ORANG BODOH MENOLAK DAKWAH NABI IBRAHIM, WASIAT IBRAHIM DAN YA’KOB & SEMUA MEREKA TELAH BERLALU.
Full video : https://youtu.be/HmOJ-vUIIZE?si=vqdGpveLXeEjARzE
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah tafsir dalam ayat 130 sehingga ayat 134 bagi surah Al-Baqarah, surah yang kedua dalam juzu’ yang pertama.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa orang bodoh (سَفِهَ) yang menolak dakwah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail & dakwah nabi kita Muhammad SAW. Orang cerdik akan terima orang bodoh akan tolak.
- Allah ceritakan tentang wasiat Nabi Ibrahim AS kepada anak-anaknya juga cucunya Nabi Ya’kob AS yang berwasiat sedemikian juga kepada anak cucunya.
- Kemudian Allah tanya kepada yahudi apakah mereka hadir ketika Nabi Ya’kob nak mati & ketika dia berpesan kepada anak cucunya agar terus berpegang dengan agama Allah yang suci ini & kekalkan tauhid kepada-Nya?
- Pada ayat akhir Allah nyatakan bahawa semua mereka adalah umat yang telah pergi, umat yang telah berlalu zamannya.
Tetapi yang tinggal lagi adalah amalan yang mereka lakukan.
- Sama seperti kita yang hidup atas dunia hari ini, sekarang kita ada, nanti apabila waktu kita sudah tiada, kita tidak ada atas dunia tetapi kesan amalan kita berkekalan di dalam kubur dan akan dibawa bersama ke akhirat yang akan menentukan kita sama ada layak ke syurga atau tidak. wal-‘iyazubillah.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيم
AYAT 130- {TIDAK ADA ORANG YANG MEMBENCI AGAMA NABI IBRAHIM SELAIN DARI ORANG YANG MEMBODOHKAN DIRINYA SENDIRI, KERANA SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MEMILIH IBRAHIM (MENJADI NABI) DI DUNIA INI; DAN SESUNGGUHNYA IA PADA HARI AKHIRAT KELAK TETAPLAH DARI ORANG-ORANG YANG SOLEH YANG (TERTINGGI MARTABATNYA).} (AL-BAQARAH 2:130)
- Yakni tidak siapa yang lari daripada ajaran agama Nabi Ibrahim AS kecuali orang itu adalah seorang yang jahil, bodoh, tidak cerdik dan seumpamanya.
- Munasabah ayat:
i- Setelah Allah SWT menyebutkan bahawa Dia menguji Ibrahim dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan) lalu Ibrahim menunaikannya & lulus ujian.
Kemudian Allah memerintahkannya membina Ka’ bah dan menyucikannya untuk ibadah, daripada segala jenis kekotoran najis syirik & kotoran lain.
Allah nyatakan bahawa agama yang dibawa oleh nabi Ibrahim ialah agama yang benar iaitu tauhid dan bergantung hati kepada Allah Azza wa Jalla.
Kemudian Allah bawa kepada kita lima doa permohonan nabi Ibrahim & nabi Ismail AS yang telah diluluskan oleh Allah SWT!
ii- Maka pada hari ini adalah amaran kepada yang menentang! Tidak ada siapa yang lari daripada agama Nabi Ibrahim & agama Islam kecuali seorang itu orang yang jahil, bodoh tidak cerdik yang tidak mendapat petunjuk!
- Lalu Allah memberi peringatan kepada kita agar jangan menjadi seperti golongan yang bodoh ini!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
{Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik. Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya – umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman.} (Ali-‘Imraan 3: 67-68)
- Allah juga isytiiharkan bahawa Dia yang memilih Nabi Ibrahim untuk menjadi nabi, imam dan pemimpin ikutan kepada manusia atas dunia ini.
Yakni Allah beri hidayah petunjuk & taufiq supaya dia beriman kepada Allah, dan beramal sehingga dia mendapat pangkat kekasih Allah (خليل الرحمن) dan pemimpin yang murni aqidah & tauhidnya (إمام الحنيف) bagi manusia.
