View Categories

(6) Surah Al-Baqarah : Ayat 17-20

DUA BANDINGAN SIFAT MUNAFIQIN, PERANCANGAN MUDAH TERDEDAH & HIDUP SENTIASA RESAH.

Full video : https://youtu.be/WHaDKPrejL0?si=C0VfXFggGO54IvP0

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir surah Al-Baqarah ini dengan ayat 17 sehingga 20, iaitu siri yang ketiga tentang sifat golongan Munafiqin.
  1. Allah dedahkan tentang siapakah mereka ini, dari mana asal mereka, sifat buruk & perangai jahat mereka dalam 13 ayat dalam surah Al-Baqarah ini bermula dari ayat 8 sehingga ayat 20.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menyatakan dua bandingan sifat munafiqin;
    i- Iaitu seperti orang yang menyalakan api yang cepat padam ini bandingan kepada perancangan jahat mereka yang mudah terdedah & dapat dikesan.

    ii- Allah sebut tentang hujan yang turun, petir & ribut melanda; ini bandingan kepada hidup mereka munafiq yang tidak stabil, hidup sentiasa resah terumbang-ambing dalam stress & kebimbangan.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 17- {PERBANDINGAN HAL MEREKA (GOLONGAN YANG MUNAFIK ITU) SAMALAH SEPERTI ORANG YANG MENYALAKAN API; APABILA API ITU MENERANGI SEKELILINGNYA, (TIBA-TIBA) ALLAH HILANGKAN CAHAYA (YANG MENERANGI) MEREKA, DAN DIBIARKANNYA MEREKA DALAM GELAP-GELITA, TIDAK DAPAT MELIHAT (SESUATU PUN).} (AL-BAQARAH 2:17)

  1. Allah buat bandingan tentang golongan munafiq yang cuba membuat tipu daya & khianat terhadap orang Islam seperti:
    i- Orang yang menyalakan unggun api, apabila nyala maka cerahlah kawasan sekitar mereka itu untuk mereka ambil manfaat berjalan atau memanaskan badan.

    ii- Kata ulama’ maksudnya: Iaitu tentang orang munafiq yang berada bersama orang Islam, pada awalnya mereka seolah beriman ini kerana orang yang beriman itu orang yang cerah hati & hidupnya. Maka cerahlah seketika hidup mereka, mereka boleh lihat apa yang baik, benar & jelas apa yang beri manfaat atau tidak.

    iii- Ini nak beritahunya bahawa orang munafiq ini mereka bersama Nabi SAW di Madinah, mereka telah nampak & lihat kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
    Mereka tahu apa yang benar & apa yang salah tetapi tetap memilih untuk menolak kebenaran & mengingkari Rasulullah SAW!

    iv- Juga interaksi Rasulullah SAW & para sahabat dengan mereka adalah seperti orang Islam juga, kerana mereka menzahirkan keislaman maka harus berhukum dengan apa yang zahir.
    Apa yang ada dalam hati manusia hanya Allah yang tahu!
  1. Kemudian Allah SWT padamkan api itu, maka gelaplah hidup mereka tidak nampak apa satu, tinggallah apa yang memberi mudarat iaitu asap, kegelapan & kebakaran.
    i- Iaitu apabila mereka kembali menjadi kafir yang munafiq maka hilanglah cahaya petunjuk keimanan yang mereka nampak sebelum ini! Iaitu mereka berada dalam gelap kekufuran, gelap syak keraguan & gelap munafiq yang bermuka dua.
  1. Kalimah gelap digunakan secara jamak, plural (ظُلُمَـٰتٍۢ) kerana ia pelbagai dan datang dari pelbagai sumber kegelapan malam, kegelapan syaitan & kegelapan kesesatan!
  1. Manakala cahaya petunjuk (نور) digunakan kalimah singular (mufrad) kerana jalan kebenaran hanya satu iaitu petunjuk hidayah dari Allah & Rasul-Nya SAW.

AYAT 18- {MEREKA (SEOLAH-OLAH ORANG YANG) PEKAK, BISU DAN BUTA; DENGAN KEADAAN ITU MEREKA TIDAK DAPAT KEMBALI (KEPADA KEBENARAN).} (AL-BAQARAH 2:18)

  1. Keadaan mereka ini amat buruk maka Allah gambarkan mereka ini seperti orang yang pekak, bisu dan buta.
    Ini pakej tiga serangkai: tiga kecacatan & kekurangan sekaligus.
  1. Jika setakat buta sahaja tetapi mulut bercakap & telinga dapat mendengar, ramai orang alim yang sebegini!
    Buta mata penglihatan tetapi cerah mata hatinya sehingga menjadi alim ulama’, ahli hadis & mufti-mufti yang berkaliber & banyak ilmu!
    Jika tiada telinga & bisu pula, mata sahaja yang ada pun lemah, nak bercakap tak boleh, nak dengar tak boleh hanya mata berkelip-kelip!!
  1. Allah gambarkan betapa buruknya keadaan munafiq ini, ketiga-tiganya tidak ada, betapa dahsyatnya:
    i- Pertama sekali mereka tiada pendengaran atau tuli {صُمٌّ}- iaitu mereka pekak tidak dengar petunjuk & Al-Quran.

    ii- Mereka juga bisu {بُكْمٌ} tidak bercakap dengan Al-Quran & Islam.
    Hanya bercakap dengan kekufuran.

    iii- Mereka juga buta {عُمْىٌۭ} tidak melihat dengan mata hati mereka kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
  1. Firman Allah SWT:
    i- {Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.} (Al-Hajj 22:46)

    ii- {(Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah).} (Al-Munafiqun 63:3)
  1. Inilah kerugian yang amat nyata ayat ini untuk orang munafiq.
    Untuk kita hari ini sama juga- banyak kerugian yang berlaku- duduk dekat masjid dah tetapi orang ke masjid solat jemaah, orang pergi belajar & dengar kuliah kita tak pergi, orang menadah Kitab & Al-Quran kita dengar saja!
  1. Selesai lah bandingan pertama iaitu tentang orang munafiq yang akan berada dalam kegelapan apabila padamnya cahaya petunjuk dari Allah SWT!

AYAT 19- {ATAU (BANDINGANNYA) SEPERTI (ORANG-ORANG YANG DITIMPA) HUJAN LEBAT DARI LANGIT, BERSAMA DENGAN GELAP-GELITA, DAN GURUH SERTA KILAT; MEREKA MENYUMBAT JARINYA KE DALAM TELINGA MASING-MASING DARI MENDENGAR SUARA PETIR, KERANA MEREKA TAKUT MATI. (MASAKAN MEREKA BOLEH TERLEPAS), SEDANG (PENGETAHUAN DAN KEKUASAAN) ALLAH MELIPUTI ORANG-ORANG YANG KAFIR ITU.} (AL-BAQARAH 2:19)

  1. Allah buat pula perbandingan yang kedua iaitu; mereka seperti orang yang ditimpa hujan lebat dari langit dalam keadaan gelap gelita dengan guruh serta kilat menyambar!
  1. Apabila dalam keadaan ini; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. Inilah dua jenis munafiq.
  1. Kata Ibnu Kathir rhm.: Dua contoh ini hanya untuk 1 jenis munafiq sahaja, cuma keadaan mereka berbeza.
  1. Allah buat bandingan ini:
    i- Hujan {صَيِّبٍۢ } itu seperti Al-Quran yang turun dari langit, dari Allah!
    Maka kaum munafiqin pun mengaku beriman dengan lidahnya!

    ii- Maka berlakulah kegelapan {ظُلُمَـٰتٌ } yang bertingkat-tingkat: gelap malam, gelap awan, gelap hujan; yakni orang munafiq itu ada tiga kegelapan juag iaitu: Syak keraguan, kufur & nifaq-munafiq.

    iii- Manakala guruh {رَعْدٌۭ } pula ialah maksudnya janji-janji dalam Al-Quran; amaran, perintah & larangan Allah SWT!
    Al-Quran ini turun mengetuk kepala munafiqin & seluruh orang yang beriman atas dunia ini.

    Kaum munafiq takut sangat kepada ayat Al-Quran sebagaimana firman Allah SWT:
    -{Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka.} (Al-Munaafiquun 63:4)
    -{Dan mereka (yang munafik itu) bersumpah dengan nama Allah bahawa sesungguhnya mereka dari golongan kamu, padahal mereka bukanlah dari golongan kamu, tetapi mereka ialah suatu kaum yang pengecut. Kalau mereka dapat tempat perlindungan, atau gua-gua, atau lubang-lubang dalam tanah, nescaya mereka segera menuju ke arahnya serta melompat masuk ke dalamnya.} (At-Taubah 9:57)

    iv- Kilat {بَرْقٌۭ } pula ialah seumpama hujjah-hujjah dalam Al-Quran yang mantap.
    Apabila puak munafiqin mendengarnya mereka tercengang seketika sehingga silau mata mereka seolah terkena sinaran kilat!
    Tetapi apa boleh buat mereka tetap tidak nampak kerana tertutup mata hati mereka!

    v- Mereka sumbat telinga ke dalam telinga kerana takut akan suara petir {ٱلصَّوَٰعِقِ} petir pula bandingan kepada segala taklif (tanggungjawab) Syara’.
    Amaran & nasihat dari Al-Quran mereka tak mahu dengar, maka mereka tutup telinga mereka!
    Kita orang yang beriman yang tidak mahu dengar amaran & nasihat pun beginilah juga!

    vi- Ini kerana mereka takut mati { حَذَرَ ٱلْمَوْتِ}- iaitu takut datang sungguh apa yang Allah SWT janjikan dalam Al-Quran mereka takut Allah ambik tindakan atas sifat munafiq mereka!
    Mereka takut Allah segerakan tindakan ke atas mereka atas dunia atau tangguhkan ke akhirat sama saja!
  1. Allah SWT bagi amaran di akhir ayat:
    wahai puak kafir & munafiq! tak payah nak bersembunyilah Allah SWT tahu semua karenah & perbuatan kamu!
    Allah SWT Maha Mengetahui apa yang tersembunyi & jelas!

AYAT 20- {KILAT ITU PULA HAMPIR-HAMPIR MENYAMBAR (MENGHILANGKAN) PENGLIHATAN MEREKA; TIAP-TIAP KALI KILAT ITU MENERANGI MEREKA (DENGAN PANCARANNYA), MEREKA BERJALAN DALAM CAHAYANYA. DAN APABILA GELAP MENYELUBUNGI MEREKA, BERHENTILAH MEREKA (MENUNGGU DENGAN BINGUNGNYA). DAN SEKIRANYA ALLAH MENGHENDAKI, NESCAYA DIHILANGKANNYA PENDENGARAN DAN PENGLIHATAN MEREKA; SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-BAQARAH 2:20)

  1. Kilat itu pula hampir membutakan mata puak munafiq dengan kilauan cahayanya!
  1. Maksudnya hujjah-hujjah yang mantap & dalil dari Al-Quran yang jelas di depan mata mereka; seolah membutakan mata mereka dengan sinaran kebenarannya. Al-Quran itu jelas di depan mereka tetapi mereka tutupnya tidak mahu lihat!
    Malangnnya hidup sezaman dengan Rasulullah SAW tetapi tidak beriman dengannya!
  1. Apabila pancaran cahaya kilat menyambar dapatlah mereka berjalan berpandukan kecerahannya.
    Tetapi apabila cahaya kilat itu padam, mereka tidak dapat bergerak lagi; menunggu dengan kebingungan dalam gelap; tidak tahu ke mana hendak dituju lagi! Berpinar mata tidak dapat melihat dengan baik.
  1. Yakni Allah buat bandingan selepas mendengar Al-Quran mereka kebingungan tidak tahu hendak pilih yang mana!
    Cerah sekejap hati atau jalan hidup mereka; tetapi cahaya itu tidak lekat lama, kerana mereka akan kembali kufur apabila bersama kaum mereka!
    Mereka adalah kaum yang terumbang-ambing & tidak tahu arah tujuan!
  1. Ini adalah peringatan atau amaran dari Allah SWT untuk meghilangkan penglihatan mereka sebagai akibat dari pembalasan atas perbuatan jahat munafiq & kufur mereka.
  1. Allah tutup ayat ini dengan mengatakan: Sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkan-Nya pendengaran dan penglihatan mereka;
  1. Yakni sesungguhnya Allah SWT amat berkuasa untuk membalas & menjatuhkan hukuman ke atas semua. Kaum kafir & munafiq!
    Maka takutlah kamu akan tindakan yang akan diambil ke atas kamu!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 17- {Perbandingan hal mereka (golongan yang munafiq itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).}

    Dalam ayat ini Allah nyatakan kepada kita dalam ayat ini bahawa cahaya Allah SWT itu terpisah daripada manusia.
    Jika cahaya itu bersama kita sentiasa pasti kuatlah iman mereka!
    Cahaya itu datang dengan hujjah & keyakinan, dengan bukti maka orang yang beriman dia akan yakin maka cahaya keimanan akan menjadi penyuluh kehidupannya sebagai petunjuk ke arah kebaikan & dia akan berjalan atas landasan yang benar & akan selamat!

    Maka amat rugilah jika cahaya sudah ada di tangan kita (Al-Quran: Kitab Tafsir & Hadis Nabi SAW) tetapi kita tidak gunakannya untuk menjadi penyuluh jalan (lampu suluh, torch light) yang akan kita lalui & ikuti!
    Al-Quran hanya ada di tangan, dibaca, diambil berkat, tetapi tidak difahami & tidak diamalkan!
  1. {(Tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).}-

    Dalam ayat ini Allah SWT guna lafaz jamak plural untuk kalimah gelap (ظُلُمَـٰتٍۢ), manakala cahaya petunjuk (نور) digunakan kalimah singular (mufrad).
    Ini kerana:
    i- Ini kerana jalan kebenaran Al-Haq, hanya satu iaitu petunjuk hidayah dari Allah melalui jalan yang dihurai oleh Rasul-Nya SAW. Bukan jalan yang direka atau yang ikut nafsu. Maka Allah guna lafaz mufrad untuk (نور).

    ii- Tetapi jalan kegelapan, kebatilan & kesesatan itu banyak dan datang dari pelbagai sumber- datang dari syaitan, dari hawa nafsu, dari kejahatan manusia, dai rekaan yang pelbagai, maka Allah guna lafaz jamak untuk (ظُلُمَـٰتٍۢ).

    Firman Allah SWT:
    i- {Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman.
    Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) { ٱلظُّلُمَـٰتِ} kepada cahaya { ٱلنُّورِ} (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.} (Al-Baqarah 2:257)
  1. Ayat 19- {Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati.}-

    Allah sebut dalam ayat ini bahawa mereka menyumbat jari-jari ke dalam telinga mereka.
    Manakala dalam Ayat 20- {Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka;}-
    Allah ceritakan bahawa hampir-hampir kilat itu mengambil atau membutakan mata mereka.
    Kenapa Allah sebut dua perkara ini, telinga & mata???

    Jawapan:
    Kerana dua pancaindera ini adalah punca dua sumber utama maklumat bagi manusia; kita dengar & lihat lalu masuk ke dalam hati untuk kita fikir!

    Tetapi apabila Allah SWT hantar Al-Quran sebagai hujjah & bukti dalil yang nyata mereka sumbat telinga kerana tidak mahu mendengar & menerimanya.
    Maka orang yang tidak mahu menerima kebenaran dia lari dari hujjah & dalil kebenaran dengan tutup matanya & sumbat telinganya.
    Inilah perbandingan yang Allah buat akan keadaan orang munafiq itu!
  1. Ayat 17- {Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya).}

    Yakni apabila api menyala, cerahlah keadaan sekeliling.
    Kata ulama’ ini menunjukkan iman itu adalah seperti cahaya.
    Apabila ia menusuk masuk ke dalam hati manusia ia akan memberi kesan!

    Hatta kepada hati orang munafiq yang ketika bersama orang Islam apabila mereka dengar ceramah atau ayat Al-Quran cahaya iman masuk sekejap ke dalam hati mereka tetapi tidak terpasak nampak cahaya tetapi tidak terkesan dengannya.

    Apabila mereka kembali kepada kaum & ketua mereka {شَيَـٰطِينِهِمْ}- mereka kembali kufur & mengaku bahawa mereka hanya main-main, pura-pura beriman!
    Maka hilanglah cahaya itu yang tidak terpasak dan lekat dalam hati.
    Inilah yang kita takut! kita ada cahaya tetapi tidak terpasak & memberi kesan kepada hati- amat rugi & malang sekali.
  1. Ayat 20- {Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkanNya pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.}

    Allah sebut di sini tentang pendengaran dan penglihatan mereka.
    Dua pancaindera kita ini adalah sumber maklumat & sumber ilmu.

    Kerana itu selalulah kita berdoa agar Allah selamatkan dua anggota kita ini, seperti yang kita baca pada setiap pagi & petang dalam zikir pagi petang sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW:
    اللّهُـمَّ عافِـني في بَدَنـي ، اللّهُـمَّ عافِـني في سَمْـعي ، اللّهُـمَّ عافِـني في بَصَـري ، لا إلهَ إلاّ أَنْـتَ.
    Ya Allah, kurniakanlah kesihatan pada badanku, Ya Allah, kurniakanlah kesihatan pada pendengaranku, Ya Allah kurniakanlah kesihatan pada penglihatanku, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau.

    Yakni kita meminta agar tubuh kita sihat, telinga tidak tuli daripada mendengar terus atau tuli daripada mendengar kebenaran, juga selamat penglihatan kita agar tidak buta & tidak buta dari melihat kebenaran, iaitu buta bashirah (بصيرة).
    Janganlah kita menjadi golongan munafiq yang buta, pekak dan bisu dari menerima kebenaran Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Powered by BetterDocs