View Categories

Surah Al-Baqarah : Ayat 138-141

YAHUDI BAWA HUJJAH SALAH, MEREKA MENYEMBUNYIKAN KEBENARAN & KETURUNAN MEREKA ORANG BERIMAN.

Full video : https://youtu.be/sDcTHCyDYqo?si=tppw_bJ1E_8cc12S

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 138 sehingga ayat 141 bagi surah Al-Baqarah, surah yang kedua dalam juzu’ yang pertama. Ayat-ayat kita hari ini adalah di akhir juzu’ yang pertama. Satu juzu’ ini mengambil 42 siri kuliah.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa jalan atau cara hidup kita ialah Islam manakala Yahudi bawa hujjah salah, yang Allah batalkan semuanya.
  1. Perangai mereka yang buruk juga ialah menyembunyikan kebenaran.
    Siapa yang ikut perangai ini buruklah juga akhlaknya!
  1. Allah ungkit kepada yahudi tentang keturunan mereka yang sebelum ini yang terdiri daripada orang beriman.
    Tetapi apabila datang zaman Rasulullah SAW mereka menjadi kafir & tidak beriman.
    Yakni mereka hanya mengaku keturunan, tidak ikut agama & ajarannya.
  1. Munasabah ayat:
    i- Allah SWT telah mengajar kita orang mukmin untuk berkata mengakui bahawa kita beriman dengan Allah, semua kitab-Nya & rasul-Nya yang diutuskan.
    Kita tidak membezakan antara satu sama lain, kita beriman dengan semua kitab & rasul, tidak pilih atau tinggalkan sebahagiannya.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah kata Dia telah tetapakan celupan warna untuk kita (iaitu agama) maka ikutlah agama Allah yang murni, yang suci yang mengagung & mentauhidkan Allah.
    Beramal & berpeganglah dengannya, agama ini adalah anutan bukan rekaan atau ikutan semata!
  1. Beza antara menganut & mengikut:
    i- Menganut, kita yakin dengan hati, jiwa & pemikiran kita bahawa Islam itu benar dari Allah Azza wa Jalla. Kita buat dengan sebab yakin & percaya.

    ii- Mengikut, kita buat sebab ikut orang buat saja. Kenapa kamu Islam? Sebab ayah saya Islam.
    Jadi yang kita naknya kita menganut & ikut dengan patuh dan taat.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 138- {(KATAKANLAH WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN: “AGAMA ISLAM, YANG KAMI TELAH SEBATI DENGANNYA IALAH): CELUPAN ALLAH YANG MENCORAKKAN SELURUH KEHIDUPAN KAMI DENGAN CORAK ISLAM); DAN SIAPAKAH YANG LEBIH BAIK CELUPANNYA DARIPADA ALLAH? (KAMI TETAP PERCAYAKAN ALLAH) DAN KEPADANYALAH KAMI BERIBADAT”.} (AL-BAQARAH 2:138)

  1. Allah perintahkan orang beriman untuk sekali lagi mengakui bahawa mereka telah menyerahkan diri kepada Allah untuk memilih & mencorakkan kita dengan warna yakni agama yang dipilihnya!
  1. Yakni Allah menyatakan bahawa Dia telah memilih agama Islam yang suci & tauhid yang murni untuk hamba-hamba-Nya.
    Siapa yang pilih celupan ini maka dia akan selamat. Manakala yang pilih selain daripada ini seperti Yahudi & Nasrani mereka tidak akan selamat!
  1. Perkataan {صِبْغَةَ} ini makna asalnya ialah celupan/mewarna.
    Yakni Allah yang mewarnakan hamba-hamba-Nya dengan warna atau corak yang dipilihnya iaitu agama Islam.
    Maka selamatlah yang berada di dalam warna Allah & sesiapa yang memilih selainnya celakalah! Sibghah Allah (Agama Allah).
  1. Allah tegaskan tiada siapa yang lebih baik sibghahnya selain daripada Allah dalam memilih susun-atur gaya hidup (agama) kepada hamba-Nya. Maka jangan kamu cuba reka sendiri. Agama adalah anutan & ikut patuh.
  1. Kita pun buat pengakuan bahawa kita tetap beriman percayakan kepada Allah, kepada-Nya kita berserah (muslimun), kita taat, akur & patuh serta tumpukan ibadat!
    Jika tidak ikut maka itu adalah manusia yang tidak betul, kecundang, manusia yang akan merana di Akhirat kelak selama-lamanya!
  1. Serta dalam hati kita ada perasaan sayang, cinta & kasih terhadap Allah. Islam wajib terima & ikhlas ikut walaupun bercanggah dengan kehendak nafsu!

AYAT 139- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “PATUTKAH KAMU (HAI KAUM YAHUDI DAN NASRANI) MEMBUAT BANTAHAN TERHADAP KAMI MENGENAI PILIHAN ALLAH DAN PENGURNIAANNYA ? PADAHAL DIA LAH TUHAN KAMI DAN TUHAN KAMU. BAGI KAMI (FAEDAH) AMAL KAMI DAN BAGI KAMU PULA (FAEDAH) AMAL KAMU (KALAU DIIKHLASKAN), DAN KAMI ADALAH (MENGERJAKAN AMAL DENGAN) IKHLAS KEPADANYA;} (AL-BAQARAH 2:139)

  1. Allah perintahkan Rasulullah SAW untuk berkata kepada yahudi sebagai bantahan & penafian terhadap dakwaan & bantahan mereka terhadap pilihan Allah.
  1. Orang yahudi & nasrani menolak untuk beriman dengan agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW dengan membuat dakwaan:
    i- Bahawa jawatan nabi itu hanya untuk bani Israel saja! Mereka nak monopoli jawatan nabi!!

    ii- Hanya agama mereka yang benar, mereka kesayangan Allah.

    iii- Hanya yahudi dan Nasrani saja yang akan masuk syurga!

    iv- Serta lain-lain dakwaan yang tak masuk akal!
  1. Lalu Allah perintahkan Rasulullah SAW untuk berhujjah, lawan & buat bantahan untuk menolak dakwaan mereka itu!
    Serta tidak patut sekali untuk mereka membantah pilihan Allah SWT serta membatalkan agama Islam.
  1. Allah ajar untuk kita berani dan menegaskan bahawa:
    i- Padahal Allah adalah Tuhan kami & Tuhan kamu! Allah Tuhan sekelian alam ini yang Esa, yang wajib disembah!

    ii- Kamu Yahudi bukan lebih baik daripada kami orang mukmin, bahkan kami lebih baik daripada kamu kerana kamu melakukan syirik kepada Allah & membuat dakwaan tanpa hujjah, yang tidak berpijak di bumi nyata!
    Mengaku beragama kepada Allah tetapi syirik kepada-Nya maka ini adalah satu kepincangan besar.

    iii- Kami tidak syirik bahkan beriman & menyembah Allah serta mengerjakan amal ibadat dengan ikhlas kepadaNya.
  1. Kita orang Islam kena ada kekuatan, ada izzah (kemuliaan) jangan lemah lagi lembek, biarkan orang kafir permain & pijak agama kita!
  1. Maka bagi kami pahala & faedah amal kami dan bagi kamu pula faedah amal kamu jika diikhlaskan. Dan kami memang ikhlas mengerjakan amal ibadat kepada Allah!
  1. Kita tidak akan dapat kejayaan atau pahala dengan sebab amalan orang lain. Maka tak perlu berbangga dengan keturunan orang soleh mahupun para anbiya’!

AYAT 140- {“ATAU PATUTKAH KAMU MENGATAKAN, BAHAWA NABI IBRAHIM, DAN NABI ISMAIL, DAN NABI ISHAK, DAN NABI YAAKUB BESERTA ANAK-ANAKNYA, MEREKA SEMUA ADALAH ORANG-ORANG YAHUDI ATAU NASRANI, (PADAHAL AGAMA MEREKA TELAHPUN ADA SEBELUM ADANYA AGAMA YAHUDI ATAU AGAMA KRISTIAN ITU)?” KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “ADAKAH KAMU YANG LEBIH MENGETAHUI ATAU ALLAH? DAN SIAPAKAH YANG LEBIH ZALIM DARIPADA ORANG YANG MENYEMBUNYIKAN KETERANGAN (SAKSI DAN BUKTI) YANG TELAH DIBERIKAN ALLAH KEPADANYA?” DAN (INGATLAH), ALLAH TIDAK SEKALI-KALI LALAI AKAN APA YANG TELAH KAMU LAKUKAN.} (AL-BAQARAH 2:140)

  1. Ayat ini sekali lagi Allah mencela sikap Yahudi & Nasrani yang datang nak berdebat dengan Rasulullah SAW tentang agama Allah!
    Allah suruh Nabi SAW katakan kepada mereka: Apakah patut kamu mengatakan dan membuat dakwaan palsu bahawa Nabi-nabi sebelum ini iaitu Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub beserta anak-anaknya semuanya adalah beragama Yahudi atau Nasrani?
  1. Padahal agama mereka para anbiya’ itu ialah Islam yang mentauhidkan Allah ini telah ada sebelum agama yahudi ataupun Kristian ini!
    Allah bantah & batalkan dakwaan mereka itu!
  1. Mereka datang berdebat & berhujjah dengan Nabi SAW dengan mendakwa semua nabi sebelum ini adalah yahudi, merekalah yang lebih layak daripada Rasulullah SAW.
    Lalu Allah serlahkan kebodohan mereka dalam mendakwa orang terdahulu boleh ikut yang terkemudian, yang datang selepasnya?????
  1. Amat pelik & tak logik sekali dakwaan mereka itu! Berapa generasi sudah berlalu & mati sebelum datang agama yahudi yang mereka reka itu!
    Selingan: Seperti orang yang terlalu taksub berpegang dengan mazhab sehingga mendakwa Nabi pun bermazhab Syafe’i!
  1. Ayat ini dijelaskan lagi dengan firman Allah SWT ini:
    {Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani memperdebatkan tentang (agama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal? Ingatlah! Kamu ini orang-orang (bodoh), kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat), maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya. Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik. Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya – umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman.} (Ali-‘Imraan 3: 65-68)
  1. Allah suruh Rasulullah bertanya lagi untuk membongkar perbuatan buruk mereka: {Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?”}
  1. Dalam kitab Taurat & injil sudah ada diberitahu bahawa Allah akan mengutus seorang rasul pada akhir zaman dari keturunan Nabi Ibrahim AS iaitu nabi Muhammad SAW yang akan membawa agama Islam, agama Nabi Ibrahim AS.
  1. Hakikat ini sudah diketahui oleh yahudi terutama para pendeta mereka. Sudah ada dalam kitab Taurat yang benar tetapi mereka masih mengingkarinya bahkan mereka sembunyikan fakta yang benar itu dan mengubahnya sebagaimana yang disebut Allah SWT dalam ayat sebelum ini.
  1. Mereka juga menyembunyikan sifat Rasulullah SAW & keabsahan, kebenaran Rasulullah SAW sebagai nabi & rasul yang terakhir yang Allah utuskan!
    Ada dalam Taurat & Injil tetapi mereka sembunyikan kerana mereka mahukannya.
  1. Sama seperti kita hari ini, apabila mengajak para asatizah untuk bersama dalam menyampaikan fahaman & ajaran yang benar, fahaman salafus-Soleh kepada masyarakat yang tidak bercampur dengan yang ada keraguan. Sebahagian daripada mereka walaupun tahu kebenaran ajakan itu tetapi menolak demi menjaga survival & kedudukan, untuk mendapat tempat dalam masyarakat & tidak disekat!
  1. Doa yang sangat baik untuk diamalkan: اللهم أرنا الحق حقاً وارزقنا اتباعه – وأرنا الباطل باطلاً وارزقنا اجتنابه
    Ya Allah tunjukkan kepada kami apa yang benar itu benar- supaya kami dapat ikutnya, serta tunjukkan kepada kami apa yang salah itu salah- agar kami dapat menjauhinya!
    Tambahan kepada doa-doa lain yang ma’thur yang Rasulullah SAW ajar.
    Allah mencela & menyatakan amat buruk perangai sesiapa yang menyembunyikan kesaksian yang benar sama ada yahudi ahli kitab atau kita orang Islam hari ini!
  1. {Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan }-

    Allah SWT tutup ayat ini dengan amaran kepada Yahudi & Nasrani yang menyembunyikan sifat & kebenaran Rasulullah SAW.
    Ia juga peringatan & amaran untuk kita semua pada hari ini jangan cuba menyembunyikan kebenaran yang kita tahu kerana mencari kedudukan!

AYAT 141- {MEREKA ITU ADALAH SATU UMAT YANG TELAH LALU SEJARAHNYA; BAGI MEREKA (BALASAN) APA YANG TELAH MEREKA USAHAKAN, DAN BAGI KAMU PULA (BALASAN) APA YANG KAMU USAHAKAN; DAN KAMU TIDAK AKAN DITANYA (ATAU DIPERTANGGUNGJAWABKAN) TENTANG APA YANG MEREKA TELAH LAKUKAN.} (AL-BAQARAH 2:141)

  1. Mereka adalah umat yang telah berlalu. Wahai Yahudi & Nasrani! Kamu masih lagi menyebut-nyebut nama mereka & mengaku sebagai datuk-nenek kamu!
  1. Tetapi tidak ada gunanya kamu berbangga dengan mereka kerana mereka adalah beragama Islam sedang kamu tidak mengikut ajaran mereka!
    Tidak ada guna keturunan jika tidak ikut ajarannya yang benar!
    Amalan yang bercanggah dengan Islam tidak ada gunanya!
  1. Bagi mereka balasan pahala atau dosa atas apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula balasan bagi apa yang kamu usahakan.
  1. Dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan atau mendapat manfaat daripada keimanan & kesolehan mereka kerana pegangan & amalan kamu bercanggah dengan mereka!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 138- {(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam)}-

    Allah nyatakan celupan warna pilihan Allah iaitu agama Islam. Bahkan semua nabi-nabi yang terdahulu pun mengaku bahawa mereka adalah orang Islam yang berserah diri, tunduk taat sepenuhnya kepada Allah semata-mata: { وَنَحْنُ لَهُۥ مُسْلِمُونَ}.
    Ayat ini sekaligus membatalkan semua sembahan yang berbentuk patung-patung, ajaran, amalan & ritual yang bercanggah dengan ajaran Islam seperti penyembahan kubur dan seumpamanya!

    Ini kerana agama kita ini adalah agama tauhid yang murni serta asas atau tapaknya ialah ikhlas kepada Allah SWT!
    Ruh agama Islam ini adalah tauhid, tapaknya pula adalah keikhlasan. Perjalanannya pula adalah ikut ajaran Nabi SAW!
    Yakni jika tidak ikut Allah SWT akan membawa kepada syirik manakala jika tidak ikut Nabi pula akan membawa kepada bid’ah!
  1. Ayat 139- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaanNya ? Padahal Dia lah Tuhan kami dan Tuhan kamu.}-

    Allah suruh tanya Yahudi: Patutkah kamu Yahudi datang mahu berhujjah tentang Allah dengan Rasulullah SAW dengan dakwaan & pembohongan yang sesat & rapuh.
    Hujjah mereka yang batil itu, angan-angan yang tidak berpaksi kepada dalil ini Allah batalkan dengan tiga hujjah ini:
    i- Ayat 139 ini Allah kata: Padahal Dia-lah Tuhan kami dan Tuhan kamu.

    ii- Ayat 140- Atau patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub beserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani,

    iii- Ayat 140 juga: {Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?”}-
    Allah mencela mereka kerana menyembunyikan fakta yang Allah telah bawa dalam Taurat & Injil sebelum ini!
  1. Ayat 141- {bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan;}-

    Setiap orang akan mendapat balasan hasil usahanya sendiri!
    Tidak akan mencapai kejayaan & kemenangan semata-mata dari amalan orang lain, iman tidak boleh diwarisi, perlu keyakinan dan keikhlasan atas usaha sendiri, dengan izin Allah.
    Kita berpegang dengan Al-Quran & Sunnah berdasarkan huraian para ulama’ terawal yang muktabar iaitu para salafus-soleh.
    Jika bercanggah antara ulama’ yang terawal dengan yang akhir, kita mabil pandangan yang awal!

    Seseorang itu tidak akan mendapat manfaat atau faedah daripada amalan orang lain, anak-cucu yang tidak ikut agama & ajaran yang benar tidak akan mendapat faedah atau manfaat hasil daripada amalan & kesolehan tok nenek mereka!
    Allah SWT yang akan menilai amalan & perbuatan kita sama ada akan diberi dosa atau pahala!
  1. Ayat 140- {“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?”}-

    Allah kata orang yang paling zalim, paling jahat ialah mereka yang menyembunyikan keterangan, saksi & bukti yang Allah telah berikan.

    Kata ulama’ tadabbur : Orang yang alim dengan Syari’ah Allah, mereka akan menjadi saksi kepada kita orang awam di atas dunia ini.
    Maka untuk jadi saksi kena benar, jangan jadi saksi palsu.

    Firman Allah SWT:
    {Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (Ali-‘Imraan 3:18)

    Maka sesiapa yang mempunyai ilmu tentang sesuatu yang benar tetapi dia menyembunyikan ilmunya, dia tidak menyatakan & menyampaikannya; maka dia telah dikira menyembunyikan kesaksian terhadap Allah SWT!

    Seorang ulama’, Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah RHM. Telah menulis sebuah kitab dengan tajuk: I’lam Al-Muwaqqi’in ‘An Rabb Il-‘Alamin.
    (إعلام الموقعين عن رب العالمين للإمام ابن قيم الجوزية) – Penyataan Orang Yang Menandatangani Dari Allah SWT.
    Yakni para ulama’ itu seolah mereka adalah orang yang menandatangani memberi jaminan bahawa inilah hukum & undang-undang Islam, setelah mereka kaji, mereka korek Al-Quran & Sunnah lalu dibuat istinbat.

    Jangan pula salah sangka apabila dikatakan kita nak ikut Nabi SAW bermakna kita tolak ulama’!
    Tidak benar sama sekali- ulama’ yang ikut Sunnah, ulama’ yang hurai Sunnah kita ikut!
    Apabila kita belajar Sunnah atau ilmu apa saja, kita kena buka dua pandangan yang luas, buka dimensi agar apabila ada perbezaan & kekeliruan kita boleh luaskan tidak terhad & sempit, hanya dengar pandangan ustaz dia saja!
    Apabila tak faham boleh tanya, boleh kaji & cari jawapannya. Kena belajar dengan kacamata yang benar!
    Allah telah beri amaran, maka jangan sekali-kali kita berani sembunyikan kebenaran yang kita tahu!

    Di akhir ayat Allah beri jaminan bahawa {Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.}-
    Allah tak lupa, tak lalai- semua apa yang kamu buat akan dibalas.
    Yang baik dibalas baik, yang buruk dibalas buruk juga seumpamanya.
  1. Ayat 141- {Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan.}-

    Mereka para nabi itu adalah umat yang telah berlalu. Bagi mereka balasan atas apa yang mereka buat dan bagi kamu apa yang kamu buat!
    Masing-masing bertanggungjawab atas amalan masing-masing.

    Sebelum ini pun Allah telah sebutkan ayat yang sama dalam ayat 134: {Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.}

    Kenapa Allah ulang ayat ini sebanyak dua kali?
    Jawapan:
    i- Setiap kali selepas Allah bawa senarai nama para nabi & menceritakan tentang nabi & rasul terdahulu seperti kisah Nabi Ya’kob yang berwasiat kepada anak-anaknya. Allah sebut begini : Mereka adalah umat yang telah lalu.

    ii- Sekali lagi dalam ayat 141: Setelah selesai dialog dengan ahli kitab yang menyembunyikan kebenaran & Allah bagi amaran bahawa Allah tak lupa tak lalai, semua yang kamu buat akan dibalas, baik atau buruk.
    Kemudian Allah kata mereka semua adalah umat yang telah berlalu & pergi.
    Para rasul & nabi dengan jawatan mereka yang tinggi & mulia, juga para pendakwah dengan jawatan & amanah tugas yang Allah beri, jika mereka buat baik & jalankan amanah, mereka umat yang telah lepas itu, mereka akan terima hasil dari apa yang mereka usahakan, kamu juga akan menerima hasil daripada apa yang kamu usahakan!
    Jika para rasul & nabi yang begitu mulia pun begitu sekali dipertanggungjawab seperti ini. Apatah lagi kita yang bukan nabi ini pastilah lebih besar tanggungjawabnya.
    Maka marilah kita berhati-hati, sentiasa merendah diri, tawadhuk, mengkaji Al-Quran & Sunnah serta beramal dengannya!
    Jangan tunjuk keras kepala kita kepada Allah & kepada Rasulullah SAW!
    Alhamdulillah pada hari ini tamatlah kita juzuk yang pertama dalam surah Al-Baqarah dengan 42 siri kuliah tafsir!
    Semoga Allah beri kita istiqomah & usia yang panjang untuk menyempurnakan pengajian ini, untuk memahami & mempelajari Kitab Al-Quran.

Semoga bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs