SERUAN AGAR BERIMAN, BERINFAQ FI SABILILLAH & KELEBIHAN GOLONGAN AWAL ISLAM.
Full video : https://youtu.be/SUOhiGkvDWE
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan seruan agar beriman kepada Allah s.w.t setelah diutuskan Rasul untuk memberi bimbingan.
- Kemudian galakan untuk bersedekan atau berinfaq fi sabilillah yang begitu besar kelebihan dan pahalanya.
- Dinyatakan juga tentang kelebihan golongan awal Islam iaitu para sahabat Rasulullah s.a.w.
- Munasabah susunan ayat: Allah s.w.t sebut dalam ayat yang lepas bahawa alam semua bertasbih kepada Allah juga Allah nyatakan sifat-Nya yang Maha berkuasa, mengetahui apa yang zahir & tersembunyi. Maka dalam ayat ini Allah s.w.t perintahkan agar kita mantapkan Iman kita jangan goyah!
Segala dalil telah diberi samada di langit atau di bumi, di atas atau di bawah.
Maka berimanlah kamu kepada Alllah s.w.t dengan teguh dan mantap.
AYAT 7- {BERIMANLAH KAMU KEPADA ALLAH DAN RASULNYA, DAN BELANJAKANLAH (PADA JALAN KEBAJIKAN) SEBAHAGIAN DARI HARTA BENDA (PEMBERIAN ALLAH) YANG DIJADIKANNYA KAMU MENGUASAINYA SEBAGAI WAKIL. MAKA ORANG-ORANG YANG BERIMAN DI ANTARA KAMU SERTA MEREKA MEMBELANJAKAN (SEBAHAGIAN DARI HARTA ITU PADA JALAN ALLAH); MEREKA TETAP BEROLEH PAHALA YANG BESAR.} (AL-HADID 57:7)
- Pertama sekali Allah s.w.t perintahkan agar kita mantapkan iman dengan:
i- beriman kepada Allah s.w.t sepenuhnya. Jangan goyah dan ragu.
ii- beriman kepada Rasul-Nya, Muhammad s.a.w dengan membenarkan apa yang dibawanya, mengikut segala dakwah dan ajaran yang dibawanya. Serta kekallah beriman selagi kamu hidup, sehingga mati.
- Arahan supaya membelanjakan pada jalan kebajikan, sebahagian harta yang diberikan Allah kepada kita sebagai wakil / penjaga, harta itu hanya pinjaman!
Kita bukanlah pemilik hakiki harta itu, hanya sebagai ujian dari Allah s.w.t untuk melihat kebaikan kita. - Jika kita tidak sedekah atau infaq semasa hidup, nanti kita akan tinggalkannya dan akan menjadi milik orang lain sebagai pusaka. Jika nak jadikan ia hak kita guna dan infaqlah ia sebagaimana sepatutnya!
- Ingatlah kain kafan itu tiada poket, yakni kita tidak boleh bawa duit masuk kubur. Tetapi kita dapat menghantar harta itu menjadi milik kita, yang akan menunggu kita di akhirat kelak.
Maka pandai-pandailah kita mencari jalan dan Lorong yang telah dibuka oleh Syari\’ah, melalui amalan sedekah, wakaf, infaq dan lain-lain. - Mereka yang beriman dan membelanjakan hartanya pada jalan Allah akan memperoleh pahala yang amat besar!
Ingatlah harta itu hanya pinjaman, kita lni bukan pemilik hakikinya! - Ingat juga bahawa syarat qabul amalan adalah dengan beriman!
Jika tidak tiada akaun untuk masuk pahala itu di akhirat kelak!
Amat rugi dan malang mereka yang suka bersedekah tetapi masih kafir tidak beriman!
AYAT 8- {DAN MENGAPA KAMU TIDAK BERIMAN KEPADA ALLAH? SEDANG RASULULLAH MENGAJAK KAMU UNTUK BERIMAN KEPADA TUHAN KAMU, DAN ALLAH TELAH MENGAMBIL JANJI SETIA DARI KAMU (UNTUK BERIMAN); JIKA KAMU HENDAK BERIMAN (MAKA TELAH JELASLAH DALIL-DALILNYA).} (AL-HADID 57:8)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t sebut sebab-sebab jemputan untuk mengajak kamu beriman kepada Tuhanmu tanpa ada sekatan lagi!
Jika kamu tidak mahu beriman juga maka itu adalah kesalahan dan kerugian kamu! - Allah s.w.t nyatakan bahawa Dia telah membuat perjanjian dengan kita sewaktu kita di alam zuriat lagi! Pada ketika itu semua manusia menjawab mengakui: Bahkan! Cuma apa boleh buat; selepas lahir itu mereka bertukar, mengikut keadaan keluarga mereka.
- Firman Allah s.w.t:
{Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): \”Bukankah Aku tuhan kamu?\” Mereka semua menjawab: \”Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi\”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: \”Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini\”.
Atau supaya kamu tidak mengatakan: \”Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?\”} [Al-A\’raf: 172-173].
- Sabda Rasulullah s.a.w: \”Setiap bayi yang lahir, dilahirkan di atas fitrah, maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani\”. (Sahih Muslim no: 2658)
AYAT 9- {DIA LAH YANG MENURUNKAN KEPADA HAMBANYA (NABI MUHAMMAD) KETERANGAN-KETERANGAN AL-QURAN YANG TERANG NYATA, KERANA IA HENDAK MENGELUARKAN KAMU DARI GELAP-GELITA (KEKUFURAN) KEPADA CAHAYA (IMAN) YANG TERANG-BENDERANG. DAN (INGATLAH) SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA BELAS, LAGI MAHA MENGASIHANI, TERHADAP KAMU.} (AL-HADID 57:9)
- Allah s.w.t menyatakan bahawa Dia telah menurunkan al-Quran kepada Rasulullah s.a.w untuk memberi petunjuk dan ajaran kepada kamu.
- Tujuan Rasulullah s.a.w diutus ialah untuk menyelamatkan manusia daripada kegelapan kufur & syirik kepada sinaran cahaya iman, dari sesat kepada petunjuk, dari syak kepada yakin!
{لِّيُخْرِجَكُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ ۚ} - Firman Allah s.w.t juga:
{Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad, s.a.w) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.
Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.} [Al-Ma\’idah: 15 & 16]
- Allah s.w.t sangat sayang kepada kita kerana itu dihantarnya rasul dan diturunkan Kitab untuk kita mendapat petunjuk yang dapat membawa kita ke syurga & meraih redha Allah s.w.t!
AYAT 10- {DAN MENGAPA KAMU TIDAK MEMBELANJAKAN HARTA BENDA KAMU PADA JALAN ALLAH? – PADAHAL ALLAH JUALAH YANG MEWARISI LANGIT DAN BUMI (SERTA SEGALA ISINYA). TIDAKLAH SAMA DI ANTARA KAMU, ORANG-ORANG YANG MEMBELANJAKAN HARTANYA SERTA TURUT BERPERANG SEBELUM KEMENANGAN (NABI MENGUASAI MAKKAH). MEREKA ITU LEBIH BESAR DARJATNYA DARIPADA ORANG-ORANG YANG MEMBELANJAKAN HARTANYA SERTA TURUT BERPERANG SESUDAH ITU. DAN TIAP-TIAP SATU PUAK DARI KEDUANYA, ALLAH JANJIKAN (BALASAN) YANG SEBAIK-BAIKNYA. DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA MENDALAM PENGETAHUANNYA AKAN APA YANG KAMU KERJAKAN.} (AL-HADID 57:10)
- Ayat ini adalah galakan agar kita segera bersedekah sebelum harta kita menjadi milik orang lain!
Jangan bakhil dan kupit untuk membelanjakan harta kamu pada jalan Allah! - Harta yang ada di tangan kamu, yang diberi oleh Allah s.w.t; jika tidak diguna akhirnya akan diambil balik oleh Allah s.w.t, maka tiada makna kamu bakhil kerana dunia ini samada kamu akan tinggalkannya (mati) atau ia akan meninggalkan kamu apabila sudah rosak!
- Masa berjihad yang paling mahal dan sedekah yang paling afdhal ialah pada awal-awal Islam, iaitu ketika Rasulullah s.a.w dan para sahabat masih di dalam kesusahan, iaitu sebelum pembukaan (الفتح).
- Ulama\’ ada beberapa pandangan tentang maksud pembukaan (الفتح) ini:
i- ada kata sebelum Perjanjian Damai Hudaibiyah iaitu pada bulan Zul-Qi\’dah, Tahun ke-7 H.
ii- ada ulama\’ kata ia adalah Pembukaan Kota Makkah pada bulan Ramadhan Tahun ke-8H.
- Kerana itu Rasulullah s.a.w melarang dari mencela para sahabat Baginda R.anhum:
لا تَسُبُّوا أَصْحَابِي؛ فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَوْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا أَدْرَكَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلاَ نَصِيفَهُ
\”Janganlah kamu mencela para sahabatku. Kerana sesungguh, seandainya salah seorang di antara kamu menginfakkan emas sebesar Gunung Uhud, ia tidak akan sebanding dengan satu mud (cupak) yang diinfakkan oleh salah seorang dari mereka, bahkan tidak juga setengahnya.\” [HR Bukhari & Muslim]. - Kita dengan sahabat ini jangan main-main jangan menjadi seperti golongan Syi\’ah yang menjadikannya sebagai zikir mereka.
- Orang yang berjihad & memberi nafkah, membelanjakan harta sebelum Pembukaan itu lebih besar pahalanya kerana berada di dalam peringkat susah dan awal Islam, iman masih teruji.
- Tetapi ingat bagi semua yang bersedekah ini; samada yang terdahulu dan yang terkemudian, Allah s.w.t sediakan pahala yang sebaiknya.
- Ingatlah bahawa Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu kerjakan, setiap sedekah dan nafkah kamu akan dicatat dan dibalas dengan setimpalnya. Jangan bimbang, tidak perlu kamu berbangga dan menunjuk-nunjuk!
AYAT 11- {SIAPAKAH ORANGNYA YANG MAHU MEMBERIKAN PINJAMAN KEPADA ALLAH, SEBAGAI PINJAMAN YANG BAIK (IKHLAS) SUPAYA ALLAH MELIPAT-GANDAKAN BALASANNYA? DAN (SELAIN ITU) IA AKAN BEROLEH PAHALA YANG BESAR!} (AL-HADID 57:11)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t membuat analogi bandingan; kita bersedekah ini seolah kita memberi hutang/pinjaman kepada Allah s.w.t.
- Maknanya apabila kita beri hutang kepada orang, ia akan dibayar balik. Yakni jika kita bersedekah kerana Allah, seolah kita beri hutang kepada Allah, maka pahalanya mesti dapat, bahkan berlipat ganda lagi balasannya.
- Tetapi ingat kita wajib ikhlas lillahi-Ta\’ala, buat semua itu kerana Allah, bukan kerana nak bermuka dan menunjuk-nunjuk!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 7- {Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya}- ayat ini menjadi dalil kepada seorang insan untuk meralisasikan imannya dan mantapkannya. Yakni wajib kita tajdid (perbaharui iman) setiap waktu.
Bila kita rasa iman kita lemah dan goyah, dikacau syaitan dan godaan dunia yang lagha terus kita minta perlindungan dengan Allah s.w.t dengan ucapkan:
{ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيطَانِ الرَّجِيم}
Syaitan akan hasut kita agar tidak bersedekah kerana takut fakir & hilang harta!
Maka Allah s.w.t kembarkan beriman kepada Allah s.w.t & beri nafkah.
Allah juga ungkit, harta yang kamu nafkahkan itu adalah apa yang Allah beri kamu pinjam!
Hadis dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a, bahawa Nabi s.a.w bersabda:
إن الإيمان ليَخْلَقُ فِى جَوفِ أَحَدِكمُ كَـمَا يَخْلَقُ الثَّوبُ فَاسْأَلُوا اللهَ أَنْ يُـجَدِّدَ الِإيمَانَ فِى قُلُوبِكُم
\”Sesungguhnya iman itu boleh pudar/lemah dalam hati kamu, sebagaimana kain boleh menjadi pudar. Kerana itu, berdoalah kepada Allah untuk memperbarui iman di hati kamu.\” [HR Hakim].
Yakni sentiasa berdoa dan perbanyakkan amal ibadat kita.
- Ayat 7- {Dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil.}- ayat ini menunjukkan segala harta yang kita miliki ini bukan milik kita secara hakiki. Ia datang dari orang yang meninggalkannya untuk kita atau hanya rezeki pinjaman dari Allah s.w.t sahaja!
Kita hanya pengurusnya sahaja, maka jadilah pengurus yang bijak yang dapat memberi Manfaat untuk akhirat kita kelak!
ii- Rasulullah s.a.w bersabda:
ﻳَﻘُﻮﻝُ ﺍﻟْﻌَﺒْﺪُ ﻣَﺎﻟِﻰ ﻣَﺎﻟِﻰ ﺇِﻧَّﻤَﺎ ﻟَﻪُ ﻣِﻦْ ﻣَﺎﻟِﻪِ ﺛَﻼَﺙٌ ﻣَﺎ ﺃَﻛَﻞَ ﻓَﺄَﻓْﻨَﻰ ﺃَﻭْ ﻟَﺒِﺲَ ﻓَﺄَﺑْﻠَﻰ ﺃَﻭْ ﺃَﻋْﻄَﻰ ﻓَﺎﻗْﺘَﻨَﻰ ﻭَﻣَﺎ ﺳِﻮَﻯ ﺫَﻟِﻚَ ﻓَﻬُﻮَ ﺫَﺍﻫِﺐٌ ﻭَﺗَﺎﺭِﻛُﻪُ ﻟِﻠﻨَّﺎﺱِ
Seorang hamba berkata, \”Harta-hartaku.\”
Sedangkan hartanya itu hanyalah tiga:
i- apa yang ia makan dan telah rosak,
ii- apa yang dia pakai dan telah lusuh,
iii- apa yang ia sedekahkan dan itu adalah sebenarnya harta yang ia kumpulkan.
Harta selain itu akan hilang dan diberi pada orang-orang yang ia tinggalkan.\” (HR. Muslim no. 2959)
iii- Hadis pernah ditanya kepada seorang Badwi tentang siapakah pemilik untanya? Dia menjawab bahawa ia adalah milik Allah dan ada dekatku.
- Ayat 9- {Dia lah yang menurunkan kepada hambaNya (Nabi Muhammad) keterangan-keterangan Al-Quran yang terang nyata,}- ayat ini menunjukkan kasih sayang dan rahmat Allah s.w.t kepada manusia.
Setelah dicipta manusia dihantarnya seorang rasul yang disokong dengan tanda-tanda dan mukjizat yang dapat dipercayai. Inilah keprihatinan Allah s.w.t terhadap hamba-Nya agar menjadi manusia yang diredhai Allah s.w.t.
Ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa bukan sekadar di hantar rasul, juga diturunkan bersama dengan Kitab untuk menyatakan kebenarannya.
- Ayat 10- {Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Makkah).}- kata ulama\’ ayat ini adalah dalil bahawa dalam amal soleh itu- orang yang cepat dan segera melakukannya adalah lebih afdhal dan lebih baik daripada orang yang melengah-lengahkannya.
ii- menjadi kewajipan kepada kita untuk menghormati para sahabat Nabi S.A.W.
Jangan merendahkan apatah lagi menghina dan memburuk-burukan mereka r.anhum dengan tuduhan jahat yang tidak berasas. Mereka telah diberi kelebihan yang besar oleh Allah swt.
- Ayat 11- {Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah}- ayat ini adalah satu galakan untuk bersedekah.
Allah buat analogi orang yang bersedekah seolah memberi hutang yang baik kepada Allah s.w.t!
Syarat untuk sedekah itu menjadi baik dan besar pahala { قَرْضًا حَسَنًۭا}:
i- mesti daripada harta yang baik dan elok!
ii- kita keluarkannya dengan redha, jiwa yang tenang & ikhlas. Bukan kerana terpaksa atau dengan marah-marah.
iii- beri dengan baik, jangan mengungkit-ungkitnya. Pahala akan hilang dengan sebab ungkitan.
Kata ulama\’ tadabbur, kenapa Allah s.w.t namakan sedekah itu sebagai hutang kepada Allah?
Jawapan: Ini menunjukkan bahawa orang yang bagi sedekah itu dekat dengan Allah s.w.t, pahala dan kelebihannya amat besar dan dekat sekali dengan Allah.
Semoga kita tidak berasa berat untuk bersedekah!
Hari ini adalah hari bersejarah bagi rakyat Malaysi iaitu hari mengundi PRU ke 15. Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita, semoga orang yang kita pilih boleh memberi kebaikan kepada agama dan negara kita, lantiklah pemimpin yang baik-baik dari kalangan kami.
أسأل الله العظيم رب العرش العظيم أن يحفظكم وينصركم في هذا الانتخاب ويرزقكم الفوز والنجاح
Semoga Allah berkati dan beri pertolongan & kemenangan.