View Categories

(40) Surah Al-An’am : Ayat 136-137

MAINAN SYAITAN DALAM TANAMAN DAN HAIWAN, MEMBUNUH ANAK & MENGELIRUKAN MANUSIA.

Full video : https://youtu.be/LMp11p0LPTc?si=fStU7OV7dsY5-Jz1

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 136 sehingga 137 dalam juzu’ kelapan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan kepada kita tentang mainan syaitan terhadap manusia dalam tanaman dan haiwan ternakan. Syaitan masuk melalui jalan ini pula. 
  1. Syaitan juga ajar manusia supaya membunuh anak dengan alasan anak lelaki makan banyak menghabiskan harta, anak perempuan pula jika rosak boleh menjatuhkan maruah keluarga. 
  1. Begitulah kerja syaitan sejak dari dulu lagi, mahu mengelirukan manusia agar terus terpesong dari jalan Allah.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang cara puak kafir nak mengingkari hidup balik & tidak percaya kepada hari Kiamat.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan beberapa kecetekan akal pemikiran puak jahiliyyah yang dihasut oleh mainan syaitan! Nampak macam-macam betul kerana ada juga bahagian Tuhan; tetapi sebenarnya tidak kerana semua itu hanyalah helah mereka semata-mata.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 136- {DAN MEREKA (ORANG-ORANG MUSYRIK) MEMPERUNTUKKAN DARI HASIL TANAMAN DAN BINATANG-BINATANG TERNAK YANG DICIPTAKAN OLEH ALLAH ITU, SEBAHAGIAN BAGI ALLAH (DAN SEBAHAGIAN LAGI UNTUK BERHALA-BERHALA MEREKA), LALU MEREKA BERKATA: INI UNTUK ALLAH – MENURUT ANGGAPAN MEREKA – DAN INI UNTUK BERHALA-BERHALA KAMI.” KEMUDIAN APA YANG TELAH DITENTUKAN UNTUK BERHALA-BERHALA MEREKA, MAKA IA TIDAK SAMPAI KEPADA ALLAH (KERANA MEREKA TIDAK MEMBELANJAKANNYA PADA JALAN ALLAH), DAN APA YANG TELAH DITENTUKAN UNTUK ALLAH, SAMPAI PULA KEPADA BERHALA-BERHALA MEREKA (KERANA MEREKA MEMBELANJAKANNYA PADA JALAN ITU). AMATLAH JAHATNYA APA YANG MEREKA HUKUMKAN ITU.} (AL-AN’AM 6:136)

  1. Puak musyrikin itu telah menjadikan apa yang Allah ciptakan dari tanaman & haiwan ternakan separuhnya untuk Tuhan dan sebahagian lagi untuk berhala mereka. 
    Mereka ada peruntukan untuk Tuhan beserta peruntukan berhala sembahan mereka, sedangkan semuanya adalah hak Tuhan!
    Seolah zakat atau cukailah.
  1. Yakni membahagikan hasil tanaman & binatang ternakan itu kepada dua: sebahagian untuk Allah manakala sebahagian lagi untuk berhala mereka! 
    Tetapi apa yang mereka tentukan untuk Allah itu tidak sampai pun kepada Tuhan tetapi apa yang diperuntukkan untuk berhala tidak sampai kepada Allah juga. 
  1. Yakni hakikatnya, semuanya untuk berhala bagi mereka melakukan acara kesyirikan kepada berhala, nama saja untuk Tuhan untuk menutup keburukan itu. 
    Ini adalah pembahagian yang pincang & tidak adil! 
  1. Cara mereka menggunakan bahagian itu ialah:
    i- Apabila disebut untuk Tuhan, bahagi itu mereka gunakannya untuk tamu, beri kepada kanak-kanak & sedekah kepada faqir miskin. Yakni peruntukan untuk Allah digunakan untuk charity dan kebajikan.

    ii- Bahagian untuk berhala pula adalah untuk para penjaga berhala yang dipanggil sadanah (سدنة) yang bererti tuan penjaga yang terhortmat. 
    Serta untuk acara-acara penyembahan dan kesyirikan mereka. 
  1. Jika kita baca sejarah dalam al-Quran, kita akan dapati syirik zaman dulu dengan syirik zaman sekarang betul-betul sama cara Modus operandi atau kaedah operasinya. 
    Kutipan tabung dari orang ramai memang masuk kepada para penjaga tempat syirik itu.
  1. Inilah yang dibimbangkan, bahagikan peruntukan untuk Tuhan untuk itu ini; yang mana akhirnya peruntukan untuk kebajikan, untuk faqir miskin pun diguna juga untuk berhala kerana ia diurus & diguna pakai oleh para sadanah penjaga kuil atau berhala ini!
  1. Manakala peruntukan untuk berhala dan para penjaga ini tidak boleh pula dibawa untuk kegunaan kebajikan. 
    Untuk kebajikan boleh dibawa kepada penjaga dengan alasan mereka termasuk juga dalam golongan miskin!
  1. Allah kata amat buruk sekali perbuatan mereka puak kafir ini! 
    Allah bagi kepada puak kafir pemikiran yang berselindung di sebalik nama agama, nama berhala. 
  1. Inilah episod pertama mainan syaitan terhadap manusia, dalam bab harta, ternakan dan tanaman. 
    Ayat seterusnya adalah episod kedua iaitu bagaimana masyarakat jahiliyyah boleh terpengaruh dengan syaitan untuk bunuh anak mereka sendiri!

AYAT 137- {DAN DEMIKIANLAH JUGA (JAHATNYA) KETUA-KETUA YANG ORANG-ORANG MUSYRIK ITU JADIKAN SEKUTU BAGI ALLAH, MENGHASUT KEBANYAKAN DARI MEREKA DENGAN KATA-KATA INDAH YANG MEMPERLIHATKAN ELOKNYA PERBUATAN MEMBUNUH ANAK-ANAK MEREKA, UNTUK MEMBINASAKAN MEREKA, DAN UNTUK MENGELIRUKAN MEREKA NENGENAI AGAMA MEREKA. DAN KALAU ALLAH KEHENDAKI, NESCAYA MEREKA TIDAK MELAKUKANNYA. OLEH ITU BIARKANLAH MEREKA DAN APA YANG MEREKA ADA-ADAKAN ITU.} (AL-AN’AM 6:137)

  1. Kaum Arab jahiliyyah di Tanah Arab pasa awalnya mereka ikut agama Nabi Ibrahim a,s yang dibawa oleh anaknya Nabi Ismail AS tapi lama-kelamaan mereka terpesong kepada penyembahan berhala.
  1. Pelopor yang membawa masuk berhala kepada Arab ini bernama Amru bin bin Luhay al-Khuza’i. 
    Dialah yang mengubah perjalan agama di Makkah yang dibawa oleh nabi Ibrahim AS, dari agama tauhid yang murni kepada agama berhala & syirik! 
    Dialah kepala jahat dan mendapat azab yang dahsyat.
  1. Sebagaimana hadis Nabi SAW:
    Daripada Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:
    رَأَيْتُ عَمْرَو بْنَ عَامِرٍ الْخُزَاعِيَّ يَجُرُّ قُصْبَهُ فِي النَّارِ ، كَانَ أَوَّلَ مَنْ سَيَّبَ السَّوَائِبَ.
    Maksudnya: “Aku melihat ‘Amr bin ‘Amir al-Khuza’i menyeret ususnya di dalam neraka kerana dia adalah orang pertama yang mengadakan al-Sawa’ib.” [HR al-Bukhari (3521) dan Muslim (2856)].
    Sawa’ib (السَّوَائِبَ) adalah lafaz jamak kepada perkataan Sa’ibah (haiwan yang disediakan untuk sembahan mereka dan tidak digunakan untuk mengangkut barang). (Lihat Fath al-Bari, 6/421)
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas syaitan ajar untuk membahagikan harta kepada dua, untuk kebajikan (Tuhan) dan untuk berhala, tetapi yang mana akhirnya semua bahagian menjadi milik mereka & berhala!

    ii- Dalam ayat ini pula syaitan ajar untuk membinasakan orang Makkah dengan isu bunuh anak bagi mengelakkan kerugian dan penyesalam yang membawa aib! 
    Kerana itu mereka tanam anak hidup-hidup semasa kecil lagi.
  1. Sedangkan Allah SWT telah melarang perbuatan ini:
    i- Sama ada bunuh anak lelaki & perempuan kerana takut faqir:
    Maksudnya: {Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.} (Al-Isra’ 17:31)

    ii- Larangan khas dari membunuh anak perempuan:
    a- {Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, Dengan dosa apakah ia dibunuh?} (At-Takwir 81: 8-9)

    Mainan syaitan ini bijak dan menjadi molek. Allah SWT telah ceritakan dengan jelas dalam al-Quran:
    {Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.
    Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.} (Al-Nahl 16: 58-59)
  1. Di akhir Allah nyatakan juga bahawa jika Allah kehendaki semua itu tidak berlaku, tetapi Allah biarkan mereka dengan apa yang telah mereka buat.
    Sekarang dalam Islam kita perbetulkan perjalanan agar kita tidak terpesong daripada jalan yang diredhai Allah SWT!
    Yakni pembunuhan itu telah berlaku dengan taqdir Allah SWT, semuanya ada hikmah.
    Wahai Rasulullah SAW, tinggalkan perbuatan jahiliyyah itu, kamu sudah menyampaikan dan menegur dan melarang mereka! 
    Iaitu wahai para pemdakwah, selepas usaha dan cuba buat yang terbaik sebagaimana yang diajar oleh Allah & Rasulullah SAW, barulah kita serahkan sesuatu urusan itu kepada Allah SWT!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 136- {Dan mereka (orang-orang musyrik) memperuntukkan dari hasil tanaman dan binatang-binatang ternak yang diciptakan oleh Allah itu, sebahagian bagi Allah (dan sebahagian lagi untuk berhala-berhala mereka),…}-

    Puak kafir itu membahagikan harta mereka ada bahagian Allah iaitu untuk kebajikan & sebahagian lagi untuk berhala bagi penjaga berhala.
    Tetapi akhirnya semua itu menjadi milik mereka para penjaga & penyembah berhala.
    Semua itu hanyalah helah & teknik untuk mendapatkan harta orang.
    Akhirnya yang kaya ialah tokey-tokey penjaga berhala! 
    Inilah permainan & hiasan syaitan yang cukup bahaya! Ini dalam tafsir.
    Realiti dan hakikat hari ini; lihatlah di mana saja ada tempat dianggap keramat kononnya sama ada kubur atau apa saja, lalu dibuka tabung besar-besar pasti akan menjadi lubuk rezeki & pulangan besar bagi para penjaga kubur itu! 

    Contoh satu kisah benar di Mesir, setelah menjadi perebutan hak menjaganya antara penduduk kampung, masing-masing mengaku wali tuan kubur itu keluarga mereka. 
    Semuanya kerana nakkan hasil tabung pengunjung kubur itu.
    Akhirnya sampai ke mahkamah, lalu kerajaan keluarkan hukum untuk digali kubur itu untuk menentukan kubur siapa. 
    Malangnya di dalam kubur itu hanya ada rangka & kepala lembu, tiada unsur tulang manusia pun! 
    20 tahun sudah orang ramai datang berdoa & memohon hajat di kubur lembu itu dan memberi wang!
    Pihak yang bertanggungjawab atas dunia ini sekarang jika ada permaianan kubur begini, tolonglah pantau & sekatlah sebelum di pertanggungjawab di hadapan Allah SWT kelak, janganlah kita terperangkap dalam mainan syaitan!
  1. Ayat 136- {Dan mereka (orang-orang musyrik) memperuntukkan dari hasil tanaman dan binatang-binatang ternak yang diciptakan oleh Allah itu,….}-

    Pihak kafir musyrik memainkan isu dari hasil tanaman dan binatang-binatang ternak, sedangkan Allah yang mencipta semua itu!
    Dalam ayat ini Allah bawa beberapa khurafat yang menjadi amalan puak jahiliyyah dulu. 
    Allah sebut dalam ayat ini bahawa simpton khurafat dan benda karut marut ini akan berlaku sehingga ke hari Kiamat.
    Ini kerana ia telah disusun-atur dan dirancang oleh syaitan dan manusia yang lemah akal akan mudah tejebak & terperangkap dengan mainan syaitan ini!
    Kita seru kepada semua ulama’ ahli Sunnah supaya bergabung untuk menyekat fenomena buruk ini. 
    Allah sebut semua khurafat dan benda karut marut ini sebagai peringatan dan amaran untuk kita semua agar tidak terjebak dengannya. 
    Semoga apa yang dimainkan pada zaman jahiliyyah dulu jangan hidup balik pada zaman jahiliyyah moden kita ini pula!
  1. Ayat 136- {… sebahagian bagi Allah (dan sebahagian lagi untuk berhala-berhala mereka), lalu mereka berkata: Ini untuk Allah menurut anggapan mereka dan ini untuk berhala-berhala kami.”}-

    Mereka membuat pembahagian separuh untuk Allah & separuh lagi untuk berhala mereka.
    Semua pembahagian yang mereka buat itu hanyalah mengikut sangkaan mereka saja, dan sangkaan itu pastilah buat ikut nafsu!
    Apa yang nafsu suka mereka buat, apa yang nafsu tidak suka tak buat & tinggalkan.

    Kerana itu kata ulama’ :  
    i- Asal dalam bab ibadat kita tidak boleh buat kecuali ada dalil iaitu nas Syara’ daripada al-Quran & Hadis Nabi SAW yang sorih.

    ii- Manakala dalam bab adat & kehidupan seperti makan minum; adalah bebas dan terbuka kecuali yang dilarang atau diharamkan oleh Syara’ : Seperti babi, arak dan lain-lain. Yang lain jika baik & tidak membahayakan adalah harus.
    Apabila Allah SWT melarang sesuatu perkara pasti ada hikmahnya seperti babi yang begitu bahaya dan kotor, terbukti melalui kajian perubatan dan diakui juga oleh orang kafir sendiri.
    Kerana itu Allah kata mereka buat itu hanya dengan sangkaan mereka saja {بِزَعْمِهِمْ}- mereka bukan ada ilmu pun!
  1. Ayat 137- {… menghasut kebanyakan dari mereka dengan kata-kata indah yang memperlihatkan eloknya perbuatan membunuh anak-anak mereka,…}-

    Demikian syaitan menghasut puak kafir untuk bunuh anak & menghiaskannya seolah satu perbuatan yang betul dan baik!
    Kata ulama’ : Apa benda & perkara pun apabila didakyah sebagai sesuatu yang baik lalu dihiasi dan disolek akan menjadi persepsi yang elok dan disangka baik.
    Maksud {زَيَّنَ} ini ialah menghiasinya, memperelokkan, menyoleknya sehingga menjadi begitu indah, baik dan elok kelihatan di mata manusia yang lemah & terpengaruh dengan di’ayah syaitan. 
    Menukar persepsi seseorang, dari buruk kepada elok.
    Seperti fenomena buruk manusia hari ini yang nak kahwin tetapi tidak mahu anak sama ada kerana malas nak jaga dan didik atau kerana takut habis harta. 
    Ini juga sudah menjadi trend bagi orang Islam.
    Atau yang lebih teruk lagi tidak mahu kahwin terus tetapi hanya berkawan untuk melepaskan nafsu suka sama suka. 
    Anak tiada pelihara anak anjing pula!!
  1. Ayat 137- {… menghasut kebanyakan dari mereka dengan kata-kata indah yang memperlihatkan eloknya perbuatan membunuh anak-anak mereka,…}-

    Allah namakan (زَيَّنَ) perhiasan ni dengan tukar nama, buat jadi nampak molek!
    Contoh, jin dipanggil sebagai partner, penjaga berhala sebagai “sadanah” yang bererti ketua besar yang mulia.
    Mereka kaum jahiliyyah ini buat helah dengan tukar nama sesuatu perbuatan buruk itu dengan nama yang elok dan baik sehingga mengelirukan!
    Kita hari ini pun ada juga banyak yang mengaburi mata, syaitan ajar tukar nama agar benda haram itu nampak seolah halal: 
    i- Riba menjadi interest, profit, bunga dan seumpamanya. 

    ii- Rasuah menjadi duit kopi, tips, hadiah sumbangan dan lain-lain.

    iii- Mengumpat jadi membawang dan seumpamanya.
    Begitulah permainan syaitan yang sentiasa cuba memerangkap manusia dengan permainan dan perhiasannya, yang mahu menyeleweng manusia daripada jalan yang benar.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita hari ini yang ringkas tetapi penuh dengan perbahasan yang menarik.
Semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs