View Categories

(30) Surah Al-Ma’idah : Ayat 75-77

NABI ISA SEORANG MANUSIA, SEMBAHAN KAFIR TIADA KUASA & LARANGAN GHULUW MELAMPAU DALAM AGAMA.

Full video : https://youtu.be/lZh1GBmhYzI?si=K0IfcBxslWSz9u_q

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah dengan ayat 75 sehingga 77, juzu’ yang keenam.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menyatakan siapakah Nabi isa. Iaitu bahawa Nabi Isa adalah seorang rasul dari kalangan manusia biasa.
  1. Allah juga tegaskan bahawa sembahan puak kafir tiada kuasa untuk memberi manfaat atau mudharat kepada manusia yang menyembahnya. 
  1. Kemudian Allah bawa larangan sifat ghuluw iaitu melampau dalam agama.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat-ayat yang lepas Allah SWT ceritakan tentang yahudi & pelbagai karenah sifat jahat mereka.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah mulakan cerita tentang nasrani serta beberapa ayat berikutnya.
    Serta menjelaskan tentang siapakah nabi Isa & ibunya, bahawa mereka adalah manusia biasa.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 75- {TIADALAH AL-MASIH IBNI MARYAM ITU MELAINKAN SEORANG RASUL YANG TELAH TERDAHULU SEBELUMNYA BEBERAPA ORANG RASUL, DAN IBUNYA SEORANG PEREMPUAN YANG AMAT BENAR…} (AL-MA’IDAH 5:75)

  1. Allah nyatakan bawa hakikat sebenar Nabi Isa bukanlah seperti yang didakwa oleh puak kafir yahudi yang menghina Isa atau nasrani yang melampau mengangkatnya sebagai Tuhan pula.
  1. Hakikat sebenarnya ialah:
    i- Isa adalah anak kepada Maryam yang dilahirkan oleh ibunya sebagaimana ibu-ibu lain melahirkan anak. Cuma dia lahir tanpa bapa. 

    ii- Isa juga seorang hamba Allah yang tunduk patuh taat kepada Tuhannya.

    iii- Telah berlalu sebelum nabi Isa begitu ramai para nabi & rasul iaitu 300 orang lebih, dia bukan rasul yang pertama.
  1. Ibunya Isa pula iaitu Sayyidah Maryam seorang yang benar {صِدِّيقَةٌۭ}- iaitu:
    i- Benar dari sudut percakapan & tindakannya, tidak pernah terjebak dengan mungkar & maksiat. 
    Dia hamil adalah dengan mukjizat dari Allah untuk anaknya Isa AS. Jangan membuat tuduhan melulu (koksir = kokdam) kepadanya.

    ii- Dia membenarkan ayat-ayat Allah, beriman dengan kenabian anaknya Isa AS.
    Membenarkan ajarannya. 
    Perkataannya benar berdasarkan perbuatannya, inilah kedudukan yang tinggi sehinggakah Allah SWT meletakkannya pada darjat yang tinggi ini- صِدِّيقَةٌۭ 
  1. Maka jika nabi Isa itu seorang yang benar & rasul, ibunya juga membernarkan anaknya sebagai seorang rasul, keduanya juga mengaku sebagai manusia; jadi kenapa kamu nak sembah dia???
    Kamu dakwa dia sebagai Tuhan??? 
    Allah SWT Maha Tinggi daripada sebarang dakwaan buruk yahudi & nasrani! 
  1. Kita lihat apakah makna yang benar {صِدِّيقَةٌۭ} ini berdasarkan huraian para ulama’ dalam kitab Miftah Darus- Sa’adah: 
    i- Orang yang benar ialah yang sempurna imannya, dengan apa yang diajar oleh rasul, dari sudut ilmu, membenarkannya, perlaksanaan & amalannya. 

    ii- Ia juga kembali kepada ilmu tentang apa yang dibawa oleh Rasul. 
    Makin alim orang itu dengan ajaran Nabi, maka makin sempurna sifat kebenarannya. 
    Sifat {صِدِّيقَةٌۭ} ini adalah pokok manakala umbinya adalah ilmu tentang Allah, cabangnya membenarkan & buahnya adalah amal!
    Jika percaya saja tetapi tidak beramal maka ia seperti pokok yang tidak berbuah.

    Sepertimana kata hikmah : الْعِلْمُ بِلَا عَمَلٍ كَالشَّجَرِ بِلَا ثَمَر Maksudnya: “Ilmu tanpa amal umpama pohon tidak berbuah.”
  1. Sifat {صِدِّيقَةٌۭ} ialah ilmu yang bermanfaat yang membuahkan keyakinan kepada Allah & amal soleh. 
    Kerana itu {صِدِّيقَ} umat ini ialah contoh Sayyidina Abu Bakar As- Siddiq RA. 
    Apa yang Nabi SAW cakap dia percaya semuanya tanpa ada keraguan & persoalan!
    Golongan siddiqin ini berada pada darjat yang kedua selepas para nabi, kemudian datang para syuhada’ & solihin.
  1. Sebagaimana firman Allah SWT:
    Maksudnya:
    {Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. 
    Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).} (An-Nisa’ 4:69) 

    Kerana itu tidak mungkin kita terima orang yang mengaku ada wali lebih tinggi darjatnya daripada para nabi. 
    Rasul & nabi ada wahyu dari Allah sedangkan para wali tiada. Wallahu a’lam.

AYAT 75- {… MEREKA BERDUA ADALAH MEMAKAN MAKANAN (SEPERTI KAMU JUGA). LIHATLAH BAGAIMANA KAMI JELASKAN KEPADA MEREKA (AHLI KITAB ITU) KETERANGAN-KETERANGAN (YANG TEGAS YANG MENUNJUKKAN KESESATAN MEREKA), KEMUDIAN LIHATLAH BAGAIMANA MEREKA DIPALINGKAN (OLEH HAWA NAFSU MEREKA DARI MENERIMA KEBENARAN YANG JELAS NYATA.} (AL-MA’IDAH 5:75)

  1. Kedua mereka iaitu Isa & ibunya perlu kepada makanan seperti kamu juga manusia biasa. Selepas makannya mereka juga perlu buang, maka yang bersifat lemah begini pastilah bukan Tuhan!
    Allah bawa contoh yang boleh dilihat dengan jelas di depan mata.
  1. Allah bawa ayat ini sebagai dalil (محسوسة) iaitu yang boleh dilihat & nampak di depan mata. 
    Allah nyatakan bahawa Nabi Isa dan ibunya Maryam adalah dari bangsa dan jenis manusia. Buktinya: mereka berdua makan untuk menjalani kehidupan dan selepas makan pastilah juga buang air besar dan buang air kecil. 
    Orang yang makan, minum, dan buang air seperti itu serta lain-lain sifat manusia adalah lemah & tidak mungkin menjadi Tuhan!
  1. Allah bawa hujjah-hujjah & dalil ini supaya:
    i- Kamu buat kajian, tadabbur melihat untuk menunjukkan betapa batilnya hujjah puak kafir & betapa perbuatan mereka itu tidak betul! 

    ii- Kemudian lihatlah sekali lagi bagaimana mereka dipalingkan oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata sedangkan di depan mata mereka sudah ada dalil & hujjah yang jelas lagi nyata tetapi mereka tetap lari berpaling daripada menerima kebenaran! 

AYAT 76- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “PATUTKAH KAMU MENYEMBAH SESUATU YANG LAIN DARI ALLAH, YANG TIDAK BERKUASA MEMBERI MUDARAT KEPADA KAMU DAN TIDAK JUGA BERKUASA MEMBERI MANFAAT? PADAHAL ALLAH YANG MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI”.} (AL-MA’IDAH 5:76)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa Isa & ibunya bukan Tuhan;
    Dengan bawa dalil aqli, mereka makan & minum.
    Serta dalil aqli, Allah sebut sendiri, Mereka itu manusia hamba Allah, bukan Tuhan. 
    Kemudian Allah beri amaran siapa kata juga maka dia kafir! 
    Selepas itu Allah menyeru mereka agar bertaubat minta keampunan.

    ii- Kemudian datang ayat ini bahawa selain dari makan minum, Tuhan yang kamu sembah itu tidak boleh memberi manfaat & darurat, maka mereka bukan Tuhan!
  1. Allah perintahkan Rasulullah SAW untuk berkata kepada puak kafir yang menyembah selain daripada Allah ini untuk mengingkari secara fizikal (berdepan) perbuatan mereka itu!
  1. Apakah patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi manfaat?
    Patung atau sesuatu yang tidak berkelip mata & mengangkat tangan pun tidak boleh?
  1. Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui segala perbuatan kamu, sembah Isa, sembah patung dan sebagainya. 
    Bertuhankan kepada benda yang tidak memberi faedah. 
    Jelas kepada kita ayat ini membatalkan pegangan orang yahudi dan nasrani yang mengankat makhluk sama dengan Tuhan.
  1. Demikian juga ada sebahagian manusia ini yang otaknya telah dijerubu dengan syaitan, inngin menghalang manusia dari mendengar al-Quran, belajar al-Quran & tafsir, sedangkan kita baca Kalamullah! 
    Itulah keburukan bahayanya ikut syaitan atau syaitan manusia yang bencikan orang belajar agama dan bertuhankan benda-benda yang yang tidak dapat memberi manfaat.

AYAT 77- {KATAKANLAH: “WAHAI AHLI KITAB! JANGANLAH KAMU MELAMPAU DALAM AGAMA KAMU SECARA YANG TIDAK BENAR, DAN JANGANLAH KAMU MENURUT HAWA NAFSU SUATU KAUM YANG TELAH SESAT SEBELUM INI DAN TELAH MENYESATKAN BANYAK MANUSIA, DAN JUGA (SEKARANG) MEREKA TELAH TERSESAT (JAUH) DARI JALAN YANG BETUL”} (AL-MA’IDAH 5:77)

  1. Allah perintahkan lagi kepada Rasulullah SAW untuk berkata kepada golongan nasrani yang Allah berikan Kitab yang benar kepada mereka; Jangan kamu melampau dalam pegangan terhadapa Nabi Isa AS, memujanya sehingga mendakwanya sebagai Tuhan! 
    Allah suruh kita muliakan & hormt para rasul tetapi bukan begitu caranya!
  1. Itu adalah perbuatan yang melampau, perbuatan yang keluar dari haq kepada yang batil; iaitu kamu keluarkan Nabi Isa dari maqam kenabian kepada maqam ketuhanan!
    Inilah yang kita takuti.
  1. Juga agar kamu (nasrani) jangan ikut hawa nafsu sebagaimana puak yahudi yang sebelum ini, yang ikut nafsu yang menyebabkan mereka keluar dari kebenaran, telah sesat & menyesatkan manusia lain! 
    Mereka sendiri juga (nasrani) telah mereka ibadat yang tidak disyari’atkan oleh Allah Azza wa Jalla.
  1. Kata Ibnu Jarir RHM : Maksudnya { قَوْمٍۢ قَدْ ضَلُّوا۟ مِن قَبْلُ- suatu kaum yang telah sesat sebelum in} ialah golongan yahudi yang telah membuat tuduhan terhadap Nabi Isa sebagai anak tak sah taraf.
    Kemudian datang yahudi pada zaman Rasulullah SAW, dua-duanya dia hentam, Isa tak betul, Nabi Muhammad SAW pun tak betul.
    Inilah golongan yang sesat awal lagi sebelum Nabi Isa AS datang.
  1. Kata Ibnu Asyur RHM : Yakni mereka kaum nasrani telah sesat sebelum Rasulullah SAW dibangkitkan lagi, mereka ikut puak yahudi yang menyesatkan sebelum ini lagi!
  1. Mereka juga sesat dari jalan yang benar sekarang iaitu menolak dakwah & ajaran Rasulullah SAW. yakni puak nasrani ini sesat dua kali, dulu sesat ikut yahudi, kemudian sesat pula apabila menolak dakwah Rasulullah SAW.
  1. Lalu setelah sesat berkali-kali, mereka tepesong dari jalan yang benar
    {وَضَلُّوا۟ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ}- 
    iaitu jalan yang tidak cuai & tidak melampaui.
    Dua golongan inilah yang Allah sebut dalam al-Quran pada akhir Surah Al-Fatihah, yahudi yang dimurkai & nasrani yang sesat.
  1. Firman Allah SWT:
    { صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ}
    {Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.} (Al-Fatihah 1:7)
    Maka sesiapa yang ikut feel perangai dua golongan ini maka itulah golongan yang sesat & dimurkai Allah SWT!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 75- {Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat benar…}-

    Ayat ini Allah mulakan untuk menyatakan sifat Nabi Isa AS & sifat ibunya untuk membatalkan aqidah nasrani yang mengatakan dua beranak ini Tuhan, dua dari tiga (trinity) dan sebagainya fahaman yang sesat.
    Allah sifatkan ibunya Sayyidah ini seorang yang amat benar, keduanya Isa & Maryam amat benar iaitu benar dengan ilmu lalu meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT!
  1. Ayat 75- {… mereka berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga)…}-

    Kedua mereka ibu dan anak makan seperti manusia biasa lain juga.
    Bahkan dari awal nabi Isa lahir lagi Allah telah perintahkan kepada Maryam untuk makan kurma masak dan suap anaknya Isa.
    Firman Allah SWT: {وَهُزِّىٓ إِلَيْكِ بِجِذْعِ ٱلنَّخْلَةِ تُسَـٰقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًۭا جَنِيًّۭا فَكُلِى وَٱشْرَبِى وَقَرِّى عَيْنًۭا}
    {Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan.} (Maryam 19:25-26)

    Ayat ini sebenarnya adalah ayat kinayah (كناية)- iaitu ayat sindiran; 
    Allah menyatakan bahawa segala perbuatan Isa & ibunya adalah seperti manusia biasa, mereka makan minum kemudian perlu kepada proses perkumuhan dan penyahtinjaan, yakni perlu ke tandas untuk membuang air. 
    Inilah adalah adab penggunaan bahasa dikhayalak ramai, uslub al-Quran yang indah.
    Kita juga ambil pengajaran dengan adab ini, jaga bahasa dengan elok di hadapan ramai apatah di lagi meja hidangan!
    Dalam ayat ini Allah bawa dalil yang jelas, bukan yang tersembunyi! 
    Orang boleh nampak di mata kasar manusia. Ia juga adalah dalil yang jelas, tak perlu lagi untuk kita fikir bagi memahaminya, tak perlu guna mukjizat dan sebagainya.

    Para pendakwah begitu juga, jika ada dalil yang mudah untuk difahami oleh pendengar katakan dan gunakanlah biar orang faham! 
    Tak perlu guna falsah ini falsafah ini yang tinggi sehingga membuatkan orang tak faham dan keliru panas.
  1. Ayat 75- {… dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga)…}-

    Ayat ini membatalkan pegangan nasrani tentang Nabi Isa & Ibunya.
    Dalil ini membawa dua dimensi:
    i- Nabi Isa ada mempunyai seorang ibu.
    Setiap makhluk yang ada anak adalah makhluk yang baru; Ini bererti Isa itu adalah makhluk yang baru, maka setiap benda yang baru dia adalah makhluk & bukan Tuhan!

    ii- Nabi Isa & ibunya berhajat & perlukan kepada makanan, sedangkan Tuhan tidak berhajat kepada semua yang kamu katakan itu!
    Sedangkan Allah tidak berhajatkan kepada apa benda sekalipun yang kamu katakan tadi.
    Jadi ayat ini adalah dalil & hujjah untuk membatalkan dakwaan dan fahaman karut marut yang dibuat oleh nasrani terhadap Nabi Isa AS.
    Ibunya Nabi Isa juga adalah seorang yang benar {صِدِّيقَةٌۭ}.
    Yakni Sayyidah Maryam amat yakin, percaya & membenarkan ajaran yang dibawa oleh anaknya Nabi Isa AS. 
    Martabat Siddiqin ini adalah yang kedua selepas nabi-nabi sebagaimana yang disebut dalam ayat dia atas tadi.
    Dalilnya firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’, ayat 69 (di atas).

    Ada ulama’ Zahiri seperti Ibnu Hazim yang mengatakan bahawa Maryam adalah seorang nabiah (nabi perempuan) seperti beberapa orang perempuan lain iaitu: Sarah ibu Nabi Ishak, ibu Nabi Musa & ibu Nabi Isa ini. 

    Dalilnya kerana firman Allah SWT ini: {وَأَوْحَيْنَآ إِلَىٰٓ أُمِّ مُوسَىٰٓ أَنْ أَرْضِعِيهِ} – { Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:…} [Al-Qasas: 7]

    Tentang masalah ini:
    i- Para ulama’ sepakat (ijma’) bahwa semua rasul adalah lelaki. Juga tentang pangkat kenabian, majoriti ulama’ juga berpendapat bahawa semua nabi juga laki-laki,
    Lalu Maryam juga bukan seorang nabi kerana tidak ada nabi dari kalangan wanita.

    ii- Hujjah untuk menolak dalil yang mereka itu, Allah menggunakan perkataan {وَأَوْحَيْنَآ} kepada ibu Nabi Musa ini dengan maksud memberi ilham atau idea, bukan memberi wahyu seperti yang diberi kepada para nabi atau rasul yang dilantik!

    Sebagaimana dalam satu ayat al-Quran lain; Allah juga menggunakan perkataan {وَأَوْحَىٰ} ini untuk menyatakan bahawa Dia telah memberi ilham kepada lebah untuk makan: {….وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى ٱلنَّحْلِ}- {Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.} (Al-Nahl 16:68) 
    Maka apakah bererti lebah itu menjadi nabi? Pastilah tidak!
    Majoriti ulama’ kata : Nabi itu mestilah seorang lelaki, maka salahlah pendapat Ibnu Hazim dan mereka yang sependapatan dengannya! Wallahu a’lam.
  1. Ayat 77- {Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar,}-

    Allah juga memberi amaran kepada ahli kitab agar jangan melampau yakni lebih daripada had yang dibenarkan!
    Allah SWT melarang puak ahli kitab daripada sifat melampau dan sifat ghuluw yang boleh merosakkan apa saja.

    Rasulullah SAW larang daripada ghuluw (melampau):
    i- Dalam agama, Nabi beri amaran kepada kita daripada ghuluw dalam agama iaitu dalam beribadat! 
    Hadis- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ
    Maksudnya: “Sesungguhnya agama itu mudah, janganlah seseorang daripada kamu menyukarkan (menyulitkan urusan agama itu) melainkan kamu akan tewas”. [HR al-Bukhari (39)]

    Rasulullah SAW bersabda: إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِي الدِّيْنِ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ اَلْغُلُوُّ فِي الدِّيْنِ.
    “Jauhkanlah diri kalian dari ghuluw (berlebih-lebihan) dalam agama, kerana sesungguhnya sikap ghuluw ini telah membinasakan orang-orang sebelum kalian.” [HR Ahmad & an-Nasaei].

    Banyak benda-benda ghuluw dalam beragama maka kita hati-hatilah. 
    Antara punca ghuluw juga meletakkan hadis-hadis untuk orang kafir kepada orang Islam, kerana itu lahirnya golongan Khawarij yang berperang sesam sendiri.

    ii- Ghuluw dalam zatnya Rasulullah sendiri iaitu memuji-muja Baginda SAW dengan melampau: 
    Sabda Nabi SAW: لاَ تُطْرُوْنِي كَمَا أَطْرَتِ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ، فَقُوْلُوْا عَبْدُ اللهِ وَرَسُوْلُهُ.
    “Janganlah kalian berlebih-lebihan dalam memujiku, sebagaimana orang-orang Nasrani telah berlebih-lebihan memuji ‘Isa putera Maryam. Aku hanyalah hamba-Nya, maka kata-kanlah, ‘‘Abdullaah wa Rasuuluhu (hamba Allah dan Rasul-Nya).’”[HR Bukhari]

    Kadang-kadang datang ayat yang melampau dan pujian yang berlebihaan dalam qasidah-qasidah dan nasyid tentang Rasulullah SAW, kita beringat dan berhati-hatilah!
    Kita wajib hormat dan memuliakan Nabi SAW tetapi jangan melampau, pujian dalam skop yang diizinkan oleh Syara’.
    Hati-hatilah kerana syaitan itu ia tidak tinggal satu pun ruang & peluang yang ada untuk menggoda & merosakkan anak Adam dari jalan yang benar!
  1. Ayat 77- {… dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul”}-

    Bisanya bila dikata tentang hawa nafsu, ia disebut untuk kejahatan. 
    Nafsu ini ia tidak ikut akal, ia ikut kehendak & kesukaannya sendiri!
    Maka sesiapa yang ikut nafsu akan menyebabkan dia sesat & boleh juga menyesatkan orang lain.
    Kerana itu Allah SWT mengatakan mereka (nasrani) ini sesat dua kali – sesat pertama kerana ikut orang yang terdahulu (yahudi) dan sesat yang kedua kerana menolak pula jaran Nabi Muhammad SAW!
    Marilah para jemaah sekelian, kita berpegang berpegang dengan ajaran ahli Sunnah wal Jamaah, ajaran al-Wasat, yang adil yang duduk di tengah-tengah!
    Kita berpegang dengan apa yang dibawa al-Quran, dengan apa yang dibawa oleh Nabi SAW serta berdasarkan huraian yang dibuat oleh para ulama’ Salafus-Soleh, serta ulama’ yang mutaakhirin yang berpandukan method salaf.
    Jangan ikut puak yang sesat sama ada yang terdahulu atau yang sekarang, jangan ikut hawa nafsu & syaitan yang tidak putus asa dan berhenti untuk menyesatkan kita, insya’ Allah, Allah akan selamatkan kita.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir & tadabbur kita untuk hari ini.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs