SURAH AZ-ZUKHRUF : AYAT 40-45

\"\"

MENENANGKAN HATI NABI S.A.W, ALLAH AKAN BALAS PARA PENENTANG & PERANAN AL-QURAN MENGINGATKAN MANUSIA.

Full video : https://youtu.be/MTktCqY-6-o

MUQADDIMAH :

  1. Perbincangan kita kali ini adalah tentang puak kafir yang keras kepala, tidak dengar kata, menolak dakwah Rasulullah s.a.w lalu berlakulah pertembungan antaranya. Inilah Sunnatullah bahawa ada nabi pasti ada yang lawannya.
  2. Maka kita sebagai pengikut Nabi s.a.w jangan rasa selesa dan lalai, ingat tiada tentangan dan cabaran dalam agama dan perjuangan ini.
  3. Maka dalam siri ini Allah s.w.t menenangkan hati Nabi s.a.w bahawa orang yang menentang kamu itu ialah orang yang buta & tuli mata hatinya, maka janganlah kamu rasa sedih dan dukacita kerana perlawanan ini akan berterusan.
  4. Kemudian Allah sebut peranan al-Quran dalam kehidupan kita semua insya\’ Allah.
  5. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan sifat orang kafir yang berpaling, tidak hirau & tidak mahu terima dakwah Rasulullah s.a.w; maka Allah s.w.t bawa dua lagi sifat yang sesuai bagi mereka iaitu tuli & buta (الصُّمَّ والْعُمْيَ).
  6. Maka jangan sedih wahai Rasulullah s.a.w kerana pastilah engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang buta & tuli kerana mereka tidak dapat melihat & mendengar.

AYAT 40- {MAKA (MENGAPA ENGKAU BERDUKACITA WAHAI MUHAMMAD) ADAKAH ENGKAU BERKUASA MENJADIKAN ORANG-ORANG YANG PEKAK MENDENGAR, ATAU MENUNJUK JALAN KEPADA ORANG-ORANG YANG BUTA (MATA HATINYA), DAN JUGA ORANG-ORANG YANG BERADA DALAM KESESATAN YANG NYATA?} (AZ-ZUKHRUF 43:40)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menasihati Rasulullah s.a.w agar jangan bersedih kerana tidak mampu untuk memberi petunjuk kepada puak kafir musyrikin yang berpaling menolak dakwahnya.
  2. Allah gambarkan keadaan mereka itu seperti orang yang buta & tuli yakni mata hatinya tertutup tidak dapat mendengar dan melihat kebenaran lagi. Maka bagaimana Baginda s.a.w dapat membuat mereka mendengar & melihat, tidak mungkin!
  3. Firman Allah s.w.t:
    i- {Sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berundur ke belakang (disebabkan keingkarannya).} (An-Naml 27:80)

ii- {Dan engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta supaya menjauhi kesesatan mereka; engkau tidak dapat memperdengarkan (seruanmu itu) melainkan kepada orang-orang yang sanggup beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, kerana mereka orang-orang yang berserah diri dengan ikhlas.} (An-Naml 27:81)

  1. Mereka tidak akan dapat keluar dari kesesatan walaupun mata mereka sebenarnya celik, kerana hatinya sudah buta dan tertutup! Mereka buta kepada kebenaran dan benda yang baik seolah orang yang mati.
  2. Tetapi kenapa apabila ke kubur Rasulullah s.a.w ajar kita untuk beri salam kepada penghuninya? Ulama\’ kata ini kerana mereka ahli kubur dapat mendengarnya cuma tidak dapat membalasanya.
  3. Kerana itulah kita beragama wajib berdasarkan kepada dua wahyu iaitu al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Jika tidak agama akan direka, dimodified oleh orang-orang tertentu, ini tarikat kita, ini kumpulan kita, macam-macam akan berlaku.
  4. Maka alhamdulillah garis panduan besar beragama ini berpadukan al-Quran dan Sunnah yang ditafsirkan oleh para ulama\’ salafus-Soleh, disambung oleh para ulama\’ selepas mereka yang muktabar, dengan huraian yang muktabar, bukan huraian yang berdasarkan hawa-nafsu dan mengikut kefahaman kumpulan masing-masing.

