View Categories

Surah Al-Baqarah : Ayat 271-272

SEDEKAH SECARA TERANG ATAU SEMBUNYI, DUA KATEGORI HIDAYAH & TIDAK RUGI BERSEDEKAH.

Full video : https://youtu.be/s-87tEJnm90?si=Ew1TX15cTamN3g3a

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 271 sehingga ayat 272 bagi surah Al-Baqarah. Surah yang kedua dalam juzu’ yang ketiga.
  2. Dalam siri ini Allah SWT terangkan tentang sedekah; sama ada dilakukan secara terang atau sembunyi, mana yang lebih baik.
  3. Kemudian sekali lagi dinyatakan bahawa ada dua kategori hidayah:
    i- Hidayah irsyad : Menunjuk jalan, memberi bimbingan; ini adalah kerja para rasul & para pendakwah semuanya.

    ii- Hidayah taufiq : Untuk menerima hidayah pula adalah kuasa Allah, kepada siapa yang nak diberi-Nya.
  4. Sekali-kali tidak akan rugi orang yang bersedekah kerana kebaikannya akan kembali kepada kamu sendiri! Iaitu keampunan & pahala yang besar dari Allah SWT.
  5. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat lepas Allah SWT telah perintahkan agar infaq kemudian jangan mengungkit, jangan menyakiti penerimanya. Allah juga sebut tentang kategori sedekah, ada yang beri barang baik ada yang beri barang buruk, yang sedekah tidak ada manfaat lagi.

    ii- Maka dalam ayat Allah bawa satu lagi jenis sedekah iaitu sedekah secara terang-terangan (zahir) atau sedekah secara sembunyi (batin).

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 271- {KALAU KAMU ZAHIRKAN SEDEKAH-SEDEKAH ITU (SECARA TERANG), MAKA YANG DEMIKIAN ADALAH BAIK (KERANA MENJADI CONTOH YANG BAIK). DAN KALAU PULA KAMU SEMBUNYIKAN SEDEKAH-SEDEKAH ITU SERTA KAMU BERIKAN KEPADA ORANG-ORANG FAKIR MISKIN, MAKA ITU ADALAH BAIK BAGI KAMU; DAN ALLAH AKAN MENGHAPUSKAN DARI KAMU SEBAHAGIAN DARI KESALAHAN-KESALAHAN KAMU. DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA MENGETAHUI SECARA MENDALAM AKAN APA YANG KAMU LAKUKAN.} (AL-BAQARAH 2:271)

  1. Allah nyatakan jika kamu zahirkan sesuatu sedekah itu atau sembunyikannya tidak jadi masalah dengan syarat kamu ikhlas melakukannya.
  2. Antara yang elok dizahirkan ialah sedekah wajib seperti zakat. Ini agar orang tidak syak lalu tuduh & tohmah kita tidak keluarkan zakat.
  3. Tetapi dalam masa yang sama Allah nyatakan jika kamu sembunyikan sedekah sunat yang kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu.
  4. Ini kerana antara kebaikan sembunyikan sedekah ini ialah:
    i- Kita tidak dedahkan identiti mereka si penerima.

    ii- Kerana ada setengah orang yang malu dan jaga maruahnya si depan orang.

    iii- Menambahkan keimanan pemberi.

    iv- Menjauhkan diri pemberi daripada riya’.
    Disclaimer : Pondok Sungai Durian (PSD) tidak pernah melantik sesiapa sebagai wakil apatah lagi pelajarnya untuk mengutip derma meminta sedekah di luar sana. Sesiapa yang nak derma untuk waqaf & Pembangunan PSD kita hanya beri nombor akaun Pondok atau datang sendiri ke Pondok.
    Jika ada terjumpa yang mengaku begini jangan percaya & tolong beri nasihat kepada mereka agar bertaqwalah kepada Allah, jangan jadi scammer.
  5. Manakala sedekah yang tidak mungkin disembunyikan ialah seperti sedekah atau derma kepada badan-badan NGO, team dakwah atau organisasi tertentu untuk menyatakan bahawa kita percaya kepada ketelusan mereka ini dan akuinya jika kita pun sudah siasatnya. Maka orang ramai pun boleh ikut serta menderma kepada mereka yang dipercayai ini!
  6. Manakala para NGO yang menjadi pihak penerima itu pula mesti tunjukkan aktiviti mereka dalam membelanjakan segala derma yang diterima, apakah disampaikan kepada asnaf penerima yang sepatutnya seperti yang mereka wakilkan.
  7. Hadis-hadis kelebihan sedekah:
    i- Rasulullah ﷺ bersabda:
    قَالَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ، فِي ظِلِّهِ، يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ، اْلإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ، اجْتَمَعَا عَلَيْهِ، وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ، وَجَمَالٍ، فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى، حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا، فَفَاضَتْ عَيْنَاه. (صحيح البخاري)
    “Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya:
    i- Pemimpin yang adil,

    ii- Seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah SWT

    iii- Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid,

    iv- Dua orang yang saling mencintai kerana Allah SWT, berkumpul dan berpisah kerana Allah juga,

    v- Seorang lelaki yang di ajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah’,

    vi- Seseorang yang bersedekah dengan menyembuyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta

    v- Seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri hingga meleleh air matanya, basah kerana menangis.” [HR Bukhari, Hadis no.620]

    ii- Kisah Abu Talhah RA : Seorang sahabat yang kaya di Madinah, datang berlari kepada Rasulullah SAW untuk menderma kebun yang paling disayanginya apabila mendengar firman Allah SWT ini: {Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.} (Aali’Imraan 3:92) [HR at-Tirmizi & Ahmad].
  8. Tetapi dalam ayat ini juga Allah SWT puji dua-dua;
    i- Yang sedekah secara rahsia, inilah yang paling baik jika kita sembunyikan segala kebaikan yang kita lakukan dengan ikhlas dalam gerak kerja kita.

    ii- Juga yang sedekah secara zahir; jika dia ikhlas akan dapat pahala juga walaupun ditunjuk kepada orang!
  9. Di akhir ayat Allah mengingatkan bahawa Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan. Kamu sedekah itu ikhlas atau tidak, Allah tahu segalanya. Keduanya yang bersedekah akan dapat pahala yang besar cuma lihat kepada kategori sedekah; sedekah rahsia untuk orang faqir lebih afdhal daripada sedekah secara terang-terangan.

AYAT 272- {TIDAKLAH ENGKAU DIWAJIBKAN (WAHAI MUHAMMAD) MENJADIKAN MEREKA (YANG KAFIR) MENDAPAT PETUNJUK (KERANA KEWAJIPANMU HANYA MENYAMPAIKAN PETUNJUK), AKAN TETAPI ALLAH JUALAH YANG MEMBERI PETUNJUK (DENGAN MEMBERI TAUFIK) KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT UNDANG-UNDANG PERATURANNYA). DAN APA JUA HARTA YANG HALAL YANG KAMU BELANJAKAN (PADA JALAN ALLAH) MAKA (FAEDAHNYA DAN PAHALANYA) ADALAH UNTUK DIRI KAMU SENDIRI DAN KAMU PULA TIDAKLAH MENDERMAKAN SESUATU MELAINKAN KERANA MENUNTUT KEREDAAN ALLAH DAN APA JUA YANG KAMU DERMAKAN DARI HARTA YANG HALAL, AKAN DISEMPURNAKAN (BALASAN PAHALANYA) KEPADA KAMU, DAN (BALASAN BAIK) KAMU (ITU PULA) TIDAK DIKURANGKAN.} (AL-BAQARAH 2:272)

  1. Ayat ini menerangkan berkenaan bahawa hidayah itu milik Allah dan akan diberikan oleh Allah. Maka Allah nyatakan bahawa Tuhan tidak paksa Rasulullah SAW untuk berdakwah kepada orang kafir sehingga mereka menerima Islam! Tidaklah wajib memastikan mereka masuk Islam, tugas Baginda SAW hanyalah berdakwah menyampaikan petunjuk.
  2. Sabab nuzul ayat:
    i- riwayat pertama:
    Dari Said bin Jubir RA, dari Ibnu Abbas RA: Bahawa pada awalnya umat Islam biasa bersedekah kepada kaum kerabat mereka yang masih kafir yang faqir. Kemudian selepas itu mereka enggan bersedekah kepada kerabat mereka dengan harapan mereka akan masuk Islam apabila mereka terdesak secara ekonomi dan memerlukan bantuan. Kerana peristiwa ini Allah SWT menurun ayat 272 ini- {Tidak ada kewajiban bagimu Muhammad untuk memberi petunjuk mereka.}- yakni memaksa manusia untuk masuk ke dalam Islam. Kamu hanya menyampaikan Islam; {Tetapi Allah menunjuki orang yang dikehendaki}- untuk masuk Islam. [HR at-Tirmizi].

    ii- riwayat kedua: Said bin Jubair RAmenceritakan, umat Islam awalnya biasa bersedekah kepada non-muslim yang faqir. Ketika jumlah orang miskin di kalangan umat Islam bertambah, Rasulullah SAW melarang umat Islam untuk bersedekah kepada orang-orang musyrik dengan tujuan mereka yang terdesak secara ekonomi dapat memeluk agama Islam agar dapat menerima bantuan.
    Allah SWT lalu menurunkan Surat Al-Baqarah ayat 272: {Tidak ada kewajiban bagimu (Muhammad) untuk memberi hidayah mereka.}- sehingga kamu menahan sedekah agar mereka masuk Islam kerana keperluan ekonomi.
  3. Dalam ayat ini terdapat dalil bahawa infak itu, tidak hanya kepada orang muslim, orang kafir pun boleh diberikan walaupun tidak mendapat petunjuk, namun orang muslim yang memerlukan tentulah lebih didahulukan.
    Juga bukan bersedekah kepada kafir harbi.
    Maka sebarang bentuk bantuan atau sedekah tidak boleh dihentikan hanya disebabkan agama yang berbeza. Asalkan bantuan itu diberi semata-mata ikhlas kerana Allah SWT.
  4. Allah juga menyatakan bahawa:
    i- bukan tugas Rasulullah SAW menjadiKan mereka yang kafir mendapat petunjuk.

    ii- kerana kewajipan Baginda hanya menyampaikan petunjuk (الإرشاد).

    iii- manakala menjadikan mereka yang kafir mendapat petunjuk (التوفيق) hanyalah dengan kuasa Allah SWT saja.
  5. Hidayah ini terbahagi kepada dua iaitu:
    i- hidayatul-irsyad- (هداية الإرشد) hidayah berdakwah memberi bimbingan & petunjuk itu kerja Nabi SAW & para pendakwah yang datang selepasnya.

    ii- hidayah-taufiq- (هداية التوفيق) untuk buka dada & hati orang menerima Islam itu kerja Allah SWT & hanya atas kuasa Allah SWT!
  6. Kisah yang menarik tentang Asma’ bt Abu Bakar RA dan ibunya yang kafir:
    Asma’ binti Abi Bakar RA mempunyai seorang ibu yang bernama Qatilah binti ‘Abdil ‘Uzza yang bukan Islam dan ingin menziarahinya. Asma’ berkata: “Ibuku mendatangiku dan dia sangat ingin aku menyambung hubungan dengannya. Kemudian aku bertanyakan kepada Nabi SAW, bolehkah aku tetap menjalin hubungan dengannya? Baginda pun menjawab, “Ya boleh”. Nabi SAW menyuruh Asma’ untuk menerima hadiah pemberian ibunya dan mengizinkan ibunya memasuki rumahnya. [HR Bukhari & Muslim].
    Ingatlah apa saja yang kamu infaqkan fi-sabilillah akan memberi faedah dan pahala untuk diri kamu sendiri. Maka banyaklah bersedekah dan kita kempen harta kita biarlah menjadi milik kita, sebagai bekalan kita di Akhirat kelak.
  7. Serta sedekah dan dermalah semata-mata kerana menuntut keredhaan Allah. Serta apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan balasan pahalanya kepada kamu, dan tidak akan dikurangkan pahalanya sedikitpun.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 271- {Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu;}-

    Jika kamu zahirkan sedekah baik, jika kamu sembunyikan pun baik juga. Maka dari ayat ini dapat dibuat kesimpulan bahawa sembunyikan sedekah itu lebih baik & lebih kuat keikhlasannya, jika tidak ada kepentingan darinya. Tetapi jika sembunyikan itu menyekat kebaikannya- seperti orang lain tidak tahu, jika zahirkan orang lain tahu & boleh buat contoh ikutan maka elok zahirkan jika ada maslahah.

    Ulama’ tafsir membahagikan kepada dua kategori:
    i- Sedekah wajib elok zahirkan seperti zakat.

    ii- Sedekah sunat elok sembunyikan.
    Sama seperti ibadat kita- solat fardhu elok dizahirkan secara berjemaah di masjid, manakala solat sunat adalah lebih afdhal kita solat di rumah, tiada orang yang nampak.
    Masalah solat terus takut batal wuduk, lambat buat (atau tak buat terus)- boleh solat sunat terus di masjid.
    Kata Uqbah bin Amir RA : Orang yang sembunyikan bacaan Al-Qurannya lebih daripada yang zahirkannya sama seperti sedekah, sembunyikannya lebih baik daripada yang zahirkannya. [HR at-Tirmizi]. Wallahu a’lam.
  2. Ayat 271- {Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu;}-

    Allah sebut di sini sedekah yang diberikan kepada orang-orang fakir miskin { لِلْفُقَرَآءِ }. Dikatakan orang faqir (لِلْفُقَرَآءِ) di sini secara umum- yakni termasuk belaka orang Islam & bukan Islam.
    Allah tak kata orang faqir di kalangan kamu. Yakni boleh beri kepada non-muslim jika mereka ada keperluan & memerlukan.
    Tetapi jangan kepada kafir harbi & bukan zakat, hanya sedekah sunat. Zakat hanya untuk golongan asnaf dari kalangan muslimin saja.
    Sebuah hadis: Setiap sedekah kepada tubuh yang ada jantung berdenyut akan dapat pahala insya’ Allah. [HR Bukhari & Muslim].
    Yakni sedekah kepada semua makhluk, haiwan atau manusia; muslim atau kafir.
  3. Sekali lagi diulang, sedekah ini kita tengok maslahah keperluan;
    i- Sedekah wajib elok di zahirkan.

    ii- Sedekah sunat elok disembunyikan. Kerana lebih elok untuk hati & keikhlasan si pemberi serta dalam masa yang sama menjaga maruah si penerima.
    Sama seperti solat fardhu : Mesti ke masjid untuk berjemaah, kita kena pergi ke masjid untuk zahirkan syiar Islam. Manakala solat sunat lebih afdhal dilakukan di rumah jika berkuasa.
  4. Ayat 272- {Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya..}-

    Allah jelaskan bahawa kerja & tugas Rasulullah SAW hanya berdakwah menyampaikan ilmu & kebenaran kepada manusia tetapi bukan tanggung-jawabnya untuk memastikan mereka Islam semuanya. Hanya Allah jualah yang dapat memberi taufik kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
    Hidayah terbahagi kepada dua:
    i- Hidayah irsyad : Menyampaikan petunjuk, berdakwah memberi bimbingan kepada orang ramai adalah tugas para rasul, para pendakwah sepanjang zaman!

    ii- Hidayah taufiq : Untuk menerima hidayah pula adalah kerja Allah, kepada siapa yang nak diberi-Nya. Apabila kita telah sampaikan ilmu, maklumat & dakwah ini kita telah terlepas dari tanggung-jawab tugas, sekarang atas merekalah mahu menerimanya atau tidak!
    Firman Allah SWT: {Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.} (Al-Maaidah 5:67)
  5. Ayat 272- {Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri}-

    Apa saja amal kebaikan yang kita buat adalah untuk diri kita pahalanya. Kebaikan yang kita buat, zahir atau tersembunyi akan kembali dapat kepada kita.
    Boleh kepada orang lain ada juga, tetapi dengan sebab:
    Contoh sedekah anak kepada ibu bapanya yang telah meninggal dunia. Ini sampai pahalanya insya’ Allah. Tetapi jangan melampau pula; semua amal dan pahala nak sedekah untuk orang, hatta kepada Rasulullah SAW pun sedekah pahala Al-Fatihah dan lain-lain. Ini tiada dalam Sunnah & ajaran Rasulullah SAW.

    Antara kebaikan ialah sedekah & belanjakan harta yang halal, jangan sedekah benda haram, Allah tak terima benda haram. Kamu buatlah semua itu kerana ingin mencari keredhaan Allah SWT semata-mata, bukan kerana orang lain!
    Siapa yang sedekah lapang dadanya cerahkan hatinya.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs