SIFAT IBAD AR-RAHMAN KE 6- MENJAUHKAN DIRI DARI SYIRIK, KE 7- TIDAK MEMBUNUH ORANG DENGAN SENGAJA & KE 8 MENJAUHI ZINA.
Full video : https://youtu.be/bNwXH2vwdXw
MUQADDIMAH :
1. Kita masih membicangkan tentang sifat Ibadur-Rahman. Dalam siri yang lepas bermula dari ayat 66 Allah s.w.t sudah sebut 5 sifat iaitu:
i- Tawadhuk- tidak sombong dan takabbur.
ii- Hulum- lemah-lembut, tenang dan tidak gopoh.
iii- Tahajjud- bangun beribadat kepada Allah s.w.t pada waktu malam.
iv- Al-Khauf- takut kepada Allah s.w.t. pada setiap masa.
v- Berhemah dalam berbelanja, tidak terlalu boros dan tidak terlalu bakhil.
2. Kali ini kita akan sambung 3 lagi sifat, tetapi sifat negatif yang mesti dijauhi.
3. Sifat terbahagi kepada dua jenis iaitu:
i- Ijabiyyah الإيجابية – sifat positif yang kita kena terima, yang kita kena hiasi diri kita dengannya iaitu sifat yang indah at-Tahliyah. (التحلية)
ii- Salbiyyah السلبية – sifat negatif, iaitu benda yang kita kena tolak dan jauhkan, yang kita kena kosongkan hati kita darinya, at-Takhliyah (التحلية)
AYAT 68- {DAN JUGA MEREKA YANG TIDAK MENYEMBAH SESUATU YANG LAIN BERSAMA-SAMA ALLAH, DAN TIDAK MEMBUNUH JIWA YANG DIHARAMKAN ALLAH MEMBUNUHNYA, KECUALI DENGAN JALAN YANG HAK (YANG DIBENARKAN OLEH SYARAK), DAN TIDAK PULA BERZINA; DAN SESIAPA MELAKUKAN YANG DEMIKIAN, AKAN MENDAPAT BALASAN DOSANYA;} (AL-FURQAAN 25:68)
1. Sebelum ini Allah s.w.t sebut 5 sifat yang menjadi usul kepada ibadat, yang wajib kita bersifat dengannya. Manakala dalam ayat ini dibawa sifat yang wajib dijauhkan kerana menjadi ibu kepada maksiat pula.
2. Dalam ayat ini disebut pula tiga sifat salbiyyah iaitu perkara negatif yang kita kena elakkan dan bersihkan diri darinya (takhliyah). Iaitu:
i- Tidak syirik.
ii- tidak membunuh tanpa hak.
iii- tidak berzina.
3. Sebab turun ayat:
i- Hadis- Sejumlah orang dari kalangan orang-orang musyrik yang banyak membunuh dan banyak berzina datang menghadap kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan berkata, \”Sesungguhnya agama yang engkau katakan dan engkau seru itu benar-benar baik. Sekiranya saja engkau beritakan kepada kami bahawa apa yang telah kami lakukan ada kifarat (penebus)nya.\” Lalu Allah s.w.t. menurunkan firman-Nya ini: {Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik}. [HR Bukhari & Muslim].
ii- Hadis riwayat Ibnu Mas’ud r.a:
Rasulullah s.a.w. ditanya, \”Dosa apakah yang paling besar?\” Rasulullah s.a.w. menjawab, \”Bila kamu menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal Dia telah menciptakanmu.\” Lalu ditanya lagi, \”Kemudian apa lagi?\” Rasulullah s.a.w. bersabda, \”Bila kamu membunuh anakmu kerana takut dia ikut makan bersamamu.\” Ditanya lagi, \”Kemudian apa lagi?\” Rasulullah s.a.w. menjawab, \”Bila kamu berzina dengan isteri jiranmu.\” Kemudian turunlah ayat ini membenarkan apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. [HR Bukhari].
Penjelasan 3 sifat ini:
4. Sifat yang keenam – Jauhi syirik dalam segala bentuknya samada yang zahir atau tersembunyi.
5. Sifat yang ketujuh- Tidak membunuh seorang manusia kecuali dengan hak, kebenaran dari Syarak dengan syarat-syaratnya.
Hadis: Daripada Ibn Umar r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
أمرت أن أقاتل الناس حتى يشهدوا أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله ويقيموا الصلاة ويؤتوا الزكاة , فإذا فعلوا ذلك عصموا مني دماءهم وأموالهم إلا بحق الإسلام وحسابهم على الله تعالى
“Aku diperintah untuk memerangi manusia sehingga ia mengucapkan dua kalimah syahadah, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Sesiapa telah mengucapkannya, maka ia telah memelihara harta dan jiwanya dari aku kecuali kerana alasan yang hak dan kelak perhitungannya terserah kepada Allah Ta’ala”. [Muttafaqun \’Alaih].
6. 4 golongan yang haram dibunuh:
i- Muslim
ii- Kafir zimmi
iii- Kafir yang buat perjanjian damai.
iv- Kafir yang minta perlindungan dari orang muslim.
7. Manakala golongan yang halal dibunuh ialah:
i- Pesalah hukum hudud seperti- yang telah membunuh orang lain, pezina yang muhson dan seumpamanya.
ii- orang kafir yang halal dibunuh (seperti kafir harbi)
iii- dan orang murtad, meninggalkan agama Islam.
8. Sifat kelapan- Tidak berzina, kerana kesannya amat buruk, akan lahir anak yang tidak sah taraf dan boleh membawa kepada perbuatan buruk lain. Maka orang-orang yang soleh tidak akan melakuakn perbuatan keji ini. Begitu juga ikutan kepada zina seperti rogol, liwat, homoseks, lesbian yakni semua LGBT itu.
9. Mereka semua ini akan mendapat balasannya sebagaiman firman Allah s.w.t ini: {dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;}
AYAT 69- {AKAN DIGANDAKAN BAGINYA AZAB SEKSA PADA HARI KIAMAT, DAN IA PULA AKAN KEKAL DI DALAM AZAB ITU DENGAN MENERIMA KEHINAAN,} (AL-FURQAAN 25:69)
1. Balasan bagi semua mereka ini adalah cukup dahsyat iaitu akan digandakan bagi mereka azab siksaan pada hari Kiamat.
2. Dan mereka akan kekal di dalam neraka, kerana ada syirik dalam sifat mereka. Nauzubilah.
AYAT 70- {KECUALI ORANG YANG BERTAUBAT DAN BERIMAN SERTA MENGERJAKAN AMAL YANG BAIK, MAKA ORANG-ORANG ITU, ALLAH AKAN MENGGANTIKAN (PADA TEMPAT) KEJAHATAN MEREKA DENGAN KEBAIKAN; DAN ADALAH ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-FURQAAN 25:70)
1. Tetapi Allah s.w.t masih beri peluang untuk mereka yang melakukan segala perbuatan dosa tadi; jika mereka menyesali segala perbuatan itu lalu bertaubat disertai dengan iman dan amal soleh.
2. Maka Allah s.w.t akan menolongnya untuk berubah dan menukar kejahatan kepada kebaikan. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
3. Sebab turun ayat:
Ketika turun ayat yang ada dalam surah Al Furqan, orang-orang musyrik Makkah berkata, “Kami telah membunuh jiwa yang diharamkan Allah dan kami telah menyembah selain Allah serta mengerjakan perbuatan-perbuatan keji.”
Maka Allah menurunkan ayat 70 ini. [HR Bukhari & Muslim].
4. Syarat amalan diterima:
i- beriman
ii- Ikhlas
iii- mengikut Sunnah Nabi s.a.w.
5. Para ulama\’ berbeza pandangan tentang ayat ini: {Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan;}:
i- ulama\’ kata atas dunia lagi, bertukar watak dan sifat. Dari sifat buruk suka melakukan keburukan dan kejahatan kepada suka melakukan kebaikan dan beramal soleh.
Contoh: Seperti Sayyidina Umar al-Khattab yang berubah menjadi seorang yang warak dan soleh selepas Islamnya.
Kisah Muhamad Ghana yang membuka satu kiosk di tengah bandar Kota Bahru untuk non-muslim mengenal Islam. Menarik sekali cerita pertukaran wataknya dari kafir kepada Islam.
ii- ulama\’ kata bertukar ini di akhirat kelak. Asal tempatnya akan kembali ke neraka bertukar menjadi yang tempat yang baik kerana taubatnya.
iii- ulama\’ kata catatan amalan (buruk) itu kekal, tetapi semua itu tidak memberi kesan lagi, kerana catatan amalan baiknya telah mengatasi dan lebih banyak.
Ulama\’ kata kedua-duanya boleh jadi.
6. Hadis orang yang menerima catatan amalan, tetapi tidak melihat dosa dalam suratannya itu, ini kerana Allah s.w.t telah menghapuskan dosa-dosanya yang lain.
7. Perkara penting disebut dalam ayat ini:
i- Sesiapa yang insaf dan bertaubat maka akan bertukarlah wataknya di dunia ini. Tetapi jangan over dan melampau, serta jangan lagi dikenang dan diceritakan perbuatan-perbuatan buruknya yang lalu, seperti menyebut saya dulu jahiliyyah dan seumpamanya.
8. Hadis-hadis tentang Islam dan taubat akan menghapuskan dosa-dosa yang lalu.
Dari Abu Zar, Jundub bin Junadah dan Abu Abdurrahman, dan Mu’az bin Jabal r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, “Bertakwalah kepada Allah di manapun kamu berada. Iringilah perbuatan dosa dengan amal kebaikan, kerana kebaikan itu dapat menghapusnya. Serta bergaullah dengan orang yang baik akhlak.” [HR. Ahmad & Tirmizi]
9. Sesungguhnya Allah s.w.t adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Yakni Dia Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, Dia maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya.
AYAT 71- {DAN SESIAPA YANG BERTAUBAT SERTA BERAMAL SOLEH, MAKA SESUNGGUHNYA (DENGAN ITU) IA BERTAUBAT KEPADA TUHANNYA DENGAN SEBENAR-BENAR TAUBAT;} (AL-FURQAAN 25:71)
1. Allah s.w.t ulang sekali lagi di sini sesiapa yang bertaubat samada dia berdosa atau tidak, Allah s.w.t akan berikan kepadanya keampunan dan keredhaan-Nya.
2. Ayat sebelumnya khas untuk mereka yang melakukan dosa dan kesalahan lalu insaf dan bertaubat.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
1. Jika kita buat kebaikan dan amal ibadat, maka nafsu untuk buat kejahatan itu akan lemah. Kerana itu kata ulama\’ iman itu akan bertambah dan berkurang, bertambah dengan amal soleh dan berkurang dengan sebab dosa dan maksiat; maka sentiasalah gilapkan iman kita agar bertambah selalu.
2. Punca atau usul tapak maksiat ada 3 perkara:
i- Apabila hati bergantung kepada yang lain selain dari Allah. Samada syirik penuh kepada Allah s.w.t atau sudah beriman tetapi masih percaya lagi kepada benda-benda khurafat dan karut.
ii- Sifat marah yang melampau adalah punca kejahatan. Membawa kepada jahat dan Zalim.
iii- Kekuatan syahwat nafsu yang tidak terkawal. Maka akan berlakulah zina, liwat dan segala fahisyah (perbuatan keji).
3. Maka Allah s.w.t kumpulkan 3 sifat ini dalam satu ayat. Mereka akan menarik satu sama lain, syirik bawa kepada zalim, zalim akan bawa kepada melakukan perbuatan keji.
Lawannya ialah iman yang mantap, ikhlas dan mujahadah nafsu.
4. Maka seorang ibadur-Rahman akan menjauhkan semua sifat ini, Ya Allah semoga kita semua dilindungi dari sifat ini!!!
5. Hadis bawa pahala besar pada hari Kiamat tetapi tiada guna kerana dia buat maksiat secara senyap.
عَنْ ثَوْبَانَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لَأَعْلَمَنَّ أَقْوَامًا مِنْ أُمَّتِي يَأْتُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِحَسَنَاتٍ أَمْثَالِ جِبَالِ تِهَامَةَ بِيضًا فَيَجْعَلُهَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ هَبَاءً مَنْثُورًا قَالَ ثَوْبَانُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا جَلِّهِمْ لَنَا أَنْ لَا نَكُونَ مِنْهُمْ وَنَحْنُ لَا نَعْلَمُ قَالَ أَمَا إِنَّهُمْ إِخْوَانُكُمْ وَمِنْ جِلْدَتِكُمْ وَيَأْخُذُونَ مِنْ اللَّيْلِ كَمَا تَأْخُذُونَ وَلَكِنَّهُمْ أَقْوَامٌ إِذَا خَلَوْا بِمَحَارِمِ اللَّهِ انْتَهَكُوهَا
Thauban r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda:
\”Sungguh aku telah mengetahui bahawa ada suatu kaum dari ummatku yang datang pada hari Kiamat dengan membawa kebaikan sebesar gunung Tihamah yang putih, kemudian Allah menjadikannya sia-sia seperti debu yang berhamburan!
Thauban berkata; \”Wahai Rasulullah, sebutkanlah ciri-ciri mereka dan jelaskanlah tentang mereka kepada kami, supaya kami tidak menjadi seperti mereka, sedangkan kami tidak menyedarinya.\”
Baginda s.a.w bersabda: \”Sesungguhnya mereka adalah saudara-saudara kamu dan dari golongan kamu juga, mereka beribadat pada waktu malam sebagaimana kamu mengerjakannya, tetapi mereka adalah kaum yang apabila mereka bersendirian dengan apa yang diharamkan Allah, mereka melanggarnya (yakni melakukannya).
[HR Ibnu Majah, sanadnya Sahih]. [HR Ibnu Majah].
6. Maka berhati-hatilah agar kita jangan terjebak dengan sifat ini, zahirnya soleh dan baik tetapi di belakang adalah sebaliknya, melakukan maksiat atau dosa dengan tersembunyi.
Wallahu a’lam.