View Categories

(44) Surah Al-An’am : Ayat 145-147

MAKANAN YANG DIHARAMKAN KE ATAS ORANG ISLAM DAN ORANG YAHUDI & AMARAN JIKA DUSTAKAN NABI SAW.

Full video : https://youtu.be/1vadQzScJwM?si=uGn3Wc5xm7uBFtBV

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 145 sehingga 147 dalam juzu’ kelapan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan makanan yang diharamkan ke atas orang Islam dan juga ke atas orang yahudi.
  1. Kemudian Allah beri amaran jika sesiapa mendustakan Nabi SAW Allah akan timpakan ke atas mereka bala yang besar.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT mencela puak musyrikin kerana mengharamkan perkara yang dihalalkan Allah SWT kemudian mereka menisbahkannya kepada Allah.

    ii- Maka datang ayat ini Allah perintahkan Nabi SAW nyatakan pula kepada masyarakat, bahawa pembahagian & hukum yang mereka puak jahiliyyah buat itu adalah tidak betul.
    Dalam ayat ini Allah menyatakan 4 jenis makanan yang Allah haramkan termasuk beberapa jenis lagi yang ditambah dalam Sunnah Nabi SAW. 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 145- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “AKU TIDAK DAPATI DALAM APA YANG TELAH DIWAHYUKAN KEPADAKU, SESUATU YANG DIHARAMKAN BAGI ORANG YANG HENDAK MEMAKANNYA MELAINKAN KALAU BENDA ITU BANGKAI, ATAU DARAH YANG MENGALIR, ATAU DAGING BABI, KERANA SESUNGGUHNYA IA ADALAH KOTOR, ATAU SESUATU YANG DILAKUKAN SECARA FASIK, IAITU BINATANG YANG DISEMBELIH ATAS NAMA YANG LAIN DARI ALLAH”. KEMUDIAN SESIAPA YANG TERPAKSA (MEMAKANNYA KERANA DARURAT) SEDANG IA TIDAK MENGINGININYA DAN TIDAK MELAMPAUI BATAS, MAKA SESUNGGUHNYA TUHAN MU MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-AN’AM 6:145)

  1. Allah memerintahkan Rasulullah SAW menyatakan kepada puak yang menghukum yang Allah tidak buat itu dan mengharamkan rezeki yang halal yang Allah beri, bahawa Baginda tidak menjumpainya dalam al-Quran wahyu yang Allah turunkan.
  1. Kecuali tiga ketegori ini yang haram:
    i- Bangkai {مَيْتَةً}- iaitu binatang ternakan yang mati tanpa sempat disembelih ikut Syara’. 
    Ada beberapa caranya yang telah disebut secara jelas dalam ayat al-Quran lain.
    Firman Allah SWT tentang jenis bangkai:
    Maksudnya: {… dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya),…} (Al-Ma’idah 5:3)

    ii- Atau darah yang mengalir {دَمًۭا مَّسْفُوحًا}, seperti apabila menyembelih haiwan ditadah darahnya, lalu dibekukan dan dimakan! 
    Haram bagi orang Islam.
    Adapun darah sikit-sikit yang lekat di daging atau celah tulang, dimaafkan!

    iii- Atau daging babi {لَحْمَ خِنزِيرٍۢ}- babi dan segala jenis komponennya.
    Kategori ini Allah haramkan kerana sesungguhnya ia adalah kotor {رِجْسٌ}. 
  1. Atau diharamkan kerana ia sesuatu yang dilakukan secara fasik {فِسْقًا}: 
    iv- Iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.
    Seperti sembelih untuk berhala atau apa saja selain dari Allah.
  1. Kisah hadis Nabi SAW: 
    “Dari Sayyidah Saudah istri Nabi SAW., beliau berkata: “kami (Nabi saw. dan Sayyidah Saudah) punya kambing yang mati. Lalu kami ambil kulitnya untuk kami samak dan kami sentiasa guna untuk minum hingga kulit itu rosak”. [HR Bukhari].
  1. Semua perbuatan ini jika dilakukan juga maka ia membawa seseorang itu keluar dari ketaatan kepada Allah, kepada maksiat & kufur.
  1. Kemudian Allah bawa pengecualian, diharuskan untuk makan benda yang haram ini jika: dalam keadaan terdesak & darurat. 
    Seperti orang yang kesesatan dalam hutan tanpa makanan yang halal.
  1. Tetapi ingat makan itu bukan kerana suka-suka, jangan melampaui, makan sekadar nak halau kebulur atau cari tenaga untuk keluar daripada keadaan darurat itu!
  1. Seperti zaman kita hari ini banyak berlaku perkara darurat, seperti seorang pesakit yang tenat dan kronik, tetapi tiada ubat lain kecuali dari sumber babi, maka ia hari jika tiada pilihan lain!
  1. Yakni Allah SWT tidak tutup pintu terus apabila mengharamkan sesuatu, pasti ada kelonggarannya apabila keadaan darurat dan memerlukan.
  1. Sebenarnya benda yang haram dimakan tidak terhad kepada 4 jenis ini saja bahkan banyak lagi yang diterangkan dalam al-Quran & Sunnah Nabi SAW. 
    Ini hanyalah asas dan yang utamanya untuk kita jadikan prinsip dan panduan asas kemudian dihuraikan oleh hadis Nabi SAW.
  1. Sebagaimana dalam firman Allah SWT ini lebih detail jenis bangkainya:
    Maksudnya: {Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala;…} (Al-Ma’idah 5:3)
  1. Dalam hadis pula dinyatakan lagi jenisnya. antaranya:
    i- “Rasulullah SAW telah melarang memakan setiap binatang bertaring dari jenis binatang buas dan setiap jenis burung yang berkuku tajam (untuk mencengkam).” (HR. Muslim)

