View Categories

(50) Surah Al-An’am : Ayat 164-165

SETIAP ORANG AKAN MEMIKUL DOSANYA, MENERIMA BALASAN, MANUSIA SILIH BERGANTI MENGHUNI BUMI & BERBEZA DARJATNYA.

Full video : https://youtu.be/jG7SobEMBzg?si=R13MnCIO6Urak02B

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir akhir Surah Al-An’am ini dengan 2 ayat terakhir iaitu ayat 164 sehingga 165. 
    Dengan ini tamatlah kuliah Surah Al-An’am, surah yang keenam dalam juzu’ kelapan ini alhamdulillah.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa setiap orang akan memikul dosanya sendiri.
    Dosa orang lain tidak akan datang kepadanya begitu juga dosa dia tidak pergi kepada orang lain. 
  1. Setiap orang akan menerima balasan atas perbuatannya sendiri, kecuali dosa bersebab.
    Dosa ini akan merebak dan melarat juga dengan sebab, jika tanpa sebab ia tidak akan pergi!
  1. Kemudian Allah nyatakan manusia silih berganti menghuni bumi ini.
    Tiada manusia yang kekal atau tetap atas bumi ini jika tidak pastilah penuh bumi ini. 
    Kita ini semua hanya penumpang atas bumi sebelum masuk dalam bumi.
  1. Setiap orang berbeza darjatnya, kafir atau muslim, manusia yang baik atau jahat, miskin kaya, rupa paras, amalannya dan lain-lain. 
    Semuanya akan memberi hasil pulangan di Akhirat nanti. 
    Maka berusahalah kita untuk menjadi orang yang tinggi darjatnya di sisi Allah SWT di Akhirat kelak! 
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT minta Nabi SAW isytiharkan bahawa semua ibadat, amalan & perbuatannya semata-mata untuk Allah SWT bukan untuk yang lain serta tidak ada sekutu bagi Allah. 
    Wajib lawan syirik dengan tauhid, tidak boleh dibiarkan.

    ii- Maka datang ayat ini Allah perintahkan agar Nabi SAW pergi berhujjah dengan puak kafir musyrikin! 
    Apakah kamu nak aku cari yang lain selain daripada Allah SWT? 
    Ajaibnya nak cari sesuatu yang lemah berbanding dengan Allah yang Maha Berkuasa, yang mencipta, mentadbir susun atur alam ini!
    Maka tak mungkin untuk aku mencari selain daripada Allah Tuhan yang segalanya di bawah kuasa-Nya dan semua makhluk milik Allah di bawah pengawasan-Nya.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

AYAT 164- {KATAKANLAH: “(SESUDAH AKU MENTAUHIDKAN ALLAH DAN BERSERAH DIRI KEPADANYA) PATUTKAH AKU MENCARI TUHAN SELAIN ALLAH, PADAHAL DIA LAH TUHAN BAGI TIAP-TIAP SESUATU? DAN TIADALAH (KEJAHATAN) YANG DIUSAHAKAN OLEH TIAP-TIAP SEORANG MELAINKAN ORANG ITULAH SAHAJA YANG MENANGGUNG DOSANYA; DAN SESEORANG YANG BOLEH MEMIKUL TIDAK AKAN MEMIKUL DOSA PERBUATAN ORANG LAIN (BAHKAN DOSA USAHANYA SAHAJA); KEMUDIAN KEPADA TUHAN KAMULAH TEMPAT KAMU KEMBALI, LALU IA MENERANGKAN KEPADA KAMU AKAN APA YANG KAMU BERSELISIHAN PADANYA.} (AL-AN’AM 6:164)

  1. Allah perintahkan Rasulullah SAW menyata & mengisytiharkan kepada para orang kafir itu bahawa tidak mungkin sesekali Baginda SAW mencari Tuhan yang lain selain dari Allah, kerana Allah adalah Tuhan yang mencipta, mengawal dan mentadbir manusia & makhluk dalam seluruh alam ini.
  1. Allah juga nyatakan bahawa dosa-dosa yang dibuat oleh seseorang tidak akan melarat kepada orang lain. 
    Dosa itu tetap diletakkan atas kepalanya, seorang manusia tidak akan memikul dosa seseorang yang lain. 
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    i- Maksudnya: {Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri.} (Faatir 35:18)