AYAT 41- {OLEH ITU (BERTENANGLAH ENGKAU, KERANA) KALAULAH KAMI WAFATKAN ENGKAU (SEBELUM KAMI PERLIHATKAN KEPADAMU AZAB YANG AKAN MENIMPA MEREKA), MAKA SESUNGGUHNYA KAMI TETAP MENYEKSAKAN MEREKA.} (AZ-ZUKHRUF 43:41)

  1. Allah tenangkan lagi hati Rasulullah s.a.w dengan menyatakan bahawa dakwah Baginda hanya pembimbing dan penyampai taufik dari Allah s.w.t. Baginda tidak mampu untuk membuka pintu hati mereka tanpa kehendak & kuasa Allah s.w.t, hidayah.
  2. Maka tindakan atas ke atas mereka bukan tugas Rasulullah s.a.w bahkan Allah s.w.t yang akan membalas segala perbuatan mereka!
  3. Allah menegaskan sekiranya Baginda wafat sebelum sempat meihat azab yang akan menimpa mereka kaun musyrikin, maka sesungguhnya Allah berjanji bahawa Dia akan tetap menyeksa mereka!

AYAT 42- {ATAU SEKIRANYA KAMI (HENDAK) MEMPERLIHATKAN KEPADAMU APA YANG KAMI JANJIKAN KEPADA MEREKA (DARI AZAB SEKSA ITU), MAKA KAMI TETAP BERKUASA TERHADAP MEREKA.} (AZ-ZUKHRUF 43:42)

  1. Yakni ada dua cara tentang kebinasaan orang kafir ini:
    i- jika Rasulullah s.a.w wafat sebelum sempat tengok, Allah s.w.t tetapi akan ambil tindakan,
    ii- atau Allah s.w.t akan perlihatkan kebinasaan mereka di hadapan Nabi s.a.w semasa Baginda hidup lagi.
  2. Kata Iman al-Qurtubi rhm.: Ada orang kafir yang diambil tindakan azabnya di depan Nabi s.a.w, ditunjukkan semasa Baginda masih ada.
    Sebagaimana dinukilkan dari Tafsir Ibnu Abbas r.a: Allah s.w.t telah memperlihatkan kepada Rasulullah s.a.w kebinasaan Abu Jahal dan gengnya pada hari peperangan Badar!

Sebelum peperangan lagi Nabi s.a.w telah menunjukkan tempat mereka akan jatuh dan mati di Badar sebagaimana yang diwahyukan Allah kepadanya. Samada dibunuh oleh orang Islam atau dilibas oleh para malaikat yang dihantar Allah s.w.t.
Pandangan dipersetujui oleh ramai ulama\’.

  1. Ayat ini juga turun kerana puak kafir itu amat berharap agar Rasulullah s.a.w mati segera, mereka sangka mereka akan selamat. Maka Allah peringatkan di sini bahawa jika Baginda masih ada atau sudah tidak ada, perjalanan agama dan dakwah ini akan terus berjalan, hukuman dan balasan Allah ke atas puak kafir akan tetap berlaku!
  2. Firman Allah s.w.t:
    i- {Sama ada Kami perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian dari azab yang Kami janjikan untuk mereka (yang ingkar) atau kami wafatkanmu sebelum melihatnya maka tidaklah menjadi hal kerana tanggunganmu hanyalah menyampaikan hukum-hukum yang kami turunkan kepadamu; dan urusan Kami menghitung dan membalas amal mereka.} (Ar-Ra\’d 13:40)

ii- {Maka bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah (menyeksa musuh-musuhmu itu) adalah benar; oleh itu kiranya Kami perlihatkan kepadamu sebahagian dari azab yang Kami janjikan kepada mereka, ataupun Kami wafatkanmu sebelum itu, (maka tetaplah mereka akan menerima balasan azab) kerana kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.} (Ghaafir 40:77)

  1. Begitulah, kerja Rasulullah s.a.w dan para pendakwah selepasnya hanyalah menyampaikan, hukuman dan akibat keputusanya semua terserah kepada Allah s.w.t!

AYAT 43- {DENGAN YANG DEMIKIAN, BERPEGANG TEGUHLAH ENGKAU KEPADA AL-QURAN YANG TELAH DIWAHYUKAN KEPADAMU; KERANA SESUNGGUHNYA ENGKAU BERADA DI ATAS JALAN YANG LURUS.} (AZ-ZUKHRUF 43:43)

  1. Munasabah ayat: Setelah Allah memperingatkan Rasulullah s.a.w bahawa segala kerja usaha dan dakwahnya adalah satu tugas yang Allah perintahkan, maka Allah s.w.t minta Baginda agar terus berpegang teguh dengan apa yang diwahyukan kepada Baginda dan terus menyampaikan dakwahnya. Tugas Baginda adalah apa yang Allah perintahkan, natijah atau keputusannya serahkanlah kepada Allah s.w.t!

2, Ada orang yang berjuang tetapi mungkin tidak nampak dan tidak dapat lihat lagi kemenangan atau kejayaan semasa hayatnya! Maka teruskan perjuanganmu.

  1. Pernah dihidangkan makanan kepada Abdur-Rahman r.a. Pada waktu itu dia sedang berpuasa. Dia memandang makanan itu lalu berkata:
    \”Mus\’ab bin Umair yang lebih baik dariku, terbunuh dalam keadaan tidak memiliki apa-apa pakaian untuk dikafankan, selain kain yang kecil. Apabila ditutup kepala terdedah kakinya. Apabila ditutup kaki terdedah pula kepalanya.
    Akan tetapi Allah luaskan dunia kepadaku seluasnya. Aku sangat takut, kalau Allah sengaja memberikan ganjaran kepadaku, hanya di atas dunia sahaja. Aku khuatir Allah telah menyegerakan balasan kebaikan bagi kami di dunia ini.\”
    Lalu dia menangis sepuasnya..\” [Riwayat Bukhari].
  2. Allah beri arahan tegas kepada Rasulullah s.a.w dan kita semua agar jangan takut, terus berjuang dengan berpegang teguh kepada al-Quran kerana sesungguhnya Baginda berada di atas jalan yang lurus.
  3. Masalahnya semua orang mendakwa dirinya adalah pejuang Sunnah yang berada di atas jalam yang lurus maka bagaimana kita nak pilih tahu?
    Panduan; iaitu ajaran dan pegangan yang bersumberkan kepada al-Quran dan Sunnah nabi s.a.w yang sahih dan jelas, bukan dari mimpi dan ajaran atau rekaan orang lain!

AYAT 44- {DAN SESUNGGUHNYA AL-QURAN ITU MEMBERIKAN KEMULIAAN DAN PERINGATAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) DAN KEPADA KAUMMU; DAN KAMU AKAN DITANYA KELAK (TENTANG ISI KANDUNGANNYA YANG KAMU TELAH AMALKAN).} (AZ-ZUKHRUF 43:44)

  1. Yakni kerana al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab atau maksudnya secara umum al-Quran itu amat mulia kerana mengandungi pengajaran dan undang-undang yang tepat, sesuai bagi seluruh manusia, di setiap tempat dan zaman!
  2. Maka al-Quran ini menjadi kemulian bagi Rasulullah s.a.w dan kaumnya yang menerima al-Quran, serta seluruh manusia yang menerimanya.
  3. Kata al-Biqa\’i; maksudnya (dan bagi kaummu- وَلِقَوْمِكَ)- maksudnya kaum Quraisy, kaum Arab dan seluruh umat Rasulullah s.a.w yang beriman kepadanya.
  4. Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab (Al-Quran) yang mengandungi perkara yang menimbulkan sebutan baik dan kelebihan untuk kamu, maka mengapa kamu tidak memahaminya (dan bersyukur akan nikmat yang besar itu)?} (Al-Anbiyaa\’ 21:10)
  5. Kita semua akan dipersoalkan tentang al-Quran di hadapan Allah s.w.t nanti; apakah kamu terima al-Quran? Belajar, bacanya, tadabbur dan mengamalkannya???
  6. Sabda Rasulullah s.a.w:
    وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ
    Maksudnya: \”Dan Al-Quran merupakan hujah buat kamu atau ia akan menjadi hujah ke atas kamu.\” [HR Muslim (223)].

AYAT 45- {DAN BERTANYALAH KEPADA UMAT MANA-MANA RASUL YANG KAMI TELAH UTUSKAN SEBELUMMU; PERNAHKAH KAMI MEMBERI HUKUM MENETAPKAN SEBARANG TUHAN UNTUK DISEMBAH, SELAIN DARI ALLAH YANG MAHA PEMURAH.} (AZ-ZUKHRUF 43:45)

  1. Jika kita selidiki ternyata bahawa semua para rasul & nabi itu dakwahnya ialah satu iaitu kepada tauhid hanya menyembah kepada Allah Azza wa Jalla dan menentang syirik.
  2. Kata Imam al-Mawardi rhm. maksud ayat: {kamu tanyalah kepada umat mana- sebelummu} ada tiga pandangannya iaitu:
    i- para nabi yang bertemu dengan Rasulullah s.a.w pada malam Isra\’. Pasti semua akan berkata agama tauhid kepada Allah. Kata Ibnu Abbas r.a: Rasulullah s.a.w bertemu dengan 70 orang nabi pada malam itu, antara Ibrahim, Musa a.s, Isa dan lain-lain.

ii- bertanya kepada ahli Kitab, pengikut Taurat &Injil. Adakah dalam Taurat & injil yang membenarkan untuk menyembah selain dari Allah?

iii- bertanya kepada Jibril; kerana dialah yang telah diutus oleh Allah untuk membawa wahyu kepada semua para rasul terdahulu adakah keizinan dari Allah untuk menyembah selain dari Allah?

  1. Firman Allah s.w.t: {Oleh sebab itu, sekiranya engkau (wahai Muhammad) merasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turukan kepadamu, maka bertanyalah kepada orang-orang yang membaca kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu (kerana mereka mengetahui kebenarannya). Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan yang ragu-ragu.} (Yunus 10:94)
  2. Iaitu tanya kepada yahudi yang ikhlas dan tidak menyeleweng seperti Abdullah bin Salam r.a, antara ahli Kitab pertama yang memeluk Islam selepas ketibaan Rasulullah s.a.w di Madinah.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 40- {Maka (mengapa engkau berdukacita wahai Muhammad) adakah engkau berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak mendengar, atau menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta (mata hatinya), dan juga orang-orang yang berada dalam kesesatan yang nyata?}- dalam ayat ini Allah s.w.t mahu tenangkan hati Rasulullah s.a.w bahawa mereka semua itu buta, tuli & bisu, tidak dengar apa yang Baginda sampaikan, maka Baginda tidak akan diambil tindakan jika mereka tidak mahu dengar & tidak beriman.

Tugas & kerja Baginda adalah menyampaikan wahyu yang diterimanya, natijahnya bukan di bawah kuasa Rasulullah s.a.w, mereka nak dengar atau tidak itu urusan mereka dengan Allah s.w.t!
Ini kerana Rasulullah s.a.w itu sangat tamak, sangat berharap agar semua umatnya beriman dan berada di jalan yang benar.

  1. Ayat 41- {Oleh itu (bertenanglah engkau, kerana) kalaulah Kami wafatkan engkau (sebelum Kami perlihatkan kepadamu azab yang akan menimpa mereka), maka sesungguhnya Kami tetap menyeksakan mereka.}- Allah tegaskan bahawa Dia akan tetap ambil tindakan (مُنْتَقِمُونَ) ke atas mereka.
    Persoalan bolehkan kita namakan Allah s.w.t sebagai Yang Mengambil Tindakan/Menyeiksa Orang.مُنْتَقِم) نَ)?

Ulama\’ tafsir kata ini bukan satu pujian kepada Allah s.w.t, maka perlu dilihat kepada bentuk ayat yang datang bersamanya- sebut sebab maka dinyatakan tindakan.
Nama ini perlu datang bersama dengan objeknya seperti Allah ambil tindakan selepas mereka tetapi lawan, keras kepala dan tidak mahu dengar!

Ayat ini terikat dengan keadaan seperti {ia berpaling daripadanya dan tetap mengingkarinya} barulah datang sifat ini (مُنْتَقِمُونَ) seperti dalam firman Allah s.w.t ini juga:

{Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas (إِنَّا مِنَ الْمُجْرِمِينَ مُنْتَقِمُونَ).} (As-Sajdah 32:22)

  1. Ayat 42- {Atau sekiranya Kami (hendak) memperlihatkan kepadamu apa yang Kami janjikan kepada mereka (dari azab seksa itu), maka Kami tetap berkuasa terhadap mereka.}- kalimah janjikan (وَعَدْ) dalam ayat ini digunakan untuk janji buruk azab siksa. Sedangkan biasanya ia digunakan untuk janji baik & kebaikan manakala lawannya ialah (وَعِيدِ) untuk janji buruk dan azab.
    Ulama\’ kata kalimah (وَعَدْ) ini boleh dipakai untuk dua-dua keadaan samada janji baik atau buruk walaupun kebiasaannya digunakan untuk janji baik!
    Tetapi kalimah (وَعِيدِ) khas untuk janji buruk sahaja!
  2. Ayat 43- {Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada Al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus.}- maka dalam ayat ini ada dua faedah, Allah firmankan kepada Rasulullah s.a.w bahawa:
    i- kamu akan berada di atas jalan yang benar
    ii- sekiranya kamu berpegang dengan al-Quran wahyu dari Allah s.w.t!

Maka ini menjadi kewajipan ke atas kita umat Islam untuk teguh berpegang dengan ajaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w!

  1. Ayat 44- {Dan sesungguhnya Al-Quran itu memberikan kemuliaan dan peringatan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada kaummu.}- ayat ini menunjukkan bahawa manusia itu suka kepada sebutan yang baik. Ini kerana ingatan dan sebutan yang baik sebagai ganti kepada kehidupan, panjangnya umur kita selagi nama kita disebut dengan kebaikan walaupun sebenarnya sudah mati!

Sebagaiman doa nabi Ibrahim a.s dalam firman Allah s.w.t: {\”Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian;} (Asy-Syu\’araa\’ 26:84)

Para ulama\’ yang masyhur, yang meninggalkan warisan ilmu yang banyak dan tinggi, sentiasa menjadi sebutan yang baik dan doa dari muridnya dan umat manusia selepasnya sepanjang zaman sehingga ke hari Kiamat, walaupun mereka ini tidak sempat berkahwin dan tiada anak untuk menyebut dan mendoakan mereka. Contoh: Imam an-Nawawi rhm.

Sebutan yang baik akan menjadi peringatan yang baik kepada kita, mudah-mudahan kita menjadi pelopor kepada kebaikan yang akan disebut-sebut kebaikannya, bukan sebaliknya!

Kata pendakwah:
Orang yang bahagia ialah orang yang walaupun telah mati, tetapi kebaikannya tidak mati, terus tersebar dan disebut-sebut orang ramai.

Manakala manusia yang celaka ialah walaupun dia telah mati, tetapi keburukannya tetap terus tersebar dan tidak mati! Senarai dan poster fitnahnya terus tersebar membawa dosa berterusan kepadanya. Kita minta perlindungan dari Allah s.w.t dari sifat keji dan nasib malang ini!

Powered by BetterDocs