LEMBUTKAN HATI DENGAN AL-QURAN, JANGAN IKUT PERANGAI AHLI KITAB & PAHALA BAGI ORANG BERSEDEQAH.
Full video : https://youtu.be/_Ep5tGNBEbM
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t memperingat dan menegur hamba-hamba-Nya yang mukminin dan beriman supaya lembutkan hati mereka dengan al-Quran.
- Pesanan agar jangan ikut perangai ahli kitab yang ada kitab di tangan mereka; tetapi tidak mengikut apa ajaran yang terkandung di dalamnya. Bahkan yang diikutnya ialah hawa-nafsu dan pendeta-pendeta mereka, akhirnya hati mereka menjadi keras!
- Allah peringatkan bahawa Dia turunkan hujan untuk menghidupkan bumi dan menumbuhkan tumbuhan. Demikianlah hati orang mukmin itu dihidupkan dan dibasahkan dengan al-Quran. Akan segar & subur mereka dengan al-Quran.
- Allah nyatakan kelebihan berinfaq di jalan Allah & orang-orang yang baik akan mendapat ganjaran pahala yang besar pada hari Kiamat.
- Munasabah ayat:
i- Allah telah ceritakan tentang keadaan orang mukmin & mukmininat serta lawan mereka iaitu munafiq & munafiqat yang berjalan sekali di akhirat kelak, kemudian orang mukmin meninggalkan mereka munafiq dalam kegelapan.
Sepatutnya bila baca ayat ini kita rasa gerun, takut & cemas yang menjadikan hati rasa khusyuk dan takut kepada Allah s.w.t!
ii- kemudian Allah cela sebahagian dari orang mukmin yang lemah tadi, kerana tidak menggunakan al-Quran itu sebagai alat untuk melembutkan hati & menguatkan keimanan mereka kepada Allah s.w.t. Al-Quran sekadar dibaca untuk ambil berkat dan hadiahkan pahala kepada orang lain.
AYAT 16- {BELUM SAMPAIKAH LAGI MASANYA BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, UNTUK KHUSYUK HATI MEREKA MEMATUHI PERINGATAN DAN PENGAJARAN ALLAH SERTA MEMATUHI KEBENARAN (AL-QURAN) YANG DITURUNKAN (KEPADA MEREKA)? DAN JANGANLAH PULA MEREKA MENJADI SEPERTI ORANG-ORANG YANG TELAH DIBERIKAN KITAB SEBELUM MEREKA, SETELAH ORANG-ORANG ITU MELALUI MASA YANG LANJUT MAKA HATI MEREKA MENJADI KERAS, DAN BANYAK DI ANTARANYA ORANG-ORANG YANG FASIK – DERHAKA.} (AL-HADID 57:16)
- Ayat ini ditujukan kepada sebahagian orang-orang Islam yang tidak bersungguh dalam menjalankan perintah-perintah agama.
- Mereka tidak menjadikan al-Quran itu sebagai alat (وسيلة) untuk meraih sifat khusyuk & takut kepada Allah Azza wa Jalla.
- Hadis Rasulullah s.a.w tentang Sabab nuzul- sebab diturunkan ayat ini:
i- Dari Saad bin Abi Waqqas r.a:
Bahawa Al-Quran turun beberapa ayat kepada Rasulullah s.a.w maka Baginda pun membaca ayat itu berulang-ulang kali.
Lalu sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w merasa jenuh (kerana telah lama dengar kisah itu), lalu mereka berkata, \”Wahai Rasulullah, berceritalah kepada kami.\”
Maka Allah s.w.t menurunkan firman-Nya: Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik. (Yusuf: 3).
Kemudian setelah berlalu beberapa waktu, mereka merasa jenuh lagi, lalu berkata, \”Wahai Rasulullah, berceritalah kepada kami.\”
Maka Allah menurunkan firman-Nya: Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik. (Az-Zumar: 23)
Kemudian mereka merasa jenuh lagi, lalu berkata, \”Wahai Rasulullah, berceritalah kepada kami.\” Maka Allah Swt. menurunkan firman-Nya: Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah. (Al-Hadid: 16). [HR Ibnu Hibban dan lain-lain].
ii- Dari Ibnu Mas\’ud r.a. yang meriwayatkan: Bahawa jarak masa antara keislaman kami dan teguran Allah kepada kami (dengan ayat ini) adalah empat tahun, iaitu melalui firman-Nya: Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka mengingat Allah. (Al-Hadid: 16), hingga akhir ayat.\” [HR Muslim].
- Yakni yang utama sekali kita kena guna dan berpandukan kepada al-Quran bukan melebihkan kata-kata yang lain ke atasnya!
- Ulama\’ membincangkan maksud (تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ) ialah:
i- khusyuk dan takut hati mereka apabila mengingati Allah s.w.t.
ii- dengan al-Quran dan tadabburnya.
iii- dengan solat.
iv- kesimpulannya: semua sekali kita lembutkan hati kita dengan al-Quran, zikir solat fikir dan tadabbur! - Juga pesanan agar menjadi seperti ahli Kitab yang diberikan kitab kepada mereka, pada awalnya mereka berpegang teguh kepadanya, taat kepada perintah Allah s.w.t. Kemudian setelah jauh jaraknya mereka mereka-reka sendiri amal ibadat dan meninggalkan ajaran yang sebenar.
- Kata ulama\’ tentang makna {فَطَالَ عَلَيْهِمُ ٱلْأَمَدُ}- melalui masa yang lanjut:
i- zaman antara turunnya Taurah kepada Musa dengan mereka.
ii- jauhnya mereka dari orang-orang yang soleh yang masih berpegang dengan Taurah atau Injill.
iii- jarak dengan Nabi kita Muhammad s.a.w.
- Maka hati mereka menjadi kasar. Ini kerana lama sangat tidak mendampingi kitab, atau hanya baca tidak memberi kesan. Juga kerana banyaknya maksiat dan kemungkaran.
- Kita pun kena dengar dan baca al-Quran- kemudian jangan baca saja kena tadabbur dan berfikir dengannya baru akan memberi kesan! Jika tidak hanya dapat pahala bacaan setoap ayat itu.
- Maka Allah jatuhkan hukum bahawa: kebanyakan dari mereka menjadi fasiq & derhaka. Walaupun ada juga sebahagian kecil mereka yang masih berpegang teguh dengan ajaran yang benar, tetapi tidak ramai!
Ayat ini mengajar kita agar bersifat insof, telus & adil dlm menghukum, bukan pukul rata semuanya.
AYAT 17- {KETAHUILAH KAMU, BAHAWA ALLAH MENGHIDUPKAN BUMI SESUDAH MATINYA; SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENJELASKAN KEPADA KAMU KETERANGAN-KETERANGAN DAN BUKTI, SUPAYA KAMU MEMAHAMINYA.} (AL-HADID 57:17)
- Allah beri peringatan dengan membawa contoh bumi yang keras gersang & mati setelah Allah sirami air/hujan maka ia hidup kembali. Iaitu dibajai dan dijaga.
- Begitulah perumpamaan dengan hati yang kering, hendaklah selalu disirami dan dibasahkan dengan peringatan dan tazkirah yang baik dari ayat-ayat al-Quran. Yakni hati juga perlu dijaga dan sentiasa dibajai dengan benda-benda yang baik seperti tazkirah dan ayat-ayat al-Quran.
- Kata para ulama\’: Hati dengan zikir bagaikan air dengan ikan.
Ikan akan mati tanpa air, hati akan mati tanpa zikir & peringatan! - Kita amalkan segala ajaran, amalan dan ibadat sebagaimana yang sahih diajar oleh Rasulullah s.a.w! Jangan sampai kita menyesal di Akhirat kelak kerana meninggalkan yang terbaik!
- Al-Quran ini Allah s.w.t turunkan dalam bahasa Arab agar mereka mudah memahaminya, kita yang bukan Arab ini juga dapat memahaminya dengan belajar dan berusaha untuk memahami & mengahayatinya!
- Allah telah permudahkannya dengan menjelaskan keterangan-keterangan dan bukti yang dapat difahami.
AYAT 18- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG LELAKI YANG BERSEDEKAH DAN ORANG-ORANG PEREMPUAN YANG BERSEDEKAH, SERTA MEREKA MEMBERIKAN PINJAMAN KEPADA ALLAH, SEBAGAI PINJAMAN YANG BAIK (IKHLAS), AKAN DIGANDAKAN BALASANNYA (DENGAN BERGANDA-GANDA BANYAKNYA), DAN MEREKA PULA AKAN BEROLEH PAHALA YANG MULIA.} (AL-HADID 57:18)
- Dalam ayat ini sekali Allah s.w.t bezakan sebutan antara suami & isteri, lelaki & perempuan. Kerana setiap dari kita memerlukan sedekah sebagai bekalan untuk meraih pahala yang dapat menolong kita di akhirat kelak!
- Munasabah ayat:
i- Setelah Allah s.w.t buat bandingan antara orang mukmin & orang munafiq dan perbezaan yang jauh dan sangat ketara antara mereka itu, maka dalam ayat ini Allah s.w.t buat perbandingan antara orang mukmin & orang kafir pula!
ii- Allah s.w.t juga sebut galakan untuk bersedekah pada jalan Allah dengan membuat bandingan ia sebagai pinjaman yang baik kepada Allah s.w.t (قَرْضًا حَسَنًۭا).
iii- Syarat untuk menjadi (قَرْضًا حَسَنًۭا) ini ialah;
a- Beri dengan jiwa yang ikhlas
b- beri barang yang baik.
Maka Allah s.w.t akan gandakan pahalanya & balasan yang mulia iaitu syurga yang dijanjikan Allah s.w.t!
AYAT 19- {DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN RASUL-RASULNYA, MEREKALAH PADA SISI (HUKUM) TUHAN MEREKA, (ORANG-ORANG YANG MEMPUNYAI KEDUDUKAN YANG TINGGI DARJATNYA) SEPERTI ORANG-ORANG \”SIDDIQIIN\” DAN ORANG-ORANG YANG MATI SYAHID; MEREKA AKAN BEROLEH PAHALA DAN CAHAYA ORANG-ORANG SIDDIQIIN DAN ORANG-ORANG YANG MATI SYAHID ITU; DAN (SEBALIKNYA) ORANG YANG KUFUR INGKAR SERTA MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI, MEREKALAH AHLI NERAKA.} (AL-HADID 57:19)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t memuji orang yang (ٱلْمُصَّدِّقِينَ وَٱلْمُصَّدِّقَـٰتِ) iaitu mereka yang hatinya benar dalam imannya kepada Allah & Rasul-Nya.
- Mereka ini ialah yang imannya benar, mantap dan tidak goyah. Bagaimana zahirnya begitulah batinnya. Luar dalam kuat imannya!
- Munasabah ayat:
i- Allah telah sebut sebelum ini kedudukan orang mukmin & munafiq. Maka dalam ayat ini Allah buat bandingan antara orang mukmin dan orang kafir pula.
ii- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t sebut galakan tentang sedekah & fadhilatnya yang besar. Tetapi ada di kalangan orang mukmin yang miskin, tiada duit & harta untuk sedekah.
Lalu Allah nyatakan bahawa walaupun tiada harta tetapi mereka ada hati untuk beriman kepada Allah Azza wa Jalla, lalu mereka boleh naikkan taraf & darjat mereka dengan mantapkan iman mereka.
iii- Maka orang mukmin yang boleh sedekah & mereka yang tidak boleh sedekah tetapi imannya mantap- maka kedua-duanya adalah orang baik & akan dapat pahala.
Sebagaimana yang Allah s.w.t telah nyatakan dalam ayat 10 yang lepas bahawa: Orang mukmin iaitu para sahabat yang awal memeluk Islam dan melakukan amal soleh seperti jihad & sedekah sebelum Pembukaan Makkah adalah yang terbaik dan lebih besar pahalanya daripada mereka yang bersedekah selepas dari itu.
Tetapi Allah s.w.t tegaskan bahawa kedua-duanya adalah baik dan Allah janjikan balasan yang baik. { وَكُلًّۭا وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلْحُسْنَىٰ ۚ }.
Maka sama saja dengan orang mukmin yang boleh sedekah dengan orang mukmin yang miskin yang tidak mampu untuk bersedekah, kedua-duanya adalah baik; tetapi darjatnya pastilah tidak sama!
- Hadis Rasulullah s.a.w:
i- Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya orang-orang fakir Muhajirin mendatangi Rasulullah s.a.w lalu mereka berkata:
\”Orang-orang kaya telah pergi mendapatkan darjat yang tinggi dan nikmat yang kekal: Mereka solat sebagaimana kami solat, mereka puasa sebagaimana kami puasa, dan bagi mereka lebihan dari harta, mereka berhaji, umrah, jihad dan bersedekah.\”
Maka Baginda bersabda: \”Mahukah kalian aku ajarkan sesuatu yang dengannya kalian akan dapat menyaingi mereka yang telah mendahului kalian dan dengannya juga kalian akan dapat mendahului orang-orang yang datang sesudah kalian dan tidak akan ada seorang pun yang lebih baik daripada kalian kecuali jika dia melakukan seperti apa yang kalian lakukan?\”
Mereka menjawab: \”Sudah tentu, wahai Rasulullah.\”
Baginda bersabda: \”Hendaklah kalian bertasbih, bertahmid, dan bertakbir setelah selesai setiap solat sebanyak 33 kali.\” (Iaitu mengucapkan: Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar\” sehingga setiap satu daripadanya menjadi 33 kali.) [HR Bukhari dan Muslim].
Imam Muslim menambah dalam riwayatnya:
\”Kemudian orang-orang fakir Muhajirin itu datang kembali kepada Rasulullah s.a.w dan mereka berkata: \”Saudara-saudara kami yang kaya mendengar apa yang kami lakukan lalu mereka telah melakukan yang sama (iaitu berzikir juga).\”
Maka Rasulullah s.a.w bersabda: \”Itu adalah kelebihan yang diberikan Allah kepada sesiapa yang Dia kehendaki.\”
ii- Daripada Abu Sa\’id al-Khudri r.a berkata, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: \”Sesungguhnya penghuni tingkat-tingkat syurga tertinggi itu dilihat oleh penghuni tingkat syurga di bawahnya bagaikan bintang-bintang yang bertebaran di ufuk langit…\” (HR Bukhari & Muslim).
Ini menunjukkan darjat dan kenikmatan yang diperoleh setiap penghuni satu tingkat dengan tingkat syurga lain adalah tidak sama.
- Mereka ini para siddiqin mempunyai darjat dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah s.w.t. Iaitu seperti orang yang mati syahid di sini Tuhan mereka; mereka mempunyai pahala & cahaya tersendiri.
- Tentang maksud (وَٱلشُّهَدَآءُ) ini para ulama\’ berpendapat:
i- orang yang mati syahid.
ii- dengan makna para saksi iaitu para anbiya;; yang akan menjadi saksi ke atas umatnya!
iii- kata Ibnu Rajab rhm.: mereka ialah orang yang benar dan mantap imannya!
7. Lalu Allah membawa pula bandingan yang sebaliknya. Begitulah uslub al-Quran pasti akan disebut dua-dua- yang baik & yang tidak baik. Iaitu orang yang kufur ingkar serta mendustakan ayat-ayat keterangan dari Allah, merekalah ahli neraka- iaitu penduduk tetapnya! Wal-\’iyazu billah!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 16- {Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)?- sudah sampai masanya untuk orang mukmin lembutkan hatnya dengan ayat-ayat al-Quran.
Kata ulama\’; ada ayat-ayat al-Quran yang kesannya sangat besar ke atas hati manusia, apabila seseorang itu bacanya dengan tadabbur dan meneliti maknanya, berfikir akan maksud dan kesannnya, maka akan memberi kesan & melembutkan hatinya.
Al-Quran juga akan memimpin dan membawa seorang hamba itu kepada jalan Allah s.w.t. Orang yang memahami al-Quran akan merasai kemanisan dan keindahan lazatnya bermunajat dengannya.
Firman Allah s.w.t:
{Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.} [az-Zumar: 23].
Kata ulama\’: al-Quran ini ibarat seperti buah kurma; makin dikunyah makin tersa kemanisannya.
Dalam ayat ini juga Allah s.w.t mencela sesiapa yang mendengar al-Quran tetapi tidak mendapat manfaat darinya! Kesan al-Quran tidak masuk ke dalam jiwanya, maka akan rugi dan sesallah dia nanti!
- Ayat 16- {Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)?- Allah nyatakan di sini beberapa sebab & punca manusia boleh menjadi keras hati, lupa kepada Allah & cintakan dunia.
JAWAPANNYA :
i- keras hati kerana tidak berfikir & tadabbur.
ii- jauh jarak dengan ulama\’, tidak belajar & dengar tazkirah,
iii- menangguhkan masa untuk ibadat, taubat & belajar al-Quran serta tadabburnya.
Manakala sebaliknya pula; takut kepada Allah s.w.t, belajar al-Quran dan sentiasa berzikir adalah asas untuk lembutnya hati & cintakan Akhirat.
Ayat ini menggalakkan kepada kita supaya kita khusyukkan hati kepada Allah s.w.t dengan mengingati al-Quran & mencari hikmah yang Allah s.w.t turunkan kepada kita, segala nasihat menjadi garisan panduan, serta sentiasa muhasabah diri dengan perjalanan hidup kita kepada Allah s.w.t samada benar atau tidak!
- Ayat 16- {Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka.}- ayat ini menjadi dalil kepada larangan daripada mengikut perangai llangkah-langkah dan sifat orang yang tidak diredhai Allah Azza wa Jalla.
Yakni elakkan dari menjejaki dan berkawan dengan mereka yang boleh membawa kita kepada jalan yang tidak diredhai Allah s.w.t!
Perhatian dan berhati-hatilah:
i- jika mereka yang jelas-jelas memang ahli maksiat kita kenal dan tahu lalu jauhi mereka.
ii- tetapi awasilah dengan mereka yang berpakaian dan berwatak ahli ibadat atau ulama\’, nampak baik tetapi tidak membawa ajaran sebagaimana Sunnah Nabi s.a.w yang menyebabkan kita boleh terpedaya.
Larangan dari mendekati diri kepada kumpulan yang tidak mendekatkan diri kepada Allah, tidak menjadikan al-Quran sebagai panduan dan Sunnah sebagai ikutan; seperti ahli Kitab itu yang mengubah ajaran agama dan mereka-reka kitabnya!
- Ayat 16- {Maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka.}- kerasnya hati seorang manusia iaitu tidak masuk nasihat dan peringatan, tidak tembus lagi dengan ayat-ayat al-Quran & tidak masuk lagi nasihat. Jika hantu lari dibaca ayat Kursi, manusia ini tidak takut apa lagi. Maka kita periksalah hati masing-masing apakah hati keras atau tidak.
Kata para ulama\’; apabila hati keras & panjang angan-angan boleh menyeabkan seseorang itu menjadi lagha dan berterusan dalam kebatilan!
Rosaknya hati kita ini kerana tidak ada penjagaan! Dia akan mati apabila kita jauh daripada al-Quran, dari Hadis dan dari ulama\’.
- Ayat 16- {Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka}- Allah s.w.t tanya apakah belum sampai lagi masanya untuk orang mukmin lembut dan khusyukkan hati mereka kepada Allah Azza wa Jalla.
Maka dalam ayat ini Allah s.w.t sebutkan beberapa cara untuk lembutkan hati.
A) Sebab-sebab yang menyebabkan hati itu menjadi keras banyak, tetapi kita senarai pendekkannya:
i- banyak bercakap tetapi kurangnya zikir kepada Allah!
ii- membatalkan perjanjian dengan Allah s.w.t. Untuk taat tetapi kita pergi kepada maksiat.
iii- banyak ketawa dan hiburan mengeraskan hati.
iv- banyak makan, lebih-lebih lagi benda yang syubhat, tidak pasti halal-haramnya! Apatah lagi yang haram!
iv- banyaknya dosa & maksiat!
B) Manakala untuk melembutkan hati pula:
i- banyak zikir kepada Allah s.w.t. Banyak baca & tadabbur al-Quran.
Dalilnya firman Allah s.w.t:
a- {\”(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah\”. Ketahuilah dengan \”zikrullah\” itu, tenang tenteramlah hati manusia.} [Ar-Ra;du: 28].
b- {Orang yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.} [Az-Zumar: 23]
c- ayat yang kita baca ini:
{Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka} [Al-Hadid: 16].
ii- berbuat baik (ihsan) kepada orang miskin & anak yatim! Bagi bantuan dan pertolongan.
iii- sentiasa ingatkan mati!
iv- ziarahi kubur dengan berfikir akan keadaan mereka di dalamnya. Kita esok apa akan dibawa ke dalamnya!
v- sentiasa ingat & muhasabah akan kebinasaan orang terdahulu!
vi- pastikan apa yang masuk & keluar dari mulut kita adalah yang halal! Iaitu pastikan makan-minum & percakapan yang halal.
Ya Allah jadikan kami dari golongan Siddiqin & Syahidin yang Engkau redhai.