AHLI KITAB KENAL NABI SAW, BUAT REKAAN PALSU KE ATAS ALLAH & PENYESALAN MUSYRIKIN DI AKHIRAT.
Full video : https://youtu.be/pxK2PiQlVyI?si=sEk_OmLC78pDgZ2g
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 20 sehingga 24 dalam juzu’ ketujuh.
- Dalam siri ini Allah SWT menyatkan bahawa ahli kitab yahudi & nasrani telah mengenali Nabi SAW kerana telah tertera dalam kitab Injil & Taurat mereka tentang sifat Baginda SAW.
- Tetapi apa boleh buat mereka yang jahat telah menolaknya bahkan membuat rekaan palsu ke atas Allah dengan mengatakan Allah ada anak isteri, mengharamkan yang halal dan sebaliknya.
- Kemudian Allah nyatakan penyesalan musyrikin di Akhirat kelak setelah melihat bukti yang nyata di depan mata tanda benarnya dakwah Nabi SAW tetapi masih menolak.
Kemudian mereka cuba menafikan bahawa mereka syirik tetapi Allah telah tutup mulut mereka lalu anggota yang lain membuat persaksian ke atas mereka!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa Allah telah menjadi saksi akan benar dakwah Nabi Muhammad SAW.
ii- Maka datang ayat ini Allah beri amaran kepada ahli kitab yahudi & nasrani agar jangan ingkar akan kebenaran Nabi SAW kerana telah ada tentangnya dalam kitab Taurat & Injil yang ada pada mereka!
Inilah jahatnya apabila orang yang tahu & kenal; tapi buat tak tahu & tak kenal Nabi SAW sedangkan segala maklumat telah jelas mereka baca & tahu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 20- {ORANG-ORANG (YAHUDI DAN NASRANI) YANG TELAH KAMI BERIKAN KITAB KEPADA MEREKA, MEREKA MENGENALINYA (NABI MUHAMMAD), SEBAGAIMANA MEREKA MENGENALI ANAK-ANAK MEREKA SENDIRI. ORANG-ORANG YANG MERUGIKAN DIRI SENDIRI (DENGAN MENSIA-SIAKAN PENGURNIAAN ALLAH), MAKA MEREKA (DENGAN SEBAB YANG TERSEBUT) TIDAK BERIMAN.} (AL-AN’AM 6:20)
- Allah tegaskan bahawa ahli Kitab yahudi & nasrani yang telah diberikan kitab kepada mereka, mengenal & mengetahui tentang kebenaran Nabi Muhammad SAW yang jelas termaktub dalam kitab mereka tentang Baginda.
- Yahudi & nasrani itu kenal Nabi Muhammad SAW sehinggakan seolah mereka kenal anak mereka sendiri.
Yakni boleh kenal dan cam tanpa tersalah atau tertukar bila lihat kerana jelas & terperincinya tentang sifat Baginda SAW yang dapat dibaca dalam kitab-kitab itu.
- Firman Allah WT juga:
Maksudnya: {“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad SAW) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka.} (Al-A’raf 7:157)
- Kisah Abdullah bin Salam seorang pendeta & ulama’ yahudi yang terus menerima kebenaran ini apabila melihat Rasulullah SAW.
Begitulah orang soleh yang benar-benar beramal dengan ilmunya lalu mendapat hidayah.
Begitulah orang yang soleh & beruntung.
- Nama sebenarnya ialah Hushain bin Salam. Berasal dari keturunan Yahudi yang tinggal di Madinah.
Beliau adalah ulama’ kalangan Yahudi.
Apabila beliau memeluk Islam, baginda Nabi AW menukarkan namanya kepada Abdullah bin Salam.
Abdullah memeluk Islam bersama isteri dan anak-anaknya.
Namun beliau merahsiakan keislamannya daripada kaumnya kerana mahu merancang satu pembongkaran sikap pembohong kaum Yahudi.
- Hadis riwayat dari Anas RA, katanya: Ketika sampai kepada Abdullah bin Salam khabar kedatangan Rasulullah SAW. ke Madinah, dia pun datang menghadap Baginda dan bertanya beberapa persoalan untuk mencari & membuktikan kebenaran.
(Panjang lagi kisahnya, kita ringkaskan)
Akhirnya Abdullah puas hati dan berkata: “Saya mengakui, bahawa sesungguhnya tuan Pesuruh Allah”.
Kemudian katanya lagi: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya orang Yahudi itu kaum pendusta.
Jika mereka tahu saya masuk Islam sebelum tuan menanyakan kepada mereka, nescaya mereka akan menuduh saya pendusta kepada tuan”.
Kemudian orang-orang Yahudi datang dan Abdullah masuk ke rumah.
Rasulullah SAW. bertanya: “Bagaimanakah keadaan Abdullah bin Salam dalam lingkungan kamu?”
Mereka menjawab: “Ia seorang yang amat pandai dan anak orang yang amat pandai di antara kami.
Ia seorang yang paling baik dan anak orang yang paling baik di antara kami”.
Rasulullah SAW. bertanya: “Bagaimanakah pendapat kamu, jika Abdullah memeluk agama Islam?”
Kata mereka: “Dilindungi (dijauhkan) Tuhan kiranya ia dari hal yang demikian!”
Maka keluarlah Abdullah kepada mereka, lalu berkata:
“Saya mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan saya mengakui, bahawa sesungguhnya Muhammad Pesuruh Allah”.
Orang-orang Yahudi lalu berkata: “Dialah orang yang paling jahat dan anak orang yang paling jahat di antara kami”.
Mereka pun mencelanya bersama. [HR Bukhari].
Abdullah berkata kepada Nabi:
“Bukankah telah aku nyatakan, mereka sebenarnya kaum yang batil dan penipu?”
Manakala orang yang rugi dan celaka, yang tak dapat pahala & syurga kerana menolak kebenaran yang mereka tahu.
- Firman Allah SWT:
Maksudnya: {Katakanlah lagi: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab perbuatan mereka memilih kekufuran atau kederhakaan). Ingatlah, yang demikian itulah kerugian yang jelas nyata.”} (Az-Zumar 39:15)
AYAT 21- {DAN SIAPAKAH LAGI YANG LEBIH ANIAYA DARI ORANG YANG MENGADA-ADAKAN PERKARA-PERKARA YANG DUSTA TERHADAP ALLAH, ATAU YANG MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KETERANGANNYA? SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU TIDAK AKAN BERJAYA.} (AL-AN’AM 6:21)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan orang yang rugi iaitu orang yang tak beriman.
ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan dua sebab kerugian itu.
- Sebab kerugian mereka itu adalah kerana:
i- Mereka membuat tuduhan palsu, reka fitnah & dakwaan yang batil terhadap Allah seperti kata Tuhan ada anak dan lain-lain.
ii- Mereka telah mendustakan ayat-ayat Allah.
Kedua sifat ini adalah cukup bahaya iaitu sama ada mereka reject tolaknya atau reka yang lain!
- Sedangkan Allah SWT telah hantar kepada Rasulullah SAW beberapa mukjizat yang jelas dan nyata tetapi apabila perangai buruk dan hati tertutup mereka tidak akan nampak lagi kebaikan & kebenaran walaupun jelas di depan mata!
- Jadi datang ayat ini Allah kata tiada siapa yang lebih zalim {أظلم} daripada orang yang buat kata-kata tuduhan kahat ke atas Allah SWT seperti Tuhan ada anak, tangan Allah terbelenggu dan lain-lain lain.
- Maka tidak akan dapat kemenangan orang zalim ini yang menolak ayat Allah atau mereka cipta tuduhan & dakwaan palsu terhadap Allah.
Keduanya adalah sifat yang amat keji & buruk.
AYAT 22- {DAN (INGATLAH), HARI (KIAMAT YANG PADANYA) KAMI HIMPUNKAN MEREKA SEMUA, KEMUDIAN KAMI BERFIRMAN KEPADA ORANG-ORANG MUSYRIK: “MANAKAH ORANG-ORANG DAN BENDA-BENDA YANG DAHULU KAMU SIFATKAN (MENJADI SEKUTU ALLAH):?”} (AL-AN’AM 6:22)
- Pada hari Akhirat kelak, Allah akan kumpulkan semua puak musyrikin yang mensyirikkan Allah SWT, yang mendustakan Allah & orang yang mereka-rekakan ayat-ayat Allah SWT. Yakni yang reka & ingkar!
- Allah tanya kepada mereka soalan tempelak dan sebagai azab secara mental juga:
Dimanakah orang-orang dan benda-benda yang dahulu kamu sifatkan menjadi sekutu Allah? YANG kamu jadi syirik dengan menyembahnya?????
- Firman Allah SWT:
Maksudnya: {Dan pada hari (kiamat itu) Allah menyeru mereka lalu bertanya:” Mana dia sekutu-sekutuKu, yang kamu anggap mereka (menjadi tuhan dan dapat memberikan pertolongan)?”} (Al-Qasas 28:62)
AYAT 23- {KEMUDIAN TIDAKLAH ADA AKIDAH KUFUR MEREKA SELAIN DARI MEREKA MENJAWAB DENGAN DUSTA: “DEMI ALLAH TUHAN KAMI, KAMI TIDAK PERNAH MENJADI ORANG-ORANG YANG MEMPERSEKUTUKAN ALLAH (DENGAN SESUATU YANG LAIN)”.} (AL-AN’AM 6:23)
- Selepas Allah bertanya itu; mereka masih dengan sifat & perangai buruk mereka yang asal, masih lagi nak kelentong & berbohong kepada Allah pada hari Kiamat dengan bersumpah & tidak mengaku akan perbuatan mereka yang syirik itu!
Bukan tipu biasa, nak tipu Tuhan pula mereka ini!
- Sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: {(Setelah nyata kepada orang-orang munafik itu bahawa harta benda dan anak pinaknya tidak dapat memberikan pertolongan), ketika mereka semuanya dibangkitkan oleh Allah (pada hari kiamat), maka mereka bersumpah kepadaNya (bahawa mereka adalah orang-orang mukmin) sebagaimana biasanya mereka bersumpah kepada kamu; dan mereka menyangka bahawa (dengan berbuat demikian) mereka akan mendapat sesuatu (yang berfaedah kepada mereka). Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya merekalah golongan pendusta.} (Al-Mujaadalah 58:18)
- Hadis- Said bin Jubair ada orang datang bertanya kepada Abdullah bin Abbas RAhuma tentang beberapa ayat yang dia keliru dalam al-Quran dan perlu penjelasan iaitu ayat:
i- {… dan (ketika itu) mereka tidak dapat menyembunyikan sepatah kata pun dari pengetahuan Allah.} (An-Nisa’ 4:42)
ii- Seolah kontra dengan ayat ini; di mana mereka bersumpah bahawa mereka tidak syirik. Sedangkan mereka kafir bagaimana mereka nak sembunyikan?
Jawab Ibnu Abbas – tiada sembunyi apa di sini, apabila Allah SWT beri kepada golongan yang ikhlas & betul-betul tauhid hapuskan dosa mereka, datang puak kafir nak mengaku tidak syirik juga.
Maka pada ketika itulah malaikat datang menampal & menutup mulut si kafir tidak boleh bercakap lagi!
Lalu pada waktu itulah segala anggota yang lain bercakap dan menjadi saksi!
Pada hari ini itu Allah tidak akan sembunyikan apa-apa percakapan, walaupun puak kafir cuba nak sembunyikannya apa yang mereka buat atas dunia, Allah tetap akan dedahkannya tidak ada apa yang dapat disembunyikan.
Sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: {Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.} (Yaa Siin 36:65)
Maka jelaslah tidak ada kontra antara ayat-ayat al-Quran ini.
AYAT 24- {LIHATLAH BAGAIMANA MEREKA BERDUSTA TERHADAP DIRI MEREKA SENDIRI, DAN BAGAIMANA HILANG LENYAPNYA DARI MEREKA APA YANG TELAH MEREKA ADA-ADAKAN (SEBAGAI SEKUTU ALLAH) ITU.} (AL-AN’AM 6:24)
- Allah perintahkan Rasulullah SAW untuk memerhati dengan mata hatinya bagaimana pendustaan puak kafir itu di Akhirat kelak ke atas mereka sendiri.
Mereka cuba bersumpah palsu di hadapan Allah tetapi akhirnya mulut mereka ditutup lalu kaki tangan dan lain-lain anggota pula yang menjadi saksi.
- Lalu apa yang mereka reka & cipta itu hilang lenyap dan mereka berdepan dengan keputusan dan hukuman Allah yang pasti!
- Kita minta Allah selamatkan iman kita, tauhid kita, ibadat & ikhlas kita daripada perkara yang tidak baik & dimurkai Allah!
Mudah-mudahan kita selamat di dunia & Akhirat.
PENUTUP & FEDAH :
- Ayat 20- {Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami berikan kitab kepada mereka, mereka mengenalinya (Nabi Muhammad), sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri.}-
Mereka ahli kitab mengenali Nabi Muhammad SAW dengan jelasnya kerana sudah ada dalam kitab mereka tentang sifat Nabi SAW dengan detail.
Maka ayat ini menjadi hujjah yang besar ke atas yahudi & nasrani bahawa benarnya dakwah Nabi SAW.
Jika mereka tidak terima maka terimalah pembalasannya di Akhirat kelak.
Ulama’ bahasa kata : Allah buat bandingan, benda yang dikenali (المعرفة) dengan benda yang dikenali.
Iaitu mereka kenal Nabi Muhammad SAW sebagaimana mereka kenal anak mereka.
Ibu bapa yang jaga & membesarkan sendiri anak mereka pastilah 100% akan kenal anak mereka itu!
Maka Allah buat bandingan ini:
Kamu kenal Nabi sebagaimana kamu kenal nak kamu sendiri!
Begitulah jika kita nak buat bandingan, kita kena buat bandingan yang lebih tepat agar orang faham barulah sesuai & munasabah.
Untuk lebih jelas Gambaran bagi manusia.
Wajah persamaaan di sini ialah meletakkan kata putus bahawa memang mereka kenal Nabi SAW tapi apa boleh buat mereka tolak dengan sebab hasad dengki & dendam.
Amat rugi sekali kerana Allah beri peluang kepada mereka tetapi mereka lari!
- Ayat 21- {Dan siapakah lagi yang lebih aniaya dari orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayat keteranganNya? Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya.}-
Siapakah yang lebih zalim (aniaya)- {وَمَنْ أَظْلَمُ} daripada orang yang mendustakan Allah SWT. Dan membuat tuduhan dusta terhadap Allah.
Kata ulama’ : Zalim (ظلم) itu berbeza-beza dan ada pelbagai kategori jenisnya serta tahap juga, ada tahap 1 dan ada tahap 10.
Dalam ayat ini Allah kata orang yang paling zalim ialah mereka yang berdusta atas nama Allah, dia kata apa yang Allah tak kata; Allah kata halal dia kata haram, Allah kata haram dia kata halal.
Kerana itu dosa juga berbeza. Jadi Allah nyatakan kepada kita perbezaan tahap kezaliman.
Dalam ayat ini Allah kata kezaliman yang paling berat ialah mereka-reka ayat Allah SWT atau menolak keterangan yang Allah bawa.
Banyak dalam al-Quran firman Allah SWT tentang orang zalim ini:
i- Maksudnya: {Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya…} (Al-Baqarah 2:114)
ii- Maksudnya: {Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya…} (Al-Kahfi 18:57)
Maka siapakah sebenarnya yang lebih zalim??? Tidakkan nampak ayat-ayat ini bercanggah antara satu sama lain???
Jawapannya kata ulama’ :
Ayat-ayat ini tidak bercanggah, semuanya adalah perbuatan zalim yang besar tetapi di dalam kategori masing-masing yang berbeza.
Seperti zalim dari segi aqidah ialah mereka yang tolak & buat dusta kepada Allah.
Manakala zalim dari segi tempat ialah mereka yang yang menyekat orang dari menuju ke masjid Allah.
- Ayat 21- {Dan siapakah lagi yang lebih aniaya dari orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta terhadap Allah,….}-
Siapakah yang lebih zalim selain dari….
Ulama’ kata : Ayat ini ialah amaran keras untuk manusia daripada bercakap tentang perkara & hukum-hukum yang kita tidak pasti.
Jangan kata ini hukum Allah tetapi katakanlah ini pandangan saya atau ijtihad pandangan ulama’ tertentu.
Ini adalah beberapa tahap orang yang paling zalim kepada Allah iaitu:
i- Pertama yang melakukan syirik kepada Allah.
ii- Mendustakan ayat-ayat Allah.
iii- Orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta terhadap Allah.
iv- Mereka perkara yang Allah tak kata seperti kata halal yang Allah haramkan atau menghalalkan apa yang haram.
Contoh kisah rokok yang haram, perokok tegar tidak boleh teriman & mengatakan tiada dalam hukum Syari’ah kata ia haram, tetapi bila Allah kata rokok itu halalnya?
Sedangkan hukum itu dikeluarkan oleh para ulama’ selepas diambil ayat-ayat al-Quran secara umum & hadis Nabi SAW yang mengharamkan kemudharatan ke atas diri seperti dalam maqasid Syari’ah serta pandangan ahli perubatan yang menyokongnya!
Kita tidak kata ia total hukum Tuhan cuma dinisbahkan berdasarkan ijtihad kepada hukum lain!
Begitu juga para penasihat Syari’ah & ahli-ahli panel bagi produk dan urusan mu’amalat tertentu:
Hati-hatilah anda bertanggungjawab di hadapan Allah Azza wa Jalla nanti, kerana orang ramai akan berhukum ikut pandangan mereka.
Maka kena wara’ dalam mengeluarkan fatwa dan semoga mendapat hidayah bimbingan Allah SWT selalu.
- Ayat 21- {… Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya.}-
Ayat ini memberi khabar gembira kepada orang yang dizalimi, yang dikhianati.
Ia juga amaran kepada si zalim, orang menzalimi bahawa akhir kesudahan mereka ialah kebinasaan dan kecelakaan.
Ini kerana itu Allah sudah beri jaminan, orang zalim tidak akan dapat kemenangan, atas dunia ini mungkin dia lepas kerana ada harta & pangkat tetapi di Akhirat kelak tidak akan selamat!
Undang-undang Allah kelak tidak melepaskan dan selamat sesiapa yang zalim dan salah!
Manakala zalim yang paling besar ialah syirik kepada Allah Azza wa Jalla. Iaitu dari sudut aqidah.
Kerana itu Allah kata orang zalim tidak akan dapat kemenangan.
Hadis- Nabi SAW bersabda:
Allah biarkan dulu orang zalim itu tetapi apabila diambil tindakan tak akan lepas lagi.
Kemudian Rasulullah SAW membaca ini:
{Dan demikianlah azab Tuhanmu, apabila ia menimpa (penduduk) negeri-negeri yang berlaku zalim. Sesungguhnya azab-Nya itu tidak terperi sakitnya, lagi amat keras serangannya. (Hud 11:102). [HR Bukhari & Muslim].
Ada orang yang senang seketika atas dunia ini tetapi akan mengalami derita azab sengsara yang berpanjangan, Wal ‘iyazu billah.
Maka marilah kita selamatkan diri kita dari sifat zalim, menzalimi, mengkhianati orang kerana kita akan dipertanggungjawab di hadapan Allah di Akhirat kelak!
- Ayat 22- {Dan (ingatlah), hari (kiamat yang padanya) Kami himpunkan mereka semua,…}-
Ayat ini menjadi penenang hati kepada Rasulullah SAW. kerana orang yang mendustakan Baginda dulu semasa di dunia, akan berjumpa balik di Akhirat kelak!
Semua manusia yang baik yang jahat, yang kafir yang mukmin akan dikumpulkan di Akhirat kelak untuk dihisab perhitungan kemudian akan menerima balasan yang setimpal.
Allah gambarkan dengan si kafir ditanya dengan tempelak, di manakah sembahan-sembahan kamu dulu?
Mereka cuba lagi menipu tidak mengaku tetapi semua akan didedahkan tidak siapa yang boleh putar bekit fakta & sembunyikannya lagi.
Mulut akan ditampal dan ditutup, Allah buka anggota lain untuk menkadi saksi maka tiada apa yang menjadi rahsia lagi!
YANG jahat akan dihumban ke dalam neraka, tiada yang dapat membela dan melepaskanya lagi, tiada ada apa hujjah & rahsia, semuanya akan terbuka di hadapan Allah SWT.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk hari ini dan akan bersambung balik pada pagi Sabtu 23hb November 2024 Insya’ Allah.
Ini kerana DAAM akan bermusafir ke Jepun untuk melawat tapak misi projek Masjid & Pusat Dakwah Wakayama di Jepun.
Doakan semoga perjalanan dan semuanya lancar, selamat & diberkati Allah.
Bagi para budiman yang nak menderma Tabung ini masih dibuka.
Wakaf masjid boleh disalurkan kepada:
Maybank Persatuan Fajar Iman Matahari Terbit Malaysia
No. Akaun: 562106698737
Rujukan: Wakaf.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.