View Categories

(3) Surah Al-Baqarah : Ayat 6-7

SIKAP SI KAFIR, PERINGATAN TIDAK DIPEDULIKAN & HATI MEREKA TELAH DITUTUP.

Full video : https://youtu.be/2Mwa9_XEWOo?si=3rroLu755J28XN9K

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir surah Al-Baqarah ini dengan ayat 6 sehingga 7.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang sikap golongan kafir, yang apabila diberi peringatan mereka tidak mempedulikannya.
  1. Ini kerana hati mereka serta pendengaran & penglihatan mereka telah ditutup, termeterai daripada menerima kebenaran!
  1. Surah ini membahagikan kisah jenis-jenis manusia kepada TIGA bahagian:
    i- Tentang orang mukmin atau orang yang beriman disebut dalam 3 bermula dari ayat 3 sehingga 5.

    ii- Tentang orang kafir yang jelas kekufuran mereka, iaitu kafir tulen, yang ingkar, sesat, syirik & kufur, Allah SWT hanya ceritakan tentang mereka hanya dalam 2 ayat ini iaitu ayat 6 & 7 sahaja.

    iii- Manakala tentang golongan ketiga iaitu kafir tersembunyi (munafiq) terdapat 13 ayat tentangnya.
    Ini kerana mereka amat bahaya dan susah untuk dikenali maka Allah SWT jelaskannya dengan lebih panjang.
  1. Inilah tiga kategori manusia atas dunia ini, maka yang nak kita lihat hari ini ialah mereka yang jelas kekufurannya iaitu golongan {ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟} yang tidak akan beriman.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 6- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG KAFIR (YANG TIDAK AKAN BERIMAN), SAMA SAHAJA KEPADA MEREKA: SAMA ADA ENGKAU BERI AMARAN KEPADANYA ATAU ENGKAU TIDAK BERI AMARAN, MEREKA TIDAK AKAN BERIMAN.} (AL-BAQARAH 2:6)

  1. Orang yang kufur ialah orang yang menutup mata telinga & hatinya daripada kebenaran & beriman kepada Allah SWT.
  1. Kafar (كفر) atau tutup lawannya safar (سفر) iaitu terdedah.
    Ini kerana perbuatan musafir bersama akan mendedahkan perbuatan atau sifat seseorang itu kepada kawan dan ahli rombongan yang bersamanya.
  1. Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa orang-orang kafir itu sama saja, sama ada kita biarkan mereka atau ajak, dakwah atau beri mereka amaran supaya mereka beriman kepada Allah; mereka tidak akan terimanya! Inilah geng yang tak makan saman!
  1. Yang mereka tidak mahunya hanya beriman kepada Allah SWT!
    Dalam bab lain atas dunia ini mungkin mereka terima seperti kita dapat hidup bersama, berkerja bersama, berbisnis, bersukan dan lain-lain kerjasama seperti realiti hari ini!
  1. Orang kafir ini walaupun mereka tahu kebenarannya mereka tetap tidak mahu terima seperti kaum keluarga Rasulullah SAW yang amat dekat dengan Baginda, bukannya mereka tidak kenal Nabi Muhammad SAW akhlak dan sifatnya, tidak logik mereka tidak yakin kebenarannya tetapi mereka mengingkarinya kerana sebab-sebab & kepentingan duniawi.
  1. Ini kerana mereka tidak ada hidayah dari Allah SWT maka tertutuplah hati mereka.
    Kita minta perlindungan dengan Allah SWT daripada terbiar terumbang-ambing dalam kesesatan tanpa hidayah petunjuk dari-Nya;
    نعوذ بالله من الخذلان
  1. Inilah sekatan yang menyebabkan mereka tidak beriman kepada Allah SWT!
    Tidak ada hidayah & petunjuk!
  1. Kita istiqomahlah berpegang dengan Al-Quran & Sunnah Nabi SAW serta berpegang dengan kebenaran, menyampaikan yang haq walaupun ditentang & dikecam fitnah oleh orang ramai!
  1. Firman Allah SWT:
    {Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.} (Al-‘Asr 103:3)
  1. Kata beberapa orang ulama’ tafsir seperti Ibnu Jarir & Ibnu Asyur RHM : Ramai ulama’ tafsir kata ayat ini {ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟} ditujukan khas kepada beberapa kumpulan kafir yang berterusan atas kekufuran mereka sehingga mati. Contoh yang palling jelas ialah Abu Lahab & Abu Jahal!
    Iaitu mereka yang kekal mati dalam kafir!
    Ada juga orang kafir yang kufur semasa ayat ini turun tetapi selepas itu kemudiannya mereka beriman kepada Allah SWT seperti Abu Sufyan RA yang memeluk Islam selepas 20 tahun menentang Islam.

    Juga seorang Khalid Bin Al-Walid RA. yang digelar pedang Allah, hanya beriman selepas perjanjian Hudaibiyah, juga beberapa lagi ahli Makkah yang lewat beriman.
  1. Walau bagaimanapun tugas kita tetap wajib menyampaikan kebenaran yang haq, menjelaskan perkara yang perlu diperjelaskan kepada orang Islam atau yang bukan Islam juga, jika ada bibit-bibit hidayah dalam hati mereka, akhirnya mereka akan menerima Islam juga, Insyaa’ Allah.

AYAT 7- {(DENGAN SEBAB KEINGKARAN MEREKA), ALLAH MEMATERIKAN ATAS HATI MEREKA SERTA PENDENGARAN MEREKA, DAN PADA PENGLIHATAN MEREKA ADA PENUTUPNYA; DAN BAGI MEREKA PULA DISEDIAKAN AZAB SEKSA YANG AMAT BESAR.} (AL-BAQARAH 2:7)

  1. Maka dengan sebab keingkaran & kekufuran mereka, Allah meteraikan/sealed- (خَتَمَ ٱللَّهُٰ) atas hati mereka { قُلُوبِهِمْ}, pandangan { أَبْصَـٰرِهِمْ } & pendengaran {سَمْعِهِمْ} mereka!
    i- Mata mereka tidak lagi mencari hidayah tetapi mencari isu untuk melawan Islam & orang Islam, mencari keburukan & kelemahan mereka untuk dimanipulasikan.

    ii- Telinga mereka juga sudah tersumbat tidak masuk lagi kebenaran & kebaikan, jika mereka dengar pun orang menasihati & memberi amaran, tetapi hanya seperti lembu mendengar tidak sampai ke hati untuk memberi kesan.

    iii- Ada penutup {غِشَـٰوَةٌۭ} sehingga mereka tidak mendengar nasihat & teguran; apatahlah lagi melihat kebesaran Tuhan yang dapat membawa kepada keimanan!
    Tidak ada apa lagi yang mereka buat hanya lawan tetap lawan! Hati telah tertutup terus untuk menerima kebenaran walaupun tahu!
  1. Seperti orang yang datang dalam kuliah tetapi dengan niat mengacau bukan untuk mendengar & mencari kebenaran, mengacau di komen dengan pelbagai tuduhan & fitnah!
  1. Maka bagi mereka ini disediakan azab seksa yang amat besar. Na’uzubillah.
  1. Kata Imam Al-Qurthubi RHM : Umat Islam ini sudah sepakat bahawa Allah nyatakan bahawa dia sudah cop meterai ke atas hati orang kafir sebagai balasan atas kekufuran mereka kerana mereka tidak buka hati dan mata & telinga untuk mencari kebenaran.
  1. Firman Allah SWT:
    {Dan mereka juga mengatakan: “Hati kami tertutup (tidak dapat menerima ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad)”. (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup), bahkan Allah telah memeteraikan hati mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja (di antaranya).} (An-Nisaa’ 4:155)
  1. Inilah yang kita takut; bukti-bukti kekuasaan & keesaan Allah SWT sudah jelas di depan mata kita tetapi kenapa masih keras kepala, sombong tidak mahu terima kebenaran, tak dengar kata, lawan Allah SWT lawan segala perkara; sebabnya kerana tidak dapat hidayah, kerana telah tertutup hati, mata telingannya!
  1. Maka bagi orang yang begini adalah azab yang besar, azab neraka yang amat menbahaya!
  1. Oleh kerana kafir tulen ini jelas & nampak; maka cukuplah Allah SWT bawa dua ayat saja menceritakan tentang mereka.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Allah jelaskan bahawa manusia terdiri 3 kumpulan:

    i- Orang beriman, iaitu mereka yang mendapat kemenangan.
    Allah SWT bawa tiga ayat tentang mereka dalam surah ini! Ini kumpulan pertama, mukmin hakiki yang beriman jelas seperti matahari!

    ii- Orang kafir tulen juga sudah jelas, Allah bawa dua ayat sahaja & nyatakan bahawa Allah sudah cop pada hati mereka mereka.

    iii- Golongan ketiga ialah orang munafiq yang bermuka-muka.
    Mereka ini muncul semasa di Madinah, kumpulan ini tidak wujud di Makkah kerana tidak ada faedahnya bahkan hanya mendedahkan diri kepada kemarahan kaum Quraisy yang kafir. Bahkan orang Islam pun beriman secara sembunyi pada awalnya di Makkah.

    Kerana kumpulan ini adalah golongan yang amat bahaya makalah SWT peruntukkan 13 ayat yang membincangkan tentang munafiqin.

    Mulut mereka beriman tetapi hati & tindakan mereka mengkhianati Islam.

    DOA HINDARI SIFAT MUNAFIK:
    “اللَّهُمَّ طَهِّرْ قَلْبِي مِنَ النِّفَاقِ ، وَعَمَلِي مِنَ الرِّيَاءِ ، وَلِسَانِي مِنَ الْكَذِبِ ، وَعَيْنِي مِنَ الْخِيَانَةِ ، فَإِنَّكَ تَعْلَمُ خَائِنَةَ الأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ “
    Wahai Allah bersihkanlah hatiku dari nifaq, {bersihkanlah} amalku dari riya’, {bersihkanlah} lisanku dari dusta, {bersihkanlah} mataku dari pengkhianatan. Sesungguhnya Engkau mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan didalam dada.“.
    [HR. Hakim (2/227) sanadnya dhaif]. Aamiin Ya Robbal Alamiin!
  1. Ayat 6- {Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.}-

    Allah nyatakan bahawa orang kafir tetap menolak dakwah Nabi SAW., jadi tidak perlu Baginda susah hati memikirkan keadaan mereka.
    Rasulullah SAW juga tidak perlu habiskan masa demi mereka, walaupun dipujuk (dikecek) dan diberi peringatan dengan dalil-dalil Al-Quran. kerana mereka tidak akan beriman.
    Ayat ini kata ulama’ tadabbur menjadi penenang hati Nabi SAW agar tetap kuat, tetap mantap walaupun ditolak dan ditentang oleh kumpulan ini.
    Jangan pedulikan mereka, carilah golongan lain yang ada bibit iman & mahu menerima kebenaran untuk didakwah dan diberi bimbingan!

    Dengan ayat ini Nabi SAW tahu dan faham bahawa dakwahnya ada yang terima dengan mudah, ada yang menolak dan memerangi & bermusuh dengannya sehingga maut.

    Kita doakan seorang sahabat yang telah menerima hidayah Islam tetapi isterinya masih lagi tidak mahu beriman. Masih lagi ada patung-patung dalam rumah mereka & belum berpisah kerana dia masih mengharapkan isterinya akan menerima Islam juga sutu hari nanti!
  1. Ayat 7- {(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya;}-

    Allah telah tutup rapat hati mereka, pendengaran dan penglihatan mereka dari menerima kebenaran ayat-ayat Al-Quran & dakwah Rasulullah SAW.

    Persoalan:
    Kenapa dalam ayat ini Allah SWT guna lafaz jamak (plural) untuk hati mereka { قُلُوبِهِمْ} & penglihatan {أَبْصَـٰرِهِمْ } mereka. Tetapi untuk pendengaran mereka { سَمْعِهِمْ } digunakan lafaz mufrad (singular). Kenapa? Apa bezanya?

    Jawapan, ada beberapa pandangan:
    i- Allah letak pendengaran { سَمْعِهِمْ } itu satu sahaja kerana bagi semua manusia hanya ada satu pendengaran saja iaitu telinga itu hanya mendengar satu jenis saja sama ada yang baik atau yang buruk maka dia terima!

    ii- Ini dari segi kaedah bahasa Arab: Kerana perkataan pendengaran (السمع) adalah masdar (مصدر) dari asal tidak dijamakkan, maka ia diambil kira asal kalimah yang mufrad, pendengaran hanya satu sama ada kamu ambil yang baik atau yang buruk.

    iii- Ini dari segi kaedah bahasa Arab juga : Ditaqdirkan atas pancaindera mereka pendengaran itu!
  1. Setiap orang Islam wajib semak & mencuci (servis) hatinya kerana hati itu adalah tempat menerima petunjuk & kebenaran.
    Sesiapa yang hatinya tidak ada rasa takut & gerun kepada Allah SWT ketika mendengar amaran atau menghadap Allah SWT sama ada dalam solat dan lain-lain ibadat, maka perangai ini sama dengan puak kafir yang tidak ambil peduli & pengajaran apabila diberi peringatan & mereka tidak beriman ketika diajak beriman. Mereka telah dimeteri atas hati, pandangan & pendengaran mereka!

    Cara nak cuci/gilap hati:
    i- Banyakkan zikir beristighfar taubat kepada Allah SWT,

    ii- Banyak berada dalam dalam majlis ilmu kerana ia akan menggilap dan menghidup hati.
    Yang kita tidak mahu & takut termasuk ke dalam golongan yang hatinya telah dicop materi & ditutup. Wal-‘iyazubillah!
  1. Ayat 7- {(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya;}-

    Perkataan {خَتَمَ } cop tutup; ini maksudnyanya ialah tidak tahu apa-apa.

    Tiada kefahaman dalam Al-Quran, dalam bab ajaran & hukum-hakam agama!
    Mereka baca, dengar Al-Quran tetapi tidak tahu apa-apa- sekadar baca dimulut sahaja!
    Maka kata ulama’: Wajib ke atas kita untuk tadabbur Al-Quran, supaya kita tahu & faham apa yang Allah nak beritahu kepada kita!
    Atau kita tidak lihat kepada makhluk Allah yang lain untuk mengambil pengajaran & iktibar.

    Jadi semua kekufuran ini berlaku kerana mereka tutup mata, telinga & hati mereka, bukan kerana kesalahaan atau kelemahan Al-Quran tetapi kesalahan manusia itu sendiri!

    Kata Ibnu Qayyim RHM : Carilah hati kamu pada 3 tempat:
    i- Ketika kamu baca Al-Quran, apakah hati kamu tersentuh takut kepada Allah apabila baca tentang syurga, neraka, perintah larangan Allah.

    ii- Ketika belajar dan berada dalam majlis ilmu, apakah mendapat manfaat & faedah.

    iii- Ketika kita bersunyi (khalwat) dengan Allah SWT, seperti bertahajjud dan seumpamanya. Apakah hati kita terkesan & menangis kerana Allah.
    Jika dalam 3 tempat ini kamu tidak tersentuh, hati tidak terkesan & terasa apa-apa itu menunjukan hati Nurani kamu sudah hilang! Maka mintalah dengan Allah SWT agar menghidupkan hati kamu di tiga tempat tadi, bersihkannya & kembalilah kepada Allah!

    Ya Allah kurniakan kepada kami hati yang bersih & khusyuk, takut kepada Allah, terkesan dengan Al-Quran dan yang jauh dari sifat munafiq, riya’ & takabbur.

Powered by BetterDocs