MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, FADHILAT DAN KELEBIHANNYA & HUKUM BACA AL-FATIHAH DALAM SOLAT.
Surah Al-Fatihah – سورة الفاتحة
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْم
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Full video : https://youtu.be/YqZjORoatcE?si=–tDeHYMTxDOWLxH
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Ahad 17 Safar 1445H bersamaan 03hb September 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Fatihah- سورة الفاتحة.
- Semoga Allah s.w.t qabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari Al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
- Surah Al-Fatihah – سورة الفاتحة adalah surah yang pertama dalam tertib susunan Al-Quran, surah yang pertama dalam juz yang pertama kerana itu dinamakan surah Al-Fatihah (Pembuka). Mengandungi 7 ayat yang pendek.
- Ulama’ tafsir ijma’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
Dalilnya:
i- Firman Allah s.w.t:
{Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.} (Al-Hijr 15:87)
ayat ini Makkiyah dengan ijma’ ulama’.
ii- hadis riwayat Abu Said ia tujuh ayat yang berulang-ulang:
Nabi S.A.W bersabda:
الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ، هِيَ السَّبْعُ المَثَانِي، وَالقُرْآنُ العَظِيمُ الَّذِي أُوتِيتُهُ
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam (surah Al-Fatihah) adalah tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaannya yang telah diberikan kepadaku.” [Riwayat al-Bukhari (5006)]
iii- dalilnya lagi bahawa ia Makkiyyah solat tidak sah tanpa surah al-Fatihah- sedangkan solat difardhukan di Makkah- maka logikla ia turun di Makkah sebelum Hijrah!
Dalam siri sebelum ini kita telah bincangkan tentang isu Isti’azah & Basmalah.
Maka dalam siri ini kita akan masuk tentang muqaddimah, intisari & beberapa fadhilat al-Fatihah yang amat besar & banyak.
NAMA SURAH :
- Dinamakan surah ini sebagai:
i- Surah Al-Fatihah – سورة الفاتحة yang bermakna {Pembukaan atau yang mula-mula} kerana dia berada dihadapan, dinamakan juga (Ibu Al-Qur’an- أم القرأن) kerana mengandungi secara ringkas dasar-dasar & usul yang kerananya Al-Quran diturunkan untuk menerangkan satu persatu apakah fungsinya maka dinyatakan di sini tentang nama & kelebihan Al-Quran. - Surah ini juga dikenali dengan beberapa nama lain bahkan ada Kitab Tafsir yang menyenaraikan 12 namanya.
Tetapi kita mahu bawa 6 sahaja seperti berikut:
i- Fatihatul Kitab (فاتحة الكتاب)- Pembuka Kitab Al-Quran kerana ia pembuka mashaf, dimulakan dengannya dalam Al-Quran sebagai surah yang pertama & dibaca dalam solat sebagai pembuka kepada surah lain.
Kita kena mulakan dengan Al-Fatihah dulu baru boleh baca surah-surah lain.
ii- Ia juga dinamakan “Ummul-Qur’an” (Ibu Al-Qur’an- أم القرأن).
Kata Ibnu Jarir rhm. dinamakan Ummul-Quran kerana dia yang berada di depan sekali di dalam Kitab, dalam tulisan dan bacaan pun dimulakan dengan ia dulu.
Dinamakan ibu kerana dalam bahasa Arab jika perkara yang besar dinamakan ibu (أم) sama seperti bahasa melayu juga ibu negara, ibu masalah, ibu sawat, ibu api dan seumpamanya. Maka kerana ia ibu, yang lain semuanya ikut dia.
iii- “Ummul-Kitab (Ibu Kitab Suci)- أم الكتاب, kerana dalam tulisan Mushaf Al-Fatihah bermula pada no.1 maka dia jadi Ibu Kitab.
Serta dimulakan dengan surah Al- Fatihah dalam solat juga sebelum baca surah lain!
iv- Surah ini juga dinamakan “As-Sab’ul-Mathaani” (Tujuh ayat yang diulang-ulang).
Rasulullah s.a.w menyifatkannya kerana diulang bacaannya dalam sembahyang yang berbilang-bilang rakaat, sama ada solat fardhu atau sunat atau tujuh usul yang dibincangkannya.
v- Dinamakan juga Al-Quran yang agung kerana di dalam Al-Fatihah itu mengandungi inti pati ajaran yang ada dalam Al-Quran.
Bermula dengan puji Allah s.w.t, sebut tentang sifat Allah Ar-Rahman & Ar-Rahim, arahan supaya beribadat kepada Allah serta kita mengaku lemah kecuali dengan kuasa Allah s.w.t., kita diajar untuk berdoa minta ditunjukkan jalan yang lurus serta Allah nyatakan keadaan orang yang sesat & orang yang dimurkai Allah Azza wa Jalla.
Jadi agungnya ia kerana segala ilmu Al-Quran itu terkandung dalam Al-Fatihah.
vi- Surah Al-Hamd (الحمد) kerana ia dimulakan dengan pujian kepada Allah Azza wa Jalla.
Sebab Surah ini dinamakan surah “Al-Fatihah – الْفَاتِحَةِ” (Pembuka atau yang mula-mula).
Ia juga dinamakan “Ummul-Qur’an” (Ibu Al-Qur’an) dan “Ummul-Kitab (Ibu Kitab Suci)
Ini kerana mengandungi secara ringkas dasar-dasar yang kerananya Al-Qur’an diturunkan untuk menerangkannya satu persatu, iaitu:
- Menetapkan wujudnya Allah ‘Azza wa Jalla yang mencipta seluruh alam, sebagaimana yang tersebut dalam firmanNya: “الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ”.
- Menyebutkan kesimpulan sifat-sifat Al-Jalaal (Kebesaran) dan sifat-sifat Al-Kamaal (Kesempurnaan), sebagai mana yang terkandung dalam firmanNya: “الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ”.
- Menyatakan kepada manusia akan hari kiamat yang padanya kelak ia akan menerima balasan amalnya, sebagaimana yang tersebut dalam firmanNya: “مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ” supaya seseorang itu tidak menumpukan usahanya kepada mencari nikmat hidup dunia dan kelazatannya semata-mata.
- Menerangkan tugas yang kerananya manusia diciptakan oleh Allah Ta’ala sebagaimana yang tersebut dalam firmanNya: “إِيَّاكَ نَعْبُدُ”.
Sebab ibadat itu dengan segala jenisnya tak dapat tidak MESTI diperlukan oleh manusia kerana ia menghidupkan iman, menyihatkan tubuh badan, memperbaiki akhlak, dan mensucikan jiwa.
Dengan iman yang hidup, tubuh badan yang sihat, akhlak yang baik, dan jiwa yang suci, berhasillah kebahagian manusia, kebahagiaan perseorangan dan kebahagiaan orang-orang yang sejenis dengannya. - Memperkatakan tentang kelemahan manusia, bahawa ia tidak akan dapat melakukan sesuatu pun melainkan dengan pertolongan Allah Ta’ala dan izin-Nya, sebagaimana yang tersebut dalam firmanNya: “وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ”.
- Menerangkan bahawa perkara yang utama dihajati dan dipohonkan daripada Allah Ta’ala ialah memperoleh hidayah dan taufik ke jalan yang membawa kebahagiaan, dan cara melaluinya, sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya: “اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ”.
Kerana telah sedia ada berbagai jalan yang akan ditempuh, dan cara-cara melaluinya pula banyak, berbilang-bilang, dan berlain-lainan, disebabkan berlain-lainnya tabiat, adat, dan hawa nafsu yang beraneka ragam. - Mengarahkan manusia kepada memerhatikan dan memikirkan kisah-kisah umat manusia yang telah lalu dan hal ehwalnya, supaya ia memilih akan apa yang menyebabkan kebahagiaan mereka, dan berjaga-jaga serta menjauhkan diri dari apa yang menyebabkan kecelakaan mereka, sehingga dapatlah ia hidup di dunia ini dalam keadaan yang selamat, dan berjaya mendapat nikmat yang kekal pada hari akhirat kelak dalam syurga “Darus-Salaam”.
Surah ini juga dinamakan “As-Sab’ul-Mathaani” السَّبْعُ المَثَانِي (Tujuh ayat yang diulang-ulang) bacaannya dalam sembahyang yang berbilang-bilang rakaat, atau (tujuh dasar yang diulang-ulang) huraiannya di dalam Al-Qur’an.
Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan kelebihan surah ini dengan sabdanya yang bermakna: “Tidak ada di dalam Kitab-kitab yang telah diturunkan oleh Allah satu surah yang sama kelebihannya seperti Ummul-Qur’an”.