    ii- Dari Ibnu Abbas RA berkata: ” إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ قَتْلِ أَرْبَعٍ مِنَ الدَّوَابِّ: النَّمْلَةُ، وَالنَّحْلَةُ، وَالْهُدْهُدُ، وَالصُّرَدُ”
    Rasulullah SAW melarang membunuh 4 haiwan ini: semut, lebah, burung hud-hud dan burung surad (sejenis helang).” [HR. Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

    Setiap haiwan yang dilarang dibunuh bererti tidak boleh dimakan, kerana seandainya boleh dimakan, tentu tidak akan dilarang membunuhnya.
  1. Hukum ini semuanya Allah buat kerana sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

AYAT 146- {DAN KAMI HARAMKAN ATAS ORANG-ORANG YAHUDI SEGALA BINATANG YANG BERKUKU, DAN DARI LEMBU DAN KAMBING PULA KAMI HARAMKAN KEPADA MEREKA LEMAKNYA, KECUALI (LEMAK) YANG ADA PADA BELAKANGNYA ATAU YANG MENYELAPUTI PERKAKAS DALAM PERUTNYA, ATAU YANG BERCAMPUR DENGAN TULANG. DEMIKIANLAH KAMI BALAS MEREKA DENGAN SEBAB KEDERHAKAAN MEREKA; DAN SESUNGGUHNYA KAMILAH YANG BENAR.} (AL-AN’AM 6:146)

  1. Dalam ayat ini Allah SWT bawa pula jenis makanan yang diharamkan ke atas kaum yahudi pula. 
    Ini kerana mereka degil keras kepala, langgar hukum Tuhan, maka Allah letakkan perkara yang diaharamkan ke atas mereka ini!
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas dinyatakan perkara yang diharamkan ke atas orang Islam. 

    ii- Ayat ini perkara yang haram untuk kaum yahudi pula.
  1. Antara perkara yang diharamkan ke atas mereka ialah:
    i- Binatang yang berkuku, atau yang bertaut jarinya seperti itik serati dan seumpamanya.
    Segala yang berkuku di sini bermaksud binatang yang jari-jarinya tidak terbelah atau tidak terpisah antara satu dengan yang lain, seperti unta, burung unta, itik, angsa dan lain-lain. 
    Sebahagian ahli tafsir mengertikan dengan haiwan yang berkuku satu seperti kuda, keldai dan lain-lain.

    ii- Dan dari lembu dan kambing pula Allah haramkan kepada mereka lemaknya.
    Yakni bahagian yang diharamkan bagi orang Yahudi ialah lemak bahagian belakang, lemak tipis yang menutupi perut besar dan usus, kedua belakang dan semua lemak yang tidak melekat pada tulang.

    iii- Kecuali lemak yang ada pada belakangnya atau yang menyelaputi perkakas dalam perutnya, atau yang bercampur dengan tulang.
    Yakni yang dhalalkan bagi orang Yahudi hanya lemak yang melekat pada belakang badannya, di dalam perut besar, ususnya, kaki, bahu, kepala, mata dan yang melekat dengan tulang.
  1. Hadis yang diriwayatkan oleh Jabir Bin Abdullah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda pada hari pembukaan kota Makkah:
    إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ وَالْخِنْزِيرِ وَالْأَصْنَامِ فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ شُحُومَ الْمَيْتَةِ فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ وَيُدْهَنُ بِهَا الْجُلُودُ وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ فَقَالَ لَا هُوَ حَرَامٌ.
    Maksudnya: ”Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, khinzir dan berhala. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apa pandangan kamu tetang lemak bangkai (haiwan ) yang digunakan untuk menyalut sampan, meminyakkan kulit dan digunakan sebagai pelita. Nabi SAW bersabda: Tidak boleh. Ia tetap haram dijual.” [HR al-Bukhari ( 2236) dan Sahih Muslim ( 4132)]. 
  1. Sebab Allah haramkan semua ini ke atas mereka kerana Allah nak balas mereka dengan sebab kederhakaan mereka.
    Mereka menentang perintah Allah dan banyak menghalangi manusia dari jalan Allah. 
    Maka Allah SWT. sempitkan hidup mereka dengan haramkan atas mereka memakan makanan yang baik-baik yang dahulunya dihalalkan bagi mereka.
  1. Ayat ini tafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    Maksudnya: {Maka disebabkan kezaliman yang amat besar dari perbuatan orang-orang Yahudi, Kami haramkan atas mereka makanan yang baik-baik yang pernah dihalalkan bagi mereka, dan disebabkan mereka banyak menghalang manusia dari jalan Allah.
    Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba padahal mereka telah dilarang melakukannya, dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya). Dan (ingatlah) Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir di antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.} (An-Nisa’ 4: 160-161)
  1. Allah tutup ayat ini dengan menegaskan bahawa: {.. sesungguhnya Kamilah yang benar.} Semua yang dibuat oleh puak musyrikin itu adalah pendustaan terhadap Allah!

AYAT 147- {KEMUDIAN JIKA MEREKA MENDUSTAKANMU (WAHAI MUHAMMAD) MAKA KATAKANLAH: “TUHAN KAMU MEMPUNYAI RAHMAT YANG LUAS MELIMPAH-RUAH, DAN AZAB SEKSANYA TIDAK DAPAT DITOLAK DARI KAUM YANG BERDOSA”.} (AL-AN’AM 6:147)

  1. Allah nyatakan pula jika mereka itu tak dengar kata, degil & mendustakan Nabi SAW, sama ada mereka kafir musyrikin atau yahudi, bagi mereka dua keadaan:
    i- Jika mereka insaf bertaubat- maka rahmat Allah itu luas, Dia akan terima & ampunkan dosa mereka.

    ii- Tetapi jika mereka tetap degil keras kepala maka tunggulah bala yang akan datang.
  1. Dalam ayat ini Allah SWT ajar kepada kita dua uslub berdakwah iaitu:
    i- Galakan- (الترغيب)- At-Targhib iaitu memberi galakan dan perangsang supaya melakukan kebaikan.

    ii- Ancaman- tarhib (والترهيب)- At-Tarhib iaitu menakut-nakutkan atau menimbulkan rasa gerun.
  1. Allah jug menyatakan bahawa siksaan-Nya tidak dapat ditolak dari kaum yang berdosa.
    Apabila datang siksaan-Nya kepada mereka maka ia tidak dapat dielakkan dan mereka akan binasa.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 145- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi -…}-

    Ayat ini & ayat selepasnya, Allah nyatakan secara zahir 4 kategori utama makanan yang diharamkan ke atas orang Islam.
    Empat perkara ini adalah asas kepada semua ajaran para nabi AS sebelum ini.
    Ia adalah asas kepada makanan yang diharamkan.
    Iaitu: Bangkai binatang, darah yang mengalir, Khinzir dan binatang yang disembelih bukan atas nama Allah.
    Ulama’ juga bawa dalil dari ayat ini bahawa yang haramnya adalah dimakan tetapi boleh diguna kulit dan lemaknya untuk kegunaan lain. 
    Dalilnya hadis UM Saudah binti Zam’ah RA tadi.
  1. Ayat 145- {… atau darah yang mengalir…}-

    Ayat ini menyatakan secara jelas yang diharamkan adalah darah yang mengalir & banyak.
    Ayat ini untuk memberi kelonggaran terhadap darah yang terlekat pada daging atau tulang yang beku atau keluar sedikit apabila dimasak.
    Jangan terlalu waswas dan melampau sehingga membasuh daging dengan sabun atau berus untuk menghilangkan terus darah yang ternampak itu. 
    Ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan, yang haramnya darah yang mengalir.

    {atau daging babi -…}- yakni semua komponen seekor babi itu adalah haram semuanya. 
    Bukan hanya haram untuk dimakan daging & isinya sahaja; tetapi kulitnya, lemaknya, bulunya, tulangnya semua adalah haram.
    Kemudian binatang yang disembelih atas nama berhala.
  1. Ayat 145- {… Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas,…}-

    Sesiapa yang terdesak dharuskan.
    Allah beri kelonggaran bagi sesiapa yang dalam keadaan darurat untuk harus makan benda haram ini. 
    Tetapi jangan melampaui batas, suka-suka atau lebih-lebih. 
    Jika kena makan kerana tiada makanan lain; setakat hilang lapar yang membahayakan dan untuk beri sedikit tenaga, jangan sampai habis seekor babi pula dimakan! 

    Contoh terdesak lalu diharuskan: 
    i- Sesat dalam hutan tak jumpa makanan kecuali yang haram, 

    ii- Tersedak atau tercekik dan hanya ada arak dekatnya!
    Tetapi sekadar menghilangkan bahaya pada waktu itu sahaja.

    Kaedah Feqah: 
    i- “Keadaan darurat mengharuskan (dihalalkan) perkara yang haram.” (الضرورات تبيح المحظورات).

    ii- Tetapi ia dikembarkan dengan kaedah ini: (الضرورة تقدر بقدرها). “Darurat itu ditetapkan kadarnya (dihadkan batas sempadan) mengikut keperluannya.” Tetapi ingat setakat yang dibenarkan Syara’ sahaja jangan melampaui dan lebih-lebih.

    Contoh keadaan hari ini, terdesak kononnya sehingga terpaksa berhutang dari bank riba untuk buat rumah, beli kereta dan seumpamanya yang diluar kemampuan & keperluan sebenar. 
    Itu bukan darurat atau terdesak tetapi ikut nafsu!
  1. Ayat 146- {Dan Kami haramkan atas orang-orang Yahudi segala binatang yang berkuku,…}-

    Dalam ayat ini Allah sebut pula perkara yang diharamkan ke atas orang yahudi pula.
    Persoalan kenapa Allah tak sebut babi sedangkan babi ada disebut haram ke atas mereka dalam kitab Taurat.
    Jawapan:
    Allah tak sebut babi kerana ia memang jelas haram untuk semua. Ia memang diharamkan bagi pihak yahudi hanya mereka tidak ikutnya. 
    Tetapi dalam ayat ini Allah sebut apa yang diharamkan khas ke atas kaum yahudi sedangkan ia adalah halal bagi orang Islam seperti lembu dan jenis itik dan lain-lain itu.
    Allah tak sebut lagi babi kerana dalam Taurat sudah diharamkan dan Nabi Isa AS apabila dia turun ke bumi dekat Kiamat kelak; salah satu agendanya ialah membunuh semua babi.
    Allah juga kata kami haramkan ke atas mereka, kerana Allah nak mendustakan dakwaan yahudi bahawa Allah tak haramkan apa-apa ke atas kami kecuali apa yang Israil (Nabi Yaakob) haramkan ke atas dirinya!
    Lalu Allah sebut di sini bahawa Aku telah bawa hukum, haramkan banyak perkara, kamu itu yang tak dengar dan melanggarnya!
    Orang yang zalim yang buat jahat, menjadi sebab Allah haramkan perkara yang baik ke atas mereka dengan sebab kezaliman mereka!
    Yakni hukuman itu dibuat untuk membalas mereka dengan sebab kederhakaan mereka kepada Allah Azza wa Jalla.
  1. Ayat 147- {Kemudian jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad) maka katakanlah: “Tuhan kamu mempunyai rahmat yang luas melimpah-ruah, dan azab seksaNya tidak dapat ditolak dari kaum yang berdosa”.}-

    Wahai Muhammad SAW, jika mereka mendustakan kamu, nyatakan kepada mereka bahawa Allah itu dua sifat-Nya:
    i- Tuhan kamu mempunyai rahmat yang luas melimpah-ruah,

    ii- Dan azab seksa-Nya tidak dapat ditolak dari kaum yang berdosa.
    Kata ulama’ tadabbur : Allah sebut di sini luas-Nya rahmat Allah kemudian Allah nyatakan juga bahawa Dia mempunyai hukuman yang berat! 
    Ini untuk supaya manusia tidak terpedaya dengan persepsi yang dimainkan syaitan agar manusia tidak takut nak buat dosa kerana Allah maha Pengampun, menerima taubat! Iaitu agar tidak berlindung disebalik rahmat Allah SWT untuk melakukan maksiat & mungkar!

    Bila sebut tentang rahmat & azab Allah; tak boleh ambil satu sahaja, kita kena letak dua-dua agar manusia tidak cuai jadi seperti liberal dan sekular & mudah kecewa:
    i- Kamu baik Allah bagi pahala & syurga, kamu insaf bertaubat Allah akan ampunkan kamu!

    ii- Tetapi jika kamu keras kepala tak mahu ikut juga, Allah akan balas dengan azab siksa. DAN ingatlah di sisi Allah azab yang dahsyat & perit!

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita hari ini yang ringkas tetapi penuh dengan perbahasan yang menarik, semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs