KUASA ALLAH SWT MENCIPTAKAN MANUSIA, MENURUNKAN HUJAN & MENGELUARKAN TANAMAN YANG PELBAGAI.
Full video : https://youtu.be/ZjvTnCdvxZ0?si=07ne84ARoiqwGf0s
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 98 sehingga 99.
- Ayat-ayat ini akan melengkapkan 5 dalil aqli tentang keEsaan, keagungan dan kekuasaan Allah SWT untuk menyelamatkan manusia daripada terjebak dengan syirik, kemungkaran dan lain-lain perkara yang dibenci Allah SWT.
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang kuasa Allah SWT menciptakan manusia, supaya kita lihat kepada diri sendiri bagi menyedari kekuasaan Allah.
- Allah juga yang berkuasa menurunkan hujan, nikmatnya yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.
Semua terjadi dengan izin Allah Azza wa Jalla.
- Kekuasaan Allah juga dari air yang satu, tidak kira jernih atau keruh, ia mengeluarkan tanaman yang pelbagai ikut jenisnya yang asli, tidak terpengaruh dengan air itu.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang dalil atas langit iaitu Allah suruh kita lihat kepada kejadian cakerawala yang begitu hebat.
ii- Maka datang ayat ini Allah suruh kita kembali lihat kepada diri kita sendiri, tidak perlu pergi jauh untuk melihat dalil & tanda kekuasaan Allah SWT!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
AYAT 98- {DAN DIA LAH YANG MENCIPTA KAMU DARI DIRI YANG SATU (ADAM), MAKA (BAGI KAMU) DISEDIAKAN TEMPAT TETAP (DALAM TULANG SULBI BAPA KAMU ATAU DI BUMI), DAN TEMPAT SIMPANAN (DALAM RAHIM IBU ATAU DALAM KUBUR). SESUNGGUHNYA KAMI TELAH JELASKAN TANDA-TANDA KEBESARAN (KAMI) SATU PERSATU BAGI ORANG-ORANG YANG MENGERTI (SECARA MENDALAM).} (AL-AN’AM 6:98)
- Allah mengatakan ia yang mencipta semua manusia yang bermula dari nabi Adam AS daripada tidak ada kepada ada.
Adam daripada tanah, kita semua pula berasal dari air mani yang unsur asalnya adalah tanah juga!
- Dalam ayat ini Allah guna perkataan {أَنشَأ} untuk cipta manusia dalam manakala dalam ayat sebelum ini diguna perkataan {جَعَلَ} untuk cipta bintang dan lain-lain.
Ini kerana bintang adalah jauh & dicipta untuk kita.
- Allah ceritakan bahawa manusia ini begitu unik penciptaannya:
i- Pada awalnya disediakan bagi kamu tempat tetap {مُسْتَقَرٌۭ} iaitu: dalam tulang sulbi bapa kamu sebagai air mani atau sebagai manusia atas di bumi,
ii- Dan tempat simpanan atau stor {مُسْتَوْدَعٌ} sama ada:
Sebagai janin dalam rahim ibu atau selepas hidup atas dunia disimpan di dalam kubur sebagai mayat.
- Betapa Allah telah jelaskan tanda-tanda kebesaran-Nya satu persatu bagi orang-orang yang mengerti secara mendalam agar nampak kebenaran & terus beriman.
Inilah dalil yang pertama, bukti kewujudan kita.
AYAT 99- {DAN DIA LAH YANG MENURUNKAN HUJAN DARI LANGIT LALU KAMI TUMBUHKAN DENGAN AIR HUJAN ITU SEGALA JENIS TUMBUH-TUMBUHAN, KEMUDIAN KAMI KELUARKAN DARIPADANYA TANAMAN YANG MENGHIJAU, KAMI KELUARKAN PULA DARI TANAMAN ITU BUTIR-BUTIR (BUAH) YANG BERGUGUS-GUGUS; DAN DARI POHON-POHON TAMAR (KURMA), DARI MAYANG-MAYANGNYA (KAMI KELUARKAN) TANDAN-TANDAN BUAH YANG MUDAH DICAPAI DAN DIPETIK; DAN (KAMI JADIKAN) KEBUN-KEBUN DARI ANGGUR DAN ZAITON SERTA BUAH DELIMA, YANG BERSAMAAN (BENTUK, RUPA DAN RASANYA) DAN YANG TIDAK BERSAMAAN. PERHATIKANLAH KAMU KEPADA BUAHNYA APABILA IA BERBUAH, DAN KETIKA MASAKNYA. SESUNGGUHNYA YANG DEMIKIAN ITU MENGANDUNGI TANDA-TANDA (YANG MENUNJUKKAN KEKUASAAN KAMI) BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AL-AN’AM 6:99)
- Betapa banyak Allah membincangkan dalam al-Quran tentang nikmat makanan kepada manusia.
Ini kerana manusia ini tidak dapat hidup & tidak boleh sabar tanpa makanan.
Pertamanya ialah anugerah dari jenis tumbuhan, pokok & buahan.