- Firman Allah juga tentang ini:
{Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah merupakan “satu umat” (walaupun Ia seorang diri); ia takat bulat-bulat kepada Allah, lagi berdiri teguh di atas dasar tauhid; dan ia tidak pernah menjadi dari orang-orang yang musyrik. Ia sentiasa bersyukur akan nikmat-nikmat Allah; Allah telah memilihnya (menjadi Nabi) dan memberi hidayah petunjuk kepadanya ke jalan yang lurus. Dan Kami telah memberikan kepadanya kebaikan di dunia; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat adalah dari orang-orang yang soleh.
Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.} (Al-Nahl 16: 120-123)
- Selain mejadi pilihan Allah atas dunia ini, Nabi Ibrahim AS juga di akhirat kelak dari orang yang bahagia, ceria, yang mendapat kemenangan & kebertuahan. Bersama orang-orang yang soleh yang tertinggi martabatnya bersama para nabi & rasul AS, solihih, syuhada’ yang lain.
- Ini adalah jawapan kepada doa Nabi Ibrahim sebelum ini, Allah telah makbul & merealisasikannya.
{“Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan agama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh;} (Asy-Syu’araa’ 26:83)
AYAT 131- {(INGATLAH) KETIKA TUHANNYA BERFIRMAN KEPADANYA: “SERAHKANLAH DIRI (KEPADAKU WAHAI IBRAHIM)!” NABI IBRAHIM MENJAWAB: “AKU SERAHKAN DIRI (TUNDUK TAAT) KEPADA TUHAN YANG MEMELIHARA DAN MENTADBIRKAN SEKALIAN ALAM”.} (AL-BAQARAH 2:131)
- Ingatlah! Allah ingatkan apabila Dia perintahkan Nabi Ibrahim untuk murnikan aqidahnya, mantapkan imannya, tunduk taat kepada Tuhannya.
- Nabi Ibrahim terus menjawab tanpa bertangguh: Bahawa dia berserah diri, akan patuh & tunduk taat kepada segala perintah Allah, Tuhan sekelian alam!
- Inilah sikap nabi Ibrahim AS yang tidak pernah membantah, melengah-lengahkan perintah Allah SWT, terus menyahut & melaksanakan perintah-Nya.
AYAT 132- {DAN NABI IBRAHIM PUN BERWASIAT DENGAN AGAMA ITU KEPADA ANAK-ANAKNYA, DAN (DEMIKIAN JUGA) NABI YAAKUB (BERWASIAT KEPADA ANAK-ANAKNYA) KATANYA: “WAHAI ANAK-ANAKKU! SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MEMILIH AGAMA (ISLAM) INI MENJADI IKUTAN KAMU, MAKA JANGANLAH KAMU MATI MELAINKAN KAMU DALAM KEADAAN ISLAM”.} (AL-BAQARAH 2:132)
- Nabi Ibrahim berwasiat yakni berpesan memberi peringatan kepada anak-anaknya (Ismail & Ishak AS) tentang agama ini, supaya serah diri kepada Allah serta tunduk patuh & akur kepada perintah-Nya.
- Cucunya nabi Ya’kob bin Ishak AS juga berwasiat kepada anak cucunya. Sama sebagaimana wasiat nabi Ibrahim kepada anak-anaknya Ismail & Ishak.
- Ulama’ kata Nabi Ibrahim berwasiat dengan ayat di atas tadi iaitu: {“Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.}
Inilah perkataan yang menggambarkan kepada agama yang murni, yang suci daripada segala bentuk syirik kepada Allah SWT.
- Firman Allah SWT:
{Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sembah “Yang lain dari Tuhan yang menciptakan daku, kerana sesungguhnya Ia tetap memberi hidayah petunjuk kepadaku”. Dan Nabi Ibrahim menjadikan kalimah tauhid itu tetap kekal pada keturunannya, supaya mereka kembali (kepada tauhid itu, jika ada yang menyeleweng kepada syirik).} (Az-Zukhruf 43: 26-28)
- Dalam ayat suci ini Allah perintahkan supaya berpegang teguh dengan agama Islam iaitu agam Allah yang satu, yang telah diwahyukan kepada para nabinya bermula dari Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad SAW.
- Tatkala yahudi mengatakan bahawa Nabi Ya’kob telah berwasiat kepada anak-cucunya supaya berpegang teguh dengan agama yahudi & Taurat yang ada di tangan mereka.
- Lalu turunlah ayat 133 selepas ini untuk membatalkan dakwaan kaum yahudi itu.
Kerana setelah kedatangan Rasulullah SAW semua agama & ajaran lain telah terbatal. Mereka juga bukan berpegang pun dengan ajaran Taurat yang asal. Bahkan mereka seleweng & pesongkan ajarannya ikut nafsu mereka!
AYAT 133- {(DEMIKIANLAH WASIAT NABI YAAKUB, BUKAN SEBAGAIMANA YANG KAMU KATAKAN ITU WAHAI ORANG-ORANG YAHUDI)! KAMU TIADA HADIR KETIKA NABI YAAKUB HAMPIR MATI, KETIKA IA BERKATA KEPADA ANAK-ANAKNYA: “APAKAH YANG KAMU AKAN SEMBAH SESUDAH AKU MATI?” MEREKA MENJAWAB: “KAMI MENYEMBAH TUHANMU DAN TUHAN DATUK NENEKMU IBRAHIM DAN ISMAIL DAN ISHAK, IAITU TUHAN YANG MAHA ESA, DAN KEPADANYALAH SAHAJA KAMI BERSERAH DIRI (DENGAN PENUH IMAN)”.} (AL-BAQARAH 2:133)
- Demikianlah wasiat sebenar Nabi Ya’kob, bukan sebagaimana yang didakwa oleh pihak yahudi! Allah dengan jelas membatalkan apa yang didakwa yahudi itu.
- Munasabah ayat:
i- Apabila Allah telah tetapkan kepada bani Israel bahawa datuk mereka Nabi Ya’kob telah berwasiat kepada anak-cucunya untuk berpegang dengan agama Islam.
Tetapi mereka putar belitnya, mendakwa dia berwasiat untuk berpegang dengan agama yahudi!
ii- Lalu Allah tanya & cabar mereka dengan bertanya apakah mereka ada hadir di sisi Nabi Ya’kob ketika dia hampir mati & berwasiat kepada anak-anaknya??
Ketika dia bertanya kepada mereka apakah yang mereka akan sembah setelah dia mati??? Apakah mereka bersaksi ketika Ya’kob berpesan dan menguji anak-cucunya & bertanya apa yang mereka akan sembah selepas ketiadaannya!
- Mereka menjawab dengan jelas: “Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, tidak ada Tuhan yang berhak disembah dipuja dipuji selain dari-Nya. Dan kepada-Nyalah sahaja kami berserah diri dengan penuh iman, tunduk patuh, rukuk & sujud!”
- Nabi Ibrahim ini mempunyai dua jalur keturunan nabi:
i- Nabi Ismail melalui isteri keduanya Hajar yang datang dari Mesir keturunan Qibtiyyah.
Ismail dilahirkan sebelum adiknya Ishak 14 tahun dan berpindah ke Makkah ketika masih kecil. Ada ulama’ kata di usia 2 tahun.
Ketika Nabi Ibrahim wafat umur nabi Ismail 89 tahun.
Ismail meninggal dunia ketika berumur 137 tahun. Ismail lah yang terkenal dengan gelaran- anak yang disembelih. Bukan Ishak.
Ismail adalah bapa kepada Arab.
ii- Nabi Ishak melalui isteri pertamanya Sarah. Dia lebih muda daripada Ismail AS.
Melalui Ishak adalah banyak jalur keturunan & bangsa, yang paling masyhur ialah bani Israel, Yunani, Rom & Armenia.
- Ishak wafat pada usia 180 tahun dan dia wafat di Palestin & dikebumikan dekat dengan ayahnya Ibrahim al-Khalil.
Terdapat riwayat yang mengatakan selepas kewafatan dua isterinya Ibrahim telah berkahwin lagi dengan beberapa orang wanita dari keturunan Arab. Wallahu a’lam.
- Anak Nabi Ishak, Ya’kob juga seorang nabi. terkenal dengan gelaran Israel atau bapa kepada bani Israel.
Nabi Ya’kob inilah yang berwasiat pula kepada anak-anaknya sepertimana datuknya Ibrahim telah berwasiat agar tetap atas agama Islam, aqidah tauhid yang murni dan hanya menyembah Allah SWT.
- Beberapa fakta tentang nabi Ya’kob AS:
i- Ya’kob tidak sempat bertemu dengan datuknya Ibrahim kerana dia lahir selepas kematian Ibrahim.
ii- Dia hidup di Palestin tetapi berpindah ke Mesir pada akhir usia kerana mengikut anaknya nabi Yusuf AS yang merupakan salah seorang menteri di negara Mesir pada masa itu.
iii- Ya’kob meninggal dunia di Mesir ketika berusia 147 tahun tetapi dia telah berpesan agar dikembalikan mayatnya dikebumikan di Palestin bersama bapa & datuknya.
- Pengajaran yang penting untuk kita ialah dakwah Nabi Ibrahim adalah kepada tauhid yang suci, murnikan aqidah hanya menyembah Allah SWT yang Esa.
AYAT 134- {MEREKA ITU ADALAH SATU UMAT YANG TELAH SAN) APA YANG MEREKA TELAH USAHAKAN, DAN BAGI KAMU PULA (BALASAN) APA YANG KAMU USAHAKAN; DAN KAMU TIDAK AKAN DITANYA (ATAU DIPERTANGGUNGJAWABKAN) TENTANG APA YANG TELAH MEREKA LAKUKAN.} (AL-BAQARAH 2:134)
- Semua umat ini adalah umat yang telah berlalu. Nabi Ibrahim, Ismail, Ishak & Ya’kob AS telah berlalu zaman mereka.
- Bagi mereka apa yang mereka usahakan dan bagi kamu pula apa yang kamu usahakan. Kamu tidak akan ditanya atau dipertanggungjawabkan apa yang mereka telah lakukan.
- Yakni apabila kita baca Sejarah, kita hendaklah ambil ibrah pengajaran dari apa yang berlaku.
- Dalam tafsir kata ayat ini menyeru yahudi & nasrani yang mendakwa nabi Ibrahim sebagai yahudi atau nasrani.
Mari kita kenang kembali perjuangan datuk moyang kamu dulu & orang-orang Islam dari kalangan anak-cucu mereka!
Tidak akan memberi manfaat kepada kamu jika hanya mengaku keturunan Ibrahim tetapi amalan kamu menyalahi peraturan nabi Ibrahim!
Tiada manfaat bagi kamu keturunan semata-mata jika kamu buat yang menyalahi ajarannya.
- Mereka semua telah berlalu, kita yang hidup hari ini masih lagi diberi ruang & peluang oleh Allah SWT untuk meneruskan aqidah tauhid, meneruskan ibadat, meneruskan perjuangan kerana setiap kita akan disoal, dipertanggungjawabkan dengan apa yang kita buat dan kita tidak akan ditanya tentang apa yang orang lain buat!
- Jika tidak penatlah kita dan satu masalah yang besar!
Ayat ini sekaligus menyatakan bahawa semata-mata keturunan tidak memberi kesan kecuali seseorang itu beriman kepada Allah SWT!
Tidak perlulah berbangga dengan keturunan semata jika amalan tidak selari.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 130- {Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri,}-
Siapa yang tak suka kepada ajaran nabi Ibrahim itulah orang yang bodoh!
Semua orang yang menyalahi dakwah rasul-rasul. Maka dia adalah orang tidak cerdik, tidak tidak kira bangsa apa sekalipun!
Allah sendiri yang panggil mereka sebagai orang yang bodoh {ٱلسُّفَهَآءُ}.
Allah panggil satu lagi kumpulan yang tidak cerdik iaitu golongan munafiq:
{Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh {ٱلسُّفَهَآءُ}, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).} (Al-Baqarah 2:13)
Walaupun mungkin mereka cerdik dari segi pemikiran atau business dan lain-lain bidang tetapi tetap bodoh dari sudut aqidah.
Allah kata kepada yahudi yang provokosi tentang pertukaran arah Kiblat dari Baitul Maqdis ke arah Makkah sebagai orang yang bodoh juga {ٱلسُّفَهَآءُ} juga:
{Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?”} (Al-Baqarah 2:142)
Jadi semua yang menolak agama Islam & ajaran Rasulullah SAW sama ada orang yahudi, musyrikin atau munafiq adalah orang yang bodoh! Jika mereka orang cerdik lagi bijak pasti mereka akan berfikir kenapa Allah suruh tukar arah kiblatnya bukan hanya memerli & memperolok-olok kaum muslimin.
- Ayat 131- {(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!”}-
Allah SWT perintahkan Ibrahim untuk menyerah diri kepada Allah.
Kata ulama’ tadabbur : Kaitan antara {أَسْلَمْتُ} aku serahkan diriku, kepatuhanku untuk Allah Tuhan Pemilik alam ini {لِرَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ} maka seolah disebut ketuhanan rububiyyah di sini sebagai sebab akan penyerahan diri, akur & taat kepatuhan itu.
Sebab kita akur & taat kerana yang perintahkan itu adalah Allah Pemilik alam ini!
Hanya Allah yang berhak disembah dipuja dipuji kerana dia Pemilik alam ini.
Maka jangan bercanggah antara apa yang mulut kita ikrarkan setiap rakaat dalam solat {إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ}- hanya kepada-Mu kami sembah & hanya kepada-Mu kami minta tolong. Dengan perbuatan kita selepas itu yang mencari-cari benda lain sebagai tempat minta pertolongan dan pergantungan hati.
Murnikan Aqidah, kita hanya tunduk kepada Allah Azza wa Jalla. Kita berdoa kepada Allah, kita minta pertolongan kepada Allah semata-mata jangan mita tolong dengan yang lain!
Sekarang ini timbul pula fenomena nak bertawasul dengan orang mati dan seumpamanyanya.
Kita kata Tawasul itu adalah satu benda khilaf.
Kerana bercakap isu khilaf inilah AAM terus disenarai-hitam oleh sebuah negeri sehingga ke hari ini. Hanya Allah-lah tempat kita mengadu.
Hanya Allah yang akan membalas tuduhan jahat mereka itu, yang mengatakan Abu Anas mengkafirkan orang yang bertawasul!
Tawasul ini adalah satu isu khilaf. maka ia adalah satu yang berisiko.
Untuk selamat & cermat : Mengapa kita tidak pilih jalan yang jelas yang tidak ada orang yang mempertikaikannya. Yakni berdoalah terus kepada Allah SWT! Itulah jalan yang murni yang solid yang tiada siapa pertikai dan ingkar.
- Ayat 132- {Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya)}-
Nabi Ibrahim berwasiat kepada anak-anaknya begitu juga nabi Ya’kob AS.
Wasiat ini penting!
Kita wajib berwasiat & berpesan kepada anak cucu kita tentang aqidah yang murni, berpegang kepada agama & Sunnah yang sahih.
Pesan kepada anak-anak selepas kita mati jangan buat bid’ah seperti membuat binaan atas kubur kita dan seumpamanya.
Betapa kubur-kubur ulama’ besar seperti Imam Syafie telah dibina dan dihiaskan, sedangkan imam melarangnya.
Lebih-lebih lagi apabila kita sudah uzur & rasa dekat dengan kematian, wasiatlah kepada anak cucu supaya jaga agama, jaga ibadat, jaga akhlak serta jika tanggungjawab atau amanah yang kita pegang isytiharkan agar anak cucu kita tidak makan hak orang!
Berwasiat ini penting kepada anak-cucu- jika mereka langgar apa yang benar maka merekalah yang bertanggungjawab di akhirat di hadapan Allah Azza wa Jalla kelak, kita sudah pesan & wasiat!
- Ayat 132- {Dan katanya: “Wahai anak-anakku!}-
Nabi Ibrahim & Nabi Ya’kub memanggil anak-anaknya dengan mesra & lembut { يَـٰبَنِىّ}!
Apabila kita hendak menasihati atau menegur anak-anak kena guna pangggilan yang mesra & ayat yang baik-baik.
Begitu juga jika ingin berdakwah. Ayat mesra & lembut itu penting untuk menarik hati orang didakwah! Jika tidak orang akan lari.
Di akhir ayat Nabi Ya’kob berpesan lagi kepada anak cucunya: {Maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”.}-
Pesanan yang paling besar ialah supaya sentiasa menjaga agama & Tauhid!
Jangan kamu lupa lalai & lagha jika tidak kamu akan mati dalam keadaan tidak baik iaitu bukan husnul-khatimah.
Ini kerana kata ulama’ : Amalan itu dikira yang terakhir atau penutupnya, jika kamu sempat taubat dengan ikhlas Insya’ Allah dia akan masuk syurga.
Jadi kita sentiasa berusaha menjadi orang yang baik semoga kita selamat di dunia & akhirat.
Allah SWT tanya puak yahudi: {Apakah kamu hadir menjadi saksi apabila nabi Ya’kob berpesan dekat kematiannya? (أَمْ كُنتُمْ شُهَدَآءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ ٱلْمَوْتُ}
Ini adalah satu dalil yang besar & jelas akan kepentingan pesanan yang paling besar kepada anak cucu kita ialah supaya jaga aqidah & agama kita ini supaya kita mati dalam Islam.
- Ayat 134- {Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya;}-
Setiap orang telah berlalu, datuk kita telah pergi ayah kita telah pergi.
Maka ia memberi maksud bahawa keturunan tidak akan memberi faedah jika tidak beramal dengan apa yang ditinggalkan oleh datuk kita yang beriman itu!
Nabi Ibrahim telah berpesan, Nabi Ya’kob juga telah berpesan untuk jaga agama & jaga tauhid. Rasulullah SAW juga telah berpesan bahawa dia telah tinggalkan untuk kita dua perkara; iaitu Al-Quran & Sunnahnya yang sahih.
Akhir-akhir ini juga amat kuat pentaksub kepada mereka yang mengaku anak cucu keturunan Rasulullah SAW.
Kita jangan hanya tengok pada keturunan, tapi lihatlah kepada ajaran yang dibawanya apakah bertepatan dengan Al-Quran & ajaran Rasulullah SAW.
Jangan hanya lihat kepada penampilannya, lihat apa yang dia bawa ada sanad atau tidak, sahih atau tidak!
Keturunan & penampilan bukan ukuran. Yang penting ialah ikut Al-Quran & Sunnah yang sahih.
Yahudi mengaku Ibrahim yahudi, nasrani juga mengaku. Tetapi Ibrahim mengatakan tidak & Allah SWT juga menafikannya dengan mengatakan bukanlah Ibrahim itu surah yahudi atau nasrani!
Jika ada orang yang mengaku cucu Nabi tetapi tidak ikut Sunnahnya. Maka kita kata kita ikut datuk bukan ikut cucu!
Apa Sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah itu yang kita amalkan. Semoga kita mendapat keselamatan di dunia & keamanan di akhirat. Insya’Allah.
Semoga bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.