ALLAH CIPTAKAN BERBAGAI JENIS TUMBUHAN, DEMIKIAN JUGA HAIWAN & GUNALAH DENGAN BAIK JANGAN IKUT SYAITAN.
Full video : https://youtu.be/3urL-ZwaCw8?si=6IPn70Ud8V-yHzah
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 141 sehingga 142 dalam juzu’ kelapan.
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan bahawa Allah SWT telah ciptakan berbagai jenis tumbuhan atas dunia ini.
- Demikian juga Allah cipta haiwan pelbagai jenis untuk kegunaan manusia.
- Nikmat yang Allah beri ini; gunalah dengan baik, pada tempat yang sesuai, jangan boros & membazir iaitu jangan ikut syaitan.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam beberapa ayat yang lepas Allah SWT bawa beberapa dalil untuk mengisbatkan tauhid bahawa Allah itu Esa, Dia-lah yang mencipta & mengatur tadbir semuanya. Kemudian untuk menyatakan (nubuwwah) kenabian Nabi SAW, hidup semula serta menegakkan taqdir Allah SWT.
ii- Maka datang ayat ini sekali lagi bawa dalil penciptaan Allah SWT segala perkara atas muka bumi ini.
Kebun & pokok yang sama, disiram dengan air yang sama; tetapi mengeluarkan hasil buah yang berbeza.
Kamu lihatlah dengan baik serta apabila Allah beri rezeki gunakannya sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT, jangan buat yang tidak sepatutya!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 141- {DAN DIA LAH (ALLAH) YANG MENJADIKAN (UNTUK KAMU) KEBUN-KEBUN YANG MENJALAR TANAMANNYA DAN YANG TIDAK MENJALAR; DAN POHON-POHON TAMAR (KURMA) DAN TANAMAN-TANAMAN YANG BERLAINAN (BENTUK, RUPA DAN) RASANYA; DAN BUAH ZAITON DAN DELIMA, YANG BERSAMAAN (WARNANYA ATAU DAUNNYA) DAN TIDAK BERSAMAAN (RASANYA). MAKANLAH DARI BUAHNYA KETIKA IA BERBUAH, DAN KELUARKANLAH HAKNYA (ZAKATNYA) PADA HARI MEMETIK ATAU MENUAINYA; DAN JANGANLAH KAMU MELAMPAU (PADA APA-APA JUA YANG KAMU MAKAN ATAU BELANJAKAN); SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK SUKA KEPADA ORANG-ORANG YANG MELAMPAU.} (AL-AN’AM 6:141)
- Allah-lah Tuhan kamu yang mencipta & menjadikan pelbagai jenis tumbuhan yang berlainan;
i- Ada pokok yang jenis menjalar & tidak,
ii- Ada pokok yang berbatang kayu keras & lembut.
- Kemudian ada pokok jenis palma seperti tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan bentuk, rupa dan rasanya.
- Kemudian pokok yang mengeluarkan buah-buahan seperti:
i- Buah zaiton dan delima, yang seakan sama warnanya atau daunnya tetapi tidak sama rasanya; zaitun pahit biasanya dijeruk & masyhur dengan minyaknya.
Para peniaga zaitun jangan sampai berbalah, masing-masing nak naikkan jenama yang dijual.
ii- Manakala delima buahnya manis.
- Di sini dapat kita lihat Allah sebut 3 jenis buah sebagai contoh:
i- Tamar yang menjadi makanan yang mengenyangkan bagi bangsa Arab.
ii- Zaitun yang diambil minyaknya sebagai supplement.
iii- Delima sebagai buah yang manis dan penambah rasa.
- Objektif utama Allah mencipta semua buah-buahan ini untuk kita ambil manfaat darinya sebagai makanan apabila ia berbuah dan lain-lain kegunaan.
Mengapa kita tidak bersyukur lagi atas nikmat Allah yang begitu besar ini.
Contoh seperti tamar yang melalui pelbagai peringkat sebelum masak & kering.
- Kemudian hasil dari tanaman ini jika yang termasuk dalam yang kena zakat seperti tamar, padi, gandum dan lain-lain, keluarkanlah zakatnya pada hari menuai hasilnya.
Terus timbang hasil yang dituai, jika cukup nisabnya keluarkan zakat, tak perlu tunggu cukup haul (tempoh) setahun.
Zakat tanaman ini sekaligus itu sahaja dan hanya sekali, walaupun disimpan lama selepas itu.
Kecuali jika menjadi barang perniagaan, zakat lain pula.
- Kemudian Allah ingatkan kita agar jangan melampaui dalam makan minum, berbelanja dan apa saja perbuatan kamu.
Jangan membazir, bersederhanalah dan makanlah yang baik-baik, yang tidak memberi mudharat.
- Ini kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau, boros dan membazir.
Boros itu sama ada makan banyak atau harga yang melampaui.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
{Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.}
(Al-A’raaf 7:31)
- Dalam hadis Nabi SAW pula:
وَعَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ, عَنْ أَبِيهِ, عَنْ جَدِّهِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم: ( كُلْ, وَاشْرَبْ, وَالْبَسْ, وَتَصَدَّقْ فِي غَيْرِ سَرَفٍ, وَلَا مَخِيلَةٍ ) أَخْرَجَهُ أَبُو دَاوُدَ, وَأَحْمَدُ, وَعَلَّقَهُ اَلْبُخَارِيُّ.
Dari Amru Ibnu Syu’aib, dari ayahnya, dari datuknya RA, bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Makanlah, minumlah, berpakaianlah, dan bersedekahlah tanpa berlebihan dan sikap sombong.” [HR Ahmad dan Abu Daud. Hadits mu’allaq menurut Bukhari].
AYAT 142- {DAN DI ANTARA BINATANG-BINATANG TERNAK ITU, ADA YANG DIJADIKAN UNTUK PENGANGKUTAN, DAN ADA YANG UNTUK DISEMBELIH. MAKANLAH DARI APA YANG TELAH DIKURNIAKAN OLEH ALLAH KEPADA KAMU, DAN JANGANLAH KAMU MENURUT JEJAK LANGKAH SYAITAN; KERANA SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU MUSUH BAGI KAMU YANG TERANG NYATA.} (AL-AN’AM 6:142)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah sebut rezekinya dari jenis pokok & tumbuhan.
ii- Maka datang ayat ini Allah ceritakan pula manfaat dari segi binatang ternakan (ٱلْأَنْعَـٰمِ).
- Yakni Allah juga mencipta binatang ternakan (ٱلْأَنْعَـٰمِ) untuk kegunaan manusia.
Jenis binatang ternakan ini ialah:
i- Unta dan segala jenisnya.
ii- Lembu & kerbau dengan segala jenisnya.
iii- Kambing & biri-biri (kibasy) dengan segala jenisnya.
Keldai & kuda tidak termasuk dalam kategori al-an’am ini walaupun dipelihara juga.
- Dari binatang ternak ini Allah jadikan dua jenis pula:
i- Yang dijadikan khas sebagai tunggangan & muatan (حَمُولَةًۭ) seperti unta yang besar, bawa orang & barang-barang muatan. Unta terkenal sebagai kapal padang pasir.
ii- Yang dimakan sahaja tidak sesuai menjadi tunggangan (فَرْشًۭا) seperti lembu, tetapi boleh menarik kereta (kereta lembu) untuk dinaiki pula.
Kambing lagilah tidak boleh dinaiki kecuali kanak-kanak & orang babuk!
Keldai boleh ditunggang tetapi ia bukan termasuk dalam (ٱلْأَنْعَـٰمِ).
Antara hadis tak sahih ialah ada yang mengatakan kambing & kibasy korban kita atas dunia ini akan menjadi tunggangan kita di Akhirat kelak! Inilah antara ciri-ciri hadis tidak sahih, bertentangan dengan logik akal.
- Makanlah dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu ini dengan cara baik, halal toyyiban.
Bukan ikut selera atau nafsu kita.
- Kemudian Allah pesan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan yang menjadikan haiwan itu yang halal diharamkan, dijadikan sebagai sembahan atau korban persembahan untuk kubur dan lain-lain tempat keramat!
- Ingatlah bahawa sesungguhnya Syaitan itu musuh yang terang lagi nyata bagi kamu!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 141- {Dan Dia lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar;…}-
Allah kata Dia-lah yang sediakan untuk kamu pokok-pokok & buah-buahan yang ada ini.
Melalui ayat ini Allah memperingatkan kepada kita akan nikmat yang diberi-Nya kepada kita.
Allah bawa ayat al-Quran tentang perkara yang paling dekat dengan kita seperti pokok-pokok ini yang kita tengok, tanam & siramnya.
Supaya kita berfikir dan mensyukuri nikmat Allah terhadap kita!
Kita lihat kepada pokok yang berbagai jenis, hidup & disirami dengan air yang satu & sama tetapi tumbuh mengeluarkan buah-buahan yang pelbagai rasa dan jenis yang berlainan,
Kita semua duduk di bawah rahmat Allah dan Allah beri kita pelbagai jenis pokok sebagai nikmat untuk kita!
Ada pokok yang berbunga indah sebagai hiasan, ada pokok yang boleh dimakan dan berbagai kegunaan lagi.
Pokok juga pada waktu segar & muda menjadi pujaan ramai, apabila tua akan layu & kecut dan tidak berguna lagi.
Sama seperti kita manusia juga akan tua & mati akhirnya.
- Ayat 141- {Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya;…}-
Allah kata kamu makanlah buah itu apabila ia sudah mekar, tua, masak atau ranum.
Ulama’ feqah kata : Ini menunjukkan bahawa harus kita petik & makan buah itu apabila dia sudah mulai masak atau matang.
Buah-buah ini ada pelbagai jenis cara & peringkat masaknya, ada yang boleh dimakan terus, ada yang kena tunggu betul-betul masak dan sebagainya.
Pada waktu itu juga penilai bagi zakat buah-buahan, sudah boleh datang untuk membuat penilaian & sukatan untuk mengagak nilai zakat yang perlu di keluarkan.
Zakat sudah boleh dikeluarkan pada hari itu.
Zakat buah-buahan pula perlu dikeluarkan pada hari menuai dan memetik hasilnya, zakat buahan tidak berulang hanya sekali itu sahaja.
Jika disimpan lama selepas itupun tidak kena zakat lagi kecuali yang menjadi barang dagangan, kena zakat perniagaan pula.
- Ayat 141- {… dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan);…}-
Allah mengingatkan kita juga agar jangan melampaui dalam makan minum & berbelanja.
Melampaui ini ada dua keadaan:
i- Melampaui dari segi hukum Syara’ seperti makan benda haram & memabukkan atau makan milik orang tanpa hak!
ii- Atau dari sudut fitrah & tabie manusia, makan dengan tamak & gelojoh sehingga kenyang yang melebihi, membawa kepada sebu, sakit perut atau muntah, tidak dapat bernyawa sesak nafas dan seumpamanya.
Banyak hadis Nabi SAW mengajar adab makan ini antaranya:
Sabda Rasulullah SAW: مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ. بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ
Maksudnya: “Tiada ruang yang manusia isi yang lebih buruk daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam memakan beberapa suapan untuk menegakkan tulang sulbinya. Namun, jika dia tidak dapat mengelaknya, maka hendaklah dia membahagikan sepertiga perutnya (diisi) untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga lagi untuk nafasnya.” [HR at-Tirmizi (2380), sahih].
- Ayat 142- {Dan di antara binatang-binatang ternak itu, ada yang dijadikan untuk pengangkutan, dan ada yang untuk disembelih…}-
Antara binatang ternakan kamu itu; ada kategori yang layak ditunggang, sebagai pengangkutan dan ada yang hanya khas untuk dimakan!
Sebagaimana dalam ayat yang lepas diceritakan tentang musyrikin jahiliyyah yang mengadakan beberapa kategori haiwan ikut hukuman rekaan mereka.
Tiba pada ayat ini Allah tukar khitab (percakapan) daripada cerita orang kafir kepada orang mukmin, maka kamu orang mukmin kena cerdik, unta orang guna untuk naik, untuk disembelih makan.
Tetapi puak kafir yang bodoh itu jadikannya haram dimakan, tidak boleh naik, khas untuk berhala, membazirkan haiwan, hidup berkeliaran tanpa faedah & manfaat, nikmat Allah yang disalahgunakan!
Datang ayat al-Quran ini memberi sindiran dan pengajaran kepada orang kafir, tiada pembaziran dalam Islam & kebodohan yang berlaku seperti perbuatan orang kafir itu.
Allah nyatakan bagi orang Islam semua binatang ternakan itu ada kegunaannya sama ada untuk dimakan atau menjadi kenderaan.
Ada juga yang digunakan untuk menolong membajak tanah pertanian, memunggah air dan sebagainya yang logik dan sesuai tanpa menganiayainya.
Sesetengah agama pula mengharamkan sesuatu jenis binatang dari dimakan, bahkan disembah & dimuliakan, bukankan satu pembaziran semua perbuatan karut itu.
- Ayat 142- { Makanlah dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu, dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan;…}-
Makanlah rezeki yang Allah beri jangan ikut langkan syaitan.
Apa rezeki yang Allah beri daripada makanan yang halal; jika ianya baik dan sesuai dengan selera & kesihatan kita makanlah!
Jangan banyak songeh.
Tetapi ingat jangan kamu ikut syaitan:
i- Yang langgar dari sudut Syar’ie : Langgar hukum Allah, tukar yang haram jadi halal & sebaliknya.
ii- Melampaui dari sudut tabi’e : Dalam makan minum dengan tamak haloba sehingga membazir & membawa bahaya seperti obesiti dan lain-lain penyakit.
Allah SWT berfirman: وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا ﴿٢٧﴾
Maksudnya: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” [Al-Isra’, 17: 26-27].SWT
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita hari ini yang ringkas tetapi penuh dengan perbahasan yang menarik, semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Sempena tahun baru ini jika ada yang berminat untuk menghantar anak-anak belajar di Pondok Sungai Durian sama ada aliran pondok sahaja atau tahfiz boleh mendaftar di: www.pondoksgdurian.com
Atau untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi Pendaftar kita Ustaz Yahya Yaacob,
HP: 018-329 4480.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.