- Allah yang menurunkan air hujan dari langit lalu dengan air itu tumbuh pelbagai jenis pokok tumbuhan, yang hidup subur dan menghijau.
Dari airlah punca kehidupan segala benda hidup.
- Antara jenis pokok-pokok itu adalah tanaman yang pelbagai seperti:
i- Butir-butir & buah yang bergugus-gugus; seperti anggur.
ii- Pokok yang bertandan dengan buah yang mudah dicapai dan dipetik; seperti pohon-pohon tamar/kurma, yang ada mayang-mayangnya.
Pokok tamar adalah pokok yang paling utama bagi Arab, buahnya menjadi sumber makanan, pokoknya keseluruhannya ada kegunaan.
iii- Juga kebun-kebun dari buah anggur dan zaiton serta buah delima.
Ini adalah buah-buah yang sinonim juga di negara Arab, anggur buah yang lazat serta sumber utama pembuatan arak juga boleh dikeringkan menjadi zabib, makanan yang kenyang serta kena zakat.
Zaitun pula masyur dengan khasiat minyaknya. Begitu juga delima yang lazat dan manis,
iv- Ada buah yang bersamaan bentuk, rupa dan rasanya dan ada yang tidak bersamaan.
- Allah perintahkan kepada kita untuk perhatikan kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya.
Betapa indah dan cantik kejadian semua itu serta tersusun tertib kejadiannya.
Daripada tiada kepada ada, membesar, gugur luruh dan mati, sama seperti perjalanan hidup manusia dari air mani menjadi janin, lahir hidup atas dunia kemudian mati masuk dalam kubur.
- Sesungguhnya semua yang diceritakan ini mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah.
Semua ini adalah bukti yang cukup bagi orang yang beriman, berakal & ada ilmu!
Jika berfikir betapa banyak & besar nikmat anugerah Allah terhadap kita.
- Gunalah peluang, kemudahan & kewangan yang ada untuk mencari ilmu, menabur jasa, beribadat, berdakwah, infaq, membuat amalan baik untuk menambah pahala sebagai bekalan ke Akhirat.
Biarlah apa saja yang kita buat atas dunia ini ada pulangannya untuk Akhirat juga, bukan sekadar pergi berjalan, healing cari pengalaman dan seumpamanya.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 98- {Dan Dia lah yang mencipta kamu dari diri yang satu (Adam),}-
Ayat ini adalah ayat untuk kembali ke dalam diri kita.
Allah cipta kita bermula dari Adam, Hawa kepada manusia seluruhnya.
Semua manusia ini dicipta daripada air mani tetapi bentuknya tidak sama; sama ada size, warna, bentuk, citarasa dan sebagainya.
Begitu juga pokok di sekelililing kita tidak ada yang sama, ada bunga merah, kuning, daun bulat, panjang, hujau tua muda dan sebagainya.
Maka cukuplah tengok diri kita, tengok semua ciptaan Allah ini untuk berfikir dan mengakui keEsaan & kekuasaan Allah.
- Ayat 98- {… maka (bagi kamu) disediakan tempat tetap (dalam tulang sulbi bapa kamu atau di bumi), dan tempat simpanan (dalam rahim ibu atau dalam kubur)…}-
Allah bawa dua tempat tinggal bagi manusia ini iaitu: Tempat tetap {مُسْتَقَرٌۭ} dan Tempat simpanan {مُسْتَوْدَعٌ}.
Terdapat beberapa perbahasan ulama’ tentang dua perkataan ini:
i- Pendapat pertama sebagaimana terjemahan tafsir kita ini: tempat tetap {مُسْتَقَرٌۭ} adalah sulbi bapa iaitu tempat simpanan air mani.
Manakala tempat simpanan {مُسْتَوْدَعٌ} pula adalah rahim ibu sebagai tempat sementara bagi janin.
ii- Ada juga pandangan kedua yang sebaliknya iaitu: tempat simpanan {مُسْتَوْدَعٌ} adalah sulbi bapa iaitu tempat simpanan air mani.
Manakala tempat tetap {مُسْتَقَرٌۭ} pula adalah rahim ibu sebagai tempat sementara bagi janin.
iii- Ada yang kata sementara itu atas bumi, tempat simpanan itu pula kubur. Wallahu a’lam.
Yang pentingnya Allah nak nyatakan kejadian manusia ini berubah dan bergerak:
i- Mula-mula duduk dalam stor simpanan iaitu sulbi bapa, sebagai air mani.
ii- Kemudian keluar dan masuk dalam stor simpanan ibu pula iaitu rahim.
iii- Kemudian keluar hidup atas dunia pula sebagai tempat sementara sehingga,
iv- Datang ajal pula masuk dalam stor simpanan lain pula iaitu kubur!
v- Duduklah dalam kubur sebagai tempat simpanan sementara tunggu hari Kiamat lalu dibangkit untuk kehidupan Akhirat yang abadi!
Yang penting Allah kata manusia ini ada tempat simpanan sementara kemudian ada tempat simpanan yang lama!
- Ayat 99- {Dan Dia lah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan,…}-
Dengan turunnya hujan semua tumbuhan tumbuh!
Kata ulama’ : Ini membuktikan bahawa tumbuhan perlukan air untuk tumbuh & hidup.
Jika tiada air ia kan kering dan mengecut.
Maka kita katakan setiap perkara itu ada sebabnya.
Ada hujan ada air, ada air ada pokok. Ada kahwin ada anak; tetapi tidak semestinya orang yang berkahwin ada anak.
Persoalan:
i- Allah sebut dalam ayat ini tentang pokok tamar- {… dan dari pohon-pohon tamar (kurma)- وَمِنَ ٱلنَّخْلِ}- disebut tandannya, mayang dan buahnya sendiri juga.
ii- Tetapi {…kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, – وَجَنَّـٰتٍۢ مِّنْ أَعْنَابٍۢ}- manakala tentang anggur, zaiton & delima Allah sebut buah saja tidak sentuh tentang pokoknya.
Jawapan:
i- Apabila sebut tentang tamar Allah sebut pokoknya bukan hanya buah, ini kerana pokok tamar ini ialah pokok yang dapat dimanfaatkan keseluruhannya sejak dari hujung atas sehingga ke hujung bawah.
Batangnya boleh dibuat tiang, pelepah & daunnya boleh di buat atap dan buahnya pastilah menjadi makanan serta lain-lain kegunaan.
Sama seperti pokok kelapa di tempat kita, pokok seribu guna hatta lidinya boleh dibuat penyapu!
Rasulullah SAW mengumpamakan orang mukmin yang berguna dan bermanfaat seperti pohon kurma.
Daripada Ibn Umar dia berkata, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan seorang mukmin itu seperti pokok tamar, apa pun yang engkau ambil darinya pasti bermanfaat bagimu” [HR At-Tobarani] No: 133324.
ii- Tetapi apabila disebut tentang anggur hanya disebut buahnya terus kerana buahnyalah yang paling masyhur kegunaannya tidak bahagian pokok yang lain.
- Ayat 99- {…dan zaiton serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan…}-
Kamu lihat juga pokok zaitun dan delima, ada yang sama ada yang tidak.
Lain dari sudut bentuk & rasa, kegunaan juga, zaitun yang pahit diambil minyaknya, delima yang manis pula masyhur dengan jusnya.
Kata ulama’ : Setiap buah itu Allah pilih jadikan mempunyai ciri-ciri keistimewaannya yang tersendiri; yang menunjukkan adanya Pencipta yang hebat & berkuasa!
Maka kamu orang yang beriman pergilah kamu lihat kepada pokok kepada buah, bunga yang ada; semua itu tumbuh daripada air yang satu tetapi keluar tumbuhan & buah-buahan yang berbeza.
Semua itu adalah keagungan & kekuasaan Allah SWT bagi orang yang berfikir!
- FAEDAH KELIMA:
Kita nak simpulkan melalui ayat 95 sehingga 99 ini, lima tanda bahawa wujud, adanya Allah SWT Pencipta yang Maha Bijaksana, Maha Berkuasa, dengan Ilmu-Nya yang maha meluas:
i- Dalil tumbuh-tumbuhan dan haiwan {Ayat 95}.
ii- Dalil falakiyyah, lihat kepada ufuq yang bertukar-ganti gelap cerah, matahari & bulan {Ayat 96}.
iii- Dalil kepada bintang, suatu perkara jelas yang berada di langit {Ayat 97}.
Untuk dapat manfaatnya kena ilmu untuk mengkajinya, iaitu ilmu astronomi.
Bintang juga dicipta dengan beberapa peranannya: sebagai pedoman bagi manusia, perhiasan di langit & pelontar syaitan yang cuba naik curi maklumat di langit.
iv- Allah bawa dalil kejadian manusia.
Para doktor & ahli perubatan boleh kemukakan kepada masyarakat tentang peliknya kejadian manusia ciptaan Tuhan yang Esa ini!
v- Cara Allah nak tumbuhkan tumbuhan yang pelbagai jenis.
Berbeza tanaman dan buahnya, semua sumbernya dari air yang satu.
Cukuplah segala dalil yang ada ini bagi orang yang nak beriman, jika tak mahu beriman bawalah 1000 dalil lagipun tetap kafir di situ!
Dalam ayat ini juga Allah sebut:
i- Empat jenis buah yang sinonim dan menjadi makanan utama orang Arab iaitu: Nakhl (tamar), anggur, zaitun & delima.
ii- Allah sebut juga tentang pokok yang renek atau menjalar seperti bijiran yang menjadi makanan asasi kepada manusia seperti gandum dan padi, kemudian pokok kayu yang besar & berbuah.
Semoga Allah kuatkan iman kita dengan cara mentadabur ayat-ayat yang ada, sama ada ayat yang dibaca (مقروءة) atau yang dapat dilihat (منظورة).
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita hari ini yang ringkas tetapi penuh dengan perbahasan yang menarik, semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.