View Categories

SURAH AL-AHQAF : AYAT 29-32

\"\"

SEKUMPULAN JIN BERTEMU DENGAN NABI S.A.W DAN BERIMAN & MEREKA BERDAKWAH KEPADA KAUM JIN.

Full video : https://youtu.be/WWbQPLUczdE

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang sekumpulan Jin yang bertemu dengan Nabi S.A.W yang sedang membaca al-Quran. Mereka diam dan mendengarnya lalu beriman.
  2. Mereka kemudiannya kembali ke tempat mereka dan berdakwah Kepada Kaum Jin.
  3. Munasabah ayat: Allah nyatakan dalam ayat yang lepas bahawa manusia itu ada yang mukmin & ada yang kafir. Kaum jin pun begitu juga ada yang beriman ada yang tidak.

i- Setelah Allah ceritakan tentang kaum \’Ad yang gagah perkasa, tetapi akibat kekufuran mereka, dibinasakan dengan angin, satu elemen yang tidak nampak, yang tidak dapat dilihat, tetapi kita tahu & yakin akan kewujudannya.

Lalu Allah s.w.t bawa kisah tentang kaum jin, satu makhluk yang kita tidak nampak, sama seperti angit tadi. Jin juga disifatkan sebagai satu golongan yang gagah dan kuat bekerja seperti kaum Ad itu juga, bahkan lebih lagi kekuatannya.

ii-Nabi Hud adalah seorang yang berbangsa Arab sama seperti Nabi kita Muhammad s.a.w.

iii- Kaum Ad menolak dan mengingkari apa yang dibawa oleh nabi mereka, tetapi kaum jin ini sekali dengar terus beriman bahkan kembali berdakwah terus kepada kaumnya!

AYAT 29- {DAN (INGATKANLAH PERISTIWA) SEMASA KAMI MENGHALAKAN SATU ROMBONGAN JIN DATANG KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) UNTUK MENDENGAR AL-QURAN; SETELAH MEREKA MENGHADIRI BACAANNYA, BERKATALAH (SETENGAHNYA KEPADA YANG LAIN): \”DIAMLAH KAMU DENGAN SEBULAT-BULAT INGATAN UNTUK MENDENGARNYA!\” KEMUDIAN SETELAH SELESAI BACAAN ITU, KEMBALILAH MEREKA KEPADA KAUMNYA (MENYIARKAN AJARAN AL-QURAN ITU DENGAN) MEMBERI PERINGATAN DAN AMARAN.} (AL-AHQAAF 46:29)

  1. Allah ceritakan bahawa Dia telah hantar sekumpulan jin untuk datang mendengar bcaan al-Quran dan ajaran Rasulullah s.a.w.
  2. Mengikut kajian Ibnu Athiyah, semasa kejadian ini Rasulullah s.a.w tidak tahu dan tidak menyedarinya, hanya setelah diwahyukan oleh Allah s.w.t akan kisah ini baru Baginda tahu. Ini adalah pendapat Ibnu Abbas r.a.

Selepas itu bertalu-talu datang gerombolan jin untuk datang belajar dan beriman.

  1. Kata Ibnu Kathir mengikut kajiannya dengan beberapa jalur riwayat bahawa Rasulullah s.a.w tidak buat perjumpaan khas dengan golongan jin ini untuk mengajar mereka tentang agama.
  2. Riwayat Ibnu Mas\’ud pula Rasulullah s.a.w pernah ada temujanji khas dengan sekumpulan jin pada suatu malam untuk datang belajar dengan Baginda.

