MENYERAHKAN GADAIAN JAMINAN HUTANG, TUNAIKAN AMANAH HUTANG & ILMU ALLAH SWT MELIPUTI SEMUA PERKARA.
Full video : https://youtu.be/_k9L8vqoBk0?si=UxnPCT5WINJ_8av-
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 283 sehingga ayat 284 bagi surah Al-Baqarah. Surah yang kedua dalam juzu’ yang ketiga. Sudah menghampiri akhir surahnya.
- Dalam siri ini masih lagi berkait dengan tajuk sebelum ini iaitu tentang hutang yang hendaklah secara bertulis atau dibawa saksi.
- Dalam ayat ini Allah SWT beri kelonggaran untuk menyerahkan gadaian sebagai jaminan hutang jika tidak dapat ditulis perjanjiannya & tiada saksi. Ia dibenarkan bukan hanya ketika musafir tetapi ketika waktu biasa juga.
- Juga perintah untuk menunaikan amanah & bayar hutang jika kamu orang yang beriman.
- Kemudian Allah menyatakan bagi-Nya langit & bumi serta ilmu Allah SWT meliputi semua perkara. Maka jangan kamu kelentong buat perkara yang salah kerana semuanya diketahui Allah SWT.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT suruh tulis secara terperinci tentang perjanjian hutang.
ii- Maka dalam ayat ini Allah bawa hukum lain pula iaitu; jika tidak dapat ditulis perjanjian itu sama ada tidak ada jurutulis, saksi juga tidak ada; maka boleh kita letakkan gadaian atau cagaran sebagai jaminan kepada hutang itu! - Yakni Allah SWT benarkan urusan gadaian ini sebagai satu kemudahan bagi manusia menjalani urusan kewangannya.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 283- {DAN JIKA KAMU BERADA DALAM MUSAFIR (LALU KAMU BERHUTANG ATAU MEMBERI HUTANG YANG BERTEMPOH), SEDANG KAMU TIDAK MENDAPATI JURUTULIS, MAKA HENDAKLAH DIADAKAN BARANG GADAIAN UNTUK DIPEGANG (OLEH ORANG YANG MEMBERI HUTANG). KEMUDIAN KALAU YANG MEMBERI HUTANG PERCAYA KEPADA YANG BERHUTANG (DENGAN TIDAK PAYAH BERSURAT, SAKSI DAN BARANG GADAIAN), MAKA HENDAKLAH ORANG (YANG BERHUTANG) YANG DIPERCAYAI ITU MENYEMPURNAKAN BAYARAN HUTANG YANG DIAMANAHKAN KEPADANYA, DAN HENDAKLAH IA BERTAQWA KEPADA ALLAH TUHANNYA. DAN JANGANLAH KAMU (WAHAI ORANG-ORANG YANG MENJADI SAKSI) MENYEMBUNYIKAN PERKARA YANG DIPERSAKSIKAN ITU. DAN SESIAPA YANG MENYEMBUNYIKANNYA, MAKA SESUNGGUHNYA IA ADALAH ORANG YANG BERDOSA HATINYA. DAN (INGATLAH), ALLAH SENTIASA MENGETAHUI AKAN APA YANG KAMU KERJAKAN.} (AL-BAQARAH 2:283)
- Ayat ini membawa hukum gadaian- sebagai jaminan atau pegangan kepada hutang kita agar orang tidak bawa lari! Barang itu akan berada dengan tuan hutang sehinggalah penghutang membayar balik hutangnya.
- Ia asalnya ketika musafir, jika susah nak cari jurutulis & dua orang saksi yang dipercayai; maka bolehlah beri barang berharga yang dibawa sebagai gadaian untuk hutang yang diambil.
Gadaian itu sebagai jaminan kepada hutang itu, jika si penghutang lari atau tidak mampu bayar hutang sehingga ke akhirnya tuan hutang boleh jual barang gadaian itu- tolak hutangnya dan baki duit serahkan kembali kepada keluarga-Nya. - Jika si pemberi yakin, kenal dan percaya kepada orang yang berhutang sebagai seorang yang amanah, berintegriti lalu diberinya hutang dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian.
- Maka hendaklah orang yang dipercayai & diberi hutang dengan mudah itu menunaikan hutangnya. Jaga amanah, jangan jadi pembelot & penipu serta khianati kepercayaan yang diberi itu! Hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya.
Nak tuntut tak ada perjanjian, tak ada saksi atau gadaian, maka hanya dhamir diri (integrity) & iman seseorang itu saja yang dapat menjadi jaminan & amanah. - Kemudian Allah SWT berpesan kepada para saksi pula agar amanah & jujur. Janganlah kamu wahai orang-orang yang menjadi saksi menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu.
- Sesiapa yang menyembunyikan persaksiannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya.
- Dan ingatlah, kita sentiasa dibawah pemerhatian Allah dan Dia sentiasa Mengetahui akan apa yang kita kerjakan.
- Hutang ini adalah satu muamalat yang dibenarkan dalam Islam & gadaian (الرهن) adalah salah satu cara sebagai jaminan hutang. Ia dibenarkan ketika tidak musafir pun, disebut ketika musafir sebagai ghalib kebiasaan terjadinya, ketika dalam musafir apabila tidak ada jurutulis atau saksi.
- Hadis- Nabi SAW pernah gadaikan baju besinya kepada seorang yahudi dengan 20 gantang gandum sebagai makanan untuk keluarganya:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ: اشْتَرَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا وَرَهَنَهُ دِرْعَهُ
“Dari Sayyidah Aisyah r.a bahawa Rasulullah SAW pernah membeli makanan dari seorang Yahudi (Abu Syahm) dan menggadaikan baju perangnya kepada Yahudi tersebut”. [HR Bukhari & Muslim]. - Alhamdulillah di negeri Kelantan bermulanya dibuka syarikat ar-Rahnu untuk orang Islam berhutang secara gadaian secara patuh Syari’ah. Sekarang terdapat banyak cawangannya & syarikat seumpamanya di seluruh Malaysia!
- Sistem gadaian Islam diperlukan kerana kebiasaan masyarakat Melayu Islam suka bergadai untuk berhutang- jadi ianya dapat menyelamatkan mereka daripada terjebak dengan sistem gadaian konventional yang ada riba.
AYAT 284- {SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN YANG ADA DI BUMI ADALAH KEPUNYAAN ALLAH. DAN JIKA KAMU MELAHIRKAN APA YANG ADA DI DALAM HATI KAMU ATAU KAMU MEMYEMBUNYIKANNYA, NESCAYA ALLAH AKAN MENGHITUNG DAN MENYATAKANNYA KEPADA KAMU. KEMUDIAN IA MENGAMPUNKAN BAGI SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA DAN MENYEKSA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT UNDANG-UNDANG PERATURANNYA) DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-BAQARAH 2:284)
- Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah; maka jika kamu menzahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan tetap mengetahuinya.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam dua ayat yang lepas Allah SWT nyatakan:
diakhir ayat 282: {Dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.}
dan akhir ayat 283: {Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan}
ii- Maka datang ayat 284 ini Allah nyatakan pula bahawa : {Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu.} - Maka ayat ini adalah:
i- Sinonim dengan dua hujung ayat yang lepas iaitu tentang hutang, saksi & perjanjian iaitu jangan menipu, jangan sembunyi, Allah SWT mengetahui semuanya.
ii- Nampaklah munasabah susunan ayat yang amat dekat yang menunjukkan kepada dalil tauhid keEsaan Allah SWT. Allah telah beri kepada kita segala perkara yang telah dibincangkan dalam ayat-ayat yang lepas dalam banyak sudut seperti tauhid, kenabian, kebangkitan semula, solat, zakat, puasa, haji, hudud, qisas, jihad, nikah-talaq, iddah, haidh, khuluq, ila’. Pemnyusuan, riba, jual-beli & cara-cara berhutang.
iii- Maka munasabahlah Allah Ta’ala tutup semua perbincangan itu dengan mengatakan semua langit-bumi & isi kandungannya adalah milik Allah. Kamu orang Islam percayalah kepada undang-undang Allah Azza wa Jalla jika kamu nak jadi hamba Allah yang baik.
Jika tidak kamu akan jadi manusia yang tidak betul. Semua yang kamu sembunyikan & zahirkan semua di dalam pengetahuan Allah SWT! - Dalam ayat ini Allah beri peringatan segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah!
- Allah mengetahui apa saja yang kamu buat, sama ada yang kamu zahirkan di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu.
Yakni Allah akan ambil tindakan semuanya sama ada yang kamu zahirkan atau yang kamu sembunyikan. - Ulama’ tafsir berbeza pendapat tentang tafsiran ayat ini.
Apakah Allah akan ambil kira (hisab) juga apa yang tersembunyi dalam hati kita pun?
Ada ulama’ kata tidak : Ayat ini telah dimansukhkan. - Ada juga ulama’ salaf mengatakan ayat ini tidak dimansukh tetapi kena dibaca bersama firman Allah SWT ini:
{Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.} (Al-Baqarah 2:286) - Yakni ia bukan bermakna jika ada lintasan hati yang tidak baik- Allah akan hisab & ambil tindakan ke atas perasaan dalam hati kita.
Allah tidak akan ambil kira kesalahan khawatir (lintasan) hati, kerana ia adalah payah untuk dikawal. Tetapi apabila kita melakukannya baru dihisab kerana perbuatan kita boleh kawal! Alhamdulillah. - Betapa rahmatnya Allah SWT sebagaimana hadis Rasulullah SAW ini:
i- Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa sabda Rasulullah SAW: إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي مَا حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَتَكَلَّمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memaafkan umatku ke atas apa yang terlintas di dalam dirinya selama dia tidak melakukannya atau bercakap tentangnya.” [HR al-Bukhari, no. 5269].
ii- Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, daripada Nabi SAW, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Tuhannya telah berfirman:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ، فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ، وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Maka barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi. Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan.” [HR al-Bukhari, no. 6491] - Niat baik saja terus dapat pahala; tetapi niat buat jahat selama tak keluar dari mulutnya atau sehingga dia buat tidak akan dapat dosa.
- Kerana itulah pada malam-malam sebelum kita tidur, berniatlah, buat perancangan untuk buat kebaikan, nak pergi masjid, nak tolong orang, berazam untuk baca Quran, dengar Kuliah, nak belajar dan lain-lain kebajikan- semuanya berpahala.
- Alhamdulillah Allah SWT ini Maha kaya dan Pemurah, Allah nak beri syurga kepada kita ini dengan pelbagai jalan.
Tetapi kadang-kadang malangnya nasib, syurga yang begitu luas & banyak pintunya; kita yang tak jumpa jalannya, buat tak lalu- dalilnya tidak berniat baik & tidak bercita-cita nak buat baik!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 283- {Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang).}-
Dalam ayat ini Allah SWT beri satu lagi hukum untuk memudahkan urusan berhutang iaitu dengan gadaian.
Allah berikan kemudahan jika dalam musafir dan mahu berhutang tetapi tiada penulis untuk menulis perjanjian itu, tiada orang lain untuk menjadi saksi; maka Allah berikan sistem gadaian.
Hukum Syari’ah ini untuk menjaga hak manusia ke atas manusia lain. Wajib kita amanah dalam menjaga hak & harta orang, ia bukan satu perkara yang mudah & main-main.
Kerana dosa kita kepada Allah dengan dosa kepada manusia berbeza:
i- Dosa dengan Allah cukup sekadar insaf & bertaubat, istihgfar serta melakukan amal ibadat; kita pergi haji, umra, taubat dan lain-lain.
ii- Tetapi dosa dengan manusia selain minta maaf kita kena pulangkan kembali hak & barangnya yang diambil! Inilah yang kita takut- takut kita banyak dosa dengan orang!
Ini adalah 5 perkara asas dalam (الضروريات الخمس) hidup manusia yang wajib dijaga; jaga agama, nyawa, harta, keturunan & akal. Semua agama menyetujuinya.
Alhamdulillah senangnya hidup kita ini dengan adanya Syari’ah perundangan yang lengkap & sempurna.
Boleh baca kedua kitab ini untuk kefahaman yang lebih jelas:
KEINDAHAN ISLAM https://dartaibah.com/?page_id=179…
ISLAM ADALAH CARA HIDUP https://dartaibah.com/?page_id=179… - Ayat 283- {Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya.}-
Jika seseorang diberi hutang dan urusan itu tidak ditulis, tidak ada saksi dan tidak ada gadaian, sama ada kerana orang itu dipercayai atau kerana cuai tidak ambil berat hukum ini. Maka Allah kata hendaklah dia sendiri menjaga amanah itu, jangan khianati kepercayaan orang, tunaikan amanah atau hutang itu bila sampai waktunya.
Syari’at Islam tidak galakkan berhutang tanpa keperluan yang mendesak. Jika terpaksa barulah berhutang! Apatah lagi berhutang untuk pergi haji atau umrah.
Pendapat pribadi AAM : Tidak setuju orang berhutang untuk pergi umrah atau haji jika tidak mampu lagi. Pergi sekejap tetapi akan terbelenggu menanggung hutang bagi tempoh yang lama!
Kata ulama’ salaf : الدين هم بالليل وذل بالنهار Hutang itu satu tekanan (kedukaan) pada waktu malam; dan kehinaan pada waktu siang!
Sentiasalah kita membaca antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW ini:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan (stress yang akan berlaku) dan kesedihan (yang telah berlaku). Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.” [HR Bukhari].
Sabda Rasulullah SAW lagi: “Sesiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya.” [HR Bukhari]. - Ayat 284- {Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah.}-
Ayat ini menunjukkan mengisbatkan sifat sempurnaan dan kekuasaan & ilmu Allah SWT dalam penciptaan & pentadbiran-Nya. Maka wahai orang yang berhutang jangan kamu main-main, jangan cuba kelentong & jangan khianati kepercayaan yang orang beri kepada kamu. Nanti Allah akan campakkan ke ats kepala kamu kembali yakni balasnya kembali! - Ayat 284- {Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu.}-
Apabila turun ayat ini para sahabat mula berasa runsing dan takut! Jika Allah ambil kira apa yang ada atau terlintas dalam hati, maka banyaklah dosa kita!
Tetapi para ulama’ tafsir kata tidak begitu maksud ayat ini, ianya harus dibaca dengan ayat ini juga:
{Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.} (Al-Baqarah 2:286)
Allah tidak akan ambil kira atau hisab lintasan atau niat sahaja, namun jika berniat jahat kemudian dilakukan, dizahirkan kejahatannya; maka ada balasannya.
Allah akan ambil tindakan atas segala perbuatan kita yang baik atau buruk.
Yakni seorang manusia itu tidak akan dikira atas niatnya kecuali jika berniat buruk di Makkah.
Sebagaimana firman Allah SWT ini:
{Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta menghalangi manusia dari jalan Allah (agama Islam), dan dari memasuki Masjid Al-Haraam (Makkah) yang Kami jadikan dia tempat beribadat untuk seluruh umat manusia (yang beriman) – sama ada yang tinggal menetap di situ atau yang datang berziarah; dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.} (Al-Hajj 22:25)
Ini adalah antara kelebihan Tanah Haram Makkah. Boleh lihat dalam:
MAKKAH MUKARRAMAH https://dartaibah.com/?page_id=179…
Kata ahli fikir : Perkataan & ucapan kita selagi berada di dalam mulut kita yang akan menguasainya. Apabila ia keluar ia akan menguasai kita kerana kita akan bertanggung-jawab terhadap kata-kata & janji kita! - Ayat 284- {Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya)}-
Ini kuasa Allah SWT; Dia beri keampunan kepada sesiapa yang dikehedaki-Nya.
Tetapi bukan saja-saja, semua tindakan Allah bersebab & berhikmah..
Jika Allah beri rezeki & limpah kurnia kepada seseorang; itu adalah dengan kasih dan rahmat-Nya.
Jika Allah azab seorang hamba-Nya pual; itu kerana keadilan-Nya- yakni sebagai hukuman atas kejahatan & kesalahan yang dilakukan. Allah tidak akan menzalimi hamba-Nya.
Kita ahlus-Sunnah percaya & beriman bahawa setiap sesuatu itu berlaku dengan kehendak Allah SWT.
Manakala iradah (kehendak) itu ada dua iaitu:
i- Iradah Syar’iyyah (الإرادة الشرعية).
ii- Iradah kauniyyah (الإرادة الكونية).
Boleh tengok pula buku Rukun Iman ini: https://dartaibah.com/?page_id=179…
Semoga Allah SWT letakkan kita dibawah rahmat, belas kasihan dan ihsan-Nya, segala kebaikan kita diberi pahala, semua kesalahan kita diampunkan dan Allah masukkan kita ke dalam syurga. Amin ya Rabbal-Alamin.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.