KAFIR MENGATAKAN ALLAH ADA SEKUTU DENGAN JIN, ANAK DAN PASANGAN, MAHA SUCI ALLAH SWT & ALLAH TIDAK DAPAT DILIHAT DENGAN MATA.
Full video : https://youtu.be/SGade5uv3pg?si=c-WT6teLuAU8rHKs
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 100 sehingga 103 dalam juzu’ ketujuh.
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang puak jahat Kafir muysrikin mengatakan Allah SWT ada sekutu dari kalangan jin, serta ada anak dan juga pasangan!
- Subhanallah, Maha suci Allah SWT dari segala tuduhan jahat puak kafir itu!
Sedangkan kita semua ini makhluk ciptaan Allah, hak-Nya macamana nak jadi sekutu Dia pula!
- Allah tidak dapat dilihat dengan mata kasar, sebaik mana manusia itu, tidak ada peluang untuk lihat-Nya atas dunia ini.
Insya’ Allah kita akan lihat Allah di dalam syurga kelak dengan izin Allah.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang orang yang memahami & menerima ayat-ayat Allah ialah orang beriman sahaja.
ii- Sedangkan puak kafir ini mereka mengatakan terhadap Allah itu macam-macam tuduhan.
Maka Allah nyatakan Dia Tuhan yang mencipta segala perkara, kenapa pula Dia perlu kepada segala sekutu dari kalangan makhluk milik-Nya itu!!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ
AYAT 100- {DAN MEREKA MENJADIKAN JIN SEKUTU BAGI ALLAH, PADAHAL ALLAH JUALAH YANG MENCIPTA JIN-JIN ITU; DAN MEREKA BERDUSTA TERHADAP ALLAH DENGAN MENGADA-ADAKAN BAGINYA ANAK-ANAK LELAKI DAN ANAK-ANAK PEREMPUAN, DENGAN TIDAK BERDASARKAN SEBARANG PENGETAHUAN. MAHA SUCI ALLAH DAN MAHA TINGGILAH IA DARI APA YANG MEREKA SIFATKAN!} (AL-AN’AM 6:100)
- Puak kafir musyrikin itu menjadikan jin sebagai sekutu kepada Allah dalam ibadat!
Sedangkan Allah Pencipta segala makhluk yang ada ini termasuk jin itu!
Jin itu pula mukallaf seperti manusia juga.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
{(Bagi menjawab bantahan mereka), ia berkata: “Patutkah kamu menyembah benda-benda yang kamu pahat?
“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!”} (As-Saaffaat 37: 95-96)
- Mereka juga berdusta lagi terhadap Allah dengan mendakwa bahawa Allah ada anak, ada anak lelaki & anak perempuan juga tanpa dalil & ilmu.
- Lalu Allah nyatakan sifat & Zat-Nya yang mulia! Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah Ia dari segala apa yang mereka sifatkan itu!
- Ibnu Kathir menimbulkan satu persoalan:
Bagaimana Allah kata puak kafir sembah jin sedangkan mereka sembah berhala?
Jawapan:
i- Mereka sembah berhala itu kerana taat kepada jin. Mereka kata jin yang suruh mereka sembah berhala itu!
ii- Jin & syaitan itu pula duduk dengan berhala mereka, menghiasinya seolah berbunyi dan bercakap dengan mereka.
Inilah permainan syaitan terhadap akal manusia!
Sentiasa nak menyesat & menyelewengkan manusia!
AYAT 101- {(DIA LAH) YANG MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI. BAGAIMANAKAH IA MEMPUNYAI ANAK SEDANG IA TIDAK MEMPUNYAI ISTERI? IA PULA YANG MENCIPTAKAN TIAP-TIAP SESUATU, DAN DIA LAH YANG MAHA MENGETAHUI AKAN SEGALA-GALANYA.} (AL-AN’AM 6:101)
- Allah menyatakan bahawa Dia-lah yang mencipta langit dengan bumi tanpa contoh, dengan ilmu & kekuasaan-Nya maka jadilah.
- Allah menjawab lagi tuduhan mereka dengan menempelak bagaimana Allah mempunyai anak sedangkan Allah tidak mempunyai isteri?
Anak itu datang dengan perhubungan suami isteri dan manusia yang perlu kepada anak, bukan Tuhan!
Allah Yang Maha berkuasa tidak perlunya.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan satu golongan manusia yang mengatakan Allah bersekutu dengan jin.
ii- Maka datang ayat ini Allah menafikan bahawa tidak ada syirik kepada Allah SWT, Dia tidak ada anak & isteri maka jangan kamu nak reka cerita.
Munasabah kedua:
i- Selepas Allah sucikan diri-Nya yang mulia daripada apa yang disifatkan oleh puak kafir;
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan kekuasaan-Nya mencipta segala sesuatu termasuk langit & bumi, maka apakah Aku perlu kepada itu semua?
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
{Dan mereka yang kafir berkata: “(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.”
Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!
Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap,
Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.
Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Ia mempunyai anak.
Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.}
(Maryam 19: 88-93)
- Ayat ini kita kena baca & kena hayati pada setiap akhir bulan Disember setiap tahun.
Barulah kita tidak akan berani turut sama terjebak dengan perayaan puak yang mendakwa Allah ada anak!
Itu agama yang syirik!
Hati-hati jangan sampai kemurkaan Allah yang dahsyat ini menimpa ke atas kita juga!
- Kita percaya bahawa Nabi Isa AS itu rasul & utusan Allah, tetapi bukan Tuhan atau anak Tuhan seperti yang dipercayai mereka.
Maka berhati-hatilah, peringatan ini diberi agar kita juga tidak membuat apa-apa majlis yang penting sempena dengan tarikh mereka itu.
- Di akhir ayat Allah nyatakan bahawa Dia-lah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya.
Segala yang Allah cipta sama ada dalam laut, atas bumi, dalam bumi, di langit; semuanya di bawah ilmu Allah Azza wa Jalla.
- Firman Allah SWT juga:
{Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!} (Al-Mulk 67:14)
AYAT 102- {YANG DEMIKIAN (SIFAT-SIFATNYA DAN KEKUASAANNYA) IALAH ALLAH TUHAN KAMU, TIADA TUHAN (YANG BERHAK DISEMBAH) MELAINKAN DIA, YANG MENCIPTAKAN TIAP-TIAP SESUATU, MAKA BERIBADATLAH KAMU KEPADANYA. DAN (INGATLAH) DIA LAH YANG MENTADBIRKAN SEGALA-GALANYA.} (AL-AN’AM 6:102)
- Allah Tuhan kamu pencipta langit & bumi, tiada sekutu & syirik kepada-Nya.
- Munasabah ayat ini:
i- Dalam ayat yang lepas Allah bawa hujjah bahawa Dia-Lah Pencipta langit dan bumi;
ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa hanya Dia saja yang layak dipuja & disembah kerana Dia-lah yang mencipta segalanya!
- Maka tiada Tuhan yang berhak disembah & dipuji kecuali Allah Azza wa Jalla semata-mata.
- Allah SWT dengan semua yang dicipta-Nya itu Dia kawal & jaganya.
Selagi ada rezeki dari Allah seseorang manusia itu tidak akan mati.
Apabila habis rezekinya barulah dia akan mati!
- Para pendakwah wajib menanam aqidah yang murni dalam masyarakat.
Jaganya agar tidak terjebak dengan yang karut dan khurafat, jaga agar jangan bercanggah dengan apa yang Allah & Rasulullah SAW larang!
Tetapi malangnya jika mereka ini pula yang dipotong lidah, disekat agar tidak menyampaiakn kebenaran itu kepada masyarakat & orang ramai!
AYAT 103- {IA TIDAK DAPAT DILIHAT DAN DILIPUTI OLEH PENGLIHATAN MATA, SEDANG IA DAPAT MELIHAT (DAN MENGETAHUI HAKIKAT) SEGALA PENGLIHATAN (MATA), DAN DIA LAH YANG MAHA HALUS (MELAYAN HAMBA-HAMBANYA DENGAN BELAS KASIHAN), LAGI MAHA MENDALAM PENGETAHUANNYA.} (AL-AN’AM 6:103)
- Pandangan mata biasa manusia tidak akan dapat melihat Allah SWT atas dunia ini.
Tetapi kita yakin & percaya bahawa kita akan lihat Allah di Akhirat kelak!
Itulah nikmat yang paling besar yang akan didapati oleh ahli syurga!
- Mereka dapat melihat kepada Allah & Allah nyatakan Dia redha kepada mereka!
Ya Allah jadikan kami semua dari golongan yang Engkau redha ini!
- Tetapi Allah SWT dapat melihat semua perkara, tiada yang tersembunyi daripada ilmu & penglihatan-Nya.
Allah tahu segala benda yang kita buat maka jangan sesekali kita buat yang karut & salah.
- Allah nyatakan lagi sifat-Nya:
i- Allah Yang Maha Halus {ٱللَّطِيفُ} melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan-
Allah beri rezeki kepada semua hamba-Nya sama ada yang kafir atau beriman, tidak kata orang kafir kurus kelaparan.
Bahkan lagi kafir lagi banyak makannya kerana semuanya halal bagi mereka.
ii- Allah juga lagi Maha Mendalam pengetahuanNya {ٱلْخَبِيرُ}-
Dengan makna ilmu Allah meliputi segala perkara.
Khabir ini atas lagi daripada alim, jika bagi manusia, dengan makna pakar.
Tetapi bagi Allah SWT sama saja ilmu dan pengetahuan-Nya amat mendalam.
Dia buat segala sesuatu dengan ilmu-Nya & Dia pakar dalam apa yang Dia buat.
Tiada siapa boleh kritik, tiada siapa boleh komplen kerana sempurnanya ilmu Allah SWT!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 100- {Dan mereka menjadikan jin sekutu bagi Allah…}-
Puak kafir itu berbuat syirik dengan menjadikan sekutu bagi Allah.
Perbuatan yang paling dahsyat, yang paling zalim sekali atas dunia ini ialah syirik kepada Allah.
Kerana itu Allah telah tegaskan apabila ajar kepada tauhid kepada para nabi AS:
i- Sekiranya kamu syirik, ia akan membatalkan amalan kamu!
ii- Allah juga tidak akan beri keampunan kepada dosa syirik; sedangkan Allah akan ampunkan semua dosa-dosa yang lain.
Kerana itulah mejadi kewajipan kepada para pendakwah untuk menekankan isu syirik agar tauhid masyarakat murni & terjaga.
Jika ada pihak tertentu seperti penguasa yang cuba menyekat usaha murni para pendakwah ini maka sabarlah wahai ahli Sunnah tunggulah perhitungannya di Akhirat kelak.
- Ayat 101- {(Dia lah) yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Ia mempunyai anak…}-
Allah katakan bahawa Dialah Pencipta langit dan bumi!
Bagaimana mungkin Dia mempunyai anak????
Kata ulama’ tadabbur : Kita boleh faham dari ayat ini bahawa anak & Pemilik Alam ini tidak akan dapat berkumpul sekali.
Tidak mungkin Pencipta & Pemilik langit & bumi ini lemah, perlukan anak!
Bukan seperti manusia yang perlu & berhajat kepada anak.
Bila tak dapat anak dicarinya anak angkat atau dipelihara binatang-binatang pula sebagai pengganti anak manusia!
- Ayat 101- {(Ia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya…}-
Allah yang menciptakan segala perkara maka pastilah kita wajib menyembah-Nya semata-mata.
Jadi kita nak minta pertolongan, memohon sesuatu maka hanya kepada Allah yang patut kita minta & sembah!
Ini kerana Dia yang mencipta segala sesuatu jangan dok cari yang pelik!
Ada setengah manusia yang meminta kepada kubur-kubur atau kepada orang mati, alangkah tak dapat diterima oleh akal yang waras.
Allah juga kata Dia yang mencipta & Allah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya.
Yakni Allah buat tiap sesuatu itu dengan ilmu!
Bukan saja-saja atau ikut suka.
Ini isyarat kepada dalil aqli bahawa Allah bersifat dengan ilmu.
Jika orang yang tiada ilmu pasti tidak akan dapat buat sesuatu yang dikehendakinya.
Jika buat pun tak akan berhasil seperti yang dikehendaki.
Kata pepatah Arab : فاقد الشَّيء لا يعطيه
Orang yang tidak memiliki sesuatu (ilmu, harta atau sebagainya) tidak akan dapat memberi sesuatupun.
Seperti zaman sekarang ini bagaimana seorang pempengaruh (influencer) mendapat tempat di kalangan masyarakat, disanjung & menjadi ikutan walaupun tanpa ilmu dan akhlak yang sepadan untuk menjadi idola atau contoh ikutan yang baik (qudwah hasanah).
Sedangkan ustaz-ustaz yang berpegang dengan al-Quran & Sunnah pula dihalang disekat dengan pelbagai peraturan tetapi yang pelik-pelik begitu diberi tempat, diundang dijemput datang dengan banner yang besar & gah!
Wahai para penguasa, kamu bertanggungjawablah di hadapan Allah Azza wa Jalla kelak.
Orang yang tidak ada akhlak nak ajar orang akhlak yang baik? Pastilah tidak mampu menjadi contoh teladan yang baik.
Orang yang tidak ada ilmu nak beri ilmu tentulah tak boleh; maka dia reka sesuatu yang orang & nafsu suka seperti bergendang, melompat berputar dalam masjid, bermimpi jumpa Nabi dan dapat wasiat darinya, dapat ilmu ladunni dan seumpamanya yang masyarakat boleh percaya & terima.
- Ayat 102- {Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepadaNya. Dan (ingatlah) Dia lah yang mentadbirkan segala-galanya.}-
Allah SWT yang mencipta, menjaga dan mentadbir segala-galanya.
Kita kena letak keyakinan yang tinggi dalam aqidah kita bahawa semua yang Allah perintahkan ini penuh dengan ilmu, hikmah & kebijaksanaan!
Jangan rasa sempit dada susah hati, rasa tersekat dengan undang-undang Allah SWT!
Seperti mengatakan zalim hukum hudud dan seumpamanya.
Kita sebagai orang mukmin tidak akan terkeluar perkataan itu dari mulut kita sama-sekali!
Sebagai orang mukmin kita akan dengar & taat kepada segala perintah Allah.
Wajib dalam hati kita akur tunduk kepada Allah.
- Ayat 103- {Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata,…}-
Kita tidak boleh nampak Tuhan sekarang, mata kita tidak layak untuk tengok Tuhan atas dunia ini.
Ulama’ ahli Sunnah majoritinya mengatakan Rasulullah SAW tidak melihat Allah dengan matanya pada malam Isra’ & Mikraj.
Kita juga yakin di Akhirat nanti kita akan dapat melihat Allah SWT.
Allah SWT itu wujud dengan sifat-Nya yang maha sempurna sebagaimana yang diceritakan sendiri oleh Allah SWT & Rasulullah SAW.
Kita beriman, yakin dan percaya sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW bahawa kita akan melihat Allah SWT dengan ainul-yaqin, di Akhirat kelak!
Yang penting bagi kita adalah istiqomah dengan Islam, berpegang dengan al-Quran & Sunnah, sebagaimana yang dihuraikan oleh ulama’ Islam yang muktabar!
Kita teguh berpegang dengan pandangan ulama’ ahli Sunnah wal jamaah yang muktabar.
Ketepikan segala pandangan lain yang picisan itu.
Jika mereka nak pakai, pakailah jangan paksa orang lain.
Ini kerana menjaga aqidah adalah wajib sebagaimana doa Nabi Ibrahim AS: Jauhkan aku & keturunanku daripada menyembah berhala!
Ini doa seorang nabi bukan manusia biasa.
Maknanya Nabi Ibrahim menyatakan kegawatan dari sudut aqidah masyarakat jika kita tidak dijaga oleh Allah SWT.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita hari ini yang ringkas tetapi penuh dengan perbahasan yang menarik, semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.