SURAH AS-SOFFAT : AYAT 123-132

\"\"

KISAH NABI ILYAS, BERDAKWAH KEPADA KAUMNYA & MENDAPAT PUJIAN DAN BALASAN YANG BAIK.

Full video : https://youtu.be/12gujF2se9k

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita akan mendengar kisah tentang Nabi Ilyas a.s. (إِلْيَاسَ). Ilyas tidak banyak ceritanya di dalam al-Quran tetapi banyak dibuat cerita oleh orang.
  2. Munasabah ayat; sebelum ini Allah s.w.t telah sebut tentang 3 orang rasul yang ulul-\’Azmi dan mempunya perundangan Syari\’ah yang tersendiri iaitu Nabi Nuh, Ibrahim dan Musa a.s.
  3. Kemudian dibawa pula 3 orang rasul yang tidak mempunyai Kitab dan perundangan sendiri bermula dengan kisah nabi Ilyas ini, diikuti dengan Lut dan Yunus a.s.
  4. Kebanyakan ulama\’ tafsir kata Ilyas ini adalah nabi dari bani Israil, menyambung dakwah dan ajaran nabi Musa a.s, dia adalah dari keturunan anak cucu nabi Harun a.s.
  5. Manakala Ibnu Asyur berkata namanya juga adalah (إِيلْيَاء) dan dia antara nabi Bani Israil yang mengikut perundangan Taurat nabi Musa a.s.
  6. Nabi Ilyas diutus di daerah Ba\’labak (بعلبك) sebelah barat Damaskus di mana penduduknya iaitu kaum Bani Israil menyembah berhala.
    Nama kota Ba\’labak atau disebut juga dengan Ba\’albek berasal dari nama berhala yang disembah kaum Bani Israil.
    Berhala tersebut bernama Ba\’la, yang merupakan patung yang terbuat dengan emas.
  7. Semua cerita para nabi yang terdahulu adalah sebagai pengajaran dan menenangkan hati Rasulullah s.a.w bahawa Baginda bukan keseorangan.
    Serta sebagai nasihat dan bukti kepada puak Quraisy bahawa dakwah Rasulullah s.a.w itu adalah kesinambungan daripada dakwah para rasul dan nabi yang terdahulu, bukan Nabi Muhammad s.a.w membawa benda atau rekaan baru.

AYAT 123- {DAN SESUNGGUHNYA NABI ILYAS ADALAH DARI RASUL-RASUL (KAMI) YANG DIUTUS.} (AS-SAAFFAAT 37:123)

  1. Sesungguhnya Ilyas adalah termasuk salah seorang rasul yang Allah s.w.t pilih dan lantik di atas muka bumi ini kepada manusia.
  2. Ia adalah nabi dari bani Israil, dari keturunan nabi Harun a.s.

AYAT 124- {(INGATKANLAH PERISTIWA) KETIKA IA BERKATA KEPADA KAUMNYA: \”HENDAKLAH KAMU MEMATUHI SURUHAN ALLAH DAN MENJAUHI LARANGANNYA.} (AS-SAAFFAAT 37:124)

  1. Pesanan dakwah para nabi itu adalah sama asasnya, nabi Ilyas juga berdakwah kepada kaumnya supaya mereka bertaqwa kepada Allah s.w.t, mematuhi suruhan dan menjauhi larangan-Nya.

AYAT 125- {\”PATUTKAH KAMU MENYEMBAH BERHALA BA\’LA, DAN KAMU MENINGGALKAN (IBADAT KEPADA) SEBIJAK-BIJAK PENCIPTA?} (AS-SAAFFAAT 37:125)

  1. Nasihatnya; Adakah patut kamu menyembah berhala yang kamu buat dan cipta sendiri dan tinggalkan Allah s.w.t sebaik-baik Tuhan dan Pencipta yang berhak disembah dan dipuja puji!
  2. Ba\’la ini adalah berhala besar yang mereka sembah dan puja terletak di bandar Ba\’labakka (بعلبك), dalam daerah Syam.
  3. Kata ulama\’, dalam bahasa Yaman, Ba\’la ini bererti tuhan mereka.
  4. Dikatakan Ilyas telah memecahkan berhala yang besar ini kerana marah dengan perbuatan mereka itu!

AYAT 126- {\”IAITU ALLAH TUHAN KAMU, DAN TUHAN DATUK NENEK KAMU YANG TELAH LALU!\”} (AS-SAAFFAAT 37:126)

  1. Nabi Ilyas memperkenalkan dalam ayat ini siapakah Allah Tuhan yang sebenarnya yang berhak disembah.
  2. Iaitu Tuhan kita semua dan Tuhan datuk nenek kita yang dulu lagi!

AYAT 127- {MAKA MEREKA MENDUSTAKANNYA; AKIBATNYA MEREKA TETAP AKAN DIBAWA HADIR (UNTUK DISEKSA), (AS-SAAFFAAT 37:127)

  1. Tetapi kaum nabi Ilyas bukan mendengar dan menerima dakwahnya, bahkan mereka mendustakannya (فَكَذَّبُوهُ)!
  2. Lalu mereka akan menerima akibatnya, akan dikenakan azab siksaan yang membinasakan (لَمُحْضَرُونَ)! Itu baru atas dunia, di Akhirat kelak balasan neraka pula, na\’uzubillah!
  3. Begitulah umat terdahulu, akan terus menerima akibat dan hukuman kebinasaan di atas dunia lagi. Bukan seperti kita umat nabi Muhammad s.a.w, rahmatan lil-\’alamin! Tidak akan akan terjadi kemusnahan secara total.

AYAT 128- {KECUALI HAMBA-HAMBA ALLAH YANG DIBERSIHKAN DARI SEBARANG SYIRIK (MAKA MEREKA AKAN TERSELAMAT, DAN MENDAPAT SEBAIK-BAIK BALASAN).} (AS-SAAFFAAT 37:128)

  1. Mereka semua akan binasa, dimusnahkan kecuali mereka yang beriman dan bersih dari sebarang syirik, yakni yang menerima dakwah nabi dan rasul itu.
  2. Maka mereka ini insya\’ Allah akan selamat dan mendapat balasan yang baik dari Allah.
  3. Tetapi malangnya pengikut para nabi dan rasul itu, sejak dari awal lagi tidak ramai dan tidak berpengaruh.
  4. Begitu juga kita hari ini, golongan yang benar-benar mahu menegakkan Syari\’ah dan Sunnah Nabi s.a.w pasti akan menghadapi tentangan dan kecaman dari orang ramai.

AYAT 129- {DAN KAMI KEKALKAN BAGI NABI ILYAS (NAMA YANG HARUM) DALAM KALANGAN ORANG-ORANG YANG DATANG KEMUDIAN:} (AS-SAAFFAAT 37:129)

  1. Allah s.w.t anugerahkan kepada nabi Ilyas pujian dan sebutan nama yang baik oleh orang ramai, bermula dari kaum mereka, bani Israil sehingga ke hari Kiamat dari seluruh umat Islam selepas itu.

AYAT 130- {\”SALAM SEJAHTERA KEPADA NABI ILYAS!\”} (AS-SAAFFAAT 37:130)

  1. Salam sejahtera ke atas Nabi ilyas dan para pengikutnya- Ilyasin (إِلْ يَاسِينَ).
  2. Ibnu Asyur kata maksudnya (إِلْ يَاسِينَ) adalah kerana termasuk salam sejahtera itu ke atas Ilyas dan para pengikutnya. Bukan nama nabi lain.
  3. Kata Ibnu Kathir- ini adalah gaya bahasa Bahasa Arab yang suka menambah huruf nun (نَ) dibelakang nama/perkataan untuk mencantik atau menyempurnakan rima baris ayat. Tengok tiga ayat ini 130, 131 & 132.
  4. Ada juga ulama\’ kata Ilyasin itu maksudnya ialah nabi Idris, tetapi tidak masyhur pendapat ini.

AYAT 131- {DEMIKIANLAH SEBENARNYA KAMI MEMBALAS ORANG-ORANG YANG BERUSAHA MENGERJAKAN KEBAIKAN.} (AS-SAAFFAAT 37:131)

  1. Demikianlah kami akan membalas orang-orang yang berbuat kebaikan (الْمُحْسِنِينَ). Sesiapa saja yang berusaha berbuat kebaikan, walaupun bukan dari kalangan nabi tetap akan mendapat balasan dari Allah s.w.t.

AYAT 132- {SESUNGGUHNYA NABI ILYAS ITU DARI HAMBA-HAMBA KAMI YANG BERIMAN.} (AS-SAAFFAAT 37:132)

  1. Sesungguhnya Nabi Ilyas itu adalah dari kalangan hamba-hamba Kami yang beriman (الْمُؤْمِنِينَ).
  2. Penutup dua ayat ini adalah sama seperti penutup kepada tiga orang rasul sebelum ini juga.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 123- {Ayat 123- {Dan sesungguhnya Nabi Ilyas adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.}- Allah s.w.t puji hamba-hamba-Nya dengan sifat dan jawatannya yang berhak untuk dia dapat dan dikenali sehingga ke hari Kiamat. Jika Allah s.w.t tak sebut dalam al-Quran nama Nabi Ilyas ini, kita tidak akan kenal dan akan terpadamlah sejarahnya!

Allah s.w.t juga telah nyatakan bahawa nabi Ilyas ini telah tunaikan tugas dakwah dan tanggung-jawabnya.
Tidak syarat setiap rasul itu Allah s.w.t beri kemenangan sepenuhnya dan kemusnahan ke atas kaumnya. Allah sebut sikit saja tentang nasib kaum Ilyas tetapi tidak detail. Ada nabi yang Allah jelaskan dan cerita semua, ada yang tidak diberitahu. Yang penting para rasul dan nabi itu telah menjalankan tugas dan tanggung-jawab mereka.

Bahkan kaum kafir itu mempermain-mainkan ancaman itu dengan meminta azab yang segera.
Firman Allah s.w.t: {Dan mereka (yang kafir) bertanya: \”Bilakah berlakunya azab yang telah dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?\”} (Yunus 10:48)

  1. Ayat 124- {(Ingatkanlah peristiwa) ketika ia berkata kepada kaumnya: \”Hendaklah kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya.}- kata ulama\’ tafsir, ayat ini menunjukkan lembut dan berhemahnya para rasul dan nabi itu. Mereka mengemukakan cadangan dan galakan yang baik, bukan bahasa arahan dan perintah, ini dari sudut bahasa (uslub galakan).
  2. Ayat 126- {\”Iaitu Allah Tuhan kamu, dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu!\”}- elok para pendakwah menyentuh perasaan manusia yang boleh membuatkan mereka buka telinga untuk dengar lalu membuka hati untuk menerimanya insya\’ Allah! Seperti kita bangkitkan kebaikan dan usaha baik datuk nenek mereka dulu yang baik dan ikut Syari\’ah.
    Mereka telah pergi dengan jasa yang baik, maka kita pun ingin buat jasa begitu juga, sebagai satu motivasi.
  3. Ayat 127- {Maka mereka mendustakannya; akibatnya mereka tetap akan dibawa hadir (untuk diseksa),- walaupun nabi Ilyas berlembut dan menggunakan pendekatan yang berhemah, kaumnya tetap mendustakannya!
    Ayat ini menjadi dalil bahawa manusia dan pendakwah itu walaupun sebaik mana mereka, tidak semestinya akan diterima orang, pasti ada juga yang menolaknya.

Maka sepatutnya bagi seorang pendakwah yang berpegang dengan paksi kebenaran, apabila dakwah kita ditolak jangan berasa diri kita lemah dan gagal, ingat hidayah itu milik Allah, tugas kita hanya menyampaikan dakwah dan ilmu, mesti menjalankan tugas dan teruskan dakwah.
Allah tidak akan tanya kejayaan kita tetapi Allah s.w.t akan tanya apakah yang telah kita usahakan dan lakukan!

Firman Allah s.w.t: {Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturan-Nya).} (Al-Baqarah 2:272)

  1. Ayat 129- {Dan Kami kekalkan bagi Nabi Ilyas (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:}- begitulah para rasul, nabi, orang soleh dan para ulama\’ yang baik, Allah s.w.t kekalkan sebutan dan ingatan yang baik bagi mereka walaupun selepas kematian mereka, kerana kebaikan yang mereka tinggalkan.
    Kita pun biarlah ada jasa dan kebaikan yang boleh menjadi sebutan baik dan doa dari orang ramai selepas kematian kita insya\’ Allah!

Manusia yang baik, walaupun dia mati kebaikannya tidak akan mati, tetap akan diingat dan dikenang.
Manakala manusia yang celaka adalah sebaliknya, walaupun telah mati tetapi keburukan dan kejahatannya tetap disebut dan diungkit!

Powered by BetterDocs