Hadis: Jin-jin yang beriman itu berbondong-bondong mendatangi Nabi s.a.w, mohon agar baginda membacakan Al-Quran kepada mereka. Nabi s.a.w pun memenuhi permintaan mereka.
Baginda membawa Abdullah bin Mas\’ud bersama. Mereka menuju ke sebuah tempat yang tinggi di daerah Makkah. Kemudian baginda membuatkan garis bulatan untuk memagari Abdullah bin Mas\’ud dengan menggunakan kakinya.
Nabi s.a.w memerintah Ibnu Mas\’ud agar tidak keluar dari garisan itu.
Nabi s.a.w berlalu meninggalkan Ibnu Mas\’ud. Baginda lalu berdiri dan mulai membaca Al-Quran. Ibnu Masud terdengar dengungan suara jin dan juga suara Nabi s.a.w dan beliau juga diusik oleh jin, tetapi jin itu tidak berani masuk ke dalam garisan yang Nabi telah lukiskan.
Tiba-tiba baginda dikerumuni oleh makhluk yang jumlahnya sangat banyak…sehingga Ibnu Mas\’ud ra terhalang dari melihat Nabi s.a.w dan tidak dapat mendengar suara baginda.
Setelah beberapa lama, makhluk-makhluk itu pergi berkelompok-kelompok seperti awan yang berbondong-bondong, tetapi masih tersisa sekelompok kecil dari mereka. Ketika fajar menyingsing, sekelompok kecil jin itu pun pergi meninggalkan Nabi s.a.w.
Kemudian Nabi s.a.w mendatangi Ibnu Mas\’ud ra. lalu bertanya kepadanya:
\”Apakah kamu tertidur?\”
Ibnu Mas\’ud menjawab, \”Tidak. Sesungguhnya berkali-kali saya ingin meminta pertolongan, tapi saya mendengarmu memberikan isyarat dengan ketukan tongkat kepada jin-jin itu agar mereka duduk.\”
Nabi s.a.w memberitahu Ibnu Mas\’ud ra,
\”Jika kamu keluar dari garis itu, aku tidak dapat menjamin keselamatan kamu dari sambaran sebagian mereka.\” [HR Bukhari].

  1. Kata Ibnu Hajar rhm. kita dapat kumpulkan dua pendapat ini dengan membuat kesimpulan bahawa:
    i- Yakni pada peringkat awal pertama kali itu, Baginda tidak tahu dan sedar akan pertemuan itu.

ii- selepas itu mereka datang untuk belajar dan menimba ilmu dari Nabi S.A.W.

  1. Para jin itu apabila mendengar bacaan Rasulullah s.a.w berpesan kepada sesama mereka agar diam dan khusyuk mendengarnya. Nampaknya setengah jin lebih baik daripada manusia yang bising dan bercakap dalam majlis ilmu.
  2. Selepas itu mereka kembali kepada kaumnya dan berdakwah kepada mereka tentang Islam. Begitulah kaum jin ada yang beriman ada yang tidak!

AYAT 30- {MEREKA BERKATA: \”WAHAI KAUM KAMI! SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENDENGAR KITAB (AL-QURAN) YANG DITURUNKAN (OLEH ALLAH) SESUDAH NABI MUSA, YANG MENEGASKAN KEBENARAN KITAB-KITAB SUCI YANG TERDAHULU DARIPADANYA, LAGI, MEMANDU KEPADA KEBENARAN (TAUHID) DAN KE JALAN YANG LURUS (AGAMA ISLAM).} (AL-AHQAAF 46:30)

  1. Jin itu berdakwah kepada kaumnya dengan berkata bahawa mereka mendengar al-Quran, satu kitab yang diturunkan sesudah Kitab Nabi Musa a.s. Ianya bertepatan dan membenarkan itab-kitab yang terdahulu.
  2. Kata ulama\’ ini menunjukkan golongan jin itu telah beriman dan tahu tentang Islam sebelum ini dengan beriman kepada Nabi Musa a.s dan Kitab Taurat yang turun kepadanya.
  3. Sifat dan fungsi al-Quran itu ialah:
    i-membenarkan kitab-kitab yang terdahulu.
    ii- memandu kepada tauhid.
    iii- dan ke jalan yang lurus yakni agama Islam.
  4. Kata Imam al-Hajar rhm. kata jin maksudnya: Al-Quran itu membawa kepada iktikad yang benar dan jalan lurus, mengajar untuk beramal dengan betul.

AYAT 31- {\”WAHAI KAUM KAMI! SAHUTLAH (SERUAN) RASUL (NABI MUHAMMAD) YANG MENGAJAK KE JALAN ALLAH, SERTA BERIMANLAH KAMU KEPADANYA, SUPAYA ALLAH MENGAMPUNKAN SEBAHAGIAN DARI DOSA-DOSA KAMU, DAN MENYELAMATKAN KAMU DARI AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AL-AHQAAF 46:31)

  1. Jin yang beriman berdakwah lagi kepada kaumnya supaya beriman, menerima ajaran Rasulullah s.a.w yang mangajak ke jalan Allah.
  2. Mereka juga memberitahu bahawa sesiapa yang beriman, Allah akan mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, memaafkan kesalah kamu & menutup aib kamu.
  3. Timbul persoalan kepada disebut hanya: {mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu}- bukan kesemua dosa?
  4. Kata ulama\’; ini kerana dosa itu terbahagi kepada dua:
    i- dosa dengan Allah s.w.t. Ini akan diampunkan dengan insaf bertaubat dan kembali kepada Allah s.w.t. Menyesali dan tidak akan mengulanginya lagi.

ii- dosa sesama manusia tidak akan terhapus dengan sendiri kecuali meminta maaf kepada tuannya dan menghantar balik apa yang diambil dengan tidak berhak.

  1. Jin juga faham bahawa kelebihan beriman akan menyelamatkan merekadari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

AYAT 32- {\”DAN SESIAPA TIDAK MENYAHUT (SERUAN) RASUL YANG MENGAJAKNYA KE JALAN ALLAH, MAKA IA TIDAK AKAN DAPAT MELEPASKAN DIRI (DARI BALASAN AZAB WALAU KE MANA SAHAJA IA MELARIKAN DIRI) DI BUMI, DAN IA TIDAK AKAN BEROLEH SESIAPAPUN – YANG LAIN DARI ALLAH – SEBAGAI PELINDUNG-PELINDUNG YANG MEMBELANYA; MEREKA (YANG DEMIKIAN SIFATNYA) ADALAH DALAM KESESATAN YANG NYATA\”.} (AL-AHQAAF 46:32)

  1. Jin juga memberi amaran kepada kaumnya, sesiapa yang tidak ikut dan tidak beriman akan menerima padahnya!
  2. Iaitu sesiapa yang tidak beriman kepada Allah, tidak mengikut ajaran Rasulullah s.a.w:
    i- maka ia tidak akan dapat melepaskan diri dari balasan azab walau ke mana sahaja ia melarikan diri di bumi ini.

ii- ia tidak akan beroleh sesiapapun – yang lain dari Allah – sebagai pelindung-pelindung yang membelanya;

iii- mereka yang demikian sifatnya adalah dalam kesesatan yang nyata.

  1. Yakni sesiapa yang ikut akan selamat, sesiapa yang tidak ikut akan binasa.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 29- {Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran;}- kata ulama\’ ayat ini adalah sebagai satu tempelakan dan celaaan kepada kaum kafir Quraisy yang duduk bersama Rasulullah s.a.w, mendengar al-Quran setiap hari TETAPI tidak beriman dan menolak ajaran Rasulullah s.a.w. Kamu menolak dan menentangnya, tetapi kaum jin yang lebih hebat daripada kamu beriman dengannya.

Ayat 29- { setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): \”Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!\”}- ayat ini mengajar adab dalam majlis ilmu, juga untuk beradab dengan guru yang sedang mengajar.

Jin mengajar kita untuk diam dan mendengar dengan khusyuk, menerima ilmu dan maklumat dengan tenang. Bukan berbual-bual atau berbuat bising yang tidak sepatutnya.

  1. Ayat 29- {Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.}- dalam ayat ini diceritakan golongan jin yang telah beriman kembali berdakwah dan mengajar kepada kaumnya.

Timbul persoalan apakah golongan jin ini ada nabi atau rasulnya yang tersediri? Atau mereka ikut Nabi kita Muhammad s.a.w? Kerana dikatakan dia kembali untuk memberi amaran (مُنْذِرِينَ) kepada kaumnya.

Kerana Firman Allah s.w.t: {Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (مُنْذِرِينَ) (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat),} (An-Nisaa\’ 4:165).

Jawapan: Mereka hanya sebagai pemberi amaran, bukan rasul. Ini kerana memberi amaran (مُنْذِرِينَ) lebih umum dari membawa risalah (الرسالة) kenabian atau kerasulan. Mereka memberi peringatan dan amaran sahaja, bukan semestinya sebagai seorang rasul.

Sebagaimana firman Allah s.w.t ini:
{Supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).} (At-Taubah 9:122)
Yakni mereka bukan rasul, hanya sebagai pemberi amaran kepada kaumnya.

Sesiapa yang kata golongan jin ada rasulnya yang tersendiri adalah pandangan yang ganjil dan terpencil, tidak boleh diterima.
Kata Imam as-Sayuti rhm. dalam Kitabnya tentang jin: Majoriti ulama\’ dari kalangan Salaf & Khalaf berpendapat bahawa tiada rasul dari kalangan jin. Ini kerana Rasulullah s.a.w diutuskan kepada manusia dan jin seluruhnya. Maka jin adalah pengikut & umat Rasulullah s.a.w juga.

Kisah jin di Madinah yang diceritakan oleh Syeikh Atiyah rhm., guru Abu Anas di Masjid Nabawi. Tentang kisah seorang Imam di Masjid Nabawi, iaitu Syeikh Abdul Aziz as-Soleh rhm. yang baru siap khatam mengajar sebuah Kitab di Masjid Nabawi.
Selepas selesai ramai anak muridnya yang bersalam dan mengucapkan terima-kasih kepadanya. Beliau lalu berjalan kaki pulang ke rumahnya yang tidak berapa jauh dari masjid, pada waktu malam.

Tiba di tengah jalan terdengar suara orang memberi salam dalam gelap. Syeikh bertanya siapa kamu?

Mereka berkata mereka adalah anak murid Syeikh dan memberitahu mahu mengucapkan terima kasih serta mahu pulang ke tempat mereka selepas khatam Kitab dengan Syeikh. Mereka mahu kembali mengajarannya pula kepada kaum mereka. Mereka adalah sekumpulan jin, tidak mahu muncul di masjid takut akan menimbulkan kekeliruan.

Dikatakan ramai jin yang berhijrah ke Madinah untuk mendalami Islam.

  1. Ayat 30- {Mereka berkata: \”Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa,}- kenapa jin ini kata selepas Nabi Musa a.s dan selepas kitab Taurat.
    Kata ulama\’ seperti al-Hasan al-Basri: Ini kerana golongan jin sebelum ini telah ada agama iaitu agama yahudi, beriman dengan Kitab Taurat. Mereka sudah ada pengetahuan dan maklumat awal, bila sampai maklumat terus dapat tangkap dan terimanya.

Melaluinya mereka sudah ada maklumat tentang Nabi Muhammad s.a.w. Kerana itu:
i-mereka mudah faham dan menerima ajaran Rasulullah s.a.w.

ii- untuk memberi peringatan kepada kaumnnya bahawa Nabi Muhammad s.a.w ini adalah yang diceritakan oleh nabi Musa a.s dalam kitab Taurat dulu. Maka jika kamu beriman kepada Taurat maka kena beriman kepadanya juga.

iii- Kerana Kitab Taurat itu adalah tonggak atau asas ajaran bagi kaum Bani Israil/yahudi. Ia juga tonggak kepada Kitab Injil yang melengkapkan Taurat.

Kerana itu apabila Rasulullah s.a.w pertama kali menerima wahyu, isterinya UM Khadijah r.a membawa Baginda berjumpa dengan sepupunya Waraqah bin Naufal, seorang ahli kitab Taurat.

Ayat ini juga menunjukkan bahawa jin itu yang soleh ada yang tidak.

  1. Ayat 30- {Mereka berkata: \”Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa,}- ini menunjukkan bahawa golongan jin itu beribadat dan mengikut Syari\’ah Kitab Taurat sebelumnya. Tetapi mereka faham dan tahu bahawa selepas diturunkan al-Quran ia tidak sah lagi, wajib tinggalkan ajaran dan pegangan kitab yang lama selepas adanya al-Quran. Bukan seperti golongan yahudi dan Nasrani yang ada, tidak mahu meninggalkan ajaran kitab mereka walaupun ia bukan yang asli & ajaran yang sebenar lagi.

Nampaknya dalam hal ini juga jin lebih daripada sesetengah manusia yang masih tidak mahu melepaskan amalan dan ajaran lama, amalan doa atau zikir dari nenek moyang atau seumpamanya walaupun telah diajar yang sahih dan jelas dari Nabi s.a.w.
Seperti orang hari ini, walaupun diajar doa dan zikir dari Perisai Muslim mereka masih mahu cari dan amal kitab-kitab lain lagi.

  1. Ayat 31- & Ayat 32- ayat ini sebagai dalil yang menunjukkan bahawa golongan jin itu juga ada taklif- iaitu kewajipan atau tanggung-jawab Syara\’. Sebagaimana dalam hadis siri yang sebelum ini.

Mukallaf- adalah orang yang dipertanggungjawabkan dengan kewajipan dan perintah untuk menjalankan hukum tuntutan agama Islam serta menjauhi larangan-Nya atas dasar orang tersebut sudah mencapai usia dewasa dan mempunyai akal (akil baligh) serta telah sampai seruan agama (Syariat Islam) kepadanya.

Ini kerana dalam ayat ini menunjukkan bahawa:
i- Allah s.w.t hantar mereka untuk mendengar dakwah Nabi s.a.w. Supaya mereka beriman, ikut ajaran Nabi & meninggalkan larangan.

ii- selepas dengar mereka balik dan beri peringatan kepada kaum masing-masing.

iii- mereka dengar al-Quran, lalu faham & tahu bahawa ia adalah petunjuk. Yakni mereka sudah ada ilmu tentangnya.

iv- mereka menyeru kaumnya untuk menyahut seruan Allah {أَجِيبُوا دَاعِيَ اللَّهِ} ini jelas menunjukkan bahawa mereka jin ada tanggung-jawab untuk beriman. Diperintahkan untuk menerima ajaran Rasulullah s.a.w.

v- Allah akan ampunkan dosanya { يَغْفِرْ لَكُمْ }- keampunan menunjukkan ada dosa/kesalahan.

vi- berdosa/bersalah menunjukkan ada taklif.

vii- jika beriman bebas dari azab Allah – hanya orang mukallaf kena azab.

viii- siapa tidak beriman dapat amaran keras, tak dapat lari dari azab Allah, tiada siapa dapat menolong di atas dunia ini.

Ini menunjukkan bahawa jin itu ada taklif seperti kita manusia.

Ada juga perbahasan yang mengatakan jin yang beriman ini hanya diampunkan dosanya tetapi tidak akan masuk syurga!

Jawapan: Tidak tepat kerana menyalahi apa yang disebut dalam al-Quran; yang mengatakan bahawa mereka akan selamat dari azab neraka; maka bermakna sebaliknya, iaitu selamat dari neraka & masuk syurga! Wallahu a\’lam.

Janganlah kita jadi lebih lemah daripada golongan jin yang apabila:
i- dengar kebenaran terus terima. Kita liat dan susah.
Apabila diajar zikir selepas solat yang sahih dari Rasulullah s.a.w. masih tidak mahu berubah.

ii- jin beradab dalam majlis ilmu.

iii- terus kembali berdakwah kepada kaumnya.

Satu lagi kisah jin.
Selepas Kuliah mereka bertanya kepada Rasulullah s.a.w adakah bahagian makanan untuk mereka?

Hadis dari Abu Hurairah r.a:
أَنَّهُ كَانَ يَحْمِلُ مَعَ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – إِدَاوَةً لِوَضُوئِهِ وَحَاجَتِهِ ، فَبَيْنَمَا هُوَ يَتْبَعُهُ بِهَا فَقَالَ مَنْ هَذَا . فَقَالَ أَنَا أَبُو هُرَيْرَةَ . فَقَالَ ابْغِنِى أَحْجَارًا أَسْتَنْفِضْ بِهَا ، وَلاَ تَأْتِنِى بِعَظْمٍ وَلاَ بِرَوْثَةٍ . فَأَتَيْتُهُ بِأَحْجَارٍ أَحْمِلُهَا فِى طَرَفِ ثَوْبِى حَتَّى وَضَعْتُ إِلَى جَنْبِهِ ثُمَّ انْصَرَفْتُ ، حَتَّى إِذَا فَرَغَ مَشَيْتُ ، فَقُلْتُ مَا بَالُ الْعَظْمِ وَالرَّوْثَةِ قَالَ هُمَا مِنْ طَعَامِ الْجِنِّ ، وَإِنَّهُ أَتَانِى وَفْدُ جِنِّ نَصِيبِينَ وَنِعْمَ الْجِنُّ ، فَسَأَلُونِى الزَّادَ ، فَدَعَوْتُ اللَّهَ لَهُمْ أَنْ لاَ يَمُرُّوا بِعَظْمٍ وَلاَ بِرَوْثَةٍ إِلاَّ
وَجَدُوا عَلَيْهَا طَعَامًا

\”Suatu hari Abu Hurairah membawa pada Nabi s.a.w bekas berisi air wudhuk dan hajat Baginda. Ketika dia membawanya, Nabi s.a.w bertanya, \’Siapa ini?.\’ Dia menjawab, \’Saya, Abu Hurairah.\’
Baginda pun berkata, \’Carilah beberapa biji batu untuk kugunakan bersuci. Dan jangan bawakan padaku tulang dan kotoran (najis binatang).

Kemudian aku mendatangi Baginda dengan membawa beberapa buah batu dengan hujung bajuku. Hingga aku meletakkannya di samping Baginda dan aku berlalu pergi.

Ketika Baginda selesai buang hajat, aku pun berjalan menghampirinya dan bertanya, \’Ada apa dengan tulang dan kotoran?.

Baginda bersabda, \’Tulang dan kotoran merupakan makanan jin. Keduanya termasuk makanan jin. Aku pernah didatangi rombongan utusan jin dari Nasibin dan mereka adalah sebaik-baik jin.
Mereka meminta bekal kepadaku. Lalu aku berdoa kepada Allah untuk mereka agar tidaklah mereka mejumpai tulang dan kotoran melainkan mereka mendapatkannya sebagai makanan.\’\” [HR Bukhari].

Nabi s.a.w juga bersabda;
لاَ تَسْتَنْجُوا بِالرَّوْثِ وَلاَ بِالْعِظَامِ فَإِنَّهُ زَادُ إِخْوَانِكُمْ مِنَ الْجِنِّ

\”Janganlah kamu beristinja\’ (membersihkan kotoran pada dubur) dengan kotoran dan jangan pula dengan tulang kerana keduanya merupakan bekal bagi saudara kamu dari kalangan jin.\” [HR Muslim & at-Tirmizi].

Semoga kita mendapat pengajaran dan faedah yang disampaikan, tetapi ia perlu kepada perhatian dan penelitian.

Powered by BetterDocs