SIKAP YAHUDI TERHADAP RASUL, MENOLAK ISI KANDUNGAN KITAB & MENGAKU HATI KERAS.
Full video : https://youtu.be/QJQCd5Ot2Qo?si=OUPsxr2a233VWU1E
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah tafsir kita dalam ayat 87 sehingga ayat 90 bagi surah Al-Baqarah, surah yang kedua dalam juzu’ yang pertama.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang sikap yahudi terhadap rasul-rasul, terhadap kitab yang diturunkan kepada rasul.
- Mereka juga menolak isi kandungan kitab yang diturunkan kepada mereka, termasuklah yahudi pada zaman Rasulullah SAW yang menolak Al-Quran.
- Apabila diajak untuk menerima hidayah mereka menolak & dengan bangga mengaku bahawa hati mereka telah tertutup tidak boleh terima.
Ini adalah antara ciri-ciri keangakuhan manusia, apabila diajak kepada hidayah kebaikan, mereka enggan dengan mendakwa bahawa hati mereka telah keras dan tertutup.
- Manusia hari ini begitu juga. Apabila diajak ke arah kebaikan mereka juga menolak dengan alasan hati tertutup atau bahasa lunak sekarang ini: Maaf belum sampai seru! Ajak ke masjid pun tiada seru??? Ini dikira keras kepala juga!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 87- {DAN SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MEMBERIKAN KEPADA NABI MUSA KITAB TAURAT, DAN KAMI IRINGI KEMUDIAN DARIPADANYA DENGAN BEBERAPA ORANG RASUL, DAN KAMI BERIKAN KEPADA NABI ISA IBNI MARYAM BEBERAPA MUKJIZAT SERTA KAMI TEGUHKAN KEBENARANNYA DENGAN RUHUL-QUDUS (JIBRIL). MAKA PATUTKAH, TIAP-TIAP KALI DATANG KEPADA KAMU SEORANG RASUL MEMBAWA SESUATU (KEBENARAN) YANG TIDAK DISUKAI OLEH HAWA NAFSU KAMU, KAMU (DENGAN) SOMBONG TAKBUR (MENOLAKNYA), SEHINGGA SEBAHAGIAN DARI RASUL-RASUL ITU KAMU DUSTAKAN, DAN SEBAHAGIAN YANG LAIN PULA KAMU MEMBUNUHNYA?} (AL-BAQARAH 2:87)
- Allah nyatakan bahawa Dia telah memberikan kepada nabi Musa AS kitab Taurat yang diturunkan dari Allah dan beberapa mukjizat lain seperti tongkatnya menjadi ular dan lain-lain.
- Kemudian diikuti selepas Nabi Musa diutus lagi beberapa orang nabi dari kalangan bani Israel.
Mengikut senarai yang dibuat oleh sebahagian Ulama’ antaranya ialah: Yusha’, Daud, Sulaiman, Uzair, Ilyas, Ilyasa’, Yunus, Zakaria, Yahya & Isa AS.
- Semua mereka ini (nabi-nabi ini) ikut ajaran nabi Musa AS & Kitab Taurat sehinggalah tiba nabi Isa yang diberikan kitab Injil kepadanya. Itupun apa yang tiada dalam Injil dirujuk kepada Taurat lagi!
- Adapun Nabi kita Muhammad SAW datang dari jalur Nabi Ismail Bin Ibrahim AS iaitu orang Arab.
- Kemudian Allah nyatakan bahawa telah diberikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat seperti menghidupkan orang mati, memulihkan mata orang buta, menyembuhkan penyakit dan lain-lain sebagai dalil untuk menyatakan kebenarannya.
- Allah juga hantar kepada nabi Isa sebagai pembantu & untuk teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril).
Nabi Isa sekarang ini belum mati & berada dilangit, dia akan turun pada akhir zaman dekat dengan Kiamat untuk membunuh dajjal & melawan yakjuj wa makjuj.
- Firman Allah SWT juga tentang ini:
{(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa; dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis membaca, dan hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil; dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinku; dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinku; dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izinKu; dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat), lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: “Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata” (Al-Maaidah 5:110)
- Tetapi malangnya mereka bani Israel ini setiap kali datang nabi-nabi yang mereka tidak suka ajarannya, mereka menolak kebenaran yang dibawa oleh para rasul itu dengan mendustakannya bahkan ada yang dibunuh oleh mereka!
Antara nabi yang dibunuh mereka ialah nabi Zakaria & Yahya dan cuba membunuh Isa.
- Dalam ayat ini Allah mengingkari perbuatan & interaksi yahudi bani Israel yang begitu buruk dengan para rasul & nabi utusan Allah SWT!
AYAT 88- {DAN MEREKA (KAUM YAHUDI) BERKATA PULA: “HATI KAMI TERTUTUP (TIDAK DAPAT MENERIMA ISLAM)”. (SEBENARNYA HATI MEREKA TIDAK TERTUTUP) BAHKAN ALLAH TELAH MELAKNATKAN MEREKA DISEBABKAN KEKUFURAN MEREKA, OLEH ITU MAKA SEDIKIT BENAR MEREKA YANG BERIMAN.} (AL-BAQARAH 2:88)
- Mereka membuat alasan atas perbuatan mereka menolak & tidak boleh terima apa yang dibawa oleh para rasul itu bahawa hati mereka telah tertutup {قُلُوبُنَا غُلْفٌۢ ۚ}, maka tidak boleh terima lagi!
- Di sini disebut {قُلُوبُنَا غُلْفٌۢ ۚ}, yakni seolah berada di dalam sebuah bungkusan.
Firman Allah SWT : {Dan mereka berkata: “Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk agamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)! “} (Fussilat 41:5)
- Para ulama’ kata makna yang tepat untuk hati yang tertutup ini ialah- hati mereka tidak boleh faham apa yang dibawa oleh para nabi itu!
- Sama seperti orang yang sombong pada zaman kita hari ini apabila didakwah untuk solat, tutup aurat atau untuk pergi haji: Maaf belum sampai seru!
Jangan sampai mati di bawa ke kubur baru tiba seru!
- Sebenarnya bukan hati mereka yang tertutup! Bahkan kaum yahudi ini dilaknat oleh Allah SWT kerana mereka tidak mahu terima dakwah yang dibawa oleh nabi mereka.
Kerana itu hidup mereka tidak pernah tenang & aman sepanjang Sejarah!
- Tidak ramai mereka yang beriman bahkan mereka hanya beriman sedikit sahaja, berbanding dengan kekufuran mereka, lalu iman yang tidak sempurna itu ditolak tidak diterima!
AYAT 89- {DAN KETIKA DATANG KEPADA MEREKA SEBUAH KITAB DARI ALLAH (AL QURAN), YANG MENGESAHKAN APA YANG ADA PADA MEREKA (KITAB TAURAT), SEDANG MEREKA SEBELUM ITU SENTIASA MEMOHON (KEPADA ALLAH) KEMENANGAN ATAS KAUM KAFIR MUSYRIK (DENGAN KEDATANGAN SEORANG NABI PEMBAWA KITAB ITU). SETELAH DATANG KEPADA MEREKA APA YANG MEREKA SEDIA MENGETAHUI KEBENARANNYA (NABI MUHAMMAD DAN AL QURAN), MEREKA MENGINGKARINYA; MAKA (DENGAN YANG DEMIKIAN), LAKNAT ALLAH MENIMPA ORANG-ORANG YANG KAFIR INGKAR ITU.} (AL-BAQARAH 2:89)
- Dalam ayat ini Allah berfirman tentang sikap yahudi ini apabila datang kebenaran kepada mereka iaitu kitab Al-Quran & Rasulullah SAW.
- Sabab nuzul ayat 89 ini: Dari Asim Bin Umar Bin Qatadah, dia telah mendengar cerita dari beberapa orang tua dari kalangan sahabat:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ :أَنَّ يَهُوْدً كَانُوْا يَسْتَفْتِحُوْنَ عَلَى الْأَوْسِ وَالْخَزْرَجِ بِرَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبْلَ مَبْعَثِهِ. فَلَمَّا بَعَثَهُ اللهُ مِنَ الْعَرَبِ كَفَرُوْا بِهِ وَجَحَدُوْا مَا كَانُوْا يَقُوْلُوْنَ فِيْهِ، فَقَالَ لَهُمْ مُعَاذُ بْنُ جَبَلٍ وَبِشْرُ بْنُ الْبَرَّاءِ بْنِ مَعْرُوْرٍ أَخُوْ بَنِيْ سَلِمَةَ :يَا مَعْشَرَ يَهُوْدَ، اِتَّقُوا اللهَ وَأَسْلِمُوْا، فَقَدْ كُنْتُمْ تَسْتَفْتِحُوْنَ عَلَيْنَا بِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَحْنُ أَهْلُ شِرْكٍ، وَتُخْبِرُوْنَنَا أَنَّهُ مَبْعُوْثُ وَتَصِفُوْنَهُ لَنَا بِصِفَتِهِ. فَقَالَ سَلَامُ بْنُ مِشْكَمٍ أَخُوْ بَنِيْ النَّضِيْرِ: مَا جَاءَنَا بِشَيْءٍ نَعْرِفُهُ، وَمَا هُوِ بِالَّذِيْ كُنَّا نَذْكُرُ لَكُمْ. فَأَنْزَلَ اللهُ جَلَّ ثَنَاؤُهُ فِيْ ذَلِكَ مِنْ قَوْلِه: (وَلَمّا جاءَهُمْ …) (1)
Ibnu Abbas bercerita bahawa sebelum Rasulullah SAW diutus, kaum Yahudi selalu menjadikan harapan diutusnya Baginda sebagai pencetus semangat mereka untuk mengalahkan Suku Aus dan Khazraj. Akan tetapi, apabila Allah mengutus Baginda sebagai rasul dari bangsa Arab, bukan dari bangsa Yahudi seperti yang mereka harapkan-mereka pun mengingkarinya dan mengingkari apa yang dulu mereka katakan. Muaz Bin Jabal dan Bisyr Bin Bara’ Bin Ma’mar yang merupakan saudara Bani Salimah. Salah satu puak dari suku Aus berkata: “Wahai kaum Yahudi, takutlah kepada Allah dan masuklah ke dalam agama Islam! Dulu kamu minta kemenangan atas kami dengan wasilah pengutusan Muhammad, ketika itu kami adalah kaum musyrik. Kamu selalu memberitahu kami bahawa ia adalah nabi yang akan diutus. Kamu pun menuturkan kepada kami sifat-sifatnya.” Salam Bin Misykam, yang berasal dari Bani Nadhir, salah satu puak dalam komuniti Yahudi menjawab: “Ia (Muhammad) tidak mendatangi kami dengan membawa apa yang kami ketahui. Ia bukanlah orang yang telah kami ceritakan kepada kamu.” Allah lalu menurunkan firman-Nya: {Dan ketika kitab dari sisi Allah telah sampai kepada mereka…} (Al-Baqarah: 89). [Ibnu Ishaq- Sirah].
- Begitulah bahayanya puak yahudi mereka kenal Rasulullah SAW tentang sifatnya sebagaimana yang mereka baca dalam kitab Taurat, tetapi kerana Baginda seorang Arab, mereka tidak mahu ikut!
Apabila datang Al-Quran yang membenarkan apa yang ada dalam kitab Taurat, mereka mengingkarinya.
- Maka mereka yang ingkar itu mendapat laknat Allah & jauh dari rahmat-Nya.
Yahudi akan hina di dunia & mendapat azab di akhirat kelak!
Yahudi yang ada hari ini pun hina, mereka sekarang berkumpul di Palestin untuk dibunuh oleh orang Islam pada akhir zaman nanti!
- Hadis- Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah akan berlaku peperangan di antara orang Islam dan Yahudi maka pada waktu itu (tentera) Yahudi akan dibunuh oleh (tentera) Islam. Sehingga apabila orang Yahudi berselindung di sebalik batu dan pokok lalu batu dan pokok itu bersuara dengan katanya; “Wahai Muslim, wahai hamba Allah, di belakangku ini ada Yahudi, marilah bunuhnya.” Kecuali pokok gharqad (yang tidak bersuara) kerana sesungguhnya ia merupakan pokok Yahudi.” [HR Bukhari, Muslim dan at-Tirmizi].
- Tetapi jangan gopoh. Hadis-hadis tentang tanda-tanda Kiamat jika kita pasang ikut suka, takut tak kena nanti buat malu Islam sahaja!
AYAT 90- {SEJAHAT-JAHAT PERKARA (YANG MEREKA LAKUKAN) IALAH PERBUATAN MEREKA MEMBELI KESENANGAN DIRINYA SENDIRI DENGAN MENGINGKARI AL-QURAN YANG TELAH DITURUNKAN OLEH ALLAH, KERANA DENGKI BAHAWA ALLAH MENURUNKAN DARI LIMPAH KURNIANYA (WAHYU) KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA DI ANTARA HAMBA-HAMBANYA (IAITU NABI MUHAMMAD SAW). DENGAN SEBAB ITU SUDAH SEPATUTNYA MEREKA MENDAPAT KEMURKAAN ALLAH BERTALU-TALU, DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR ITU AKAN BEROLEH AZAB SENGSARA YANG MENGHINAKAN.} (AL-BAQARAH 2:90)
- Allah kata bahawa betapa buruk & kejinya apa yang dibuat oleh puak kafir & yahudi. Mereka jual iman beli kafir, sedangkan mereka tahu kebenaran Rasulullah SAW tetapi mengingkarinya & tidak dapat menerima Al-Quran kerana hasad dengki!
- Sedangkan Rasulullah SAW dipilih oleh Allah SWT dengan limpah kurnia-Nya sebagai rasul yang ditunggu-tunggu!
- Mereka yahudi mengharapkan rasul terakhir adalah dari kalangan bani Israel, lalu apabila diutuskan Nabi Muhammad SAW yang berasal dari jalur keturunan nabi Ismail & Arab, mereka terus menafi & mengingkari kebenarannya!
Ini kerana hasad & sombong yang ada dalam diri mereka!
- Ummul Mukminin Sofiyyah RA Binti Huyay Bin Al-Akhtab (ketua yahudi bani Nadhir) menceritakan bahawa beliau pernah mendengar perbualan ayahnya , Huyay Bin Akhthab dan bapa saudaranya Abu Yasir Bin Akhthab tentang Rasulullah SAW.
Setelah pergi ke Madinah untuk melihat baginda untuk memastikan sama ada baginda benar-benar Rasul Allah seperti yang diperkatakan dalam kitab suci mereka.
“Mereka pulang dalam keadaan lelah, lesu, dan lemas. Mereka berjalan lemah-longlai. Aku menyambut keduanya dengan ceria seperti biasa tetapi, demi Allah, tak satu pun dari mereka menoleh kepadaku. Keduanya terlihat menanggung kesusahan.” Safiyah telah mendengar perbualan mereka, Abu Yasir bertanya: “Apakah benar dia orangnya?” Huyay menjawab: “Iya, demi Tuhan.” Abu Yasir: “Jadi bagaimana pendirian kita?” Jawab Huyay: Demi Tuhan, aku akan memusuhinya selama masih hidup.
- Akibat mereka tidak mahu terima ajaran & dakwah Rasulullah SAW dengan sebab hasad tadi, maka Allah timpakan ke atas mereka azab yang bertalu-talu & cukup menghinakan!
Apa tak hinanya sehingga ke hari ini mereka dihalau sana sini. Tiada negara & negeri, rampas hak orang lain seperti Palestin, tetapi hidup mereka tidak tenang, sentiasa terumbang-ambing & dalam ketakutan!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 87- {Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat,}-
Allah kuatkan nabi Musa dengan Kitab & diberi pertolongan.
Dalam ayat ini kata ulama’ lughah: Ayat ini mengandungi ta’kid kerana Allah SWT mulakan dengan sumpah {وَلَقَدْ} untuk menzahirkan bahawa Allah SWT ambil berat tentang kedudukan nabi Musa AS, Allah lantiknya menjadi rasul, berinya kitab & mengarahkannya untuk berdepan dengan Firaun yang bukan-bukan calang musuh!
Lalu Allah kuatkan nabi Musa dengan Kitab & diberinya mukjizat untuk menghadapi tentangan mereka yang mengningkarinya!
- Ayat 87- {Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul,}-
Selepas nabi Musa menjadi rasul, akan datang selepasnya nanti beberapa orang rasul lagi dari keturunannya.
Ini untuk menunjukkan bahawa nabi Musa ini nabi yang hebat kerana selepasnya datang lagi beberapa orang rasul dari keturunannya.
Tetapi jangan lupa jika cucu yang hebat pasti ada datuknya yang pasti lebih hebat juga iaitu nabi Ibrahim AS yang melaluinya ada dua jalur keturunan rasul.
Dari jalur Ishaq adalah keturunan bani Israel yang ada 10 lagi nabi selepas nabi Musa, Yusha’ Bin Nun (pembantu Nabi Musa tiada Kitab), Daud, Sulaiman, Uzair, Ilyas, Ilyasa’, Yunus, Zakaria, Yahya, & Isa AS iaitu 10 orang semuanya.
Firman Allah SWT:
{Kemudian Kami mengutus Rasul-rasul Kami silih berganti. Tiap-tiap kali sesuatu umat didatangi Rasulnya, mereka mendustakannya; lalu Kami binasakan umat-umat yang demikian, lepas satu-satu; dan Kami jadikan perihal mereka sebagai cerita-cerita (yang mendatangkan iktibar); maka kebinasaanlah kesudahannya bagi orang-orang yang tidak beriman.} (Al-Mu’minuun 23:44)
Mereka semua nabi-nabi itu berhukum dengan Taurat & menggunakan ajaran yang dibawa oleh nabi Musa AS kecuali nabi Isa AS yang ada kitabnya sendiri iaitu Injil.
Nabi Isa juga ada mukjizat sendiri seperti menghidupkan orang mati, menyembuhkan orang buta, penyakit kulit dan lain-lain.
Nabi Isa ini mempunyai keistimewaannya yang khas sebagaimana firman Allah SWT juga: {“Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.} (A-li’Imraan 3:50)
- Ayat 88- {Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: “Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam)”. (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman.}-
Kata ulama’ : Sesungguhnya hati manusia itu dengan fitrahnya sudah nyata dengan perjanjian untuk beriman dengan Allah SWT. Tetapi mereka ini tolak, mereka tahu yang benar tetapi tidak ikut maka mereka dilaknat oleh Allah SWT & jauh dari rahmat-Nya.
Bukan hati mereka tertutup tetapi mereka saja ingkarinya lalu dilaknat kerana tahu yang benar tetapi tak ikut!
- Ayat 90- {kerana dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu) kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (iaitu Nabi Muhammad SAW).}-
Allah yang pilih siapa yang mahu dilantik-Nya menjadi rasul akhir zaman!
Yahudi ini menolak nabi Muhammad SAW sebagai rasul akhir zaman kerana hasad dengki, bukan sebab lain!
Mereka kenal & yakin bahawa Nabi Muhammad itu adalah rasul akhir zaman sebagaimana yang disebut dalam kitab mereka!
Ini kerana mereka mahu & sangat berharap agar rasul akhir zaman adalah dari kalangan mereka yahudi!
Jadi apabila diutuskan Rasulullah SAW yang berasal dari bangsa Arab mereka tidak dapat menerima hakikat itu!
Mereka tidak terima bukan kerana Rasulullah SAW tidak betul, tetapi sebab hasad!
Inilah sifat buruk yang wajib kita jauhi!
Firman Allah SWT:
i- {Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad SAW). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.} (Al-Baqarah 2:109)
ii- {Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).} (Al-Baqarah 2:146)
- Ayat 90- {Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.}-
Ayat ini menunjukkan bahawa hukuman Allah datang bertalu-talu ke atas yahudi!
Lagi berat & banyak dosa lagi berat & dahsyat azab ke atas mereka di akhirat kelak!
Kerana atas dunia ini mereka angkuh sombong takabbur tidak mahu terima kebenaran maka di akhirat kelak mereka akan mendapat kehinaan.
Kebanyakan manusia ini Allah jatuhkan azab dengan sebab kesombongan & keangkuhan mereka.
Contoh:
i- Firaun yang sombong dengan sungai-sungai di Mesir dimusnahkan mati lemas dalam air juga iaitu Laut Merah.
ii- Qarun yang kaya-raya dan angkuh dengan hartanya ditelan bumi bersama hartanya!
Kita hari ini pun jangan sombong dengan pangkat & jawatan yang kita ada, semua itu hanya sementara.
Apabila kita mati meninggalkan dunia ini kita akan dihina dikutuk orang & diazab oleh Allah SWT dengan sebab kesombongan itu!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.