SURAH AL-AHQAF : AYAT 21-25

\"\"

IBRAH KISAH KAUM \’AD DI AL-AHQAF MELAWAN NABI HUD & KEBINASAAN MEREKA DENGAN RIBUT.

Full video : https://youtu.be/SMMunpTsgX4

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ajar kepada kita untuk ambil ibrah/ pengajaran dari kisah kaum Ad, penentangan mereka terhadap Nabi Hud, rasul yang diutus kepada mereka.
  2. Kisah ini juga untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w bahawa bukan Baginda sahaja yang menghadapi tentangan dan pendustaan ini.
    Nabi-nabi dan para rasul terdahulu juga telah dimusuhi oleh kaum mereka sendiri yang tidak mahu beriman.
  3. Kemudian Allah s.w.t nyatakan kemusnahan mereka dengan diturunkan angin bala, ribut kencang.
  4. Ini untuk memberi peringatan dan sebagai isyarat dari Allah kepada kaum musyrikin Quraisy bahawa mereka akan dihancurkan bila mereka tidak mengendahkan seruan Rasul.
  5. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t ceritakan kepada kaum kafir Quraisy (dan semua musuh Islam selepas itu) tentang kebinasaan kaum terdahulu yang lebih kuat dari segi fizikal dan kemajuan teknologi daripada mereka, telah dibinasakan akibat kekufuran dan penentangan mereka terhadap para rasul mereka. Ini sebagai satu amaran dan pengajaran kepada mereka!

AYAT 21- {DAN INGATLAH PERISTIWA (NABI HUD) SAUDARA KAUM AAD, KETIKA IA MEMBERI AMARAN KEPADA KAUMNYA YANG TINGGAL DI LEMBAH \”AL-AHQAAF\”, – SEDANG (AMARANNYA ITU SAMALAH SEPERTI) AMARAN-AMARAN YANG TELAH DIBERIKAN OLEH RASUL-RASUL YANG TERDAHULU DARIPADANYA DAN YANG DATANG SESUDAHNYA – (DENGAN BERKATA): \”JANGANLAH KAMU MENYEMBAH MELAINKAN ALLAH, SESUNGGUHNYA AKU BIMBANG KAMU AKAN BEROLEH AZAB HARI YANG BESAR (HURU-HARANYA)\”. (AL-AHQAAF 46:21)

  1. Allah menceritakan tentang kaum Ad, iaitu kaum nabi Hud a.s, yang merupakan saudaranya sendiri, bukan orang lain atau asing.
    *Kerana itu kadang-kadang pendakwah perlu kepada orang tempatan yang tahu adab & budaya kaumnya sendiri.
  2. Penempatan mereka dahulu adalah di al-Ahqaf iaitu satu kawasan gurun yang dikenali sebagai Rubu\’ al-Khali dalam negeri Hadhra Maut, Yaman sekarang ini.
  3. Peringatan: Hanya kubur Rasulullah s.a.w yang sahih dan terpelihara setakat hari ini, manakala kubur-kubur para nabi lain tidak dapat dipastikan dengan sahih, kadang-kadang seorang nabi itu mempunyai 2-3 buah kubur yang didakwa kepunyaannya.
    Maka kita kena berhati-hatilah dalam mempercayai dan menghormatinya dan kalau sahihpun jangan pula dengan melampau!
  4. Allah nyatakan lagi bahawa nabi Hud ini bukanlah nabi pertama yang membawa dakwah tauhid ini, telah berlalu ramai lagi nabi terdahulu sebelumnya bermula dari nabi Nuh a.s.
  5. Dakwah dan ajaran nabi Hud adalah dakwah tauhid iaitu agar jangan menyembah yang lain melainkan Allah. Begitulah dakwah semua para nabi, jangan ada syirik kepada Allah s.w.t.
  6. Nabi Nuh juga menggunakan pendekatan psikologi yang lembut dengan berkata bahawa sesungguhnya dia bimbang jika mereka tidak beriman dan menerima ajarannya, mereka akan beroleh azab hari yang besar huru-haranya.
  7. Apakah jawapan kaumnya?

