JIDAL NABI IBRAHIM AS DENGAN AAZAR, MENGGUNAKAN DALIL AQAL & MEMBATALKAN SYIRIK
Full video : https://youtu.be/mQoio30e-yY?si=g54qSJe8y2girAwx
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 74 sehingga 79 dalam juzu’ ketujuh.
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang jidal Nabi Ibrahim AS dengan bapanya Aazar dan kaumnya yang kafir.
- Nabi Ibrahim menggunakan dalil aqal sebagai hujjah yang jelas agar mudah difahami.
- Dia menggunakan dalil cakerawala sebagai hujjah untuk membatalkan syirik puak kafir itu.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang hari Kiamat.
ii- Maka di sini di bawa beberapa dalil aqli untuk menyatakan bahawa makhluk ini tidak ada kuasa.
Kamu sembahlah matahari, bulan, bintang atau apa saja; semua itu tidak memberi manfaat & darurat kepada kamu!
Oleh kerana semua golongan kafir di Arab itu mengaku bahawa mereka pengikut Nabi Ibrahim AS sama ada yahudi, nasrani maka dibawa cerita Nabi Ibrahim untuk ketuk & sedarkan puak Arab itu bahawa inilah ajaran Nabi Ibrahim yang sebenar bukan seperti yang kamu dakwa itu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 74- {DAN (INGATLAH) KETIKA NABI IBRAHIM BERKATA KEPADA BAPANYA AAZAR: “PATUTKAH AYAH MENJADIKAN BERHALA-BERHALA SEBAGAI TUHAN-TUHAN? SESUNGGUHNYA AKU MELIHATMU DAN KAUMMU DALAM KESESATAN YANG NYATA”.} (AL-AN’AM 6:74)
- Allah SWT menceritakan kepada Nabi Muhammad SAW kisah nabi Ibrahim dan bapanya yang bernama Aazar.
- Dialognya untuk kali ini ialah Ibrahim berkata dengan tegas, direct bukan lagi dengan lembut dan lunak seperti yang sebelumnya:
i- Apakah patut bapanya & kaumnya menjadikan berhala-berhala itu sebagai tuhan-tuhan?
Sedangkan patung berhala itu tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk memeberi kebaikan atau keburukan untuk mereka!
ii- Ibrahim menyatakan bahawa sesungguhnya dia melihat bapanya dan kaumnya berada dalam kesesatan yang nyata.
- Untuk maklumat & fakta sejarah;
Untuk nak mengisbatkan keEsaan (وحدانية) & Ketuanan (ألوهية) Allah SWT, Nabi Ibrahim telah berdialog sebanyak empat kali dengan bapa & kaumnya:
i- Dialog pertama dengan bapanya sendiri dengan ayat yang cukup lembut & lunak iaitu bermula dari ayat 41 sehingga ayat 48 Surah Maryam:
Maksudnya:
{Ketika ia berkata kepada bapanya:” Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikitpun?} (Maryam 19:42)
Sebanyak 4 kali Nabi Ibrahim menyeru ayat dengan penuh lembut & kasih sayang.
ii- Dialog secara munazorah (tunjuk untuk mematahkan hujjah) dengan kaumnya dalam ayat kita ini:
Maksudnya:
{Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”.} (Al-An’am 6:76)
iii- Debat Nabi Ibrahim dengan raja pada zamannya itu:
Maksudnya:
{Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Ia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.} (Al-Baqarah 2:258)
iv- Hujjahnya dengan puak kafir penyembah berhala apabila mereka meninggalkan berhala untuk pesta; Nabi Ibrahim memecahkan berhala & tinggal yang besar sekali:
Maksudnya:
{Lalu ia memecahkan semuanya berketul-ketul, kecuali sebuah berhala mereka yang besar (dibiarkannya), supaya mereka kembali kepadanya.} (Al-Anbiya’ 21:58)
- Ini menunjukkan kekuatan Nabi Ibrahim AS dalam berdebat dan berjidal & berhujjah untuk mematahkan hujjah puak kafir.
- Ayat kita ini adalah ayat munazorah, yakni hujjah yang digunakan untuk berdebat; kita kata seperti yang mereka fahami, bukan menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim percaya bahawa bulan dan bintang & matahari itu sebagai Tuhan; tetapi berkata begitu untuk menyedarkan mereka bahawa semua itu bukan Tuhan dan tidak berkuasa!
Yakni uslub untuk berdebat, Nabi Ibrahim AS itu sudah mantap iman dan keyakinannya!
