View Categories

Surah Al-Ma’idah : Ayat 20-26

MUSA INGATKAN NIKMAT, ARAHAN MASUK BAITUL MAQDIS & SESAT 40 TAHUN.

Full video : https://youtu.be/u0Gax0tywGk?si=2OH0w4cIiQos81BH

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 20 sehingga 26.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang Nabi Musa a. s dan pengikut-pengikutnya termasuk 12 orang ketua (naqib) yang terpilih. 
    Nabi Musa ingatkan pengikutnya agar bersyukur akan nikmat Allah ke atas mereka.
  1. Kemudian Nabi Musa nyatkan arahan Allah supaya mereka masuk Baitul Maqdis tetapi mereka buat pelbagai alasan dan karenah. 
  1. Lalu Allah jatuhkan hukuman ke atas mereka dengan sesat di padang pasir Tursina selama 40 tahun.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan hujjah ke atas bani Israil bahawa risalah yang terakhir adalah Nabi Muhammad SAW. Kamu tak perlu nak putar belit & seleweng fakta.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah bawa kisah bagaimana kaum bani Israil pada zaman Nabi Musa AS dahulu telah memberontak & ingkar akan arahan dan perintah nabi mereka Musa AS. Maka janganlah kamu ulang perbuatan buruk mereka itu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

AYAT 20- {DAN (INGATKANLAH MEREKA WAHAI MUHAMMAD), KETIKA NABI MUSA BERKATA KEPADA KAUMNYA: “WAHAI KAUMKU! KENANGLAH NIKMAT ALLAH (YANG DIBERIKAN) KEPADA KAMU KETIKA IA MENJADIKAN DALAM KALANGAN KAMU BEBERAPA ORANG NABI, DAN IA MENJADIKAN KAMU BEBAS MERDEKA (SETELAH KAMU DIPERHAMBA OLEH FIRAUN DAN ORANG-ORANGNYA), DAN IA MEMBERIKAN KEPADA KAMU BARANG YANG TIDAK PERNAH DIBERIKAN KEPADA SESEORANG PUN DARI UMAT-UMAT (YANG ADA PADA MASA ITU)”.} (AL-MA’IDAH 5:20)

  1. Allah SWT perintahkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk ingatkan kepada bani Israil yang ada pada zaman Baginda akan kisah Nabi Musa dan pengikutnya bani Israil pada masa lalu.
  1. Iaitu apabila Nabi Musa AS menyeru kaumnya agar mereka ingat dengan hati & lidah akan nikmat yang Tuhan telah kurniakan kepada mereka. 
    Bila nikmat Allah kita akan bersyukur dan menjadi sebab untuk mencintai Allah sebagai Pemberi nikmat & semangat untuk memperbanyakkan ibadat. 
  1. Allah ceritakan hal dan kisah ini supaya kaum bani Israil/yahudi yang ada pada zaman Rasulullah SAW, berasa lebih dekat dengan Rasulullah SAW dan lebih lunak untuk menerima dakwahnya!
  1. Antara nikmat ke atas bani Israil yang Nabi Musa sebut & ingatkan kepada kaumnya ialah:
    i- Betapa ramai dari kalangan nabi & rasul adalah dari keturunan mereka bani Israil.
    Mereka ini datang dari keturunan Nabi Ibrahim melalui anaknya Nabi Ishak dan anaknya Ya’kub.
    Manakala Nabi Ismail bin Ibrahim AS dibawa ke Makkah untuk menjadi datuk kepada penutup segala nabi & rasul melalui bangsa Arab Quraisy iaitu Nabi Muhammad SAW. 

    ii- Antara mereka ada yang dipilih menjadi raja-raja {مُّلُوكًۭا }. 
    Allah sebut raja kerana ia adalah satu jawatan kemuliaan atas dunia ini. 
    Allah juga jadikan mereka orang merdeka, bebas dari perhambaan setelah ditindas oleh Firaun & kaumnya.
    Sama ada raja yang berkuasa atas dunia, atau raja yang bebas merdeka bukan hamba.

    iii- Allah juga berikan kepada mereka nikmat agama, kekuasaan & kemuliaan yang tinggi, yang tidak Allah berikan kepada orang lain sebelum itu!
    Sebagaimana firman Allah SWT:
    {Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Bani Israil Kitab Taurat, dan pangkat kehakiman serta pangkat kenabian; dan Kami telah kurniakan mereka benda-benda yang baik-baik, serta Kami lebihkan (nenek moyang) mereka di atas orang-orang yang ada pada zamannya.} (Al-Jaathiyah 45:16) 

AYAT 21- {(NABI MUSA BERKATA LAGI): “WAHAI KAUMKU, MASUKLAH KE TANAH SUCI (PALESTIN) YANG TELAH DIPERINTAHKAN OLEH ALLAH UNTUK KAMU (MEMASUKINYA); DAN JANGANLAH KAMU BERBALIK UNDUR KE BELAKANG, (KALAU KAMU UNDUR) MAKA KAMU KELAK MENJADI ORANG-ORANG YANG RUGI (DI DUNIA DAN DI AKHIRAT)”.} (AL-MA’IDAH 5:21)

  1. Nabi Musa berseru lagi kepada kaumnya dan memanggil mereka dengan penuh kebaikan & lunak: Wahai kaumku {يَـٰقَوْمِ}.
  1. Iaitu selepas Musa menyebut dan suruh mereka bersyukur akan nikmat Allah yang banyak ke atas mereka, maka sekarang adalah masa untuk menyampaikan perintah Allah ke atas mereka pula.
  1. Allah perintahkan untuk memasuki ke Tanah Suci (Palestin) yang telah dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat).
  1. Kata al-Wahidi RHM : Dinamakan Palestin itu bumi yang suci (ٱلْأَرْضَ ٱلْمُقَدَّسَةَ) kerana Allah telah membersihkannya dari syirik! 
    Pada waktu, sekarang telah dicemari lagi oleh puak zionis dan akan dibersihkan kembali insya’ Allah.

AYAT 22- {MEREKA MENJAWAB: “WAHAI MUSA BAHAWASANYA DI NEGERI ITU ADA KAUM YANG GAGAH PERKASA, DAN SESUNGGUHNYA KAMI TIDAK AKAN MEMASUKINYA SEHINGGA MEREKA KELUAR DARIPADANYA; KEMUDIAN JIKA MEREKA KELUAR DARIPADANYA, MAKA SESUNGGUHNYA KAMI AKAN MASUK (KE NEGERI ITU)”.} (AL-MA’IDAH 5:22)

  1. Setelah mendengar arahan Nabi Musa mereka menjawab dengan memberi alasan kerana tidak mahu & ingkar. 
    Mereka begitu angkuh dan tidak sopan, memanggil nabi mereka hanya dengan nama! 
  1. Mereka mengatakan: Macamana kami nak masuk sedangkan di dalam negeri itu ada ada kaum yang gagah perkasa, kami tidak mampu untuk melawan mereka! 
  1. Bahkan mereka bertegas mengatakan: Sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, barulah kami akan masuk ke negeri itu.

AYAT 23- {BERKATALAH DUA LELAKI DI ANTARA ORANG-ORANG YANG TAKUT (MENYALAHI PERINTAH TUHAN), LAGI YANG TELAH DIBERI NIKMAT (TAUFIK) OLEH ALLAH KEPADA KEDUANYA: “SERANGLAH MEREKA MELALUI PINTU ITU, KERANA APABILA KAMU MEMASUKINYA MAKA SUDAH TENTU KAMULAH ORANG-ORANG YANG MENANG; DAN KEPADA ALLAH JUALAH HENDAKLAH KAMU BERSERAH (SETELAH KAMU BERTINDAK MENYERANG), JIKA BENAR KAMU ORANG-ORANG YANG BERIMAN”} (AL-MA’IDAH 5:23)

  1. Dalam 12 orang ketua bani Israil yang terpilih sebelum ini; semua ingkar menolak arahan, hanya 2 orang saja yang berani taat kerana takut kepada Allah & mendapat taufiq hidayah-Nya. 
    Mereka sangup mengikut perintah Allah & ikut arahan Nabi Musa AS.