AYAT 22- {MEREKA MENJAWAB: \”ADAKAH ENGKAU DATANG KEPADA KAMI UNTUK MEMESONGKAN KAMI DARI MENYEMBAH TUHAN-TUHAN KAMI? MAKA BAWALAH AZAB SEKSA YANG ENGKAU JANJIKAN KEPADA KAMI ITU JIKA BETUL ENGKAU DARI ORANG-ORANG YANG BENAR!\”} (AL-AHQAAF 46:22)

  1. Mereka memarahi nabi Hud dengan berkata bahawa dia datang untuk menganggu agama mereka dan memesongkan mereka dari Tuhan yang mereka sembah itu.
  2. Mereka juga mencabar jika nabi Hud benar, untuk membawa datang azab yang dijanjikan, mereka sudah bosan mendengar dan menunggunya.
  3. Firman Allah s.w.t: {Mereka berkata: \”Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan apa yang pernah disembah oleh datuk nenek kami? (Kami tidak akan menurut) maka datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar\”.} (Al-A\’raaf 7:70)
  4. Demikianlah ayat-ayat ganas dan ejekan yang digunakan oleh kaum Nabi Hud.

AYAT 23- {NABI HUD BERKATA: \”SESUNGGUHNYA ILMU PENGETAHUAN (TENTANG KEDATANGAN AZAB ITU) HANYA ADA DI SISI ALLAH, DAN (TUGASKU HANYA) MENYAMPAIKAN KEPADA KAMU APA YANG AKU DIUTUSKAN MEMBAWANYA, TETAPI AKU LIHAT KAMU SATU KAUM YANG JAHIL (AKAN TUGAS RASUL)!\”} (AL-AHQAAF 46:23)

  1. Nabi Hud menjawab balik cabaran kaumnya dengan mengakui bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, ilmu tentang perkara ghaib adalah di dalam kuasa Allah s.w.t.
  2. Tugas dan kerjanya hanyalah sebagai utusan Allah kepada mereka, menyampaikan kepada mereka apa yang Allah s.w.t perintahkan dari dakwah tauhid kepada-Nya. Sedangkan mereka itu jahil akan tugas seorang rasul.

AYAT 24- {MAKA APABILA MEREKA MELIHAT AZAB ITU SEBAGAI AWAN YANG MENGHALA KE LEMBAH-LEMBAH MEREKA, MEREKA BERKATA: \”INI IALAH AWAN YANG AKAN MEMBAWA HUJAN KEPADA KITA!\” (MENDENGARKAN KATA-KATA YANG DEMIKIAN, NABI HUD BERKATA): \”TIDAK! BAHKAN ITULAH (AZAB) YANG KAMU MINTA DISEGERAKAN KEDATANGANNYA, IAITU ANGIN YANG MEMBAWA AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA;} (AL-AHQAAF 46:24)

  1. Kemudian kemarau panjang menimpa kawasan mereka, hujan sudah lama tidak turun. Lembah-lembah kering dan bekalan air kehabisan.
  2. Tiba-tiba pada suatu hari mereka lihat gelap di langit dan nampak awan-awan hitam menuju ke lembah mereka. Mereka gembira kerana menyangka itu adalah awan yang akan membawa hujan nikmat kepada mereka!
  3. Mendengarnya nabi Hud berkata dan memberitahu mereka itu adalah bukan hujan yang bawa air, tetapi angin yang akan membawa azab siksa yang tidak terperi dahsyatnya! Itulah azab siksa yang kamu minta segerakan sebelum ini!
  4. Awan itu dinamakan (عَارِضٌ) kerana awan hitam itu bukan datang bertompok-tompok seperti biasa tetapi memanjang memenuhi ufuk langit!
  5. Kata UM Aisyah r.a apabila melihat langit gelap, Rasulullah s.a.w menjadi bimbang dan runsing, cemas dan takut. Sehinggalah hujan turun baru Baginda ceria.
    Lalu dia bertanya, \”Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang-orang merasa gembira bila mereka melihat awan kerana adanya harapan akan turun hujan. Tetapi aku dapati apabila engkau melihatnya, ada perasaan kurang senang di wajahmu.\”

Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Aisyah, aku berasa khuatir jika di dalam awan itu terdapat azab, kerana ada suatu kaum yang telah diazab melalui angin yang besar (awan), kaum itu melihat kedatangan azab tersebut, lalu mereka mengatakan, \’Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami.\” (HR Bukhari dan Muslim).

  1. Doa Rasulullah s.a.w apabila melihat awan gelap di langit:
    \”اللَّهُمَّ، إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا فِيهِ\”
    Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari keburukan yang terkandung di dalam awan ini.

AYAT 25- {\”YANG MENGHANCUR LEBURKAN SEGALA-GALANYA DENGAN IZIN TUHANNYA\”. (SETELAH AZAB ITU MENIMPA MEREKA) MAKA MENJADILAH MEREKA (PUNAH RANAH) – TIDAK ADA YANG KELIHATAN MELAINKAN TEMPAT-TEMPAT TINGGAL MEREKA. DEMIKIANLAH KAMI MEMBALAS KAUM YANG BERDOSA.} (AL-AHQAAF 46:25)

  1. Angin ribut tadi menghancur-leburkan semua yang ada di laluannya dengan izin Allah s.w.t.
  2. Ayat ini walaupun umum (كُلَّ شَيْءٍ) tetapi khusus, iaitu hanya yang terkena di laluannya akan musnah binasa, terutamanya kaum Ad yang ditujukan angin itu kepadanya.
  3. Maka musnah segalanya (تُدَمِّرُ كُلَّ شَيْءٍ) kecuali kesan peninggalan tempat-tempat tinggal mereka (إِلَّا مَسَاكِنُهُمْ).
    Maksudnya kata ulama\’:
    i- hancur semuanya tetapi ada kesan tempat-tempat tinggal iaitu rumah mereka Allah tinggalkan sebagai manusia yang datang kemudian melihatnya dan mengambil pengajaran.

ii- ada yang berkata Allah tidak tinggalkan apa-apa kecuali kesan-kesannya sahaja.

  1. Demikianlah Allah membalas kaum yang jahat dan berdosa, mereka dibinasakan di atas dunia ini kemudian akan dibangkitkan pula dalam kemurkaan dan kebinasaan Allah s.w.t! Na\’uzubillah.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 21- {Dan ingatlah peristiwa (Nabi Hud) saudara kaum Aad, ketika ia memberi amaran kepada kaumnya}- ayat ini sekaligus untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w, bahawa kaum manapun jika bercanggah dengan pemikiran dan pegangan mereka, mereka akan memutuskan hubungan keluarga, seperti kaum Ad dengan nabi Hud ini.

Maka dalam bab dakwah kita jangan mengharapakan sangat sokongan, simpati dan bantuan dari kaum keluarga sendiri. Kadang-kadang yang dekat tidak membantu tetapi orang yang jauh datang memberi sokongan.

Begitulah sunnatul dakwah, sabarlah wahai Muhammad s.a.w.
Begitu juga para pendakwah jika apa yang kita bawa, walaupun dari sunnah Nabi juga ditentang, sabarlah!

  1. Ayat 21- {Dan ingatlah peristiwa (Nabi Hud) saudara kaum Aad, ketika ia memberi amaran kepada kaumnya}- timbul persoalan kenapa Allah s.w.t namakan kaum Ad sebagai saudara kepada Nabi Hud sedangkan mereka berlainan agama?
    Apa yang kita maklum persaudaraan itu dari sudut agama, maka bolehkah kita pisahkan antara persaudaraan dalam agama dengan persaudaraan dari segi keturunan?

Sedangkan dalam kisah nabi Nuh apabila dia mengatakan anaknya adalah dari keluarganya untuk menolongnya:
{Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: \”Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya\”.} (Hud 11:45)

Allah s.w.t menafikannya dengan mengatakan:
{Allah berfirman: \”Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil\”.} [Hud 11:46].
Maka ayat ini menyatakan kaum kerabat dari sudut keturunan tidak akan memberi faedah jika tiada pertalian atau kerabat dari sudut agama.

Sedangkan dalam ayat Hud ini Allah s.w.t isbatkan hubungan ukhuwwah walaupun berbeza agama, apakah perbezaannya?

Jawapan: Yang dikehendaki dari ayat nabi Hud ini:
i- untuk menarik perhatian kaum keluarga nabi Muhammad s.a.w di Makkah pada masa itu, seperti bapa saudaranya Abu Lahab dan lain-lain. Ini kerana mereka telah memjauhkan diri dan memboikot keluarga Rasulullah s.a.w selama 3 tahun di Shi\’b Abi Tolib. Yakni jika ada faedah cuba menggunakan sentiment keluarga.

Ia juga sebagai peringatan kepada mereka untuk ambil kira hubungan kerabat mereka dengan Rasulullah s.a.w, jangan terlampau zalim dan keras menentang.

ii- kata ulama\’ tafsir ia juga menunjukkan harus orang yang telah Islam mengatakan; \”ini saudara saya\” kepada adik beradiknya yang masih belum Islam sebagai menyatakan hubungan kerabat.

  1. Ayat 21- {\”Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari yang besar (huru-haranya)\”.}- kata ulama\’ tadabbur ayat ini menjadi panduan kepada para pendakwah bahawa boleh dalam berdakwah kita menggunakan pendekatan menakutkankan seperti memberi amaran dan ancaman secara halus tentang bahayanya hidup jika tidak beriman. Kadang secara lembut kadang secara keras, setiap tempat ada caranya.

Imam Ghazali rhm. berkata: Berkasar bukan pada tempatnya adalah orang bodoh manakala berlembut pada tempat yang tidak sepatutnya adalah orang penakut/dayus!

Contoh: Wahai keluargaku, saya bimbang jika kita tidak ikut Sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih, kita akan dihalau dari kolam (al-Haudh) Nabi s.a.w sebagaimana yang terdapat dalam hadis.

  1. Ayat 23- {Nabi Hud berkata: \”Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang kedatangan azab itu) hanya ada di sisi Allah, dan (tugasku hanya) menyampaikan kepada kamu apa yang aku diutuskan membawanya,}- apabila puak kafir cabar untuk bawa azab, Nabi Hud menafikan bahawa dia mempunyai ilmu ghaib atas apa yang akan berlaku pada masa depan!

Semuanya di bawah ilmu Allah s.w.t, Dia sahaja yang tahu perkara ghaib. Tetapi kita mesti berusaha untuk mencari yang terbaik!

Maka jangan kita berani, pandai-pandai merempuh masuk dan meramal semua yang sudah jelas Allah s.w.t nyatakan bahawa ia adalah di bawah ilmu-Nya seperti hari kematian, hari Kiamat dan lain-lain.
Jangan percaya kalau ada orang atau bomoh yang mengaku tahu perkara yang ghaib, meramal, menilik nasib dan seumpamanya.

  1. Ayat 25- {\”Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya\”.}- ayat ini walaupun nampak umum tetapi kehancuran itu hanya berlaku kepada laluan angin yang Allah hantar kepada kaum Ad itu sahaja. Kita dapat lihat bahawa langit dan bumi masih ada dan tidak binasa keseluruhanya.

Perkataan \’semua/segala-galanya (كُلَّ شَيْءٍ)\’ itu bukan menunjukkan kepada umum dan semua sekali. Ayat ini hanya khusus kepada kenyataan yang berlaku.

Tetapi jangan salah guna pula dalil yang ada ini, kita kena lihat kepada konteks perbincangan dan keadaan di mana ayat itu digunakan.
Jangan menimbulkan syubhah untuk membenarkan apa yang dipegang!

Powered by BetterDocs