View Categories

SURAH AL-HUJURAT : AYAT 16-18

\"\"

KUMPULAN A\’RAB TUNJUK BERIMAN, MENGUNGKIT DENGAN NABI S.A.W & ILMU ALLAH S.W.T. LUAS

Full video : https://youtu.be/K7uewKUjFpc

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah hari ini adalah siri terakhir bagi surah al-Hujurat. Bersempena dengan 31hb Ogos, hari ini juga hari merdeka yang ke 65 bagi negara kita.
  2. Semoga kita berjaya merdekakan diri kita zahir dan batin, bebas dari konkongan hawa nafsu, patuh sepenuhnya pada Syari\’ah Allah s.w.t. Semoga pemimpin & negara kita sentiasa dalam keadaan mencari keredhaan Allah s.w.t melaksanakan pemerintahan selari dengan tuntutan Islam.
  3. Ayat ini adalah kesinambungan dari ayat yang lepas juga.
    Iaitu tentang sekumpulan Arab Badwi yang mahu tunjukkan bahawa dia beriman kepada Allah & Rasul-Nya.

Allah s.w.t menegurnya kerana Allah s.w.t tahu semua yang ada dalam hati mereka zahir dan batin, begitu juga Rasulullah s.a.w dengan mukjizatnya yang dikurniakan oleh Allah.

  1. Jadi perbetulkan dulu niat dan mantapkan iman mereka barulah mereka boleh mengaku sebagai seorang mukmin yang sebenar.
    Jika tidak cukup sejadar mengaku sebagai seorang Islam sahaja dulu.

AYAT 16- {KATAKANLAH (KEPADA ORANG-ORANG \”A\’RAAB\” ITU WAHAI MUHAMMAD): \”PATUTKAH KAMU HENDAK MEMBERITAHU KEPADA ALLAH TENTANG AGAMA KAMU (DENGAN BERKATA: `KAMI TELAH BERIMAN\’)? PADAHAL ALLAH MENGETAHUI SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN YANG ADA DI BUMI, DAN ALLAH MAHA MENGETAHUI AKAN TIAP-TIAP SESUATU\”.} (AL-HUJURAAT 49:16)

  1. Allah s.w.t ajar kepada Rasulullah s.a.w untuk berkata orang-orang Badwi yang mengaku beriman itu, tidak perlu mereka datang untuk tunjuk dan beritahu kepada Allah bahawa mereka beriman sedangkan Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
  2. Munasabah ayat: Apabila puak Badwi datang dan mengaku beriman {آمَنَّا}, Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w menjawab bahawa mereka belum lagi beriman yakni iman belum lagi terpasak dalam hati mereka dengan mantapnya!

Maka ayat ini seterusnya mengingkari dakwaan mereka itu, yang mengaku beriman kerana Allah s.w.t Maha Mengetahui segalanya, apa yang tersembunyi dalam hati mereka zahir dan batin!
Bukan setakat dalam diri manusia, bahkan Allah s.w.t juga Maha Mengetahui apa yang ada di langit dan di di bumi, ilmu-Nya meliputi segenap sesuatu!

  1. Ayat ini juga mengajar kepada kita jangan suka membuat pengumumn dan pengakuan dalam apa jua isu, kerana Allah s.w.t mengetahui semua perkara. Jika sekadar untuk mengaburi mata manusia dan mengangkat diri sendiri, amatlah tidak patut!
  2. Sama seperti firman Allah s.w.t dalam ayat ini:
    {Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepada-Nya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.} (A-li\’Imraan 3:5)
  3. Allah s.w.t tahu semua perkara samada yang besar atau kecil, yang penting atau remeh, ini kerana Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. {وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ}
  4. Apakah kesan kita beriman dengan sifat Allah s.w.t yang Maha Mengetahui ini?
    Ini agar kita berhati-hari daripada mengeluarkan perkataan yang bercanggah dengan apa yang ada dalam hati kita!
  5. Allah s.w.t Maha Mengetahui apakah kamu benar-benar beriman atau tidak, benar-benar-benar ikhlas atau tidak dalam perbuatan kamu!
  6. Tentang sifat & nama Allah s.w.t inilah salah satu jalan untuk kita mengenal Allah s.w.t. Tetapi malangnya ayat yang menyebut tentang sifat Allah menjadi permainan syaitan yang menjadikannya polemik sebab pergaduhan yang tidak berkesudahan antara sesama muslim, sehingga membawa kepada mengkafirkan kepada sesiapa yang mengisbatkan sifat Allah s.w.t tanpa takwil!
    Allahu al-Musta\’an.

AYAT 17- {MEREKA MENGIRA DIRINYA BERBUDI KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) DENGAN SEBAB MEREKA TELAH ISLAM (TIDAK MELAWAN DAN TIDAK MENENTANG). KATAKANLAH (KEPADA MEREKA): \”JANGANLAH KAMU MENGIRA KEISLAMAN KAMU ITU SEBAGAI BUDI KEPADAKU, BAHKAN (KALAULAH SAH DAKWAAN KAMU ITU SEKALIPUN MAKA) ALLAH JUALAH YANG BERHAK MEMBANGKIT-BANGKITKAN BUDINYA KEPADA KAMU, KERANA DIA LAH YANG MEMIMPIN KAMU KEPADA IMAN (YANG KAMU DAKWAKAN ITU), KALAU BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR (PENGAKUAN IMANNYA).} (AL-HUJURAAT 49:17)

  1. Puak Badwi itu juga datang mengungkit bahawa telah berbakti dan berbudi kepada Rasulullah s.a.w dengan masuk Islam. Seolah mereka telah buat kebaikan dan kebajikan kepada Rasulullah s.a.w dengan mereka beriman!
  2. Lalu Allah s.w.t suruh Rasulullah s.a.w katakan bahawa pengislaman mereka itu bukanlah sebagai satu budi atau jasa kepada Rasulullah s.a.w. Islam itu bawa kebaikan dan keuntungan untuk mereka sendiri bukan untuk Baginda!
  3. Hanya Allah s.w.t yang akan membalas segalanya jika kamu betul-betul beriman!
    Bukan Rasulullah s.a.w yang akan membalasnya maka tidak perlu mengungkitnya kepada Baginda!
  4. Jika benar pengakuan iman kamu, maka itu adalah anugerah dari Allah s.w.t. Hanya Allah yang boleh membangkit budinya kerana dia yang memimpin kamu dan memberi hidayah kepada kamu untuk beriman.
    Jika betul pengakuan iman kamu sekalipun, ingatlah itu adalah anugerah dari Allah s.w.t !
  5. Ini kerana hidayah itu ada dua jenis:
    i- hidayah taufiq yang dapat membuka hati manusia untuk menerima dan beriman. Ia adalah milik & anugerah dari Allah s.w.t semata.

ii- hidayah irsyad- iaitu usaha memberi bimbingan dan dakwah ke arah kebenaran adalah kerja Rasulullah s.a.w.

  1. Hadis kisah tentang ini- Peperangan Hunain telah berlaku selepas pembukaan Makkah iaitu di Taif, Islam menang dalam peperangan ini dan merampas banyak dari harta rampasan perang termasuk, unta, kambing dan wang dirham dan dinar.
    Rasullah pergi ke Jaranah untuk mengagihkan harta rampasan perang itu. Jaranah terletak dipinggir jalan kearah Taif. Lalu berlakulah satu peristiwa yang tidak sepatutnya.

Dari Ibnu Abbas r.a katanya: Ketika hari peperangan Hunain, Rasul Allah s.a.w. telah melebihkan atau mengutamakan beberapa orang dalam pembahagian harga rampasan perang, lalu diberi kepada Aqrabin Habis seratus ekor unta dan kepadaUyainah bin Hisn seperti itu juga (seratus ekor unta).
Juga diberi kepada pembesar-pembesar Quraisy dan mengutamakan pembahagian kepada mereka.

Kemudian ada seorang lelaki (golongan Ansar) berkata: \”Demi Allah pengagihan secara ini tidak ada keadilannya dan agaknya tidak dikehendaki untuk mencari keredhaan Allah\”.

Saya berkata, \”Demi Allah hal ini akan saya beritahu kepada Rasul Allah s.a.w.\”. Saya pun terus berjumpa dengan Baginda dan memberitahu kepadanya tentang apa yang dikatakan orang itu.
Maka berubahlah wajah Baginda sehingga merah padam mukanya lalu bersabda:
\”Siapakah yang dikatakan adil, jika Allah dan Rasul-Nya tidak adil. Selanjutnya Baginda bersabda: \”Allah merahmati Nabi Musa, ia telah disakiti dengan cara yang lebih dari ini, tetapi ia tetap sabar.\”

Saya sendiri berkata: \”Saya tak akan menceritakan kepada Rasul Allah selepas ini lagi\”.

Setelah itu, Rasulullah s.a.w menyuruh seluruh kaum Ansar datang kepadanya dan kaum serta sahabat-sahabat daripada bukan golongan Ansar tidak dibenarkan datang berkumpul.
Yakni perjumpaan tertutup dengan golongan Ansar sahaja.

Sabda Rasulullah s.a.w kepada mereka:
\”Kamu marah, saudara-saudara Ansar, hanya kerana sekelumit harta dunia yang hendak aku berikan kepada orang-orang yang perlu dijinak hatinya agar mereka sudi masuk Islam, sedang keislamanmu sudah sedia kukuh.

Tidakkah kamu rela saudara-saudara Ansar, apabila orang-orang itu pergi membawa kambing, membawa unta, sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah ke tempat kamu?
Maka demi jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, apa yang mereka perolehi tidaklah lebih baik daripada apa yang kamu perolehi!

Kalau tidak kerana hijrah, tentu aku termasuk orang Ansar.
Jika orang ramai melalui suatu jalan di celah-celah gunung, dan Ansar melalui jalan yang lain, nescaya aku akan melalui jalan orang Ansar.
Golongan Ansar ini seperti pakaian dalamku, dan orang lain seperti di pakaian luar. (Menunjukkan betapa dekatnya Rasulullah s.a.w dengan golongan Ansar).

Allahumma ya Allah, rahmatilah orang-orang Ansar, anak-anak Ansar dan cucu-cicit Ansar.

Jawapan yang diberikan Rasulullah s.a.w telah membuatkan jiwa mereka remuk redam Mereka menangis sehingga air mata mereka membasahi janggut mereka.

Seorang tua daripada Ansar berkata,
\”Kami telah meredhai Rasulullah s.a.w sebagai bahagian dan pemberian kepada kami\”. [Muttafaq alaih.]

Ungkapan kata-kata indah Rasulullah s.a.w berjaya melembutkan hati saubari mereka sehinggakan ramai di kalangan mereka menangisi perbuatan mereka yang telah mempertikai keadilan dan hikmah kebijaksanaan Rasulullah s.a.w.

  1. Yang dikehendaki di sini ialah: Amannu- Allah s.w.t dan Rasul yang bagi nikmat & sebab, Nabi sampaikan, Allah yang buka hati untuk menerima Islam.

AYAT 18- {\”SESUNGGUHNYA ALLAH MENGETAHUI SEGALA RAHSIA LANGIT DAN BUMI, DAN ALLAH MAHA MELIHAT AKAN SEGALA YANG KAMU KERJAKAN\”.} (AL-HUJURAAT 49:18)

  1. Sebagai penutup ayat terakhir ini Allah s.w.t dengan bawa lagi dua sifat-Nya yang amat tinggi.
    Ilmu pengetahuan Allah s.w.t meliputi segalanya. Sama bagi Allah s.w.t dalam gelap atau cerah, besar atau kecil, segala rahsia di langit atau bumi.
  2. Allah s.w.t tahu apa yang ada dalam hati kamu, siapa yang benar dan siapa yang bohong, maka tidak perlu kamu buat pengisytiharan tentang apa yang ada dalam hati kamu, ikhlas atau tidak!
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Sesungguhnya orang-orang yang kafir akan dipanggil dan dikatakan kepada mereka (pada hari kiamat): \”Demi sesungguhnya! Kebencian Allah (kepada kamu) lebih besar daripada kebencian kamu kepada diri sendiri, (sebabnya kerana) semasa kamu diseru dan diajak (di dunia dahulu) supaya beriman, (kamu enggan dan menolak), lalu kamu terus berkeadaan kufur\”.} (Ghaafir 40:10)
  4. Ya Allah bersihkan hati kami dari sifat nifaq, yang menzahir keimanan tetapi dalam hatinya kufur, menzahirkan keikhlasan tetapi dalam hatinya riya\’, menzahirkan tauhid tetapi dalam hatinya masih bergantung kepada perkara lain.
  5. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan sifat-Nya yang amat besar: Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan. Allah s.w.t tahu semua amalan kamu yang zahir & batin, yang kecil & besar dan dia akan membalasanya setimpal dengan apa yang kamu buat.
  6. Kata Ibnu Jarir at-Tobari: Wahai puak Arab Badwi, tidak tersembunyi dari Allah s.w.t sesuatu apa-pun dalam hati kamu, setakat mana keiklasan kamu dalam beriman, untuk apa kamu beriman dan segalanya Allah tahu, semua duduk di bawah ilmu dan pemerhatian Allah s.w.t; maka tidak perlu kamu datang untuk isytihar kepada Allah dan melakukan yang bercanggah dengan hakikat ilmu Allah.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 16- {Katakanlah (kepada orang-orang \”A\’raab\” itu wahai Muhammad): \”Patutkah kamu hendak memberitahu kepada Allah tentang agama kamu (dengan berkata: `kami telah beriman\’)?}- ayat ini mengandungi isyarat bahawa sesungguhnya semua urusan agama ini mesti kerana Allah! Kita isytiharkan atau tidak, kepada manusia atau kepada Allah, yang penting keikhlasan itu terpasak dalam hati kita!
    puak Badwi ini datang mengaku dan iklankan keimanan mereka,tetapi Allah s.w.t menolaknya!

Ayat ini sekaligus mencela siapa yang puji dirinya sendiri dengan perkara yang bohong dan tidak benar.
Jangan jadi seperti burung merak yang bangga dengan dirinya sendiri.

Rasulullah s.a.w melarangnya sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Asma binti Abu Bakar radhiallahu\’anha, ia berkata:

امْرَأَةً قالَتْ: يا رَسولَ اللَّهِ، إنَّ لي ضَرَّةً، فَهلْ عَلَيَّ جُناحٌ إنْ تَشَبَّعْتُ مِن زَوْجِي غيرَ الذي يُعْطِينِي؟
فقالَ رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: المُتَشَبِّعُ بما لَمْ يُعْطَ كَلابِسِ ثَوْبَيْ زُورٍ

\”Ada seorang wanita, dia berkata: wahai Rasulullah, saya memiliki dharrah (madu dalam poligami). Apakah boleh bagi saya jika saya berbangga di depan dia, bahawa suami saya memberikan sesuatu kepada saya, padahal itu tidak pernah diberikan.

Maka Rasulullah bersabda: orang yang berbangga dengan sesuatu yang tidak pernah ia dapatkan, bagaikan menggunakan dua pakaian kedustaan.\” [HR Bukahri].
Yakni berdusta terhadap diri sendiri & berdusta kepada orang lain dengan kelentong!

Maka dari ayat & hadis ini, termasuklah kepada pendakwah yang suka mereka-reka dan menyebarkan kisah-kisah luar biasa dan pelik demi mencari populariti dan peminat.
Juga jangan ambil hasil & hak orang lain dan mengaku yang diri kita punya!
Kena nyatakan jika kita ambil pandangan dan kata-kata orang lain.
Jangan buat para ulama\’ itu seperti penyu, telurnya kita ambil, ibunya dibuang semula ke laut!

  1. Ayat 16- {Katakanlah (kepada orang-orang \”A\’raab\” itu wahai Muhammad): \”Patutkah kamu hendak memberitahu kepada Allah tentang agama kamu (dengan berkata: ` kami telah beriman \’)? Padahal Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu\”.}- niat kita ini adalah semata-mata amalan hati, tidak perlu kita zahirkan dengan lidah kerana Allah s.w.t tahu apa yang ada dalam hati kita!

Maka tidak perlu tulis, sebar dan beritahu kepada semua orang bahawa kita buat semua itu kerana Allah s.w.t! Satu perisytiharan yang tidak diperlukan oleh Allah s.w.t yang Maha Mengetahui.

  1. Ayat 17- {kerana Dia lah yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu),- bagaimana Allah s.w.t katakan bahawa dia memimpin mereka kepada iman, sedangkan dalam ayat sebelumnya Allah s.w.t menafikan bahawa mereka beriman?
    Jawabnya: Allah hanya beri jalan hidayah untuk mereka beriman melalui rasul-nya, bukan menyatakan telah beri iman kepada mereka.

ii- Allah s.w.t mengungkit: kamu sangka kamu beriman sedangkan ia adalah satu anugerah kepada Allah s.w.t kerana ia akan membebaskan kamu dari api neraka. Maka berimanlah betul-betul!

  1. Ayat 17- {kerana Dia lah yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu),}- ayat ini menolak fahaman puak Qadariyah & Muktazilah yang mengatakan bahawa manusia itu mesti mencari sendiri hidayahnya lepas itu baru Tuhan tahu!
    Kita Ahli Sunnah wal Jamaah katakan bahawa kita mendapat hidayah dari Allah Azza wa Jalla.
    Jalan hidayah yang Tuhan beri kita masuk dan terima itulah anugerah yang paling besar yang kita dapat iaitu nikmat Islam & Iman.
  2. Ayat 18- {\”Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan\”.} – Allah s.w.t tutup surah ini dengan ayat yang besar dan mulia. Allah s.w.t ajar kepada kita untuk beradab kepada Allah dan kepada Rasulullah s.a.w. Allah lihat segalanya, apa yang kamu cakap dan buat maka tidak perlu declare dan umumkan, kelak Dia akan beri balasan yang setimpal dengan amalan yang kamu lakukan!
    Kita balik kepada ayat awal bahawa hak Allah mesti dijaga, adab dengan Rasulullah s.a.w mesti dijaga semasa Baginda masih hidup atau wafat!
    Sunnah Baginda yang sahih menjadi amalan kita, bukan sebaliknya meletak dan memilih yang orang lain bawa.

Kita berdoalah agar Allah bersihkan hati kita, basahkan lidah kita dengan zikir kepada Allah dan fikiran dan hati kita tertumpu kepada agama dan Akhirat.

Hadis Rasulullah s.a.w: \”Dari Zaid bin Thabit r.a, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
\”Siapa yang dunia menjadi keinginan terbesar di hatinya, maka Allah akan cerai beraikan urusannya. Dan Allah jadikan kefakiran di antara kedua matanya. Dan dunia tidak mendatanginya kecuali yang dituliskan saja untuknya. Dan siapa yang akhirat itu menjadi niat utamanya (keinginan terbesar di hatinya akhirat), Allah akan kumpulkan urusannya, dan Allah akan jadikan kekayaan di hatinya dan dunia akan mendatanginya dalam keadaan dunia itu hina di matanya.\”\” [HR Ibnu Majah].

Alhamdulillah tamatlah pengajian surah ini semoga ianya menjadi satu ilmu yang bermanfaat, menambah iman & kecintaan kita kepada Allah dan Rasul-Nya.

Powered by BetterDocs