BUKIT BERTERBANGAN DAN DIBENTANGKAN SURATAN AMAL & UJIAN KEPADA MALAIKAT DAN IBLIS AGAR SUJUD KEPADA ADAM
Full video: https://youtu.be/_w5Qx94EI6Y
MUQADDIMAH:
1. Siri lepas Allah s.w.t mengingatkan kepada kita akan harta dunia seperti harta, pangkat kedudukan dan anak-pinak tidak akan kekal.
2. Bila-bila masa saja, ia akan hilang sekelip mata meninggalkan kita; atau kita akan mati meninggalkan dunia dan segala isi kandungannya.
3. Lalu dalam ayat seterusnya dalam siri ini Allah mengingatkan akan hari Kiamat yang pasti akan berlaku.
AYAT 47- {DAN (INGATKANLAH) HARI KAMI BONGKAR DAN TERBANGKAN GUNUNG-GANANG DAN ENGKAU AKAN MELIHAT (SELURUH) MUKA BUMI TERDEDAH NYATA; DAN KAMI HIMPUNKAN MEREKA (DI PADANG MAHSYAR) SEHINGGA KAMI TIDAK AKAN TINGGALKAN SEORANGPUN DARI MEREKA.} (AL-KAHFI 18:47).
1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menyebut sebahagian daripada huru-hara hari Kiamat.
2. Terbongkah habis gunung-ganang dan berterbangan ia seperti debu atau awan.
3. Lalu bumi yang telah kosong daripada gunung-ganang dan pokok-pokok, menjadi rata dan kosong, seolah tidak pernah dihuni.
4. Inilah sebagai persiapan, sekelian makhluk akan dibangkitkan dari kuburnya untuk dibangkitkan kembali di padang Mahsyar untuk dihisab, dihitung bagi menerima pembalasan baik atau buruk, bahagia atau celaka.
AYAT 48- {DAN MEREKA TETAP AKAN DIBAWA MENGADAP TUHANMU DENGAN BERBARIS TERATUR, (SAMBIL DIKATAKAN KEPADA MEREKA): \”KAMU SEKARANG TELAH DATANG KEPADA KAMI – (BERSEORANGAN) SEBAGAIMANA KAMI TELAH JADIKAN KAMU PADA MULANYA; BAHKAN KAMU DAHULU MENYANGKA, BAHAWA KAMI TIDAK AKAN MENJADIKAN BAGI KAMU MASA YANG TERTENTU (UNTUK MELAKSANAKAN APA YANG KAMI TELAH JANJIKAN)\”. (AL-KAHFI 18:48).
1. Di padang Mahsyar nanti mereka akan dibawa mengadap Tuhan-Nya dalam keadaan berbaris teratur, sambil dikatakan kepada mereka:
2. Setelah kamu mati, kamu akan dihidupkan semula, lalu dibangkitkan sebagaimana seperti awal kejadian kamu; iaitu berseorangan, tidak berpakaian dan berselipar, yang lelaki tidak berkhitan, tiada lagi harta dan anak-pinak akan menemani.
3. Hadis Nabi s.a.w. Aisyah berkata: “Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: “Manusia akan dikumpulkan pada Hari Kiamat dalam keadaan tanpa alas kaki, telanjang tanpa pakaian, dan tanpa disunat.”
Lantas, aku bertanya: \’Wahai Rasulullah, adakah lelaki dan perempuan memandang satu sama lain?”
Rasulullah menjawab: “Wahai Aisyah, masalah yang akan dihadapi lebih penting dari sekadar melihat satu dengan yang lain.” (Muttafaq \’alaih).
4. Ayat ini amaran kepada orang-orang kafir musyrik yang tidak percaya dan beriman dengan hari Akhirat, serta merasa ramai pengikut dan pembantu semasa dunia, semuanya tidak akan berguna lagi.
AYAT 49- {DAN \”KITAB-KITAB AMAL\” JUGA TETAP AKAN DIBENTANGKAN, MAKA ENGKAU AKAN MELIHAT ORANG-ORANG YANG BERDOSA ITU, MERASA TAKUT AKAN APA YANG TERSURAT DI DALAMNYA; DAN MEREKA AKAN BERKATA:\” ADUHAI CELAKANYA KAMI, MENGAPA KITAB INI DEMIKIAN KEADAANNYA? IA TIDAK MENINGGALKAN YANG KECIL ATAU YANG BESAR, MELAINKAN SEMUA DIHITUNGNYA!\” DAN MEREKA DAPATI SEGALA YANG MEREKA KERJAKAN ITU SEDIA (TERTULIS DI DALAMNYA); DAN (INGATLAH) TUHANMU TIDAK BERLAKU ZALIM KEPADA SESEORANGPUN.} (AL-KAHFI 18:49).
1. Lalu pada masa itu kitab amalan kita akan dibentangkan. Maka beringatlah, surat amalan kita, kita sedang menulisnya di atas dunia ini.
2. Maka orang yang bersalah dan berdosa (mujrimin- musyrikin dan kafir serta penderhaka) akan merasa takut dan gentar, kerana mereka tahu mereka bersalah.
3. Lalu mereka yang tidak beriman ini akan menyesal dan berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya.
4. Mereka akan dapati apa yang mereka kerjakan semuanya ada tercatat.
5. Lalu Allah s.w.t menjamin dan berjanji bahawa Dia tidak akan menzalimi seorang pun.
Semua amalan kamu baik atau buruk, kecil atau besar akan direkod dan dihisab. Maka jangan pandang kecil kepada dosa, tetapi lihatlah kepada siapa yang kamu ingkar itu.
6. Kisah sahabat mencari ilmu.
Menurut Imam al-Bukhari dalam kitab al-Adab al-Mufrad, seorang sahabat Nabi S.A.W yang bernama Jabir bin Abdullah r.a mendengar berita terdapat seseorang sahabat yang bernama Abdullah ibn Unais r.a mendengar sesuatu hadis dari Nabi S.A.W secara langsung yang ketika itu berada di Syam.
Beliau segera membeli unta dan bekalan untuk menuju ke sana yang mengambil masa selama sebulan perjalanan yang mana tujuannya hanya ingin mengetahui satu hadis.
Beliau bimbang jika salah seorang daripada mereka (yakni Jabir atau Abdullah) meninggal dunia yang menyebabkan ia terlepas peluang mengetahui hadis terbabit.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-\’Asqalani yang turut meriwayatkan kisah Jabir ini menyatakan bahawa: \”Hadis ini menceritakan kesungguhan para sahabat dalam memperolehi sunnah-sunnah Nabawi (ilmu tentang hadis).\”
AYAT 50- {DAN (INGATKANLAH PERISTIWA) KETIKA KAMI BERFIRMAN KEPADA MALAIKAT: \”SUJUDLAH KAMU KEPADA ADAM\”; LALU MEREKA SUJUD MELAINKAN IBLIS; IA ADALAH BERASAL DARI GOLONGAN JIN, LALU IA MENDERHAKA TERHADAP PERINTAH TUHANNYA. OLEH ITU, PATUTKAH KAMU HENDAK MENJADIKAN IBLIS DAN KETURUNANNYA SEBAGAI SAHABAT-SAHABAT KARIB YANG MENJADI PEMIMPIN SELAIN DARIPADAKU? SEDANG MEREKA ITU IALAH MUSUH BAGI KAMU. AMATLAH BURUKNYA BAGI ORANG-ORANG YANG ZALIM: PENGGANTI YANG MEREKA PILIH ITU}. (AL-KAHFI 18:50).
1. Allah s.w.t sekali lagi mengingatkan kita kepada peristiwa besar, kisah apabila Allah s.w.t menyuruh para malaikat dan iblis sujud hormat untuk memuliakan Nabi Adam a.s.
2. Peringatan: Benda yang terlarang kita diharamkan untuk membuatnya, kecuali beberapa kes seperti nabi Ibrahim a.s diperintakan mennyembelih anaknya sedangkan perbuatan membunuh itu HARAM. Ia hanya ujian dari Allah s.w.t untuk Nabi Ibrahim bukan untuk selainnya.
ii- Begitu juga dalam kes malaikat diperintahkan sujud hormat kepada Adam ini sedangkan dalam keadaan biasa haram untuk bersujud sesama makhluk. jangan kita jadikan kisah ini sebagai hujjah untuk bersujud kepada syeikh2 dan keyua yang dilantik sendiri.
3. Malaikat taat dan akur kepada perintah Allah s.w.t itu, tetapi Iblis enggan dan menderhaka kepada perintah Tuhannya lalu menjadi makhluk yang dilaknat.
4. Maka amat buruk dan zalim bagi manusia yang hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripada Allah. Amat buruklah pilihan ini.
4. Peringatan: Malaikat dan Iblis adalah dua makhluk yang berbeza:
i- Malaikat dicipta daripada cahaya (Nur).
ii- Jin (iblis) dicipta daripada api.
iii- Manusia (Adam) dicipta daripada tanah liat.
AYAT 51- {AKU TIDAK MEMANGGIL MEREKA MENYAKSI ATAU MEMBANTU-KU MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI, DAN TIDAK JUGA MEMINTA BANTUAN SETENGAHNYA UNTUK MENCIPTAKAN SETENGAHNYA YANG LAIN; DAN TIDAK SEPATUTNYA AKU MENGAMBIL MAKHLUK-MAKHLUK YANG MENYESATKAN ITU SEBAGAI PEMBANTU. (AL-KAHFI 18:51).
1. Allah s.w.t menegaskan sekali lagi bahawa Dia Yang Maha Berkuasa, tidak pernah memanggil mereka (iblis dan keturunannya) itu sebagai pembantu-Nya dalam mencipta langit dan bumi.
2. Allah s.w.t juga tidak pernah meminta bantuan setengah makhluk untuk menciptakan sebahagian makhluk yang lain; dan lebih-lebih lagi tidak sepatutnya Allah mengambil makhluk-makhluk yang menyesatkan itu sebagai pembantu-Nya.
PENGAJARAN DAN FAEDAH :
1. Ayat ini menegaskan untuk kita mengisytiharkan bahawa iblis dan syaitan adalah musuh yang nyata kepada manusia, dia telah bersumpah yang kerjanya menyesatkan, memesongkan manusia daripada jalan Allah s.w.t. siang dan malam.
2. Tetapi Iblis mengaku awal-awal lagi kecuali hamba-hamba Allah s.w.t yang ikhlas dan beriman dia tidak akan mampu menyesatkan mereka.
3. Maka jika kita nak selamat, jadilah orang yang ikhlas beriman, betul-betul mengikut hukum al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w, insya\’ Allah syaitan tidak akan dapat menggoda.
Wallahu a’lam.