View Categories

Surah Al-Baqarah : Ayat 142-143

YAHUDI DAN MUNAFIQ MAIN ISU PERTUKARAN KIBLAT, SEBAGAI SUATU UJIAN & PAHALA BERKEKALAN.

Full video : https://youtu.be/d20WJdM6-2E?si=VoyYsetCf4MTEY1z

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 142 sehingga ayat 143 bagi surah Al-Baqarah, surah yang kedua dalam juzu’ yang kedua. Semalam alhamdulillah kita sudah tamat ayat-ayat dari juzu’ pertama sebanyak 42 siri kuliah.
  1. Semoga Allah berikan kita kesihatan tubuh badan & pemikiran agar dapat meneruskan pengajian ini Insya’ Allah.
  1. Dalam siri ini Allah SWT ceritakan tentang pertukaran kiblat.
    Sebelum ia berlaku Allah SWT telah beri peringatan kepada Rasulullah SAW dengan menyatakan bahawa kaum Yahudi, musyrikin dan munafiq yang akan mainkan isu pertukaran ini.
  1. Allah juga nyatakan peristiwa ini adalah sebagai satu ujian bagi semua orang sama ada mu’min atau kafir, siapa yang dengar kata atau siapa yang lari.
  1. Antara isu yang Yahudi pertikaikan ialah tentang pahala orang yang telah mati tetapi mereka solat ke arah kiblat lain dulu. Bagaimana pahalanya?
    Allah terus jawab & nyatakan bahawa pahalanya dulu itu tidak gugur, tetap berkekalan.
  1. Pertukaran kiblat ini hanyalah satu proses untuk menyempurnakan perjalanan kita.
    Allah beri kepada Rasulullah SAW ilmu hujjah & strategi dari awal untuk menenangkan hati Baginda SAW & untuk siap buat persediaan.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 142- {ORANG-ORANG BODOH (YANG KURANG AKAL PERTIMBANGANNYA) AKAN BERKATA: “APA SEBABNYA YANG MENJADIKAN ORANG-ORANG ISLAM BERPALING DARI KIBLAT YANG MEREKA MENGADAPNYA SELAMA INI?” KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “TIMUR DAN BARAT ADALAH KEPUNYAAN ALLAH – (MAKA KE PIHAK MANA SAHAJA KITA DIARAHKAN ALLAH MENGADAPNYA, WAJIBLAH KITA MEMATUHINYA); ALLAH YANG MEMBERIKAN PETUNJUK HIDAYAHNYA KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA KE JALAN YANG LURUS”.} (AL-BAQARAH 2:142)

  1. Allah mulakan ayat ini dengan satu kenyataan yang agak berat iaitu orang-orang yang bodoh {ٱلسُّفَهَآءُ} (bukan gila) tetapi golongan Yahudi, dan lain-lain kafir serta munafiq di Madinah yang kurang akal pertimbangannya.
  1. Mereka akan mengambil kesempatan memainkan isu pertukaran kiblat untuk mengejek & mempermainkan orang Islam tentang ini.
    Ini kerana mereka tidak dapat memahami tujuan & hikmahnya!
  1. Allah beri maklumat awal kepada Rasulullah SAW sebagai satu strategi untuk melawan & berhujjah dengan mereka.
    Ia sekaligus dapat menenangkan hati Rasulullah SAW & kaum muslimin apabila Yahudi memainkan isu ini nanti.
  1. Munasabah ayat:
    i- Sebelum ini Allah SWT telah ulang banyak kali tentang ajaran & pegangan dakwah nabi Ibrahim AS.
    Allah juga telah beri amaran bahawa sesiapa yang tidak suka & lari daripada ajaran nabi Ibrahim itulah orang yang membodohkan dirinya sendiri!

    Pada awal ketibaan di Madinah, Rasulullah SAW di arah solat menghadap ke arah Baitul-Maqdis, puak kafir telah guna isu ini untuk mengejek-ejek orang Islam yang ikut kiblat mereka iaitu Baitul-Maqdis!
    Tinggalkan kiblat mereka Ka’bah, iaitu kiblat nabi Ibrahim. Kenapa pilih kiblat kami Yahudi?
    Kemudian apabila ditukar pula kiblat dari Baitul-Maqdis ke arah Ka’bah pastilah kaum Yahudi & musyrikin akan terus memainkan isu ini & bertambah hujjah mereka untuk mengejek-ejek Rasulullah SAW & Islam.
    Allah tahu mereka akan kata begini lalu Allah SWT turunkan ayat Al-Quran ini sebagai peringatan & maklumat untuk Rasulullah SAW agar Baginda tidak panik & bersedia untuk menghadapi serangan Yahudi itu.

    ii- Allah tahu mereka akan berkata begitu lalu Allah SWT menurunkan ayat Al-Quran ini awal-awal lagi!

{KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “TIMUR DAN BARAT ADALAH KEPUNYAAN ALLAH – (MAKA KE PIHAK MANA SAHAJA KITA DIARAHKAN ALLAH MENGADAPNYA, WAJIBLAH KITA MEMATUHINYA); ALLAH YANG MEMBERIKAN PETUNJUK HIDAYAHNYA KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA KE JALAN YANG LURUS”.}

  1. Latakan kepada mereka wahai Rasulullah SAW: Yakni pelik apanya sedang segala alam ini milik Allah, timur atau baratnya, uatara atau selatannya!
    Maka ke arah mana saja Allah perintahkan untuk menghadapnya, maka kita wajib patuhinya!
  1. Allah yang memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.
    Maka puak kafir yang kesar kepala itu adalah mereka yang tidak dapat petunjuk dari Allah!
  1. Sabab nuzul ayat:
    i- Adalah Rasulullah SAW solat menghadap ke arah Baitul-Maqdis selama 16 atau 17 bulan. Sedangkan Baginda suka untuk kekal kiblat asal iaitu menghadap ke arah Ka’bah di Makkah.
    Madinah ini berada di tengah-tengah antara Makkah & Baitul-Maqdis.
    Ketika masih berada di Makkah, Rasulullah SAW solat di antara dua rukun, dengan posisi Ka’bah berada dihadapannya, tetapi Baginda juga dapat menghadap ke Baitul Maqdis.
    Dan ketika berhijrah ke Madinah Baginda tidak dapat menyatukan antara keduanya, maka Allah Ta’ala memerintahkannya untuk menghadap ke Baitul Maqdis.

    ii- Hadis dari Al-Bara’ RA: Bahawa Rasulullah SAW mengerjakan solat dengan berkiblat ke arah Baitul Maqdis selama enam belas atau tujuh belas bulan. Dan Baginda suka jika kiblatnya mengarah ke Baitullah. (lalu turunlah arahan untuk tukar kiblat). Solat yang pertama kali Baginda kerjakan dengan menghadap Ka’bah adalah Solat Asar. Beberapa orang ikut mengerjakan solat bersama Baginda SAW. Kemudian salah seorang yang ikut mengerjakan solat itu keluar, lalu ia melewati orang-orang yang sedang mengerjakan solat di masjid dalam keadaan rukuk. Maka ia pun berkata: “Demi Allah, aku telah mengerjakan solat bersama Nabi SAW dengan menghadap Makkah.” Maka mereka (yang sedang solat itu) pun berpusing menghadap ke Baitullah. (Begitu mudah para sahabat patuh & taat kepada perintah Allah & Rasulullah AW). (Kemudian timbul persoalan) dah ada orang-orang yang meninggal lebih awal sebelum kiblat diubah ke Baitullah, iaitu beberapa orang yang terbunuh (dalam perang), maka kami tidak tahu bagaimana pendapat kami mengenai mereka. Maka turunlah ayat 143, yang menegaskan bahwa Allah Ta’ala tidak akan menyia-nyiakan iman mereka (solat) yang beribadah menurut ketentuan pada waktu itu. Orang-orang yang berpikiran bodoh (musyrikin & Yahudi) pada masa itu berkata: “Apa pula yang memalingkan mereka (kaum Muslimin) dari kiblat yang mereka hadapi selama ini (dari Baitul Maqdis ke Ka’bah)?” Maka turunlah ayat 142 sebagai penegasan bahwa Allah Ta’ala yang menetapkan arah kiblat itu.” [HR Bukhari].
  1. Allah beri gambaran awal tentang apa yang akan berlaku apabila tukar kiblat supaya Rasulullah S bersedia & tenang untuk menghadapi hujjah orang kafir.
  1. Kata Ibnu Asyur RHM : Allah SWT bawa sesuatu isu yang pelik dalam Al-Quran iaitu turun ayat menyatakan kepada Rasulullah perkara atau isu yang akan berlaku sebelum turunnya ayat arahan untuk tukar kiblat, ia belum berlaku lagi. Ini supaya Rasulullah SAW besedia untuk menghadapi cabaran, troll & bantahan mereka!
  1. Kerana akan bertanya orang yang bodoh & pendek akalnya dari kalangan Yahudi, kafir musyrikin untuk melawan Rasulullah SAW dengan rasa ragu & pelik!
    Agama apa ini yang tidak tetap pendirian!
    Pertukaran kiblat ini menjadi satu isu yang dipermainkan oleh mereka untuk mengejek Islam.
  1. Lalu Allah ajar Rasulullah SAW untuk jawab, katakan: Allah SWT yang memiliki dunia ini, Timur dan barat semuanya milik Allah, semua sudut adalah makhluk Allah & milik-Nya.
    Maka ikutlah yang diperintah Allah, ke arah mana Dia nak suruh kita menghadap. Kenapa kamu nak peritikaikan kuasa & perintah Allah?
  1. Allah akan beri petunjuk taufik hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dari kalangan hamba-Nya ke jalan yang benar.
    Allah tunjuk kepada orang mukmin untuk balik semula ke arah kiblat Nabi Ibrahim AS yang telah mereka tinggalkan buat sementara.
  1. Boleh baca tentang bab Masjid Qiblataini dalam buku Madinah juga.
  1. Persoalan apakah hikmah Allah SWT arahakan untuk menghadap ke arah Baitul-Maqdis pada awalnya?
    Jawapan:
    i- Hikmatnya untuk jinakkan hati kaum Yahudi sebagai penduduk yang dominan di Madinah pada waktu itu (dengan pakatan puak Aus & khazraj).
    Untuk jinakkan hati mereka dengan mengadap Baitul-Maqdis, punya kiblat yang sama dengan mereka.

    ii- Namun tak berjaya juga, Yahudi tetap dengan sifat degil & yang keras kepala mereka.
    Maka Allah kata cukuplah tempoh hampir dua tahun itu, lalu ditukar semula kiblat ikut yang awal iaitu menghadap ke arah Ka’bah di Makkah, sebagaimana yang diingini oleh Rasulullah SAW & para sahabat!

AYAT 143- {DAN DEMIKIANLAH (SEBAGAIMANA KAMI TELAH MEMIMPIN KAMU KE JALAN YANG LURUS), KAMI JADIKAN KAMU (WAHAI UMAT MUHAMMAD) SATU UMAT YANG PILIHAN LAGI ADIL, SUPAYA KAMU LAYAK MENJADI ORANG YANG MEMBERI KETERANGAN KEPADA UMAT MANUSIA (TENTANG YANG BENAR DAN YANG SALAH) DAN RASULULLAH (MUHAMMAD) PULA AKAN MENJADI ORANG YANG MENERANGKAN KEBENARAN PERBUATAN KAMU. (SEBENARNYA KIBLAT KAMU IALAH KAABAH) DAN TIADALAH KAMI JADIKAN KIBLAT YANG ENGKAU MENGADAPNYA DAHULU ITU (WAHAI MUHAMMAD), MELAINKAN UNTUK MENJADI UJIAN BAGI MELAHIRKAN PENGETAHUAN KAMI TENTANG SIAPAKAH YANG BENAR-BENAR MENGIKUT RASUL SERTA MEMBENARKANNYA DAN SIAPA PULA YANG BERPALING TADAH (BERBALIK KEPADA KEKUFURANNYA) DAN SESUNGGUHNYA (SOAL PERALIHAN ARAH KIBLAT) ITU ADALAH AMAT BERAT (UNTUK DITERIMA) KECUALI KEPADA ORANG-ORANG YANG TELAH DIBERIKAN ALLAH PETUNJUK HIDAYAH DAN ALLAH TIDAK AKAN MENGHILANGKAN (BUKTI) IMAN KAMU. SESUNGGUHNYA ALLAH AMAT MELIMPAH BELAS KASIHAN DAN RAHMATNYA KEPADA ORANG-ORANG (YANG BERIMAN).} (AL-BAQARAH 2:143)

  1. Umat Islam dijadikan Allah SWT sebagai umat yang adil { أُمَّةًۭ وَسَطًۭا}- iaitu:
    i- Umat pilihan lagi adil.

    ii- Umat yang pertengahan iaitu pertengahan dalam segala pembawaan, tidak melampaui & tidak keterlaluan dalam menganut kepercayaan.

    iii- Juga dalam akhlak & amalannya. Segalanya berkeadaan di tengah-tengah. Soal dunia & akhirat sama-sama dipandang, dipelajari, diusaha & diambil berat!
  1. Maka setiap orang yang berdiri di tengah, mengambil tahu secara mendalam & mengambil berat kepada perkara yang berlaku sekelilingnya, pertimbangan & pandangannya mengenai baik buruk sesuatu perkara itu, akan adil, benar & sahih.
    Layaklah ia memberi keterangan kepada orang yang kedaannya tidak sepertinya.
    Yakni kita umat Nabi Muhammad, umat pertengahan yang berada di tengah antara:
    i- Yahudi melampaui, merendahkan Nabi Isa, mengatakan Isa anak tak sah taraf.

    ii- Nasrani yang melampaui dengan mengatakan bahawa Isa anak Tuhan & juga Tuhan! Kita berada di landasan yang benar & tepat.
    Kita umat Islam mengatakan bahawa nabi Isa adalah hamba Allah & Rasul-Nya yang dilantik.
  1. Maka kita dijadikan umat pertengahan, umat pilihan yang adil, supaya kita layak untuk memberi keterangan kepada manusia tentang perkara yang benar & yang salah.
    Rasulullah SAW pula akan menjadi orang yang merengakan kebenaran perbuatan kamu!
  1. Sebenarnya kiblat kamu wahai Muhammad SAW adalah Ka’bah & tidaklah kami menjadikan kiblat kamu sebelum itu melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan kami, siapakah yang benar-benar mengikut Rasul & siapa yang berpaling tadah darinya!
    Ini adalah batu ujian.
  1. Sesungguhnya ujian pertukaran kiblat itu amat berat kecuali oleh orang yang diberi oleh Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan bukti iman kamu!
    Yakni Allah tidak akan menghilang pahala solat orang Islam yang telah mengerjakannya sebelum peralihan kiblat itu, ini untuk menjawab kemusykilan yang ditanya oleh para sahabat Rasulullah SAW. tentang solat yang mereka lakukan semasa peralihan kiblat.
  1. Itu adalah isu kecil, Allah SWT tidak akan membatalkannya, sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada orang-orang yang beriman.
  1. Huraian ayat:
    i- Sebagaimana Allah telah pilih untuk kamu, tukar kiblat yang paling afdhal, masjid yang paling afdhal, solat yang paling afdhal di mana solat di Masjidil Haram bersamaan pahala dengan 100,000 kali solat ditempat lain.

    ii- Maka Allah telah menjadikan kamu pula umat pilihan, umat yang terbaik pertengahan antara yang terlalu melampaui & terlalu keras atau cuai.
  1. Hadis dari Mua’wiyah Bin Haidah Al-Qhusyairi RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
    “Sesungguhnya kamu sekalian menyempurnakan 70 umat. Kamu sekalian adalah yang paling baik dan paling mulia di sisi Allah.” [HR Ahmad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah. Hadis hasan.].
  1. Dari Abu Said Al-Khudri RA: Bahawa dia mendengar Rasulullah SAW membaca ayat ini (iaitu tentang umat wasotha). Al-Wasothu ertinya Al-‘adl (adil) iaitu maksudnya umat yang adil. [HR Bukhari].
  1. Hadis dari Abu Sa’id berkata, Rasulullah SAW bersabda, “(Pada hari kiamat) Nabi Nuh AS dan umatnya datang lalu Allah Ta’ala berfirman, “Apakah kamu telah menyampaikan (ajaran)? Nuh AS menjawab, “Sudah, wahai Rabb-ku.” Kemudian Allah bertanya kepada umatnya, “Apakah benar dia telah menyampaikan kepada kalian?” Kaumnya jahat, mereka menjawab, “Tidak. Tidak ada seorang Nabi pun yang datang kepada kami.” Lalu Allah berfirman kepada Nuh AS, “Siapa yang menjadi saksi atasmu?” Nabi Nuh AS berkata, “Muhammad SAW dan umatnya.” Maka, kami pun bersaksi bahwa Nabi Nuh AS telah menyampaikan risalah yang dibawanya kepada umatnya. Begitulah seperti yang difirmankan Allah SWT (Al-Baqarah ayat 143 yang artinya), (“Dan demikianlah kami telah menjadikan kalian sebagai umat pertengahan untuk menjadi saksi atas manusia..”). [HR Ahmad & Ibnu Majah].
  1. Yakni soalan itu ditanya kepada umat setiap kumpulan, sebagai saksi adakah para rasul yang diutuskan kepada mereka telah menyampaikan risalahnya??
    i- Manakala kita semua umat Nabi Muhammad SAW akan menjadi saksi pula ke atas umat terdahulu.
    Jika mereka jawab dusta pun kita akan menjadi saksi bahawa para rasul dan nabi terdahulu telah menyampaikan dan menjalankan tugas masing-masing.

    ii- Bagaimana kita nak menjadi saksi bahawa para nabi itu telah menjalankan tugasnya, sedangkan kita tidak pernah berjumpa dengan nabi terdahulu ini?

    iii- Kita menjadi saksi berdasarkan fakta dan hujjah yang berpandukan Al-Quran yang disampaikan kepada kita melalui Rasulullah SAW. yang telah memperakui bahawa semua para nabi itu telah menjalankan tugas masing-masing.
  1. Ayat ini juga ditafsirkan dengan firman Allah SWT tentang hal ini juga:
    {Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah).} (Al-Hajj 22:78).
  1. Banyak lagi la hadis-hadis Rasulullah SAW yang menunjukkan bahawa kita ini akan menjadi saksi kepada nabi-nabi terdahulu!
    Nabi SAW pula akan menjadi saksi akan kelayakan kita untuk menjadi saksi itu!
    Tugas Rasulullah SAW & kita umatnya sangat besar. Allah jadikan kita sebai-baik & seadil-adil umat untuk menjadi saksi kepada manusia & rasul-rasul lain sebelum ini.
  1. Apakah hikmah Allah pusing/tukar arah Kiblat itu?
    Sebab sebagai satu ujian ke atas hamba-Nya, untuk melihat siapa yang patuh, akur & taat dan siapa yang lari & siapa yang buat provokasi.
    Ia adalah satu isu yang besar lebih-lebih lagi apabila dipermainkan oleh kaum Yahudi!
  1. Alhamdulillah para sahabat Rasulullah SAW 100% menerimanya dengan baik, hatta yang sedang solat pun berpusing tanpa banyak soal. Mereka percaya & patuh tanpa banyak soal kepada arahan & perintah Allah & Rasul-Nya.
  1. Allah telah katakan ia isu yang besar & berat kecuali ke atas orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah SWT, ia menjadi mudah & tiada apa-apa isu.
  1. Beberapa hadis Rasulullah SAW tentang kisah ini:-
    i- Hadis riwayat Abdullah bin Umar RA: Sewaktu orang bersolat Subuh di Masjid Quba’, tiba-tiba datang berita mengatakan Rasulullah telah diarahkan menghadap ke Kaabah, maka mereka pun berpaling ke arah itu. [HR Bukhari].

    Pada waktu itu ahli Quba’ tak tahu lagi tentang pertukaran kiblat, tetapi apabila ada orang yang memberitahunya mereka terus patuh & taat tanpa banyak soal & pertikaian. Mereka percaya & thiqah sesama mereka.

    ii- Diriwayatkan bahawa Rasulullah sedang melawat kawasan Bani Salamah..
    Apabila tiba waktu solat Zuhur, baginda bersolat di masjid perkampungan itu.
    Sedang baginda berada dalam rakaat yang kedua solatnya, turun wahyu daripada Allah memerintahkannya agar menukar arah dari Masjidil-Aqsa ke arah Kaabah di Masjidil-Haram.
    Baginda terus berpaling menghadap ke arah Kaabah ke sudut bertentangan dengan mizab (saluran emas) dengan pusingan 180 darjah dan terus menyambung baki solatnya.
    Oleh kerana itu, masjid itu dinamakan Masjid Qiblatain yang masih lagi terdapat di Madinah.
    Boleh lihat hadis-hadis ini secara terperinci kisahnya dalam buku Madinah: https://dartaibah.com/?page_id=179…
  1. Yahudi teruskan provokasi- mainkan isu pula apa kisah orang yang telah mati yang solat ke arah Baitul-Maqdia dulu?
    Bagaimana dengan pahala mereka?
    Allah telah sediakan jawapannya bagi pertanyaan orang-orang yang bodoh ini!
  1. Allah sendiri yang jawabnya: Dia tidak akan sia-siakan iman mereka (iaitu solat mereka) ini kerana rahmat Allah amat besar untuk hamba-Nya tidak mungkin Allah akan gugur atau batalkan pahala mereka itu!
    Firman-Nya: {Dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).}
  1. Sabab nuzul ayat: Riwayat Al-Bara’ RA bahawa semasa di Madinah Rasulullah SAW diperintahkan untuk solat menghadap ke arah Baitul-Maqdis selama 16 atau 17 bulan sedangkan Baginda suka sekiranya boleh menghadap ke arah Ka’bah.
    Kemudian Baginda mendapat perintah untuk tukar semuala kiblat ke arah Ka’bah di Makkah.
    (Kata ahli sejarah solat yang pertama kali dilakukan selepas perpindahan kiblat tersebut adalah solat Asar di Masjid Nabi.)

    Kata Al-Bara’ lagi timbul persoalan: “Ada beberapa orang yang telah meninggal, sedangkan mereka solat dengan menghadap ke Baitul-Maqdis.
    Maka para sahabat menanyakan tentang keadaan mereka dalam hal tersebut.” Maka turunlah ayat Quran ini
    . [HR Imam At-Tirmizi dari Ibnu Abbas, dan dinyatakannya hadis sahih.].
  1. Allah SWT jawab sendiri dengan zat-Nya yang mulia bahawa Allah tidak akan akan mensia-siakan solat kamu, pahalanya tetap tersimpan di sisi Allah! Akhirnya mati kutu (tiada hujjah) Yahudi tak boleh nak buat isu lagi!
  1. Tak mungkin Allah SWT nak gugurkan pahala mereka kerana sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada orang-orang yang beriman.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 142- {Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?”-

    Orang yang bodoh akan bercakap tentang pertukaran arah kiblat.
    Kata ulama’ : Ayat ini menenangkan hati Rasulullah SAW & para sahabat : Kerana maklum awal lagi sebelum ia berlaku.
    Allah telah beri petunjuk & maklumat kepada mereka apa yang akan berlaku, apa yang akan dilakukan & reaksi para Yahudi, musyrikin & para munafiq.

    Jika ada yang pertikai & buat isu; itu adalah orang yang bodoh- jangan layan!
    Maka Rasulullah SAW & para muslimin tidak lagi panik & ragu-ragu apabila ia berlaku!

    Sebagaimana Rasulullah SAW telah berpesan kepada Muaz Bin Jabal RA yang akan dihantar ke Yaman, bahawa dia akan berjumpa dengan ahli kitab di sana, mereka ini orang yang pandai berhujjah & banyak karenahnya. Ini sebagai peringatan untuk utusan Rasulullah SAW & pendakwah Islam membuat persediaan & persiapan. [HR Ibnu Majah].
    Kita pun jika mahu pergi melawat atau ziarah ke mana-mana, kita kena baca cari maklumat dulu untuk belajar adab budaya & tahu apa yang menarik dan bersejarah di situ.
    Baru kita tidak terpinga-pinga dan tak tahu apa keistimewaannya tempat yang kita pergi itu!
  1. Ayat 142- {Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?”}-

    Allah nyatakan kepada Rasulullah SAW bahawa orang Yahudi, kafir musyrikin dan para penentang Islam yang ada di Madinah akan persoal & pertikaikan tentang pertukaran kiblat.

    Kata ulama’ : Ini menunjukkan betapa pentingnya ada maklumat awal, supaya kita boleh membuat persediaan & persiapan untuk melawan mereka jika diserang mengejut.
    Lalu kita tidak akan panik & terkejut apabila menghadapi serangan atau kecaman!
    Ayat ini juga mengisbatkan ilmu Allah, yang ilmu pengetahuan-Nya meliputi semua apa yang telah berlaku sedang berlaku & akan berlaku!
    Maka memang berlakulah apa yang dikatakan Allah SWT ini, Yahudi datang terhegeh-hegeh untuk permainkan isu itu tetapi Rasulullah SAW telah tahu niat mereka & terus mematahkan hujjah mereka!
  1. Ayat 143- {dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya)}-

    Allah kata aku tak tukar kiblat ini kecuali nak uji hamba-Ku, siapa yang betul ikut rasul & siapa yang akan lari berpaling tadah!
    Allah SWT uji hamba-Nya dengan hukum-hakam.
    Ujian Allah SWT dalam hukum-Nya antaranya ialah adanya nasikh & Mansukh, tukar hukum dengan yang lain.

    Contoh dalam kes ini ialah pertukaran arah kiblat:
    i- Pertama sekali orang mukmin diuji pada awalnya untuk menghadap ke arah Baitul-Maqdis selama 16 bulan lebih sebelum bertukar ke arah Ka’bah.
    Sedangkan sudah sebati dalam jiwa mereka orang Arab, menghormati Ka’bah serta sebagai kiblat mereka.
    Maka menghadap ke arah Baitul Maqdis ini adalah satu ujian kepada mereka.

    ii- Tetapi bagi orang yang muslim mereka tetap patuh, akur tunduk serah kepada perintah Allah SWT tanpa soalan & berfikir banyak!
    Inilah yang dikatakan kehebatan & keistimewaan umat Muhammad SAW ini yang patuh & akur. Tidak seperti Yahudi bani Israel yang banyak karenah & soal helah mereka.
  1. Ayat 143- {dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah}-

    Sesungguhnya amat susah untuk berubah atau menerima perubahan, untuk laksanakan undang-undang Islam ini, ada orang yang terasa berat maka dia akan lari!
    Tetapi Allah kata ia kecil, mudah, senang untuk diterima segala arahan Allah & perintah Rasulullah SAW ini bagi orang yang Allah telah beri hidayah petunjuk.
    Sudah banyak kali kita bercakap bahawa bukan senang nak ubah orang, walaupun bertahun belajar ada orang yang masih tidak dapat tinggalkan sikap pemarah, perokok dan seumpamanya.

    Bab aurat, semua tahu bahawa tutup aurat itu wajib tetapi betapa masih ramai lagi yang tidak menunaikannya.
    Tenanglah hati kita jika kita & keluarga kita telah mendapat hidayah dari Allah kerana kitalah menjadi umat terpilih di kalangan orang yang dipilih oleh Allah!
  1. Ayat 143- {dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu.}-

    Allah tidak akan sia-siakan iman yakni solat yang kamu telah lakukan sebelum ini!
    Ayat ini menjadi dalil bagi ahlus Sunnah wal jama’ah bahawa ibadat atau amalan itu adalah sebahagian daripada iman.
    Kerana Allah namakan solat itu iman.
    Iman & ibadat mesti ada bersama.
    Bukan seperti fahaman murji’ah yang sesat yang mengatakan iman & amal lain-lain.
    Pelampau murji’ah mengatakan sesiapa yang telah mengucap dua kalimah syahadah walaupun tidak solat. Imannya setara dengan iman Sayyidina Abu Bakar RA! Betapa sesatnya fahaman mereka itu!
    Kita ahli Sunnah mengatakan iman & amal itu seiring bersama dan ada 3 peringkat:
    i- Tasdiq (membenarkan) dengan hati.

    ii- Ucap dengan lidah.

    iii- Zahirkannya dengan perbuatan anggota badan (ibadat).
    Tidak sempuran iman jika tidak cukup salah satunya.

    Kerana itu kita katakan iman itu bertambah & berkurang:
    i- Bertambah dengan bertambahnya amal ibadat.

    ii- Berkurang dengan kurangnya ibadat atau banyak perbuatan mungkar.
    Insya’ Allah ayat Al-Quran ini sangat besar & luas untuk kita tadabbur & perhatikan.

Semoga apa yang kita dapat walaupun ringkas ini dapat memberi kefahaman & keinsafan untuk kita.
Semoga bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs