sahabat ke medan Uhud, membuktikan apa yang dijanjikan.
    Berbeza dengan Badar, perang ini membawa ujian besar buat kaum muslimin. Anas terus meluru ke arah musuh, maju tanpa berundur, berani tanpa gerun.
    Sedang beliau meluru, ternampak Saad bin Muaz berdekatan dengannya. Dia berteriak pada Saad:
    \”Syurga wahai Saad! Syurga!\”
    \”Demi tuhan an-Nadhar, sungguh aku mencium bau syurga di kaki bukit Uhud!\” Anas meninggalkan kata-kata terakhir ini kepada Saad dan terus meluru ke depan. Kelibat Anas hilang dalam kawasan tentera musuh, Saad cuba mengekori, namun tidak mampu.
    Apabila perang berakhir, dijumpai Anas telah gugur syahid di kaki bukit Uhud. Badannya terdapat lebih dari 80 kesan libasan pedang, tusukan panah dan tikaman tombak. Jasadnya juga amat menyedihkan, disiat-siat, dipotong anggota dan dikorek sana dan sini. Awalnya tiada siapa mengenali jasad tersebut, hinggalah ia disahkan oleh saudaranya Ar-Rubayyi\’ Ummu Harithah, yang mengenali jari-jari Anas yang masih tinggal.
    Allah muliakan Anas bin an-Nadhar dan semua sahabat yang telah syahid dalam perang Uhud ini. Para sahabat mengatakan ayat ini diturunkan khas kepada mereka.
    Firman Allah s.w.t: {Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah; Maka di antara mereka ada yang telah selesai menunaikan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan ada di antara mereka yang masih menunggu giliran. Mereka tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.} [Al-Ahzab:23]
  3. Ayat ini juga memuji mereka yang menunaikan janjinya walaupun tidak syahid dan masih hidup. Mereka sambung lagi perjuangan itu dalam jihad yang seterusnya. Antara sahabat yang kuat berjuang mempertahakan Rasulullah s.a.w dalam pernag Uhud tetapi tidak gugur ialah Talhah bin Ubaidillah r.a yang menahan dengan tubuh badannya sendiri serta Nusaibah binti Ka\’ab, sahabat wanita yang pergi sebagai jururawat pada asalnya, dan beberapa orang sahabat lagi.
  4. Mereka ini meneruskan perjuangan dan janji mereka,walaupun masih hidup selepas Nabi s.a.w wafat. Mereka terus mengamal dan menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w serta mengabdikan diri berjuang dan berdakwah untuk Islam!
  5. Kita pun beginilah, nak berjuang pertahankan Nabi, nabi sudah tiada, maka teruskanlah berjuang bermatian-matian mempertahankan ajaran dan Sunnah Nabi s.a.w. Tak perlu cari dan amalkan ajaran yang tidak bersumberkan dari hadis dan sunnah Baginda yang sahih! Bersabarlah menghadapi halangan dan tentangan yang pasti ada dan akan datang! Pengamal Sunnah itu akan dituduh dan dilabel dengan pelbagai nama yang tidak baik! Allahu al-Musta\’an! Allah-lah sebaik-baik Penolong!
  6. Hadis dihalau dari kolam Nabi s.a.w:
    Rasulullah S.A.W bersabda: \”Aku adalah yang mendahului kamu menuju ke kolam. Siapa saja yang melewatinya, pasti akan meminumnya. Dan sesiapa meminumnya, nescaya tidak akan haus selamanya. Nanti akan datang beberapa orang yang aku mengenali mereka dan mereka mengenaliku, namun mereka terhalang dari menemui diriku.\” (HR Bukhari, no. 6528 dan Muslim, no. 4243)
    Dalam satu hadis lain, Rasulullah S.A.W bersabda: \”Aku berkata: \”Mereka termasuk umatku!\” Namun muncul jawaban: \”Engkau tidak mengetahui perkara yang mereka ada-adakan selepas sepeninggalmu.\” Aku pun berkata: \”Pergi dari sini, Pergi dari sini, bagi orang yang mengubah (ajaran agama) setelahku.\” (HR Bukhari, no. 6097)
    *Bagi mereka yang melakukan perbuatan bid\’ah yang tidak diredhai Allah dalam agama ini, akan diusir dari kolam Rasululah S.A.W pada hari Kiamat nanti.

AYAT 24- {(BERLAKUNYA YANG DEMIKIAN) SUPAYA ALLAH MEMBALAS ORANG-ORANG YANG BENAR DISEBABKAN KEBENARAN MEREKA, DAN MENYEKSA ORANG-ORANG YANG MUNAFIK JIKA IA KEHENDAKI, ATAU IA MENERIMA TAUBAT MEREKA. SESUNGGUHNYA ALLAH ADALAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-AHZAAB 33:24)

  1. Semua ujian itu untuk Allah s.w.t membalas orang yang benar dengan sebab kebenaran mereka. Maka kita ikhlaskan perjuangan kita untuk mengamal dan menyebar ajaran dan sunnah Rasulullah s.a.w yang benar!
  2. Allah s.w.t juga akan mengazab orang yang munafiq jika Dia kehendaki, yakni jika mereka mati dalam keadaan munafiq.
  3. Tetapi jika mereka insaf dan bertaubat sesungguhnya Allah s.w.t adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Pintu taubat masih terbuka.
  4. Tujuan kesudahan ayat ini ialah Allah s.w.t kata orang yang benar dalam janji mereka, bela Islam, berperang tak lari, mengamalkan Sunnah Nabi s.a.w walaupun dibenci dan dicela orang, ikhlas dalam perjuangan, maka Allah s.w.t akan membalas mereka dengan kebenaran mereka itu!!! Semoga kita termasuk dalam golongan ini, bukan mereka yang dihalau dari Kolam Nabi s.a.w!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 21- {Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik} – ayat ini menunjukkan kewajipan mengikut ajaran dan sunnah Rasulullah s.a.w dalam semua perkara. Nabi kita penuh dengan tawakkal, kesabaran, keberanian dan perjuangan, maka kita ikutlah dalam perkara ini! Bukan hanya mendakwa cinta Nabi sahaja tetapi tidak mengamalkan sunnahnya yang sahih.
  2. Ayat 21- {Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik} – yakni ikut secara baik, أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ bukan terlalu melampau sehingga memuja merangkak di kubur Nabi, seperti ahli Bid\’ah atau terlalu cuai dalam menghormati Rasulullah s.a.w, seperti ahli anti hadis. Kita ahli Sunnah kena duduk tengah-tengah, mengikut Nabi apa yang diajar oleh Nabi s.a.w. Maka ini menjadi dalil kelebihan bagi sesiapa yang dapat mengikut contoh tauladan yang baik dari Rasulullah s.a.w.
  3. Ayat 21- {iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)} – bukti bagi orang yang mengharapkan pahala akan dapat faedah dari Allah s.w.t. Juga dalil bahawa harapkan pahala kena buat amalan bukan duduk saja. Kena ada bukti dan tindakan, harap keredhaan Allah dan pahalanya maka berzikir dan buatlah segala amalan yang baik! Bukan duduk senyap dan duduk saja tapi harap pahala masuk!
  4. Ayat 21- {Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik }- ayat ini juga memberi peringatan bahawa orang yang sanggup menanggung kesusahan dalam mengikut ajaran Nabi s.a.w ini adalah orang yang benar dalam imannya, lebih-lebih lagi keimanan kepada hari Akhirat. Ini apabila dengar ajaran Nabi tetap tak semangat, tetapi bila tengok barang-barang replika Nabi melompat suka! Tanda kita benar dalam keimanan itu ialah apabila kita boleh tunjukkan bukti!
  5. Ayat 22- {Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:\” Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya\”.} – menunjukkan bahawa orang mukmin itu apabila melihat ujian atau ditimpa kesusahan, dia akan kembali kepada Allah, meminta pertolongan Allah s.w.t dan bertambah keimanannya. Ajar manusia untuk menyeru Allah s.w.t itulah Tauhid! Orang mukmin apabila melihat kepada ayat tanda-tanda keEsaan Allah s.w.t akan bertambah imannya. Ini samada melalui: Ayat yang boleh dilihat di depan mata atau ayat dari al-Quran yang dibaca.
  6. Ayat 24- { (Berlakunya yang demikian) supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka,} – dalil bahawa bersikap benar dalam janji dan perjuangan itu satu sifat dan amalan yang besar dan mulia! Berapa ramai orang yang buat ikrar tetapi tidak berani melaksanakannya.
  7. Ayat 21- {Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik} – Allah s.w.t sebut Rasulullah bukan Nabi Allah, kerana rasul itu satu pangkat di mana seorang rasul utusan Allah, tugasnya wajib menyebar dan menyampaikan ajaran, ilmu dan dakwahnya. Manakala nabi tidak wajib menyampaikan dan berdepan dengan orang ramai.
  8. Ayat 22- {mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.}- dalil bahawa benarnya pendapat bahawa iman itu bertambah dengan ketaatan dan berkurangan dengan dosa dan maksiat. Ini menolak pandangan Murji\’ah yang mengatakan iman itu tidak bertambah atau berkurang dengan sebab apa-pun.
  9. Ayat 23- {dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.}- umat Islam yang tidak mati dalam peperangan itu masih meneruskan perjuangan mereka di jalan Allah. Mereka tetap setia dengan janji mereka, tidak berubah dan goyah sedikitpun! Dan mereka juga bercita-cita untuk mati syahid seperti sahabat -sahabat mereka yang telah gugur syahid.
  10. Ayat 24- {dan menyeksa orang-orang yang munafik jika Ia kehendaki, atau Ia menerima taubat mereka.} – menjadi bukti bahawa pintu taubat masih terbuka, jika ada apa-apa perasaan yang tidak kena hapuskannya,segeralah kembali dan bertuabat kepada Allah s.w.t.

Powered by BetterDocs