SURAH MUHAMMAD : AYAT 4-6

\"\"

ADAB KETIKA BERTEMPUR DENGAN MUSUH, HIKMAH PEPERANGAN & PAHALA SYAHID.

Full video : https://youtu.be/zFGENbW7bAE

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan tentang adab berperang atau cara bertempur dengan musuh yang menentang Islam.
  2. Serta dinyatakah hikmah disyariatkan peperangan atau jihad dalam Islam.
  3. Diakhiri dengan janji Allah s.w.t akan ganjaran pahala yang cukup besar bagi mereka yang mati syahid fi-sabilillah.
  4. Kerana ini surah Muhammad ini juga dinamakan Surah Peperangan (القتال) kerana banyak membincangkan tentang peperangan.
  5. Munasabah ayat: Dalam ayat 3 sebelum ini Allah s.w.t telah menyebut bahawa manusia ini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu:
    i- golongan Allah yang ikut kebenaran.
    ii- golongan syaitan yang ikut kebatilan.

Maka bagi golongan yang beriman ini Allah perintahkan kepada mereka berjihad berperang dengan orang kafir yang melawan dan menentang mereka (al-muharibin) yakni sama-sama membawa & menghunus senjata.
Orang Islam bukan lapar darah & Islam itu bukan hanya tersebar dengan mata pedang sepertimana tohmahan kafir & orientalist. Ada waktu kita kena keras ada waktu berlembut dengan hikmah, tenngok keadaan dan suasana musuh!

AYAT 4- {DENGAN YANG DEMIKIAN, APABILA KAMU BERJUANG MENENTANG ORANG-ORANG KAFIR (DALAM PEPERANGAN JIHAD) MAKA PANCUNGLAH LEHERNYA, SEHINGGA APABILA KAMU DAPAT MEMBUNUH MEREKA DENGAN BANYAKNYA (SERTA MENGALAHKANNYA) MAKA TAWANLAH (MANA-MANA YANG HIDUP) DAN IKATLAH MEREKA DENGAN KUKUHNYA. SETELAH SELESAI PERTEMPURAN ITU MAKA (TERSERAHLAH KEPADA KAMU) SAMA ADA HENDAK MEMBERI KEBEBASAN (KEPADA ORANG-ORANG TAWANAN ITU DENGAN TIADA SEBARANG PENEBUSNYA) ATAU MEMBEBASKAN MEREKA DENGAN MENGAMBIL PENEBUSNYA. (BERTINDAKLAH DEMIKIAN TERHADAP GOLONGAN KAFIR YANG MENCEROBOH) SEHINGGALAH BERAKHIR PEPERANGAN JIHAD ITU (DAN LENYAPLAH SEBAB-SEBAB YANG MEMIMBULKANNYA). DEMIKIANLAH (DIPERINTAHKAN KAMU MELAKUKANNYA). DAN SEKIRANYA ALLAH MENGHENDAKI, TENTULAH IA MEMBINASAKAN MEREKA (DENGAN TIDAK PAYAH KAMU MEMERANGINYA); TETAPI IA (PERINTAHKAN KAMU BERBUAT DEMIKIAN) KERANA HENDAK MENGUJI KESABARAN KAMU MENENTANG GOLONGAN YANG KUFUR INGKAR (YANG MENCEROBOHI KAMU). DAN ORANG-ORANG YANG TELAH BERJUANG SERTA GUGUR SYAHID PADA JALAN ALLAH (MEMPERTAHANKAN AGAMANYA), MAKA ALLAH TIDAK SEKALI KALI AKAN MENSIA-SIAKAN AMAL-AMAL MEREKA.} (MUHAMMAD 47:4)

  1. Maka dalam ayat ini Allah s.w.t memerintahkan orang Islam untuk membunuh orang kafir apabila bertemu mereka dalam pertempuran, iaitu dengan terus memancung lehernya agar terus mati, Allah ajar tempat yang paling cepat untuk membunuh iaitu pancung lehernya! Ini kerana bukan untuk menyiksa mereka atau mayatnya.
  2. Arahan ini hanya dalam peperangan bila sama-sama bersenjata, bukan jumpa kafir terus pancung! Islam bukan agama keganasan!
  3. Islam bukan mahu menunjukkan keganasan dan kezaliman, ia hanya mengajar untuk melawan sesiapa yang menyekat kemaraan Islam dan menyakiti umatnya, bukan saja-saja berperang atau membunuh!
  4. Setelah ramai yang dibunuh, mana yang masih berbaki & hidup, tangkaplah mereka dan jadikan mereka tawanan dengan mengikat mereka agar jangan lari dan bangkit melawan balik!
  5. Kata Ibnu Asyur rhm. arahan ini {إِذَا أَثْخَنْتُمُوهُمْ} adalah apabila kamu sudah menang, baru boleh ambil tawanan, mana musuh yang masih berbaki hidup. Maka ikatlah para tawanan itu.
  6. Kemudian selepas itu terpulanglah pada kamu samada untuk membebaskan mereka atau membunuh mereka juga. Mungkin juga ada di kalangan mereka yang bukan ahli perang seperti wanita & kanak-kanak.
  7. Maka Allah s.w.t bagi dua pilihan bagi pemimpin tentera samada:
    i- memberi mereka kebebasan tanpa sebarang tebusan (مَنًّا).

ii- atau bebaskan mereka dengan ambil tebusan (فِدَاءً). Iaitu membayar tebusan oleh pihak musuh atau dengan cara pertukaran tawanan.

  1. Ayat ini juga menimbulkan perbincangan di kalangan ulama\’ Tafsir samada ianya dimansukh (batal hukumnya) atau kekal hukumnya (muhkamat):
    i- ramai ulama\’ tafsir seperti Ibnu Jarir & al-Qurtubi kata ayat ini tidak dimansukhkan; ayat ini kekal hukumnya, Nabi s.a.w dan pemimpin tentera selepasnya boleh memilih untuk melepaskan tebusan ini atau dijadikan hamba tawanan.

Kata asy-Syaukani ini adalah pendapat yang rajih (kuat) kerana Rasulullah s.a.w dan Khulafa\’ ar-Rasyidin selepasnya berbuat begitu.

ii- pandangan kedua ulama\’ pula kata ayat ini telah dimansukhkan, kerana tidak boleh dipakai ke atas penyembah berhala yang tidak boleh dijadikan tebusan, wajib jadi hamba terus. Jadi tidak ada pilihan, maka ayatnya ada tetapi hukum tidak diguna lagi.

Mereka berdasarkan dalil dari firman Allah s.w.t ini:
{وَاقْتُلُوهُمْ حَيْثُ وَجَدْتُمُوهُمْ}- {Dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu menemuinya;} (An-Nisaa\’ 4:89)
Majoriti ulama\’ kata ayat ini kekal tidak dimansukhkan.
Wallahu a\’lam.

  1. Kemudian bertindaklah sedemikian yakni memerangi & menahan tawanan itu sehingga peperangan selesai dan tamat, senjata telah diletakkan barulah panglima tentera buat pilihan & hukuman.
  2. Hadis- dari Imran bin Husain, Rasulullah s.a.w bersabada:
    \”Akan berterusan, sentiasa ada sekumpulan dari umatku yang akan berjuang menegak kebenaran, melawan mereka yang menentang Islam sehinggalah mereka yang terakhir itu akan membunuh dajjal!\” [HR Abu Daud].

Semoga Allah jadikan kita dari kalangan mereka yang berjuang menegakkan Islam.

ii- dari Salamah bin Nufail al-Kindi menceritakan;
Semasa aku duduk bersama Rasulullah s.a.w datang seorang lelaki dan berkata:
\”Wahai Rasulullah, kuda-kuda perang telah dilepaskan, dan semua senjata telah diletakkan serta peperangan telah berhenti.\”
Mereka mengatakan pula, \”Tidak ada peperangan lagi.\”
Maka baginda bersabda: \”Mereka dusta, sekarang peperangan akan datang lagi; akan sentiasa ada dari kalangan umatku mereka yang berperang mempertahankan kebenaran.
Allah akan melemahkan hati musuh-musuh, maka mereka memeranginya (dan menang), dan Allah memberi rezeki kepada mereka darinya (dengan harta rampasan perang),
Mereka ini (para pejuang agama) akan tetap dalam keadaan demikian (berjuang), hingga datanglah perintah Allah (hari kiamat….
Dan (pada suatu waktu), kekuasaan negeri kaum Muslim akan berada di Syam.\” [HR an-Nasa\’ei & Ahmad].

  1. Objektif peperangan dalam Islam: Sedangkan Allah mampu saja memusnahkan musuh-musuhnya dalam sekelip mata. Ialah untuk menguji manusia, Allah hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain, untuk melihat siapa yang ikhlas & sabar.

i- bagi orang Islam siapa yang teguh berjuang & siapa yang lari. Siapa yang terus hidup dan siapa yang terkorban, mati syahid di jalan Allah.

ii- bagi orang kafir pula ada yang mati dibunuh, ditawan dan terhina di tangan orang Islam atau ada yang diberi taufiq mendapat petunjuk memeluk Islam akhirnya.
Contoh terbesar adalah Abu Sufyan r.a. yang 20 puluh tahun menjadi musuh Islam dan Rasulullah s.a.w, akhirnya menjadi salah seorang sahabat Nabi s.a.w di akhir usianya.

  1. Allah juga tekankan bahawa orang-orang yang syahid pada jalan Allah, Allah tidak akan mensia-siakan amal mereka. Mereka hidup di alam barzakh dengan mendapat kelebihan yang Allah sediakan.
  2. Munasabah ayat: Allah s.w.t perintahkan supaya berperang dengan orang kafir, kemudian Allah s.w.t sebut pada akhirnya pahala orang yang berjihad dengan pahala yang amat besar! Kalau mati syahid, dapat terus masuk syurga. Tetapi kalau tidak mati, menang pula dalam peperangan itu, para mujahid boleh dapat pula kesenangan dunia, tidak akan sia-sia amalannya.
  3. Hadis: dari Abu Qatadah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
    \”يُغفر لِلشَّهِيدِ كُلُّ شَيْءٍ إِلَّا الدَّيْن\”
    Diampunkan bagi seorang yang mati syahid semua dosanya kecuali masalah hutang. [HR Muslim].

AYAT 5- {ALLAH AKAN MEMIMPIN MEREKA YANG BERJUANG (KE JALAN MENDAPAT SEBAIK-BAIK BALASAN) DAN MENJADIKAN KEADAAN MEREKA BAIK DAN BERGUNA (DI DUNIA DAN DI AKHIRAT)}. (MUHAMMAD 47:5)

  1. Mereka yang berjuang ini juga Allah akan membalasnya dengan:
    i- menunjukkan mereka ke jalan yang membawa kepada sebaik-baik balasan.

ii- Allah s.w.t akan damaikan, tenangkan hatinya dengan iman, menjadikan keadaan mereka baik dan berguna di dunia dan di akhirat.

  1. Inilah janji Allah kepada kita. Apa lagi yang kita nak????

AYAT 6- {SERTA MEMASUKKAN MEREKA KE DALAM SYURGA YANG TELAH DIJANJIKAN DAN DITERANGKAN SIFAT-SIFATNYA KEPADA MEREKA.} (MUHAMMAD 47:6)

  1. Allah s.w.t juga akan memberi mereka balasan syurga, yang telah dijanjikan dan diterangkan sifat-sifatnya sebelum ini.
  2. Munasabah ayat: kerana pahala orang yang mati syahid ini amat besar, sebagai kemuncaknya Allah s.w.t janjikan dan jaminan bahawa mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Diberi lorong untuk menyampaikan kepadanya.
  3. Yakni Allah s.w.t perkenalkan apakah amalan yang boleh menyampaikan kita kepada syurga. Sentiasalah berdoa kepada Allah agar menyampaikan kita ke syurga dan apa amalan yang boleh mendekatkan kita kepadanya.
  4. Hadis: Dari Abu Sa\’id Al-Khudhri r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
    يَخْلُصُ المُؤْمِنُونَ مِنَ النَّارِ، فَيُحْبَسُونَ عَلَى قَنْطَرَةٍ بَيْنَ الجَنَّةِ وَالنَّارِ، فَيُقَصُّ لِبَعْضِهِمْ مِنْ بَعْضٍ مَظَالِمُ كَانَتْ بَيْنَهُمْ فِي الدُّنْيَا، حَتَّى إِذَا هُذِّبُوا وَنُقُّوا أُذِنَ لَهُمْ فِي دُخُولِ الجَنَّةِ، فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَأَحَدُهُمْ أَهْدَى بِمَنْزِلِهِ فِي الجَنَّةِ مِنْهُ بِمَنْزِلِهِ كَانَ فِي الدُّنْيَا

\”Setelah orang-orang beriman diselamatkan dari neraka (selamat melewati sirat, pen.), mereka tertahan di qantarah yang terletak di antara syurga dan neraka. Maka ditegakkanlah qisas di antara mereka akibat kezaliman yang terjadi di antara mereka selama berada di dunia. Setelah dibersihkan dan dibebaskan, mereka pun diizinkan masuk syurga. Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh mereka lebih mengetahui tempat mereka di syurga daripada tempatnya ketika berada di dunia.\” [HR Bukhari].

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 4- {Dengan yang demikian, apabila kamu berjuang menentang orang-orang kafir (dalam peperangan jihad) maka pancunglah lehernya,}- ayat ini mengajar kepada kita bahawa kita mesti ada kekuatan dan semangat juang.

i- Bila berjumpa puak musuh kena tahu & cari apa kelemahan mereka yang paling mudah untuk dikalahkan.
Maka cara yang paling cepat untuk membunuh ialah dengan dipancung kerana itu undang-undang Qisas dalam Islam bagi yang berhak dibunuh ialah dengan dipancung.

Pancung, satu cara yang paling cepat dan mudah untuk mati, tidak lama menyakitinya & menyiksa dalam tempoh yang lama. Bukan seperti undang-undang buatan kafir-digantung sampai mati atau kerusi letrik contohnya.

Islam mengajar untuk berihsan (belas kasihan) hatta dalam membunuh musuh atau penjenayah, juga ketika menyembelih haiwan untuk dimakan dengan menajamkan pisau.

ii- Ayat ini juga mengajar kepada kita bahawa nafsu adalah seperti musuh, jika dapat menahannya kita akan berjaya mengawalnya, tetapi jika kita lemah dan mudah tergoda maka kita yang akan ditawan olehnya.

  1. Ayat 4- {Sehingga apabila kamu dapat membunuh mereka dengan banyaknya (serta mengalahkannya) maka tawanlah (mana-mana yang hidup) dan ikatlah mereka dengan kukuhnya.}- Maka Allah ajar tentera Islam apabila menang & kuat, agar mengikat dan menahan musuh itu agar mereka tidak dapat bangkit membalas dan menyerang balik atau lari.

i- ia juga membawa hukum tidak boleh mengambil tebusan dari tawanan sebelum tamat peperangan yang membawa kemenangan.

ii Ayat ini mengajar cara-cara berjihad. Ketika bertempur boleh menyerang dan membunuh lawan. Tetapi apabila peperangan tamat, cukuplah layanlah mereka sebagaimana sepatutnya seorang tawanan pula, barulah panglima perang Islam boleh memilih hukum yang dikehendaki.

  1. Ayat 4- {Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Ia membinasakan mereka (dengan tidak payah kamu memeranginya); tetapi Ia (perintahkan kamu berbuat demikian) kerana hendak menguji kesabaran kamu menentang golongan yang kufur ingkar (yang mencerobohi kamu).}- Allah mahu menguji siapakah di kalangan kamu yang benar-benar berjuang dan berjihad.
    Supaya bangkit para pejuang dan jelaslah dari kalangan orang Islam siapa yang benar-benar beriman dan yang munafiq, yang lemah & kuat imannya serta pelbagai sifat sebenar yang akan terserlah dengan ujian ini.
  2. Ayat 4- {Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Ia membinasakan mereka (dengan tidak payah kamu memeranginya); tetapi Ia (perintahkan kamu berbuat demikian) kerana hendak menguji kesabaran kamu menentang golongan yang kufur ingkar (yang mencerobohi kamu).}- timbul persoalan tentang ayat ini.
    Kerana ada satu perkataan yang menarik:
    \”Jangan diuji sesuatu yang elok dengan sesuatu yang boleh merosakkannya.\”

Seperti memukul mata pedang yang tajam ke batu, maka rosaklah matanya, habis \’gelebek\’ atau sumbing matanya.
Kita orang Islam ini mulia, dimuliakan Allah dengan kehidupan atas dunia ini, ada anak isteri, tetapi kenapa Allah uji kita dengan ujian peperangan ini?

Sedangkan natijahnya hanya dua samada kita selamat atau mati. Jika mati maka kita akan tinggalkan anak-isteri yang tercinta, harta benda dan kehidupan yang dunia yang lainnya. Kenapa Allah pilih untuk uji hamba-Nya dengan peperangan?

Jawapan: Terbunuhnya seorang pejuang Islam itu dengan mati syahid adalah bukan satu kebinasaan nisbah kepada seorang mukmin yang berjuang menegakkan Islam.
Bahkan mereka akan mendapat kehidupan yang abadi di sisi Allah s.w.t.

Yakni jika dia mati, dia akan mati mulia iaitu mati syahid, jika tidak mati dan menang dia akan mendapat habuan dunianya dan kemenangan tetapi dia akan mati juga pada waktu lain pun. Dia juga akan kehilangan pahala besar mati syahid.

Kisah Khalid bin al-Walid r.a seorang panglima tentera yang hebat semenjak zaman kafirnya dan selepas Islam menjadi panglima yang agung tetapi Allah tidak pilihnya untuk mati syahid dalam medan peperangan. Bahkan dia mati di atas tilamnya, betapa sedih dan kesalnya dia, menangis kerana tidak dapat pahala syahid.

Ini kerana mati hanya satu iaitu dengan tecabut nyawa, tetapi sebabnya ada bermacam-macam cara!

  1. Ayat 4- {Dan orang-orang yang telah berjuang serta gugur syahid pada jalan Allah (mempertahankan agamanya), maka Allah tidak sekali kali akan mensia-siakan amal-amal mereka.}- ayat ini memberi khabar gembira yang besar bagi orang yang berperang di jalan Allah.

Ulama\’ mengatakan bagi sesiapa yang pergi berjuang, berperang fi-sabilillah samada dia mati syahid atau tidak mati & menang, keduanya akan mendapat pahala yang besar dan Allah s.w.t tidak akan sekali-kali mensia-siakan amalan mereka!

Ya Allah rezekikan kami semua dapat syahadah pada jalan Allah, berjuang menegakkan agamamu, bangkit mempertahankan Sunnah Nabi s.a.w, serta bersihkan ajaran dan amalan Islam daripada khurafat, bid\’ah & mungkar yang dimomok-momokkan atas nama Islam, yang tidak diajar oleh Rasulullah s.a.w!

Powered by BetterDocs