NABI IBRAHIM AS BERDEBAT DENGAN KAUMNYA, TAKUTLAH KEPADA ALLAH & ORANG BERIMAN AMAN.
Full video : https://youtu.be/-abxYsLFps0?si=nmHbFGAbC01r_BvZ
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 80 sehingga 83 dalam juzu’ ketujuh.
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang Nabi Ibrahim AS berdebat dengan bapanya & kaumnya.
- Nabi Ibrahim menyatakan bahawa dia tidak takut kepada berhala yang tidak mampu bergerak itu bahkan manusia kena takut kepada Allah kerana Allah yang Maha Berkuasa.
- Kemudian Allah nyatakan orang yang akan mendapat keamanan & kesejahteraan di Akhirat kelak ialah orang beriman.
Allah juga memuji Nabi Ibrahim & orang yang mengikutnya atas landasan iman kepada Allah SWT.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Nabi Ibrahim telah mengiklankan aqidahnya.
Maka puak kafir itu berasa kecewa tidak dapat membawanya kepada kepercayaan mereka.
ii- Maka datang ayat ini Allah ceritakan bagaimana puak kafir itu datang nak berhujjah, nak berdebat dengan Nabi Ibrahim, maka Ibrahim melawannya berdebat dengan kaumnya tentang ketuhanan Allah SWT & bahawa dia telah berlepas diri daripada sembahan mereka!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 80- {DAN IA DIBANTAH OLEH KAUMNYA, IA PUN BERKATA: “PATUTKAH KAMU MEMBANTAHKU MENGENAI ALLAH, PADAHAL SESUNGGUHNYA IA TELAH MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADAKU? DAN AKU PULA TIDAK TAKUT (AKAN SEBARANG BAHAYA DARI) APA YANG KAMU SEKUTUKAN DENGAN ALLAH, KECUALI TUHANKU MENGHENDAKI SESUATU DARI BAHAYA ITU. (SESUNGGUHNYA) PENGETAHUAN TUHANKU MELIPUTI TIAP-TIAP SESUATU, TIDAKKAH KAMU MAHU (INSAF) MENGAMBIL PELAJARAN?} (AL-AN’AM 6:80)
- Nabi Ibrahim dibantah oleh kaumnya lalu dia menjawab kepada mereka: Patutkan kamu berdebat denganku tentang Allah sedangkan aku telah diberi hidayah perintah olehnya?
Allah telah beri kepadaku wahyu & jalan yang benar. Patutnya kamu ikut aku bukan melawannya!
- Ibrahim juga mengatakan bahawa dia tidak takut dengan sebarang bahaya dari sekutu Tuhan mereka yang berupa patung & berhala yang kaku itu!
Dia tidak takut akan kena sebarang bahaya akibat sembahan mereka itu kecuali dengan kehendak Allah, Tuhan yang maha Berkuasa!
Hujjah Ibrahim begitu mantap dan dia sekat dari awal lagi sebarang kemungkinan.
- Kenapa Nabi Ibrahim terus sekat ini dengan mengatakan sedemikian yakni mungkin dia akan kena mudharat, susah senang atau sakit TETAPI dengan sebab ketentuan Allah Azza wa Jalla.
- Ini untuk menutup pintu fitnah jika ditaqdirkan dia diuji dengan kesakitaan atau kesusahan; puak kafir akan datang mendakwa; lihatlah akibat kamu nak lawan Tuhan kami sekarang sudah kena akibatnya!
- Hakikat seperti ini berlaku dalam masyarakat Melayu kita ini terutamanya bagi kumpulan ajaran sesat!
Itulah yang mereka dakwa apabila ada pengikut mereka yang sedar perkara itu salah lalu berpaling tadah keluar dari ajaran mereka, kembali ke pangkal jalan.
Jika orang itu terkena ujian atau sakit hatta mati sekalipun, mereka kata kena tulah bala kerana derhaka kepada pemimpin mereka!
Untuk menakut-nakutkan orang lain juga agar jangan lari!
Mereka seolah lupa bahawa ajal maut itu di tangan Allah SWT!
Na’uzubillah!
- Kerana itulah kata ulama’ : Kisah-kisah nabi terdahulu akan berulang alik dalam sejarah.
Begitu juga di kalangan kita orang awam, kisah & ibrah ini juga terpakai dalam kehidupan kita sesama Islam!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
Maksudnya:
{Mereka berkata: “Wahai Hud! Engkau tidak membawa kepada kami sebarang keterangan yang membuktikan kebenaranmu, dan kami tidak akan meninggalkan penyembahan tuhan tuhan kami dengan sebab kata katamu itu! Dan kami tidak sekali kali percaya kepadamu!
“Kami hanya boleh berkata bahawa setengah dari tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu)”.
Nabi Hud menjawab: “Sesungguhnya aku menyeru Allah menjadi saksi tentang kebenaranku, dan kamu juga saksikanlah bahawa aku bersih dari dosa perbuatan syirik kamu,
” Menyembah yang lain dari Allah. Maka rancangkanlah tipu helah kamu semua terhadapku, kemudian jalankan terus, janganlah kamu beri tempoh kepadaku mempertahankan diri.
” Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu! Tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus.
Dalam pada itu, jika kamu membelakangkan juga seruanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku kerana aku telah sampaikan kepada kamu apa yang telah diutus oleh Allah untuk menyampaikannya, dan Tuhanku akan menggantikan kamu dengan suatu kaum yang lain (setelah kamu dibinasakan); dan kamu pula tidak akan dapat membahayakanNya sedikitpun. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengawal dan Pemulihara tiap-tiap sesuatu.”} (Hud 11: 53-57)
- Kemudian Ibrahim menegaskan bahawa sesungguhnya ilmu pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, bukan seperti berhala sembahan kamu itu yang telinga pun tidak mendengar!
- Maka tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil pelajaran dari hakikat ini wahai puak kafir????
Kembalilah kepada Allah Azza wa Jalla.
AYAT 81- {“DAN BAGAIMANAKAH AKU HENDAK TAKUTKAN APA YANG KAMU SEKUTUKAN DENGAN ALLAH ITU (YANG TIDAK DAPAT MENDATANGKAN SESUATU BAHAYA), PADAHAL KAMU TIDAK TAKUT BAHAWA KAMU TELAH SEKUTUKAN ALLAH DENGAN SESUATU YANG ALLAH TIDAK MENURUNKAN SEBARANG KETERANGAN KEPADA KAMU MENGENAINYA? MAKA YANG MANAKAH DI ANTARA DUA PUAK ITU YANG LEBIH BERHAK MENDAPAT KEAMANAN (DARI BAHAYA), JIKA BETUL KAMU MENGETAHUI?”} (AL-AN’AM 6:81)
- Ibrahim menegaskan lagi bahawa dia tidak sesekali akan takut kepada sembahan mereka yang lemah, tidak dapat mendatangkan sebarang bahaya, mudharat & manfaat kepada manusia!
- Sedangkan kamu pula tidak takut kepada Allah, Tuhan yang sebenarnya; yang mencipta kamu, yang memberi rezeki kepada kamu, yang berkuasa atas segala sesuatu!
- Kamu telah melakukan syirik kepada Allah SWT dengan sesuatu yang Allah tidak benarkan maka kamu telah buat satu kejahatan & dalam keadaan sesat.
- Lalu Ibrahim bertanya lagi kepada mereka untuk menyedarkan mereka agar sentap:
Jika betul kamu mengetahui, maka antara dua kumpulan ini, yang menyembah Allah yang Maha berkuasa atau yang menyekutukan Allah dengan sembahan yang lemah, siapakah yang lebih berhak mendapat keamanan dan keselamatan dari mara bahaya???
- Apabila Ibrahim berdebat dengan kafir ini, Allah tolong jawab kepada Ibrahim soalannya kepada kafir itu!
AYAT 82- {ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN TIDAK MENCAMPUR ADUKKAN IMAN MEREKA DENGAN KEZALIMAN (SYIRIK), MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG MENDAPAT KEAMANAN DAN MEREKALAH ORANG-ORANG YANG MENDAPAT HIDAYAH PETUNJUK.} (AL-AN’AM 6:82)
- Munasabah ayat:
i- Apabila Ibrahim bertanya dalam ayat sebelumnya siapakah di antara dua puak itu yang lebih berhak mendapat keamanan???
ii- Allah yang jawabnya dalam ayat ini, orang yang aman & selamat ialah orang yang benar-benar beriman, yang tidak mencampurkan antara iman & syirik!
- Ingat, ada orang yang paginya solat & bersyahadah kepada Allah, siangnya minta pertolongan kepada jin syaitan, kubur & pokok kayu, petangnya ke masjid pula tetapi malamnya keluar cari tok bomoh tok dukun!
Maka ada koyak di situ, jangan dok campur aduk iman kita dengan perkara karut!
- Maka Allah kata orang yang tidak campurkan imannya dengan syirik itulah orang yang mendapat keamanan dan keselamatan.
- Kisah ini ada ceritanya; Apabila ayat ini diturunkan kepada Nabi ﷺ dan para sahabat, para sahabat yang mendengarnya merasa amat risau sekali, kerana mereka tahu yang serba sedikit mereka pun ada juga melakukan kezaliman.
Jika tidak kezaliman kepada orang lain, tentu mereka ada melakukan kezaliman kepada diri sendiri. Mereka pun sudah menjadi resah gelisah.
Maka Nabi ﷺ memberitahu mereka bahawa kezaliman yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kezaliman kepada Allah iaitu melakukan syirik kepada Allah ﷻ lalu, Nabi ﷺ membacakan sepotong ayat daripada Surah Luqman:13: إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
Maksudnya: {Sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar“.}
Konteks ayat ini adalah mengenai kesyirikan yang dilakukan oleh kaum Nabi Ibrahim عليه السلام.
Oleh itu, ‘zalim’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah zalim kepada Allah ﷻ, iaitu syirik.
- Hadis Nabi SAW:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ: {الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ} [الْأَنْعَامِ: 82] ، شَقَّ ذَلِكَ عَلَى أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلم، وَقَالُوا: أَيُّنَا لَمْ يَلْبس إِيمَانَهُ بِظُلْمٍ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أنه لَيْسَ بِذَاكَ، أَلَا تَسْمَعَ إِلَى قَوْلِ لُقْمَانَ: {يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ}
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA yang menceritakan bahawa ketika diturunkan firman-Nya: Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur-adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik). (Al-An’am: 82). Hal itu terasa berat bagi para sahabat Nabi ﷺ kerana mereka berkata, “Siapakah di antara kita yang tidak mencampuri imannya dengan perbuatan zalim (dosa).” Maka Rasulullah ﷺ bersabda, “Bukan demikian yang dimaksud dengan zalim. Tidakkah kamu mendengar ucapan Luqman: {‘Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.’} (Luqman: 13). (HR. Bukhari No. 4776, 6918)
- Manakala kezaliman besar sesama manusia seperti yang kita lihat hari ini ; pukul orang, bunuh, tindas, penjara, tuduh fitnah, ambil barang orang dan sebagainya juga adalah satu kejahatan yang amat keji.
Sempena kejadian di Syria, kita berdoa semoga Allah menghapuskan kezaliman di sana, beri keadilan, keamanan dan keselamatan untuk rakyatnya yang tertindas dan semoga agama Islam kembali diangkat.
Allah SWT-lah yang dapat membalas para penzalim atas dunia ini dengan hukuman yang sewajarnya; jika mereka terlepas atas dunia ini, balasan di Akhirat tetap menunggu & ada!
AYAT 83- {DAN ITULAH HUJAH (BUKTI) KAMI, YANG KAMI BERIKAN KEPADA NABI IBRAHIM UNTUK MENGALAHKAN KAUMNYA. KAMI TINGGIKAN PANGKAT-PANGKAT KEDUDUKAN SESIAPA YANG KAMI KEHENDAKI. SESUNGGUHNYA TUHANMU MAHA BIJAKSANA, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (AL-AN’AM 6:83)
- Munasabah ayat ini dengan yang sebelummya:
i- Apabila Nabi Ibrahim menang dalam berhujjah & berdebat dengan kaumnya dalam mengangkat kebenaran kalimah Allah;
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan kedudukan Nabi Ibrahim & pengikutnya yang benar dalam beriman kepada Allah, yang berdakwah mengajak orang kafir kepada Islam, mereka telah dianakat darjatnya oleh Allah!
- Allah berfirman: {Inilah dalil bukti bagi hujjah yang Kami berikan kepada Nabi Ibrahim.} Apakah maksudnya:
Inilah hujjah kami {وَتِلْكَ حُجَّتُنَآ} ini?
- Ulama’ tafsir ada menyebut beberapa pandangan tentangnya:
i- Kata Ibnu Jarir RHM : Hujjah itu ialah kata-kata Ibrahim kepada kaumnya:
{Maka yang manakah di antara dua puak itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari bahaya),}.
ii- Kata ulama’ lain pula : Hujjah itu ialah semua perdebatan Nabi Ibrahim dalam ayat yang lepas tentang cakerawala, kelemahan berhala dan sebagainya sehingga kepada ayat ini!
Ini pilihan al-Wahidi dan lain-lain ulama’, ia lebih umum & global.
- Yakni Allah beri wahyu, ilham petunjuk & kefahaman kepada Ibrahim untuk berdebat berlawan dan mematahkan hujjah kaumnya yang sesat & syirik kepada Allah SWT!
- Allah juga mengangkat darjat Nabi Ibrahim dan sesiapa saja yang Allah telah anugerahkan kepada mereka ilmu pengetahuan & makrifat untuk berjuang menegakkan & membela agama Allah.
Allah akan angkat darjatnya di dunia & di Akhirat juga!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
Maksudnya:
{… supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu), beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.} (Al-Mujaadalah 58:11)
- Yakni orang yang berilmu dengan orang tak berilmu tak sama darjatnya, bahkan sesama ahli ilmu pun ada perbezaannya!
Ada yang kefahamannya tentang al-Quran mantap, ada yang sederhana dan sebagainya. Yang pegangannya kepada Sunnah mantap pastilah lebih tinggi darjatnya!
- Pada akhir ayat Allah nyatakan dua sifat-Nya:
i- Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana {حَكِيمٌ}, dalam siyasah-Nya, penciptaan & pentadbiran-Nya.
ii- lagi Maha Mengetahui {عَلِيمٌ}- tentang apa yang berlaku, apa akibat orang yang derhaka dan menentang Allah & Rasul, Allah tahu akan penghujung nasib akhir mereka yang tidak baik itu!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 80- {Dan ia dibantah oleh kaumnya, ia pun berkata: “Patutkah kamu membantahku mengenai Allah,…}-
Ketika kaum Nabi Ibrahim datang berdebat, Ibrahim kata kamu nak berlawan dengan aku tentang Allah?
Debat atau perbahasan ini ada dua: yang dipuji oleh Allah & yang dikeji:
i- Setiap debat yang nak menegakkan agama Allah itu yang dipuji.
Seperti yang nabi Ibrahim buat ini, juga para pendakwah & ahli ilmu yang berdebat dengan para kafir, berjuang untuk menegakkan agama Allah, berlawan dengan puak ajaran sesat dan seumpamanya!
ii- Puak kafir yang datang nak berdebat dengan para nabi.
Seperti dalam ayat ini puak kafir nak berlawan dan berdebat dengan Nabi Ibrahim AS tentang Tuhan.
Lalu mereka ditempelak oleh Nabi Ibrahim, debat untuk menegakkan benang basah & menentang Tuhan ini debat yang dikeji.
Untuk berdebat kita kena ada ilmu, jika tidak hanya akan merosakkan Islam.
Jangan berani rempuh masuk dalam perkara yang kita tidak ada ilmu!
- Ayat 81- {“Dan bagaimanakah aku hendak takutkan apa yang kamu sekutukan dengan Allah itu (yang tidak dapat mendatangkan sesuatu bahaya),…}-
Nabi Ibrahim menegaskan bahawa dia tidak takut kepada berhala/tuhan yang mereka sembah kerana mereka lemah tidak boleh buat apa, bukan ada kuasa untuk beri manfaat atau mudharat.
Bahkan Ibrahim menegaskan dari awal lagi jika dia ditimpa musibah itu adalah dengan kehendak & kuasa Allah SWT bukan dengan sebab berhala mereka itu!
Tetapi Ibrahim beri terus pengecualian, Ini kerana Ibrahim nak sekat puak kafir dari guna hujjah itu bahawa Ibrahim sakit atau susah kerana lawan berhala!
Sebagaimana kumpulan ajaran sesat yang suka warwarkan bahawa sesiapa anak murid mereka yang lari keluar dari kumpulan mereka akan mati kerana derhaka kepada ketua atau syeikh mereka.
Kamu buatlah akan kena tulah & bencana, menakut-nakutkan manusia dari lari; semua ini mainan syaitan!
Maka Nabi Ibrahim bapa segala anbiya’ dan nabi, pembawa agama yang suci terus menyekat dari awal – menafikan bahawa takut & mudharat itu datang dari tuhan mereka, bahkan ia adalah dengan kehendak & kuasa Allah!
Berhala mereka tidak boleh buat apa; Nabi Ibrahim hanya takut kepada Allah SWT.
Bahkan ketika Nabi Ibrahim dicampak ke dalam api oleh raja mereka yang zalim, api tidak memberi mudharat kepadanya bahkan ia menjadi sejuk dan selamat dengan kuasa Allah SWT.
- Ayat 80- {… (Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil pelajaran?}-
Ilmu Allah itu meliputi segala perkara.
Sebelum ini Allah kata semua perkara akan berlaku dengan kehendak Allah kemudian ditegaskan bahawa ilmu Allah SWT meliputi setiap perkara.
Kecil atau besar, gelap atau cerah, atas langit atau dalam bumi, dalam lautan atau atas bukit, ilmu Allah meliputi segalanya!
Maka kita kena yakin dan percaya bahawa ilmu Allah meliputi segalanya!
Segala yang berlaku adalah dengan ketentuan & ketetapan Allah SWT baik musibah ujian atau nikmat rahmat-Nya.
Maka wahai manusia yang lupa, yang lalai, yang tak ingat & lagha: celik mata, buka telinga, buka akal bahawa kita sekarang ini berada di bawah kekuasaan & kehendak Allah Azza wa Jalla.
Buka mata, buka telinga, keluarlah dari kelaghaan dan kesesatan kamu itu & kembalilah kepada Allah!
- Ayat 81- {“Dan bagaimanakah aku hendak takutkan apa yang kamu sekutukan dengan Allah itu (yang tidak dapat mendatangkan sesuatu bahaya), padahal kamu tidak takut bahawa kamu telah sekutukan Allah…}-
Ibrahim kata dia sesekali tidak takut kepada Tuhan mereka sedangkan yang pelliknya mereka tidak takut apabila mereka berbuat syirik kepada Allah SWT!
Sedangkan mereka tahu bahawa Allah itu ada & mereka sendiri pun ketika dalam saat bahaya & ditimpa ujian akan memohon mencari Allah bukan meminta pertolongan dengan patung berhala mereka!
Kafir itu dalam dirinya dalam dhomirnya, mereka tahu ada Tuhan tetapi dalam ibadat & amalannya mereka sembah berhala!
Mereka tidak tajut untuk buat syirik kepada Allah sedangkan mereka tahu Allah itu Maha berkuasa!
Maka datang soalan terakhir siapakah yang layak untuk mendapat keamanan & keselamatan.
Ibrahim AS telah menakutkan mereka ketika aman & ketika takut juga!
Soalan diberi supaya mereka faham bahawa berhala mereka itu tidak dapat memberi apa-apa kuasa!
- Ayat 82- {Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.}-
Orang yang beriman yang tidak mencampurkan imannya dengan syirik.
Allah nyatakan kepada kita para orang Islam yang menyintai Allah untuk jaga diri kita daripada syirik; agar jangan mencampur aduk antara syirik & iman.
Kerana itu kita kewajipan kita kena belajar & ada ilmu tentang batasan antara iman & kufur. Agar kita tidak terjebak ke dalamnya, terbuat benda yang dilarang tanpa menyedarinya!
Boleh rujuk Kitab Mestika Hadis keluaran JAKIM tentang ini kerana ada dalam bab kewajipan menjaga tauhid, disenaraikan beberapa perkara yang boleh membawa kepada syirik!
Jika aqidah ada, walaupun terjebak dengan dosa & maksiat masih ada harapan untuk keluar dari neraka, tetapi jika syirik tidak ada peluang lagi!
Allah juga nyatakan bahawa orang yang beriman, orang yang ada ilmu, yang beramal & berpegang dengan al-Quran & Sunnah serta menyebarkannnya; itulah orang yang akan aman & selamat di dunia & Akhirat.
Semoga kita semua termasuk dalam golongan ini insya’ Allah.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir ringkas kita untuk hari ini semoga memberi manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.