    ii- Maksudnya: {Dan berkata pula orang-orang yang kufur ingkar kepada orang-orang yang beriman: “Ikutlah jalan agama kami, dan kami sedia menanggung kesalahan-kesalahan kamu (kalau kamu mengira perbuatan itu salah)”. Padahal mereka tidak akan dapat menanggung kesalahan orang-orang yang bersalah itu sedikitpun, dan sesungguhnya mereka adalah berdusta.} (Al-‘Ankabuut 29:12) 
  1. Kata Imam Ibnu Jarir at-Tobari rahimahullah : Melalui ayat ini: Allah SWT suruh Nabi SAW pergi berdebat dan berhujjah dengan orang kafir bahawa dosa manusia masing-masing tanggung. 
    Kamu orang kafir tanggunglah dosa kamu manakala kami orang Islam akan bertanggungjawab dengan perbuatan kami.
  1. Tetapi kena ingat, sebagaimana perbincangan para ulama’ tafsir:
    i- Setiap orang akan menanggung dosanya masing-masing & tidak akan dianiayai! 

    ii- Tetapi jika dia menjadi pelopor maksiat, ajar orang sesat, dakwah orang kepada syirik, bawa orang kepada jurang neraka; kekufuran, & dosa, dosa itu akan terpalit dan ditanggung sama oleh orang yang menganjur dan mengasas perbuatan yang membawa kepada dosa tersebut! 
  1. Iaitu asasnya, amalan & dosa itu tidak pergi kepada orang lain tetapi dosa bersebab akan pergi kepada perang yang menjadi penyebab itu juga! 
    Orang menjadi kafir dengan sebab dia, orang buat dosa & maksiat dengan sebab dia, maka dosa itu akan naik ke atas kepalanya & turut ditanggung oleh yang mengajak berkempen ke arah itu.
  1. Sebagaimana hadis Nabi SAW ini:
    عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنَ الأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلاَلَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنَ الإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا (رواه مسلم)
    Ertinya: Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa mengajak kepada petunjuk (amal baik), maka ia mendapatkan pahala sama seperti pahalanya orang yang mengikutinya. Tanpa mengurangi sedikitpun pahala orang yang melakukannya. Barang siapa yang mengajak pada kesesatan, maka ia mendapatkan dosa setimbang dengan dosa orang yang mengikutinya. Tanpa sedikitpun mengurangi dosa orang yang melakukannya.” (HR Muslim).
  1. Inilah yang kita mahu, kita ajar & ajak orang buat baik kerana kita nak pahala sebab orang itu buat baik tetapi tidak akan menggurangi pahala mereka! 
    Juga sebaliknya, pengajak atau pelopor kejahatan juga begitu, seramai mana orang buat maksiat kerananya begitulah masuk saham dosa kepadanya! 
    Wal-‘iyazu billah!
  1. Begitu juga bagi ibu bapa yang telah meninggal dunia mereka akan dapat lagi peluang kebaikan & sedekah yang dibuat oleh anak-anak & doa mereka juga.
    Inilah pahala bersebab iaitu dengan sebab anaknya buat baik, mereka dapat pahala. 
  1. Di akhir ayat Allah kata kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, iaitu kita akan kembali kepada Allah pada hari Kiamat nanti!
  1. Lalu Allah akan menerangkan kepada kamu akan pembalasan akan apa yang kamu berselisihan padanya di dunia dulu:
    i- Maka sesiapa yang ikut ajaran al-Quran & Nabi SAW, tak buat dosa maksiat maka mereka adalah golongan kanan (أصحاب اليمين) yang pasti akan mendapat balasan pahala & nikmat dari Allah.

    ii- Manakala yang mungkar, syirik, kafir banyak buat dosa maksiat itulah golongan kiri (أصحاب الشمال) yang pasti akan mendapat balasan azab & siksa dari Allah.
  1. Yakni di Akhirat kelak manusia akan berpisah dengan pegangan & amalan kita!
    Pemisah besar yang pertamanya adalah antara mukmin & kafir. 
  1. Manakala antara sesama mukmin juga ada darjatnya:
    i- Yang bertaqwa, soleh dan sentiasa buat amalan baik.

    ii- Yang beriman tetapi ada buat maksiat & mungkar lain pula.
    Yakni banyaklah darjat & tahapnya.

