View Categories

SURAH AL-\’ANKABUT : AYAT 1-7

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, ALLAH UJI HAMBA-NYA DENGAN PELBAGAI UJIAN & GALAKAN MUJAHADAH DAN BERAMAL SOLEH.

Full video : https://youtu.be/kv5qP3AjPlk

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini Isnin 13hb Safar 1443H bersamaan 20hb September 2021 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Ankabut.
  2. Surah Al-Ankabut, surah ke-29 dalam tertib susunan al-Quran, dalam juz ke 20 dan mengandungi 69 ayat.
  3. Hampir ittifaq ulama\’ tafsir mengatakan surah ini diturunkan di Makkah maka ia adalah surah Makkiyyah kecuali beberapa ayat ada ulama\’ kata turun di Madinah.
  4. Dinamakan surah ini Surah Al-Ankabut- perihal labah-labah yang disebut dalam ayat 41, sebagai misal perbandingan tentangnya.
  5. Terdapat beberapa athar, dari kata-kata sahabat yang menyebut namanya sebagai al-Ankabut.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menegaskan orang Islam tidak cukup hanya beriman dan mengaku Islam sahaja, wajib menghadapi ujian yang didatangkan oleh Allah s.w.t.
  2. Ujian itu untuk menentukan siapakah yang benar-benar beriman dengan sabar dan tabah menghadapinya dan siapa yang goyah lalu kecundang dalam ujian itu.
  3. Sabar itu ada tiga peringkat:
    i- sabar melakukan ketaatan melakukan ibadat yang diwajibkan.
    ii- sabar meninggalkan maksiat larangan agama yang wajib dijauhi.
    iii- sabar menghadapi ujian dari Allah Azza wa Jalla.
  4. Akan mendapat pahala dengan kesabarannya insya\’ Allah.
  5. Amal soleh akan menghapuskan dosa dan menggadandakan pahala.
  6. Arahan wajib taat kepada ibu bapa kecuali menyuruh dalam hal syirik dan mungkar.
  7. Dalil membuktikan kekuasaan dan keEsaan Allah s.w.t, kebenaran rasul-rasul-Nya, dalil hari Kiamat.
  8. Kebodohan kaum musyrikin yang menyembah benda-benda yang tidak dapat memberi faedah pertolongan dan mudharat kepada mereka. Perbuatan mereka ibarat labah-labah yang membuat sarang untuk berlindung dari bahaya sedangkan sarangnya itu amat rapuh dan lemah, tidak dapat memberi perlindungan.
  9. Allah s.w.t perintahkan kepada Rasulullah s.a.w dan kita semua agar membaca al-Quran, faham dan amalanya. Juga mendirikan solat dengan khusyuk agar dapat menjadi pencegah dari keburukan.
  10. Sentiasa ingat dan sebut Allah s.w.t kerana amat besar manfaatnya.
  11. Jika berbahas dengan ahli Kitab, bahaslah dengan cara baik dan lembut serta hujjah yang logik. Kecuali jika mereka agresif maka lawanlah dengan tegas dan agresif juga!
  12. Al-Quran datang dari Allah tanpa syak lagi serta terperlihara dalam hati orang-orang yang berilmu.
  13. Kaum muslimin bersama Rasulullah semasa di Makkah adalah lemah dan tertindas, diganggu dan dihalang dari menjalankan ibadat agamanya maka Allah s.w.t izinkan mereka untuk keluar berhijrah agar dapat beribadat dengan bebasnya.
  14. Surah ini diakhiri dengan menerangkan perjuangan suci yang wajib dijalankanoleh para nabi, rasul, pendakwah dan seluruh umat Islam selagi hayat dikandung badan.

TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :

  1. Menyatakan hakikat iman dan sunnah ibtila\’- ada ujian, fitnah, cbaran, maka kan terserlahlah halatuju orang beriman dan kafir. Perintah berbuat baik kepada Ibrahim
  2. Juga akan dibawa kisah episod 6 orang nabi iia Ibrahim, Lut, Soleh
  3. Allah s.w.t buat banding dengan rumah laba-labah yang sangat rapuh dan lemah walaupun nampak cantik.
  4. Arah kepada Rasulullah supaya baca al-Quran dan mendirikan solat.
  5. Larangan untuk berdebat dengan orang kafir kecuali dengan hujjah yang baik serta bagi bimbingan bagi orang beriman.
  6. Menegakkan hujjah bahawa al-Quran ini turun dri Allah s.w.t bukan rekaan Rasulullah s.a.w.
  7. Menerangkan kecelaruan fikiran orang kafir:
    i- tahu Allah s.w.t wujud dan yang menjadikan alam ini tetapi masih mencari tuhan lain untuk disembah.
    ii- ketika melalui mara bahaya bala di atas kapal di laut berdoa kepada Allah s.w.t, tetapi apabila selamat dan kembali ke daratan kembali menyembah berhala mereka!
  8. Allah s.w.t janjikan kepada hambanya yang beriman berjihad melawan nafsu atau musuh akan diberi bimbingan dan hidayah petunjuknya serta kemenangan akhirnya.

DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.

AYAT 1- {ALIF, LAM, MIIM.} الم (AL-ANKABUT 29:1)

  1. Surah ini dimulai dengan huruf yang terputus (al-Muqatta\’ah المقطعة – ), iaitu tulisan yang hurufnya bersambung tetapi dibaca satu persatu iaitu – ا,ل, م(Alif, Lam. Mim )
  2. Allah s.w.t mulakan beberapa surah dengan huruf terputus begini. Ini untuk menyatakan i\’jaz (mukjizat) al-Quran yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana makhluk.
  3. Ia juga mengambarkan bahawa kita sebagai manusia tidak dapat memahami dan tidak tahu apa-apa kecuali yang ingin diberitahu oleh Allah s.a.w dan Rasul-Nya s.a.w.
  4. Maksudnya wallahu a\’lam. Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui. Tetapi manusia pada hari ini amat sombong, samada kerana kejahilan atau ikut hawa nafsu.
    Ayat 2- {Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: \”Kami beriman\”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?}
    (Al-\’Ankabuut 29:2)
  5. Ayat kedua dalam surah ini tidak disebut tentang al-Quran sebagaimana dalam surah-surah lain yang dimulai dengan huruf terputus begini, ini kerana mengikut keadaan surah ini. Terdapat tiga surah yang begini iaitu Surah Maryam, al-Ankabut & Surah Ar-Rum, di mana ayat keduanya terus kepada cerita tentang kisah di dalam surahnya.
  6. Manusia tidak akan dibiarkan begitu sahaja, pasti akan ada ujian.
  7. Akan beroleh pahala atas ujian itu dan akan terserlah keimanan atau sebaliknya.
  8. Hadis manusia yang paling kuat ujiannya.
    Daripada Saad bin Abi Waqqas RA berkata: Aku pernah bertanya: \”Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berat ujiannya?\” Baginda menjawab: \”Golongan nabi, kemudian orang yang semisal mereka kemudian orang yang semisal mereka. Seseorang itu akan diuji berdasarkan agamanya maka jika agamanya kuat, ujiannya pun berat. Namun, jika agamanya lemah, ia akan diuji berdasarkan agamanya itu. Maka, ujian tidak akan berhenti menimpa seorang hamba sehingga ia akan meninggalkannya berjalan di atas muka bumi dengan tidak mempunyai satu kesalahan pun.\” [Riwayat Ahmad, at-Tirmizi].

AYAT 3- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH MENGUJI ORANG-ORANG YANG TERDAHULU DARIPADA MEREKA, MAKA (DENGAN UJIAN YANG DEMIKIAN), NYATA APA YANG DIKETAHUI ALLAH TENTANG ORANG-ORANG YANG SEBENAR-BENARNYA BERIMAN, DAN NYATA PULA APA YANG DIKETAHUI-NYA TENTANG ORANG-ORANG YANG BERDUSTA.} (AL-\’ANKABUUT 29:3)

  1. Sesungguhnya tiada manusia yang tidak diuji di atas dunia ini, semenjak bapa manusia nabi Adam a.s, orang dahulu begitu juga.
  2. Hadis: Seorang sahabat bernama Khabbab bin al-Art. Beliau berkata: Kami mengadu kepada Rasulullah SAW ketika Baginda S.A.W beralaskan sehelai kain di sisi Ka\’bah. Kami berkata: Tidakkah Baginda S.A.W memohon pertolongan kepada kami? Tidakkah Baginda S.A.W berdoa kepada kami? Lalu Baginda S.A.W bersabda:
    قَدْ كَانَ مَنْ قَبْلَكُمْ، يُؤْخَذُ الرَّجُلُ فَيُحْفَرُ لَهُ فِي الأَرْضِ، فَيُجْعَلُ فِيهَا، فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُجْعَلُ نِصْفَيْنِ، وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الحَدِيدِ، مَا دُونَ لَحْمِهِ وَعَظْمِهِ، فَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ، وَاللَّهِ لَيَتِمَّنَّ هَذَا الأَمْرُ، حَتَّى يَسِيرَ الرَّاكِبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَمَوْتَ، لاَ يَخَافُ إِلَّا اللَّهَ، وَالذِّئْبَ عَلَى غَنَمِهِ، وَلَكِنَّكُمْ تَسْتَعْجِلُونَ
    Maksudnya: \”Sesungguhnya sebelum daripada kamu, diambil lelaki lalu digali baginya lubang kemudian dihumbankan dia ke dalamnya. Terdapat juga yang didatangkan padanya dengan gergaji lalu gergaji tersebut diletakkan di kepalanya, kemudian digergajikan kepala tersebut sehingga terbelah kepada dua. Ada juga yang dicakar dengan cakaran besi sehingga memisahkan daging dan tulangnya. Ini semua tidak membuat mereka berpaling daripada agamanya (Islam). Demi Allah, akan sempurna perkara ini (Islam) sehingga seseorang pengembara itu mampu berjalan dari San\’a hingga ke Hadharamaut dan dia tidak takut melainkan Allah SWT dan tidak risau serigala akan menerkam kambingnya. Akan tetapi kamu tergesa-gesa (inginkan kemenangan atau hasil)\”. [Riwayat al-Bukhari (6943)]
    Yakni Rasulullah s.a.w menceritakan berkaitan kepentingan sabar, bahawa sebelum daripada mereka terdapat golongan yang diazab dan diseksa lebih teruk daripada mereka. Akan tetapi mereka tetap bersabar dengan ujian ini dan mereka sesekali tidak berpaling daripada agama ini.
  3. Maka dengan ujian itu akan nyatalah sesiapa yang beriman dan siapa yang berdusta.
  4. Tetapi kita sebagai orang beriman jangan sesekali minta ujian dari Allah bahkan mintalah kebaikan dunia dan akhirat yang diajar oleh Allah s.w.t sendiri. Takut kita tidak akan mampu dan tidak bersabar ke atasnya maka ia akan menjadi bala yang sebenar!
  5. Zikir pagi-petang ibarat perisai atau baju besi bagi mereka yang nak pergi berperang. Antara doa yang sangat indah:
    اللَّهُمَّ إنِّي أَسْأَلُكَ العَفْوَ وَالعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، اللَّهُمَّ إنِّي أَسْأَلُكَ العَفْوَ وَالعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ، وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي، وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي
    Ertinya:
    \”Ya Allah, sesungguhnya aku memohon padaMu keampunan dan keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah sesungguhnya aku memohon padaMu keampunan dan keselamatan dalam Agama, Dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutupilah aurat (aib dan kekurangan)ku dan berilah ketenteraman di hatiku. Ya Allah jagalah aku dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atasku, serta aku memohon perlindungan dengan keagunganMu agar tidak disambar (hal buruk) dari bawahku.\” [HR Abu Daud & Tirmizi].

AYAT 4- {BAHKAN PATUTKAH ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN KEJAHATAN MENYANGKA BAHAWA MEREKA AKAN TERLEPAS DARI AZAB KAMI? AMATLAH BURUK APA YANG MEREKA HUKUMKAN ITU. (AL-\’ANKABUUT 29:4)

  1. Jangan kita sangka Allah s.w.t akan membiar dan melepaskan saja orang yang buat kejahatan itu.
  2. Ingatlah amat buruk sekali sangkaan buruk itu. Kita sudah lihat banyak pengakhiran orang-orang yang zalim dalam ayat-ayat sebelum ini. Firaun, Haman dan Qarun. Semuanya dibinasakan Allah s.w.t akibat kezaliman dan perbuatan buruk mereka.
  3. Kita minta berlindung dari kemurkaan Allah s.w.t. serta sangkaan buruk yang boleh membawa kepada kesesatan.

AYAT 5- {SESIAPA YANG PERCAYA AKAN PERTEMUANNYA DENGAN ALLAH (UNTUK MENERIMA BALASAN), MAKA SESUNGGUHNYA MASA YANG TELAH DITETAPKAN OLEH ALLAH ITU AKAN TIBA (DENGAN TIDAK SYAK LAGI); DAN ALLAH JUALAH YANG MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI. (AL-\’ANKABUUT 29:5)

  1. Semua hukuman dan pembalasan ini akan berlaku dan berimanlah dengan kebangkitan semula.
  2. Pertemuan dengan Allah s.w.t pasti akan tiba. Ia akan berlaku tanpa ragu dan syak.
  3. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

AYAT 6- {DAN SESIAPA YANG BERJUANG (MENEGAKKAN ISLAM) MAKA SESUNGGUHNYA DIA HANYALAH BERJUANG UNTUK KEBAIKAN DIRINYA SENDIRI; SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KAYA (TIDAK BERHAJATKAN SESUATUPUN) DARIPADA SEKALIAN MAKHLUK. (AL-\’ANKABUUT 29:6)

  1. Setiap usaha dan perjuangan kita hanya untuk diri kita sendiri.
  2. Sebagaimana keadaan kamu, begitula Allah akan hantar pemimpin kamu.
  3. Kamu beribadat, melawan nafsu dan mujahadah diri, segalanya untuk kebaikan kamu sendiri.
  4. Allah s.w.t tidak berhajat sedikitpun dengan ibadat dan kebaikan yang dilakukan oleh sekelian makhluk.

AYAT 7- {DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN SERTA BERAMAL SOLEH SESUNGGUHNYA KAMI AKAN HAPUSKAN DARI MEREKA KESALAHAN-KESALAHAN MEREKA, DAN KAMI AKAN MEMBALAS APA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN – DENGAN SEBAIK-BAIK BALASAN. (AL-\’ANKABUUT 29:7)

  1. Allah nyatakan dengan jelas lagi apa yang patut kita buat untuk dekatkan diri kita dengan Allah s.w.t.
  2. Syarat yang pertama ialah iman yang jitu dan mantap kepada Allah s.w.t.
  3. Syarat kedua ialah beramal dengan amal yang soleh. Syarat diterima amal itu pula:
    i-ikhlas kerana Allah s.w.t.
    ii- ikut ajaran sunnah Rasulullah s.a.w.
    Ini dalam perkara ibadat- asalnya semua dilarang kecuali yang datang dari al-Quran dan diajar oleh sunnah Nabi s.a.w.
  4. Manakala dalam hal muamalat pula semuanya harus kecuali yang dinyatakan haram dan dilarang.
  5. Sesiapa yang beramal soleh:
    i- Allah akan hapuskan kesalahan mereka.
    ii- akan dibalas amalan mereka itu sebaik-baiknya.
    Balasan baik dunia- dapat istiqomah beribadat, mati dalam husnul-khatimah, kubur menjadi taman Syurga, di padang Mahsyar duduk di bawah bayangan Arasy, dapat minum air kolam Nabi s.a.w, melintas titian Sirat seperti kilat, dalam Syurga selepas bersenang-senang dengan nikmatnya, Allah s.w.t berfirman untuk memberi nikmat yang paling besar lagi. Iaitu Allah s.w.t akan buka hijab dan dapat melihat-Nya!!!!
    Ya Allah semoga kita semua menjadi hamba yang diredhai dan mendapat nikmat yang agung itu.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Allah s.w.t uji hamba-Nya dengan dua perkara- pertama dengan arahan perintah dan larangan- adakah kamu sudah tunaikannya?
    Kamu ada harta, kaya raya tetapi adakah sudah selesai rukun Islam?
    Kamu diberi kesihatan – tetapi adakah tunai ibadat dengan sempurna?
  2. Allah s.w.t uji manusia ujian dengan bala dari sudut kehidupan, seperti sakit, tiada kerja, rezeki dan lain-lain. Juga bala dari sudut runtuh ukhuwwah dengan sebab covid amat besar juga- umat Islam berpecah kepada dua, yang ambil vaksin & anti-vaksin, yang tolak fatwa solat jarak sah, yang percaya akan teori konspirasi dan lain-lain.
  3. Ujian Allah itu adalah seumpama api pembakar besi untuk lihat siapa yang benar dan siapa yang bohong. Siapa yang kuat dan tetap hatinya, siapa yang akan mudah goyah.
  4. Ujian Allah ini telah lama berlaku semenjak orang terdahulu, sejak dari Nabi Adam a.s dan para anbiya\’ yang lalu.
  5. Ayat 2- {Patutkah manusia menyangka bahawa mereka ..} Ayat-ayat yang Allah tanya adakah kamu sangka: أَحَسِبَ النَّاسُ ini ada 4 dalam al-Quran itu ayat 2 ini dan:
    i- { Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu?} [Al-Baqarah: 214].
    ii- { Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga..} [Aal-Imran: 142].
    iii- {Adakah kamu menyangka, bahawa kamu akan dibiarkan (dalam keadaan kamu yang ada itu…} [At-Taubah: 16]
    Dalam ayat-ayat ini ada rahsia dan hikmah yang tersendiri, datuk kita Adam diuji di dalam syurga sehingga terkeluar dari Syurga, jadi tugas kita untuk mencari jalan agar kita layak menjadi penghuni syurga semula, kewajipan kita dengan beriman dan beramal soleh untuk kembali ke syurga insya\’ Allah.
  6. Ayat 4- {Bahkan patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas dari azab Kami? – jangan sedap hati, bukan hanya orang kafir akan diambil tindakan, orang beriman yang buat maksiat juga akan mendapat balasannya.
  7. Sesiapa yang yakin akan bertemu dengan Allah, tempohnya tidak lama akan datang. Maka perbanyakan ibadat, ikhlaskan niat Lillah Taala, ikut sunnah Nabi s.a.w.
  8. Orang yang berpegang dengan sunnah akan diuji, samada dengan tentangan dari keluarga sendiri dan masyarakat sekeliling. Nabi s.a.w telah dikecam sebagai orang gila, tukang sihir dan lain-lain. Begitulah sesiapa yang berpegang di sunnah akan diserang dan dibenci oleh manusia yang menentangnya.
  9. Ayat 6- {Dan sesiapa yang berjuang..} – kewajipan kita bermujahadah, insya\’ Allah akan ditolong oleh Allah s.w.t, akan datang waktu kemanisan iman mengatasi nafsu yang lagha. Tetapi ia bukan senang dan memerlukan usaha dan istiqomah yang kuat!
  10. Ayat 5- {Sesiapa yang percaya akan pertemuannya dengan Allah} – sesiapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah, akan datang tempohnya dengan segera. Setelah mereka bermujahadah Allah akan bagi jalan petunjuk kepadanya.

Powered by BetterDocs