View Categories

(1) Surah Al-Baqarah : Muqaddimah

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, FADHILATNYA & OBJEKTIF SURAH.

Surah Al-Baqarah – سورة البقرة
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْم

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Full video : https://youtu.be/rYVLnHkNzx4?si=rZTxpXmdtu2ppV2M

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana pada pagi ini Rabu 20 Safar 1445H bersamaan 06hb September 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Baqarah – سورة البقرة.
  1. Semoga Allah SWT qabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari Al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  1. Surah Al-Baqarah – سورة البقرة adalah surah yang kedua dalam tertib susunan Al-Quran, iaitu selepas Surah Al-Fatihah- سورة الفاتحة.
    Surah yang kedua dalam juzu’ yang pertama.
  1. Ia adalah surah yang terpanjang sekali dalam Al-Quran kerana mengandungi 286 ayat yang panjang, meliputi juzu’ yang pertama, juzu’ yang kedua & 3/8 daripada juzu’ yang ketiga. Yakni hampir 2 juzu’ setengah.

    Ulama’ tafsir ijma’ mengatakan surah ini Madaniyyah, yakni turun di Madinah selepas hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
    Ini kerana ayatnya panjang-panjang, banyak hukum terdapat di dalamnya serta ada cerita tentang munafiq yang tiada di Makkah sebelum ini.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan Surah Al-Baqarah – سورة البقرة
    i- Yang bermakna {Lembu betina} kerana kisah tentangnya disebut dalam surah ini. Iaitu Allah SWT perintahkan kaum Nabi Musa a.s untuk menyembelihnya.

    ii- Dalil dari Abu Mas’ud, Uqbah Bin Amir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
    مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ البَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ
    Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca dua ayat terakhir dari surah Al-Baqarah pada waktu malam telah cukup baginya dengan keduanya.” [HR Bukhari(5009)].
  1. Nama kedua:
    i- Az-Zahra’ atau Az-Zahrawaani (الزهراوان) maknanya dua surah yang bersinar & bercahaya iaitu Al-Baqarah & surah Ali-‘Imran.

    ii- Dalil hadis riwayat Abu Umamah Al-Bahili, beliau berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
    ‘Bacalah Al-Quran kerana Al-Quran itu akan memberi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak.’ Dan bacalah Az-Zahrawain iaitu Surah Al-Baqarah dan Ali-‘Imran kerana kedua-dua surah itu akan datang pada hari kiamat, seolah-olah kedua-duanya bagai sekelompok awan atau payung yang menaungi, atau dua kelompok burung yang mengembangkan sayapnya. Kedua-duanya akan membela pembacanya pada hari kiamat.
    ” [HR Imam Ahmad].

    Ini adalah surah yang paling panjang dalam Al-Quran manakala surah paling besar ialah Al-Fil (gajah) & yang paling kecil ialah surah An-Naml (semut) ini hanya berdasarkan nama surah sahaja.

KELEBIHAN SURAH :

  1. Syaitan akan lari dari mana-mana rumah yang dibaca surah Al-Baqarah padanya.

    i- Dalil Hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
    لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
    Maksudnya: “Janganlah menjadikan rumah kamu seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari daripada rumah yang dibaca padanya surah Al-Baqarah”. [Riwayat Muslim (780)]
  1. Dua surah iaitu Al-Baqarah & Ali-‘Imran akan menjadi pertahanan, peguamnya di akhirat kelak.

    Siapa yang baca surah Al-Baqarah beramal dengan isi kandungannya akan dapat keberkatan dalam hidupnya:
    i- Dalil- hadis riwayat Abu Umamah Al-Bahili, beliau berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
    ‘Bacalah Al-Quran kerana Al-Quran itu akan memberi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak. Dan bacalah Az-Zahrawaini (dua surah yang bercahaya) iaitu Surah Al-Baqarah dan Ali-‘Imran kerana kedua-dua surah itu akan datang pada hari kiamat, seolah-olah kedua-duanya bagai sekelompok awan atau payung yang menaungi, atau dua kelompok burung yang mengembangkan sayapnya. Kedua-duanya akan membela pembacanya pada hari kiamat.
    ” [HR Imam Ahmad].
  1. Siapa baca surah Al-Baqarah dan beramal dengannya mendapat keberkatan & ahli sihir tidak dapat mengacaunya.

    i- Dalil- Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Bacalah Al-Baqarah kerana membacanya akan mendatangkan berkah dan meninggalkanya bermaksud penyesalan. Dan para tukang sihir tidak akan sanggup menjangkaunya (si pembaca).” [HR Muslim].
  1. Para sahabat sangat menghormati orang yang hafaz surah Al-Baqarah & Ali-‘Imran

    Sebagaimana Anas RA berkata:
    كَانَ الرَّجُلُ إِذَا قَرَأَ: الْبَقَرَةَ، وَآلَ عِمْرَانَ، جَدَّ فِينَا – يَعْنِي عَظُمَ
    “Dulu jika seseorang menghafal surah Al-Baqarah dan Ali-‘Imran maka ia sangat mulia di sisi kami.” [Athar riwayat Musnad Ahmad, Sahih & Ibnu Hibban]
  1. Siapa baca dua ayat dari surah Al-Baqarah pada waktu malam ia akan menjadi pelindung baginya.

    i- Dalil: Daripada Abu Mas’ud RA bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Barangsiapa yang membaca dua ayat terakhir dari surah Al-Baqarah pada waktu malam telah cukup baginya dengan keduanya.” [HR al-Bukhari].
    Seolah insuran yang melindunginya daripada kejahatan & keburukan.

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Surah ini diturunkan di Madinah sebaik saja Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah dan orang-orang Islam terbentuk sebagai satu umat dalam sebuah negara yang merdeka, yang penduduknya bukan hanya orang Islam tetapi juga dari agama & bangsa lain. Antaranya adalah orang yahudi dan lain-lain bangsa & agama. Inilah Kerajaan Madani di bawah pimpinan Rasulullah SAW.

    Jangan salah guna nama Madani ini tetapi tidak bercirikan Madani seperti yang dibentuk oleh Rasulullah SAW.

    Ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, ia dihuni oleh kelompok yahudi yang besar, mereka menguasai ekonomi Madinah & menempati kawasan yang strategik di sekitar bandar Madinah.
    Sehingga ke hari ini masih terdapat kesan-kesan kota-kota & kubu-kubu peninggalan mereka.

    Untuk penjelasan lanjut boleh baca:
    https://dartaibah.com/?page_id=179…
  1. Bagi memenuhi hajat keperluan umat Islam yang baharu terbentuk itu yang memerlukan hukum-hukum Syara’ bagi membentuk hidupnya supaya selamat dan sempurna, serta membantu usaha untuk mengembangkan Islam kepada orang yang bukan Islam; maka turunlah ayat-ayat suci dari surah Al-Baqarah dari semasa ke semasa mengikut keperluan & peristiwa yang berlaku, menyatakan tentang hukum-hakam & menyatakan siapakah penduduk Madinah.
  1. Manakala cerita yang menyebut tentang kisah lembu (Al-Baqarah) adalah pada ayat 67-74.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Secara umumnya kandungan surah Al-Baqarah ini terbahagi kepada dua bahagian :

    Bahagian pertama surah ini kecuali beberapa ayat menegaskan tentang:
    i- Kebenaran Al-Quran

    ii- Menerangkan sifat-sifat orang yang beriman, orang kafir & orang munafiq.
    Ini yang menguatkan hujjah bahawa surah ini adalah madaniyyah kerana ada cerita munafiq yang tiada di Makkah.

    iii- Ia juga menyeru manusia seluruhnya supaya menyembah Allah yang Maha Esa serta jangan menyekutukan-Nya dengan sesuatu.

    iv- Serta menerangkan tentang kejadian manusia dan alam langit & bumi.
    Semua ini hujjah yang menunjukkan keagungan & kekuasaan Allah SWT di atas (langit) & di bawah (bumi).

    v- Serta balasan baik iaitu nikmat syurga & balasan buruk iaitu azab neraka.

    vi- Serta perihal Nabi Adam AS serta keingkaran Iblis bermula dari ayat 39.

    vii- Serta firman Allah SWT kepada kaum yahudi & musyrikin agar mereka memeluk Islam lalu beriman kepada Al-Quran & beriman kepada Rasulullah s.a.w dengan mengikut Sunnah ajaran yang dibawanya!
  1. Dalam bahagian yang kedua diterangkan pula:
    i- Secara luas tentang hukum-hukum Syara’ bagi mengatur hidup umat Islam meliputi ibadat seperti, solat, haji, puasa, zakat dan jenis-jenis kebajikan muamalat seperti jual-beli, hutang-piutang, wasiat, penyaksian dan sebagainya.

    Juga disebut tentang undang-undang munakahat (nikah/kahwin), talaq & segala yang berhubung dengannya, juga undang-undang jenayah serta soal-soal umum yang lain!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

Antara objektifnya ialah untuk menyatakan:

  1. Penekanan dari sudut aqidah iaitu kepercayaan kepada Allah SWT.

    Dalam surah ini banyak menjelaskan tentang asas (usul) aqidah & dalil-dalil keesaan Tauhid Allah SWT dan dalil bukti akan kebangkitan semula.
    Kita akan sebut beberapa cerita sebagai dalil bukti akan keagungan, keesaan & kekuasaan Allah SWT.
  1. Allah nyatakan beberapa sudut dari perundangan Islam seperti ibadat, munakahat, muamalat kewangan, undang-undang hudud (jenayah) dan lain-lain.
  1. Allah jelaskan hakikat sebenar yahudi dan sikap mereka tehadap Rasul & dakwah Islamiyah di Madinah.
    Serta menjelaskan sebahagian daripada pegangan & aqidah mereka yang sesat.
    Kita akan lawan & nyatakan keburukan kesesatan mereka ini!

ISU PENTING DALAM SURAH :

Antara isu yang terpenting ialah:

  1. Allah SWT kategorikan jenis manusia iaitu mereka tebahagi kepada 3 kumpulan, orang yang beriman, kafir & kumpulan munafiq.
  1. Memberi pesanan kepada seluruh manusia untuk beribadat kepada Allah SWT dengan menyebut sebahagian daripada nikmat-nikmat yang Allah anugerahkan ke atas mereka; yang menjadi tanda, menjadi kewajipan kepada mereka yang menerima nikmat ini supaya mengabdikan diri kepada Allah yang Esa.

    Serta memberi amaran kepada mereka yang enggan, keras kepala bahawa disediakan azab bagi mereka di akhirat kelak.
  1. Allah SWT ceritakan tentang manusia pertama yang dicipta iaitu Nabi Adam AS. Serta Allah bawa dialog percakapan antara-Nya dan malaikat.
  1. Kisah perlantikan Nabi Adam AS yang dilantik menjadi khalifah pertama di muka bumi ini.
  1. Menyebut beberapa peristiwa besar yang terjadi kepada Bani Israil.
  1. Allah SWT sebut ujian yang dikenakan ke atas Nabi Ibrahim AS.
    Juga tentang Ibrahim AS & anaknya Ismail AS membina Ka’bah di Makkah Mukarramah & kisah mereka yang amat menyayat hati.
    Serta wasiat Ibrahim AS kepada anaknya Ya’kob AS & wasiat Ya’Kob AS pula terhadap anak-anakanya supaya beriman tauhid kepada Allah ‘Azza wa Jalla.
  1. Allah SWT bentangkan dalam surah ini beberapa hukum-hakam Syara’ dari segi ibadat seperti solat, sedekah, zakat, haji, muamalat seperti riba, hutang gadaian dan lain-lain.

    Sudut kekeluargaan, hukum nikah cerai, Ila’ serta hukum iddah wanita yang diceraikan atau yang kematian suami dan lain-lain.
  1. Allah SWT bentangkan beberapa peristiwa tentang menghidupkan semula orang mati seperti:
    i- Pembunuhan Bani Israil, Allah perintahkan supaya mereka sembelih lembu, ambil lidahnya kemudian guna untuk pukul orang mati, lalu hidup balik.

    ii- Kisah sekumpulam manusia yang kena petir kemudian hidup kembali.

    iii- Sekumpulan orang yang lari dari kampung asal mereka kerana takut mati, akhirnya mati kesemuanya kemudian hidup balik.

    iv- Orang yang melalui sebuah kampung, mati kemudian hidup balik.

    v- Kisah Nabi Ibrahim AS & burung yang disembelih kemudian hidup balik.

    Semua kisah ini untuk menunjukkan kekuasaan Allah SWT akan kita ceritakan satu persatu dalam tafsiran ayat nanti.
    Semua kisah ini juga ada dalam buku terjemahan AAM sebelum ini dalam buku bertajuk “Rukun Iman” dan akan disebarkan melalui PDF dalam grup kuliah AAM, Insya’ Allah.
  1. Kisah Jalut & Talut serta ketua-ketua Bani Israil selepas kewafatan Nabi Musa AS
  1. Kisah Nabi Ibrahim AS yang berhujjah untuk menyatakan keyakinan & kemantapan imannya terhadap Allah SWT!

PENUTUP & FAEDAH

Alhamdulillah selesailah muqaddimah surah Al-Baqarah ini secara ringkasnya.
Siri yang berikutnya kita akan masuk kepada tafsir ayat Insya’ Allah.

Powered by BetterDocs