View Categories

SURAH AL-HADID : AYAT 25-27

\"\"

DUSTUR ISLAM, KEGUNAAN BESI, RASUL DARI KETURUNAN IBRAHIM & KEROSAKAN NASRANI MENCIPTA BID\’AH.

Full video : https://youtu.be/QNpi2xgVVJA

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang Dustur al-Mujtama\’ al-Islam, iaitu Peraturan Perlembagaan Masyarakat Islam yang terletak di bawah neraca keadilan yang adil & saksama.

Tiada kezaliman, penindasan & penyelewengan. Dasar Islam membawa keamanan & keselamatan kepada masyarakat. Ianya telah digariskan oleh Allah s.w.t kepada hamba-hamba-NYA.

  1. Allah s.w.t juga sebut dalam ayat ini tentang kegunaan besi. Besi itu kuat sebagaimana pejuang Islam yang berjiwa besi, gagah berani atau penggunaan besi sebagai senjata dalam peperangan & jihad.
  2. Allah s.w.t juga nyatakan tentang rasul-rasul dari keturunan Nabi Nuh & juga Nabi Ibrahim a.s.
  3. Kemudian disebut tentang kerosakan puak Nasrani kerana mereka mudah koyak, tidak istiqomah dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. Bahkan mereka telah mengubah perjalanan agama, mencipta bid\’ah, mereka-reka ibadat, maka jadilah mereka golongan yang sesat! Na\’uzubillah.

AYAT 25- {DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH MENGUTUS RASUL-RASUL KAMI DENGAN MEMBAWA BUKTI-BUKTI DAN MUKJIZAT YANG JELAS NYATA, DAN KAMI TELAH MENURUNKAN BERSAMA-SAMA MEREKA KITAB SUCI DAN KETERANGAN YANG MENJADI NERACA KEADILAN, SUPAYA MANUSIA DAPAT MENJALANKAN KEADILAN DAN KAMI TELAH MENCIPTAKAN BESI DENGAN KEADAANNYA MENGANDUNGI KEKUATAN YANG HANDAL SERTA BERBAGAI FAEDAH LAGI BAGI MANUSIA. (DIJADIKAN BESI DENGAN KEADAAN YANG DEMIKIAN, SUPAYA MANUSIA MENGGUNAKAN FAEDAH-FAEDAH ITU DALAM KEHIDUPAN MEREKA SEHARI-HARI) DAN SUPAYA TERNYATA PENGETAHUAN ALLAH TENTANG ORANG YANG (MENGGUNAKAN KEKUATAN HANDALNYA ITU UNTUK) MENEGAK DAN MEMPERTAHANKAN AGAMA ALLAH SERTA MENOLONG RASUL-RASULNYA, PADAHAL BALASAN BAIKNYA TIDAK KELIHATAN (KEPADANYA); SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KUAT, LAGI MAHA KUASA.} (AL-HADID 57:25)

  1. Setiap rasul itu Allah s.w.t hantar dengan hujjah yang sangat nyata dan beberapa tanda mukjizat yang jelas.
    i- Hujjah guna akal untuk memahami dan berfikir akan kebenarannya.

ii- Mukjizat dengan mata, tanpa perlu berfikir & guna akal. Seperti bulan terbelah, unta Nabi Soleh, tongkat Nabi Musa a.s dan lain-lain.

  1. Mereka juga ada yang diberi Kitab sebagai panduan & hidayah dari Allah s.w.t juga neraca keadilan (ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْمِيزَانَ). Supaya manusia dapat menjalankan keadilan dengan jelas dan saksama.
    Seperti Kitab Taurat kepada Nabi Musa, Injil kepada Nabi Isa, serta Suhuf kepada Nabi Ibrahim dan lain-lain.
  2. Kata Ibnu Kathir rhm.: Akal yang waras & baik akan dapat melihat dengan jelas benarnya apa yang dibawa oleh para rasul dan nabi mereka itu. Tetapi akal yang sesat akan tetap menolaknya!
  3. Maksud adil (بِٱلْقِسْطِ) ini ialah:
    i- Ini semua supaya semua manusia dapat menjalankan keadilan dengan telus dan saksama.

ii- Mereka wajib mengikut ajaran rasul-rasul seperti apa yang dikhabarkan serta mentaati dan patuh kepada arahan yang di bawanya!

5. Kemudian Allah s.w.t bawa ayat tentang besi ini- {dan kami telah menciptakan besi }.

Maksudnya: Setelah dinyatakan kebenaran mereka masih lagi berpaling tidak mahu terima; yang menyebabkan Allah s.w.t terpaksa membawa hujjah untuk menolaknya, lalu dinyatakan bahawa besi itu:
i- Allah s.w.t turunkan ayat tentang besi, satu logam yang kuat yang boleh dijadikan alat peperangan.

ii- besi juga banyak manfaaatnya kepada manusia dalam kehidupan dan pertukangan seharian mereka!

6. Allah s.w.t mahu nyatakan kepada kita supaya kita nampak jelas bahawa sesiapa yang menolong agama Allah dan Rasul-Nya secara ghaib- yakni percaya kepada pahala dan janji Allah s.w.t walaupun tidak dapat melihatnya lagi.

7. Allah s.w.t sudah tahu semua ini, tetapi dia mahu manusia yang lain agar tahu bahawa: Pejuang-pejuang Islam ini sangat yakin akan janji-janji Allah s.w.t! mereka berjuang semata-mata kerana beriman secara ghaib. Janji Allah itu BENAR bukan seperti janji manusia yang berubah-rubah sentiasa!

8. Pada akhir ayat ini Allah s.w.t menyatakan bahawa sesungguhnya sifat-Nya:
i- Allah Maha Kuat (قَوِىٌّ), yakni kita disuruh berjuang BUKAN kerana Allah itu lemah, bukan untuk menolongnya, cuma untuk beri pahala perjuangan itu kepada kita.

Maka kita sebagai orang Islam apabila kita berniat kita berjuang untuk menegakkan kebenaran dan mencari yang baik, kena letakkan di depan mata kita untuk mencari pahala.

Begitulah sifat perjuangan ada pasang surut, ada menang ada kalah! Bila kita menang alhamdulillah syukur atas bantuan Allah s.w.t! Jika kalah itu adalah teguran agar kita muhasabah dan jangan mudah kecewa & putus asa dalam perjuangan.

ii- lagi Maha Kuasa (عَزِيزٌۭ)- bagi Allah segala kekuasaan dan kekuatan atas dunia ini!

AYAT 26- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH MENGUTUS NABI NUH DAN NABI IBRAHIM, DAN KAMI JADIKAN PADA KETURUNAN KEDUANYA ORANG-ORANG YANG BERPANGKAT NABI DAN MENERIMA KITAB-KITAB AGAMA; MAKA SEBAHAGIAN DI ANTARA MEREKA: ORANG YANG BEROLEH HIDAYAH PETUNJUK, DAN KEBANYAKAN MEREKA ORANG-ORANG YANG FASIK – DERHAKA.} (AL-HADID 57:26)

  1. Setelah Allah s.w.t sebut tentang nabi secara umum maka dalam ayat ini Allah s.w.t menyebut dua nama rasul secara khusus yang zuriat mereka menyambung kerasulan ini agar berterusan.
  2. Iaitu Nabi Nuh a.s & Nabi Ibrahim a.s. yang diutus kepada kaum mereka. Kemudian dijadikan dari keturunan mereka orang yang berpangkat nabi & diturunkan kitab-kitab. Yakni kebanyakan nabi-nabi dan rasul-rasul adalah dari keturunan dua orang nabi ini.

i- Nabi Nuh adalah episod pertama, setelah pembersihan umat manusia yang tidak beriman.

ii- manakala anbiya\’ bani Israil dari keturunan nabi Ibrahim.

  1. Mereka juga menerima kitab yang diturunkan Allah iaitu seperti Kitab Taurat, Zabur, Injil & al-Quran serta Shuf-suhuf lain.
    Kitab yang ada di tangan zuriat Nabi Nuh & Ibrahim inilah yang mengandungi dustur perundangan Islam atau usul perjalanan agama serta suhuf/wasiat dari nabi mereka.
  2. Tetapi Allah nyatakan juga walaupun mereka ini orang yang beroleh hidayah petunjuk, tetapi malangnya masih ramai lagi dari kalangan mereka adalah orang-orang yang fasik – derhaka!
  3. Begitulah kenyataan atas dunia ini, sejak dari zaman Nuh & Ibrahim hanya sedikit pengikut mereka yang beriman! Begitu juga mereka yang beriman mengikut Rasulullah s.a.w semasa di Makkah amat sedikit & lemah sekali!
  4. Sehingga ke hari ini pun masih ramai lagi yang kufur tidak beriman dan terus melakukan derhaka dan maksiat kepada Allah s.w.t!
    Jika iman tidak kuat, kesatuan & kekuatan umat Islam juga akan lemah!

Ini kadang-kadang yang melemahkan Islam itu sesama kita juga, sebagaimana pemotong besi yang diperbuat dari besi juga!
Apabila orang Islam itu lemah, besinya tidak diikat dengan kuat, mereka akan menjadi umat yang lemah, tidak kuat dan ditindas!

AYAT 27- {KEMUDIAN KAMI IRINGI SESUDAH – MEREKA: RASUL-RASUL KAMI SILIH BERGANTI, DAN KAMI IRINGI LAGI DENGAN NABI ISA IBNI MARYAM, SERTA KAMI BERIKAN KEPADANYA: KITAB INJIL; DAN KAMI JADIKAN DALAM HATI ORANG-ORANG YANG MENGIKUTNYA PERASAAN BELAS KASIHAN (SESAMA SENDIRI). DAN (PERBUATAN MEREKA BERIBADAT SECARA) \”RAHBANIYYAH\” – MEREKALAH SAHAJA YANG MENGADAKAN DAN MEREKANYA; KAMI TIDAK MEWAJIBKANNYA ATAS MEREKA; (MEREKA BERBUAT DEMIKIAN) KERANA MENCARI KEREDAAN ALLAH; DALAM PADA ITU MEREKA TIDAK MENJAGA DAN MEMELIHARANYA MENURUT YANG SEWAJIBNYA. OLEH ITU, ORANG-ORANG YANG BERIMAN (KEPADA NABI MUHAMMAD) DI ANTARA MEREKA, KAMI BERIKAN PAHALANYA, DAN (SEBALIKNYA) BANYAK DI ANTARA MEREKA YANG FASIK – DERHAKA.} (AL-HADID 57:27)

  1. Allah jadikan para rasul itu silih berganti! Selepas setiap nabi itu datang pula yang lain samada dari zuriatnya atau tidak.
    Biasanya satu nabi itu diutus kepada satu kaum.
  2. Tetapi ada juga dalam satu masa terdapat beberapa orang nabi seperti Nabi Ibrahim & Nabi Lut yang sezaman dan tempatnya juga tidak jauh.

Juga Nabi Musa & saudaranya Harun a.s yang bersama diutus kepada Firman.

  1. Kemudian Allah s.w.t terus sebut tentang Nabi Isa bin Maryam, selepas disebut Nabi Nuh & Ibrahim.
    Kenapa tidak disebut dulu nabi-nabi lain sebelumnya?
  2. Ini kerana Isa adalah salah seorang rasul yang agung selepas nabi Musa a.s dan kuat cabarannya. Dia adalah nabi terakhir dari kalangan Bani Israil, diturunkan kepadanya Kitab Injil serta dia juga telah mengisyaratkan bahawa akan datang selepasnya nabi & rasul terakhir yang bernama Ahmad. Rasulullah s.a.w disebut sebagai Ahmad dalam Kitab Injil.
  3. Setelah berlalu tempoh yang lama, jauh jarak antara nabi Isa dan Nabi Muhammad s.a.w, menjadikan keras hati para ahli Kitab ini.
  4. Tetapi ada juga di kalangan mereka yang Allah gambarkan di sini mempunyai perasan belas kasihan (رَأْفَةًۭ ) dalam hati mereka & berkasih sayang (وَرَحْمَةً) sesama sendiri.

ULAMA\’ MEMBEZAKAN MAKNA ANTARA DUA INI :

i- (رَأْفَةًۭ )- kasihan kepada orang lain, tolong orang susah dan lain-lain.
ii- (وَرَحْمَةً)- manakala kasihan belas dalam hati secara umum.

  1. Apabila keras hati mereka, mereka melakukan jenayah pertama dengan mereka-reka ibadat (rahbaniyyah)- yang Allah s.w.t tidak ajar & tidak wajibkan ke atas, yang tiada dalam kitab Injil.
  2. Apa maksudnya rahbaniyyah (رَهْبَانِيَّةً): asalnya mereka reka ibadat itu untuk mendekatkan diri kepada Allah & mencari keredhaan-Nya.

CONTOHNYA SEPERTI :

i- bertapa dalam gua, menjauhkan diri dari orang ramai.
ii- mengharamkan diri dari berkahwin.
iii- meninggalkan kehidupan dan kesenangan dunia.

Semua ini adalah perbuatan yang tidak di ajar oleh Allah s.w.t!
Sedangkan jika dia ikut apa yang diajar oleh Rasul itu sudah cukup dan tidak bertentangan dengan fitrah manusia normal.

  1. Kemudian jenayah keduanya; mereka sendiri pun tidak mengamalkan apa yang mereka reka itu, tidak memeliharanya sebagaimana yang sepatutnya!
  2. Kemudian Allah nyatakan ada antara mereka ini yang beriman dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Lalu orang-orang yang beriman kepada Nabi Muhammad di antara mereka ini, Allah akan berikan kepada mereka pahalanya!
    Tetapi malangnya, masih banyak di antara mereka yang fasik – derhaka daripada yang beriman ini!
  3. Boleh lihat kisah tentang penyelewengan golongan rahbaniyyun ahli kitab yahudi & Nasrani dalam sebuah kisah yang panjang tentang pengembaraan seorang sahabat yang masyhur, Salman al-Farisi dari Parsi dalam mencari agamanya sehingga bertemu dengan Rasulullah s.a.w & Islam!
  4. Maka kita orang Islam beringat & ambillah pengajaran:
    i- siapa yang memegang tanggung-jawab kena telus dan amanah dalam menguruskan harta-harta masyarakat & awam
    ii- serta jangan mereka-reka dalam perkara ibadat!
  5. Ibnu Kathir rmh. membuat kesimpulan terdapat dua celaan dari Allah iaitu:
    i- bid\’ah, iaitu mereka-reka ibadat.
    ii- dia sendiri buat, dia sendiri juga yang tidak ikut!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 25- {Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata,- sehingga ke akhir ayat}- kata ulama\’ maksudnya { وَأَنزَلْنَا ٱلْحَدِيدَ} kami turunkan besi adalah sekaligus menggalakkan berjuang & peperangan serta memberi semangat untuk orang Islam berjuang.

Kata ulama\’ juga, kita berdakwah ini dengan dua cara:
i- cara lembut- dakwah kepada Allah dengan seruan, nasihat dan ajakan secara hikmah, dengan bawa dalil, hujjah, secara logik akal dan seumpamanya.
Setelah tidak berjaya jalan pertama, masih lagi keras kepala dan melawan maka kita kena guna;

ii- dakwah secara bersenjata iaitu peperangan dan menggunakan senjata.
Kerana itulah ayat ini menyebut secara tertib diturunkan Kitab (sebagai hujjah) kemudian diturunkan besi (sebagai alat), inilah dari segi tertib dakwah juga.

Begitulah peraturan dalam menakluk negara bukan Islam juga, pertama kita berdakwah kepada mereka dan tawarkan kepada mereka perpaduan, jika tidak mahu masuk Islam tidak mengapa tetapi duduk di bawah pemerintahan Islam.

Jika tidak mahu kedua-dua maka baru lawan dan taklukinya. Maknanya hujjah dulu sebelum lawan!

KATA PERIBAHASA BAHASA ARAB :

فإن لم تنفع الكتب * تعينت الكتائب

Jika hujjah/kitab tidak memberi faedah * Maka peperanganlah gantinya.

Kata-kata masyhur dari Sayyidina Usman bin Affan r.a:
Allah s.w.t memberi kekuatan melalui kuasa kepada pemerintah, lebih dari apa yang diberi dengan al-Quran (hujjah).

Yakni walaupun dalam al-Quran sudah disebut semua benda yang haram, tetapi selagi pemerintah tidak campur tangan menjalankan kuasanya mengharam dan menghukum semua itu, manusia tidak akan takut dan tidak akan meninggalkannya!

  1. Ayat 25- {dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.}- Allah kata Dia nak suruh nampak siapa yang tolong Allah dan bantu Rasul-Nya tanpa dia nampak balasannya!

Yakni secara ghaib beriman dan beramal soleh, tanpa nampak pulangannya!
Yakni Allah s.w.t kata orang yang akan Dia beri balasan, nak beri pahala dan pulangan ialah mereka ini yang ikhlas berjuang dan beribadat, dengan hati yang jujur kerana Allah & Rasul-Nya.

Apakah maksudnya orang yang tolong Allah dan bela Rasul-Nya?
Iaitu mereka yang berjuang untuk menegakkan kalimah Allah s.w.t & menyebarkan ajaran Sunnah Nabi s.a.w!

Kerana itulah kita kempen:
Ikut Sunnah hati tenang dan pahala dapat, Insya\’Allah.

Inilah cara kita bela Nabi s.a.w setelah kewafatannya iaitu dengan menghidupkan Sunnah-Sunnahnya yang sahih!

  1. Ayat 26- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Nuh..}- kata ulama\’ ayat ini sebagai dalil menunjukkan bahawa Nabi Nuh a.s itu adalah rasul yang pertama yang diutuskan oleh Allah s.w.t kepada umat manusia di dunia ini.
    Adam itu ialah nabi pertama tetapi tidak diutus kepada manusia di bumi.

Menurut riwayat Ibnu Abbas r.a jarak tempoh antara nabi Adam & Nuh a.s ialah 10 kurun. Kerana itu telah masuk banyak penyelewengan, maka Allah s.w.t telah hantar Nabi Nuh a.s untuk membersihkan manusia dari kerosakan aqidah dan penyelewengan ibadat ini.

Dalam hadis Rasulullah s.a.w tentang syafaat juga disebut bahawa Nabi Nuh a.s adalah rasul yang pertama.

Apabila orang tidak hirau dakwah Nabi Nuh a.s. maka Allah s.w.t bersihkan manusia itu dengan dibinasakan semuanya. Kemudian yang tinggal adalah dari keturunan Nabi Nuh a.s yang beriman kemudian datang nabi Ibrahim a.s.

Persoalan pula- kenapa Allah pisahkan dua orang nabi ini, sedangkan bukankah Ibrahim juga datang dari keturunan Nuh a.s, semua nabi yang datang adalah dari zuriat Nabi Nuh semuanya?

JAWAPAN :

i- Ini kerana walaupun nabi Ibrahim adalah cucunya, tetapi asalnya adalah dari susur galur nabi Nuh.

ii- kerana ada sebahagian anbiya\’ dari kuturunan Nuh tapi bukan dari zuriat Nabi Ibrahim seperti Nabi Hud, Lut, Soleh dan lain-lain.
Kedua-dua ini adalah datuk kepada ramai para anbiya\’ selepas dari mereka, kerana itu Allah s.w.t sebut nama mereka berdua.
Nabi kita Muhammad Rasulullah s.a.w adalah dari keturunan Nabi Ibrahim a.s.

  1. Ayat 27- {Kemudian Kami iringi sesudah – mereka: Rasul-rasul Kami silih berganti, dan Kami iringi lagi dengan Nabi Isa ibni Maryam, serta Kami berikan kepadanya: Kitab Injil; dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutnya perasaan belas kasihan (sesama sendiri). Dan (perbuatan mereka beribadat secara) \”Rahbaniyyah\” – merekalah sahaja yang mengadakan dan merekanya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka; }- Allah ceritakan bahawa selepas itu datang Nabi Isa a.s yang Allah puji pengikutnya yang pada asalnya mempunyai hati baik, lemah lembut, sikap kasihan belas mereka tinggi dan mengikut ajaran Injil { رَأْفَةًۭ وَرَحْمَةًۭ}.

Tetapi mereka telah berubah hari ini menjadi extreme dan ganas dalam melawan orang Islam.

Mereka juga telah melampau dan reka ibadat yang mereka sendiri tidak boleh ikut.
Lalu Allah S.W.T telah cela mereka kerana mereka-reka ibadah.
Jangan sekali-kali kita mereka ibadat kerana ibadat ini kena bertepatan dengan ajaran al-Quran dan mengikut sunnah.

Diceritakan bahawa disebut kepada Abdur-Rahman bin Mahdi (seorang ulama\’ Hadis) tentang golongan ahlul-Bid\’ah seperti jabariyyah atau muktazilah yang kuat beribadat.

Kata Ibnu Mahdi: Sekuat mana ibadatpun tidak akan diterima jika tidak bertepatan dengan arahan Allah s.w.t dan mengikut ajaran Nabi s.a.w. Jika kamu nak selamat beramallah dengan Sunnah Nabi s.a.w. Beliau kemudian membaca ayat 26 ini.

Banyak & kuat setara manapun amalan tetapi jika tidak ikut Syariah dan tidak ikut sunnah Nabi S.A.W – Allah S.W.T tolak dan tak terima malah Allah S.W.T akan cela mereka dan masukkan ke neraka orang yang buat bid\’ah.

Inilah bahayanya jika mereka-reka ibadat yang tidak diajar oleh Rasulullah s.a.w dan berselindung pula di sebalik nama-nama ahlus-Sunnah dan lain-lain.

Neraca timbangan kita nak tahu betul atau tidak ialah rujuk kepada al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w dan juga huraian para ulama\’ yang salafus-soleh.

  1. Ayat 27- {Oleh itu, orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad) di antara mereka, kami berikan pahalanya, dan (sebaliknya) banyak di antara mereka yang fasik – derhaka}- dalam ayat ini pujian Allah terhadap orang mukmin yang betul-betul beriman kepada Allah s.w.t, mereka dua kali beriman, iaitu pertamanya mereka beriman dengan Injil kemudian beriman pula dengan al-Quran & Rasulullah s.a.w!

Tetapi realitinya, malangnya ramai di kalangan mereka ini, ahli Kitab yang tidak beriman walaupun ada Kitab di tangan mereka!

Dua kali Allah s.w.t sebut tentang sedikitnya orang yang beriman ini dan ramai yang fasiq tidak beriman:
i- dalam ayat 26 secara umum semua makhluk itu ramai dari kalangan mereka yang tidak beriman!

ii- ahli kitab yang tidak beriman secara khusus dalam ayat 27 ini.
Inilah kenyataannya, atas dunia ini, dulu atau sekarang; orang yang tidak beriman lebih ramai daripada mereka yang beriman.

Maka kita yang sudah beriman ini alhamdulillah, syukur atas nikmat iman ini! Semoga Allah s.w.t tetapkan hati kita di atas iman dan agama ini, di atas jalan & Sunnah Rasulullah s.a.w.

Powered by BetterDocs