AYAT 165- {DAN DIA LAH YANG MENJADIKAN KAMU KHALIFAH DI BUMI DAN MENINGGIKAN SETENGAH KAMU ATAS SETENGAHNYA YANG LAIN BEBERAPA DARJAT, KERANA IA HENDAK MENGUJI KAMU PADA APA YANG TELAH DIKURNIAKANNYA KEPADA KAMU. SESUNGGUHNYA TUHANMU AMATLAH CEPAT AZAB SEKSANYA, DAN SESUNGGUHNYA IA MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-AN’AM 6:165)

  1. Allah jadikan kita sebagai khalifah atas muka bumi ini, sebagai orang yang bersilih ganti memakmurkan bumi ini. 
    Ingat jangan kata kita khalifah Allah : Kerana ia bermaksud pengganti Allah, sedangkan kita bukan sesekali penganti bagi Allah atas muka bumi ini!
  1. Kemudian Allah nyatakan manusia ini ada pelbagai darjatnya, ada yang kafir ada yang mukmin, ada yang alim ada yang jahil, ada yang jahil biasa ada yang jahil tukir, ada yang banyak amalannya ada yang malas dan sedikit amalanya, ada yang kaya ada yang miskin.
    Darjat bermacam kategori, darjat dari sudut agama, dari sudut kedudukan dunia hatta dari sudut kesihatan tidak sama!
  1. Kenapa begitu? 
    Allah buat semua ini untuk menguji manusia dalam apa yang telah Dia kurniakan kepada kita:
    i- Allah beri kamu senang adakah kamu bersyukur?

    ii- Allah beri kamu ujian susah apakah kamu bersabar atau tidak?
    Kita hidup antara dua keadaan ini, syukur & sabar, jika kita dapat kedua ini alhamdulillah itulah manusia yang bahagia! 
    Allahu Akbar.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan setiap orang pikul dosa masing-masing. Setiap orang ada dosa ada pahala; siapa ada dosa akan berdepan dengannya di hadapan Allah SWT kelak.

    ii- Kemudian datang ayat ini Allah katakan manusia ini Allah lantik sebagai khalifah atas muka bumi ini sebagai penganti manusia lain sebelumnya atau khalifah pemimpin kepada yang lain! 
    Maka jika kamu nak dapat berkat & kebaikan, buat yang terbaik dan anjurkanlah kebaikan dan jika nak bala buat & anjurkanlah keburukan pesta kemungkaran! 

    Siapa yang ada kuasa & pimpinan kena jalankan amar ma’ruf nahi mungkar kerana dia akan bertanggungjawab di hadapan Allah di Akhirat kelak.
  1. Suasah hidup kita atas dunia ini sekarang, kita tak buat dah maksiat atau mungkar tetapi orang lain buat yang terkena juga kepada kita, seperti kita ke pasaraya atau pasar malam yang dibinggiti dengan muzik & lagu hiburan lagha, serta penjual atau pengunjung lain yang tidak tutup aurat pula!
    Yang dikesali sekali atas kapal terbang MAS sekarang ini sebelum berlepas dipasang video tatacara yang penuh dengan lagu & muzik yang tidak sewajarnya & amat tidak sesuai, kerana waktu itulah kita nak berdoa nak bermunajat berzikir minta selamat penerbangan kita! 
    Inilah antara punca hilang keberkatan dalam kehidupan kerana menganjurkan perkara maksiat sebegini! 
    Siapa yang bertanggungjawab jika dia tidak larang maka dia akan dipertanggungjawab di Akhirat kelak! 
    Kita menyatakan bantahan kita di sini kita tidak redha dengan apa yang dibuat tetapi kita terpaksa juga menggunakan pengangkutan yang ada.

    Yakni Allah kata kamu juga sebagai khalifah yang diberi kuasa & pimpinan jaga bumi ini maka makmurkan bumi ini dengan Syari’ah Allah SWT. 
    Kemudian kamu akan diperiksa apakah kamu jalankan tugas & tanggungjawab kamu itu. 
    Itu semua untuk menguji kamu apakah kamu jalankah tugas & amanah yang diberi!
  1. Hadis – Dari Abu Sa’id al-Khudri RA, dari Nabi ﷺ bersabda:
    “إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ وَإِنَّ اللَّهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا، فَيَنْظُرُ كَيْفَ تَعْمَلُونَ، فَاتَّقُوا الدُّنْيَا، وَاتَّقُوا النِّسَاءَ، فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بْنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاء”.
    “Sesungguhnya dunia ini manis dan hijau (indah). Dan sesungguhnya Allah Azza wa Jalla menguasakan kepada kamu untuk mengelola apa yang ada di dalamnya, lalu Dia melihat bagaimana kamu berbuat. Oleh kerana itu berhati-hatilah terhadap dunia dan wanita, kerana fitnah yang pertama kali terjadi pada Bani Israil adalah kerana wanita.” [HR Muslim [no. 2742 (99)]
  1. Allah tutup ayat ini dengan {Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya,}- maka ingatlah wahai para khalifah, penduduk bumi, wahai kamu yang mendapat kekuasaan & kedudukan, jangan seronok dengan jawatan tetapi kena ingat tanggungjawab & tugas kamu yang diberikanl kepada kita!
  1. Tetapi jika kamu tersalah tidak sengaja buat silap & dosa, lalu kita sedar & segera bertaubat kembali kepada Allah ingat juga bahawa:
    {…dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.}

    Allah itu pengampun dosa-dosa serta mengasihani kasihan belas kepada hamba-Nya yang insaf, yang bertaubat, yang meninggalkan maksiat, Allah akan beri kebaikannya.
  1. Jelas dalam ayat ini uslub al-Quran yang cukup indah mengandungi serentak kedua-dua tarhib (amaran) & targhib (galakan):
    i- Dalam ayat ini tarhib dulu, kamu jika dapat jawatan & tugas atas, jika tak jalankan tanggungjawab, tak buat kerja baik tetapi dok anjur mungkar & lulus maksiat maka azab Allah itu cepat datangnya!

    ii- Kemudian datang targhib, jika kamu terjebak dengan dosa kemudian kamu sudah insaf, kembali bertaubat kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi maha mengasihani. 
  1. Alhamdulillah ruang untuk kita kembali kepada Allah amat luas, galakan untuk kita bertaubat amat luas, maka peluang yang ada di depan mata ini jangan kita sia-siakan!
    Kita lihat kebanyakan orang yang diberi kuasa & tanggungjawab atas dunia ini Allah beri panjang umurnya tetapi sayangnya dia tak jalankan tugas & tak buat kerja, maka rugilah dia, cari penyakitlah dia, orang buat maksiat mungkar & keji dia tak larang – maka hari bertambah tanggungjawabnya & makin banyaklah dosanya! 
    Allah al-Musta’an!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 164- {… Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya;}-

    Setiap usaha yang kita buat itu yang kita dapat, apa benih yang kita tabur itulah hasil yang kita dapat.
    Maka apa saja yang kita buat atas dunia ini kembalilah kita kepada Allah Azza wa Jalla!
    Sebagaimana harta kita adalah milik kita, begitu pahala milik kita & dosa juga adalah milik kita!
    Asas dalam ajaran Islam; Setiap orang akan bertanggungjawab dengan apa yang dia buat!
    Buat baik dapat pahala buat jahat dapat dosa.
    Ini adalah asas prinsip atau kaedah usul feqahnya!
  1. Ayat 164- {… dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja);..}-

    Allah kata dosa orang lain tidak akan melarat kepada orang lain!
    Yakni Allah jelaskan bahawa seseorang itu tidak akan memikul dosa orang lain.
    Ini adalah bagi dosa peribadinya sendiri yang tidak terlibat dengan orang lain. 
    Kecuali dosa bersebab.

    Ayat ini hendaklah dipasang bersama dengan firman Allah SWT ini:
    Maksudnya: {Dan sesungguhnya mereka akan menanggung beban-beban dosa mereka dan beban-beban (dosa orang-orang yang mereka sesatkan) bersama-sama dengan beban-beban dosa mereka sendiri; dan sesungguhnya mereka akan ditanya pada hari kiamat kelak tentang apa yang mereka pernah ada-adakan secara dusta itu.} (Al-‘Ankabuut 29:13)

    Ayat ini adalah menunjukkan dosa bersebab, seseorang sebagai penganjur, pelopor perbuatan dosa & maksiat, atau dia orang yang berkuasa tak ingkar larang maksiat itu; akan turut sama menanggung dosa hasil perbuatannya itu. 

    Contoh penganjur masjlis / konsert maksiat.
    Hadis Nabi SAW: 
    عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ “إِنَّ مِنْ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلْخَيْرِ مَغَالِيقَ لِلشَّرِّ وَإِنَّ مِنْ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلشَّرِّ مَغَالِيقَ لِلْخَيْرِ فَطُوبَى لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الْخَيْرِ عَلَى يَدَيْهِ وَوَيْلٌ لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الشَّرِّ عَلَى يَدَيْهِ”.
    Dari Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesunggunya di antara manusia ada yang menjadi kunci-kunci pembuka kebaikan dan penutup kejahatan. Dan di antara manusia itu juga ada yang menjadi kunci-kunci pembuka kejahatan dan penutup kebaikan. Maka beruntunglah bagi orang yang Allah jadikan sebagai kunci-kunci pembuka kebaikan melalui tangan-Nya, dan celakalah bagi orang yang Allah jadikan sebagai kunci-kunci pembuka kejahatan melalui tangannya.” [HR Ibnu Majah- hasan].
  1. Ayat 165- {Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu.}-

    Allah kata wahai manusia Aku jadikan kamu sebagai khalifah (peganti) antara satu sama lain atas muka bumi ini.
    Ayat ini datang selepas ayat 164 di mana Allah nyatakan manusia akan kembali kepada Tuhan mereka dan akan didedahkan kebenaran yang kamu perselisih dulu!
    Kata ulama’ : Ayat ini adalah peringatan kepada nikmat yang telah diberi, kamu kena ingat bahawa jawatan khalifah yang diberi bukan hanya untuk berseronok dan main-main; tetapi satu tanggungjawab kerana kamu akan kembali kepada Allah!
    Susunan ayat yang cantik ini untuk memperingatkan kita agar jangan takabbur & bangga atas dunia ini kerana sudah berapa banyak manusia yang pergi silih berganti atas dunia ini! 
    Di mata manusia; siapa yang baik akan dipuji manakala yang buruk bagi mereka akan dikeji!
    Tetapi penilaian di sisi Allah SWT pula hanya Allah SWT saja yang tahu! 
    Maka hendaklah kita tawadhuk atas muka bumi jangan sombomng kerana dunia juga berputar!
  1. Ayat 165- {Dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu.}-

    Allah angkat darjat sebahagian daripada kita untuk menguji kita.
    Allah nak lihat apakah sifat kamu syukur atau sabarkah? 
    Buat kerja atau tak buat kerja??? 
    Apa yang kita dapat ialah apa yang kita buat!
    Kata ulama’ : Dunia ini adalah medan ujian, bukan tempat rehat semata-mata. 
    Tidak ada tempat rehat dan mudah atas dunia, ia adalah tempat ujian kerana Allah nak tengok siapa di kalangan kita orang yang baik amalannya!
    Ya Allah jadikan kami orang yang ikhlas & baik amalannya, berpegang dengan al-Quran & Sunnah, jauh dari segala bid’ah & mungkar.
  1. Ayat 165- {Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.}-

    Allah bawa dua sifat-Nya dalam penutup ayat ini:
    i- Cepat siksaan-Nya, balasan-nya laju kepada hamba-Nya yang buat dosa maksiat.

    ii- Tetapi Allah juga bersifat Pengampun lagi maha kasihan belas terhadap hamba-Nya yang bertaubat.

    Setelah kita mengembara dengan panjang dalam 165 ayat surah ini; betapa banyak ujian di hadapan kita maka kita pasakkan dalam kepala kita dua perkara:
    i- Jika kita nak buat maksiat, berani nak lawan hukum Tuhan; ingatlah bahawa {Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya}

    ii- Kemudian jika terjebak dengan maksiat, dosa & mungkar; jangan lupa di hadapan kita bahawa pintu taubat masih terbuak di hadapan kita, ingatlah sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah pada hari ini tamatlah kuliah tafsir Surah Al-An’am ini dengan 50 siri kuliah kita lalui.
Semoga Allah beri kepada kita kefahaman & kekuatan untuk beramal dengannya, terus istiqomah untuk membaca & tadabbur ayat-ayat-Mu. 
Juga semoga kita mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Doa.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs