KUASA ALLAH SWT MENYELAMATKAN DARI KEGELAPAN, MENGAZAB YANG MENDERHAKA & MASA JANJI-NYA SUNGGUH TEPAT.
Full video : https://youtu.be/wgtSphyrJfY?si=YCM0zClODbkMu8Ai
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 63 sehingga 67 dalam juzu’ ketujuh.
- Dalam siri ini Allah SWT menyatakan bahawa hanya kuasa Allah SWT yang dapat menyelamatkan manusia dari kegelapan, di lautan atau di daratan.
- Kemudian Allah SWT nyatakan juga hanya Allah yang boleh menyelamatkan mereka daripada azab.
Maka sesiapa yang derhaka, bersedialah untuk ditimpa azab siksaan.
- Allah juga nyatakan bahawa setiap perkara & berita itu ada masanya, seperti azab yang akan ditimpa atau ajal maut manusia.
Janji Allah itu sungguh tepat tidak akan terlewat atau tercepat sedetik pun.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan dalil tentang ilmu yang meliputi segala perkara & kekuasaan Allah yang maha sempurna.
ii- Maka dalam ayat ini Allah tunjukkan tanda dan contoh ketika Allah menyelamatkan manusia ketika susah daripada mara bahaya & kebinasaan.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
AYAT 63- {KATAKANLAH: “SIAPAKAH YANG MENYELAMATKAN KAMU DARI BENCANA-BENCANA DI DARAT DAN DI LAUT? (KETIKA) KAMU BERDOA MERAYU KEPADANYA DENGAN MERENDAH DIRI (SECARA TERBUKA) DAN SECARA BERSEMBUNYI, (DENGAN BERKATA): “DEMI SESUNGGUHNYA JIKA ALLAH SELAMATKAN KAMI DARI BENCANA INI NESCAYA MENJADILAH KAMI DARI ORANG-ORANG YANG BERSYUKUR”.} (AL-AN’AM 6:63)
- Allah perintahkan Nabi SAW berkata kepada puak kafir, mengingatkan mereka:
i- Kepada siapakah yang kamu memohon, berdoa minta tolong, dengan rendah diri penuh khusyuk dan ketakutan untuk menyelamatkan kamu ketika di dalam bahaya & kesusahan?
ii- Kemudian kamu berjanji akan menjadi orang yang beriman & bersyukur jika Allah menyelamatakan kamu dari bahaya itu!
- Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah ini:
Maksudnya: {Dia lah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur”.} (Yunus 10:22)
- Itulah sifat orang kafir; ketika susah cari Tuhan ketika senang ikut syaitan!
AYAT 64- {KATAKANLAH: “ALLAH JUALAH YANG MENYELAMATKAN KAMU DARI BENCANA ITU DAN DARI SEGALA JENIS KESUSAHAN; DALAM PADA ITU, KAMU (MASIH) MEMPERSEKUTUKAN (ALLAH DENGAN SESUATU YANG LAIN)”.} (AL-AN’AM 6:64)
- Kemudian katakan lagi wahai Muhammad SAW kepada orang kafir itu dengan membawa hujjah untuk menyedarkan mereka bahawa Allah jualah yang maha berkuasa untuk menyelamatkan mereka dari bencana di lautan atau di daratan dan dari segala jenis kesusahan; bukan dewa, tok pekong atau patung berhala yang kamu sembah itu!
- Tetapi malangnya selepas selamat dari bencana itu, selepas Allah lepaskan mereka dari kesusahan mereka masih mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.
- Yakni selepas selamat mereka tetap kufur & syirik, tidak mahu beriman dan lupa akan janji mereka kepada Allah!
Ketika susah cari Tuhan, apabila senang lupa Tuhan balik!
Mereka tidak tunai janji & lupa nikmat Tuhan ke atas mereka!
- Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah ini:
Maksudnya: {Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).} (Al-Isra’ 17:67)
- Walaupun ayat ini Allah tujukan kepada orang kafir, tetapi ada juga dalam kalangan masyarakat kita orang Islam yang bersikap begini!
Ketika senang & sihat tidak pernah kenal masjid, tetapi apabila ditimpa ujian kesusahan atau sakit, muncul di masjid cari imam & jemaah untuk berdoa untuknya!
Allahu al-Musta’an.
AYAT 65- {KATAKANLAH: “DIA LAH YANG BERKUASA MENGHANTAR KEPADA KAMU AZAB SEKSA (BALA BENCANA), DARI SEBELAH ATAS KAMU, ATAU DARI BAWAH KAKI KAMU, ATAU IA MENJADIKAN KAMU BERTENTANGAN DAN BERPECAH-BELAH, BERPUAK-PUAK, DAN IA MERASAKAN SEBAHAGIAN DARIPADA KAMU AKAN PERBUATAN GANAS DAN KEJAM SEBAHAGIAN YANG LAIN”. PERHATIKANLAH BAGAIMANA KAMI MENJELASKAN AYAT-AYAT KETERANGAN (YANG MENUNJUKKAN KEBESARAN KAMI) DENGAN BERBAGAI CARA, SUPAYA MEREKA MEMAHAMINYA.} (AL-AN’AM 6:65)
- Munasabah ayat:
i- Orang kafir walaupun dalam keadaan syirik pun apabila susah cari Tuhan tetapi ketika senang lupakan Tuhan.
ii- Maka datang ayat ini, amaran jika kamu kelentong & bohong janji nak beriman tapi berdusta, Allah akan timpakan kamu dengan azab yang datang dari pelbagai sudut!
- Katakan lagi kepada puak musyrikin itu wahai Nabi SAW; bahawa Allah SWT berkuasa untuk menyelamatkan mereka ketika mereka dalam kegelapan, ketika sesat di darat & ketika di lautan!
Allah juga mampu untuk menghantar azab kepada mereka dari pelbagai sudut!
- Kata Ibnu Jarir RHM : Ayat ini adalah janji & amaran Allah SWT kepada para penyembah berhala yang ketika susah cari Tuhan tetapi ketika senang lupakannya!
- Maka Allah SWT berkuasa untuk menghantar azab sama ada:
i- Dari atas seperti hujan batu, air yang melimpah & menenggelami.
ii- Atau dari bawah seperti bumi mendap, gempa lalu tenggelam dalam bumi, keluar air yang membawa bencana dan seumpamanya.
- Firman Allah SWT juga:
Maksudnya: {Tuhan kamulah yang menjalankan untuk kamu kapal-kapal di laut, supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; sesungguhnya Ia adalah Maha Mengasihani kepada kamu. (Al-Isra’ 17:66)
Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah). (Al-Isra’ 17:67)
Adakah kamu, (sesudah diselamatkan ke darat), merasa aman (dan tidak memikirkan), bahawa Allah akan menggempakan sebahagian dari daratan itu menimbus kamu, atau dia akan menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang menjadi pelindung kamu?} (Al-Isra’ 17:68)
- Atau Allah timpakan kebinasaan dengan menjadikan mereka berpecah-belah, berbalah sesama sendiri!
Berpecah & tidak bersatu ini adalah satu bala yang besar menimpa ke atas sesuatu kaum!
Sebagaimana hadis Nabi SAW:
Maksudnya: “Golongan Yahudi berpecah kepada 71 atau 72 golongan. Adapun golongan Nasrani pula berpecah kepada 71 atau 72 golongan juga dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan.” (HR Abu Daud, No. 4596)
- Pada hari ini kita nak cari kumpulan mana yang tidak berpecah, susah sekali!
Bahkan seorang penyair pernah berkata: Aku sudah berjalan di merata atas bumi Tuhan ini ke timur & ke barat dan aku lihat alat untuk bersatu milik umat Islam amat banyak (al-Quran, Sunnah dan lain-lain); tetapi hakikatnya umatlah Islamlah yang paling kuat berpecah!
- Apabila turun ayat ini Rasulullah SAW terus berdoa:
عن جَابِر بْن عَبْدِ اللَّهِ يَقُولُ لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَة “قُلْ هُوَ الْقَادِرُ عَلَى أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عَذَابًا مِنْ فَوْقِكُمْ أَوْ مِنْ تَحْتِ أَرْجُلِكُمْ” قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ “أَعُوذُ بِوَجْهِكَ” فَلَمَّا نَزَلَتْ “أَوْ يَلْبِسَكُمْ شِيَعًا وَيُذِيقَ بَعْضَكُمْ بَأْسَ بَعْضٍ” قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَاتَانِ أَهْوَنُ أَوْ أَيْسَرُ.
Ertinya: “Dari Jabir bin Abdillah, dia bercerita, ketika (Surat Al-An’am) ayat (65) ini turun: {Dia berkuasa untuk mengirimkan azab kepadamu, dari atas kamu atau dari bawah kakimu; Rasulullah SAW terus berdoa: ‘Aku berlindung dengan zat-Mu.} Ketika ayat: {Atau (Dia berkuasa) untuk mencampurkan kamu dalam firkah-firkah (yang saling berseteru) dan menimpakan kekerasan sebahagian kamu kepada sebahagian yang lain,}- Rasulullah SAW berkata: ‘Kedua ini lebih ringan atau lebih mudah.’” (HR Bukhari]
- Sebuah hadis lagi- sabda Rasulullah SAW maksudnya:
“Sesungguhnya Allah menggulung bumi untukku sehingga aku dapat melihat timur dan baratnya. Sesungguhnya kerajaan umatku akan mencapai seluruh apa yang telah dinampakkan kepadaku. Aku diberikan dua harta simpanan: merah dan putih. Dan sesungguhnya aku mendoakan umatku kepada Tuhanku agar Dia tidak membinasakan mereka dengan kekeringan (kemarau) menyeluruh, serta tidak menguasakan atas mereka musuh yang menyerang perkumpulan mereka kecuali dari diri mereka sendiri. Tuhanku berfirman (yang ertinya): ‘Wahai Muhammad, sesungguhnya Aku bila telah menetapkan suatu ketetapan, ia tidak akan tertolak. Sesungguhnya Aku menetapkan kepada umatmu, bahwa Aku tidak akan membinasakan mereka dengan kelaparan (kemarau) menyeluruh, dan tidak menguasakan atas mereka musuh yang menyerang perkumpulan mereka, kecuali dari mereka sendiri, walaupun orang-orang yang ada di sekitar mereka bersatu padu melawan mereka sampai mereka saling membinasakan dan saling menawan satu sama lain.” [HR Muslim].
- Hadis ‘Amir bin Said dari bapanya berkata bahawa:
أنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ أَقْبَلَ ذَاتَ يَومٍ مِنَ العَالِيَةِ، حتَّى إذَا مَرَّ بمَسْجِدِ بَنِي مُعَاوِيَةَ دَخَلَ فَرَكَعَ فيه رَكْعَتَيْنِ، وَصَلَّيْنَا معهُ، وَدَعَا رَبَّهُ طَوِيلًا، ثُمَّ انْصَرَفَ إلَيْنَا، فَقالَ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ: سَأَلْتُ رَبِّي ثَلَاثًا، فأعْطَانِي ثِنْتَيْنِ وَمَنَعَنِي وَاحِدَةً، سَأَلْتُ رَبِّي: أَنْ لا يُهْلِكَ أُمَّتي بالسَّنَةِ فأعْطَانِيهَا، وَسَأَلْتُهُ أَنْ لا يُهْلِكَ أُمَّتي بالغَرَقِ فأعْطَانِيهَا، وَسَأَلْتُهُ أَنْ لا يَجْعَلَ بَأْسَهُمْ بيْنَهُمْ فَمَنَعَنِيهَا.
“Pada suatu hari Rasulullah SAW telah datang dari daerah berbukit. Apabila Rasulullah SAW sampai di masjid Bani Mu’awiyah lalu Baginda masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat. Maka kami pun turut solat bersama dengan Rasulullah SAW. Kemudian Rasulullah SAW berdoa dengan doa yang agak panjang kepada Allah SWT. Setelah selesai beliau berdoa maka Rasulullah SAW pun berpaling kepada kami lalu bersabda yang bermaksud: “Aku telah bermohon kepada Allah SWT tiga perkara, dalam tiga perkara itu cuma dia memperkenankan dua perkara sahaja dan satu lagi ditolak.
i- Aku telah bermohon kepada Allah SWT supaya ia tidak membinasakan umatku dengan musim susah (kemarau) yang berpanjangan. Permohonanku ini diperkenankan oleh Allah SWT.
ii- Aku telah bermohon kepada Allah SWT supaya umatku ini jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh s.a). Permohonanku ini telah diperkenankan oleh Allah SWT.
iii- Aku telah bermohon kepada Allah SWT supaya umatku tidak dibinasakan kerana pergaduhan sesama mereka (peperangan, pergaduhan antara sesama Islam).
Tetapi permohonanku telah tidak diperkenankan (telah ditolak). [HR Muslim].
Masjid ini sekarang dikenali sebagai Masjid al-Ijabah.
Boleh lihat kisah penuh dalam buku ini: Madinah Munawwarah. https://dartaibah.com/…/Madinah-Munawwarah-Kelebihan…
- Yakni fitnah perbalahan itu berlaku sesama umat Islam di mana mereka akan bergaduh berperang sesama sendiri sehingga membawa kepada kemusnahan!
Perpecahan ini adalah satu bala besar!
Allahu al-Musta’an!
Tetapi jangan pula kita kata tak boleh buat apa dah memang tak boleh bersatu, kita kena berusaha untuk mengelakkan perbalahan & perpecahan ini!
- Allah pelbagaikan bukti, hujjah dan tanda-tanda untuk mereka mengambil pengajaran, melihat kebenaran & beriman; tetapi apa boleh buat lagi banyak dan besar dalil, mereka tetap degil menolak & mendustakanya!
AYAT 66- {DAN KAUM ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) MENDUSTAKANNYA (AL-QURAN), PADAHAL IA ADALAH BENAR. KATAKANLAH: “AKU BUKANLAH ORANG YANG DITUGASKAN MENJAGA URUSAN KAMU, (AKU HANYA SEORANG RASUL YANG MENYAMPAIKAN PERINTAH-PERINTAH ALLAH KEPADA KAMU)”.} (AL-AN’AM 6:66)
- Puak kafir tetap mendustakan Nabi SAW & al-Quran sedangkan ianya adalah benar.
Allah yang utuskan Nabi menjadi rasul & Allah yang turunkan al-Quran.
- Allah ajar kepada Rasulullah untuk menyatakan bahawa Baginda bukanlah orang yang ditugaskan menjaga urusan mereka!
Bukan penjaga atau pengawal mereka!
- Tugas Nabi SAW hanya seorang Rasul, utusan yang menyampaikan perintah-perintah Allah kepada mereka!
Yang lain bukan tugas & tanggungjawab Nabi SAW.
AYAT 67- {TIAP-TIAP KHABAR BERITA MEMPUNYAI MASA YANG MENENTUKANNYA (YANG MEMBUKTIKAN BENARNYA ATAU DUSTANYA); DAN KAMU AKAN MENGETAHUINYA.} (AL-AN’AM 6:67)
- Setiap perkara & berita itu ada masa & tempohnya yang khas sebagaimana yang telah Allah SWT tetapkan!
Apabila tiba saatnya kamu akan mengetahuinya!
- Itulah janji & ketentuan Allah SWT!
Maka janganlah kamu berani membuat perkara yang dimurkai Allah SWT!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 63- {Katakanlah: “Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana-bencana di darat dan di laut?…}-
Allah suruh Nabi SAW bertanya kepada puak kafir itu siapakah yang menyelamatkan mereka ketika mereka di dalam kegelapan di darat & di laut.
Iaitu ketika dalam keadaan bahaya & kesusahan????
Ayat ini menunujukkan akan sempurnanya rahmat & limpah kurnia Allah SWT kepada hamba-Nya, sama ada yang beriman atau tidak!
Apabila mereka ditimpa bala-bencana, Allah yang selamatkan mereka!
Huru-hara yang berlaku atas dunia ini untuk kita insaf & ingat; menunjukkan bahawa huru-hara di Akhirat kelak lagi teruk & dahsyat!
Maka apabila kamu selamat, berimanlah kamu kepada Allah jangan tunggu & tangguh!
Jika nak bertaubat taubatlah segera pada waktu itu juga!
Jika tidak kamu akan terus lalai & hanyut.
- Ayat 64- {Katakanlah: “Allah jualah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala jenis kesusahan; dalam pada itu, kamu (masih) mempersekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain)”.}-
Hanya Allah sahaja yang dapat menyelamatkan manusia daripada segala kesusahan.
Kerana itu kita orang yang beriman, susah atau senang hanya berdoa & memohon pertolongan dari Allah sahaja bukan kepada yang lain.
Cukuplah direct dengan Allah SWT, tidak perlu kepada perantaraan atau orang tengah!
Apatah lagi meminta dengan orang yang telah mati di dalam kuburnya!
Ayat ini juga mengingatkan sesiapa yang syirik dalam beribadat kepada Allah maka dikira dia tidak menyembah Allah!
- Ayat 65- {Katakanlah: “Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana),…}-
Ayat ini amaran keras kepada mana-mana perderhaka atas dunia ini!
Apabila Allah SWT hantarkan azab, tiada tempat untuk kamu lari & menyelamatakan diri lagi.
Allah guna perkataan yang umum (نَّكِرَةُ) untuk perkataan azab ini (عَذَابًۭا) kerana untuk menunjukkan semua jenis azab itu sesuai semuanya!
Hikmah Allah tidak spesifikkan jenis azab itu, kerana semua jenis azab boleh dikira.
Untuk zaman moden ini; Sama ada dari atas seperti bom dari udara atau dari bawah seperti bom jerangkap samar, atau kapal selam yang datang meletup dan lain-lain.
Jika zaman dulu suara petir atau angin taufan dari langit, terbelahnya bumi & lautan, kemarau atau banjir dan seumpamanya.
- Ayat 65- {… , atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah – berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain”.}-
Perpecahan itu adalah sejenis azab yang Allah turunkan juga!
Apabila kamu tidak bersatu, berpecah dan berbalah sesama sendiri berebut harta atau jawatan, berselisih pendapat dan sebagainya, maka ia adalah satu jenis azab kerana tiada kedamaian, ketenangan dan kesatuan.
Apabila kita sesama umat Islam berbalah berpecah maka orang kafirlah yang akan mengaut hasil & keuntungan dari perbalahan itu.
Allah timpakan perbalahan ke atas kita kerana kita tidak jujur kepada Allah SWT!
Jika masing-masing ikhlas dalam perjuangan & keikhlasan hanya kepada Allah insya’ Allah Allah akan tolong!
- Ayat 66- {Dan kaum engkau (wahai Muhammad) mendustakannya (Al-Quran), padahal ia adalah benar…}-
Allah nyatakan bahawa orang yang menentang Nabi SAW adalah dari kaumnya sendiri.
Bahkan dari kalangan keluarga Baginda sendiri seperti Abu Lahab, Abu Jahal dan lain-lain.
Dari ayat ini kita kena belajar bahawa adakalanya apabila kita bawa dakwah ajak manusia kepada al-Quran & Sunnah; yang menentang kita ialah anak-beranak, keluarga kita, orang kampung kita sendiri!
Inilah bala bencana yang berlaku kepada kita!
Jika dikira dengan logik, patutnya kaum Quraisy Makkah bangga dengan Rasulullah SAW sebagai seorang rasul yang dilantik dari kalangan mereka!
Tetapi apa boleh buat itulah ketetapan Allah SWT yang telah berlaku.
- Ayat 67- {Tiap-tiap khabar berita mempunyai masa yang menentukannya.}-
Allah tegaskan bahawa bagi setiap berita atau perkara itu ada tempohnya!
Kamu jangan gopohlah, jangan minta disegerakan azab, Allah sudah tetapkan bila ia akan didatangkan!
Jika datang azab kamu tidak akan lepas lagi!
Begitu juga hidup, mati kita, semuanya di bawah kuasa Allah SWT; yang pentingnya kita usaha cuba buat yang terbaik dalam hidup kita, jika ada kelemahan kita istighfar kepada Allah.
Setiap berita ada waktunya, ada waktu tenang ada waktu huru-hara.
Yang pentingnya kita nak selamatkan diri kita daripada azab Allah dengan kita beriman kepada Allah & mengiku Sunnah Rasulullah SAW.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir ringkas kita untuk hari ini semoga memberi manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.