Demikianlah kelebihan surah Al-Fatihah yang diwajibkan kepada orang yang mengerjakan sembahyang membacanya. Sekurang-kurangnya tujuh belas kali sehari semalam jika ia tidak musafir & jika ia tidak masbuq.
MAQASID/OBJEKTIF SURAH :
- Memperkenalkan Allah yang dipuja disembah.
- Nak menyatakan cara beribadat. Hanya kepada Allah s.w.t jangan campur dengan yang lain, hanya khas kepada Allah.
- Menyatakan keadaan manusia dalam jalan-jalan yang pelbagai (jalan dimurkai, hidayah) maka pilih satu sahaja iaitu jalan yang diredhai Allah s.w.t!
ISU PENTING DALAM SURAH :
Antara objektifnya yang terpenting ialah untuk menyatakan:
- Sifat Allah Azza wa Jalla, Ar-Rahman Ar-Rahim yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani { ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ}.
- Allah sebut tentang hari Kiamat dan Allah adalah Raja pemilik kepada hari kiamat { مَـٰلِكِ يَوْمِ ٱلدِّينِ}.
- Kita mengesakan Allah s.w.t dalam ibadat { إِيَّاكَ نَعْبُدُ} iaitu dengan minta tolong & berdoa hanya kepada Allah { وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ}.
- Hendak memperkenalkan jalan yang diredhai Allah s.w.t iaitu jalan yang lurus { ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ}, jalan orang yang mendapat hidayah bukan jalan orang yang dimurkai Allah s.w.t & jalan yang sesat & yang mereka-reka ibadat!
- Jauhkan diri daripada jalan yang dipilih orang yang dimurkai Allah s.w.t {ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ} iaitu kaum Yahudi & Nasrani yang sesat { ٱلضَّآلِّينَ}, yang mereka-reka ibadat!
MUNASABAH SEBAB AL-QURAN DIBUKA DENGAN SURAH AL-FATIHAH – سورة الفاتحة :
- Kerana di dalam Al-Quran ini terkumpul semua objektif Al-Quran.
- Mengandungi semua intipati kandungan ajaran Al-Quran. Kemudian datang huraian-huraian dalam surah yang seterusnya.
- Ia adalah permulaan yang baik, setiap pecakapan perbuatan & penulisan kita, kita mulakan dengan memuji Allah Azza wa Jalla. Kita puji Allah kemudian kita selawat ke atas Nabi s.a.w.
Di sini kita mulakan dengan { ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ}.
KELEBIHAN SURAH & CIRI-CIRI KEISTIMEWAANYA:
- Antara kelebihannya ialah ia adalah NUR iaitu CAHAYA tidak diberi kepada nabi & rasul sebelum Nabi Muhammad s.a.w.
Dalil: Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a berkata: Rasulullah s.a.w sedang bersama kami, di samping Baginda ada Jibril.
Tiba-tiba terdengar suara di atas, lalu Jibril mengangkat pandangannya ke langit dan berkata: ‘Ini adalah pintu yang dibukakan dari langit setelah tidak dibuka sama sekali’.
Ibnu Abbas berkata: ‘Lalu turunlah para malaikat menghampiri Rasulullah s.a.w, berkata: ‘Aku datang memberikan khabar gembira dengan membawa dua cahaya yang belum pernah diberikan kepada para Nabi sebelum engkau, iaitu: Fatihatul Kitab (Al-Fatihah) dan ayat-ayat terakhir daripada surah Al-Baqarah.
Tidaklah engkau membaca satu huruf daripadanya kecuali aku akan mendatangimu.'” [HR Muslim dan an-Nasa-ei]. - Apabila kita baca Al-Fatihah dalam solat kita seolah-olah kita bercakap & berinteraksi dengan Allah s.w.t.
Dalil:
i- Hadis riwayat Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang melakukan solat tanpa membaca Ummul Quran maka solatnya gugur.” [HR Muslim].
ii- Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Barangsiapa yang melakukan solat tanpa membaca Ummul Quran maka solatnya gugur.” Beliau mengatakan tiga kali tidak akan sempurna.
Abu Hurairah ditanya: “Bagaimana apabila kami solat bersama dengan imam?”
Abu Hurairah menjawab: “Bacalah Al-Fatihah untuk dirimu sendiri.
Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
‘Allah s.w.t telah berfirman: solat itu dibahagi kepada dua, setengah untuk-Ku dan setengah lagi untuk hamba-Ku. Untuk hamba-Ku adalah apa yang diminta.
Apabila hamba-Ku membaca (ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ), hamba-Ku telah memuji-Ku.
Apabila hambaku membaca (ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ), hamba-Ku telah menyanjung-Ku.
Apabila hambaKu membaca (مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ), hamba-Ku telah mengagungkan-Ku dan telah memasrahkan dirinya kepada-Ku.
Apabila hamba-Ku membaca (إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ), ini adalah dua bahagian antara Aku dan hamba-Ku, maka bagi hamba-Ku adalah apa yang dia minta.
Apabila hambaKu membaca (ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ), (صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ), ini adalah bahagian bagi hamba-Ku maka baginya adalah apa yang ia minta. ” [HR Muslim]. - Tidak sah solat seseorang yang tidak baca Al-Fatihah.
Dalil:
Sabda Nabi S.A.W:
لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ
Maksudnya: “Tiada solat bagi siapa yang tidak membaca Al-Fatihah.” [HR al-Bukhari (756)] - Ia boleh dijadikan ruqyah.
Dalil hadis Nabi s.a.w diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri r.a, beliau berkata:
“Rasulullah S.A.W mengutus kami dalam suatu peperangan, lalu kami singgah berhenti pada suatu kaum. Kemudian kami meminta kepada mereka agar menjamu kami. Tetapi mereka enggan menjamu kami.
Lalu ketua mereka disengat (kalajengking). Mereka pun datang berjumpa kami. Lalu mereka berkata: “Adakah di antara kamu sesiapa yang boleh menjampi untuk mengubat sengatan kalajengking?”
Aku (Abu Said) berkata: “Ya, tetapi aku tidak akan menjampinya sehingga kamu memberikan kambing kepada kami.”
(Salah seorang kaum itu) berkata: “Sungguh, saya akan memberikan kepada kamu tiga puluh ekor kambing.”
Kami pun bersetuju, kemudian aku membacakan kepadanya Al-Hamdu-lillah (Al-Fatihah) sebanyak tujuh kali.
Setelah itu ketua kaum itu pun sembuh dan kami menerima kambing.
Dia (Abu Said) berkata: “Lalu timbul sesuatu dalam fikiran kami”, kemudia kami berkata: “Janganlah tergesa-gesa sehingga kamu menghadap Rasulullah S.A.W.”
Dia (Abu Said) berkata: “Apabila kami datang menghadap Rasulullah S.A.W aku pun menceritakan kepada Baginda Rasulullah S.A.W apa yang telah aku lakukan.”
Baginda Rasulullah S.A.W bersabda: “Bagaimana kamu tahu bahawa (surah Al-Fatihah) itu adalah jampi?
Terimalah kambing itu dan berilah aku bahagian bersamamu.” (HR At-Tirmizi)
Yakni membacakan surah Al-Fatihah boleh jadi rukyah untuk orang yang ada penyakit.
Dengan syarat kita membacanya dengan penuh yakin dan pergantungan tawakkal hanya kepada Allah.
Surah Al-Fatihah adalah penawar untuk penyakit fizikal dan rohani.
Jika keyakinan kita goyah, jika kita baca ayat Kursi pun tidak akan memberi kesan kepada orang yang diruqyah itu. - Surah paling Agung
Daripada Abu Said bin al-Mu’alla r.a berkata:
Rasulullah S.A.W telah memanggilku ketika aku sedang solat, maka aku tidak menyahutnya. Aku berkata kepada Nabi S.A.W:
Wahai Rasulullah! Aku tidak jawab pangilan mu tadi kerana sesungguhnya aku sedang bersolat.
Rasulullah S.A.W bersabda:
“Tidakkah kamu pernah mendengar firman Allah berkaitan tuntutan menyahut panggilan Allah dan juga rasulnya apabila kamu dipanggil.”
Kemudian Nabi S.A.W bersabda lagi:
“Tidakkah kamu menginginkan untuk aku mengajarkan kepada kamu surah yang paling agung di dalam Al-Quran sebelum kamu keluar dari masjid ini?”
Setelah itu, Nabi S.A.W memegang tanganku.
Apabila kami ingin keluar, aku berkata: Wahai Rasulullah! Tadi kamu katakan yang kamu akan mengajarkan kepadaku surah yang paling agung di dalam Al-Quran.
Maka Nabi S.A.W bersabda:
الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ، هِيَ السَّبْعُ المَثَانِي، وَالقُرْآنُ العَظِيمُ الَّذِي أُوتِيتُهُ
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam (surah Al-Fatihah); ia adalah tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaannya yang telah diberikan kepadaku.” [HR al-Bukhari (5006)]
Anugerah surah yang paling agung ini untuk kita semua juga!
Ini memberi pengajaran kepada kita apabila Nabi S.A.W panggil, tengah solat pun kita sebagai umatnya perlu berhenti solat. Tetapi bagi orang lain tidak perlulah.
Sama seperti jika kita sedang solat sunat, sekiranya ibu kita panggil boleh berhenti atau kita beri isyarat dengan nyaringkan suara semasa kita bertakbir atau baca ayat-ayat – beri isyarat yang kita sedang solat.
Tengok kepada situasi & keperluan.
Cukuplah dengan 5 hadis yang sahih ini untuk kita tanam & pasak dalam hati kita bahawa Al-Fatihah adalah surah yang terbaik dalam Al-Quran, manakala ayatul-Kursi adalah ayat-ayat yang terbaik!
Manakala tiga Qul adalah kelebihan dari sudut At-Ta’awuz iaitu meminta pertolongan.
Al-Fatihah secara mutlaq adalah surah yang terbaik!
HUKUM BACA AL-FATIHAH DALAM SOLAT (BERDASARKAN TAFSIR AL-MUNIR):
Ada TIGA pandangan ulama’ Islam tentang bacaan Al-Fatihah dalam solat:
- Bagi mazhab Hanafi : Tidak wajib baca Al-fatihah, boleh baca mana-mana ayat Al-Quran yang diingati sekadar 6 ayat.
Dalil mereka:
i- Firman Allah s.w.t:
{ فَٱقْرَءُوا۟ مَا تَيَسَّرَ مِنَ ٱلْقُرْءَانِ} – {Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran.} (Al-Muzzammil 73:20)
ii- Hadis – sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.A.W masuk ke masjid, lalu ada juga seorang laki-laki masuk masjid dan langsung solat kemudian dia memberi salam kepada Nabi s.a.w.
Baginda menjawab dan berkata kepadanya :
ارْجِعْ فَصَلِّ، فإنّكَ لَمْ تُصَلِّ، فَرَجَعَ يُصَلِّي كما صَلّى، ثُمَّ جاءَ، فَسَلَّمَ على النبيِّ ﷺ، فَقالَ: ارْجِعْ فَصَلِّ، فإنّكَ لَمْ تُصَلِّ ثَلاثًا، فَقالَ: والذي بَعَثَكَ بالحَقِّ ما أُحْسِنُ غَيْرَهُ، فَعَلِّمْنِي، فَقالَ: إذا قُمْتَ إلى الصَّلاةِ فَكَبِّرْ، ثُمَّ اقْرَأْ ما تَيَسَّرَ معكَ مِنَ القُرْآنِ، ثُمَّ ارْكَعْ حتّى تَطْمَئِنَّ راكِعًا، ثُمَّ ارْفَعْ حتّى تَعْدِلَ قائِمًا، ثُمَّ اسْجُدْ حتّى تَطْمَئِنَّ ساجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ حتّى تَطْمَئِنَّ جالِسًا، وافْعَلْ ذلكَ في صَلاتِكَ كُلِّها
Maksudnya: “Kembalilah dan ulangi solatmu kerana kamu belum lagi solat!”
Maka orang itu mengulangi solatnya seperti yang dilakukannya pertama tadi kemudian datang menghadap kepada Nabi S.A.W dan memberi salam.
Namun Baginda kembali berkata, “Kembalilah dan ulangi solatmu kerana kamu masih belum solat!”
Baginda memerintahkan orang itu sampai tiga kali hingga akhirnya laki-laki tersebut berkata, “Demi zat yang mengutus Tuan dengan hak, aku tidak dapat melakukan yang lebih baik dari itu. Maka ajarkanlah aku!”
Baginda lantas berkata, “Jika kamu berdiri untuk solat maka mulailah dengan takbir, lalu bacalah apa yang mudah buatmu dari Al-Qur’an kemudian rukuklah sampai benar-benar rukuk dengan “الطَّمَأْنِينَة” (tenang), lalu bangunlah (dari rukuk) hingga kamu berdiri tegak, lalu sujudlah sampai hingga benar-benar tama’ninah, lalu angkatlah (kepalamu) untuk duduk hingga benar-benar duduk dengan tama’ninah.
Maka lakukanlah dengan cara seperti itu dalam seluruh solat (rakaat) mu.” [HR Bukhari]. - Bagi mazhab Maliki, Syafei, Hanbali : Wajib untuk baca Al-Fatihah dalam solat bagi iman & munfarid, solat seorang diri, samada solat sir atau jahr
Dalilnya berdasarkan hadis tadi:
i- Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang melakukan solat tanpa membaca Ummul-Quran maka solatnya gugur.” [HR Muslim].
ii- Daripada Ubadah Bin Al-Somit r.a, bahawa Nabi s.a.w bersabda:
لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الكِتَابِ
Maksudnya: “Tidak ada (sah) solat bagi sesiapa yang tidak membaca Fatihah Al-Kitab (surah Al-Fatihah).” [Riwayat al-Bukhari (756)]
iii- hadis- Sabda Rasulullah s.a.w:
صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
Maksudnya: “Solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat.” [HR Bukahri & Muslim].
Para sahabat dengar Rasulullah s.a.w membacanya (Al-Fatihah) dalam solat. - Terdapat perbezaan bagi yang menjadi makmum:
a- bagi Mazhab Syafei : Makmum wajib membacanya tak kira dalam solat sir atau jahr iaitu sama ada imam baca kuat atau perlahan, solat fardhu atau sunat, makmum tetap kena baca.
b- pendapat Maliki & Hanbali :
i- jika imam baca dalam solat sirr (perlahan) secara tak kuat, kita makmum kena baca juga sendiri.
ii- jika imam sudah baca kuat seperti dalam solat jahr (terang), sunat untuk kita baca & cukup hanya untuk mendengar bacaannya sahaja bila imam sudah baca kuat kerana arahan Allah s.w.t untuk mendengar bacaan Al-Quran.
Yakni mereka berpendapat: “Makmum hendaklah mendengar apabila imam menguatkan suaranya dan dia ikut membaca apabila Imam membaca perlahan.”
Ini berdasarkan hadis Ibnu Abbas r.a yang berkata apabila Rasulullah s.a.w menjadi imam dan ada orang yang membaca di belakang Baginda s.a.w lalu turunlah ayat: وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا
Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya).” [Al-A`raf: 204].
Berkata Imam Ahmad: “Ulama’ telah berijmak bahawa ayat ini diturunkan dalam solat.”
Dalilnya juga hadis riwayat Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
عن أبي هريرة:] صَلّى رسولُ اللهِ ﷺ صَلاةً، فلمّا قَضاها، قال: هل قرَأَ أحدٌ منكم معي شَيئًا منَ القُرآنِ؟ فقال بَعضُ القَومِ: أنا يا رسولَ اللهِ، فقال رسولُ اللهِ ﷺ: إنِّي أقولُ: ما لي أُنازَعُ القُرآنَ إذا أسرَرتُ بقِراءتي، فاقرَؤوا معي، وإذا جهَرْتُ بقِراءتي فلا يَقرَأنّ معي أحدٌ..
شعيب الأرنؤوط (ت ١٤٣٨)، تخريج سنن الدارقطني ١7٦٥ • صحيح • شرح رواية أخرى
Maksudnya: Daripada Abi Hurairah r.a menceritakan, pernah suatu hari Rasulullah S.A.W mendirikan (mengimamkan) solat. Setelah selesai solat, Baginda s.a.w bertanya kepada para sahabat adakah di antara kamu yang membaca bersamaku Al-Quran?
Ada sahabat yang menjawab: Saya wahai Rasulullah….
Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Jika aku membacanya secara perlahan maka bacalah bersamaku. Tetapi jika aku telah membacanya secara kuat, maka janganlah membacanya bersamaku seseorang pun! [HR Ad-Dar Qutni, Sheikh Arnaut “Sahih”].
PENUTUP & FAEDAH :
Sekianlah perbincangan kita secara ringkas semoga mendapat manfaatnya.
Memang ada pandangan ulama’ & dalil-dalil untuk ketig-tiga pendapat ini, jangan kita nafikannya.
Pandangan yang kita pilih adalah pandangan yang kedua: Kita tetap kena baca Al-Fatihah walaupun imam telah baca, cuma kita perlahankanlah bacaannya sekadar kita dengar di telinga kita sahaja. Wallahu a’lam.
Insya’ Allah kita akan sambung dalam tafsir Al-Fatihah dalam siri yang akan datang serta menggali faedah yang ada.