- Satu kisah yang sedih sebagaimana yang diriwayatkan dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW menceritakan keadaan Ibrahim AS ketika bertemu ayahnya di akhirat:
“ يَلْقَى إِبْرَاهِيمُ أَبَاهُ آزَرَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَعَلَى وَجْهِ آزَرَ قَتَرَةٌ وَغَبَرَةٌ، فَيَقُولُ لَهُ إِبْرَاهِيمُ أَلَمْ أَقُلْ لَكَ لاَ تَعْصِنِي. فَيَقُولُ أَبُوهُ فَالْيَوْمَ لاَ أَعْصِيكَ. فَيَقُولُ إِبْرَاهِيمُ يَا رَبِّ، إِنَّكَ وَعَدْتَنِي أَنْ لاَ تُخْزِيَنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ، فَأَىُّ خِزْىٍ أَخْزَى مِنْ أَبِي الأَبْعَدِ فَيَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى إِنِّي حَرَّمْتُ الْجَنَّةَ عَلَى الْكَافِرِينَ، ثُمَّ يُقَالُ يَا إِبْرَاهِيمُ مَا تَحْتَ رِجْلَيْكَ فَيَنْظُرُ فَإِذَا هُوَ بِذِيخٍ مُلْتَطِخٍ، فَيُؤْخَذُ بِقَوَائِمِهِ فَيُلْقَى فِي النَّارِ ”.
Maksudnya: “Pada hari kiamat Ibrahim akan bertemu ayahnya Azaar yang mukanya gelap dan penuh debu. (Nabi Ibrahim akan berkata kepadanya: ‘Bukankah aku telah memberitahu kamu supaya jangan menderhaka kepadaku?’ Bapanya akan menjawab: ‘Hari ini aku tidak akan menderhaka kepada kamu.’ ‘Ibrahim pun berkata: ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah berjanji denganku agar tidak menghinakan daku pada hari di mana semua manusia dibangkitkan (dari kubur masing-masing), maka apakah kehinaan yang lebih dahsyat dari kehinaan yang menimpa bapaku yang terjauh dari rahmat (syurga)-Mu?’ Allah Azza wa Jalla berfirman: ‘Sesungguhnya aku mengharamkan syurga itu ke atas orang-orang kafir.’ Kemudian dikatakan kepada Ibrahim, ‘Wahai Ibrahim, apakah yang berada di bawah kedua kakimu?’ Lalu Ibrahim pun melihat ke bawah kedua-dua kakinya dan baginda mendapati seekor dubuk (hyena) yang diselaputi oleh tanah berlumpur. Kemudian dubuk itu ditangkap dengan dipegang kakinya lalu dicampakkan ke dalam api neraka.” [HR Al-Bukhari: 3350]
- Hadis ini menjelaskan bahawa Azar akan ditukarkan rupanya menjadi rupa seekor dubuk supaya orang tidak cam bahawa itu adalah bapa Nabi Ibrahim yang dimasukan ke dalam neraka!
Ini kerana Allah mahu menunaikan doa Nabi Ibrahim agar dia tidak dimalukan di Akhirat di hadapan ramai.
Dia sebagai seorang Nabi tapi bapanya dicampakkan ke dalam neraka!
AYAT 75- {DAN DEMIKIANLAH KAMI PERLIHATKAN KEPADA NABI IBRAHIM KEBESARAN DAN KEKUASAAN (KAMI) DI LANGIT DAN DI BUMI, DAN SUPAYA MENJADILAH IA DARI ORANG-ORANG YANG PERCAYA DENGAN SEPENUH-PENUH YAKIN.} (AL-AN’AM 6:75)
- Allah nyatakan lagi sebagaimana diberikan kepada Ibrahim cerah mata hati untuk berlawan & berhujjah dengan kaumnya; diberikan juga kepadanya keyakinan yang begitu mantap, yang bertambah-tambah.
- Bukan Nabi Ibrahim tak yakin sebelum ini cuma bertambah teguh, yakin & mantap dengan anugerah Allah!
AYAT 76- {MAKA KETIKA IA BERADA PADA WAKTU MALAM YANG GELAP, IA MELIHAT SEBUAH BINTANG (BERSINAR-SINAR), LALU IA BERKATA: “INIKAH TUHANKU?” KEMUDIAN APABILA BINTANG ITU TERBENAM, IA BERKATA PULA: “AKU TIDAK SUKA KEPADA YANG TERBENAM HILANG”.} (AL-AN’AM 6:76)
- Pada waktu malam yang gelap Nabi Ibrahim melihat sebuah bintang yang bersina-sinar lalu mengumpulkan keluarga dan kaumnya dan berkata: Inilah Tuhanku!
Bukan Ibrahim itu syirik cuma dia bermain dengan hujjah aqal untuk menyedarkan mereka.
- Kemudian apabila bintang itu hilang, terbenam Ibrahim terus mencelanya:
Kenapa ia pergi meninggalkan kita?
Aku tidak suka kepada sesuatu yang hilang! Pastilah ia bukan Tuhan kita.
AYAT 77- {KEMUDIAN APABILA DILIHATNYA BULAN TERBIT (MENYINARKAN CAHAYANYA), DIA BERKATA: “INIKAH TUHANKU?” MAKA SETELAH BULAN ITU TERBENAM, BERKATALAH DIA: “DEMI SESUNGGUHNYA, JIKA AKU TIDAK DIBERIKAN PETUNJUK OLEH TUHANKU, NESCAYA MENJADILAH AKU DARI KAUM YANG SESAT”.} (AL-AN’AM 6:77)
- Kemudian selepas bintang itu hilang, terbit pula bulan yang bersinar lalu Ibrahim berkata inilah Tuhan sebenar kerana lebih besar dan terang.
- Tetapi tidak lama kemudian bulan itu juga terbenam, hilang meninggalkan mereka dalam kegelapan!
Sekali lagi ibrahim mencelanya:
Kenapa ia pergi meninggalkan kita?
Jika Tuhan tidak memberi petunjuk kepada kita pasti kita akan sesat!
Pastilah ia juga bukan Tuhan kita.
- Ini kerana Ibrahim mahu kaumnya buka mata, celik mata bahawa jika kita tidak ada bimbingan dari Tuhan kita akan sesat!
Siapa nak tolong kita kalau bukan Tuhan, Ibrahim main psikologi agar kaumnya sedar sedikit demi sedikit.
AYAT 78- {KEMUDIAN APABILA DIA MELIHAT MATAHARI SEDANG TERBIT (MENYINARKAN CAHAYANYA), BERKATALAH DIA: “INIKAH TUHANKU? INI LEBIH BESAR”. SETELAH MATAHARI TERBENAM, DIA BERKATA PULA: ` WAHAI KAUMKU, SESUNGGUHNYA AKU BERLEPAS DIRI (BERSIH) DARI APA YANG KAMU SEKUTUKAN (ALLAH DENGANNYA).} (AL-AN’AM 6:78)
- Apabila habis malam tiba siang; terbit pula matahari yang lebih besar dan lebih terang cahayanya!
Sekali lagi Ibrahim berkata kepada kaumnya inilah Tuhan kita yang sebenar kerana lebih besar dan terang daripada yang sebelumnya.
- Tetapi tidak lama kemudian matahari itu juga terbenam, hilang meninggalkan mereka dalam kegelapan!
- Lalu Ibrahim berkata kepada kaumnya: Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sekutukan Allah dengannya.
Yakni jika tidak percaya juga kepada Allah maka kita tidak ada lagi hubungan dari sudut agama!
AYAT 79- {“SESUNGGUHNYA AKU HADAPKAN MUKA DAN DIRIKU KEPADA ALLAH YANG MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI, SEDANG AKU TETAP DI ATAS DASAR TAUHID DAN BUKANLAH AKU DARI ORANG-ORANG YANG MENYEKUTUKAN ALLAH (DENGAN SESUATU YANG LAIN)”.} (AL-AN’AM 6:79)
- Selepas beberapa bandingan itu akhirnya Ibrahim mengisytiharkan pendirian dan pegangannya.
Habis dan sudah cukuplah berhujjah.
- Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
i- Apabila Ibrahim mengingkari ayah & kaumnya yang menyembah berhala, dia juga telah menunjukkan kesesatan mereka dalam menyembah bulan bintang dan lain-lain dengan dalil aqli iaitu hujjah menggunakan aqal.
ii- Maka datanglah ayat ini, Nabi Ibrahim menyatakan pendirian dan agamanya!
Jika kamu nak selamat maka marilah ikut aku!
- Iaitu Ibrahim berlepas diri daripada sembahan bapa & kaumnya serta menyatakan agamanya:
{إِنِّى وَجَّهْتُ وَجْهِىَ لِلَّذِى فَطَرَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ حَنِيفًۭا ۖ وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ}
i- Aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi,
ii- Sedang aku tetap di atas dasar tauhid, mengesakan Allah SWT jauh daripada syirik.
iii- Dan sekali bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.
Kita orang Islam wajib bertegas menyatakan agama & pegangan kita, bukan boleh dicampur gaul dengan agama lain.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini yang dikenali sebagai seruan pertama dalam al-Quran”.
Maksudnya:
{Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.
Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).} (Al-Baqarah 2: 21-22)
Juga firman-Nya yang bermaksud:
{Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah merupakan “satu umat” (walaupun Ia seorang diri); ia takat bulat-bulat kepada Allah, lagi berdiri teguh di atas dasar tauhid; dan ia tidak pernah menjadi dari orang-orang yang musyrik.
Ia sentiasa bersyukur akan nikmat-nikmat Allah; Allah telah memilihnya (menjadi Nabi) dan memberi hidayah petunjuk kepadanya ke jalan yang lurus.
Dan Kami telah memberikan kepadanya kebaikan di dunia; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat adalah dari orang-orang yang soleh.
Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.} (Al-Nahl 16: 120-123)
- Agama syirik yang pertama atas dunia ialah menyembah berhala.
Puncanya ialah ghuluw melampaui dalam memuliakan orang soleh (الغُلو في حب الصالحين مِنْ أعظم أسباب الشرك بالله)!
Pelopornya bermula selepas zaman Nabi Adam AS. apabila mati orang soleh di kalangan mereka, mereka buat gambar orang soleh pada setiap zaman untuk mengingati mereka.
Datang generasi berikutnya mereka lebih hormat dengan tunduk, rukuk sujud akhirnya sembah!
Ini adalah penyelewengan yang diajar oleh syaitan kepada manusia!
- Firman Allah SWT tentang ini:
Maksudnya:
{“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.} (Nuh 71:23)
Baca penjelasan di: https://abuanasmadani.com/sebab-berlakunya-syirik-di…/
- Kerana itu kita harapkan sangat para pendakwah dan pihak yang berkuasa menyekat sentiment ini iaitu ghuluw dalam menyayangi orang soleh sehingga menimbulkan ketaksuban dan pengkultusan yang melampau.
Kawallah keadaan sebelum parah, sebelum jadi fenomena & kebiasaan, maka orang tak dengar lagi!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 74- {Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”.}-
Dalam ayat ini nabi Ibrahim mengingkari bapanya.
Kata ulama’ tersebut : Apabila kita tahu sesuatu perkara itu salah, walaupun orang yang buat salah itu dekat dengan kita seperti ibu bapa atau sesiapa saja, wajib kita kena tegur.
Sebagaimana firman Allah SWT: { وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ ٱلْأَقْرَبِينَ} {Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.} (Asy-Syu’araa’ 26: 214)
Nabi Ibrahim dia mulakan dengan bapanya dulu, sebagaimana dalam Surah Maryam yang telah dibawa di atas.
Ia juga menunjukkan peranan datuk moyang mesti diperingatkan kepada anak cucu.
Nabi Muhammad SAW adalah dari keturunan Nabi Ibrahim AS melalui jalur anaknya, Nabi Ismail AS.
Begitu juga kebanyakan orang Arab Makkah pada waktu itu adalah dari keturunan Ismail.
Maka diperingatkan kepada mereka, inilah ajaran datuk kamu yang sebenarnya, maka marilah ikutnya tinggalkan syirik dan berhala kamu!
Apa yang tak kena kita kena tegur jangan dibiarkan!
- Ayat 74- {Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”.}-
Nabi Ibrahim berhujjah dengan bapanya.
Apakah logik kamu nak ambil berhala sebagai Tuhan?
Berhala yang diukir dengan batu, yang kaku, yang kamu sendiri ukir & buatnya!
Kitapun kalau nak berhujjah dengan orang yang belum beriman kena guna dalil aqli yang mereka boleh fikir & nampak.
Jangan terus guna dalil naqli seperti al-Quran dan hadis kerana mereka mana percaya kepada Quran!
Seperti hujjah logikkah ada dua tiga Tuhan dalam satu bumi ini, nanti tidakkah mereka akan berbalah dan berlawan.
Contoh pendekatan psikologi dan hujjah aqli yang digunakan oleh Rasulullah SAW:
Pada zaman Nabi SAW, ada seorang lelaki yang baru memeluk Islam. Dia mempunyai nafsu yang kuat. Setelah mengucap dua kalimah syahadah, dia pergi bertemu dengan Rasulullah SAW. Dia memberitahu Baginda SAW bahawa dia boleh melakukan apa sahaja yang disuruh namun tidak dapat mengawal nafsu syahwatnya apabila melihat orang perempuan. Dia bertanya adakah boleh dia berzina? Semua terkejut dengan pertanyaannya malah para Sahabat pun berasa naik angin dan ingin menumbuknya. Baginda SAW melarang Sahabat daripada berbuat sedemikian dan meminta supaya lelaki itu datang mendekatinya. Baginda SAW ingin mendapatkan kepastian daripadanya dan memberikannya kesedaran akan keburukan berzina. Nabi SAW bertanya adakah dia menyukai sekiranya ada orang yang berzina dengan ibunya? Dia menjawab bahawa dia tidak ingin hal sedemikian terjadi. Nabi SAW bertanya lagi adakah dia menyukai sekiranya ada orang yang berzina dengan isterinya? Dia menjawab dengan jawapan yang sama. Nabi SAW bertanya lagi bagaimana dengan anaknya? Dia masih menjawab dengan jawapan yang sama. Nabi SAW melanjutkan persoalan dengan menyatakan ibu saudara, adik-beradik perempuan, cucu, menantu dan nenek. Dia masih menjawab dengan jawapan yang sama. Lalu Nabi SAW memberitahu bahawa orang lain juga tidak ingin hal sedemikian terjadi. Apabila mendengar jawapan Nabi, dia termenung dan mulai sedar akan sebab Islam melarang perbuatan tersebut. Kemudian Nabi SAW meletakkan tangan di dada lelaki itu dan membaca satu doa yang bermaksud; “Wahai Tuhan, bersihkanlah hati orang ini dan jagalah kemaluannya daripada perbuatan zina.” [HR Ahmad dan lain-lain].
Selepas bertemu dengan Nabi, dia memberitahu kepada orang ramai bahawa tiada perkara yang paling dia benci kecuali perbuatan zina.
Demikianlah berkatnya kerana dia memahami sebab Islam melarang zina.
- Ayat 74- {… Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”.}-
Nabi Ibrahim menyatakan bahawa dia melihat mereka itu barada dalam kesesatan.
Kerana itu Baginda menggunakan hujjah aqli, berlawan dengan mereka mengatakan Tuhannya bulanlah, bintang dan matahari!
Ini supaya mereka nampak dan sedar bahawa semua itu tidak benar dan karut!
Bahawa kamu itu sesat, bila sesat celiklah mata & carilah jalan yang benar!
Ibrahim guna uslub jidal & munazorah supaya manusia cepat berfikir & celik mata!
- Ayat 76- {… Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”.}-
Apabila bintang itu hilang {أَفَلَ} nabi Ibrahim kata dia tak suka kepada sesuatu yang hilang.
Nabi Ibrahim berhujjah dengan apabila hilang {أَفَلَ} bukan dengan yang naik (بَازِغًۭا)- iaitu apabila hilang bintang, bulan & matahari, nabi Ibrahim lalu menafikan mereka sebagai Tuhan.
Kerana mereka adalah sesuatu yang menghilangkan diri {ٱلْـَٔافِلِينَ} dan meninggalkan manusia dalam kegelapan & kesesatan, itu bukan sifat Tuhan.
Kata ulama’ : Ini kerana benda yang hilang itu benda yang tiada kuasa. Manakala untuk jadi Tuhan kena sentiasa ada dan kena ada kuasa, tidak boleh ada kekurangan seperti hilang!
- Ayat 78- {… dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).}-
Pertama sekali Ibrahim berlepas diri daripada perbuatan bapa & kaumnya yang melakukan syirik!
Tidak kira sama ada bapa atau kaum keluarganya!
Kemudian dia menyatakan pendirian & agama pegangannya:
Ayat 79- {“Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi,…}
{إِنِّى وَجَّهْتُ وَجْهِىَ لِلَّذِى فَطَرَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ حَنِيفًۭا ۖ وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ}
Ayat inilah yang kita baca dalam doa iftitah (pembuka) solat kita selepas takbiratul-ihram dan sebelum al-Fatihah.
Kita serahkah diri kita kepada Allah yang mencipta langit dan bumi, dua kejadian yang amat besar & hebat serta apa yang ada di antara keduanya!
Kita mesti nyatakan pendirian kita, mesti lawan dan membanteras segala perbuatan yang boleh membawa kepada kufur, syirik, khurafat & bid’ah.
Menjadi kewajipan kepada para pendakwah & penguasa untuk menyatakan kebenaran, menjalankan tugas amar ma’ruf nahi mungkar setakat kemampuan!
Bagitahu yang benar, yang sahih dari Nabi SAW; masyarakat nak dengar nak ikut alhamdulillah, ahlan wa sahlan, masyarakat tak ikut telah lepas tanggungjawab kita!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir ringkas kita untuk hari ini semoga memberi manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.