SURAH AL-HADID : AYAT 20-21

\"\"

BANDINGAN KEHIDUPAN DUNIA, GALAKAN BERAMAL AKHIRAT & BERSEGERALAH MELAKUKANNYA

Full video : https://youtu.be/5G4bsZGoQCk

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t membuat perbandingan antara kehidupan dunia, agar kita nampak ia hanya sementara dan seolah main-main sahaja berbanding dengan alam Akhirat yang kekal abadi.
  2. Maka diberi galakan beramal untuk Akhirat dengan melakukan ketaatan, meninggalkan maksiat & kemungkaran, berbuat baik sesama manusia. Adil & amanah dalam tugas & tanggung-jawab.
  3. Juga agar bersegera melakukannya, tidak bertangguh-tangguh melakukan kebaikan & bertaubat, sehingga membawa kepada kerugian dan penyesalan yang tidak berguna lagi!
  4. Munasabah ayat: Allah s.w.t sebut dalam ayat yang lepas tentang kebaikan bersedekah dan infaq serta menjauhkan diri dari sifat bakhil. Apabila bakhil sayangkan harta; kita tidak infaq, tidak sedekah & waqaf!

Maka dalam ayat ini sekali lagi diberi galakan bahawa dunia ini adalah tempat untuk kita bersiap, melakukan kebajikan dan amalan yang banyak, bukan tempat kita tinggal tetap di sini!

Kemungkinan juga manusia ini apabila diajak berjihad dia tidak mahu kerana takut mati dan seumpamananya, maka diingatkan bahawa dunia ini hanya sementara, akan berakhir juga cepat atau lambat. Kita semua akan mati dan meninggal dunia suatu hari nanti, tidak hari ini esok, tidak tahun ini, tahun depan!

Ketahuilah hakikat dunia ini hanyalah mainan dan leka lagha semata!

AYAT 20- {KETAHUILAH BAHAWA (YANG DIKATAKAN) KEHIDUPAN DUNIA ITU TIDAK LAIN HANYALAH (BAWAAN HIDUP YANG BERUPA SEMATA-MATA) PERMAINAN DAN HIBURAN (YANG MELALAIKAN) SERTA PERHIASAN (YANG MENGURANG), JUGA (BAWAAN HIDUP YANG BERTUJUAN) BERMEGAH-MEGAH DI ANTARA KAMU (DENGAN KELEBIHAN, KEKUATAN, DAN BANGSA KETURUNAN) SERTA BERLUMBA-LUMBA MEMBANYAKKAN HARTA BENDA DAN ANAK PINAK; (SEMUANYA ITU TERHAD WAKTUNYA) SAMALAH SEPERTI HUJAN YANG (MENUMBUHKAN TANAMAN YANG MENGHIJAU SUBUR) MENJADIKAN PENANAMNYA SUKA DAN TERTARIK HATI KEPADA KESUBURANNYA, KEMUDIAN TANAMAN ITU BERGERAK SEGAR (KE SUATU MASA YANG TERTENTU), SELEPAS ITU ENGKAU MELIHATNYA BERUPA KUNING; AKHIRNYA IA MENJADI HANCUR BERSEPAI; DAN (HENDAKLAH DIKETAHUI LAGI, BAHAWA) DI AKHIRAT ADA AZAB YANG BERAT (DI SEDIAKAN BAGI GOLONGAN YANG HANYA MENGUTAMAKAN KEHIDUPAN DUNIA ITU), DAN (ADA PULA) KEAMPUNAN BESAR SERTA KEREDAAN DARI ALLAH (DISEDIAKAN BAGI ORANG-ORANG YANG MENGUTAMAKAN AKHIRAT). DAN (INGATLAH, BAHAWA) KEHIDUPAN DUNIA INI TIDAK LAIN HANYALAH KESENANGAN BAGI ORANG-ORANG YANG TERPEDAYA.} (AL-HADID 57:20)

  1. Setelah diterangkan keadaan orang yang beriman dan orang kafir di Akhirat, maka di dalam ayat ini diterangkan pula keadaan kehidupan dunia yang tidak patut dijadikan tujuan utama kita.
  2. Bahkan ia adalah jambatan untuk ke Akhirat, sebagai tempat untuk kita menyediakan persiapan dan bekalan baik di sana nanti!
  3. Ketahuilah bahawa dunia ini sementara sahaja, nikmat yang sekejap, iaitu seolah satu permainan (لَعِبٌۭ) yang melalai dan melekakan (لَهْوٌۭ) Semua keenakan dan keindahan adalah yang sekejap sahaja.

SEBAGAI MANA KATA ULAMA\’ :

Lidah & faraj; dua nikmat yang hanya sejengkal tetapi balanya amat besar dan berpanjangan, na\’uzubillah!

  1. Dunia juga sebagai perhiasan (وَزِينَةٌۭ ۢ) & menjadi tempat bermegah dan menunjuk-nunjuk (وَتَفَاخُرٌۢ) harta yang dimiliki.
    Iaitu bermegah-megah dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan.
  2. Mereka juga berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak
    {تَكَاثُرٌۭ فِى ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَوْلَـٰدِ ۖ}.
    Berbangga dengan harta milik di dunia yang hanya sementara!

FIRMAN ALLAH S.W.T :

{Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh),} (At-Takaathur 102:1)

  1. Hadis Rasulullah s.a.w:
    Empat perkara permainan jahiliyyah yang terpalit kepada umatku:
    i- berbangga-bangga dengan keturunan.
    ii- mencela/mengata kepada keturunan (nasab) orang lain.
    iii- percaya kepada ramalan dan bintang-bintang.
    iv- meratap kematian. [HR Muslim].
  2. Allah membuat analogi bandingan agar kita lebih faham bahawa semua itu hanyalah sementara:
    i- pokok tanaman yang tumbuh hijau dan subur selepas turunnya hujan. Berbuah dan berbunga yang indah.

ii- tidak lama kemudian apabila tiba masanya ia menjadi kering & kuning, layu dan akhirnya hancur dan buruk begitu saja.

  1. Semua itu menggembirakan hati kuffar yang melihatnya.
    Makna {ٱلْكُفَّارَ} di sini ada dua pandangan ulama\’:
    i- penanam atau pekebun.
    ii- ada kata maksudnya orang kafir hakiki.

Pendapat yang terpilih ialah orang kafir yang kufur & syirik kepada Allah s.w.t; yang gembira & kagum tengok keindahan tumbuhan, tanpa ingat kepada nasib dirinya.

  1. Kata Ibnu Kathir rhm. mengulas ayat ini: Begitulah juga perjalanan hidup manusia dan dunia ini; pada awalnya bayi dan kanak-kanak, muda dan gagah perkasa, kemudian lemah dan tua akhirnya mati.
  2. Di akhir ayat Allah berpesan, ingatlah kita ada Akhirat:
    i- kehidupan dan azab di Akhirat yang lebih berat dan penting daripada kehidupan dunia ini!

ii- Azab itu sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu, mereka yang tidak mengambil peluang untuk beriman dan beribadat!

iii- dan ada pula keampunan besar serta keredhaan dari Allah disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat.

Allah sebut dua-dua di sini :
i- pertama untuk mengingatkan agar jangan lagha dengan dunia
ii- yang kedua untuk menggalakkan agar kita membuat persiapan atas dunia ini agar tidak menyesal di Akhirat.

  1. Allah ingatkan sekali lagi bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya dengan kemanisan dunia ini!
  2. Hadis-hadis:
    i- Rasulullah S.A.W bersabda: \”Perumpamaan dunia dengan akhirat adalah kalian mencelupkan jari kalian ke laut, kemudian diangkat, lihatlah dunia hanya air yang ada di jari tersebut.\” (HR Muslim).

ii- Nabi S.A.W bersabda:
مَوْضِعُ سَوْطٍ فِي الْجَنَّةِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Maksudnya: \”Tempat untuk menyangkut tongkat di syurga lebih baik daripada dunia dan seisi kandungannya.\” [HR al-Bukhari (6415)].

AYAT 21- {BERLUMBA-LUMBALAH KAMU (MENGERJAKAN AMAL-AMAL YANG BAIK) UNTUK MENDAPAT KEAMPUNAN DARI TUHAN KAMU, DAN MENDAPAT SYURGA YANG BIDANGNYA SELUAS SEGALA LANGIT DAN BUMI, YANG DISEDIAKAN BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN RASUL-RASULNYA; YANG DEMIKIAN IALAH LIMPAH KURNIA ALLAH, DIBERIKANNYA KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA; DAN ALLAH SEMEMANGNYA MEMPUNYAI LIMPAH KURNIA YANG BESAR.} (AL-HADID 57:21)

  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat sebelumnya Allah sebut bahawa di Akhirat kelak ada maghfirah & keampunan Allah s.w.t.

ii- Maka dalam ayat ini diperintahkan agar segera kamu mencari keampunan dan keredhaan Allah itu!
Jangan tangguh-tangguh lagi, nanti kerugian. Kita sudah tahu ia adalah sesuatu yang baik kenapa tidak mahu segera melakukannya?

  1. Allah s.w.t juga telah menceritakan keadaan dunia yang sementara kepada kita.
    Kenapa masih nak kejar dan dunia lagi? Ambilnya sebagai persiapan & bekalan bukan hanyut lagha di dalam arusnya!
  2. Bersegeralah kita membuat persiapan menuju kepada Allah s.w.t dengan cara segera melakukan ketaatan dan meninggalkan keburukan dosa & maksiat.
  3. Kata Ar-Razi rhm. tentang makna segera atau berlumba-lumba (سَابِقُوٓا۟) itu ialah:
    i- segera mencari sebab yang boleh mendapat keampunan Allah s.w.t.
    ii- segera bertaubat jika ada dosa.
    iii- segera melakukan tanggung-jawab.
    Bila dah azan segera solat jangan tangguh-tangguh!
    iv- segera juga meninggalkan maksiat.
    Bila dah tahu satu urusan itu adalah riba, segera tinggalkan!
  4. Allah menyatakan syurga itu lebar bidangnya { وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا} seluas segala langit dan bumi. Sama seperti firman Allah s.w.t juga:
    {Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya {عَرْضُهَا} seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;} [Ali \’Imran: 133].
  5. Kata ulama\’ tentang maksud lebarnya {عَرْضُهَا} itu ialah: Jika langit tujuh lapis & bumi tujuh tingkat yang ada ini dibuka kesemuanya, luasnya begitulah.
  6. Hadis- Nabi s.a.w pula menyatakan:
    Luas pintu syurga sejauh Makkah dengan Hajar di Bahrin atau Makkah dengan Busra di Syam (Syria).
    Jika diukur jarak sekarang lebih daripada 1200km.
  7. Muhasabah: Yang membimbangkan kita ialah; Seluas itu pintu syurga takut kita tidak bertemu jalan menuju kepadanya.
    Ya Allah, Jadikan kami sebahagian dari Ahli Syurga!
  8. Syurga-syurga itu Allah s.w.t sediakan bagi orang yang beriman dengan Allah dan dengan Rasul-Nya. Tidak kira kamu miskin atau kaya semuanya akan dapat masuk syurga jika bertemu jalannya.
  9. Iaitu dengan limpah kurnia Allah yang akan diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
    Ada yang dapat darjat yang tinggi dan rendah; mengikut tahap ibadat masing-masing.
  10. Ditutup ayat ini dengan Allah perkenalkan diri-Nya yang mempunyai kurniaan & limpah kurnia yang besar.
    Jangan kamu fikir takut tidak cukup atau berkurangan nikmat atau balasan, setiap orang akan menerima balasannya mengikut tahap iman, ibadat & keikhlasannya!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 20- {Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang)-}- ayat ini isyarat bahawa ketika kita hidup ini, kita jadikan ia sebagai alat atau wasilah untuk kita mendapat nikmat yang kekal di Akhirat serta sebagai penyelamat dari mendapat azab yang berat.

Ingat: Dunia atau bumi ini tidak dicela semata-mata kerana ia tempat tinggal kita yang indah dan cantik. Tetapi apa yang dicela ialah kembali kepada perbuatan buruk dan dosa anak Adam di atas dunia ini!

  1. Ayat 20- {Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang)-}- ayat ini dalil bahawa permainan dan hiburan serta perhiasan {لَعِبٌۭ وَلَهْوٌۭ وَزِينَةٌۭ} itu dicela pada Syara\’ jika ia disalah guna seperti melalaikan.

i- Kecuali permainan {لَعِبٌۭ} yang memberi faedah seperti belajar seni mempertahankan diri, belajar pedang & memanah, menunggang kuda untuk berjihad dan seumpamanya.

ii- Perhiasan {زِينَةٌۭ} juga bukan semuanya dicela, ada tempatnya ia digalakkan seperti mana firman Allah s.w.t:
{Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias ( زِينَتَكُمْ) pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.} [Al-A\’raf: 31].

Begitulah ada dunia yang baik dan ada dunia yang menyusahkan.

iii- Kata para ulama\’ para pengkaji tentang ayat ini, dalam al-Quran ini Allah sebut perkataan-perkataan ini maka para ulama\’ membahagikannya seperti berikut:

Ada 5 peringkat kita ini dengan harta secara ghalibnya:
i- permainan {لَعِبٌۭ}- ini untuk peringkat kanak-kanak yang bermain dengan permainan (toys).
ii- lalai {لَهْوٌۭ} – ini pula adalah permainan peringkat remaja, anak-anak yang besar. Mereka suka bermain bola, basikal, motor, games dan lain-lain.
iii- Perhiasan {زِينَةٌۭ}: pemuda-pemudi dewasa yang baru bekerja dan ada duit.
iv- berbangga {وَتَفَاخُرٌۢ} – orang yang sudah dewasa dan matang, sudah berkeluarga dan berkerjaya lama.
v- memperbanyakkan harta & berbangga dengannya {وَتَكَاثُرٌ }- ini orang yang sudah tua-tua atau sudah pencen.

  1. Ayat 21- {Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga..}- kerana itulah terpujinya para sahabat r.anhum, kerana apabila mereka mendengar ayat ini, mereka amat mengambil berat dan bersungguh untuk bersegera dan berlumba-lumba dalam mengerjakan ibadat dan kebaikan. Mereka berebut melakukannya takut akan diambil oleh orang lain pahala yang dijanjikan itu!

Kita hari ini sebaliknya, walaupun datang awal ke masjid masih saling tolak-menolak untuk penuhkan saf depan, bukan berebutkannya.

Sedangkan Rasulullah s.a.w sudah kata bahawa jika siapa yang tahu tentang kelebihannya mereka akan menggundi untuk berebut duduk di saf depan!

Maksudnya segera { سَابِقُوٓا۟} ialah Allah perintahkan supaya kita bersegera mencari sebab-sebab keampunan Allah s.w.t, iaitu dengan:
i- istighfar
ii- melakukan segala benda yang boleh mendapat keampunan.

  1. Ayat 21- {Dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya;}- Allah kata syurga itu disediakan (أُعِدَّتْ)- maka ulama\’ ahli Sunnah berpendapat bahawa syurga itu sudah ada dan tersedia, kerana banyak lagi ayat-ayat al-Quran lain yang mengatakan sedemikian.
    Begitu juga Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis mengatakan bahawa Baginda sudah menziarah dan melihat syurga itu!

Ayat ini juga untuk menolak pandangan muktazilah yang mengatakan:
i- syurga itu belum ada cuma dalam perancangan Allah s.w.t. Akan dibuat nanti.

ii- juga pandangan mereka dalam bab janji buruk: bahawa semua orang mukmin atau kafir akan kekal dalam neraka selamanya!

Pegangan kita ASWJ- orang beriman yang derhaka tidak akan kekal di dalam neraka- apabila habis tempoh penyiksaan dan hukumannya dia akan dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga pula!

  1. Ayat 21- {Dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya;}- ayat ini dalil bahawa tiada siapa yang dapat masuk syurga kecuali dengan rahmat Allah s.w.t. Bukan kerana amalan sematanya sahaja kecuali Allah limpahkan rahmat & nikmat-Nya kepada orang yang dikehendaki-Nya.

Amalan kita hanya menjadi sebab untuk kita masuk syurga!
i- Hadis:
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
\”Hendaklah kamu memperbaiki amalan, mendekatkan diri kepada Allah dan berbahagialah. Sesungguhnya tiada amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga.
Mereka (para sahabat) berkata: Apakah termasuk dirimu wahai Rasulullah?
Baginda menjawab: Ya, aku pun tidak, hanya Allah saja yang menganugerahkanku keampunan dan rahmat-Nya.\” (HR al-Bukhari & Muslim)

Kerana kita tahu rahmat Allah it uluas, maka kita carilah jalan-jalan, wasilah yang dapat kita raih rahmat Allah dan menyampaikan kita ke syurga dengan amalan soleh dan ketaatan.

Powered by BetterDocs