View Categories

(27) Surah Al-An’am : Ayat 93-94

ZALIM BESAR MENIPU KE ATAS ALLAH SWT, MENGAKU JADI RASUL & HARI KIAMAT DATANG SEORANG DIRI.

Full video : https://youtu.be/TSP8NgPCgTU?si=UMp4pvjpHpjF8Qvs

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 93 sehingga 94 dalam juzu’ ketujuh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menyatakan bahawa kezaliman yang paling besar ialah menipu ke atas Allah SWT, mereka-reka buat cerita atas nama Allah.
  1. Seperti mengaku jadi rasul, jadi nabi, mengaku terima wahyu atau ilham dari Allah. Mengaku terima benda-benda ghaib ni adalah kelentong besar!
  1. Bahayanya mereka ini ketika nak mati malaikat maut akan datang sentap nyawa mereka dengan begitu kasar sehingga rohnya lari masuk tak mahu keluar!
  1. Serta pada hari kiamat kelak semua orang akan datang bertemu Allah seorang diri.
    Tiada peguambela, tiada keluarga atau kawan-kawan yang iring atau menemani untuk membantu. 
    Setiap orang membawa diri & lari dari satu sama lain! 
    Sehinggalah kita bertemu dengan Rasulullah SAW yang membawa syafaatnya yang agung.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang al-Quran, kitab yang Allah turunkan dari sisi-Nya dengan penuh keberkatan, menyatakan apa yang Allah SWT nak dari makhluk-Nya.

    ii- Maka datang ayat ini dengan memberi amaran bahawa adalah satu kezaliman besar sesiapa yang membuat dusta ke atas Allah.
    Sama ada mengaku Allah beri wahyu kepadanya atau dia kata ini hukum Tuhan sedangkan ianya bukan dari Allah. 
    Sebagaimana yang dibuat oleh pendeta-pendeta yahudi sedangkan ia tiada pun dalam kitab Taurat. 

    Kita hari ini yang dibimbangkan jika kita nisbahkan kepada hukum Allah sedangkan kita ambil hukum yang manusia buat, dan ia tiada kaitan dengan Allah SWT.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 93- {DAN SIAPAKAH YANG LEBIH ZALIM DARIPADA ORANG YANG MEREKA-REKA PERKARA YANG DUSTA TERHADAP ALLAH, ATAU ORANG YANG BERKATA: “TELAH DIBERI WAHYU KEPADAKU”, PADAHAL TIDAK DIBERIKAN SESUATU WAHYUPUN KEPADANYA; DAN ORANG YANG BERKATA: “AKU AKAN MENURUNKAN SEPERTI APA YANG DITURUNKAN ALLAH”.} (AL-AN’AM 6:93)

  1. Allah menegaskan bahawa tiada manusia yang lebih zalim, lebih jahat kecuali mereka yang buat bohong dan dusta ke atas Allah SWT.
    Dia nisbahkan kepada Allah sedangkan itu adalah kata-kata dia atau manusia lain tetapi dikatakan hukum Tuhan.
  1. Kerana itu para ulama’ membezakan antara apabila kita kata ini Syari’ah Allah dengan ini hukum feqah.
    Hukum feqah iaitu seperti feqah mazhab Syafei, Maliki, Hanbali atau Hanafi.
  1. Yakni apabila kita kata ini hukum feqah berdasarkan mazhab: iaitu mereka ambil hukum asal daripada al-Quran & Sunnah kemudian diistinbatkan, dikeluarkan. 
    Maka kita tidak boleh kata hukum Allah tetapi katakan ini adalah ijtihad atau pandangan yang dikemukakan oleh ulama’ mazhab Syafei berkenaan dengan hukum ini. 
  1. Kita tidak boleh kata hukum Allah kerana bukan Allah turunkan wahyu kepada mereka- hukum Allah hanya yang ada dalam dalam al-Quran itu, ini jelas Syari’at Allah. 
  1. Yakni kita kena jaga tata bahasa kita dan ayat yang hendak digunakan supaya kita tidak sandarkan kepada Allah SWT perkara yang Allah tak kata! 
    Sama juga dengan Nabi SAW, nak sandarkan sesuatu hadis kepada Baginda SAW kena lihat dulu sanadnya sama ada ia sahih atau tidak sahih jika tidak kita sandarkan kepada Nabi SAW apa yang Baginda tidak kata.
  1. Iaitu kesimpulannya tiada manusia yang lebih zalim kecuali:
    i- Orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah. Allah tak kata begitu tetapi dia mendakwa itu adalah perkataan atau perintah Allah.

    ii- Orang yang berkata: “Telah diberi wahyu kepadaku”, iaitu yang mengaku Allah lantik dia jadi nabi atau rasul iaitu sedangkan dia berbohong kerana tiada lagi wahyu atau nabi selepas nabi Muhammad SAW.
    Atau dakwa Allah lantik dan hantar dia ke sesuatu tempat untuk berdakwah dan lain-lain sedangkan ajarannya tidak seiring al-Quran & Sunnah Nabi SAW.

    iii- “Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah”; iaitu orang yang mendakwa boleh lawan al-Quran & dia boleh bawa sesuatu yang sama seperti al-Quran dengan perkataan yang dia cuba reka-reka!
    Dalam kitab sejarah ada puak kafir cuba buat satu surah seperti al-Quran- dengan buat surah tentang gajah yang telah sedia dimaklumi.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini: 
    {Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata: “Sesungguhnya kami telah mendengarnya. Kalau kami mahu, nescaya kami dapat mengatakan (kata-kata) seperti (Al-Quran) ini. (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah cerita cerita dongeng orang-orang dahulu kala”.} (Al-Anfaal 8:31)

AYAT 93- { DAN (SUNGGUH NGERI) SEKIRANYA ENGKAU MELIHAT KETIKA ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU DALAM PENDERITAAN “SAKRATUL-MAUT” (KETIKA HENDAK PUTUS NYAWA), SEDANG MALAIKAT-MALAIKAT PULA MENGHULURKAN TANGAN MEREKA (MEMUKUL DAN MENYEKSA ORANG-ORANG ITU) SAMBIL BERKATA (DENGAN MENENGKING DAN MENGEJEK): “KELUARKANLAH NYAWA KAMU (DARI TUBUH KAMU SENDIRI); PADA HARI INI KAMU DIBALAS DENGAN AZAB SEKSA YANG MENGHINA (KAMU) SEHINA-HINANYA, DISEBABKAN APA YANG TELAH KAMU KATAKAN TERHADAP ALLAH DENGAN TIDAK BENAR, DAN KAMU PULA (MENOLAK DENGAN) SOMBONG TAKBUR AKAN AYAT-AYAT KETERANGANNYA”.} (AL-AN’AM 6:93)

  1. Allah mengisahkan kepada Rasulullah SAW keadaan orang kafir yang zalim itu saat kematian atau sakaratul mereka amat ngeri dan dahsyat seklai!
  1. Munasabah ayat:
    i- Apabila Allah cela orang yang zalim yang mereka-reka cerita ke atas Allah SWT ini; 

