TENTERA TOLUT DIUJI DENGAN SUNGAI, BILANGAN SEDIKIT BOLEH MENANG & NABI DAUD AS MEMBUNUH JALUT.
Full video : https://youtu.be/O31bkEay94g?si=etkXvMvOaX1Y1CIX
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 249 sehingga ayat 252 bagi surah Al-Baqarah. Surah yang kedua dalam juzu’ yang kedua.
- Dalam siri ini adalah sambungan kepada kisah Tolut yang dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi raja kaum bani Israil untuk menyelamatkan mereka yang ditindas oleh musuh mereka ketika itu.
- Ketika hendak keluar perang Allah SWT ceritakan tentang tentera Tolut diuji dengan larangan meminum air sungai untuk melihat siap yang benar-benar beriman.
- Akhirnya bilangan mereka yang terlepas daripada ujian itu hanya sedikit tetapi yang sedikit itu boleh boleh menang mengalahkan musuh.
- Munculnya tokoh panglima yang baru dalam peperangan ini iaitu Nabi Daud AS yang berjaya membunuh ketua perang musuh besar mereka- Jalut.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 249- {KEMUDIAN APABILA TALUT KELUAR BERSAMA-SAMA TENTERANYA, BERKATALAH IA: “SESUNGGUHNYA ALLAH AKAN MENGUJI KAMU DENGAN SEBATANG SUNGAI, OLEH ITU SESIAPA DI ANTARA KAMU YANG MEMINUM AIRNYA MAKA BUKANLAH IA DARI PENGIKUTKU, DAN SESIAPA YANG TIDAK MERASAI AIRNYA MAKA SESUNGGUHNYA IA DARI PENGIKUTKU, KECUALI ORANG YANG MENCEDUK SATU CEDUKAN DENGAN TANGANNYA”.} (AL-BAQARAH 2:249)
- Kemudian Tolut pun memipimpin tenteranya untuk keluar melawan musun yang menindas mereka bani Israil selama ini.
- Mengikut ahli Sejarah bilangan tentera Tolut ini begitu ramai dalam 70-80 ribu orang.
- Tiba-tiba mereka menemui sebatang sungai yang airnya bersih & jernih, tetapi mereka diuji kali ini:
i- Tolut mengatakan mereka dilarang daripada meneguk air itu dengan banyak apatah lagi terjun mandi di dalamnya.
ii- Mereka hanya dibenarkan minum sedikit saja air sungai itu, ceduk dengan satu cedukan tangan, hirup sekadar menghilangkan dahaga. - Munasabah ayat:
i- Bani Israil ini sikap mereka melampaui & keras. Mereka sering meminta benda-benda kebendaan (material) dari para nabi mereka.
Antara ujian ke atas mereka ialah apabila Allah melantik Tolut sebagai raja mereka, sedangkan Tolut orang miskin bukan keturunan bangsawan atau orang kaya di kalangan mereka.
Tetapi Allah hantar Tabut sebagai tanda keabsahan Kerajaan Tolut, bahawa Tolut inilah raja yang dipilih Allah. Lalu mereka menerima Tolut, terpaksa akur.
ii- Tolut pilih di kalangan pemuda mereka 70-8 ribu tentera dan pada waktu yang panas maka datanglah ujian ini iaitu sebatang sungai yang jernih airnya tetapi mereka dilarang dari meminumnya kecuali sedikit. - Dalam buku Qisasul-Anbiya’ oleh Syeikh Abdul Wahab an-Najjar: Selepas bani Israil keular ke palestin, selepas Nabi Musa AS, tidak ada lagi raja selama 350 tahun.
Pada masa itulah mereka diserang oleh kaum-kaum & negeri sekeliling, ada ketika mereka kalah & ada ketika mereka menang. Berlaku peristiwa ini apabila mereka sudah kalah, sudah dihalau keluar dari negeri mereka. Tabut (peti Sejarah barangan nabi Musa AS) juga telah dirampas oleh musuh.
Pada ketika itulah mereka pergi berjumpa dengan nabi mereka iaitu Samuel (Arab: صموئيل Shamu`ayl) atau Samwil untuk minta kepada Allah agar hantar kepada mereka seorang raja & pemimpin tentera! - Tolut yang dipilih itu dikatakan berasal dari keturunan Bunyamin- iaitu adik bongsu kepada nabi Yusuf AS. Dia seorang yang bijak akalnya, luas ilmunya. Serta hensem, tinggi tegap pula badannya! Maka kaum bani Israil terpaksa akur & terima kerana Allah telah memilihnya.
- Mereka diberi ujian dengan dikatakan kepada mereka:
i- Sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku,
ii- Dan sesiapa yang tidak merasai airnya kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya sahaja maka sesungguhnya ia dari pengikutku.
AYAT 249- {(SESUDAH DIINGATKAN DEMIKIAN) MEREKA MEMINUM JUGA DARI SUNGAI ITU (DENGAN SEPUAS-PUASNYA), KECUALI SEBAHAGIAN KECIL DARI MEREKA. SETELAH TALUT BERSAMA-SAMA ORANG-ORANG YANG BERIMAN MENYEBERANGI SUNGAI ITU, BERKATALAH ORANG-ORANG YANG MEMINUM (SEPUAS-PUASNYA): “KAMI PADA HARI INI TIDAK TERDAYA MENENTANG JALUT DAN TENTERANYA”. BERKATA PULA ORANG-ORANG YANG YAKIN BAHAWA MEREKA AKAN MENEMUI ALLAH: “BERAPA BANYAK (YANG PERNAH TERJADI), GOLONGAN YANG SEDIKIT BERJAYA MENEWASKAN GOLONGAN YANG BANYAK DENGAN IZIN ALLAH; DAN ALLAH (SENTIASA) BERSAMA-SAMA ORANG-ORANG YANG SABAR”.} (AL-BAQARAH 2:249).
- Setelah diperingatkan agar tidak rakus meneguk air sungai itu, ramai juga antara mereka meminum juga air sungai dengan rakusnya, dengan sepuas-puasnya! Hanya sedikit yang mendengar arahan Tolut itu, itulah mereka yang benar-benar beriman. Bilangan mereka amat sedikit berbanding dengan jumlah asal 80 ribu tadi.
- Menurut satu hadis:
حدَّثَني أصْحابُ مُحَمَّدٍ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ مِمَّنْ شَهِدَ بَدْرًا: أنَّهُمْ كانُوا عِدَّةَ أصْحابِ طالُوتَ الَّذِينَ جازُوا معهُ النَّهَرَ؛ بضْعَةَ عَشَرَ وثَلاثَ مِئَةٍ. قالَ البَراءُ: لا واللَّهِ، ما جاوَزَ معهُ النَّهَرَ إلَّا مُؤْمِنٌ. الراوي : البراء بن عازب المحدث : البخاري
Peperangan Badar melibatkan tentera Islam seramai 313 orang dan 1,000 orang tentera Musyrikin Makkah yang lengkap bersenjata. Bilangan ini menurut riwayat yang sahih adalah sama dengan bilangan tentera Talut yang memerangi Jalut! [HR Bukhari]. - Begitulah ujian Allah SWT amat besar. Kita ni sebelum diuji semuanya semangat- apabila diuji ramai yang lari! Berat sekali!
- Selepas itu berkata mereka yang tidak mendengar larangan, yang meminum air sungai sepuasnya tadi: {“Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”.}- menunjukkan tembelang mereka yang tidak ikhlas, tidak benar-benar beriman serta yakin dengan pertolongan Allah!
- Manakala mereka yang lepas ujian tadi berkata pula: {“Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah;}. Mereka juga amat yakin bahawa Allah sentiasa bersama-sama orang-orang yang sabar.
Yakni walaupun bilangan mereka sedikit berbanding dengan musuh yang ramai, mereka tetapi bersemangat untuk berjuang & yakin dengan janji Allah! - Itulah mereka yang benar-benar beriman, orang-orang yang yakin dengan pertolongan Allah & bahawa mereka akan menemui Allah.
- Ujian yang kecil-kecil datang anggaplah sebagai asam garam dalam kehidupan. Lawanlah ia dengan sabar & yakin akan pertolongan Allah!
AYAT 250- {DAN APABILA MEREKA (YANG BERIMAN ITU) KELUAR MENENTANG JALUT DAN TENTERANYA, MEREKA BERDOA DENGAN BERKATA: “WAHAI TUHAN KAMI! LIMPAHKANLAH SABAR KEPADA KAMI, DAN TEGUHKANLAH TAPAK PENDIRIAN KAMI SERTA MENANGKANLAH KAMI TERHADAP KAUM YANG KAFIR”.} (AL-BAQARAH 2:250)
- Mereka lalu meneruskan perjalanan untuk keluar menentang tentera musuh yang diketuai oleh Jalut.
- Langkah pertama mereka buat sebagaimana yang selayaknya bagi seorang mukmin, mereka berdoa dengan penuh keimanan meminta kepada Allah: {“Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”.}.
- Mereka tidak meminta pertolongan kepada orang yang telah mati, mereka tidak pergi berdoa di kubur Nabi Musa atau Harun AS tetapi berdoa terus kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa.
- Kata ulama’: Tanda keimanan seseorang itu ialah apa yang keluar dari lidahnya di saat gawat & darurat!
Siapa yang dia seru, siapa yang dia panggil ketika terkejut atau ditimpa ujian itu. - Masyarakat kita hari ini malangnya masih suka mencari yang pelik sama ada kubur atau tempat keramat para wali yang dianggap keramat untuk berzikir, berdoa dan seumpamanya!
AYAT 251- {OLEH SEBAB ITU, MEREKA DAPAT MENGALAHKAN TENTERA JALUT DENGAN IZIN ALLAH, DAN NABI DAUD (YANG TURUT SERTA DALAM TENTERA TALUT) MEMBUNUH JALUT. DAN (SESUDAH ITU) ALLAH MEMBERIKAN KEPADANYA (NABI DAUD) KUASA PEMERINTAHAN, DAN HIKMAT (PANGKAT KENABIAN) SERTA DIAJARKANNYA APA YANG DIKEHENDAKINYA.} (AL-BAQARAH 2:251)
- Lalu dengan izin Allah, mereka yang sedikit itu dengan keimanan yang mantap & jitu dapat mengalahkan tentera Jalut! Jalut pula dibunuh oleh Nabi Daud yang turut serta dalam tentera Talut itu. Allah namakan pembunuh Jalut ini dengan jelas, iaitu Nabi Daud AS.
- Siapakah Daud pada masa itu? Dia seorang pemuda yang tidak dikenali- dia keluar ke medan peperangan kerana dihantar oleh bapanya untuk menjaga/berkhidmat kepada 3 orang abangnya yang lebih dewasa yang ikut serta dalam tentera Tolut, dia masih muda.
- Tiba-tiba ketika berlaku pertempuran antara satu sama satu (مبارزة) Daud menawarkan diri untuk berlawan dengan jalut.
Dia muncul sebagai hero penyelamat di saat akhir dengan keberanian & kekuatannya, dengan izin Allah berjaya membunuh ketua tentera musuh yang besar! Lalu seluruh tentera Jalut kalah. - Sebagai anugerah balasannya Allah memberikan kepadanya, Nabi Daud kuasa pemerintahan iaitu menjadi Raja, dan hikmat pangkat kenabian serta diajarkannya apa yang dikehendaki-Nya.
- Antara kelebihan Nabi Daud AS sebagaimana firman Allah SWT ini:
{Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga keselamatan kamu dalam mana-mana peperangan kamu, maka adakah kamu sentiasa bersyukur?} (Al-Anbiyaa’ 21:80)
AYAT 251- {DAN KALAULAH ALLAH TIDAK MENOLAK SETENGAH MANUSIA (YANG INGKAR DAN DERHAKA) DENGAN SETENGAHNYA YANG LAIN (YANG BERIMAN DAN SETIA) NESCAYA ROSAK BINASALAH BUMI INI; AKAN TETAPI ALLAH SENTIASA MELIMPAH KURNIANYA KEPADA SEKAMU ALAM.} (AL-BAQARAH 2:251)
- Begitulah Sunnah pertembungan (سنة التدافع) antara yang haq & yang batil, yang ma’ruf & yang mungkar, yang Sunnah & yang bid’ah. Allah telah aturkan agar dunia ini tidak musnah- bila ada kebatilan Allah akan hantar pejuang kebenaran untuk lawannya.
Bila bid’ah berleluasa Allah akan hantar pejuang Sunnah, sentiasa ada perlawanan untuk menegakkan kebenaran! - Inilah keyakinan kita bawa orang yang benar (ahlu haqq) akan diberi pertolongan oleh Allah selagi kita ikhlas dalam perjuangan untuk menengakkan Islam, Al-Quran & Sunnah Nabi SAW.
- Jika tiada Sunnah ini sudah lama hancur & musnah bumi. Tetapi jika tiada perlawanan tidak meriah pula bumi ini!
AYAT 252- {ITULAH AYAT-AYAT KETERANGAN ALLAH YANG KAMI BACAKAN DIA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) DENGAN BENAR; DAN SESUNGGUHNYA ENGKAU ADALAH SALAH SEORANG DARI RASUL-RASUL (YANG DIUTUSKAN OLEH) ALLAH.} (AL-BAQARAH 2:252)
- Allah telah hantar tanda-tanda keEsaan, keagungan & kekuasaan Allah serta tanda dalil kebenaran Rasulullah SAW!
Apa yang dibawa dalam Al-Quran adalah benar & ianya betepatan dengan apa yang dalam kitab-kitab ahli Kitab, maka mereka tidak dapat menafikannya isi kandungan & hujjah Al-Quran! - Ini menunjukkan Al-Quran & ajaran Rasulullah SAW dengan kitab terdahulu & ajarannya adalah dari sumber yang satu iaitu Allah Azza wa Jalla!
- Allah SWT akui bahawa Nabi Muhammad SAW sesungguhnya adalah salah seorang dari Rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah.
- Kisah ini menjadi contoh yang baik bagi umat Islam supaya mereka bertabah hati dalam menghadapi kesukaran yang timbul semasa berjuang mempertahan & menegakkan agama Islam dari diceroboh oleh musuh-musuh sebagaimana yang dilakukan oleh umat terdahulu.
- Rasulullah SAW juga beri jaminan bahawa akan sentiasa ada dari umat ini pejuang yang akan berjuang mempertahankan agama Allah SWT!
- Semoga kita termasuk dari kalangan orang yang beriman, akur, patuh serta dalam perjuangan menegakkan agama & Sunnah nabi SAW.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 249- {Kemudian apabila Tolut keluar bersama-sama tenteranya,]-
Tolut pilih tenteranya dan bawa mereka keluar ke medan peperangan.
Kata ulama’ antara pengajaran besar daripada ayat ini ialah kita kena pilih tentera atau pengikut yang benar-benar ikhlas untuk berjuang!
Kena buat ujian untuk memastikan antara yang ikhlas keluar untuk berjuang atau hanya ikut semata-mata mahu mencari peluang!
“Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”.
Lalu Allah uji mereka dengan berjumpa sungai yang jernih airnya tetapi tidak boleh minum kecuali sedikit. Tolut terus bagi syarat akan ujian itu:
i- Siapa yang minum banyak air bukan dari kumpulan tenteraku!
ii- Siapa yang tidak minum kecuali sedikit maka ia adalah dari golonganku!
Maka menjadi kewajipan kepada pemimpin untuk pilih atau lantik orang kena pilih yang betul-betul layak & mempunyai keahlian!
Jangan cari orang goyah tidak tetap pendiriannya apatah lagi tidak layak untuk jawtaan tersebut. Kena buat ujian untuk kepastian ini. - Ayat 249- {Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah;}-
Orang yang benar-benar beriman & ikhlas akan yakin sepenuhnya kepada pertolongan & janji Allah! Telah menjadi satu kaedah dalam perjuangan agama ini. Kumpulan yang betul-betul beriman tidak ramai!
Kerana itu Allah katakan berapa ramai bilangan yang sedikit dapat mengalahkan kumpulan yang ramai!
Ini kerana orang yang naik dengan susah ini akan mencapai kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT!
Ini kerana Allah tidak beri kepada mereka kecuali mereka telah melepasi ujian yang amat sukar yang Allah telah berikan!
Sebagaimana juga dalam Sirah Rasulullah SAW, dalam peperangan Badar tentera Islam hanyalah 313 orang tetapi berjaya mengalahkan 1000 orang tentera Quraisy yang ramai & lengkap, betapa ramai pemuka-pemuka Quraisy yang terbunuh!
Begitu juga saudara kita di Palestin. Jika ikut logik patutnya dengan kecanggihan senjata & teknologi Israil sudah lama mereka dapat menawan Palestin, tetapi tidak begitu!
Tetap tidak habis walaupun hari-hari kena bom. Mereka inilah yang menarik turun rahmat & pertolongan dari Allah SWT ke atas dunia ini. - Ayat 250- {Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”.}-
Apabila dalam keadaan gawat terus angkat tangan memohon pertolongan kepada Allah SWT! Doa ketika susah & sedangkan menghadapi perjuangan pertempuran, itulah waktu doa yang mustajab! Lalu Allah jawab & perkenankan terus doa mereka ini:
Ayat 251- {Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah,}
Firman Allah SWT juga: {Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).} (Al-Anfaal 8:45) - Ayat 251- {dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut.}-
Pemimpin yang muncul tanpa disangka. Allah SWT hadirkan Nabi Daud AS seorang pemimpin pada saat yang genting.
Kita jangan terikat dengan seseorang atau satu jalan saja, jangan bekukan otak kita dengan pandangan bahawa dakwah atau perjuangan kita hanya mengharap dan bergantung kepada tokoh-tokoh atau pemimpin tertentu saja Jika mereka tiada tak akan berjalan lagi dakwah kita dan seumpamanya. Kadang-kadang Allah hantar tokoh penyelamat atau pemimpin ini terkemudian sedikit.
Setelah lama berlalu dan wujud kepincangan yang ada, Allah akan hantar yang baru, yang fresh pula.
Kata ahli tafsir : Nabi Daud ini seorang pemuda yang masih muda, yang mengembala kambing, tiada pengalaman dalam peperangan pun. Bapanya hantar dia untuk ikut serta dalam tentera Tolut untuk menjaga keperluan 3 orang abangnya yang menjadi tentera! Tetapi bila Daud lihat tentera Tolut takut kepada Jalut, Daud pun menawarkan dirinya untuk mubarazah dengan Jalut. Tolut pun membenarkannya. - Ayat 251- {Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini;}
Allah kata di akhir ayat : Jika Allah tak bawa Sunnah pertembungan ini nescaya sudah lama rosak binasa bumi ini & hilang agama ini. Tetapi dengan adanya kumpulan Islam yang berjuang, menentang taghut pada zaman masing-masing maka agama ini terus tegak. Allah kata akhirnya kemenangan itu akan menjadi milik orang yang bertaqwa.
Kemudian Allah kata lagi di akhir ayat: {Akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.} – Allah akan beri kelebihan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Maka kita letakkanlah diri kita di dalam kumpulan orang yang beriman, orang yang berjuang!
Kata Ibnu Umar RA : Seorang mukmin & pejuang yang soleh, dia akan dapat menyelamatkan ratusan orang dari kalangan ahli keluarganya!
Yakni jika ada seorang pejuang yang soleh dalam satu negeri, insya’ Allah dia akan dapat menyelamatkan megeri itu daripada bencana & segala perkara yang tidak baik.
Sunnah tadafu’ (pertembungan) ini adalah satu Sunnah yang berterusan. Maka jika kita nak infaqkan diri kepada jalan Allah, kepada Sunnah Rasulullah kita kena bersedialah untuk mempertahankan diri atau menyerang kita kena ada kedua-duanya.
Dalam kisah ini ada beberapa perkara:
i- Mana-mana umat yang terasa dirinya dizalimi dianiayai, mereka akan bangkit mempertahankana dirinya.
ii- Orang yang layak berfikir untuk menyelamatkan satu-satu umat/ummah itu adalah ulama’ mereka sendiri. Jika ulama’ mereka pun jadi pak turut, lesu maka lemahlah juga ummah mereka!
Kata bijak pandai : Masalah Islam ini adalah antara kejahilan masyarakat & kelesuan ulama’, Ulama’ dulu mempunyai ummah; Ulama’ sekarang ada majikan.
iii- Kebanyakan orang menyangka yang layak jadi ketua hanya orang kaya & besar. Allah nak batalkan fahaman ini maka dilantik Tolut & dibangkitkan Daud.
iv- Mana-mana umat pasti akan berkelahi untuk pilih ketua kerana itu mereka serah kepada nabi mereka untuk pilih. Jika tak ada nabi lagi kena serah kepada mereka yang ada keahliannya.
v- Syarat nak jadi ketua kena ada kemahiran & kemampuan dalam bidangnya. Contoh: ketua tentera kena ada ilmu strategi perang & kuat gagah fizikalnya!
vi- Ramai tidak semestinya benar, sedikit tidak semestinya salah atau kalah. Sedikit juga boleh menang ke atas yang ramai jika benar-benar ikhlas dalam perjuangan! Jika tidak pengikut Abu Jahal yang ramai pastilah lebih benar daripada pengikut Rasulullah SAW yang sedikit.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.