ANCAMAN MENYEMBUNYIKAN KEBENARAN, MENUKAR HIDAYAH DENGAN SESAT & BAHAYA IKHTILAF TENTANG KITAB.
Full video : https://youtu.be/_IB-M29Levg?si=HcnR872yw1r4ydwC
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 174 sehingga ayat 176 bagi surah Al-Baqarah, surah yang kedua dalam juzu’ yang kedua.
- Dalam siri ini Allah SWT memberi amaran dan ancaman bagi golongan yang menyembunyikan kebenaran yang Allah SWT nyatakan.
Dia tahu benda itu benar tetapi tidak ikut atau nyatakan atau halalkan apa yang haram dan sebaliknya.
Ini adalah satu perbuatan yang bahaya kerana banyak yang terganggu kerananya. - Allah juga nyatakan tentang golongan yang menukar hidayah dengan sesat, iaitu jual akhirat semata-mata kerana dunia.
- Pada akhir ayat Allah sebut tentang bahaya ikhtilaf, bercanggah pandangan dalam sudut usul agama seperti Aqidah.
Tetapi jika berbeza pandangan dalam furu’ (cabang) Syari’ah tidak menjadi masalah bahkan ia adalah satu keluasan dalam agama. - Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
i- Allah ceritakan tentang sikap ahli kitab yahudi & nasrani yang suka memain-mainkan hukum Allah. Halalkan apa yang Allah haramkan, reka ibadat yang tidak anjurkan, buat hukum yang Allah tidak perintahkan, hidup sebagai rahib tidak berkahwin beranak pinak dan seumpamanya.
ii- Dalam ayat ini pula Allah SWT bongkarkan sikap ahli Kitab tentang Al-Quran & terhadap Rasulullah SAW.
Juga sikap mereka terhadap kitab yang turun kepada mereka dulu iaitu mereka telah menyembunyikan maklumat yang sahih, tukar hukum Allah, menzahirkan pembohongan dengan menjual atau menunggang agama iaitu cari habuan dunia!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 174- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG MENYEMBUNYIKAN (MEMINDA ATAU MENGUBAH) APA-APA KETERANGAN KITAB SUCI YANG TELAH DITURUNKAN OLEH ALLAH, DAN MEMBELI DENGANNYA KEUNTUNGAN DUNIA YANG SEDIKIT FAEDAHNYA, MEREKA ITU TIDAK MENGISI DALAM PERUT MEREKA SELAIN DARI API NERAKA, DAN ALLAH TIDAK AKAN BERKATA-KATA KEPADA MEREKA PADA HARI KIAMAT, DAN IA TIDAK MEMBERSIHKAN MEREKA (DARI DOSA), DAN MEREKA PULA AKAN BEROLEH AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AL-BAQARAH 2:174)
- Allah memberi amaran & ancaman kepada orang yang menyembunyikan, meminda atau mengubah apa-apa keterangan dalam Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah.
- Iaitu kaum yahudi & nasrani yang menyembunyikan tentang:
i- Fakta & maklumat tentang kenabian Rasulullah SAW. Ada keterangannya dalam Taurat & Injil tentangnya tetapi mereka ahli kitab sembunyikannya.
ii- Mereka sembunyikan sebahahian hukum yang ada- seperti hukum zina kerana mereka tidak mahu dikenakan hukuman ke atas mereka.
iii- Mereka menukar ayat-ayat Allah seperti menghalalkan apa yang diharamkan & haramkan apa yang Allah telah halalkan. - Sebab mereka melakukan perbuatan ini kerana nak habuan dunia yang sementara seperti harta, pangkat & kedudukan dan lain-lain.
- Walaupun ayat ini untuk yahudi & ahli kitab ia juga amaran untuk kita semua.
Jangan kerana nak pangkat saggup ketepikan agama & kebenaran, kerana gilakan dunia sanggup fitnah & menuduh orang lain.
Jangan kerana nak mata benda dunia yang sedikit kita sanggup runtuhkan akhirat kita! - Hukuman bagi mereka ini ialah balasan di akhirat kelak seperti apa yang mereka buat di dunia iaitu:
i- Pertamanya oleh kerana mereka jual agama untuk ambil habuan dunia; untuk penuhkan perut mereka dengan habuan dunia, isi perut dengan apa yang haram, mereka sembunyikan maklumat kebenaran; maka Allah sumbat penuhkan perut mereka pada hari Kiamat dengan api neraka!
Makan haram sama ada dengan sumber yang haram, maklumat songsang, penipuan, penyelewengan, zalim atau khiatat pada orang semuanya akan berdepan dengan hukuman yang Allah sebut ini!
ii- Kedua Allah SWT tidak akan bercakap dengan mereka dengan kata-kata yang menunjukkan keredhaan & kemuliaan kepada mereka. Ini kerana Allah SWT murka ke atas mereka!
iii- Allah SWT tidak akan bersihkan mereka daripada dosa mereka & Allah SWT tidak akan sekali-kali puji mereka. Ini kerana amalan & perbuatan mereka amat kotor & tidak berhak mendapat pujian dari Allah!
iv- Mereka juga akan mendapat azab siksa yang tidak terperi sakitnya!
Kata ulama’: Allah SWT akan kumpulkan dua azab ke atas mereka iaitu dengan sakit jiwa & sakit jasmani dengan siksa tubuh badan- wal ‘iazubillah! - Inilah yang kita takut kerana kelak kita akan bertemu dengan Allah SWT & akan didedahkan segala amal perbuatan atas dunia ini!
AYAT 175- {MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG MEMBELI KESESATAN DENGAN MENINGGALKAN PETUNJUK (AGAMA ALLAH), DAN (MEMBELI) AZAB SEKSA NERAKA DENGAN MENINGGALKAN KEAMPUNAN TUHAN. MAKA SUNGGUH AJAIB KESANGGUPAN MEREKA MENANGGUNG SEKSA API NERAKA ITU.} (AL-BAQARAH 2:175)
- Mereka telah menukar jalan yang benar, hidayah petunjuk yang Allah beri untuk membawa mereka ke syurga dengan jalan kesesatan yang boleh membawa mereka kepada azab siksa!
Jadi Allah bayangkan di sini seolah kita beli azab, jual nikmat iaitu beli dunia, jual akhirat. Semua ini bukan terpaksa tetapi pilihan mereka dengan sukarela! - Allah menyatakan ketakjuban kepelikan atas sikap mereka ini yang sanggup membinasakan diri mereka sendiri, sanggup menanggung azab Allah SWT dengan perbuatan mereka itu!
- Maka kita yang belajar al-Quran & Sunnah ini jangan meletakkan diri kita dalam risiko yang amat berat ini.
Ada ilmu, ada maklumat disembunyikan, ada fakta kebenaran tidak mahu beritahu atau menukar hukum & agama Allah! - Kita jangan lupa, ayat ini bukan khas untuk mereka ahli Kitab sahaja- tetapi untuk semua yang bersifat seperti spesis ini, menyembunyikan kebenaran & fakta maklumat yang dia tahu!
- Hadis Rasulullah SAW ke perkuburan Baqi’ dan para sahabat R.A mendengar Rasulullah mengeluh & memohon Allah agar menjaga saudaranya.
Mereka (para sahabat) berkata “Wahai Rasulullah, bukankah kami saudaramu?’ Baginda bersabda, ‘Bukan, bahkan kamu adalah para sahabatku.
Saudara-saudaraku adalah mereka (orang-orang beriman) yang belum ada sekarang ini dan aku akan mendahului mereka di telaga.’ Mereka berkata, ‘Wahai Rasulullah, bagaimana engkau mengenali orang-orang (beriman) yang datang setelah engkau dari kalangan umatmu?’ Baginda bersabda, ‘Bukankah jika seseorang punya kuda yang sebahagian kecil bulunya putih akan mengenali kudanya di tengah kuda-kuda yang hitam legam?’ Mereka menjawab, ‘Ya’. Baginda SAW berkata, ‘Sesungguhnya mereka akan datang pada hari kiamat dengan cahaya putih kerana wudhuk. Dan aku akan menunggu mereka di tepi telaga.” (HR Bukhari dan Muslim)
Kerana itu perbanyakkanlah wudhuk untuk mencerahkan muka kita, setiap kali ada peluang berwudhuklah. - Di padang Mahsyar yang panas terik itu, manusia berusaha untuk minum air di kolam Nabi SAW itu.
Sesiapa yang dapat minum airnya, dia tidak akan dahaga lagi selama-lamanya.
Namun, mereka yang tidak berpegang dengan sunnah akan dihalau daripada menikmatinya.
Diriwayatkan daripada Sahal Bin Sa’ad RA, katanya Nabi SAW telah bersabda:
إِنِّي فَرَطُكُمْ عَلَى الْحَوْضِ مَنْ مَرَّ عَلَيَّ شَرِبَ ، وَمَنْ شَرِبَ لَمْ يَظْمَأْ أَبَدًا ، لَيَرِدَنَّ عَلَيَّ أَقْوَامٌ أَعْرِفُهُمْ وَيَعْرِفُونِي ، ثُمَّ يُحَالُ بَيْنِي وَبَيْنَهُمْ ، فَأَقُولُ : إِنَّهُمْ مِنِّي ، فَيُقَالُ : إِنَّكَ لَا تَدْرِي مَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ ، فَأَقُولُ : سُحْقًا ، سُحْقًا ، لِمَنْ غَيَّرَ بَعْدِي
Ertinya: “Sungguhnya aku akan menunggu kamu sekalian di kolam Kauthar. Barangsiapa yang datang padaku akan minum ia dan siapa yang minum ia nescaya tidak akan dahaga selama-lamanya. Sungguh akan datang kepadaku beberapa kaum yang aku kenali mereka dan mereka mengenaliku kemudian dihalang antaraku dan antara mereka. Maka kataku: Sungguhnya mereka itu dari umatku. Lalu dikatakan: Sungguhnya kamu tidak tahu apa yang telah mereka perbuat selepas dari ketiadaanmu. Lalu aku berkata: Pergi dari sini. Pergi dari sini bagi barang siapa yang membuat perubahan selepas ketiadaanku.” (Hadith Bukhari & Muslim)
Dan dari riwayat Abu Hurairah RA. : فَيُقَالُ : إِنَّهُمْ قَدْ بَدَّلُوا بَعْدَكَ . فَأَقُولُ : سُحْقًا سُحْقًا
Ertinya: “Maka dikatakan: Sungguhnya mereka telah menggantikan syariatmu kemudian dari ketiadaanmu. Maka aku berkata: Pergi! Pergi dari sini.” (Hadith Muslim) - Jika nak selamat ikutlah apa yang diajar oleh Rasulullah SAW.
Inilah yang kita nak ajar bimbing para jemaah semua. Kita buatlah apa yang diajar oleh Rasulullah SAW setakat yang kita mampu apa yang kita terlepas atau tak dapat buat kita mohonlah keampunan dari Allah SWT. Jika kita rasakan apa yang kita belajar ini bertepatan dengan Sunnah Rasulullah SAW teruskan. - Untuk membaca lebih lanjut tentang Sirah & Sunnah Rasulullah SAW boleh baca dua buah ini:
https://dartaibah.com/?page_id=179…
https://dartaibah.com/?page_id=179#!/ - Ayat ini memberi peringatan & amaran yang amat besar, maka kita beringatlah & jagalah diri kita untuk mengelakkan kemurkaan Allah SWT lalu menjadi orang yang celaka & binasa!
AYAT 176- {(SEGALA BALASAN YANG BURUK) ITU ADALAH DENGAN SEBAB ALLAH TELAH MENURUNKAN KITAB DENGAN MENGANDUNGI KEBENARAN (TETAPI MEREKA BERSELISIH PADANYA); DAN SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERSELISIHAN MENGENAI (KEBENARAN) KITAB, ITU SEBENARNYA MEREKA ADALAH DALAM KEADAAN BERPECAH-BELAH YANG JAUH (DARI MENDAPAT PETUNJUK HIDAYAH ALLAH).} (AL-BAQARAH 2:176)
- Mereka itu berhak menerima azab kerana dosa mereka menyembunyikan kebenaran.
Allah SWT menurunkan ayat & hukumnya untuk disebar & diamalkan tetapi mereka menukar & modifiednya ikut suka nafsu dan untuk kepentingan dunia mereka! - Walaupun asal ayat ini diturunkan kepada yahudi & nasrani tetapi ia terpakai sehingga ke hari ini untuk ulama’ hari ini dan semua manusia agar menjauhkan sifat menyembunyikan kebenaran yang amat buruk & bahaya ini!
- Orang yang beriman dengan separuh kitab & kafir dengan separuh yang lain, mereka telah menyembunyikan banyak fakta dalam kitab, menzahirkan beberapa perkara yang menyalahi kebenaran; maka itulah manusia yang binasa dan celaka- wal-‘iyazu billah.
- Kita minta berlindung dengan Allah dari sifat yang tidak baik ini supaya kita selamat di dunia & aman di akhirat.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 174- {Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah,}-
Ayat ini mejadi kewajipan bahawa wajib untuk kita sebarkan ilmu. Lebih-lebih lagi ilmu yang berkait dengan Allah, dengan Rasulullah SAW & yang berkait dengan agama.
Dalam istilah pembahagian ia dipanggil ilmu fardhu ain; tentang ilmu tentang tauhid, ibadat, tentang mu’amalat ia wajib kita ajar.
Ia menjadi bertambah wajib apabila masyarakat tidak faham agama & banyak bertanya!
Wajib memberitahu perkara yang wajib dilakukan atau perintah yang wajib dijauhi!
Maklumat ini boleh disampaikan samada melalui lisan- kuliah ceramah khutbah atau melalui penulisan kitab, maqalah atau berdakwah secara direct ikut keadaan & suasana yang perlu!
Kita juga boleh ajar secara amali terus, kita tunjuk & ajar kepada orang cara untuk solat.
Ilmu wajib disebar bukan disembunyikan! - Ayat 174- {Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah,} –
Iaitu menyembunyikan benda benar, menyeleweng hakikat sebenar akan tenggelam dalam perkara yang batil; maka mereka berhak menerima azab yang pelbagai.
Kata ulama’: Orang yang bercanggah dalam bab usul agama (tunjang agama yang asli) adalah cukup bahaya kerana silapnya boleh meruntuhkan agama.
Tetapi ikhtilaf dalam bab kefahaman yang membawa kepada hukum itu adalah keluasan dalam agama.
Kita sembunyikan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW & para sahabat kerana takut kena atas kepala kita, takut menyekat habuan dunia yang akan diperolehi.
Ikhtilaf dalam memahami nas dalam bab furu’ itu satu keluasan dalam agama.
Contoh paling mudah perbezaan dalam 4 muslim berdasarkan pemahaman atas dalil yang dibawa:
i- Mazhab Syafei batal wudhuk jika tersentuh perempuan yang bukan mahram hatta isteri sendiri.
ii- Tetapi 3 mazhab lain kata tidak batal. Masing-masing berpegang dengan ayat yang sama iaitu {apabila kamu menyentuh perempuan} dalam mengeluarkan hukum ini.
Berbeza dalam furu’ boleh membawa kepada keluasan, tetapi berbeza dalam usul agama itu membawa kepada kesesatan & neraka!
Jadi bagaimana kita nak selamat? Kesimpulannya kita kembali kepada asal agama.
Sebagaimana kata Imam Malik rhm.: Tidak selamat, tidak sempurna dalam agama kecuali kita ikut yang awal; iaitu Rasulullah SAW, para sahabat & para salafus-soleh.
Tidak mengapa dalam bab kehidupan kita bercanggah selagi mana kita tidak bercanggah bab usul asal dalam Syari’ah. - Ayat 174- {mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.}-
Dalam ayat ini Allah SWT menyebut 3 dosa yang boleh membawa kepada 3 atau 4 azab yang telah disediakan Allah SWT!
Tiga dosa atau tiga jenayah:
i- Sembunyikan kebenaran
ii- Jual agama, iaitu orang yang tahu, ada ilmu ada maklumat tetapi demi habuan dunia sembunyikan atau seleweng; yakni jual agama!.
iii- Berbeza pandangan dalam usul agama (أصول الدين).
Ia membawa kepada tiga atau empat azab yang Allah sediakan:
i- Perutnya akan diisi dengan api neraka
ii- Allah tak bercakap dengan percakapan yang baik kepadanya.
iii- Allah tak puji & tak terima amalan mereka
iv- Bagi mereka azab yang pedih!
Kita rangkum ketiga- tiga isu dalam satu ayat ini untuk faedah yang ketiga ini. - Ayat 174- {mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api neraka,}-
Kata ulama’: Ini adalah keadilan Allah SWT dalam balasan terhadap hamba-Nya.
Kerana mereka ini atas dunia makan haram; maka Allah sumbat dalam perut mereka api neraka pada hari Kiamat- hukuman mengikut kadar dosa yang mereka buat. (الجزاء من جنس العمل).
Sesuatu perkara itu menjadi penyebab ke atas sebab yang berlaku (اطلاق السبب على المسبب):
i- Penyebab: kerana mereka makan dalam perut mereka benda yang haram atas dunia,
ii- Menjadi sebab mereka akan makan api neraka di akhirat kelak! - Ayat 176- {(dan sesungguhnya orang-orang yang berselisihan mengenai (kebenaran) kitab, itu sebenarnya mereka adalah dalam keadaan berpecah-belah yang jauh (dari mendapat petunjuk hidayah Allah).}-
Allah nyatakan bahawa orang yang bercanggah dan berbeza tentang Kitab ini; merekalah orang berada dalam berpecah-belah, dalam kesesatan yang jauh dari rahmat Allah!
Bukan semua ikhtilaf, berbeza pandangan ummat itu rahmat. Berbeza pendapat atau berpecah dalam perkara usul agama adalah satu bala (نقمة) dan satu kesalahan yang besar kerana ia membawa ke neraka!
Tetapi berpisah dalam furu’ (cabang Syari’ah) tidak mengapa, Insya’ Allah ada keluasannya dalam agama.
Walaupun berbeza pendapat- jika kita boleh kembalikan furu’ itu kepada pangkal jalan, berdasarkan kepada dalil hadis-hadis yang jelas, yang sahih, yang dihuraikan oleh para ulama’ yang muktabar.
Kenapa kita nak tinggalkan hadis yang sahih yang dipakai oleh ulama’ terawal semata-mata kerana nak ikut pandangan ulama’ mutakhir yang kadang-kadang mereka fatwa ikut realiti suasana semasa; yang tidak mengikut suasana amalan yang ada pada umat yang terdahulu!
Sebagaimana kata Imam malik RHM lagi: Tidak baik, tidak soleh agama umat ini kecuali apa yang telah berlaku pada umat dulu!
Kata-kata- “Ikhtilaf itu rahmat”
kata ulama’ bukan hadis Nabi SAW. Ia juga tidak tepat kerana boleh membawa makna sebaliknya iaitu ittifaq itu pula azab.
Cuma ikhtilaf itu memberi ruang kepada para ulama’ yang mahir dalam ilmu istinbat untuk mengeluarkan pandangan berdasarkan ilmu yang mereka ada; kadang-kadang pendapat mereka itu rajih diterima, adakalanya marjuh tidak kuat!
Menetapkan sebab: Allah kata di awal ayat 176- {(Segala balasan yang buruk) itu adalah dengan sebab Allah telah menurunkan Kitab}-
Iaitu menyatakan sebab kenapa dibawa sesuatu hukum atau perintah (اثبات العلل والأسباب).
Kata para ulama’: Dalam Al-Quran terdapat lebih daripada 100 tempat Allah nyatakan kenapa disuruh & kenapa dilarang.
Berbeza dengan puak jabariyyah yang sesat, yang mengatakan kita ini seperti robot, Allah buat semuanya kerana Dia nak, bukan ada sebab atau hikmah apa-pun disebaliknya.
Kita kata Maha Suci & Maha Tinggi Allah SWT daripada tuduhan mereka ini.
Semua yang dibuat oleh Allah SWT adalah berhikmah, berstrategi & mengandungi kelebihan yang besar semuanya.
Boleh tengok tentang hikmah hukum-hakam Allah dalam buku ini:
i- https://dartaibah.com/?page_id=179… &
ii- https://dartaibah.com/?page_id=179…
Alhamdulillah tamatlan perbincangan kita dalam siri ini, semoga memberi manfaat dunia & akhirat untuk kita semua.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.