    ii- Maka munasabahlah Allah ceritakan keadaan mereka ketika nak mati, apabila hadirnya malaikat untuk mencabut nyawa mereka. 
    Atas dunia lagi mereka kena azab dah iaitu ketika saat kematian.
  1. Amat dahsyat dan teruk sekali keadaan orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan “sakratul-maut” ketika hendak putus nyawa, tetapi kita manusia yang masih hidup ini tidak nampaknya, hanya si mati saja yang nampak!
    Allah sembunyikan dari orang sekelilingnya.
  1. Keadaannya jelas Allah gambarkan dalam ayat ini: Sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): “Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri);
  1. Firman Allah SWT:
    {Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): “Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar”.
    (Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.} (Al-Anfaal 8: 50-51)
  1. Lalu malaikat sentap tarik cabut roh mereka dengan kasar. 
    Lihat sebagaimana hadis ini perbezaan antara roh baik & jahat:
    Daripada Abu Hurairah RA :
    أَنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : إِذَا حُضِرَ الْمُؤْمِنُ أَتَتْهُ مَلاَئِكَةُ الرَّحْمَةِ بِحَرِيرَةٍ بَيْضَاءَ ، فَيَقُولُونَ : اخْرُجِي رَاضِيَةً مَرْضِيًّا عَنْكِ إِلَى رَوْحِ اللهِ ، وَرَيْحَانٍ ، وَرَبٍّ غَيْرِ غَضْبَانَ فَتَخْرُجُ كَأَطْيَبِ رِيحِ مِسْكٍ حَتَّى إِنَّهُ لَيُنَاوِلُهُ بَعْضُهُمْ بَعْضًا حَتَّى يَأْتُوا بِهِ بَابَ يَعْنِي السَّمَاءِ فَيَقُولُونَ : مَا أَطْيَبَ هَذِهِ الرِّيحَ الَّتِي جَاءَتْكُمْ مِنَ الأَرْضِ فَيَأْتُونَ بِهِ أَرْوَاحَ الْمُؤْمِنِينَ فَلَهُمْ أَشَدُّ فَرَحًا بِهِ مِنْ أَحَدِكُمْ بِغَائِبِهِ يَقْدَمُ عَلَيْهِ فَيَسْأَلُونَهُ مَا فَعَلَ فُلاَنٌ مَا فَعَلَ فُلاَنٌ ؟ فَيَقُولُونَ : دَعُوهُ فَإِنَّهُ كَانَ فِي غَمِّ الدُّنْيَا فَإِذَا قَالَ أَمَا أَتَاكُمْ ؟ قَالُوا : ذُهِبَ بِهِ إِلَى أُمِّهِ الْهَاوِيَةِ وَإِنَّ الْكَافِرَ إِذَا حُضِرَ أَتَتْهُ مَلاَئِكَةُ الْعَذَابِ بِمِسْحٍ فَيَقُولُونَ : اخْرُجِي سَاخِطَةً مَسْخُوطًا عَلَيْكِ إِلَى عَذَابِ اللهِ فَتَخْرُجُ كَأَنْتَنِ رِيحِ جِيفَةٍ حَتَّى يَأْتُونَ بِهِ بَابَ الأَرْضِ فَيَقُولُونَ : مَا أَنْتَنَ هَذِهِ الرِّيحَ حَتَّى يَأْتُوا بِهِ أَرْوَاحَ الْكُفَّارِ.
    “Bahawasanya Nabi SAW bersabda: Apabila seorang mukmin nazak, datang kepadanya malaikat Rahmat dengan membawa sutera putih. Para Malaikat berkata: Keluarlah wahai roh dalam keadaan redha lagi diredhai kepada Allah, penuh rahmat serta tidak dimurkai Tuhan. Maka rph tersebut keluar seperti bau misk (wangian) yang terbaik sehingga bau tersebut sampai ke pintu langit. Para malaikat (di langit) berkata: “Wanginya bau yang kamu bawa dari dunia! Mereka membawa Roh tersebut menemui roh-roh orang yang beriman. (Pada ketika itu) mereka (roh orang mukmin) terlalu gembira dengan kedatangan roh tadi. Mereka bertanya kepadanya apa yang dilakukan oleh fulan ini ,apa yang dilakukan oleh fulan ini? Para Malaikat berkata: Tinggalkan dia.Sesungguhnya dia pernah berada di dalam kesedihan dunia. Lalu ruh itu berkata: Apa yang menyebabkan kamu ke sini? Mereka menjawab:Dia telah dibawa dari ibunya. Ketika mana orang kafir nazak, datang kepadanya malaikat azab dengan membawa guni. Lalu para Malaikat berkata: Keluarlah wahai Roh dalam keadaan murka lagi dimurkai serta (rasalah) azab Allah. Maka Roh itu keluar seperti bau nanah (yang keluar dari bangkai mereput) sehingga bau tersebut sampai ke pintu dunia maka. Para malaikat berkata: Busuknya bau nanah ini sehingga mereka membawa roh-roh orang kafir.” [HR an-Nasaie (1972) di dalam Sunan al-Kubra & Ibn Hibban (3078) dalam Sahihnya.]

    Ya Allah permudahkan urusan sakaratul-maut kami dan matikan kami dalam husnul-khatimah dan akhir kalam kami ialah kalimah syahadah.

AYAT 94- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA, KAMU TETAP DATANG KEPADA KAMI (PADA HARI KIAMAT) DENGAN BERSENDIRIAN, SEBAGAIMANA KAMI JADIKAN KAMU PADA MULANYA; DAN KAMU TINGGALKAN DI BELAKANG KAMU APA YANG TELAH KAMI KURNIAKAN KEPADA KAMU; DAN KAMI TIDAK MELIHAT BESERTA KAMU PENOLONG-PENOLONG YANG KAMU ANGGAP DAN SIFATKAN BAHAWA MEREKA IALAH SEKUTU-SEKUTU ALLAH DALAM KALANGAN KAMU. DEMI SESUNGGUHNYA, TELAH PUTUSLAH PERHUBUNGAN ANTARA KAMU (DENGAN MEREKA), DAN HILANG LENYAPLAH DARIPADA KAMU APA YANG DAHULU KAMU ANGGAP DAN SIFATKAN (MEMBERI FAEDAH DAN MANFAAT).} (AL-AN’AM 6:94)

  1. Ingatlah di Akhirat kelak kamu akan datang seorang diri sebagaimana kamu keluar dari perut ibu kamu. 
    Kamu akan tinggalkan segala anak keturunan, harta-benda dan segala sembahan yang kamu jadikan sekutu Allah dulu,
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan tidak ada manusia yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka dan berdusta atas nama Allah swt., mengaku menerima wahyu dan seumpamanya.
    Kemudian Allah ceritakan apa yang akan berlaku saat sakaratul-maut mereka yang begitu shasyat & mengerikan.

    ii- Maka datanglah ayat ini Allah ceritakan apa yang berlaku pada hari Kiamat kelak pula. Semua manusia akan dibangkitkan bersendirian tiada pembantu penolong a harta atau sekutu.
  1. Pada hari itu terputus segala hubungan dan kaitan dengan semua orang yang kamu anggap sebagai penolong-penolong dan menyekutukan mereka dengan Allah. 
    Semua kembali kepada tabi’e tidak berpakaian, berkaki ayam, manakala yang lelaki tidak berkhitan. 
  1. Sebagaimana hadis riwayat daripada UM Aisyah RA, katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
    يُحْشَرُ النَّاسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حُفَاةً عُرَاةً غُرْلًا. قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ النِّسَاءُ وَالرِّجَالُ جَمِيعًا يَنْظُرُ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ?!
    قَالَ: يَا عَائِشَةُ الأَمْرُ أَشَدُّ مِنْ أَنْ يَنْظُرَ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ.
    “Pada hari kiamat, manusia akan dihimpunkan dalam keadaan tidak beralas kaki, telanjang bulat, dan tidak berkhatan.” Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah lelaki dan perempuan akan dihimpunkan bersama-sama dan saling melihat satu sama lain?” Rasulullah menjawab: “Wahai Aisyah! Perkara (yang dihadapi ketika itu) lebih besar daripada sekadar melihat aurat satu sama lain.” [HR al-Bukhari (6527) dan Muslim (2859)].
  1. Harta bertimbun yang kita bersusah payah cari dan kumpulkan semasa hidup dulu juga akan ditinggalkan menjadi milik orang, kita tidak akan mendapat manfaat darinya kecuali yang telah diinfaq, sedekah fi-sabilillah.
    Kerana itu AAM kempenkan #hartakumilikku dengan perbanyakkan waqaf infaq, sedekah fi-sabilillah, tolong orang atau apa saja.
    Kerana ia akan menjadi asset milik kita di Akhirat kelak, insya’ Allah!
  1. Hadis-hadis tentang harta:
    i- Dari Anas Bin Malik, ia mengatakan bahawa Rasulullah bersabda: 
    “Ada tiga yang akan mengiringi mayat, yang dua akan kembali sedangkan satunya ikut bersamanya. Ia diringi oleh keluarga, hartanya dan amalnya. Keluarga dan hartanya akan kembali, sedangkan amalnya tetap bersamanya.“ [HR Bukhari & Muslim].

    ii- Dari Abdullah Bin Asy Syeikhkhir, ia berkata Rasulullah SAW besabda: “Anak keturunan Adam berkata: “Oh hartaku, oh harta ku.“ Padahal harta kamu (yang sebenarnya) hanyalah apa yang kamu makan lalu kamu menghabiskannya, atau apa yang kamu pakai lalu kamu menjadikannya usang (lusuh), atau apa yang kamu sedekahkan, maka kamu menetapkan (pahalanya).” (HR Muslim, Ahmad dan lain-lain].
  1. Yakni kamu tidak akan lihat syafaat pertolongan dari apa yang kamu sembah dan puja dulu, ini jika kafir. 
    Jika beriman tetapi riya’ dalam ibadat, maka hilanglah pahala. 
    Atau tidak riya’ tetapi mengutuk mengata menuduh orang setiap hari, maka amalannya juga akan hilang pergi kepada orang yang disakitinya itu!

    Kerana itu kita sabarlah atas dunia ini jika menjadi mangsa fitnah tuduhan jahat atau kezaliman yang tidak dapat kita balas.
    Kita tunggu ambil pahala dari mereka di Akhirat kelak!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT:
    {(Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka.} (Al-Baqarah 2:166)
    Masing-masing lari nak menyelamatkan diri sendiri sahaja.
  1. Hilang lenyap segalanya daripada kamu apa yang kamu sangka boleh menjadi partner Tuhan dan pembantu kamu di Akhirat. 
    Hilang segala yang kamu harapkan yang tinggal di depan kamu sekarang hanyalah siksa, azab dan neraka! 
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT:
    {Dan (ingatlah), hari (kiamat yang padanya) Kami himpunkan mereka semua, kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik: “Manakah orang-orang dan benda-benda yang dahulu kamu sifatkan (menjadi sekutu Allah):?”
    Kemudian tidaklah ada akidah kufur mereka selain dari mereka menjawab dengan dusta: “Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.
    Lihatlah bagaimana mereka berdusta terhadap diri mereka sendiri, dan bagaimana hilang lenyapnya dari mereka apa yang telah mereka ada-adakan (sebagai sekutu Allah) itu.} (Al-An’am 6: 22-24)

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 93- {Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah,…}-

    Allah SWT menempelak mereka yang mengaku ada ilham dari Allah, menggunakan nama Allah untuk menipu dan scam orang lain.
    Ayat ini menolak fahaman, ada yang mengaku hatinya menerima ilham dari Allah, atau dia menerima ilmu direct dari Allah tanpa perlu belajar, seperti ilmu ladunni dan sebagainya!
    Nak ilmu kena belajar mana ada ilmu lahir terus dalam hati begitu, itu semua dakwaan karut!
    Maka dalam ayat ini Allah mencela manusia yang mereka-reka tuduhan palsu atas nama Allah, atau Rasulullah SAW atau atas agama ini!
    Ayat ini sekaligus memperbodohkna pegangan & dakwaan ahli syirik dan sesat kerana mereka tiada asas kecuali dakwaan dan akuan semata-mata. 
  1. Ayat 93- {… dan orang yang berkata: “Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah”…}-

    Orang kafir dakwa boleh bawa satu kitab seperti al-Quran juga.
    Ini dakwaan puak kafir Quraisy dulu.
    Kata Syeik al-Amin Syanqiti : Pada zaman ini sama seperti puak penjajah kafir orientalis yang tukar hukum Allah dengan hukum yang mereka reka & cipta! 
    Mereka tukar hukum Syari’ah Allah kepada akta-akta perundangan yang mereka buat.
    Allah kata ini haram! Mereka halalkan, yang Allah halalkan mereka tukar kepada haram pula!
    Mereka mendakwa undang-undang & hukum yang mereka buat itu lebih sempurna lengkap daripada hukuman Allah! Inilah manusia yang paling zalim! 
    Inilah kejayaan yang dibuat para penjajah yang pertamanya mereka jauhkan manusia daripada undang-undang Allah, benarkan amalan pribadi seperti solat, nikah cerai dan sebagainya.
    Tetapi tidak dalam hukum jenayah dan lain-lain menjadikan hukum & undang-undang yang mereka buat adalah yang tertinggi!
    Inilah bahaya seolah mengatakan undang-undang mereka setaraf dengan al-Quran, maka hati-hatilah para penggubal undang-undang jangan sampai seolah nak melawan undang-undang al-Quran. 
  1. Ayat 93- {Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan “sakratul-maut” (ketika hendak putus nyawa),…}-

    Jika kamu tengok puak kafir saat kematian amat ngeri menakutkan!
    Kata ulama’ : Manusia ini dikira ketika saat kematiannya! 
    Jika bermula dengan buruk & ngeri maka pastilah kesudahannya begitu juga, wal ‘iyazu billah!
    Sungguh dahsyat & ngeri keadaan itu, tetapi kita manusia yang masih hidup tidak dapat lihat & dengarnya! 
    Ini perkara ghaib, rahsia dari Allah, jika kamu dengar dan percaya, maka alhamdulillah kamu telah beriman! Jika tidak malanglah. 
    Ini adalah ujian Allah kepada manusia, umat Nabi Muhammad SAW, jika tidak pasti semua orang akan beriman selepas lihat azab kematian sakaratul-maut orang kafir yang mengerikan itu!
    Tahap ujian manusia bermula saat kematiannya lagi, di mana azab yang ngeri bagi orang kafir & zalim itu. 
    Kemudian di masukkan dalam kubur kena azab kubur pula, di Akhirat nanti hanya Allah yang tahu bagaimana nasibnya. 
    Berbeza dengan kematian orang yang beriman, malaikat datang berbisik ke telinganya dengan khabar gembira, menunjukkan tempatnya di syurga kelak!
    Sebagaimana dalam hadis di atas tadi.

    Kata ulama’ : Ini adalah dalil bahawa roh kita ini berjisim; kerana malaikat boleh tarik cabutnya, pegang dan sambutnya dan letak di atas kain dan sebagainya. 
    Kemana roh itu berjalan berpindah ke alam lain pula.
    Ya Allah matikanlah kami dalam husnul-khatimah.
  1. Ayat 93- {… pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya”.}-

    Pada hari ini wahai manusia kamu terimalah sendiri, tengoklah balasan apa yang kamu buat atas dunia dulu.
    Apa yang kamu katakan tidak benar terhadap Allah dulu, yang tidak betul tanpa haq! 
    Yang Allah tidak kata kamu kata Allah kata!
    Maka jangan berdusta, jangan berani kata kepada Allah yang tidak betul!
    Macamana kita nak tahu yang betul? 
    Kena belajarlah apa yang Allah sebut dalam al-Quran, apa yang Nabi SAW ajar, apa ulama’ muktabar tafsirkan- itu yang kita pegang dan dengar!
  1. Ayat 94- {Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya;…}-

    Wahai manusia kamu akan kembali di hadapan Allah SWT nanti dalam keadaan seorang diri tanpa teman & kawan.
    Ayat ini memberi sentap kepada kita; atas dunia kamu jangan sibuk cari harta sahaja tetapi tidak infaq, sibuk cari isteri tetapi tidak didik isteri ikut hukum Islam, nak anak tetapi tidak didik anak dengan pendidikan yang baik, sibuk cari pangkat & kedudukan sehingga kawan menjadi lawan, halal haram tidak dihirau!
    Tetapi pada hari Kiamat kelak di Akhirat kita akan bangkit sendirian di hadapan Allah sepertimana awal kejadian kita dulu. 
    Balik kepada asal kejadian dulu telanjang tidak berpakaian, berkaki ayam, lelaki tidak bersunat… sebagaimana hadis di atas.
    Semua kawan-kawan yang kamu sangka dapat beri manfaat atas dunia dulu telah terputus hubungan semuanya.
    Kita muhasabah diri kita dengan faedah kelima ini, kita perbetulkan niat kita, perbetulkan aqidah kita berdasarkan al-Quran & hadis serta huraian para ulama’ Salafus-Soleh. 
    Kita perbetulkan amalan kita berdasarkan Sunnah Nabi SAW, semoga apa yang kita buat dapat keredhaan Allah SWT, kita layak mendapat rahmat Allah dan layak ke syurga-Nya kelak!

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita hari ini yang ringkas tetapi penuh dengan perbahasan yang menarik, semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran. 
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs