SURAH AL-HADID : AYAT 22-24

\"\"

SEMUA MUSIBAH YANG BERLAKU DENGAN TAQDIR ALLAH, JANGAN DUKACITA ATAU TAKABBUR & SIFAT BAKHIL MUSNAHKAN DIRI.

Full video : https://youtu.be/7a2OvB0UcCc

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan semua perkara yang berlaku termasuk bala musibah adalah dengan taqdir yang Allah telah tetapkan.
  2. Maka janganlah dukacita jika apa yang kita mahu tidak dapat atau terlepas; atau jangan sombong takabbur jika dapat apa yang kita inginkan.
  3. Kita hendaklah berada antara dua sifat ini; sabar apabila ditimpa ujian dan bersyukur apabila mendapat nikmat.
  4. Allah s.w.t juga tegur sifat bakhil, iaitu orang yang ada harta tetapi cintakan dunia, lalu kedekut tidak mahu derma & infaq fi-sabilillah, maka ia akan musnahkan dirinya sendiri.
  5. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t telah sebut tentang jihad; maka dalam peperangan ia pasti ada kematian, kecederaan dan kesakitan.
    Juga jika berlaku perkara yang tidak menyenangkan dalam hidup kita ini seperti sakit demam dan lain-lain. Maka diajar dalam ayat cara untuk menghadapinya dengan sabar atas apa saja ujian bala yang menimpa.

ii- Allah juga buat bandingan bahawa hidup kita ini sama seperti pokok yang menghijau dan hidup subur pada awalnya, kemudian kering layu kekuningan mati dimakan ulat.
Begitu juga kehidupan manusia atas dunia ini, pada awalnya kita sihat, kemudian datang penyakit, datang ujian akhirnya kita mati dan masuk ke dalam tanah!

iii- maka supaya kita tidak terlalu resah & kecewa, kita kena belajar dan faham ilmu tentang qadha\’ & qadar, ketetapan dan ketentuan Allah s.w.t!

AYAT 22- {TIDAK ADA SESUATU KESUSAHAN (ATAU BALA BENCANA) YANG DITIMPAKAN DI BUMI, DAN TIDAK JUGA YANG MENIMPA DIRI KAMU, MELAINKAN TELAH SEDIA ADA DI DALAM KITAB (PENGETAHUAN KAMI) SEBELUM KAMI MENJADIKANNYA; SESUNGGUHNYA MENGADAKAN YANG DEMIKIAN ITU ADALAH MUDAH BAGI ALLAH.} (AL-HADID 57:22)

  1. Yakni apa saja yang berlaku di bumi ini atau apa saja bala ujian yang menimpa manusia melainkan ia telah sedia dalam kitab perancangan Allah s.w.t di Lauh Mahfuz.
  2. Maka kita jangan kecewa dan resah jika apa yang kita usahakan tidak terjadi & tidak dapat. Kita kena belajar tentang qadha\’ & qadar Allah.
  3. Kata al-Mawardi rhm. tentang makna musibah:
    i- apa yang berlaku di bumi seperti bencana alam banjir, gempa bumi, tsunami dan seumpamanya!

ii- ke atas diri seseorang seperti: yang pertamanya musibah dalam agama, apabila kita merasakan bahawa agama itu kecil, memandang lekeh dan tidak perlu diambil berat. Bila dalam keadaan tertentu kita rasa agama itu adalah perkara yang kedua, kita lebih besarkan yang lain seperti harta, kuasa & dunia.

iii- penyakit dan bala yang menimpa.

iv- orang yang terkena hukum hudud.

v- kesempitan hidup, susah & miskin atas dunia ini.

  1. Firman Allah s.w.t:
    {Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah;} [At-Taghabun: 11].
  2. Untuk mengadakan & melaksanakan semua yang telah tertulis itu adalah sesuatu yang mudah & senang bagi Allah, tidaklah sesuatu yang menyusahkan baginya. Kita tidak lari dari taqdirnya, maka kita kena sabar dan redha atas apa yang berlaku.
  3. Ini adalah persiapan jiwa, jika terjadi apa yang kita tidak suka kena redha & sabar, kembalikannya kepada taqdir Allah serta ingatlah bahawa:
    {Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,} [Ash-Sharh: 5].

AYAT 23- {(KAMU DIBERITAHU TENTANG ITU) SUPAYA KAMU TIDAK BERSEDIH HATI AKAN APA YANG TELAH LUPUT DARIPADA KAMU, DAN TIDAK PULA BERGEMBIRA (SECARA SOMBONG DAN BANGGA) DENGAN APA YANG DIBERIKAN KEPADA KAMU. DAN (INGATLAH), ALLAH TIDAK SUKA KEPADA TIAP-TIAP ORANG YANG SOMBONG TAKBUR, LAGI MEMBANGGAKAN DIRI.} (AL-HADID 57:23)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan sebab kenapa kamu kena bersabar & bersyukur atas segala ketetapan taqdir Allah s.w.t.
  2. Taqdir Allah s.w.t itu terbahagi kepada dua:
    i- sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah itu pasti akan berlaku (Iradah Kauniyyah Qadariyyah- الإرادة الكونية). Iaitu semua yang terjadi & berlaku adalah dengan izin & kehendak Allah s.w.t.

ii- kehendak Allah mahu semua orang itu beriman kepada Allah s.w.t & melaksanakan tuntutan Syari;ah. Tetapi hanya yang terpilih akan beriman dan selamat bukan semuanya. (Iradah Syar\’iyyah- الإرادة الشرعية).

  1. Allah menyatakan bahawa memahami semua ini penting agar kamu tidak kecewa dan bersedih hati, tidak mengamuk dan hilang arah dengan apa yang berlaku jika berlawan dengan kehendak.
  2. Kata ulama\’ salaf: Kamu akan mendapat iman yang mantap apabila kamu tahu apa yang menimpa kamu ialah apa yang telah Allah tulis, serta apa yang Allah s.w.t tidak tulis ke atas kamu tidak berlaku walaupun kamu telah berusahanya berpuluh tahun!

Maka janganlah kita terlalu kecewa dan sedih jika tidak mendapat sesuatu yang diinginkan. Dukacita dalam hati tidak mengapa, jangan sampai mengamuk tidak tentu pasal!

  1. Ingatlah dunia ini hanya sementara dan akan hilang, jika tidak hilang sekarang akan hilang juga akhirnya!
  2. Manakala jika kita dapat pula apa yang kita inginkan jangan pula menjadi sombong, angkuh dan takabbur, tetapi bersyukurlah kepada Allah atas kurniaan rezeki-Nya.
  3. Ini kerana Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur, lagi membanggakan diri { كُلَّ مُخْتَالٍۢ فَخُورٍ}.
  4. Yakni sabar apabila ditimpa musibah; Syukur apabila mendapat nikmat! Itulah orang yang bijak.

AYAT 24- {ORANG-ORANG YANG BAKHIL DAN MENYURUH MANUSIA SUPAYA BERLAKU BAKHIL, (AKAN MENDAPAT BALASAN YANG MENGHINA); DAN SESIAPA YANG BERPALING (DARI MEMATUHI HUKUM ALLAH MAKA PADAHNYA TERTIMPA ATAS DIRINYA SENDIRI), KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH, DIA LAH YANG MAHA KAYA, LAGI MAHA TERPUJI.} (AL-HADID 57:24)

  1. Antara sifat orang yang sombong dan takabbur itu ialah mereka yang bangga lagi sombong dengan harta yang ada; dan bakhil dengan hartanya! Tidak menginfaqkan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t seperti nafkah, zakat dan seumpamanya yang wajib!
  2. Maka Allah sebut siapa yang sombong dan bakhil akan mendapat kehinaan di sisi Allah s.w.t!
  3. Mereka bukan setakat bakhil tetapi menyekat juga orang lain daripada membantu dan mengeluarkan tanggung-jawabnya. Begitulah yang dilakukan oleh puak munafiqin pada zaman Rasulullah s.a.w.
  4. Firman Allah s.w.t:
    {Merekalah yang mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah dan orang-orang Muhajirin): \”Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang-orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya)\”.
    Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendakNya); akan tetapi orang-orang yang munafik itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).} [Al-Munafiqun: 7].
  • Inilah perbuatan jahat puak munafiqin pada zaman Rasulullah s.a.w dan berterusan sehingga pada zaman kita ini, berlaku lagi cerita yang sama cuma pelakonnya yang lain atau baru.

5. Pada akhir ayat ini Allah s.w.t memberi amaran kepada kita: Sesiapa yang berpaling { يَتَوَلَّ} tidak mahu ikut arahan Allah s.w.t, lari dari tugas & tanggung-jawabnya seperti: lari tidak mahu beriman kepada Allah, tidak bayar nafkah, zakat tidak mahu keluar, pertolongan tidak mahu beri, amar ma\’ruf nahi mungkar tidak jalankan, telus dan adil juga tidak, maka padahnya akan menimpa dirinya sendiri.

6. Ini kerana Allah s.w.t:
i- Yang Maha Kaya { ٱلْغَنِىُّ} tidak perlukan kepada makhluk & hartanya,

ii- Allah s.w.t juga Maha terpuji { ٱلْحَمِيدُ}, Allah memuji hamba-Nya yang telah melakukan tugasan dan perintah yang diberi-Nya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 22- {Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami)}- pertama kita kena balik dan kembali kepada taqdir Allah s.w.t. Ini supaya kita tidak mudah kecewa dan terlalu bangga dengan apa yang kita dapat!

Ayat ini mengajar kepada kita beberapa perkara:
i- kita kena kembali kepada taqdir Allah s.w.t yang telah tertulis beribu tahun dulu. Ini supaya kita tidak terlalu kecewa sehingga sangup membunuh diri atau mencederakan orang, melanggar hukum-hakam & undang-undang dan seumpamanya! Ini kerana musibah itu menghilang perkara yang kita suka, terlepas apa yang kita mahukan dan harapkan.

ii- juga agar jangan kita terlalu gembira sehingga membawa kepada sombong dan takabbur apabila mendapat nikmat atau sesuatu yang kita ingainkan!

Kaedahnya: Sabar, syukur dan jangan melampau dalam semua perkara.

Mazhab ASWJ- semua perkara yang berlaku adalah telah ditulis dan ditetapkan oleh Allah Azza wa Jalla sejak asal lagi.
Ini berlawanan dengan fahaman sesat Qadariyyah menafikan ilmu itu. Mereka mengatakan Allah s.w.t tidak tulis dan tetapkan apa-apa, apa yang berlaku adalah berlaku begitu saja.

  1. Ayat 22- {Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami)}- semua yang terjadi adalah yang telah tertulis oleh Allah Azza wa Jalla sebelum ia dijadikan.

Maka seorang hamba itu diperintahkan:
i- apabila ditimpa musibah atau sesuatu yang tidak diingini agar bersabar atas semua yang berlaku kerana ia adalah taqdir Alllah s.w.t. Jangan kita dok \”kalau-kalau\” kerana kalimah KALAU itu adalah permainan syaitan!

ii- tetapi jika kita tersalah melakukan maksiat atau dosa; kita diperintahkan agar terus beristighfar, bertaubat memohon keampunan Allah s.w.t dan jangan menyalahkan taqdir.

Firman Allah s.w.t:
i- {Maka bersabarlah (wahai Muhammad, dalam perjuangan menegakkan Islam); sesungguhnya janji Allah (untuk menjayakanmu) adalah benar. Dan pohonlah ampun bagi salah silapmu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.} [Ghaffir: 55].
Yakni musibah-sabar; dosa-beristighfar.

ii- {Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).} [Ali \’Imran: 186].
Yakni arahan untuk sabar atas musibah & taqwa jauhkan dosa.

Kata ulama\’: Sabar atas musibah dan taqwa takut kepada Allah dengan meninggalkan segala dosa, maksiat dan segala cacat-cela.
Juga sabar atas musibah & beristighfar atas dosa, dua-duanya kita ambil dan amalkan.

Jika bersedih atas kematian atau kehilangan orang yang kita sayangi, itu normal bagi hati dan naluri manusia. Cuma yang dilarang ialah sedih & kecewa yang berlebih-lebihan, apatahah lagi meratap yang menafikan kesabaran, ia adalah amalan jahiliyyah.

  1. Ayat 23- {(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu.}- Ayat ini memberi peringatan bahawa setiap musibah akan hilang, setiap yang memberi kegembiraan juga akan hilang, tiada yang kekal atas dunia ini. Kita gembira hari ini belum tentu akan masih gembira esok begitu sebaliknya.

i- Beginilah sifat orang mukmin yang sederhana dan tidak melampau serta sabar & syukur atas segalanya.
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

\” عجبًا لأمرِ المؤمنِ . إن أمرَه كلَّه خيرٌ . وليس ذاك لأحدٍ إلا للمؤمنِ . إن أصابته سراءُ شكرَ. فكان خيرًا له. وإن أصابته ضراءُ صبر. فكان خيرًا له

\”Alangkah mengkagumkan keadaan orang yang beriman, kerana semua keadaannya (membawa) kebaikan (untuk dirinya), dan ini hanya ada pada seorang mukmin; jika dia mendapatkan kesenangan dia akan bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya, dan jika dia ditimpa kesusahan dia akan bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.\” [HR Muslim].

ii- Kata seorang ulama\’ Salaf, Yahya bin Muaz ar-Razi rhm.: Wahai anak Adam, kamu jangan terlalu kecewa atau sedih yang berlebihan atas sesuatu yang telah hlang & berlalu, juga jangan terlalu gembira megah dan berbangga dengan harta yang kamu miliki, kerana mati tidak akan membiarkan benda itu terus berada di tangan kamu!

iii- Kata Ibnu Abbas r.a: Tidak ada seorang manusia kecuali adakalanya ia sedih, adakala ia gembira! tetapi apabila musibah menimpa kamu bersabaralah; dan apabila mendapat nikmat, kamu jadikanlah is sebagai satu alat untuk bersyukur!

  1. Ayat 23- {Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.}- ayat ini sebagai satu amaran kepada kita agar jangan terlalu gembira dan lebih-lebih.

Ini kerana terlalu gembira, ia akan pergi kepada sifat sombong yang akan merosakkan manusia! Tetapi jika kita gembira seadanya dan kita syukur adalah yang sebaiknya dan tidak dikeji pada Syara\’. Begitu juga apabila ditimpa ujian hendaklah bersabar dan redha.

Ini menunjukkan nikmat itu adalah anugerah dari Allah, bukan kerana usaha kita semata.

  1. Ayat 24- {Orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya berlaku bakhil, (akan mendapat balasan yang menghina); – dalil kepada bahawa sifat bakhil itu adalah sesuatu yang dicela. Allah sebut sifat bakhil sebagai satu sifat yang dicela kerana takabbur, sombong kemudian suruh orang lain pun bakhil juga! Dua kali keburukan.

Amaran Allah s.w.t di akhir ayat bahawa sesiapa yang lari (وَمَن يَتَوَلَّ) tidak mahu beriman & taat, satu dalil bahawa siapa yang menjadikan sifat ini sebagai sifatnya; tidak memberi kesan & mudharat kepada Allah tetapi hanya akan memudharatkan dirinya sendiri sahaja!

Hadis Qudsi, sabda Rasulullah s.a.w bahawa Allah s.w.t berfirman:
Wahai hamba-Ku, jika berhimpun semua manusia yang dahulu sekarang dan akan datang, manusia & jin semua yang jahat & derhaka untuk buat maksiat kepada-Ku, tidak kurang sikit pun kekuasaan Allah atas dunia ini. [HR Muslim].

Powered by BetterDocs