MENGISBATKAN KENABIAN, ALLAH SWT TURUNKAN AL-QURAN & PERANAN AL-QURAN.
Full video : https://youtu.be/Gg1HArKvng4?si=yiqjE96iZYYN8uBc
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 91 sehingga 92 dalam juzu’ ketujuh.
- Dalam siri ini Allah SWT mengisbatkan an-Nubuwwah, iaitu menyatakan sifat kenabian bagi Rasulullah SAW dengan diturunkan kepadanya al-Quran.
- Allah SWT juga menyatakan apakah peranan Al-Quran kepada umat ini.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang para nabi & rasul terdahulu, bahawa mereka adalah orang yang mendapat petunjuk Allah.
Jika sesiapa nak selamat maka ikutlah petunjuk mereka.
Allah juga membatalkan syirik dengan menghantar para rasul & menurunkan al-Quran.
ii- Maka datang ayat ini untuk menunjukkan peranan al-Quran sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 91- {DAN TIADALAH MEREKA (KAUM YAHUDI) MENGHORMATI ALLAH SESUAI DENGAN PENGHORMATAN YANG SEBENARNYA KETIKA MEREKA BERKATA: “ALLAH TIDAK MENURUNKAN SESUATU PUN KEPADA MANUSIA”. BERTANYALAH (KEPADA KAUM YAHUDI YANG INGKAR ITU): “SIAPAKAH YANG MENURUNKAN KITAB (TAURAT) YANG DIBAWA OLEH NABI MUSA SEBAGAI CAHAYA DAN PETUNJUK BAGI MANUSIA, YANG KAMU JADIKAN DIA LEMBARAN-LEMBARAN KERTAS, SAMBIL KAMU PERLIHATKAN (KEPADA ORANG RAMAI SEBAHAGIAN KECIL DARIPADANYA) DAN KAMU SEMBUNYIKAN KEBANYAKANNYA; SEDANG KAMU PULA DIAJARKAN (DENGAN PENGAJARAN-PENGAJARAN YANG TERKANDUNG DI DALAMNYA), YANG TIDAK DIKETAHUI OLEH KAMU (SEBELUM ITU) DAN TIDAK JUGA OLEH DATUK NENEK KAMU?” KATAKANLAH (KEPADA MEREKA): “ALLAH JUALAH (YANG MENURUNKANNYA)”, KEMUDIAN, BIARKANLAH MEREKA LEKA BERMAIN-MAIN DALAM KESESATANNYA.} (AL-AN’AM 6:91)
- Allah menceritakan tentang kaum yahudi yang lupa hakikat apabila cuba mendustakan Rasulullah SAW sehingga tidak menghormati Allah SWT dan tidak membesarkan Allah sebagaimana sepatutnya dengan mengatakan: {“Allah tidak menurunkan sesuatu pun kepada manusia”.}
Ada kata yahudi yang berkata sedemikian ada kata kafir Quraisy yang berkata ini, keduanya.
- Yakni mereka telah mencela Allah SWT dengan satu sifat yang tidak selayak & sepatutnya.
Satu celaan & pembohongan besar yang mereka katakan kepada Allah SWT yang tidak selayaknya dengan menafikan Allah telah menurunkan kitab.
Apakah mereka sangka Allah mencipta manusia dan akan membiarkannya tanpa bimbingan & petunjuk seperti haiwan.
- Iaitu mereka lupa Siapakah yang menurunkan Kitab (Taurat) yang dibawa oleh Nabi Musa.
Sedangkan mereka sebelum ini sentiasa berbangga dengan kitab Taurat, bangga dengan title ahli kitab, maka apakah Taurat itu juga bukan dari Allah?
Bukan kitab yang Allah turunkah dari sisi-Nya????
Mereka mahu mengata orang tetapi dalam masa yang sama terkena diri sendiri.
- Sedangkan Allah telah menurunkan kitab Taurat sebagai sebagai cahaya dan petunjuk bagi manusia!
Isi kandungannya yang kamu jadikan dia lembaran-lembaran kertas- yakni mereka tulis semula sendiri di atas kertas papirus yang terkenal berasal dari Mesir.
Papyrus, sejenis rumput liar yang tumbuh di paya delta Nil.
Perkataan kertas & paper berasal dari perkataan ini.
- Kamu juga wahai yahudi menyeleweng isi kandungan Taurat iaitu mereka perlihatkan kepada orang ramai sebahagian kecil daripadanya dan sembunyikan kebanyakannya.
Yakni apa yang mereka setuju dan suka mereka zahirkan dan apa yang berlawan dengan nafsu mereka; mereka tukar atau sembunyikannya!
Antara perkara utama yang mereka sembunyikan ialah yang berkait dengan Rasulullah SAW dan kebenaran kenabiannya semata-mata kerana hasad dengki & busuk hati!
- Allah ajarkan kepada kamu wahai manusia melalui al-Quran ini dengan pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalamnya, apa yang tidak diketahui oleh kamu sebelum itu dan tidak juga oleh datuk nenek kamu.
Dalam al-Quran ada permulaan dunia ini dan pengakhirannya; jika kita tidak baca & belajar al-Quran kita tidak akan tahu!
- Allah ajar Rasulullah SAW untuk kembali bertanya mengingatkan mereka: Katakanlah (kepada mereka): “Allah jualah (yang menurunkannya)”.
- Kemudian, selepas kamu Muhammad SAW bawakan kepada mereka hujjah, berlawan dan memberi petunjuk kepada mereka, tetapi mereka tetap menolaknya, maka biarkanlah mereka leka bermain-main dalam kesesatannya, terumbang-ambing dalam kekufuran.
- Kamu biarkan mereka kerana Allah sedang memerhati mereka, Allah tidak akan biarkan mereka.
Allah akan timpakan ke atas mereka bencana & kemurkaan-Nya.
- Para pendakwah, juga mereka yang ada kuasa berhati-hatilah, jangan nak play safe selalu.
Kadang-kadang walaupun kita tahu perkara itu benar, perkara itu betul tetapi kerana nak jaga pangkat & kedudukan yang sementara ini; mula buat macam-macam peraturan, sekat situ sekat sini, memamdulkan ilmu, orang yang tahu dikunci mulut dengan pelbagai peraturan dan cara.
- Ingatlah nanti kita ada tanggungjawab di hadapan Allah Azza wa Jalla.
Jangan kita belajar dengan puak yahudi; yang dia suka dia sebar, yang dia tidak suka dia sembunyi! Na’uzubillah!
AYAT 92- {DAN INI IALAH KITAB (AL-QURAN) YANG KAMI TURUNKAN, YANG MENGANDUNGI BERKAT (BANYAK FAEDAH-FAEDAH DAN MANFAATNYA), LAGI MENGESAHKAN KEBENARAN (KITAB-KITAB SUCI) YANG DITURUNKAN SEBELUMNYA, DAN SUPAYA ENGKAU MEMBERI PERINGATAN KEPADA PENDUDUK “UMMUL-QURA” (MAKKAH) SERTA ORANG-ORANG YANG TINGGAL DI KELILINGNYA; DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT, MEREKA BERIMAN KEPADA AL-QURAN, DAN MEREKA TETAP MENGERJAKAN DAN MEMELIHARA SEMBAHYANGNYA.} (AL-AN’AM 6:92)
- Ayat ini menyatakan peranan al-Quran.
Ini ialah Kitab Al-Quran yang Allah turunkan, untuk dijadikan panduan hidup, dustur perundangan hidup manusia, untuk mengelakkan manusia daripada menjadi seperti haiwan!
- Munasabah ayat ini dengan yang sebelumnya:
i- Allah telah batalkan hujjah yahudi yang menafikan al-Quran adalah kitab yang turun dari Allah.
ii- Maka dalam ayat ini Allah tegaskan bahawa Allah yang turunkan al-Quran dari sisinya.
Serta dinyatakan peranan al-Quran sebagai petunjuk dan penyelamat manusia!
- Al-Quran yang mengandungi berkat iaitu banyak faedah-faedah dan manfaatnya kepada manusia samada untuk dunia & Akhirat.
Di dunia jika kita berpegang dengan al-Quran kita selamat; jika tidak kita akan kecundang dan kecewa dunia dan Akhirat.
- Maka siapa nak selamat berpeganglah dengan kitab yang penuh keberkatan ini!
Maksud berkat di sini bukan hanya menjunjung & mencuium al-Quran.
Berkat Al-Quran untuk dibaca, diamalkan dan dijadikan perundangan & peraturan hidup!
- Peranan keduanya ialah: Membenarkan lagi mengesahkan kebenaran Kitab-kitab Suci yang diturunkan sebelumnya seperti Taurat & Injil.
Al-Quran ini membenarkan isi kandungan kitab sebelumnya serta akan menapis dan membatalkan segala penyelewengan dan perubahan yang mereka buat.
Seperti dakwaan buruk yang mereka buat bahawa Tuhan ada anak dan seumpamanya!
- Peranan al-Quran yang ketiga: Memberi amaran dan memberi peringatan kepada penduduk “Ummul-Qura” (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya; iaitu pada peringkat awal turunnya al-Quran kepada Rasulullah SAW di Makkah.
Kemudian berkembang & tersebar luas ke seluruh dunia, dan kepada seluruh alam.
Yakni al-Quran memberi amaran kepada manusia yang tidak beriman bahawa telah ada umat-umat sebelum ini yang dibinasakan kerana tidak berriman dengan Allah & Rasul-Nya dan langgar perintahnya!
- Maksud Ummul Qura { أُمَّ ٱلْقُرَىٰ} ialah ibu segala negeri, ini kerana:
i- Kerana Makkah adalah negeri yang paling awal Allah ciptakan, Iaitu tapak Ka’bah kemudian bumi di sekelilingnya.
ii- Kerana ia terkedepan dan disayangi umat manusia.
iii- Kerana ia menjadi Kiblat kepada negeri lain dari seluruh dunia.
iv- Makkah menjadi tempat tumpuan segala manusia.
Ini adalah salah satu nama Makkah yang banyak.
Boleh lihat buku ini untuk maklumat lanjut:
Makkah al-Murramah https://dartaibah.com/…/Makkah-al-Mukarramah-Kelebihan…
- Sesungguhnya orang-orang yang beriman kepada hari akhirat, tentang bangkit semula, hisab & pembalasan, pahala & dosa, tentang syurga & neraka; pasti mereka juga beriman kepada Al-Quran.
Orang kafir yang tidak beriman dengan hari Akhirat & kebangkitan semula pasti tidak akan beriman dengan al-Quran!
- Mereka ini bukan mengaku beriman saja, mereka zahirkannya dengan tetap mengerjakan dan memelihara sembahyangnya.
Kerana Allah yang turunkan al-Quran itu juga yang memerintahkan kita untuk solat!
Tidak mungkin ambil separuh-separuh saja perintah Allah!
- Mereka ini akan berterusan mengerjakan solat pada waktunya, selagi hayat dikandung badan, mereka jaga rukunnya, wajibnya & sunatnya serta adabnya!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 91- {Dan tiadalah mereka (kaum Yahudi) menghormati Allah sesuai dengan penghormatan yang sebenarnya…}-
Puak kafir tidak menghormati Allah dengan cara yang sepatutnya!
Kata ulama’ : Maka kita orang yang beriman wajib menghormati dan menyayangi & mengagungkan Allah SWT dengan melakukan ketaatan, ikut perintah-Nya dan menjauhkan larangan-Nya!
Tanda cinta & sayang kepada Allah ialah dengan melakukan ketaatan & tadabbur al-Quran.
Orang yang sayangkan Allah dia tidak akan buat undang-undang sendiri, bahkan ikut apa yang Allah telah tetapkan!
Itulah cintakan Allah & benar-benar beriman kepada-Nya.
- Ayat 91- {… sebenarnya ketika mereka berkata: “Allah tidak menurunkan sesuatu pun kepada manusia”. Bertanyalah (kepada kaum Yahudi yang ingkar itu): “Siapakah yang menurunkan Kitab (Taurat) yang dibawa oleh Nabi Musa…}-
Mereka berkata Tuhan tidak menurunkan sesuatu apapun kepada manusia!
Ayat ini nak membatalkan dakwaan penentang al-Quran dengan mengisbatkan kebenaran lawannya.
Mereka nak nafikan al-Quran tetapi lupa dalam masa yang sama mereka nafikan juga kebenaran kitab Taurat mereka!
Mereka kata: {مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ عَلَىٰ بَشَرٍۢ مِّن شَىْءٍۢ} – Allah tak turunkan sesuatu pun kepada manusia yakni Allah tak turunkan kitab al-Quran.
Jadi Taurat itu juga bukan dari Allah? Siapa yang turunkan Taurat jika begitu?
Maka kebingunganlah puak kafir!
Mereka nak kata kepada orang tetapi kena atas kepala atau batang hidung sendiri!
Orang tua kata nak cakap tengok kiri kanan dulu!
Inilah kepincangan manusia- manusia ini mudah lupa.
Jika sebelum ini dia kondem orang lain buat begitu begini; tetapi malangnya apabila dia diberi peluang atau kuasa, dia melakukan perkara yang sama juga!
- Ayat 92- {Dan ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang mengandungi berkat (banyak faedah-faedah dan manfaatnya),…}-
Allah letakkan sifat al-Quran, al-Quran yang kami turunkan ini banyak kebaikan & keberkatan manfaatnya.
Siapa yang beramal dengannya hidupya dalam keberkatan dan membawa ke syurga.
Siapa yang tadabburnya mereka akan merasai kemanisan iman & dekat dengan Allah Azza wa Jalla.
Setiap huruf al-Quran yang kita baca akan dapat 10 pahala dan pelbagai kebaikan & keberkatan lagi! Kelebihan al-Quran terlalu banyak dan tidak terhitung!
- Ayat 92- {… dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk “Ummul-Qura” (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya;}-
Al-Quran kerjanya memberi amaran & peringatan kepada penduduk Makkah dan sekitarnya!
Persoalan:
Timbul di sini perbahasan, biasanya al-Quran akan sebut dua-dua baik & buruk, positif & negatif.
Tetapi dalam ayat ini kenapa Allah hanya sebut amaran saja (نذيرا) tanpa sebut khabar gembira (بشيرا)?
Jawapan:
Ini kerana tujuan ayat ini datang untuk menakutkan puak kafir, maka tidak perlu diceritakan tentang khabar gembira lagi.
Kena jelas apa yang ingin disampaikan.
Persoalan kedua:
Maka dengan turun ayat ini sebahagian pendeta yahudi ambil kesempatan buat propaganda pula dengan mengatakan: Muhammad itu diutuskan untuk penduduk Arab Makkah sahaja, untuk Quraisy saja tidak sampai ke Syam atau lebih lagi, hanya secara lokal bukan global.
Dua kali Allah sebut dalam al-Quran: {dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk “Ummul-Qura” (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya;…}
i- Ayat 92 ini.
ii- {… Kami wahyukan kepadamu Al-Quran dalam bahasa Arab, supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada (penduduk) “Ummul-Qura” dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya,…} (Asy-Syuura 42:7)
Ulama’ ada dua jawapan untuk persoalan ini:
i- “Ummul-Qura” iaitu Makkah dan sekitarnya, maka ia bermakna seluruh dunia, kerana Makkah sebagai pusatnya maka sekelilingnya adalah dunia seluruhnya.
Ini kerana dunia ini bagi Allah hanya kecil sahaja.
ii- Banyak lagi ayat-ayat lain dalam al-Quran yang menunjukkan bahawa dakwah Rasulullah SAW untuk seluruh alam:
a)- {Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqaan kepada hambaNya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam.} (Al-Furqaan 25:1)
b) {Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (di utus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi,…”} (Al-A’raf 7:158)
c) {Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).} (Saba’ 34:28)
iii- Juga sebuah hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW diutus untuk manusia semuanya:
Daripada Jabir bin Abdillah RAnhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ مِنَ الأَنْبِيَاءِ قَبْلِي: نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ، وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا، وَأَيُّمَا رَجُلٍ مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلاَةُ فَلْيُصَلِّ، وَأُحِلَّتْ لِي الغَنَائِمُ، وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً، وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ كَافَّةً، وَأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ.
Maksudnya: “Aku diberikan lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada seorang nabi pun sebelumku. (Pertama) Aku diberi pertolongan dengan dicampakkan perasaan takut dalam hati musuh sejauh sebulan perjalanan. (Kedua) Bumi ini telah dijadikan untuk aku bersujud dan bersuci. Oleh itu sesiapa sahaja daripada kalangan umatku, hendaklah menunaikan solat di mana sahaja apabila telah masuk waktunya. (Ketiga) Harta ghanimah (rampasan perang) dihalalkan buat aku. (Keempat) Seseorang nabi itu selalunya diutuskan untuk kaumnya sahaja, sedangkan aku diutuskan untuk manusia seluruhnya. Dan (kelima) Aku diberi hak keistimewaan untuk memberi syafaat (kepada umatku).” [HR al-Bukhari (438) dan Muslim (521)].
- Ayat 92- {… dan orang-orang yang beriman kepada hari akhirat, mereka beriman kepada Al-Quran, dan mereka tetap mengerjakan dan memelihara sembahyangnya.} –
Allah nyatakan bahawa orang yang beriman dengan hari Akhirat akan beriman dengan al-Quran.
Allah hanya sebut dua saja rukun iman ini tidak kesemuanya kerana apabila seseorang itu beriman dengan hari Akhirat pasti dia akan beriman dengan semua rukun iman yang lain.
Iman itu adalah sesuatu yang terpahat dalam hati, maka bagaimana cara untuk kita mengetahui dia beriman?
Solatlah salah satu cara untuk kita mengenalnya!
Orang yang menjaga solat itulah orang yang ada iman!
Firman Allah SWT:
{… dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).} (Al-Baqarah 2:143)
Kata ulama’ : Iman di sini ialah solat.
Tiadalah sesuatu dosa yang manusia buat, yang menjadikannya dikira keluar dari Islam lebih daripada meninggalkan solat!
Ya Allah jadikan kami dan semua keluarga kami serta orang kami sayangi sebagai orang yang beriman kepada Allah, mengikut petunjuk al-Quran, serta menjaga solat yang fardhu & sunatnya, dengan khusyuk & berjemaah!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita hari ini yang ringkas tetapi penuh dengan perbahasan yang menarik, semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.