    Mengikut ahli sejarah nama dua orang yang taat itu ialah:
    i- Yusha’ bin Nun : یوشع بن نون

    ii- Kalib bin Yefune : كالب بن يوفنا
  1. Mereka sanggup masuk menyerang dan mengajak kaumnya dengan memberi kata-kata semangat & motivasi kepada kaumnya! 
  1. Kata mereka berdua itu: “Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; kerana Allah telah menjanjikan kemenangan!”

    Ulama’ kata : Pintu itu adalah pintu Baitul Maqdis yang menuju ke tanah kaum Kan’an itu.
  1. Mereka juga menyeru bani Israil agar: Kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah setelah kamu bertindak menyerang, jika benar kamu orang-orang yang beriman!

AYAT 24- {MEREKA (MENOLAK DENGAN) BERKATA: “WAHAI MUSA, SESUNGGUHNYA KAMI TIDAK AKAN MEMASUKI NEGERI ITU SELAMA-LAMANYA SELAGI KAUM ITU MASIH BERADA DI DALAMNYA; OLEH ITU PERGILAH ENGKAU BERSAMA TUHANMU DAN PERANGILAH MEREKA. SEBENARNYA KAMI DI SINILAH DUDUK MENUNGGU”.} (AL-MA’IDAH 5:24)

  1. Tetapi kaumnya, bani Israil itu tetap degil keras kepala. 
    Mereka dengan ingkar dan sombong berkata kepada nabi Musa:
    i- Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; yakni mereka tetap menolak dengan sombong dan degil!

    ii- Jika kamu berani.nak pergi juga, maka pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka.
    Betapa sombong & jahatnya mulut mereka!

    iii- Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu. Yakni apabila Nabi Musa dapat kalahkan musuh barulah mereka akan masuk!
  1. Alangkah sedihnya apabila orang yang kita pilih rapat juga menolak untuk bersama dalam perjuangan. 
    Begitulah perasaan Nabi Musa pada masa itu.

AYAT 25- {NABI MUSA (MERAYU KEPADA ALLAH), KATANYA: “WAHAI TUHAN! SESUNGGUHNYA AKU TIDAK DAPAT MENGUASAI SELAIN DARIPADA DIRIKU SENDIRI DAN SAUDARAKU (HARUN); OLEH ITU PISAHKANLAH ANTARA KAMI DENGAN KAUM YANG FASIK ITU”.} (AL-MA’IDAH 5:25)

  1. Nabi Musa pun sudah putus harapan kepada mereka lalu berdoa kepada Allah agar memisahkannya dengan bani Israil yang fasiq & tidak dengar kata itu!
  1. Lalu Nabi Musa pun pergi meninggalkan kaumnya yang tidak ingkar itu bersama saudaranya Nabi Harun.
  1. Timbul persolan: 
    Di mana dua orang ketua yang taat tadi? 
    Kata ulama’ sirah : Nabi Musa seolah tidak yakin apakah mereka berdua benar-benar mahu mengikutnya kerana semua yang lain ingkar & tidak mahu dengar arahannya. 
    Kerana itu Nabi Musa tidak sebut juga nama mereka selain daripada saudaranya Nabi Harun.

AYAT 26- {ALLAH BERFIRMAN: “SESUNGGUHNYA NEGERI ITU DIHARAMKAN KEPADA MEREKA MEMASUKINYA – SELAMA EMPAT PULUH TAHUN, MEREKA AKAN MERAYAU-RAYAU DENGAN BINGUNGNYA (DI SEPANJANG MASA YANG TERSEBUT) DI PADANG PASIR (SINAI); MAKA JANGANLAH ENGKAU BERDUKACITA TERHADAP KAUM YANG FASIK ITU”.} (AL-MA’IDAH 5:26)

  1. Lalu Allah menjatuhkan hukuman ke atas mereka, bani Israil, kaum fasiq yang ingkar & degil itu:
    i- Kerana tidak mahu masuk sangat maka Allah jadikan mereka 40 tahun tidak boleh masuk ke bumi Palstin, untuk balik juga tidak boleh balik.

    ii- Selama 40 Tuhan itu sesat merayau-rayau, tidak jumpa arah jalan keluar dari padang pasir Tursina. Kebingungan dan hilang arah tujuan.
  1. Allah masih lagi kasihankan mereka dengan menghantar awan membayangi mereka dari panas terik matahari di padang pasir.
    Makanan mereka pula adalah getah seperti madu (ٱلْمَنَّ) dan burung puyuh (وَٱلسَّلْوَىٰ).
  1. Firman Allah SWT:
    {Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”, (serta Kami berfirman): “Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka menganiaya diri sendiri.} (Al-Baqarah:57).
  1. Ulama’ kata : Golongan yang tua-tua termasuk Nabi Harun, mati di padang pasir itu. 
    Selepas itu Nabi Musa pun mati juga. 
    Yang tinggal hanya yang muda-muda termasuk Yusha’ & Kalib tadi. 
    Yusha’ dilantik menjadi nabi menggantikan Nabi Musa membimbing kaumnya apabila dia berumur 40 tahun. 
  1. Lalu Yusha’ & Kalib serta yang hidup & dapat masuk Palestin bersama anak cucu keturunan mereka yang masih muda.
    Yusha’ memimpin tentera menyerang Baitul Maqdis seperti arahan Nabi Musa sebelum itu.
  1. Antara keistimewaan & mukjizat Yusha’ ini:
    i- Yusha’ ini adalah pemuda yang ikut Nabi Musa pergi mencari Khidir sebagaimana yang diceritakan dalam Surah Al-Kahfi.

    ii- Allah tahan matahari untuknya selesai berperang ketika melawan kaum Kan’an ini, sebagaimana dalam hadis Rasulullah SAW.
  1. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Matahari tidak pernah ditahan untuk seseorang kecuali untuk Yusha’ pada waktu senja ketika dia pergi berperang di Baitul Maqdis.” (HR Imam Ahmad)
  1. Menurut Ibnu Ishaq dalam riwayatnya bahawa:
    i- Nabi Yusha’ AS memimpin tentera-tenteranya untuk memasuki Baitul Maqdis pada hari Jumaat. 
    Akan tetapi, waktu telah meningkat senja tetapi perang belum selesai dan mereka hampir menang.

    ii- Waktu senja merupakan titik perubahan hari menurut kalendar masyarakat Bani Israel.
    Syariat Nabi Musa AS diharamkan berperang pada Hari Sabtu kerana pada hari tersebut disediakan untuk beribadat kepada Allah SWT.

    iii- Oleh yang demikian, Nabi Yusha’ AS berdoa kepada Allah SWT untuk menghentikan matahari buat beberapa ketika bagi memberi ruang waktu padanya untuk selesai berperang menentang musuh Allah SWT.

    iv- Nabi Yusha’ AS bimbang jika mereka memberi ruang satu hari kepada musuh, pihak musuh bakal menyusun kembali kekuatan mereka. 
    Dan ini merugikan Nabi Yusha’ AS dan tentera-tentera baginda. 

    v- Lalu Allah mengqabulkan permintaannya itu dan mereka berjaya mengalahkan musuh & dapat masuk ke Baitul Maqdis.
    Alhamdulillah itulah kemuliaan yang Allah berikan kepada Nabi Yusha’ bin Nun & tidak kepada orang lain, jelas dalam hadis Nabi SAW ini..

    Sehari dua ini muncul cerita khurafat bahawa seorang syeikh di Yaman menahan matahari sehingga terpaksa diminta supaya dia melepaskannya kerana orang ramai nak berbuka puasa!  
    Allahu al-Musta’an dari segala kepercayaan khuraafat & bid’ah.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 20- {Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku!..}-

    Nabi Musa AS menyeru kaumnya dengan lunak dan panggilan yang rapat.
    Untuk mengingatkan mereka akan nikmat yang banyak yang Allah telah kurniakan kepada mereka bani Israil. 
    Uslub bila bercakap dengan seseorang agar mereka mendengar kata (ggaya : Kelantan). 
    Sebut keturunan terdahulu yang baik-baik, agar anak-cucu rasa malu diri, juga sebagai satu peringatan agar bersyukur lalu kita akan makin sayang pada Allah. 
    Kata ulama’ : Antara nikmat yang paling besar ialah nikmat iman & ilmu! 
    Kita kena ingatkan anak-cucu kita akan kesolehan datuk nenek dulu agar terkesan dalam jiwa dan perangai mereka.
    {ketika Ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan Ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya),}-
    Nikmat utama pada kaum Israil ialah ramainya nabi dari keturunan mereka. 
    Allah sebut nikmat yang diberikan sebagai nabi & ulama’ (علماء) dulu baru sebut nikmat dunia iaitu menjadi raja (umara’- أمراء). 
    Apabila ulama’ & umara’ berkumpul dan bersatu ke arah kebaikan pastilah agama akan berdaulat. 
  1. Ayat 21- {(Nabi Musa berkata lagi): “Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya);}-

    Setelah sebut nikmat & ungkitkan kedudukan mereka yang tinggi, Allah bawa pula arahan & perintah untuk mereka tunaikan! 
    Kata ulama’ : Begitulah uslub al-Quran yang Allah ajar & tunjukkan kepada kita, disebutkan nikmat dan kedudukan agar hati pendengar lembut, mudah dengar kata untuk menerima arahan dan perintah seorang ketua.
  1. Ayat 21- {(Nabi Musa berkata lagi): “Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang,}-

    Masuklah kamu ke Tanah Suci (ٱلْأَرْضَ ٱلْمُقَدَّسَةَ) yang Allah perintahkan.
    Dalam ayat ini Allah sebut beberapa perkara:
    i- Ia adalah bumi yang suci, bukan bumi yang biasa-biasa. 

    ii- Ia adalah perintah dari Allah bukan Nabi Musa saja-saja suruh.

    iii- Allah telah janjikan jika kamu masuk serang kamu akan menang!

    iv- Jika kamu tak dengar kata, tak ikut perintah maka kamu akan jadi orang yang rugi! 
    Ayat 23- {Berkatalah dua lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi perintah tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya…}-
    Lalu Yusha’ & Kalib yang taat memberi peringatan kepada kaumnya bahawa kerana Allah telah janjikan dan beri jaminan akan kemenangan, maka yakin dan bertawakkallah kepada Allah.
    Jangan takut dan enggan untuk menjalankan perintah Allah.

    Inilah yang kita sedih. Betapa sahabat seperjuangan yang dulunya bersama dalam dakwah menegakkan al-Quran & Sunnah; sekarang ini apabila diberi sedikit kuasa melupakan kawan-kawan bahkan seolah bersama dalam tuduhan jahat orang lain. 
    Bukan nak membersihkan tuduhan jahat kepada kawan itu; sedangkan jika bukan kamu yang kenal & tahu asas perjuangan mereka yang asal, siapa lagi yang dapat membela dakwah ini.
    Allahu al-Musta’aan, hanya Allah yang dapat menolong, dunia ini bukannya besar & kekal, hari sentiasa berputar, hari ini kamu lupa kawan nanti kelak kamu akan cari kawan juga!
    Ada kawan atau tidak, kita teruskan perjuangan, kepada Allah sahaja kita bertawakkal, sebagaimana nasihat Yusha’ ini kita pegang!
    Sama-samalah kita bertawakkal kepada Allah mudah-mudahan Allah jadikan kita orang yang benar-benar beriman dengan ikhlas!
  1. AYAT 25- {NABI MUSA (MERAYU KEPADA ALLAH), KATANYA: “WAHAI TUHAN! SESUNGGUHNYA AKU TIDAK DAPAT MENGUASAI SELAIN DARIPADA DIRIKU SENDIRI DAN SAUDARAKU (HARUN); OLEH ITU PISAHKANLAH ANTARA KAMI DENGAN KAUM YANG FASIK ITU”.}-

    Nabi Musa sudah penat & letih dalam menghadapi kaumnya yang degil & fasiq.
    Pisahkan aku & saudaraku Harun dari mereka yang degil & ingkar!
    Kata ulama’ : Boleh kita berdoa supaya Allah memisahkan kita daripada mereka yang fasik, orang-orang yang jenis lalang, yang tidak ada istiqomah dalam perjuangan ini, ditakuti mempengaruhi kita kepada keburukan juga.
    Orang yang tidak mahu berjihad, tidak mahu menegakkan arahan Allah, perintah al-Quran & Sunnah ini dikira orang yang fasiq!
    Setelah kita berjuang, berjihad & berusaha mengajak orang kepada Kitab Allah & Sunnah Nabi SAW, apa nak jadi, jadilah. Kita sabarlah di atas jalan yang kita pilih semoga kita mendapat keselamatan di dunia & Akhirat.
  1. Ayat 21- {(Nabi Musa berkata lagi): “Wahai kaumku..} & Ayat 20- { ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku!} &
    Ayat 22- {Mereka menjawab: “Wahai Musa.} & Ayat 24- {Mereka (menolak dengan) berkata: “Wahai Musa..}-

    Lihatlah perbezaannya: Nabi Musa memanggil kaumnya: {يَـٰقَوْم} – wahai kaumku!
    Manakala mereka bani Israil menjawabnya: { قَالُوا۟ يَـٰمُوسَىٰٓ}- wahai Musa!
    Perangai buruk bani Israil jelas terserlah dengan cara mereka memanggil nabi Musa, sangat tidak beradab & tiada rasa hormat.
    Ini menunjukkan kekerasan hati & perangai sombong jahat mereka. 
    Tidak dengar arahan Allah & Nabi mereka.
    Juga sifat utama mereka ialah penakut! 
    Kerana itu kita ajar anak-anak kita agar hormat kepada ibu bapa, guru, orang yang lebih tua hatta sesama mereka. 
    Sama ada dengan perlakuan baik & panggilan yang sopan dan sesuai, ini penting. 
    Tetapi bukanlah melampau sehingga membawa kepada ketaksuban, tengok guru tunduk merangkak atau cium kaki dan seumpamanya yang tidak diajar oleh Nabi SAW! 
    Kita wajib hormat & sopan (احترام) tetapi bukan mensucikan (تقديس) guru sehingga membawa kepada ketaksuban yang dilarang itu.
    Bani Israil ini juga buruk sangka kepada Allah, walaupun Allah telah janjikan kemenangan mereka tetap tidak berani ikut perintahnya!
    Ini menunjukkan sifa penakut yang buruk.

    Dalam mana-mana kumpulan pasti ada:
    i- Orang yang baik, orang yang patuh taat kepada perintah Allah SWT dan setia kepada perjuangan seperti Yusha’ & Kalib.

    ii- Dan akan ada juga yang penakut, melawan perintah ketua. 
    Yang penting seorang ketua/pendakwah kena sentiasa tegas & sabar.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk siri ini.
Semoga Allah menjadikan kita semua orang yang taat & patuh serta sentiasa istiqomah atas perjuangan menegakkan kebenaran.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs