DATANG MUKJIZAT KAFIR TETAP DEGIL, SEMUA NABI ADA MUSUH & SYAITAN JIN DAN SYAITAN MANUSIA BERKOMPLOT.
Full video : https://youtu.be/VhOzm_7wf3E?si=V6dPeBwkOYU6dV3y
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 111 sehingga 113.
Kita sudah masuk dalam juzu’ kelapan hari ini.
- Dalam siri ini Allah SWT menyatakan jawapan kepada orang kafir yang minta pelbagai bukti mukjizat iaitu walaupun jika datang malaikat mereka tetap degil, keras kepala tidak akan beriman juga.
- Allah juga menenangkan hati Rasulullah SAW bahawa bukan Baginda saja yang ditentang bahkan semua nabi yang terdahulu juga ada musuh & penentangnya.
- Kemudian Allah nyatakan bahawa syaitan jin dan syaitan manusia itu berkomplot bergabung untuk menyesatkan manusia, membuatkan telinga kafir & ahli maksiat mudah mendengar hasutan dan selewengan mereka.
Ya Allah kita minta perlindungan dengan Allah dari kejahatan syaitan jin & syaitan manusia yang nak memesongkan kita daripada al-Quran & Sunnah, nak seleweng kita dari jalan yang benar. Tiada pertolongan kecuali dari Allah.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan secara umum tentang orang kafir yang meminta bermacam pelbagai bukti mukjizat & mereka bersumpah akan beriman!
Allah nyatakan mereka tidak akan beriman walaupun dibawa mukjizat.
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan lebih jelas iaitu jika diturunkan malaikat atau orang mati hidup semula pun kepada mereka yang keras kepala itu, mereka tetap tidak akan beriman!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 111- {DAN JIKA KAMI TURUNKAN MALAIKAT PUN KEPADA MEREKA, DAN ORANG-ORANG YANG MATI (HIDUP SEMULA LALU) BERKATA-KATA DENGAN MEREKA, DAN KAMI HIMPUNKAN PULA TIAP-TIAP SESUATU DI HADAPAN MEREKA (UNTUK MENJADI SAKSI TENTANG KEBENARAN NABI MUHAMMAD), NESCAYA MEREKA TIDAK JUGA AKAN BERIMAN, KECUALI JIKA DIKEHENDAKI ALLAH; TETAPI KEBANYAKAN MEREKA TIDAK MENGETAHUI (HAKIKAT YANG SEBENAR).} (AL-AN’AM 6:111)
- Allah nyatakan tentang keadaan orang kafir itu, andaikata Allah perkenankan permohonan mereka itu minta pelbagai mukjizat yang pelik lalu bersumpah untuk beriman.
- Allah kata mereka itu, jika diturunkan malaikat sekalipun di depan mereka bersama Rasulullah SAW mereka tetap akan degil keras kepala tidak mahu menerima & beriman!
- Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah ini:
i- Maksudnya: {Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya.} (Al-Isra’ 17:92)
ii- {Dan berkatalah pula orang-orang yang tidak percaya akan menemui Kami: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepada kita, atau kita dapat melihat Tuhan kita?” Demi sesungguhnya, mereka telah bersikap sombong angkuh dalam diri mereka sendiri, dan telah melampaui batas dengan cara yang sebesar-besarnya.} (Al-Furqaan 25:21)
- Kemudian Allah kata lagi jika dibawakan juga bukti seperti:
i- Dihidupkan semula orang mati hidup semula dan berkata-kata dengan mereka menyatakan kebenaran;
ii- Dan Allah himpunkan pula tiap-tiap sesuatu di hadapan mereka yakni kumpul segala saksi sama ada haiwan atau apa saja untuk menjadi saksi tentang kebenaran Rasulullah SAW;
Nescaya mereka tidak juga akan beriman, bawalh bahan bukti apa saja pun; kecuali jika dikehendaki Allah!
- Manakala orang yang Allah pilih walaupun sekali dengar al-Quran saja akan terus beriman. Hati dan dada mereka lapang untuk menerima kebenaran.
- Sebagaimana firman Allah SWT juga:
{Sesungguhnya orang-orang yang telah ditetapkan atas mereka hukuman Tuhanmu (dengan azab), mereka tidak akan beriman:
Walaupun datang kepada mereka segala jenis keterangan dan tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah dan kebenaran Rasul-rasulNya), sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.} (Yunus 10:97)
Yakni nak bertaubat jangan tunggu nyawa sudah dihalkum, nak berubah jangan tunggu tak mampu nak bergerak lagi!
- Di akhir ayat Allah – walaupun diturunkan bukti dalil yang mereka minta itu, mereka tetap tidak akan beriman kecuali telah ditetapkan oleh Allah SWT!
- Ingatlah kita semua ini berada di bawah kuasa & kehendak Allah SWT!
Maka kita banyakkan berdoa agar Allah tetapkan hati kita atas iman & jalan yang benar, istiqomah atas landasan Islam.
- Nak benar-benar beriman hanya simple & mudah. Apa yang Allah sebut kita beriman semuanya, apa yang Rasulullah SAW ajar kita ikut serta apa yang ditafsirkan oleh para ulama’ Salafus-Soleh kita rujuk.
AYAT 112- {DAN DEMIKIANLAH KAMI JADIKAN BAGI TIAP-TIAP NABI ITU MUSUH DARI SYAITAN-SYAITAN MANUSIA DAN JIN, SETENGAHNYA MEMBISIKKAN KEPADA SETENGAHNYA YANG LAIN KATA-KATA DUSTA YANG INDAH-INDAH SUSUNANNYA UNTUK MEMPERDAYA PENDENGARNYA. DAN JIKA TUHANMU MENGHENDAKI, TENTULAH MEREKA TIDAK MELAKUKANNYA. OLEH ITU, BIARKANLAH MEREKA DAN APA YANG MEREKA ADA-ADAKAN (DARI PERBUATAN YANG KUFUR DAN DUSTA) ITU.} (AL-AN’AM 6:112)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah sebut bahawa Nabi SAW telah disakiti oleh pihak kafir, dimusuhi musyrikin dan diderhakai oleh mereka yang keras kepala dari kalangan keluarganya, kaumnya, jiran-jiran sekelilingnya. Semua menentang menolak dakwahnya kecuali beberapa orang yang Allah pilih untuk beriman seperti UM Sayyidah Khadijah, Abu Bakar RA Ali, Zaid dan lain-lain.
ii- Maka datang ayat ini Allah nak menenangkan hati Nabi SAW.
Semua orang yang bawa perkara baik, lebih-lebih lagi jika tak serupa dengan apa yang dipegang masyarakat selama ini, akan ditentang & disakiti. Pasti ada musuhnya!
Begitu juga para nabi sebelum Baginda SAW.
Yang bawa keburukan akan diketahui juga tetapi lambatlah baru terbongkar.
- Allah nyatakan wahai Nabi SAW, sesungguhnya Kami menguji kamu dengan menjadikan musuh kamu daripada jin yang derhaka & manusia yang keras kepala, menolak dan menentang dakwah kamu!
Demikianlah juga Kami sudah uji para nabi sebelum kamu, dengan jadikan mereka ada musuh yang memerangi & menyakit mereka dari kalangan jin yang jahat & manusia yang keras kepala.
Ini telah menjadi Sunnatullah, maka bersabarlah kamu sebagaimana sabarnya nabi-nabi yang terdahulu.
- Setiap dari Nabi AS ada musuhnya sedemikian dari kalangan jin & manusia.
Syaitan itu ada dua jenis, syaitan manusia & dari kalangan jin. Iaitu manusia atau jin yang derhaka itulah yang dinamakan syaitan!
- Sebagaimana firman Allah SWT juga:
{Oleh itu, jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad, maka janganlah engkau berdukacita), kerana sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu telah didustakan juga; mereka telah membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran), serta Kitab (Syariat) yang terang jelas.} (Ali-‘Imran 3:184)
- Sebagaimana kata Imam Bukhari yang juga ditentang dan dimusuhi walaupun beliau mengembara mencari hadis yang sahih:
“Sabarlah wahai pencinta Sunnah, sesungguhnya golongan kamu adalah sedikit”!
- Hadis permulaan Nabi SAW terima wahyu yang panjang, Apabila UM Khadijah membawa Baginda yang ketar kecemasan berjumpa sepupunya Waraqah bin Naufal bin Asad bin ‘Abdul ‘Uzza, iaitu anak pakcik Khadijah, yang telah memeluk agama Nasrani sejak masa Jahiliyah. Rasulullah saw. lalu menceritakan pengalaman yang baru dialaminya. Kata Waraqah, “Itu adalah malaikat (Namus) Jibril AS yang pernah datang kepada Nabi Musa AS. Wahai, diriku! Kalaulah aku masih muda, Wahai, kiranya diriku! Kalaulah aku masih hidup ketika engkau diusir oleh kaummu.” Tanya Rasulullah saw., “Apakah mereka akan mengusir ku?” Jawab Waraqah, “Ya, benar! Tidak seorang pun yang datang membawa apa (ayat-ayat) seperti yang engkau bawa itu yang tidak dimusuhi. Sekiranya aku masih mendapati hari itu, pasti aku akan membelamu sekuat-kuatnya.” [HR Muslim].
Yakni dari awal lagi Nabi SAW telah diberi amaran oleh Waraqah bahawa Baginda akan dihalau keluar dari Makkah oleh kaumnya!
- Allah menyatakan apakah peranan syaitan itu!
Adalah syaitan itu akan berbisik sesama mereka dengan kata-kata batil yang dihiasi, istilah yang indah, kata-kata berbunga yang sedap didengar, istilah yang nadir (rare) & ibarat penuh sastera dan bunga bahasa.
- Lalu dengan kata-kata yang memang cantik indah bagi mereka itu; puak syaitan manusia pun datang berdebat dengan Nabi SAW, menyesatkan ramai manusia, mereka telah membawa fitnah kepada ramai manusia daripada menerima & mengikut kebenaran.
- Begitulah apa yang telah dihiasi syaitan itu akan nampak baik & elok lalu diterima oleh manusia yang ramai.
Menjadikan apa sebenar maksiat nampak seolah ibadat yang baik!
Mereka tudung hati, tutup & sumbat telinga kita daripada menerima kebenaran, manakala yang tidak benar ramai pula!
Contoh: Cuba buat perbandingan jumlah hadiran di konsert hiburan dengan ahli jemaah masjid atau kuliah agama, pasti tidak terlawan.
Bahkan penganjur konsert siap sediakan tempat solat, inilah kosmetik yang menghiasi maksiat & mungkar.
Hati-hati kita dengan perangkap syaitan!
- Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah ini:
{… dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu; dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan yang haram itu), sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik.} (Al-An’am 6:121)
- Jika Allah mahu boleh saja Allah SWT ikat & tutup mulut para syaitan itu!
Tetapi apa boleh Allah telah buat pertembungan antara yang haq & batil itu adalah sunnatullah!
Pencinta al-Quran & Sunnah akan berlawan dengan pencinta bid’ah & khurafat!
Pencinta golongan Salafus-Soleh akan berlawan dengan pencinta falsafah & teori yang pelik-pelik.
Pencinta kebenaran akan bertembung dengan pihak yang sesat.
- Syaitan ini dia akan tengok kategori; level kafir dengan Islam ada, level Islam sesama Islam pun ada, level bangsa dengan bangsa pun ada yang pasti setiap level itu ada perlawanan yang dimainkan oleh syaitan sehingga bila-bila.
Maka kembalilah kepada al-Quran & Sunnah supaya kita elamat daripada permainan syaitan ini!
AYAT 113- {DAN JUGA SUPAYA HATI ORANG-ORANG YANG TIDAK BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT CENDERUNG KEPADA BISIKAN ITU, DAN SUPAYA DISETUJUI OLEH MEREKA, DAN JUGA SUPAYA MEREKA (TERUS) MELAKUKAN APA YANG MEREKA LAKUKAN ITU.} (AL-AN’AM 6:113)
- Apabila syaitan jin & manusia itu bergabung membawa kata-kata hasutan yang indah tadi, lalu manusia yang tidak beriman, hatinya akan mudah menerima bisikan buruk yang telah dikosmetik, dihias & disolek oleh para syaitan itu!
- Maka dengan kata-kata indah itu hati yang cenderung terus percaya dan mengikutnya.
Mereka redha & ikutnya, menerima dan bersetuju dengannya lalu melakukan apa yang tidak sepatutnya dari perbuatan mereka itu!
- Dengan sebab kata-kata yang indah yang telah disolek syaitan tadi; hati yang ada penyakit akan mudah terpengaruh sama ada hati orang kafir atau munafiq!
- Tetapi yang kita takut & bimbangnya, jika hati orang yang beriman akan terpengaruh juga dengan di’ayah syaitan yang dibawa oleh manusia ini.
Ya Allah tetapkanlah hati kami atas landasan yang benar mengikut apa yang diajar oleh Rasulullah SAW.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 111- {Dan jika Kami turunkan malaikat pun kepada mereka, dan orang-orang yang mati (hidup semula lalu) berkata-kata dengan mereka, dan kami himpunkan pula tiap-tiap sesuatu di hadapan mereka…..}-
Allah kata walaupun Kami turunkan malaikat kepada mereka, dan orang-orang yang mati hidup semula lalu berkata-kata dengan mereka, mereka tetap tidak akan beriman.
Yakni jika Allah bawa & penuhi semua yang mereka tuntut & pinta itu; mereka tetap akan degil keras kepala & tidak akan beriman!
Ayat ini Allah tunjukkan betapa buruk & dahsyatnya hati & keadaan orang kafir itu, Allah nafikan terus bahawa hati orang kafir itu akan menerima kebenaran , mereka tetap tidak akan beriman { مَّا كَانُوا۟ لِيُؤْمِنُوٓا}!
Bawalah apa sekalipun, bawalah rimau gajah pun, mereka tetap kafir tidak akan beriman! Allahu al-Musta’an!
Sekarang ini nak suruh minta tolong dengan Allah pun menjadi perdebatan!
Dikatakan boleh untuk minta tolong dengan orang mati dan seumpamanya!
Ajarlah kepada masyarakat ini yang betul, yang tidak ada khilaf dan boleh menimbulkan polemik, perdebatan & perbahasan!
Jangan buka ruang besar kepada orang yang tidak reti!
Kemudian Allah kata: Kecuali dengan kehendak Allah {إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ}.
Apakah kita tahu apa yang Allah kehendaki???
Maka kita yang ada iman, yang cintakan al-Quran & Sunnah ini; banyakkan bedoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita.
Apabila kita dengar & baca ayat al-Quran dengan mata & telinga kita sendiri, kaji ayat al-Quran sebagai dalil & bukti jika tak terbuka lagi pintu hati maka itu bukan salah al-Quran lag tetapi salah diri kita sendiri!
Sabarlah dalam menuntut ilmu, kita dengar apa yang dibaca & dikata, buka telinga buka mata, buka minda buka hati cuba dengarkanlah apa yang kita ajar!
Ini baru share link kuliah sudah marah, sedangkan dia tidak pernah dengar sendiri apa yang diajar & yang dikatakan, cuba beri telinga seminggu apakah ada ajaran yang pelik, yang bersalahan dengan al-Quran & Sunnah Nabi SAW dalam kuliah-kuliah ini?
Memang hidayah taufiq itu milik Allah tetapi jika hidayah irsyad pun tidak mahu terima, tidak mahu dengar dan tolak dari awal lagi, macamana nak terima hidayah taufiq dari Allah???
Ini belum apa-apa sudah tolak & bantah!
Hanya Allah yang dapat menolong & memberi hidayah untuk kita mencintai al-Quran & Sunnah Nabi SAW, untuk memilih jalan yang benar!
- Ayat 112- {Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin,..}-
Allah telah tetapkan setiap nabi itu pasti ada musuhnya!
Kata ulama’ tadabbur : Telah tetap ketetapan Allah atas makhluk ini; bahawa orang jahat, penderhaka & penentang kebenaran akan ada setiap masa.
Mereka ini menjadi musuh kepada para nabi dan juga para pendakwah yang menyambung tugas para nabi akan dimusuhi!
Kita kena ingat kita yang ajak orang kepada al-Quran & Sunnah ini akan dimusuhi orang, musuh itu pula bukan hanya orang jauh, bahkan ada juga dari kalangan ahli keluarga & orang terdekat!
Para nabi telah kena, takkanlah kita orang beriman yang datang kemudian ini akan selamat, aman damai daripada musuh-musuh ini!
Ahli maksiat tetap akan menentang orang yang baik!
Kerana hati mereka telah dikuci oleh syaitan, wal-‘iyazu billah.
- Ayat 112- {Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh,…}-
Allah nyatakan di sini setiap orang itu hatta nabi pun akan ada musuh {عَدُوًّۭا}.
Siapakah musuh kita itu?
Kita kena kenal musuh kita itu ialah syaitan!
Siapakah pula syaitan ini?
Kita kena tahu syaitan ini ada dua kategori: Dari kalangan jin & manusia.
Bukan hanya syaitan jin sahaja.
Sebuah buku yang menarik:= untuk dibaca & sudah ada kuliah bersirinya:
Mengenali Hakikat Syaitan : https://dartaibah.com/…/Kitab-Hakikat-Syaitan-Edisi…
Setiap benda ada musuhnya:
Petani atau penanam pokok tahu dia ada musuhnya, seperti ulat, tikus dan lain-lain haiwan perosak.
Kita orang yang beriman musuh kita ialah syaitan!
Dua jenis syaitan iaitu setiap jin & manusia yang derhaka ialah syaitan!
Hatta haiwan yang mengamuk itu juga dikuasai oleh syaitan haiwan!
Jika fikiran telah dimasuki toksik, diracuni syaitan maka dia tidak akan nampak lagi kebenaran walaupun segala dalil & bukti telah ada di depan mata.
Dia akan takwil juga untuk lari daripada kebenaran.
Faedah ini untuk kita mengingatkan kita ada musuh!
Apabila kita tahu kita ada musuh kita akan berhati-hati & sentiasa berjaga-jaga!
Antara usaha kita ialah bacalah zikir pagi petang yang ma’thur dari Nabi SAW.
Yang kata ulama’ : Adalah umpama perisai atau baju besi bagi muslim!
- Ayat 112- {… musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin,…}-
Ini adalah musuh kita yang paling besar.
Dua jenis syaitan ini, sama ada dari kalangan jin atau manusia.
Syaitan ini juga tidak duduk diam, sentiasa buat kerja tanpa henti.
Syaitan ini tidak pernah tidak ada kerja.
الشيطان فارغ
Sebagaimana Allah nyatakan dalam al-Quran: Syaitan telah bersumpah sebanyak lima kali dengan nama Allah untuk sesatkan manusia kecuali hamba Allah yang ikhlas.
Rujuk buku Hakikat Syaitan.
Kata para ulama’ : Syaitan ini datang pertamanya melalui bisikan di telinga, lalu masuk ke otak kemudian ke hati.
Bila dah masuk ke dalam hati ia akan lekat dan susah lagi untuk dihilangkan!
Kerana itu keracunan pemikiran lebih bahaya daripada keracunan makanan!
Keracunan makanan boleh kita bawa ke hospital dan doktor flush keluar tetapi keracunan pemikiran bukan mudah nak keluar!
Contoh: Para pengikut ajaran sesat yang sudah berpuluh tahun dalam kesesatan ini; yang ketuanya sudah lama mati, tapi bagi mereka tetap masih ada bahkan ada dianggap hidup balik atau tak mati terus!
- Ayat 113- {Dan juga supaya hati orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat cenderung kepada bisikan itu,…}-
Orang yang tidak beriman akan dengar segala apa yang syaitan bisikkan.
Tidak ada nabi, tidak kebangkitan semula dan sebagainya mereka akan percaya.
Golongan kedua yang mudah menerima bisikan syaitan ini ialah orang yang dalam hatinya ada penyakit!
Penyakit hati ini ada dua:
i- Penyakit syubhat keraguan terhadap agama, ini biasanya orang munafiq.
ii- Penyakit syahwat & nafsu, Penyakit nafsu ini semua kita kena, mukmin atau tidak.
Contoh; pak haji kenapa lama tak datang ke masjid?
Anak-anak bawa healing ke tempat yang tidak sepatutnya!
Maka ingatlah; orang dalam hatinya ada syubhat, orang yang dalam hatinya ada syahwat akan mudah dengar & ikut syaitan!
Ya Allah bersihkan hati kami daripada sifat munafiq, bersihkan hati kami daripada segala syubhat keraguan, jauhkan kami dari ikut syahwat, curahkan ke dalam hati kami mencintai al-Quran & Sunnah, jadikan kami cintakan para Salafus-Soleh, cintakan ulama’ yang benar yang membimbing manusia ke jalan yang diredhai Allah SWT!
Moga Allah selamatkan kita di dunia & amankan kita di Akhirat.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita hari ini yang ringkas tetapi penuh dengan perbahasan yang menarik, semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.