View Categories

(38) Surah Al-Ma’idah : Ayat 103-105

SIKAP SI KAFIR, PERINGATAN TIDAK DIPEDULIKAN & HATI MEREKA TELAH DITUTUP.

Full video : https://youtu.be/uPvfVr-CIEs?si=0FIr5am11Xj6RWjD

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 103 sehingga 105.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang perangai puak jahiliyah yang mengharamkan beberapa jenis haiwan, yang Allah tidak haramkan tetapi mereka yang reka & ciptanya!
  1. Mereka juga suka berpegang dengan ajaran & amalan tok nenek, sehingga sanggup tinggalkan ajaran Allah & Rasulullah SAW. 
  1. Allah juga memerintahkan kita agar istiqamah dengan Islam, dakwah orang kepada jalan Allah; kemudian jika mereka tak mahu ikut usah pedulikan penentang. 
    Jangan sampai terbantut kerja yang lain!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT larang ke atas hamba-Nya untuk korek cari hukum Syari’ah yang Allah tidak syari’atkan dan buat undang-undang yang Allah tidak buat! 
    Orang kafir telah mengharamkan ke atas diri mereka beberapa perkara dari jenis haiwan sedangkan mereka berhajat kepadanya!

    ii- Maka Allah nyatakan kebatilan perbuatan buruk itu; iaitu haramkan apa yang Allah halalkan!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 103- {ALLAH TIDAK SEKALI-KALI MENSYARIATKAN BAHIRAH, TIDAK JUGA SAA’IBAH, TIDAK JUGA WASILAH DAN TIDAK JUGA HAAM. AKAN TETAPI ORANG-ORANG KAFIR ITU SENTIASA MENGADA-ADAKAN PERKARA DUSTA TERHADAP ALLAH; DAN KEBANYAKAN MEREKA TIDAK MENGGUNAKAN AKAL FIKIRANNYA.} (AL-MA’IDAH 5:103)

  1. Allah nyatakan bahawa Allah sesekali tidak mensyariatkan apa yang orang kafir jahiliyyah itu tetapkan ke atas mereka sendiri.
    Perbuatan itu bukanlah satu perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah bahkan menyusahkan diri mereka sendiri!
  1. Bagi orang jahiliyah, mereka telah buat beberapa istilah & peraturan untuk beberapa jenis haiwan, lalu diharamkan ke atas diri mereka:
    i- Bahirah { بَحِيرَةٍۢ }- unta betina yang telah melahirkan anak lima kali, dan anaknya yang kelima betina. 
    Menurut adat jahiliyah, unta betina ini dibelah telinganya sebagai tanda, lalu dibiarkan lepas bebas & tidak diganggu; tidak boleh lagi digunakan sebagai kendaraan dan tidak boleh diambil air susunya!

    ii- Saa’ibah { سَآئِبَةٍۢ}- unta betina yang menjadi bayaran nazar.
    Apabila seseorang di antara mereka melakukan sesuatu pekerjaan berat, atau perjalanan yang jauh, maka mereka bernazar, bahawa ia akan menjadikan untanya sebagai saibah, jika pekerjaannya itu berhasil dengan baik, atau perjalanannya itu berlangsung dengan selamat. 
    Maka Saibah, si unta betina ini dilepas pergi ke mana saja, tidak boleh dijadikan kenderaan atau membawa beban, tidak boleh diambil bulunya, dan tidak boleh pula diambil air susunya, kecuali untuk tamu.

    iii- Wasilah { وَصِيلَةٍۢ }- kambing atau unta betina yang lahir kembar dengan saudaranya yang jantan. Menurut adat jahiliyah juga, apabila seekor kambing betina melahirkan anak kembar jantan dan betina, dan yang betina mempunyai anak betina lagi, maka anaknya yang betina itu disebut “wasilah”, tidak boleh disembelih dan tidak boleh dipersembahkan kepada berhala.

    iv- Haam { حَامٍۢ}- unta jantan yang telah berjasa membuntingkan unta betina sebanyak 10 kali.
    Maka unta jantan semacam itu tidak boleh lagi diganggu, disembelih atau digunakan untuk maksud apapun, tetapi harus dipelihara dengan baik.
    Ia tak boleh dicegah untuk minum air atau makan rumput dimana saja yang disukainya.
  1. Bahkan mereka telah membuat hukum yang disandarkan kepada Tuhan secara dusta! 
    Ini kerana kebanyakan mereka itu memiliki akal yang yang betul, iaitu tidak menggunakan akal mereka untuk berfikir dengan waras! 
    Inilah permainan syaitan yang menjadikan manusia itu bodoh dan dalam kerugian dunia & Akhirat.
  1. Persoalan: Apa beza dengan al-hadyu {الهدي}- binatang ternakan yang ditanda yang dibawa untuk dikorbankan di Makkah oleh orang Islam?
    Jawapan: 
    Korban al-hadyu itu untuk disembelih, dimakan dan dibahagikan kepada faqir miskin juga!
    Banyak dan besar manfaatnya digunakan seperti bulu & kulitnya juga; bukan untuk dilepaskan tidak boleh diusik, sedangkan mereka memerlukannya!

AYAT 104- {DAN APABILA DIKATAKAN KEPADA MEREKA: “MARILAH MENURUT KEPADA APA YANG TELAH DITURUNKAN OLEH ALLAH (AL-QURAN), DAN KEPADA RASULNYA (YANG MENYAMPAIKANNYA)”, MEREKA MENJAWAB: “CUKUPLAH BAGI KAMI APA YANG KAMI DAPATI DATUK NENEK KAMI MENGERJAKANNYA”. ADAKAH (MEREKA AKAN MENURUT JUGA) SEKALIPUN DATUK NENEK MEREKA TIDAK MENGETAHUI APA-APA DAN TIDAK PULA MENDAPAT HIDAYAH PETUNJUK?} (AL-MA’IDAH 5:104)

  1. Mereka orang kafir ini apabila didakwah kepada apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW berdasarkan apa yang diturunkan Allah SWT, mereka jawab: Cukuplah bagi kami apa yang ada dari apa yang tinggalkan oleh tok nenek kami!
    Kenapa nak tambah dan tukar lagi, cukup & memadailah dengan ajaran tok nenek kami, kami telah sebati & pengikut setia kepadanya! 
  1. Munasabah ayat dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat sebelumnya Allah nyatakan bahawa mereka telah haramkan 4 jenis haiwan ke atas diri mereka, kemudian apabila terdesak mereka cari jalan untuk makan dengan menghalalkan bangkai ke atas diri mereka pula!

    ii- Dalam ayat ini Allah nyatakan sebab perbuatan bodoh itu ialah kerana mereka mahu ikut agama & ajaran tok nenek mereka yang batil juga!
  1. Yakni apa halal asalnya iaitu binatang yang hidup & segar mereka haramkan ke atas diri tetapi bangkai yang kotor & ada keburukan mereka halalkan dan makan pula! 
    Ini berdasarkan perbuatan orang dulu & mereka tidak mahu ikut yang benar! 
  1. Iaitu mereka ikut ajaran tok nenek mereka yang juga dalam kesesatan & tidak mendapat petunjuk! 
    Mereka tidak berhak untuk mengikutnya kerana mereka tidak ada ilmu tentang perundangan Syari’ah Allah & tidak mendapat petunjuk dari Allah!

    Ini mainan syaitan yang membuat hujjah melalui orang tua kafir Quraisy; Haiwan yang Allah matikan (bangkai) kamu tidak mahu makan; tetapi yang kamu bunuh sendiri (sembelih) kamu boleh makan pula!
  1. Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah SWT ini:
    Maksudnya:
    {Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?} (Al-Baqarah 2:170)

AYAT 105- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! JAGALAH SAHAJA DIRI KAMU (DARI MELAKUKAN SESUATU YANG DILARANG OLEH ALLAH). ORANG-ORANG YANG SESAT TIDAK AKAN MENDATANGKAN MUDARAT KEPADA KAMU APABILA KAMU SENDIRI TELAH MENDAPAT HIDAYAH PETUNJUK (TAAT MENGERJAKAN SURUHAN ALLAH DAN MENINGGALKAN LARANGANNYA). KEPADA ALLAH JUALAH TEMPAT KEMBALI KAMU SEMUANYA, KEMUDIAN IA AKAN MENERANGKAN KEPADA KAMU (BALASAN) APA YANG KAMU TELAH LAKUKAN.} (AL-MA’IDAH 5:105)

  1. Allah SWT nyatakan kepada orang beriman untuk berlepas diri dari orang kafir dan menjaga diri mereka sendiri, selepas menjalankan tugas dakwah, menasihati & mengajak orang kafir ke arah kebenaran!
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas dinyatakan orang kafir tidak mahu terima ajaran Islam kerana mahu ikut ajaran tok nenek mereka!

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan jika mereka masih mahu menolak selepas dinyatakan kebenaran, selepas disampaikan dakwah, maka biarkan mereka kerana ia tidak memberi mudharat kepada Rasulullah SAW jika mereka tak ikut!
  1. Ayat ini memberi panduan juga kepada kita:
    i- Kita kena usaha untuk berdakwah, nasihat ajak orang kepada kebaikan dan tinggalkan kemungkaran!
    Kena jalankan tugas dakwah!

    ii- Kemudian jika mereka tidak terimanya juga, maka selesailah tugas & tanggungjawab kita, kita telah cuba setakat yang mampu. 
    Tetapi kena cuba & ikhtiar dulu bukan tinggalkan terus!
  1. Yang kita takut adalah; apakah kita telah menjalankan tugas menyampaikan dakwah kepada sesama manusia? 
    Jika kena berdebat & berhujjah buatlah, jika tidak malanglah dan belum menunaikan tanggungjawab!
  1. Tetapi jika kita telah menjalankan tugas setakat yang mampu dan kekuasaan & tenaga yang ada maka kekufuran mereka itu tidak akan mendatangkan mudarat kepada kita apabila:
    i- Setelah kita bertugas, menyampaikan dakwah;

    ii- Kita sendiri telah mendapat hidayah petunjuk;

    iii- Dan taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya.
  1. Di akhir ayat Allah peringatkan bahawa:
    i- Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya,

    ii- Kemudian Dia akan menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah lakukan dan akan diberi balasannya atas kebaikan atau keburukan.
  1. Yakni tiada apa yang tersembunyi, terlindung dari pengetahuan Allah! 
    Orang yang taat dapat pahala, orang yang derhaka dapat bala! 

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 103- {Allah tidak sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Saa’ibah, tidak juga Wasilah dan tidak juga Haam…}-

    Allah sesekali tidak mensyari’atkan perbuatan ini. 
    Ini adalah empat jenis haiwan yang telah ditanda & diperuntukkan untuk berhala, hidup bebas tidak boleh disembelih, peraturan yang dibuat oleh orang kafir jahiliyyah.
    Ayat ini menunjukkan bahawa ada di kalangan manusia yang buat sendiri undang-undang, tetapi apa yang dia buat itu tidak betul dan tidak memberi manfaat apa, bahkan membawa kerugian & kehilangan nikmat yang sepatutnya digunakan!
    Mereka katakan pula kepada orang Islam:
    Haiwan yang Allah matikan kamu tidak makan, tetapi haiwan yang kamu bunuh sendiri (sembelih) kamu makan pula! 
    Yakni bagi mereka makan bangkai itu halal & baik! 
    Inilah apabila hanya guna otak dan tidak berpandu Syari’ah Allah. 
    Syaitan telah menghiaskan kepada manusia apa yang buruk menjadi baik & molek!
    Seperti kita hari ini, sebenarnya banyak perkara yang buruk dari mizan (kaca mata/timbangan) Syari’ah tetapi baik & standard dari pandangan masyarakat.

    Manusia apabila reka cipta agama sendiri akan sesat.
    Betapa bahayanya mengeluarkan fatwa & pandangan yang tidak ikut SOP Syari’ah! 
    Orang yang mengharamkan perkara yang halal & sebaliknya!
    Itulah manusia yang mencipta hukumnya sendiri kemudian ditempelkan kepada hukum Syara’! 

    Sebagaimana puak kafir yang telah mereka cipta hukum yang tidak disyari’atkan Allah, itu semua adalah pendustaaan & pembohongan terhadap Allah SWT!
  1. Ayat 104- {Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran), dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)”, mereka menjawab: “Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya”.}-

    Kata ulama’ tadabbur : untuk orang awam kita ajak mereka secara umum untuk ikut kitab & Sunnah Nabi SAW. 
    Dalam ayat ini Allah tidak sebut siapa yang berkata kepada mereka itu kerana { وَإِذَا قِيلَ}:
    i- Ramainya orang yang berkata. 

    ii- Berbezanya tingkatan mereka yang bercakap itu.
    Ini agar orang mahu dengar & ikutnya.
    Ayat ini juga mengajar kepada kita agar jangan taksub kepada pandangan & kata-kata orang lain yang tidak bertepatan dengan Kitab & Sunnah.

    Maka siapa yang al-Quran kata haram dia kata halal atau sebaliknya, maka orang ini ikut perangai kafir yang mengutamakan tok nenek lebih daripada amalan yang diturunkan Allah dalam al-Quran & yang dibawa oleh Rasulullah SAW! 
    ini adalah orang degil & keras kepala.
  1. Ayat 104- {… mereka menjawab: “Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya”.}-

    Mereka kata cukuplah untuk mereka ikut apa yang dibawa oleh tok nenk mereka!
    Ayat ini menjadi dalil wajib kita ikut al-Quran & Sunnah kerana Allah telah mengingkari perkataan puak kafir ini, “cukupalah dengan apa yang ada dengan ajaran tok nenek kami.”
    Juga dalil bahawa tidak harus sama sekali untuk kita meninggalkan petunjuk al-Quran & Hadis Nabi SAW dengan ikut pandangan manusia! 
    Binasalah yang bersifat begini!
  1. Ayat 105- {Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah)…}-

    Kita kena sentiasa jaga diri kita sebagai orang beriman, lebih-lebih lagi selepas menyampaikan tugas dakwah amar ma’ruf & nahhi mungkar!
    Ulama’ kata : Menjaga & membaik pulih diri & jiwa kita, betulkan diri sendiri, termasuk dalam tanda-tanda orang yang jaga iman! 
    Tengok amalan kita; ikhlas atau tidak, cukup atau tidak, ikut Sunnah atau tidak!
    Jika tidak ikut kitab & Sunnah cuma ikut orang, maka itu termasuk juga seperti perangai kafir yang ikut tok nenek ini!
    Maka orang mukmin jangan ikut perangai & gaya orang kafir, betul atau tidak betul asal tok nenek pernah buat maka ikutlah!

    Ayat ini bukan mutlak, maksud jaga diri dalam ayat ini ialah:
    i- Bukan dok diam tak buat kerja, tetapi selepas kita berdakwah dan menyampaikan tugas, selepas kita buat perkara yang baik & dapat membawa kepada kedamaian & keadilan, yang dapat membawa keredhaan Allah SWT. 
    Jangan lemah & tak buat kerja pula!
  1. Ayat 105- {…Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Ia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan.}-

    Wahai para pencinta al-Quran & Sunnah, pencinta kebenaran, ingatlah kita semua akan kembali kepada Allah! 
    Jangan rasa sedap hati & selesa hidup!
    Maka kelak Allah akan jelaskan, nyatakan apa yang telah kita kerjakan atas dunia ini & akan membalasnya, sama ada yang baik atau buruk setiap manusia akan dihukum dan dibalas.
    Maka hasil dari ilmu ini, kita tahu bahawa kita akan kembali kepada Allah ada setiap perkara akan dibalas.
    i- Kita tidak akan berani buat apa yang menyalahi perintah Allah SWT.

    ii- Kita akan cuba apa yang terbaik sebagaimana yang dikehendaki Allah.
    Setiap manusia itu juga tidak akan diambil-kira (yakni tidak akan dibalas) dengan hanya lintasan dalam hati! 
    Selepas melakukan perbuatan itu baru akan diambil tindakan & ada balasannya! Alhamdulillah.

    Dalilnya juga hadis Nabi SAW:
    Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي مَا حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَتَكَلَّمْ.
    Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memaafkan umatku ke atas apa yang terlintas di dalam dirinya selama dia tidak melakukannya atau bercakap tentangnya.” [HR al-Bukhari, no. 5269].

    Cuma jika kita tahu niat itu tidak betul hendaklah kita beristighfar dan berdoa agar Allah beri kita hidayah menjadi orang yang bencikan maksiat & mungkar! Jika tidak bahaya juga!

Sedekah kita minggu ini masih lagi untuk TABUNG DAKWAH di Jepun, untuk pembinaan Pusat Dakwah & Masjid di WAKAYAMA Jepun.
Jom bersama kita melabur untuk saham hari akhirat kita.
Wakaf masjid boleh disalurkan kepada

Maybank
Persatuan Fajar Iman Matahari Terbit Malaysia
No. Akaun: 5621-0669-8737 
Rujukan: Wakaf.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs